MOHD ALI KARTHIDEVAN BIN ABDULLAH v. PENDAKWA RAYA

MOHD ALI KARTHIDEVAN BIN ABDULLAH v. PENDAKWA RAYA
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
RAYUAN JENAYAH NO 42-65-98
4 FEBRUARY 1999
[1999] 1 LNS 364
ALASAN PENGHAKIMAN

Perayu telah dituduh di Mahkamah Sesyen bersama-sama tiga orang lain kerana melakukan kesalahan homosid salah yang tidak terjumlah kepada bunuh dengan niat hendak menyebabkan kematian seorang banduan di bawah seksyen 304 (bahagian 1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama-sama seksyen 34 Kanun yang sama. Kesemua tertuduh adalah banduan. Kesalahan dilakukan di rumah sakit Penjara, Penjara Pulau Pinang. Mereka mengaku salah, disabitkan dan dihukum penjara tujuh tahun yang akan mula berjalan selepas hukuman penjara yang sedang dijalani mereka, melainkan tertuduh ketiga yang hukumannya berjalan mulai hari itu kerana dia seorang tahanan menunggu perbicaraan. Hanya Perayu yang merayu. [2]
Rayuan Perayu hanya terhadap hukuman, khususnya dia meminta supaya hukuman bagi kesalahan ini berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalaninya.
Eloklah diperturunkan secara ringkas fakta kes ini yang telah ditulis dengan jelas oleh Hakim Mahkamah Sesyen itu.
Si Mati berumur 22 tahun dan telah dimasukkan ke penjara Pulau Pinang pada 4 Disember 1997 sebagai tahanan menunggu perbicaraan. Dua hari kemudian Si Mati di hantar ke hospital Penjara, Penjara Pulau Pinang untuk rawatan. Si Mati ditahan untuk pemeriksaan lanjutan tentang penyakitnya.
Semasa membuat pendaftaran untuk masuk ke hospital itu satu perselisihan faham telah berlaku antara Si Mati dengan Perayu dan Tertuduh Kedua (yang tidak merayu). Lanjutan dari itu satu pergaduhan kecil telah berlaku dan Perayu mendapat kecederaan. Lebih kurang jam 12.15 tengahari, setelah Si Mati menerima rawatan lanjutan dan diberi ubat, seorang pegawai penjara telah menggari tangan kiri Si Mati ke suatu tempat khas di lantai berhampiran bilik air di hospital penjara itu. Si Mati berbaring di atas lantai.
Pada jam lebih kurang 5.30 petang, Perayu dan tertuduh-tertuduh lain berkumpul dan berbincang sesuatu. Selepas itu Perayu membawa satu guni, pergi kepada Si Mati, dan mencekup bahagian kepala Si Mati dengan guni. Perayu dan tertuduh-tertuduh [3] lain menyerang Si Mati dengan menendang dan menumbuknya bertubi-tubi.
Serangan itu berhenti apabila Tertuduh Kedua yang kakinya telah patah sebelum itu mendapat kecederaan semula.
Lebih kurang pukul 6.00 petang, Perayu dan tertuduh-tertuduh lain telah meluru kepada Si Mati dan menyerangnya lagi dengan cara melompat dan memijak perut Si Mati yang terbaring di lantai dengan tangan bergari ke tempat khas di lantai itu. Mereka juga menendang, menumbuk dan menghentak kepala Si Mati ke lantai dan ke dinding. Serangan itu cuma berhenti setelah Si Mati sudah lembik dan tidak bermaya. Mereka meninggalkan Si Mati dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak.
Antara kecederaan yang dialami oleh Si Mati ialah:
i);Kesan calar dan lebam di seluruh badan, kepala, abdomen, tangan dan kaki. Kesan lebam ini berbentuk oval.
ii);Terdapat kecederaan di bahagian kepala Si Mati.
iii);Tulang rusuk sebelah kiri No. 6, 8, dan 11 telah patah.
iv);Terdapat kesan lebam pada bahagian paru-paru (contusion).
(v);Buah pinggan sebelah kanan telah pecah.
Sebab kematian adalah “Multiple injuries due to blunt traume”. [4]
[Persoalan yang bermain di kepala saya, walau pun tidak berkenaan dengan rayuan ini ialah, tidak adakah Pengawal Penjara?, Apa yang mereka buat sehingga seorang banduan yang sakit dan digari ke lantai hospital boleh diserang oleh sekumpulan banduan-banduan lain, berulang kali dalam masa yang singkat?]
Perayu, pada tarikh dijatuhkan hukuman itu sedang menjalani hukuman empat tahun penjara, satu sebatan dan satu tahun pengawasan polis dari tarikh tangkap ia itu 16 Februari 1992 kerana kesalahan di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan (mencuri).
Di Mahkamah ini alasan yang diberi oleh Perayu ialah adiknya ditahan polis, dia telah insaf dan ingin menjaga ibu bapanya yang sakit.
Perbuatan Perayu (dan tertuduh-tertuduh lain yang tidak merayu) dalam melakukan kesalahan ini amat tidak berperikemanusiaan. Selain dari itu, memandangkan bahawa Perayu mempunyai kesalahan yang terdahulu, memandangkan bahawa hukuman maksima adalah 20 tahun penjara dan bahawa satu satunya fakta yang boleh meringankan hukuman hanyalah bahawa dia mengaku salah, saya berpendapat bahawa hukuman itu adalah sesuai, malah agak ringan. Juga mengikut prinsip pun tidak ada sebab mengapa hukuman dalam kes ini patut berjalan serentak dengan hukuman yang sedang dijalaninya, memandangkan bahawa ini adalah satu kesalahan yang langsung berasingan dan dilakukan dalam hospital penjara semasa dia menjalani hukuman yang lebih awal. Saya juga tidak [5] semasa dia menjalani hukuman yang lebih awal. Saya juga tidak dapati apa-apa kesilapan dari segi fakta atau undang-undang oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam menjatuhkan hukuman itu. Maka saya menolak rayuan Perayu.

73 visits