LIM SIEW HOCK v. LOW FOONG KIEW & ANOR

LIM SIEW HOCK v. LOW FOONG KIEW & ANOR
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
RAYUAN JENAYAH NO 12-177-1996 & 12-177A-1996
4 FEBRUARY 1999
[1999] 1 LNS 366
TORT
Counsel:
T Tharumarajah (M/s T Tharuma & Associates), D P Rajah (M/s Rajah & Company)

ALASAN PENGHAKIMAN

Kes ini bermula di Mahkamah Sesyen sebagai Kes Sibil No: 53-311-1994. Plaintif adalah isteri kepada Goh Yan Seng, Si Mati, dan menuntut sebagai seorang dependan Si Mati, penunggang motosikal nomber PAX 94. Defendan, Lin Siew Hock, adalah pemandu kenderaan nombor PCM 6341. Defendan telah membawa masuk Chee Yook Meng, wakil diri kepada pusaka Si Mati Goh Yam Seng, sebagai Pihak Ketiga. Ringkasnya Plaintif (isteri Si Mati) menuntut terhadap Defendan mengatakan Defendan cuai dalam kemalangan berkenaar dan Defendan menuntut terhadap Wakil Diri Si Mati (Suami Plaintif) mengatakan Si Matilah yang cuai.
Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan bahawa Defendan dan Si Mati masing-masing bertanggungjawab (liable) sebanyak 50%. Beliau memberi penghakiman 100% kepada Plaintif (terhadap Defendan) dan memerintahkan Defendan membayar jumlah penghakiman kepada Plaintif dan seterusnya memerintahkan Pihak Ketiga (Wakil Diri pusaka Si Mati) membayar kepada Defendan indemniti sebanyak 50% dan kos sebanyak 50%.
Rayuan No. 12-177A-96 adalah rayuan oleh Defendan. Jadi Defendan adalah Perayu, manakala Plaintif adalah Responden dalam rayuan itu. Pihak Ketiga terus dipanggil Pihak Ketiga.
Plaintif (isteri Si Mati) juga merayu. Rayuannya diberi nombor 12-177-1996. Dalam rayuan ini Defendan adalah [3] Responden dan Pihak Ketiga terus disebut sebagai Pihak Ketiga.
Walau pun terdapat dua rayuan, isu dalam kedua-duanya adalah sama. Maka saya akan membincangkan kedua-duanya serentak. Untuk mengelak kekeliruan saya akan terus memanggil mereka Plaintif, Defendan dan Pihak Ketiga.
Saya telah mengesahkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu mengenai liabiliti tetapi memerintahkan Defendan cuma membayar 50% gantirugi kepada Plaintif. Plaintif merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Tidak dipertikaikan bahawa satu kemalangan jalanraya telah berlaku antara motosikal yang ditunggang oleh Si Mati dan van yang dipandu oleh Defendan pada 24 Ogos 1993 lebih kurang pukul 11.30 malam di jalan Chain Ferry, Butterworth. Juga tidak dipertikaikan bahawa waktu itu hujan dan keadaan jalan basah.
Mengenai liabiliti, Plaintif cuma memanggil seorang saksi, pegawai penyiasat kemalangan itu. Sebagai seorang pegawai penyiasat yang tidak melihat bagaimana kemalangan itu berlaku, dia cuma boleh menceritakan apa yang dilihatnya apabila dia pergi ke tempat kejadian, khususnya seperti yang dicatakan dalam rajah kasar yang dilukisnya – P1. Ia menunjukkan, antara lain, van itu berhenti di tepi jalan sebelah kiri menghala ke arah lampu trafik Chain Ferry. [4] Mayat Si Mati terletak di lorong yang sama, ketengal sedikit, lebih kurang lapan belas meter di belakang van itu. Motosikal Si Mati pula terletak di lorong kanan, arah yang sama, lebih kurang sembilan meter di belakang van.
Selepas P1 memberi keterangan, Defendan terus memberi keterangan. Mengikutnya pada masa tersebut, dia memandu van berkenaan ke arah Butterworth dari arah Perai. Motosikal Si Mati datang dari arah bertentangan. Kemalangan berlaku di sebelah jalannya. Sebelum perlanggaran berlaku, dia ternampak motosikal itu terjatuh dan berpusing di hadapannya. Dia kurangkan kelajuannya (“slow”). Katanya “Masa itu masih hujan saya nampak macam orang mari ke depan langgar saya dan saya berhentikan di tepi jalan. Pada masa itu kelajuan motovan saya lebih kurang 60 – 65 kmsj. Saya slow sedikit selepas lihat motosikal jatuh. Motovan melanggar pada penunggang motosikal itu. Saya boleh ingat motovan saya naik ke atas penunggang motosikal itu. Setelah itu saya pergi ke tepi jalan dan berhentikan motovan saya.”
Semasa disoalbalas Defendan, antara lain, berkata: “Sebelum kena saya tengok motosikal itu lebih kurang 60 kaki jauh apabila motosikal itu jatuh. Pada masa itu saya jalan lagi tetapi slow sedikit. Saya tak berhenti. Bila saya tengok dia pusing saya berjalan terus. Bila orang itu kena pada motovan saya, motosikal itu lebih kurang 5 kaki jauh [5] dari saya. Orang itu sudah kena pada saya baru saya tahu kena dia. Saya kena dia baru berhenti, kalau tak kena saya akan terus jalan. Bila kena baru saya pergi ke tepi jalan dan berhenti.”
Defendan juga menekankan bahawa vannya tidak melanggar motosikal. Vannya melanggar Si Mati yang terhumban itu. Vannya telah menggelek badan Si Mati dan dia cuma berhenti 20 meter selepas itu. Dia tahu bahawa itu kawasan pekan yang mempunyai had laju 40 kmsj. (mungkin 50 kmsj.)
Disoal balas Defendan mengatakan bahawa dia cuma nampak motosikal itu apabila motosikal itu jatuh. Disoal mengenai kelajuan vannya dia mengatakan bahawa sebab dia memandu selaju itu ialah kerana “hujan, kereta ada kurang”.
Agak anih juga bahawa dalam kes ini, keterangar mengenai bagaimana kemalangan mengenai kecuaian Defendan datangnya daripada Defendan sendiri. Tetapi, memandangkan bahawa Plaintif ada memplid res ipsa loquitor, bahawa Defendan memilih memberi keterangan seperti itu, dan bahawa kedua-dua belah pihak mengakui bahawa Mahkamah berhak mengambil kira keterangan itu, saya tidak boleh salahkan Hakim Mahkamah Sesyen kerana mengambil kira keterangan Defendan itu untuk memutuskan kecuaian Defendan.
Hakim Mahkamah Sesyen itu memberi alasan-alasan berikut mengapa beliau dapati Defendan cuai. Pertama, kerana [6] kelajuan van Defendan walau pun dalam cuaca hujan dan lewat malam. Kedua, Defendan telah melihat motosikal Plaintif terjatuh dari jarak lebih kurang 60 kaki namun dia tidak langsung mengambil apa-apa tindakan yang berkesan untuk mengelak kemalangan itu. Dia cuma membrek setelah melanggar Si Mati. Hakim Mahkamah Sesyen itu juga mendapati bahawa Si Mati sendiri gagal mengawal motosikalnya yang terjatuh dan masuk ke laluan Defendan. Memang semua keterangan ini datangnya daripada Defendan. Tetapi tiada keterangan lain untuk membolahkan Mahkamah memutuskan sebalikknya. Maka saya berpendapat bahawa keputusan Hakim Mahkamah Sesyen itu tidak boleh dipersalahkan.
Perlu ditekankan bahawa rayuan sekarang ini ialah oleh balu Plaintif yang semestinya mengatakan bahawa hanya Defendan yang cuai, Si Mati tidak. Tetapi, adalah jelas bahawa kemalangan itu bermula dengan terjatuhnya motosikal Si Mati. Tiada keterangan mengapa dia terjatuh. Andaiannya ialah, dalam keadaan hujan, basah dan licin itu dia tidak menunggang dengan cukup cermat menyebabkan motosikalnya tergelincir dan jatuh. Itu kecuaiannya.
Dalam keadaan ini, pembahagian liabiliti 50 – 50 itu adalah munasabah.
Soal seterusnya ialah sama ada penghakiman patut diberi sepenuhnya kepada Plaintif dan Pihak Ketiga diperintahkan [7] membayar balik 50% daripada jumlah penghakiman itu kepada Defendan.
Perlu diingat bahawa Plaintif adalah balu Pihak Ketiga.
Saya berpendapat membuat perintah sedemikian adalah kurang baik. Pertama, Defendan akan terpaksa membayar kesemua amaun terlebih dahulu dan selepas itu baru menuntut balik daripada Plaintif, balu Si Mati. Ini akan memakan masa, menambah kos dan bilangan kes di Mahkamah tanpa sebab yang patut. Kedua, kemungkinan bahawa untuk mendapat balik wang itu daripada balu Si Mati itu adalah sukar. Ini tidak adil kepada Defendan yang cuma cuai 50%. Ketiga, Plaintif membuat tuntutan kerana kecuaian Defendan yang menyebabkan kematian suaminya. Apabila Mahkamah telah mendapati bahawa suaminya juga cuai, mengapa Defendan patut membayar kepada Plaintif untuk bahagian kecuaian suaminya?
Saya gembira melihat masalah ini telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Rubaidah bte Dirim v. Ahmad bin Ariffin (1) Rayuan Sivil No. B-04-111-95. Rasanya memadailah hanya sekadar memetik satu perenggan penghakiman itu:
“We should have through that the words of section 12(4) of our Act are clear enough to indicate that if the deceased was contributorily negligent the dependent plaintiffs in a section 7 action can only recover from any or all the tortfeasors liable such proportion of their damages as can be attributed to the defendant’s share of blame. Since only one action can be brought for a death by section 7(5) of our Act the reduction to a proportionate extent required by section 12(4) must take place in that action. Such reduction is to the damages recoverable by the dependents in that action. [8] The statute does not envisage a situation where the dependents may recover unreduced the total amount of their damages from one or more defendants and leave them to claim contribution in some other action.”
Atas autoriti kes ini, yang mengikat mahkamah ini, adalah jelas dalam kes seperti ini, di mana balu Si Mati menuntut terhadap Defendan dan Mahkamah dapati bahawa keduadua Defendan dan Si Mati masing-masing cuai, penghakiman terhadap Defendan cuma patut diberi mengikut kadar kecuaian Defendan, bukan 100%.
Oleh itu, bagi rayuan No. 12-177-96 (rayuan oleh Plaintif) saya menolak rayuan itu mengenai kadar liabiliti dan memerintahkan bahawa penghakiman cuma diberi terhadap Defendan atas kadar kecuaiannya sahaja, iaitu 50%. Tiada perintah mengenai kos.
Perintah yang serupa juga dibuat bagi rayuan 12-177A-96.
Mengenai kuantum, walau pun kedua-dua rayuan menyebut bahawa rayuan itu adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen itu, malah dalam Notis Rayuan Plaintif (12-177-96) disebut dengan jelas bahawa rayuan adalah terhadap liabiliti dan kuantum, tetapi peguam kedua-dua belah pihak tidak berhujah mengenainya. Maka saya tidak mengganggu keputusan itu dan menolak kedua-dua rayuan mengenai kuantun itu.

57 visits