MALAYSIA BUILDING SOCIETY BHD (9417-K) lwn. DUNIAGA SDN BHD & YANG LAIN

MALAYSIA BUILDING SOCIETY BHD (9417-K) lwn. DUNIAGA SDN BHD & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD H
GUAMAN SIVIL NO: 22-463-97
28 DISEMBER 1998
[2000] 8 CLJ 371

PROSEDUR SIVIL: Rules of the High Court 1980 O. 32 – Penyampaian saman dalam kamar – Samada defendan ketiga telah menyampaikan afidavit jawapannya dalam tempoh masa yang ditetapkan

KONTRAK: Gerenti – Tuntutan di atas gerenti peribadi – Gerenti diberikan berhubung dengan pinjaman perniagaan – Plaintif memohon penghakiman terus – Rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar – Samada defendan ketiga ada kaitan dengan urusniaga di antara defendan pertama dan plaintif

PROSEDUR SIVIL: Pliding – Pengenepian – Penyata tuntutan mengatakan notis tuntutan “dihantar” dan bukan “diserah” – Samada pliding plaintif tidak sempurna dan tiada kausa tindakan

Plaintif telah memberi kemudahan pinjaman berjangka sebanyak RM3.9 juta dan “bridging loan” sebanyak RM4.0 juta kepada defendan pertama. Sebagai jaminan, suatu memorandum gadaian pihak ketiga disempurnakan ke atas beberapa lot tanah dan, defendan kedua, ketiga dan keempat telah menyempurnakan suatu “deed of guarantee dan indemnity” untuk membayar kepada plaintiff apabila dituntut.
Setelah defendan pertama gagal menjelaskan faedah pinjaman tersebut, plaintif telah menghantar notis tuntutan kepada defendan-defendan. Mereka juga gagal menjelaskannya dan plaintif telah memfail saman dalam kamar memohon penghakiman terus. Setelah penghakiman diberi kepada plaintif, defendan-defendan telah membuat rayuan. Defendan ketiga menghujahkan bahawa affidavit-affidavitnya tidak sepatutnya ditolak oleh penolong pendaftar kanan kerana beliau mempunyai budibicara untuk memakainya, dan juga bahawa beliau tidak menandatangi “Deed of Guarantee and Indemnity” tersebut. Defendan kedua dan keempat menghujah pliding plaintiff cacat kerana mengatakan bahawa notis tuntutan itu “dihantar” dan bukan “diserah”.
Diputuskan:
[1] Defendan ketiga tidak memfailkan affidavit-affidavit tersebut dalam masa 14 hari seperti yang dikehendaki oleh Rules of the High Court 1980 O. 32 (KMT 1980) dan beliau juga tidak membuat permohonan untuk perlanjutan masa difail. Mahkamah tidak mempunyai budibicara untuk memakai affidavit tersebut jika ia tidak mematuhi aturan tersebut.
[2] Penghujahan defendan ketiga bahawa dia tidak ada kena-mengena dengan urusniaga di antara defendan pertama dengan plaintif adalah penafian kosong kerana peguam yang memfail affidavit-affidavit mengesahkan bahawa “Deed of Guarantee and Indemnity” telah ditandatangani oleh defendan ketiga di hadapan beliau sendiri.
[3] Klausa 3.23 “Deed of Guarantee and Indemnity” itu menyebut berbagai cara notis itu boleh diberi kepada defendan-defendan. Oleh itu, pliding plaintif yang mengatakan bahawa notis tuntutan itu “dihantar” dan bukan “diserah” tidak mengandungi kecacatan dan boleh diterima.
Dilaporkan oleh Suresh Nathan

Case(s) referred to:
Perbadanan Nasional Insurans Sdn Bhd v. Pua Lai Ong [1996] 3 CLJ 321 (dirujuk)

Legislation referred to:
, Rules of the High Court 1980 O. 14, O. 32 r. 13(2)(b), O. 92 r. 4
Counsel:
Bagi pihak plaintif – Teoh Soo Bee; T/n K Ahmad & Yong
Bagi pihak defendan pertama, kedua & keempat – Tan Hui Chan; T/n HC Tan & Zahani
Bagi pihak defendan ketiga – Shahnaz Zuriati; T/n Chew Sien Chee & Co

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad H:
Plaintif telah memberi kemudahan pinjaman berjangka (term loan) sebanyak RM3.9 juta dan “Bridging Loan” sebanyak RM4.0 juta kepada defendan pertama.
Sebagai jaminan kepada pinjaman tersebut Perbadanan Pembangunan Bandar telah menyempurnakan suatu memorandum gadaian pihak ketiga ke atas beberapa lot tanah.
Sebagai jaminan selanjutnya, defendan kedua, ketiga dan keempat telah menyempurnakan suatu “Deed of Guarantee and Indemnity” bertarikh 8 Februari 1996. Mengikut perjanjian itu mereka secara bersama dan berasingan memberi jaminan bahawa mereka akan membayar kepada plaintif apabila dituntut.
Pinjaman-pinjaman itu telah dikeluarkan. Walaupun beberapa peringatan diberi oleh plaintif, defendan pertama gagal menjelaskan faedah pinjaman tersebut.
Melalui peguamcaranya plaintif telah menghantar notis tuntutan kepada defendan-defendan. Mereka gagal menjelaskannya. Maka tindakan ini dimulakan.
Kesemua defendan memasuki pembelaan.
Plaintif memfail saman dalam kamar memohon penghakiman terus. Penolong kanan pendaftar memberi penghakiman terus kepada plaintif terhadap defendan ketiga pada 21 September 1998. Beliau merayu kepada hakim dalam kamar Lampiran 17. Penghakiman juga diberi kepada plaintif terhadap defendan-defendan pertama, kedua dan keempat pada 20 Jun 1998. Rayuan mereka adalah Lampiran 18.
Saya menolak rayuan-rayuan mereka itu.
Lampiran 17
Lampiran 17 adalah rayuan oleh defendan ketiga. Hujah pertamanya ialah mengenai keengganan Penolong Kanan Pendaftar memakai affidavit defendan ketiga di Lampiran 9 dan 14. Lampiran 9 adalah affidavit jawapan defendan ketiga bagi menjawab affidavit plaintif (affidavit menyokong saman dalam kamar) yang disampaikan kepada defendan ketiga pada 25 Jun 1998. Defendan ketiga memfail affidavit jawapannya itu pada 29 Julai 1998, iaitu lebih dari satu bulan. Lampiran 14 adalah affidavit jawapan kedua defendan ketiga dan difail pada 4 September 1998. Ia adalah bagi menjawab affidavit balasan kepada affidavit jawapan defendan ketiga (Lampiran 11) yang difail pada 11 Ogos 1998 dan disampaikan kepada defendan ketiga pada 12 Ogos 1998. Affidavit defendan ketiga itu difailkan pada 4 September 1998 ertinya 24 hari kemudian. Ertinya affidavit-affidavit itu tidak difail dalam masa 14 hari seperti yang dikehendaki oleh Rules of the High Court 1980 O. 14(KMT 1980). Tiada permohonan untuk perlanjutan masa difail. Peguam plaintif membantah pemakaian affidavit-affidavit itu. Penolong Kanan Pendaftar bersetuju dengannya dan menolak affidavit-affidavit itu.
Peguam defendan ketiga menghujahkan bahawa penolong kanan pendaftar tidak sepatutnya menolak affidavit-affidavit itu kerana beliau mempunyai budibicara untuk memakainya. Peguam defendan ketiga merujuk kepada A. 92 k. 4 KMT 1980, iaitu kuasa sedia ada mahkamah.
Mengenai pemakaian affidavit-affidavit itu, undang-undang berkenaan dengannya telah dijelaskan dan kes Perbadanan Nasional Insurans Sdn Bhd v. Pua Lai Ong [1996] 3 CLJ 321 Ringkasnya, peruntukan A. 32 k. 13(2)(b) terpakai kepada permohonan di bawah A. 14. Mahkamah tidak mempunyai budibicara untuk memakainya jika ia tidak mematuhi A. 32 k. 13(2)(b). Namun demikian pihak yang hendak memakai affidavit seperti itu boleh memohon perlanjutan masa untuk memfail affidavit itu.
Dalam kes ini memang terdapat kelewatan, dan tidak ada permohonan untuk melanjutkan masa. Oleh itu Penolong Kanan Pendaftar tidaklah silap apabila beliau menolaknya.
Hujah peguam defendan ketiga bahawa terdapat persoalan untuk dibicarakan ialah kerana defendan ketiga mengatakan bahawa dia tidak ada kena mengena dengan urusniaga di antara defendan pertama dengan plaintif dan dia tidak menandatangani “Deed of Guarantee and Indemnity” itu. Ini disebut dalam pembelaannya, yang difail sebelum saman dalam kamar ini, dan patut diambil kira dalam memutuskan sama ada terdapat persoalan yang patut dibicarakan. Jadi, walau pun saya tidak mengambil kira affidavit defendan ketiga, saya mengambil kira pernyataan pembelaannya, yang menjadi asas pembelaannya. Dari segi itu defendan ketiga tidaklah diprejudiskan.
Penafian defendan ketiga adalah penafian kosong (“bare denial”). Tidak ada nyataan frod oleh sesiapa. Tidak ada tuduhan pemalsuan tandatangan oleh sesiapa. Defendan ketiga juga bukanlah orang asing langsung dengan syarikat itu (defendan pertama). Dia adalah salah seorang pengarahnya. Deed of Guarantee and Indemnity ditandatanganinya di hadapan peguam yang memfail affidavit mengesahkan bahawa beliau sendiri pergi ke pejabat defendan ketiga dan mendapatkan tandatangannya.
Dari affidavit-affidavit, termasuk jika Lampiran 9 dan 14 diambil kira sekalipun, adalah jelas bahawa ini adalah kes biasa di mana syarikat mengambil pinjaman, pengarah-pengarahnya menjadi penjamin. Selagi pemiutang tidak menuntut hutang itu dibayar kembali, semuanya teratur. Apabila hutang dituntut kembali, masing-masing cuba menjauhkan diri dari syarikat itu dan menafi terlibat dalam urusannya. Saya dapati “pembelaan” defendan ketiga itu tidak membangkitkan apa-apa persoalan yang memerlukan kes ini dibicarakan. Maka saya menolak rayuan defendan ketiga dengan kos.
Lampiran 18
Semasa menghujahkan lampiran ini, peguam defendan-defendan pertama, kedua dan keempat cuma memberi tumpuan kepada defendan kedua dan keempat sahaja. Ertiya yang lebih penting ialah bagi defendan kedua dan keempat menyelamatkan diri mereka.
Hujah peguam defendan kedua dan keempat bagi menunjukkan bahawa terdapat persoalan yang patut dibicarakan dikemukakan begini. Dalam perenggan 10 penyataan tuntutan plaintif mengatakan bahawa notis tuntutan “dihantar”. Sepatutnya perkataan “diserahkan” digunakan. Oleh sebab itu tuntutan tidak dibuat dan plaintif tiada kausa tindakan.
Perlu diambil perhatian bahawa dalam hal ini, dalam affidavit jawapan defendan pertama, kedua dan keempat (Lampiran 8) persoalan ini tidak dibangkitkan. Apa yang dikatakan hanyalah secara umum bahawa mereka tidak menerima notis tuntutan. Hujah yang dikemukakan sekarang bukanlah mereka tidak menerima notis tuntutan, tetapi pliding plaintif itu cacat kerana menggunakan perkataan “menghantar” dan bukan menyerah.
Biar apa pun, hujah itu tidak berasas. Bukan perkataan apa yang dipakai itu yang penting. Yang lebih penting ialah notis tuntutan itu diberi. Klausa 3.23 Deed of Guarantee and Indemnity itu menyebut berbagai cara notis itu boleh diberi (“given”) termasuk menghantar/mengirim (send) melalui pos berdaftar dan dengan cara itu ianya disifatkan sebagai telah disampaikan (“served”). Dalam keadaan ini tidak ada cacatnya menggunakan perkataan “menghantar”.
Kesimpulannya saya dapati bahawa tidak ada apa-apa persoalan atau apa-apa sebab yang mematutkan kes ini dibicarakan. Tuntutan plaintif jelas dan teratur. Penghakiman terus yang diberi oleh penolong kanan pendaftar itu betul dan saya menolak rayuan ini dengan kos.

105 visits