ARAB MALAYSIAN FINANCE BERHAD v. JANTSCO SDN BHD & ORS

ARAB MALAYSIAN FINANCE BERHAD v. JANTSCO SDN BHD & ORS
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO 22-162-1997
24 DECEMBER 1998
[1998] 1 LNS 409
CIVIL PROCEDURE
Counsel:
Khatija Mohd Idris (M/s Paul Chong & Kraal), Yuslinov bt Ahmad (M/s Lim, Lim & Onn), Darshan Singh (M/s Darshan Singh & Co), Suresh (M/s Fernanzez & Selvarajah)

ALASAN PENGHAKIMAN
[Lampiran 40]
Plaintif adalah sebuah syarikat kewangan. Melalui satu Perjanjian Sewabeli bertarikh 6 April 1993, Defendan Pertama (sebuah syarikat) telah menyewa satu unit kelengkapan dengan harga RM777,800.04 dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM66,207.49 dan bakinya dengan 33 ansuran bulanan sebanyak RM19,656.00 dan ansuran terakhir sebanyak RM19,632.55. Ansuran perlu dibayar mulai Mei 1993.
Defendan-Defendan Kedua hingga Kelima, melalui suatu Perjanjian Tanggungrugi (Indemnity Agreement) bertarikh 6 [2] April 1993, mengakujanji secara bersama dan berasingan pembayaran jumlah wang yang kena dibayar oleh Defendan Pertama kepada Plaintif dan pematuhan semua syarat-syarat Perjanjian Sewabeli itu.
Atas permintaan Defendan Pertama, pada 30 Ogos 1994, Plaintif dan Defendan Pertama, melalui Perjanjian Ubahan, bersetuju mengubah dan melanjutkan pembayaran ansuran-ansuran kepada 48 bulan mulai 30 September 1994. Ansuran baru itu adalah sebanyak RM17,937.10 sebulan.
Semenjak bulan Mac 1996 Defendan Pertama gagal membayar ansuran bulanan itu.
Melalui surat-surat bertarikh 15 April 1997 yang dialamatkan kepada kelima-lima Defendan, Plaintif menuntut bayaran sebanyak RM569,025.28 seperti pada 31 Mac 1997. Plaintif juga menamatkan perjanjian-perjanjian itu.
Defendan-Defendan telah gagal membayar jumlah itu. Defendan Pertama juga telah memungkiri Perjanjian Sewabeli tersebut kerana tidak meletakkan kelengkapan itu di alamat yang disebut dalam Perjanjian Sewabeli itu dan dengan itu menghalang atau mengelak pengambilan balik oleh Plaintif.
Maka Plaintif menuntut jumlah itu, faedah dan kos.
Permohonan Plaintif untuk mendapat penghakiman terus terhadap Defendan-Defendan ditolak oleh Penolong Kanan Pendaftar. Plaintif merayu kepada Hakim dalam Kamar. Saya [3] meluluskannya. Defendan-Defendan Kedua dan Keempat merayu ke Mahkamah Rayuan.
Pada tarikh pendengaran rayuan itu peguam Defendan Kedua tidak hadir. Tidaklah diketahui apa hujahnya. Peguam Defendan Ketiga dan Kelima cuma menyebut bagi pihaknya. Tetapi Defendan Ketiga dan Kelima sendiri tidak merayu sekarang. Pada tarikh itu juga, Defendan Kedua diwakili oleh Cik Yuslinov yang juga mewakili Defendan Pertama (syarikat). Defendan Pertama juga tidak merayu terhadap keputusan itu. Tetapi Defendan Kedua telah menukar peguam kepada Encik Darshan Singh dan merayu bersama-sama Defendan Keempat.
Jadi, apakah hujah Encik Darshan Singh dalam rayuan kepada Hakim dalam Kamar itu? Saya tidak tahu.
Maka, saya cuma akan menyebut mengapa saya dapati bahawa ini suatu kes yang mana penghakiman terus patut diberi.
Tuntutan Plaintif terhadap Defendan Kedua dan Keempat adalah atas kedudukan mereka sebagai penjamin jumlah wang yang tidak dibayar oleh Defendan Pertama (syarikat). Perjanjian Jaminan (Guarantee Agreement) dan Perjanjian Sewabeli itu dikemukakan. Defendan Kedua dan Keempat masing-masing menandatangani sebagai “Guarantor” (penjamin). Mereka adalah Pengarah Syarikat Defendan Pertama. Defendan Pertama gagal menjelaskan ansuran yang dipersetujui. Notis tuntutan diberi kepada Defendan Pertama. [4]
Notis Tuntutan berasingan diberi kepada semua Penjamin (termasuk Defendan Kedua dan Keempat). Mereka juga tidak membayarnya. Maka melainkan jika Defendan Kedua dan Keempat berjaya menunjukkan bahawa terdapat persoalan atau apa-apa sebab lain yang mematutkan kes ini dibicarakan, penghakiman terus sepatutnya diberi.
Dalam Pernyataan Pembelaan dan affidavit Defendan Kedua yang difail pada 9 Disember 1997 (hampir lima bulan selepas permohonan untuk penghakiman terus difail) Defendan Kedua mengatakan bahawa Plaintif telah mengambil balik kelengkapan tersebut pada 19 November 1997. Sebab itu Plaintif tidak mempunyai asas untuk membuat tuntutan ini, katanya.
Jika dibandingkan “Repossession Order” yang dikemukakan oleh Defendan Kedua (Ekshibit “A” Lampiran 29) dengan Perjanjian Sewabeli dan Perjanjian Jaminan dalam kes ini (Ekshibit LCT-1 dan LCT-2, Lampiran 8), adalah jelas bahawa “Repossession Order” itu mengenai perjanjian lain. Nombor perjanjiannya berlainan. Di Mahkamah pun hendak menipu juga?
Lagi pula, kalau kelengkapan itu diambil balik sekali pun, ia tidak menghalang Plaintif menuntut di atas Perjanjian Jaminan asalkan masih ada hutang tertunggak. Perjanjian Jaminan itu dengan jelas menyebut bahawa tanggungan Defendan-Defendan sebagai Penjamin adalah secara persendirian dan bersama, bahawa mereka mengaku bahawa mereka [5] disifatkan sebagai penghutang utama (Klausa 4).
Tidak ada apa-apa pernyataan lain dalam Affidavit Defendan Kedua yang mematutkan perbincangan.
Defendan keempat dalam affidavitnya menyatakan bahawa tiada balasan kepada perjanjian itu kerana perjanjian itu tidak ada kena mengena dengan wang yang dibayar sebelum perjanjian ditanda tangani. Tidak pula disebut untuk apa wang itu dibayar. Adakah Defendan (atau Defendan-Defendan) memberi percuma kepada Plaintif?
Banyak “alasan” lain disebut dalam affidavit Defendan Keempat. Kesemuanya remeh, tak bermerit, dan tidak disokong langsung oleh apa-apa keterangan. Defendan-Defendan sebagai pengarah Syarikat Defendan Pertama, cuma mencari helah untuk melepaskan diri daripada membayar hutang Defendan Pertama/mereka.
Oleh sebab mereka tidak berjaya menimbulkan persoalan yang perlu dibicarakan, maka saya meluluskan rayuan Plaintif dan memberi penghakiman terus kepada Plaintif seperti dipohon dan kos.

67 visits