MOHD SHAIPUL NIZAM AHMAD lwn. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & ORS

MOHD SHAIPUL NIZAM AHMAD lwn. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & ORS
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD H
PERMOHONAN JENAYAH NO: 44-1-98
15 MEI 1998
[1998] 2 CLJ 875
UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Remedi – Perintah penempatan – Perintah penempatan oleh majistret – Penahanan di pusat serenti – Seksyen 6 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 – Membebaskan tahanan – Remedi yang betul – Samada melalui habeas corpus – Samada melalui certiorari

Pemohon telah ditahan di Pusat Serenti Batu Kurau, Perak, atas perintah majistret mengikut s. 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk selama dua tahun. Tidak berpuas hati dengan tahanannya itu, pemohon memohon supaya mahkamah mengeluarkan writ habeas corpus bagi pembebasannya. Di hadapan yang arif hakim, peguam persekutuan, bagi pihak responden, membangkitkan bantahan awal bahawa permohonan pemohon harus ditolak oleh kerana habeas corpus bukanlah remedi yang tepat bagi perintah tahanan di sini. Dihujahkan selanjutnya bahawa pemohon, sebaliknya, harus memohon melalui writ certiorari dan bukannya habeas corpus.
Diputuskan:
[1] Dalam kes ini, penahanan dibuat atas perintah majistret yang menjalankan tugas kehakiman. Perintah majistret itu lebih merupakan satu waran pemenjaraan, dan sepertimana halnya, habeas corpus bukanlah proses yang sesuai ‘to test the validity of a warrant of commitment’.
[1a] Walaupun perintah tahanan di sini bukannya seratus peratus satu waran pemenjaraan, yang pentingnya ialah, sepertimana waran pemenjaraan, ia adalah hasil satu proses kehakiman, oleh seorang majistret, di mahkamah, yang menjalankan tugas kehakiman. Ia berbeza daripada perintah yang dibuat oleh seorang Menteri umpamanya, yang merupakan seorang eksekutif dan menjalankan tugas eksekutif. Dengan hal yang demikian, sepertimana yang diputuskan oleh Azhar Ma’ah PK dalam kes CLJ_1998_2_451diikutiAhmad Bashid Abdul Malik & Yang Lain v. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia & Yang Lain [1998] CLJ JT(7); [1998] 2 CLJ 451 , remedi yang sesuai ialah certiorari untuk memansuhkan perintah majistret berkenaan dan bukannya habeas corpus.
[2] Penamaan komandan pusat serenti, dalam permohonan habeas corpus, tidak boleh dikatakan tidak betul. Namun begitu, adalah tidak tepat untuk menamakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai defendan. Sebabnya ialah, dalam kes ini, perintah tahanan itu bukan dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri seperti perintah di bawah s. 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 atau di bawah s. 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969.
[Bantahan awal dibenarkan.]

Case(s) referred to:
Ahmad Bashid Abdul Malik & Yang Lain v. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia & Yang Lain [1998] CLJ JT(7); [1998] 2 CLJ 451 (diikuti)
Ang Gin Lee V. Public Prosecutor [1991] 1 CLJ 13
Gurdit Singh (petitioner) [1930] 1 LNS 6 [1933] MLJ 224 (disebut)
Re Francis Robert Newton 16 CB 97 (disebut)
Re Makhanlall & Co Ltd [1968] 1 LNS 125 [1969] 1 MLJ 36 (disebut)
Re Richardison Dunn SCB 251 (disebut)

Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, s. 6(1)
Drug Dependants (Treatment and Rehabilitation) Act 1983, s. 6(1)(a)
Emergency (Public Order and Prevention of Crime) Ordinance 1969, s. 4(1)
Federal Constitution, art. 5(2)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Anthonysamy; T/n Aziz, Anthony & Co
Bagi pihak responden – Zaliha Mohd Janie FCDilaporkan oleh WA Sharif

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamad H:
Melalui notis usul, pemohon memohon dikeluarkan writ habeas corpus supaya dia dapat dibebaskan dari tahanan di Pusat Serenti Batu Kurau, Perak. Dia ditahan atas perintah majistret, Butterworth bertarikh 20 November 1997 mengikut s. 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk selama dua tahun.
Pada hari pendengaran permohonan ini Peguam Persekutuan yang mewakili responden-responden membangkitkan bantahan awal bahawa pemohon tidak sepatutnya memohon writ habeas corpus, tetapi sebaliknya, patut memohon perintah certiorari.
Sebelum memberi keputusan saya, saya telah berpeluang membaca penghakiman Dato’ Azhar Ma’ah, PK, mengenai persoalan yang sama dalam kes Ahmad Bashid Abdul Malik & Yang Lain v. Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia & Yang Lain [1998] CLJ JT(7); [1998] 2 CLJ 451 (diikuti)
Saya bersetuju sepenuhnya dengan keputusan dan alasan-alasan beliau, dan tidak berhajat mengulanginya.
Cuma saya ingin menekankan beberapa perkara.
Dalam kes di hadapan saya ini responden-responden yang dinamakan ialah (1) Menteri Dalam Negeri, Malaysia dan (2) Komandan Pusat Serenti, Batu Kurau, Perak. Memanglah pemohon ditahan di Pusat Serenti. Oleh itu penamaan Komandan Pusat Serenti itu, dalam permohonan habeas corpus, tidak boleh dikatakan tidak betul. Kerana, jika penahanan itu menyalahi undang-undang, dan jika mahkamah mengeluarkan writ habeas corpus, writ itu akan ditujukan kepada komandan itu untuk membebaskan pemohon.
Tetapi, saya berpendapat bahawa adalah tidak tepat menamakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia. Sebabnya ialah, dalam kes ini perintah tahanan itu bukan dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri seperti perintah tahanan di bawah s. 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 atau dibawah s. 4(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. Perintah ini dibuat oleh majistret. Oleh itu saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia patut dinamakan.
Kembali kepada persoalan asas, sama ada permohonan yang sepatutnya dibuat ialah permohonan habeas corpus atau certiorari. Perkara 5(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
Where complaints is made to a High Court or any judge thereof that a person is being unlawfully detained the court shall enquire into the complaint and, unless satisfied that the detention is lawful, shall order him to be produced before the court and release him. (tekanan ditambah).
Jika tahanan itu dibuat atas perintah Menteri Dalam Negeri seperti tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 atau di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, memanglah permohonan writ habeas corpus bersesuaian untuk mahkamah meneliti sama ada permohonan itu mengikut undang-undang atau tidak. Tetapi, dalam kes ini tahanan itu dibuat atas perintah majistret yang menjalankan tugas kehakiman. Perintah majistret itu adalah lebih menyerupai waran pemenjaraan yang dikeluarkan oleh seorang majistret selepas sesuatu perbicaraan jenayah. Waran itu memberi kuasa kepada dan mengarahkan Pengarah Penjara untuk menahan persalah itu bagi menjalani hukuman yang dijatuhkan terhadapnya. Saya akui bahawa bandingan ini bukanlah seratus peratus tepat kerana proses yang berakhir dengan pengeluaran perintah atau waran berkenaan adalah berbeza. Juga tujuan penahanan itu berbeza: satu untuk rawatan dan pemulihan manakala satu lagi untuk menjalani hukuman. Tetapi, apa yang lebih penting, pada pandangan saya ialah bahawa dalam kedua-dua perkara itu, ia adalah hasil satu proses kehakiman, oleh seorang majistret, di mahkamah, yang menjalankan tugas kehakiman. Ia berbeza daripada perintah yang dibuat oleh seorang menteri, seorang eksekutif dalam menjalankan tugas eksekutif.
Habeas corpus bukanlah satu proses yang sesuai “to test the validity of the warrant of commitment”. Kes-kes Gurdit Singh (petitioner) [1930] 1 LNS 6[1933] MLJ 224, Re Richardison Dunn SCB 251, Re Francis Robert Newton 16 CB 97 yang dirujuk oleh Azhar Ma’ah PK dalam Ahmad Bashid nampaknya menyokong pandangan ini.
Komandan Pusat Serenti menahan pemohon atas kuasa yang diberi dan mengikut arahan perintah yang dibuat oleh majistret itu bagi tempoh yang ditetapkan dalam perintah itu. Kedudukan ini serupa dengan kedudukan Pengarah Penjara yang menahan seorang banduan mengikut satu waran penahanan yang dibuat oleh seorang majistret, juga bagi tempoh yang ditetapkan. Perintah penahanan atau waran penahanan itu sah dan berkuasa bagi tempoh itu, melainkan jika ia dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi. Sehingga perintah itu dibatalkan atau sehingga tempoh itu tamat, mana yang lebih awal, penahanan mengikutnya adalah sah. Jika, misalnya tempoh itu telah tamat, tetapi Komandan Pusat Serenti atau Pengarah Penjara masih menahannya, maka writ habeas corpus adalah satu remedi yang sesuai.
Biasanya ada peruntukan untuk merayu terhadap sesuatu perintah, keputusan atau penghakiman seorang majistret. Perintah majistret dalam hal ini tidak boleh dirayu atau dikaji semula. Ini telah diputuskan dalam kes Ang Gin Lee V. Public Prosecutor [1991] 1 CLJ 13.
Dalam keadaan ini remedi yang bersesuaian ialah certiorari untuk memansuhkan perintah itu. Kes Re Makhanlall & Co Ltd [1968] 1 LNS 125[1969] 1 MLJ 36, yang dirujuk oleh Azhar Ma’ah, PK, menunjukkan bahawa certiorari terpakai bagi membatalkan perintah yang dibuat oleh seorang majistret di bawah Local Government Integration Ordinance 1963, yang dalam kes itu melampaui bidangkuasanya.
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa habeas corpus bukanlah satu remedi yang betul bagi kes ini. Maka saya membenarkan bantahan awal itu dan menolak permohonan ini tanpa menimbang meritnya.

215 visits