RAJA GUPPAL RAMASAMY lwn. SAGARAN PAKIAM

RAJA GUPPAL RAMASAMY lwn. SAGARAN PAKIAM
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD H
RAYUAN SIVIL NO: 12-45-97
13 JANUARI 1998
[1998] 5 CLJ 656
KETERANGAN: Keterangan dokumentar – Ikatan dokumen dipersetujui – Laporan kemalangan yang dibuat sebulan selepas kemalangan termasuk di dalamnya – Samada laporan kemalangan adalah maklumat pertama – Samada boleh diterima masuk

GANTIRUGI: Kecederaan peribadi – Kecacatan kekal – Tuntutan gantirugi – Plaintiff dalam keadaan ‘permanent vegetative’ – Samada award memadai – Kehilangan pendapatan masa depan – Penjumlahan – Tahun belian – Samada dikira dengan betulnya – Perbelanjaan hidup plaintiff – Samada tolakan yang betul dibuat – Akta Undang-Undang Sivil 1956, ss. 7,28A(d)(ii)

PERKATAAN & ISTILAH: “perbelanjaan hidup” – Akta Undang-Undang Sivil 1956, s. 7

Responden dalam rayuan ini (‘plaintif’) bekerja sebagai juruteknik dengan gaji pokok sebanyak RM1,100 sebulan. Pada tahun 1995, ketika berumur 32 tahun, plaintif terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di mana motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh bas yang dipandu perayu (‘defendan’). Plaintif menjadi tidak waras dan berada dalam keadaan ‘permanent vegetative’ akibat kemalangan tersebut, dan berikutnya membuat tuntutan gantirugi terhadap defendan melalui sahabat wakilnya.
Hakim Mahkamah Sesyen yang bijaksana, setelah meneliti laporan polis yang dibuat oleh defendan sebulan selepas kemalangan berlaku (‘P19′), kerosakankerosakan pada bas dan motosikal, dan fakta bahawa defendan memilih untuk tidak memberi keterangan, merumuskan bahawa defendan telah melanggar plaintiff dari arah belakang plaintif, dan dengan itu memutuskan bahawa defendan adalah bertanggung-jawab 100% dalam kemalangan tersebut. Berikutnya, hakim yang bijaksana memberi penghakiman dan award berikut kepada plaintif: (i) RM180,000 bagi kecederaan di kepala, RM13,000 bagi kecederaan di dada dan RM7,500 untuk kecederaan di perut, membuat jumlah keseluruhan untuk kesakitan dan kesengsaraan adalah RM200,500 (ii) RM15,500 bagi kehilangan pendapatan sebelum perbicaraan dan RM122,500 bagi pendapatan selepas perbicaraan, dengan menggunakan jumlah tahun belian 11 tahun 6 bulan dan menolak RM100 sebulan pendapatan plaintif untuk perbelanjaan hidup.
Defendan dan plaintif masing-masing membuat rayuan dan rayuan silang, dan persoalan-persoalan berikut telah berbangkit untuk pemutusan Mahkamah Tinggi: (i) samada P19 bukan satu maklumat pertama dan dengan itu tidak boleh diterima sebagai keterangan (ii) samada hakim di bawah telah melakukan kekhilafan fakta/undang-undang dalam penghakimannya (iii) samada award yang diberikan terlalu tinggi (iv) samada mahkamah di bawah gagal membuat penolakan sepatutnya tentang perbelanjaan hidup plaintif, dan telah melakukan kesilapan bila memberi award kehilangan pendapatan masa depan plaintif (v) samada pendarab 11 tahun 6 bulan yang digunakan mahkamah di bawah patut dikurangkan disebabkan keterangan Konsultan Neurosurgeon bahawa “205 the vegetative state in adults reduces the average life expectancy to approximately two to five years 205”.
Diputuskan:
[1] Peruntukan Kanun Acara Jenayah tidak terpakai dalam tindakan sivil kerana untuk perbicaraan kes-kes sivil ada Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Oleh itu, hujah bahawa P19 tidak boleh diterima kerana ia bukan satu maklumat pertama adalah tidak bermerit, apatah lagi bila P19 sudah menjadi sebahagian dari Ikatan Dokumen Dipersetujui.
[2] Hakim Mahkamah Sesyen tidak bersandar semata-mata kepada kandungan P19 bila memutuskan liabiliti defendan. Beliau telah menimbang fakta-fakta lain seperti kerosakan kepada motosikal dan bas dan rajah kasar dan memberi alasan-alasan mengapa beliau mencapai keputusan itu. Mahkamah ini bersetuju dengan keputusannya itu dan menolak rayuan defendan mengenai liabiliti.
[3] Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan apa-apa kesilapan di segi prinsip atau fakta dan tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa beliau telah membuat satu anggapan yang langsung tidak betul. Dengan itu, walaupun awardnya mungkin agak tinggi, ia bukanlah sesuatu yang mematutkan Mahkamah ini untuk campur tangan.
[3a] Harus disedari bahawa jika sekalipun plaintif tidak sedar akan kesakitannya, award untuk “loss of amenities” masih perlu diberi. Pertimbangan juga harus diberi kepada hakikat bahawa plaintif di sini tidak boleh digulungkan dalam “unconscious cases” tetapi patut digulungkan dalam “vegetative cases”.
[4] Patut ada perbezaan antara kehilangan pendapatan orang yang masih hidup tetapi tidak dapat bekerja dengan kehilangan sumbangan (loss of support) yang diberi oleh seseorang itu kepada ahli keluarganya semasa hidupnya tetapi tidak dapat diberi selepas kematiannya. Walau apapun, mahkamah ini adalah terikat dengan penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Chang Chong Foo v. Sivanathan yang memutuskan bahawa untuk pengiraan pendapatan masa hadapan bukan kesemua pendapatannya diambil kira, dan bahawa mahkamah mestilah menolak apa-apa pengurangan daripada jumlah pendapatan itu yang dibuktikan atau diakui sebagai perbelanjaan hidup plaintif pada masa kemalangannya.
[5] Dalam kes semasa, kedua-dua plaintif dan defendan tidak memberi keterangan. Oleh yang demikian, adalah sukar bagi defendan untuk membuktikan berapa plaintif berbelanja untuk petrol dan pemeliharaan motosikalnya, atau untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain seperti yang disebut dalam kesChan Chong Foo, walaupun untuk mengatakan tidak ada langsung adalah tidak munasabah. Mengambilkira hakikat ini, hakim di bawah tidak boleh dipersalahkan kerana membuat tolakan mengikut anggarannya, walaupn jumlah tolakan RM100 itu agak terlalu rendah. Award Hakim Mahkamah Sesyen yang berdasarkan RM1,000 sebulan itu juga tidak perlu diganggu kerana kesan akhirnya ialah jumlah itu adalah berpatutan dan adil dalam keadaan kes ini.
[6] Mahkamah tidak mempunyai budibicara untuk menolak jumlah wang gaji yang masih dibayar oleh majikan plaintif selepas kemalangan dari keseluruhan award kehilangan pendapatan masa depan kerana (i) bayaran tersebut bukan satu hak kepada semua pekerja (ii) bayaran tersebut dibuat atas dasar simpati; dan (iii) majikan tidak meminta balik wang tersebut dan memulangkan kepada budibicara plaintif untuk berbuat demikian.
[7] Tiada merit dalam hujah bahawa pendarab 11 tahun enam bulan yang digunakan oleh mahkamah di bawah patut dikurangkan. Pengiraan pendarab adalah diperuntukan dengan jelas oleh undang-undang. Juga, pampasan kehilangan pendapatan masa depan adalah diberi atas asas jika kemalangan itu tidak berlaku dan plaintif masih boleh terus bekerja dan menerima pendapatan. Adalah salah untuk mengurangkan pendarab atas asas oleh sebab kemalangan itu plaintif tidak mungkin boleh hidup lebih lama dengan jika kemalangan itu tidak berlaku.
[Rayuan ditolak.]

Kes yang dirujuk:
Chan Chin Meng & Anor v. Lim Yok Eng [1994] 3 CLJ 687 (dibezakan)
Chang Cheong Foo v. Sivanathan [1992] 4 CLJ 1939 (dirujuk)
Dories v. Powell Duffryn Associates Collieries Ltd [1942] AC 601 (dirujuk)
Jaafar Shaari & Anor v. Tan Lip Eng & Anor [1992] 1 CLJ 1600 (dirujuk)
Lim Poh Choo v. Camden and Islington Area Health Authority [1980] AC 174 (diikuti)
Liong Thoo V. Sawiyah & Ors. [1981] 1 LNS 27
M A Clyde V. Wong Ah Mei & Anor. [1970] 1 LNS 73
Mohamed Kailan v. Goh Seng Shoon & Anor [1976] 2 MLJ 239 (dirujuk)
Nance v. British Columbia Electric Railway [1951] AC 601(dirujuk)
Noor Haryati Saad v. Said Ismail [1991] 2 CLJ 1564 (dirujuk)
Tey Chan & Anor v. South East Asia Insurance Bhd [1993] 3 MLJ 760 (dirujuk)
Toon Chee Meng Eddie v. Yeap Chin Hon [1993] MMD 28 (dirujuk)
Yang Salbiah & Anor v. Jamil Harun [1981] 1 MLJ 292 (diikuti)
Other source(s) referred to:
Civil Law Act 1956, ss. 7(3)(iv)(d),
28A(2)(d)(i), (ii)

Counsel:
Bagi pihak perayu – Sunita Sandhu; T/n Ajmer Sandhu & Ong
Bagi pihak defendan – Brijnandan Singh Bhar; T/n Brijnandan Singh Bhar & CoDilaporkan oleh Rusnah Abd Aziz

JUDGMENT
Abdul Hamid Mohammad H:
Kes ini berbangkit daripada satu kemalangan jalan raya. Hakim Mahkamah Sesyen mendapati perayu/defendan (selepas ini disebut sebagai “defendant”) bertanggung-jawab 100% dalam kemalangan itu dan memberi penghakiman kepada responden/plaintif (selepas ini disebut sebagai “plaintif”). Defendan merayu ke mahkamah ini. Plaintif juga membuat rayuan silang. Saya telah menolak kedua-dua rayuan dan rayuan silang itu.
Mengikut penyataan tuntutan plaintif, pada 19 November 1995 kira-kira jam pukul 12.05 pagi, plaintif sedang menunggang motorsikalnya bernombor PCR 8079 di Jalan Jelutong menuju ke arah Bayan Lepas apabila dia dilanggar oleh sebuah bas bernombor PR 3863 yang dipandu oleh defendan dari arah yang sama. Defendan dalam pembelaannya mengaku terlibat dalam kemalangan itu tetapi menafikan liabiliti. Tidak ada saksi yang dapat memberi keterangan bagi pihak plaintif bagaimana kemalangan itu berlaku. Plaintif, akibat kemalangan itu, telah menjadi seorang yang tidak waras dan terpaksa membawa tindakan ini melalui seorang sahabat wakilnya. Tidak ada saksi-saksi lain yang melihat kejadian itu berlaku, melainkan defendan. Tetapi peguam defendan memilih untuk tidak memanggil defendan memberi keterangan.
Rajah kasar juga tidak dapat membantu mahkamah untuk menjelaskan bagaimana kemalangan itu berlaku, walaupun ia menunjukkan keadaan jalan ditempat kejadian.
Kerosakan kepada motosikal nombor PCR 8079 adalah seperti berikut:
(a) lampu isyarat belakang pecah;
(b) lampu brek belakang pecah;
(c) besi tempat duduk sebelah kanan bahagian belakang kemek;
(d) lampu besar depan pecah, mudguard depan pecah, tiup tayar depan terkeluar dan lampu isyarat depan kiri dan kanan pecah.
Kerosakan kepada bas nombor PR 3863 adalah seperti berikut:
(a) bumper depan sebelah kiri kemek;
(b) bercalar dan kemek sedikit sebelah kiri bahagian belakang.
PW6 seorang sarjan polis yang memeriksa kerosakan bas itu memberi keterangan bahawa (b) adalah kesan lama.
Dalam alasan penghakimannya hakim Mahkamah Sesyen itu memberi alasanalasannya mengapa beliau memutuskan bahawa defendan liable dalam kemalangan itu. Eloklah ia diperturunkan:
Setelah mengkaji semua keterangan termasuk kerosakan kenderaan-kenderaan yang terlibat, memang tidak ada keraguan bahawa Plaintif dilanggar dari belakang. Malahan dalam lapuran polisnya, Defendan mengatakan motosikal berada di hadapan basnya sebelum kemalangan berlaku, kerosakan di bahagian belakang motosikal Plaintif adalah konsisten dengan bas melanggar bahagian belakang motosikal.
Dakwaan peguam Defendan bahawa ada kemungkinan besar Plaintif telah melanggar bingkai tiang letrik yang jatuh atas jalanraya (yang bertanda “G” di atas rajah kasar), terbabas dan berlanggar tiang letrik di atas bahu jalan serta jatuh disitu; adalah tidak logik dan tidak berasas sama sekali berdasarkan alasan-alasan berikut:-
1. Jika dilihat dari rajah kasar dan gambar-gambar P14C dan P14D dapat dilihat bahawa jarak antara bingkai tiang letrik yang berada atas jalan raya dan tiang letrik yang dilanggar oleh Plaintif adalah sangat dekat iaitu 0.20 meter.
Sedangkan kerosakan di bahagian hadapan motosikal Plaintif sangat teruk seperti yang dapat dilihat dari gambar P14. Kerosakan sedemikian rupa hanya boleh berlaku akibat “impact” yang sangat kuat, bukan sekadar terbabas pada jarak 0.20 meter.
2. Tidak mungkin juga motosikal Plaintif boleh terbabas berlangar tiang letrik dan jatuh di atas bahu jalan hanya semata-mata kerana berlanggar bingkai tiang letrik yang jauhnya hanya 0.20 meter dari tiang letrik itu.
3. Jika diteliti gambar P14C, bingkai tiang letrik yang jatuh itu juga berada dalam garisan putih pemisah jalan. Tidak mungkin Plaintif menunggang motosikalnya di tepi jalan sehingga masuk ke dalam garisan putih tersebut.
4. Hujahan peguam Defendan adalah bercanggah dengan lapuran polis yang dibuat oleh Defendan sendiri.
5. Andaian yang munasabah yang boleh dibuat ialah bas Defendan yang lebih besar telah melanggar motosikal Plaintif yang sedang bergerak di tepi kiri jalan tersebut telah menyebabkan motosikal Plaintif terpelanting ke hadapan sehingga berlanggar tiang letrik itu.
Secara ringkasnya saya berpendapat bahawa oleh sebab adalah mustahil untuk Plaintif memberi keterangan dan tiada saksi bebas pula, sedangkan Defendan yang mempunyai kebebasan untuk memberikan versi yang memihak kepada dirinya sendiri telah membuat pengakuan dalam lapuran polisnya bagaimana kemalangan itu berlaku iaitu basnya melanggar motosikal Plaintif yang masuk ke laluan di hadapannya sedangkan kerosakan kenderaan-kenderaan adalah konsisten dengan bas Defendan melanggar motosikal Plaintif dari arah belakang dan bukannya motosikal Plaintif masuk ke laluan hadapan bas dari sebelah kanan. Jika motosikal Plaintif masuk ke laluan dihadapan bas dari sebelah kanan, motosikal Plaintif akan alami kerosakan di bahagian tepi kiri dan bukan di bahagian belakang.
Di sebabkan Defendan memilik untuk tidak memberi penjelasan mengapa beliau melanggar bahagian belakang motosikal Plaintif, Mahkamah ini tiada pilihan melainkan mendapati Defendan bertanggungan seratus peratus menyebabkan kemalangan ini.
Saya bersetuju dengan keputusan dalam alasan-alasannya. Hujah utama perayu ialah mengenai penerimaan laporan polis yang dibuat oleh defendan – P19. Laporan itu berbunyi:
Pada 19.11.95 jam lebih kurang 12.05 pagi semasa saya memandu motorbas kilang nombor PR 3863 dari Jelutong mahu balik ke rumah melalui Jalan Bukit Dumbar, apabila saya sampai dekat Jejantas Bulatan Gelugor, saya mahu ke Bulatan melalui Jalan Susur. Pada masa hujan renyai-renyai. Tiba-tiba sebuah motosikal nombor PCR 8079 yang berada di sebelah kanan saya terus masuk ke laluan di hadapan motorbas saya.
Saya brek dan cuba elak tetapi terkena sedikit pada motosikal tersebut.
Laporan itu dibuat oleh defendan pada 24 Disember 1995, sebulan selepas kemalangan dan selepas siasatan dimulakan. Ia bukanlah maklumat pertama. Ia dimasukkan dalam ikatan dokumendipersetujui. Defendan yang hadir semasa perbicaraan itu tidak dipanggil memberi keterangan. Tetapi pihak plaintif telah memanggil pegawai polis (PW8) yang merakamkan laporan defendan itu. Dia tidak langsung disoal balas mengenai perakaman laporan itu. Cuma satu soalan ditujukan kepadanya yang dijawabnya bahawa dia merekodkan apa yang dicakapkan sahaja.
Dalam keadaan ini tidak ada sebab mengapa laporan itu tidak boleh diterima.
Peguam perayu menghujahkan bahawa laporan itu tidak boleh diterima kerana ia bukanlah satu maklumat pertama. Kes Jaafar bin Shaari & Anor v. Tan Lip Eng & Anor [1992] 3 CLJ 1600 dirujuk. Memang betul dalam kes itu Dato’ KC Vohrah H, antara lain memutuskan bahawa salah satu sebab mengapa laporan itu tidak boleh diterima sebagai keterangan ialah kerana ia bukanlah satu maklumat pertama. Hakim Yang Arif itu juga berpendapat serupa dalam kes Noor Hariyati bte Saad v. Said bin Ismail [1991] 2 CLJ 1564; [1991] 3 MLJ 332.
Peguam responden merujuk kepada penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes M A Clyde V. Wong Ah Mei & Anor. [1970] 1 LNS 73. Dalam kes itu laporan berkenaan adalah maklumat pertama, tidak seperti dalam kes ini. Tetapi, dalam penghakimannya Gill FJ (ketika itu) berkata di ms. 185:
On the assumption that the police report was a first information report, it was contended by counsel for the appellants, on the authority ofState of Gujarat v. Hiralal Devji AIR [1964] Gujarat 261, that it was not substantive evidence and could only be used to corroborate or contradict the maker of the report.
The short answer to that is that the provisions of the Criminal Procedure Codedo not apply to a civil action. (Tekanan ditambah). In my judgment if a first information report contains an admission which is relevant to a claim in a civil action against him, it is admissible in evidence under section 17, 18 and 21 of the Evidence Ordinance (now-Act-added) 1950.
Saya akui bahawa kes itu bukanlah satu authoriti yang tepat bagi kes sekarang. Tetapi saya menerima pandangan Gill FJ dalam kes itu bahawa peruntukan Kanun Acara Jenayah tidak terpakai dalam satu tindakan sivil. Kanun Acara Jenayah adalah untuk perbicaraan kes-kes jenayah. Untuk perbicaraan kes-kes sivil ada Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa satu acara untuk perbicaraan kes-kes jenayah hendak dipakai dalam perbicaraan kes-kes sivil. Lainlah halnya dengan Akta Keterangan 1950 yang terpakai untuk kedua-duanya.
Biar apa pun, apa yang saya sedang timbangkan setakat ini hanyalah mengenai kebolehterimaan laporan itu sahaja, bukan mengenai kandungannya. Saya berpendapat dalam keadaan kes ini, di mana laporan itu dimasukkan dalam Ikatan Dokumen Dipersetujui, di mana pegawai polis yang merakamnya memberi keterangan mengesahkan pembuatannya, di mana pembuatnya (defendan) sengaja tidak dipanggil memberi keterangan (jelas untuk mengelak daripada diminta mengesahkannya), laporan itu boleh diterima sebagai keterangan.
Soal setakat mana nilai pembuktiannya adalah soal kedua. Hakim Mahkamah Sesyen itu sendiri menyatakan “pengakuan itu tidak boleh dianggap sebagai keterangan konklusif fakta yang diakui.” Ertinya beliau bukanlah semata-mata bersandar kepada kandungan laporan polis defendan itu untuk memutuskan liabiliti defendan. Beliau telah menimbang fakta-fakta lain seperti kerosakan kepada motosikal dan bas dan rajah kasar dan memberi alasan-alasan mengapa beliau mencapai keputusan itu, yang saya telah perturunkan sebelum ini. Saya bersetuju dengannya.
Oleh itu saya menolak rayuan defendan mengenai liabiliti.
Kuantum
Akibat dari kemalangan itu, plaintif mengalami kecederaan berikut:
1. Subarachnoid haemorrhage;
2. Bilateral lung contusion and haemothorax;
3. Fracture left claricle;
4. Superficial laceration of liver and…
Akibatnya plaintif berada dalam keadaan “permanent vegetative”. Hakim Mahkamah Sesyen membahagikan kecederaan plaintif kepada tiga bahagian, iaitu kecederaan di kepala, di dada dan di perut. Untuk kecederaan di kepala, Hakim Mahkamah Sesyen memberi RM180,000. Untuk kecederaan di dada beliau memberi RM13,000, iaitu RM10,000 untuk “fracture claricle” dan RM3,000 untuk lung contusion. Untuk kecederaan di perut beliau memberi RM4,500 untuk “laparatomy” dan RM3,000 untuk “superficial lacerations of the liver and spleen” Jumlah keseluruhan untuk kesakitan dan kesengsaraan ialah RM200,500. Beliau tidak menolak untuk pertindihan kerana kecederaan di lainlain bahagian badan.
Mengenai kecederaan di kepala, peguam defendan menghujahkan bahawa award sebanyak RM180,000 itu adalah terlalu tinggi. Hujahnya RM160,000 adalah lebih berpatutan. Alasannya ialah bahawa tidak ada keterangan perubatan yang menunjukkan bahawa plaintif sedar untuk merasa sakit. Beliau merujuk kepada kes Toon Chee Meng Eddie v. Yeap Chin Hon [1993] MMD 28 (Jun 1993) satu penghakiman Mahkamah Tinggi Singapura. Mengikut laporan itu Goh Phai Cheng JC, antara lain, memutuskan:
(2) the award for the head of damage called pain and suffering compensates victims for the pain they endure, the distress of knowing their disablement and the loss of enjoyment of life generally.
The victim’s awareness of pain and distress is a major factor to be taken into account.
Mahkamah Singapura itu memberi award S$160,000 untuk kesakitan dan kesengsaraan. Oleh itu peguam perayu menghujahkan bahawa award sebanyak RM160,000 adalah lebih berpatutan.
Perlu diingat bahawa award di bawah tajuk ini bukan hanya untuk kesakitan dan kesengsaraan (pain and suffering) tetapi juga untuk “loss of amenities”. Dalam kes Lim Poh Choo v. Camden and Islington Area Health Authority [1980] AC 174, Lord Scarman berkata, di ms. 188:
My Lords, I think it would be wrong now to reverse by judicial decision the two rules which were laid down by the majority of the House in H. West and Son Ltd. v. Shephard [1964] AC 326, namely: (1) that the fact of unconsciousness does not eliminate the actuality of the deprivation of the ordinary experiences and amenities of life… The effect of the two cases (Wise v. Kaye being specifically approved in H. West & Son Ltd. v. Shephard [1964] AC 326) is two-fold: First, they draw a clear destination between damages for pain and suffering and damages for loss of amenities. The former depend upon the plaintiff’s personal awareness of pain, her capacity for suffering.
But the latter are awarded for the fact of deprivation – a substantial loss, whether the plaintiff is aware of it or not…
Pandangan Lord Scarman itu diterima oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes Yang Salbiah & Anor v. Jamil bin Harun [1981] 1 MLJ 292. Lihat juga kes Liong Thoo V. Sawiyah & Ors. [1981] 1 LNS 27 .
Kes Yang Salbiah adalah penghakiman Mahkamah Persekutuan Malaysia yang mengikat Mahkamah ini. Kes Lim Poh Choo pula adalah penghakiman Mahkamah tertinggi di England yang diikuti oleh Mahkamah Persekutuan dalam Yang Salbiah. Maka saya menerima pakai prinsip-prinsipnya.
Jadi, jika plaintif tidak sedar akan kesakitannya sekali pun, award untuk “loss of amenities” masih perlu diberi.
Namun demikian, berdasarkan keterangan dalam kes ini, tidaklah boleh dikatakan bahawa plaintif tidak sedar langsung mengenai kesakitan.
Dr. B. Gunasekaran, seorang “consultant neurosurgeon memberi keterangan (Rekod Rayuan ms. 117):
He was verbalising. He cannot obey any command. He was grimacing in response to painful stimuli. He had feeble movements in the right upper limb in response to painful stimulation.
There was flexious response to pain in the right lower limb at the knee.
Saya bersetuju dengan hujah peguam plaintif bahawa plaintif tidak boleh digolongkan dalam “unconscious cases” tetapi patut digolongkan dalam “vegetative cases”.
Prinsip-prinsip mengenai dalam keadaan mana Mahkamah Rayuan patut atau tidak patut menggantikan award mahkamah perbicaraan adalah jelas – lihat antara lain Mohamad bin Kailan v. Goh Seng Shoon & Anor [1976] 2 MLJ 239; Dories v. Powell Duffryn Associates Collieries Ltd [1942] AC 601; Nance v. British Columbia Electric Railway [1951] AC 601 (1951).
Dalam kes ini saya dapati tidak ada kesilapan di segi prinsip atau salah anggap fakta atau hakim perbicaraan telah membuat satu anggapan yang langsung tidak betul. Jadi, walau pun awardnya mungkin agak tinggi, ia bukanlah sesuatu yang mematutkan mahkamah ini campur tangan.
Peguam perayu juga menghujahkan bahawa award untuk “lung, spleen and liver injury” patutlah dikurangkan sebanyak 10% kerana pertindihan kerana kesemuanya dan bahagian badan yang sama. Sebaliknya peguam plaintif menghujahkan bahawa award itu sudah terlalu rendah.
Atas prinsip yang saya telah sebut dan memandangkan bahawa kalau hujah peguam defendan itu, jika diterima pun, hanya akan mengurangkan lebih kurang RM1,000 berbanding jumlah keseluruhan yang agak besar, saya tidak fikir mahkamah ini patut campur tangan.
Isu seterusnya ialah mengenai kehilangan pendapatan masa hadapan.
Dalam hal ini fakta yang diterima oleh hakim Mahkamah Sesyen itu ialah bahawa sebelum kemalangan, plaintif berkerja sebagai juruteknik di syarikat Seng Seng Motors Sdn. Bhd. dengan gaji asas sebanyak RM1,100 sebulan tidak termasuk elaun lebih masa. Selepas kemalangan itu plaintif masih dibayar gaji oleh majikannya. Bayaran itu dibuat bukan sahaja kerana simpati tetapi juga kerana plaintif telah berkhidmat dengan cemerlang dengan syarikat itu selama 14 tahun dan akan menghentikan bayaran itu apabila plaintif mendapat wang pampasan dari syarikat insuran. Majikan plaintif itu juga tidak akan menuntut balik gaji yang dibayar kepada plaintif itu.
Hakim Mahkamah Sesyen itu juga memutuskan bahawa dalam keadaan plaintif selepas kemalangan itu adalah mustahil bagi plaintif untuk membuat apa jenis kerja sekalipun. Plaintif berumur 32 tahun semasa kemalangan. Memakai peruntukan s. 28A(2)(d)(ii)jumlah tahun belian ialah 55 – 32 bahagi 2 = 11 tahun 6 bulan. Menggunakan pendapatan bulanan RM1,100 sebulan beliau menolak RM100 sebulan untuk perbelanjaan hidup. Maka perkiraan kehilangan pendapatan dibuat seperti berikut:
(a) kehilangan pendapatan sebelum perbicaraan, dan tarikh kemalangan (19 November 1995) hingga tarikh penghakiman (5 April 1997), iaitu 15275 bulan x RM1,000 = RM15,500.
(b) kehilangan pendapatan selepas perbicaraan ialah RM1,000 x 11275 tahun – 15275 bulan (yang telah diambil kira dalam (a)) = RM122,500.
Gaji yang dibayar oleh majikan selepas kemalangan tidak ditolak.
Beberapa hujah dikemukakan oleh peguam defendan dalam hal ini.
Pertama dihujahkan bahawa hakim Mahkamah Sesyen tersilap kerana tidak mengikut penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Chang Chong Foo v. Sivanathan [1992] 4 CLJ 1939; [1992] 2 MLJ 473 tetapi sebaliknya mengikut penghakiman Mahkamah Tinggi dalam kes Tey Chan & Anor v. South East Asia Insurance Bhd [1993] 3 MLJ 760.
Perlu disebut bahawa Chang Chong Foo adalah satu kes yang tidak melibatkan kematian, samalah seperti kes ini. Kes itu memutuskan bahawa untuk pengiraan kehilangan pendapatan masa hadapan bukanlah kesemua pendapatannya diambil kira. Mahkamah mestilah menolak apa-apa pengurangan (diminution) daripada jumlah pendapatan itu yang dibuktikan atau diakui sebagai perbelanjaan hidup (living expenses) plaintiff pada masa kemalangannya. Mahkamah itu seterusnya memutuskan bahawa makna “perbelanjaan hidup” dalam s. 28Aadalah sama dengan maknanya dalam s. 7 yangmelibatkan kematian. Kemudian penghakiman itu memetik penghakiman-penghakiman mahkamah-mahkamah di England mengenai makna “perbelanjaan hidup” seperti berikut:
In Haris v. Empress Motors Ltd; Cole v. Crown Paultry Packers Ltd, the Court of Appeal held that:
(i) the ingredient that go to make up ‘living expenses’ are the same whether the deceased was young or old, single or married, or with or without defendants;
(ii) the sum to be deducted as living expenses is the proportion of the deceased’s nett earnings that he would have spent exclusively on himself to maintain himself at the standard of life appropriate to his situations;
(iii) any sums that he would have expended exclusively to maintain or benefit others will not form part of his living expenses and will not be deductible from his net earnings.
In White v. London Transport Executive, Webster J said at p. 418:
… in the cost of maintaining himself I include the cost of his housing, heating, food, clothing, necessary travelling and insurances and things of that kind…
Walau bagaimana pun, oleh sebab apa yang dibuktikan hanyalah RM60 sebulan untuk petrol motorsikal plaintif untuk pergi kerja dan RM5 sehari untuk makan di tempat kerja, maka itulah sahaja yang ditolak oleh mahkamah itu.
Kes Tey Chan juga bukanlah satu kes kematian. Mengenai satu kehilangan pendapatan masa depan hakim yang arif itu berkata:
As to loss of earnings the view taken is that the living expenses to be deducted under s. 28A(1)(c) of the Civil Law Act 1956are not the whole of the first plaintif’s expenses of living but the expenses reasonably incurred by him in earning his living, such as the extra cost of having his meals and refreshment while at work, which cost would not ordinarily have been incurred had he stayed at home. To hold otherwise and deduct the whole of the living expenses will, to my mind, give a meaning to the words “living expenses” in the said section which can lead to absurd and unjust consequences and which, it would seem, could not have been what the Parliament had in mind when it enacted the legislation.
Support for this view is found in Lim Poh Choo v. Camden and Islington Area Health Authority [1979] 2 All ER 910 at p. 921 and Dews National Coal Board [1987] All ER 545 at p. 548 and 549.
Tiada diketahui sama ada kes Chang Chong Foo dirujukkan kepada hakim yang arif itu atau tidak, tetapi beliau tidak merujuk kepadanya dalam penghakimannya.
Saya lebih bersetuju dengan pandangan hakim yang arif itu kerana saya juga berpendapat patut ada perbezaan antara kehilangan pendapatan orang yang masih hidup tetapi tidak dapat bekerja dengankehilangan sumbangan (loss of support) yang diberi oleh seseorang itu kepada ahli keluarganya semasa hidupnya tetapi tidak dapat diberi selepas kematiannya. Sumbangan kepada keluarga semestinya lebih kecil daripada pendapatannya.
Walau bagaimana pun mahkamah ini terikat dengan penghakiman Mahkamah Agung dalam kesChang Chong Foo itu.
Maka soalnya apakah “perbelanjaan hidup yang dibuktikan dalam kes ini?
Hakim Mahkamah Sesyen itu mengatakan dalam penghakimannya di ms. 44 rekod rayuan:
… Tidak ada bukti dalam kes ini kerana Defendan tidak memberi keterangan (sama seperti kesChang Chong Foo, lihat mukasurat 479B – ditambah). Isteri Plaintif (PW2) memberitahu Mahkamah bahawa Plaintif (PW2) (sic) menggunakan motosikal untuk pergi ke tempat kerja. Tetapi tiada keterangan berapakah jumlah yang dibelanjakan untuk minyak motosikal dan makanan.
Dalam keadaan tersebut, saya berpendapat amaun sebanyak RM100 sebulan boleh ditolak sebagai perbelanjaan hidup Plaintif daripada jumlah pendapatan bulanan RM1,100.
Memang betul tidak ada bukti perbelanjaan itu, walau pun ia tentulah ada. Memang betul juga adalah sukar bagi, kalau tidak mustahil, untuk defendan membuktikan perbelanjaan plaintif.
Perlu diingat juga bahawa peguam perayu menghujahkan bahawa tolakan yang patut dibuat adalah seperti berikut:
Pendapatan purata (selepas tolakan RM1,000.00
Tolak: Perbelanjaan rumah 400.00 Petrol, makanan 300.00
Pendapatan bersih RM 400.00
Sebaliknya peguam plaintif menghujahkan bahawa amaun RM1,100 sebulan gaji asas itu tidak sepatutnya digunakan untuk memulakan pengiraan itu. Kerana, plaintif juga membuat kerja lebih masa. Pendapatan purata selama lima bulan berakhir pada 30 November 1995 selepas potongan ialah RM1,380.95. Potongan EPF juga tidak patut diambil kira, katanya, kerana itu adalah simpanan untuk faedah plaintif. Oleh itu pendapatan bulanan yang patut digunakan untuk permulaan perkiraan itu, mengikutnya, ialah RM1,534.55 bukan RM1,100. Perbelanjaan hidup tidak dibuktikan, oleh itu tidak patut di tolak langsung.
Memanglah kalau hendak diteliti perkiraan hakim Mahkamah Sesyen itu seperti seorang juruaudit menelitinya, memanglah terdapat beberapa perkara yang tidak betul seperti tidak mengambil kira pendapatan dan kerja lebih masa itu. Sebaliknya, bagaimanakah defendan hendak membuktikan berapa plaintif belanja untuk petrol dan pemeliharaan motosikalnya yang dia gunakan untuk pergi kerja, berapa belanja dia makan ditempat kerja, apatah lagi perbelanjaan-perbelanjaan lain seperti yang disebut dalam kes Chan Chong Foo itu. Untuk mendapatnya melalui soal balas terhadap plaintif pun tidak boleh dilakukan kerana plaintif tidak dapat memberi keterangan kerana kecederaan itu. Untuk mengatakan tidak ada langsung tidak munasabah. Oleh itu hakim Mahkamah Sesyen itu tidak boleh disalahkan kerana membuat tolakan mengikut anggarannya, walaupun saya berpendapat RM100 adalah terlalu rendah.
Dalam keadaan inilah saya mengambil pendirian untuk tidak mengganggu award berdasarkan RM1,000 sebulan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen itu, kerana kesan akhirnya ialah bahawa jumlah itu adalah perpatutan dan adil dalam keadaan kes ini.
Satu alasan lagi yang dikemukakan oleh peguam perayu mengenai tajuk ini ialah kegagalan hakim Mahkamah Sesyen menolak jumlah gaji yang dibayar oleh majikan plaintif kepada plaintif, selepas kemalangan itu.
Dalam hal ini Hakim Mahkamah Sesyen itu memberi alasan yang jelas dalam alasan penghakimannya mengapa beliau tidak menolak bayaran itu. Saya bersetuju dengannya, dan saya perturunkan di sini:
Mengenai bayaran gaji yang masih dibuat oleh majikan Plaintif kepada Plaintif, Peguam Defendan telah berhujah bahawa amaun tersebut harus ditolak daripada jumlah kehilangan pendapatan masa hadapan atas alasan bayaran tersebut dibuat kerana perkhidmatan beliau dimasa lampau dengan merujuk kepada kes Parry v. Cleaver [1969] 1 All ER 555. Setelah meneliti kes tersebut, saya berpendapat bahawa kes itu tidak terpakai kepada fakta kes ini.
Sebaliknya prinsip-prinsip undang-undang berikut yang dinyatakan dalam kes Lim Kiat Boon and Anor v. Lim Seu Kong & Anor [1980] 2 MLJ 39 adalah terpakai dalam fakta kes ini iaitu:
the proposition that there should be no reduction where the money is given gratuitously or advanced by a sympathetic employer is based on the principle that the generosity of others is res inter alios acta and not something from which the wrongdoer should reap the benefit; where however, the injured Plaintiff receives the money as of right from the employer, either under statutory or contractual obligations, the money received is deductible.
Mengambil pakai prinsip tersebut kepada fakta kes ini, saya berpendapat bahawa mahkamah ini tidak mempunyai budibicara untuk menolak jumlah wang gaji yang telah dibayar oleh majikan Plaintif dan keseluruhan award kehilangan pendapatan masa hadapan kerana:
i) majikan Plaintif sendiri mengatakan bayaran sedemikian tidak dibuat kepada semua pekerja. Hanya pekerja yang menunjukkan prestasi yang baik seperti Plaintif dalam kes ini sahaja yang dibayar.
Ini bermakna bayaran seperti ini bukanlah satu hak kepada pekerja.
ii) bayaran dibuat atas dasar simpati dan kerana Plaintif telah bekerja selama 14 tahun.
iii) majikan juga tidak akan meminta Plaintif membayar balik wang tersebut dan terpulang kepada budibicara (conscience) Plaintif untuk mengembalikan wang tersebut kepada majikannya.
Satu isu lagi ialah pendarab. Hakim Mahkamah Sesyen menggunakan 11275 tahun, iaitu berdasarkan umur plaintif dan peruntukan s. 28A(2)(d)(ii).
Peguam perayu menghujahkan bahawa jangka masa itu patut dikurangkan kerana mengikut Laporan Perubatan Mr. B Gunasekaran, Consultan Neurosurgeon, yang mengatakan “… the vegetative state in adults reduces the average life expectancy to approximately two to five years. Survival beyond ten years is unusual.” Peguam perayu menyokong hujahnya dengan kes Chan Chin Meng & Anor v. Lim Yok Eng [1994] 3 CLJ 687; [1994] 3 MLJ 233.
Hakim Mahkamah Sesyen menolak hujah itu. Pertama beliau mengatakan bahawa kes itu tidak terpakai kerana kes ini melibatkan orang yang masih hidup. Beliau juga mengatakan bahawa beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Agung dalam kes Chang Chong Foo.
Saya juga berpendapat bahawa kes Chan Chin Ming bukanlah satu autoriti yang boleh menyokong hujah peguam perayu itu dalam kes ini. Kes itu adalah satu kes tuntutan kehilangan sumbangan seorang anak yang belum berkahwin oleh ibunya. Memandangkan bahawa, jika dia tidak meninggal dunia, dia tidak mungkin akan berterusan memberi sumbangan kepada ibunya, selepas berkahwin maka Mahkamah Agung (majority) mengurangkan pendarab kepada tujuh tahun daripada 16 tahun yang disebut dalam s. 7(3)(iv)(d) itu. Ia tidak kena mengena dengan soalan berapa lama seorang itu boleh dan akan hidup.
Dalam kes Chang Chong Foo, satu kes kehilangan pendapatan, Mahkamah Agung memakai pendarab 16 tahun berdasarkan umur plaintif semasa kemalangan dan peruntukan s. 28(A)(2)(d)(i).Soal dia mungkin mati lebih awal tidak timbul.
Saya tidak fikir mahkamah patut menerima hujah peguam perayu itu sebab, pertama, pengiraan pendarab itu diperuntukan dengan jelas oleh undang-undang.
Kedua, tidak ada manusia yang boleh mengatakan bila ajal seseorang itu akan tiba. Kita pernah lihat orang yang sihat dan segar yang doktor pun tidak mengesan apa-apa sakitnya tiba-tiba mati (bukan kerana kemalangan). Sebaliknya kita lihat orang yang telah dikatakan tiada harapan untuk hidup lagi, sembuh seperti sedia kala.
Ketiga, pampasan kehilangan pendapatan masa depan diberi atas asas jika kemalangan itu tidak berlaku, dan dia boleh terus bekerja dan menerima pendapatan. Oleh itu adalah tidak betul untuk mengurangkan pendarab atas asas, oleh sebab kemalangan itu, dia tidak mungkin boleh hidup lama sama dengan jika kemalangan itu tidak berlaku.
Peguam perayu menarik balik rayuannya mengenai belanja rawatan masa depan.
Atas alasan-alasan yang saya telah beri ini, saya menolak rayuan perayu dengan kos.
Saya juga telah menolak rayuan silang responden dengan kos. Oleh sebab responden tidak merayu terhadap keputusan itu tidaklah perlu saya memberi alasan mengenainya.

Read 125 times