LYE KOOI YOON & ANOR v. TIMBALAN PENDAKWA RAYA

LYE KOOI YOON & ANOR v. TIMBALAN PENDAKWA RAYA
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
RAYUAN JENAYAH NO: 41-102-96
16 SEPTEMBER 1997
[1997] 1 LNS 71
CRIMINAL LAW AND PROCEDURE – Gaming offence – illegal lottery – Appointment of Gaming expert – Appeal against conviction and sentence

Case(s) referred to:
Wong Chop Saow v. PP [1965] 1 MLJ 247
Chin Seh Wah v. PP [1958] MLJ 154
Sim Ah Song & Anor. v. R [1951] MLJ 150
Chan Pean Leon v. PP [1956] MLJ 237
Counsel:
Bagi pihak perayu-perayu – Encik Aziz; T/n. Aziz Anthony & Co.
Bagi pihak responden – Encik Ahmad Fairuz; Timbalan Pendakwa Raya.

ALASAN PENGHAKIMAN
Perayu-perayu telah dituduh di Mahkamah Majistret (4) Butterworth seperti berikut:
“Bahawa kamu bersama- sama pada jam lebih kurang 3.10 petang 5hb Disember 1991 di rumah No. 48 Lorong Kurau 23, Chai Leng Park, Perai, dalam Daerah Butterworth, di dalam Negeri Pulau Pinang, telah menolong menjalankan loteri awam, iaitu judi ekor haram 100, 1,000 dan 10,000 angka dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka No. 289 (Pindaan A577 tahun 1990) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.”
Setelah dibicarakan, mereka telah didapati bersalah, disabitkan dan masing-masing dihukum penjara dua bulan dan denda sebanyak RM30,000 jika tak dibayar penjara dua bulan lagi. Walau bagaimanapun hukuman penjara digantung atas [2]jaminan tetapi denda dibayar.
Satu persoalan undang-undang telah berbangkit dalam rayuan ini, iaitu sama ada perlantikan SP4 (ASP Mohd. Hatta bin Mohd Zain) oleh Menteri Dalam Negeri dan diwartakan sebagai pakar judi itu sah kerana Menteri yang bertanggung jawab mengenai Akta Rumah Perjudian Terbuka adalah Menteri Kewangan. Saya telah memberi masa secukupnya kepada kedua belah pihak untuk mengkaji dengan teliti peruntukan Akta itu dari mulanya dan setiap pindaan yang dibuat. Saya akui mereka telah mencuba sedaya upaya, tetapi hasilnya tetap meragukan sama ada ianya lengkap. Perpustakaan Mahkamah ini juga tidak boleh membantu kerana ketiadaan semua akta-akta pindaan yang boleh disemak. Walau bagaimanapun keputusan perlu dibuat dan saya telah membuatnya.
Kembali kepada persoalan itu dengan lebih detail.
Tidak dipertikaikan bahawa SP4 telah diwartakan sebagai pakar judi oleh Menteri Dalam Negeri. Warta itu (P.U. (B) 190 tahun 1985) dibuat dibawah seksyen 11(6( Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Seksyen itu memperuntukan:
“6. The Minister may by nitification in the Gazatte appoint any person whether a public officer ot not to be a gaming expert in respect of any or all the games.”
[3]Seksyen 2 memperuntukan:
“Minister” means the Minister charged with responsibility for the regulation of lotteries;”
Seksyen 4 Akta Tugas-tugas menteri 1969 memperuntukan:
“4 “Any reference in any written law or in any instrument, contract or legal proceedings to any Minister as such by the style or title of his office shall unless the context otherwise requires, be construed as a reference to the Minister for the time being confered with the functions or charged with the responsibility or to the Minister for the time being assigned with such style or title.”
Mengikut Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan (No. 2) 1983, (P.U. (A) 520 tahun 1983) Menteri Kewangan adalah dipertanggungjawab mengenai pentadbiran aktiviti-aktiviti loteri dan pertaruhan perjudian.”
Jadi, kalau mengikut peruntukkan-peruntukkan ini, nampaknya Menteri yang patut melantik pakar judi mengikut seksyen 11(6) adalah Menteri Kewangan, bukan Menteri Dalam Negeri. Meneri Dalam Negeri tidak diberikuasa dan oleh itu tidak ada kuasa melantik pakar judi oleh seksyen 11(6). Kesannya, SP4 tidak menjadi pakar kerana perlantikan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri.
Adakah ini bererti bahawa, oleh itu, SP4 bukan pakar judi, tidak layak menjadi saksi pakar dan keterangannya sebagai seorang saksi pakar mesti ditolak?
Pada pandangan saya seorang itu menjadi pakar dalam [4]sesuatu ilmu bukan kerana Warta, tetapi kerana kelayakannya dan pengalamannya dalam sesuatu bidang itu. Kelayakan akademik sahaja pun tidak menjadikan seseorang itu seorang pakar. Sebaliknya ketiadaan kelayakan akademik juga tidak menghalang seseorang itu daripada menjadi pakar dalam sesuatu bidang. Kepakarannya boleh diperolehi melalui pengalaman.
Mengenai saksi pakar loteri, saya tidak dapat menemui mana peruntukan-peruntukan atau penghakiman yang mengatakan bahawa cuma seorang yang diwartakan dibawah seksyen 11(6) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sahaja yang layak memberi keterangan itu.
Dalam kes Wong Chop Saow v. P.P. (1965) 1 MLJ 247, Hashim mengatakan:
“May I, with respect, suggest that to avoid confusion the espert witness should give his evidence as follows. He should firstr state qualification as an expert. He should then state that he has given as an expert in such cases and that his evidence been accepted by the Courts. He should then proceed to describe the various documents and give his reasons why in his opinion they relate the characters lottery. The trial Magistrate must then come to a finding that he either accepts or rejects the evidence of the expert witness vis-a-vis characters lottery. In this case the trial magistrate did not come to any finding but merely stated what the expert evidence was.”
Pada pandangan saya tidak kira samada seseorang itu [5]diwartakan atau tidak dia dikehendaki memuaskan Mahkamah tentang kepakaranya dan caranya disebut dalam petikan di atas.
Kembali kepada SP4. Saksi itu memulakan keterangannya seperti berikut:
“Saya seorang Pegawai Kanan yang diwartakan pada 11.4.85 mengikut PU(B) 190 sebagai pakar judi.
Setelah menghadiri kursus selama 2 minggu (iaitu 2 kali di Maktab CID di Kuala Lumpur saya digazetkan sebagai pakar judi.
Semasa hadiri kursus saya diajar berbagai jenis judi di Malaysia. Setelah tamat kursus saya diwartakan dalam 3 jenis judi:
(a) Judi ekor haram.
(b) Belangkas
(c) Dadu
Untuk judi jenis ekor haram, sebelum 17.12.91 saya pernah menerima barang-barang kes berkait judi ekor haram, iaitu banyak kali.
Sebelum itu saya pernah memberi keterangan mengenai judi ekor haram iaitu banyak kali di Mahkamah-Mahkamah Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Semasa beri keterangan Mahkamah tidak pernah memberhentikan keterangan saya.
Pada 17.12.91, saya bertugas do IPD Butterworth sebagai Pegawai Pencegah Kongsi Gelap.”
Pada pandangan saya itu sudah memadai untuk beliau diterima sebagai seorang pakar judi. Perkara (subject [6]matter) yang menjadi persoalan kepakaran ialah mengenai judi ekor, bukan mengenai jenis dadah berbahaya, misalnya, yang memerlukan analisa makmal. Setiap penikam judi ekor pun kenal “tiket ekor”.
Oleh itu pandangan saya SP4 boleh diterima sebagai pakar judi.
Sekarang eloklah kita teliti keterangan yang panjang lebar mengenai barang-barang yang dia diminta memeriksa. Tidak perlulah saya perturunkannya. Beliau memberi pendapat bahawa barang-barang kes C, E, G, J dan O “bolehlah dikatakan judi ekor haram”. Selepas itu beliau menjelaskan satu persatu mengenai exshibit-exshibit itu dan memberi kesimpulannya bahawa sesiapa yang memiliki C, E, G, J dan O boleh dikatakan membantu menjalankan judi ekor haram.
Selepas itu beliau memberi penjelasan yang panjang lebar juga mengenai exshibit-exshibit lain dan memberi pendapatnya. Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat perbezaan diantara tiket judi ekor haram dengan yang dibeli di kedai berlesen tidak mempunyai angka sen seperti yang terdapat dalam exshibit-exshibit dalam kes ini.
Majistret juga dalam alasan penghakiman membincangkan [7]perkara ini panjang lebar. Sebahagiannya eloklah diperturunkan:
“Tentang isu samada dokumen-dokumen yang dirampas adalah rekod pembelian dan pertaruhan berkaitan loteri haram masih “in progress”, saya memutuskan secara independent dengan bantuan serta penjelasan oleh SP4 melalui pengalaman beliau menganalisa begitu banyak barang-barang kes yang berkaitan dengan judi ekor haram yang kesemuanya dokumen adalah rekod pertaruhan dan pembelian yang berkait dengan judi ekor haram serta tiket-tiket loteri.
Dokemen yang bertanda “A” (P19 A&B) misalnya ada rekod angka pertaruhan dan harga pertaruhan. P19 A&B mengandungi 3 helaian kertas salinan asal bertulis angka-angka dalam bentuk 3 dan 4 angka yang terkandung dalam 100, 1,000 dan 10,000 empat nombor judi ekor haram. Bentuk pembelian adalah berupa pembelian besar dan kecil. Begitulah seterusnya bagi dokumen-dokumen rekod-rekod harga pertaruhan dan angka pertaruhan. Ada yang tercatit dengan tarikh dan ada yang tidak tercatit dengan sebarang tarikh.
Tarikh-tarikh yang ada tercetak bukanlah dokumen itu sendiri tetapi pada kertas-kertas berbentuk resit-resit yang memang tersedia terkepil pada sesetengah dokumen. Tarikh-tarikh ditulis dengan tulisan merah. P10 A&B misalnya pada dokumen itu ada terkepil satu kertas berupa seperti resit di mana tarikh-tarikh yang tercatit adalah tarikh-tarikh tanpa tahun iaitu 5.12, 7.12 dan 9.12. Begitu juga seterusnya, tarikh-tarikh yang sama ada juga dijumpai pada setiap kertas berupa resit yang telah tersedia terkepil pada dokumen-dokumen lain yang dalam bentuk “bundel”.
Mengenai isu tarikh yang ditulis dengan tidak lengkap tanpa tahun dan ada dokumen yang tidak bertulis dengan tarikh langsung adalah hanya untuk mengelakkan serta mengelirukan pihak berkuatkuasa. Saya telah mengambil pengiktirafan kehakiman (judicial notice) kegiatan judi ekor haram adalah jenayah sindiket dan tarikh-tarikh yang tidak lengkap sering dijumpai pada slip-slip atau rekod-rekod judi ekor. Saya juga telah [8]mengambil pengiktirafan kehakiman perkara ini adalah satu modus operandi sindiket-sindiket judi ekor haram bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Berdasarkan bantuan SP4, saya telah memutuskan secara independent yang dokumen-dokumen yang dirampas pada 5hb Disember 1991 dimana adanya cabutan magnum adalah masih “in progress”.
SP4 juga telah memberi keterangan pembelian minima dikedai berlesen adalah RM1.00 (genap) tiada jumlah sen. Manakala bagi judi ekor haram jumlah pembelian paling minima ialah 5 sen, 10 sen dan tiada had. Di dalam kes sekarang ini, kesemua dokumen-dokumen mengandungi harga pertaruhan yang mempunyai jumlah sen.
Maka saya telah memutuskan dokumen-dokumen di dalam kes sekarang ini adalah berkaitan dengan pembelian judi ekor haram. Keputusan saya ini adalah berpandukan keterangan daripada SP4 dan kemudian saya “apply” kepada kes sekarang ini. Saya ingin merujuk kes…”
Beliau telah merujuk kepada beberap kes mengenai peranan Mahkamah dan saksi pakar dalam memutuskan persoalan itu. Kes-kes itu ialaj Chin Sen Wah v. P.P. (1985) MLJ 154, Sim Ah Song & Anor. v. R [1951] MLJ 150, Chan Peng Leon v. PP (1956] MLJ 237.
Peguam perayu menghujahkan bahawa Majistret tidak sepatutnya mengambil pengiktirafan kehakiman mengenai modus operandi sindiket judi ekor haram yang tidak mencatatkan tarikh langsung pada tiket-tiket untuk mengelak dan mengelirukan pihak berkuasa. Pada pandangan saya, soalnya bukanlah sama ada Majistret mengguna perkataan “pengiktirafan kehakiman” atau tidak.
[9]Soalnya ialah sama ada, berdasarkan keterangan saksi pakar, melihat sendiri dokumen-dokumen yang banyak itu dan mengambil maklum selok beok ianya dijalankan, Mahkamah berpuashati bahawa ekshibit-ekshibit itu adalah berkenaan loteri haram yang sedang berjalan. Dalam kes ini terdapat tiket-tiket judi ekor haram yang begitu banyak. Terdapat peralatan lain yang menunjukkan kepada aktiviti penjualan judi ekor haram. Ini bukan kes di mana satu tiket loteri ekor tak bertarikh atau bertarikh tanpa tahun dijumpai dalam dompet seseorang. Menimbang keseluruhan keterangan yang ada dan dalam keadaan kes ini, saya berpendapat bahawa keputusan Majistret bahawa tiket-tiket itu berkenaan loteri ekor haram yang sedang berjalan pada tarikh tangkapan adalah betul.
Juga dihujahkan bahawa Majistret, dalam alasan penghakimannya telah merujuk kepada kes Chan Pean Leon v. PP [1956] MLJ 237 dan seterusnya berkata:
“Keterangan SP2 dan SP3 yang melibatkan Tertuduh, dan Tertuduh 2 sedang menulis sesuatu menunjukkan kedua-dua Tertuduh mempunyai kawalan dan penjagaan serta fakta ini juga membuktikan mereka tahu apa kandungannya, di mana kandungan kesemua dokumen yang dirampas telah dibuktikan [10]ada kaitan dengan judi ekor haram. Elemen-elemen ini membuktikan barang-barang kes dimiliki oleh kedua-dua Tertuduh.
Setelah pemilikan telah dibuktikan oleh pihak Pendakwa…”
Berdasarkan keterangan yang ada, saya bersetuju dengan penemuan fakta dan undang-undang oleh Majistret yang membicarakan kes ini. Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya mengalih penemuan itu sewenang-wenangnya.
Ada beberapa lagi yang dibangkitkan dalam hujah peguam-peguam pembelaan yang pada pandangan saya adalah remeh dan tidak perlu dibincangkan satu persatu. Majistret telah meniliti, membincang dan membuat keputusan mengenainya dan saya bersetuju dengannya.
Hanya satu perkara lagi yang saya ingin sebut iaitu mengenai hujah bahawa Majistret tidak menimbang pembelaan Perayu-perayu secukupnya.
Perbincangan “Kes Pembelaan” oleh Majistret terdapat muka surat 86 hingga 90 di bawah dua tajuk, pertama “Kes pembelaan” dan, kedua. “Sama ada Pembela Berjaya Menyangkal Kes Pendakwaan”. Beliau meringkaskan keterangan Tertuduh 1 (SD1) Tertuduh (SD2) dan SD3. Beliau telah membincangkan berkenaan milikan tiket-tiket loteri ekor haram itu, dan memutuskan:
“Kesimpulannya, pihak Pembela telah gagal menyangkal fakta pemilikan P9 hingga P23 oleh kedua-dua Tertuduh. Fakta ini juga telah mengagalkan Pembela menyangkal yang tiket-tiket masih “in progress” kerana isu ini telah dibuktikan oleh pihak Pendakwaan.”
Selepas itu Majistret itu telah membincang pula mengenai hujah mengenai ada kemungkinan dokumen-dokumen dalam kes ini bercampur dengan dokumen-dokumen dalam satu kes lagi dan memutuskan:
Di dalam kes sekarang ini, tiada wujud keraguan tentang identiti P9 hingga P23. Ini adalah kerana P9 hingga P23 telah ditanda dengan A hingga 0 masing-masing dan SP2 telah mengesahkan dengan pasti P9 hingga P23 adalah dokumen-dokumen yang beliau rampas daripada atas meja dalam premis itu.”
Ini adalah penemuan fakta yang dibuat setelah mendengar saksi-saksi. Saya tidak fikir daya patut berdasarkan keterangan yang ada, mengalihkan penemuan fakta itu.
Memang betul Majistret dalam alasan penghakimannya setebal 28 mukasurat itu tidak berkata bahawa beliau mendapati pembelaan kedua-dua Tertuduh berkenaan sebab mereka berada di tempat kejadian itu tidak munasabah dan tidak boleh diterima. Tetapi, daripada apa yang tersirat dalam alasan penghakimannya, adalah jelas bahawa itulah pandangannya.
Kesimpulnnya saya dapati tidak terdapat kesilapan yang mematutkan Mahkamah ini mengalih (reverse) keputusan Majistret itu.
Berkenaan hukuman, Majistret itu juga telah membincangkan dengan panjang lebar. Beliau merujuk kepada kes-kes mengenai prinsip hukuman. Beliau mengambil maklum bahawa kegiatan menjalankan loteri haram “dibiayai, dimonopoli dan disokong oleh sindiket-sindiket haram”, bahawa hukuman denda akan boleh dibayar dengan mudah. Beliau mengambil kira kepentingan awam, beliau mengambil kira bahawa kegiatan itu amat berleluasa di Butterworth khasnya di Pulau Pinang amnya, satu fakta yang, sebagai Majistret di Butterworth beliau tentu lebih maklum. Atas faktor-faktor beliau menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda sebanyak RM30,000 seorang. Saya dapati hukuman yang dijatuhkan dalam kes ini dan tidak terdapat apa-apa kesilapan beliau, dari segi fakta atau undang-undang mengenainya.
Saya menolak rayuan dan mengesahkan sabitan dan hukuman.
Bertarikh 16 September 1997.
signed
(Dato’ Abdul Hamid bin Haji Mohamad)
Hakim Mahkamah Tinggi Malaya
Pulau Pinang

185 visits