PENDAKWA RAYA lwn. ROHANI AHMAD & LAIN LAGI & KES LAIN

PENDAKWA RAYA lwn. ROHANI AHMAD & LAIN LAGI & KES LAIN
HIGH COURT MALAYA, KUALA LUMPUR
ABDUL HAMID J
KES JENAYAH NO: 45-5-96
6 MAC 1997
[1997] 2 CLJ 448

PROSEDUR JENAYAH: Akhir kes pendakwaan – Beban pembuktian – Ujian yang perlu dipakai – Pindaan melalui Akta A979 – Ujian kes prima facie – Samada retrospektif – Tertuduh diperintah dibicarakan di Mahkamah Tinggi 4 bulan sebelum pindaan berkuatkuasa – Perbicaraan bermula hanya selepas pindaan berkuatkuasa – Samada ujian kes prima facie terpakai – Samada ujian melampaui keraguan yang munasabah – Pertimbangan Arulpragasan Sandaraju lwn. Public Prosecutor

PROSEDUR JENAYAH: Laporan polis – Dibuat selepas siasatan polis bermula – Samada merupakan “information relating to the commission of an offence” – Samada boleh diterimasuk sebagai keterangan – Kanun Acara Jenayah, ss. 107& 108A

PROSEDUR JENAYAH: Percakapan hemat – Kesukarelaan – Pemberian amaran – Tidak menepati sepenuhnya kehendak s. 113 Kanun Acara Jenayah- Maksud dan akibat amaran tidak diterangkan dengan jelas – Samada kecacatan yang memudaratkan – Kanun Acara Jenayah, s. 113

UNDANG-UNDANG JENAYAH: Bunuh – Niat bersama – Unsur-unsur kesalahan – Samada dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah – Keterangan – Pergantungan semata-mata kepada keterangan rakan sejenayah – Samada memadai – Kanun Kesiksaan, ss. 302 & 34
Tertuduh-tertuduh (‘OKT1, OKT2, OKT3 & OKT4’) dalam kedua-dua kes di sini menghadapi tuduhan di bawah s. 302 Kanun Kesiksaan dibaca bersekali dengan s. 34 Kanun yang sama. Keempat-empat mereka telah pada mulanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di mana, pada 10 Oktober 1996, Tuan Majistret telah mengarahkan supaya mereka dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Sepertimana halnya, perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada 17 Februari 1997, iaitu kira-kira empat bulan kemudian.
Keterangan menunjukkan bahawa kematian si mati adalah disebabkan oleh kecederaan yang di alaminya setelah beliau digelek dengan kereta, dan dibakar hidup-hidup selepas dicederakan sedemikian. Adalah ketara, dari keterangan yang wujud, bahawa OKT4 adalah orang yang memainkan peranan utama dalam pembunuhan ini. Beliaulah yang menggelek dan membakar si mati. Berhubung penglibatan OKT1, OKT2 dan OKT3, keterangan terhadap mereka datang dari PW3 yang, sedikit sebanyak, juga terlibat dalam pembunuhan ini. Antara lain, PW3 telah menghantar OKT1 berjumpa dengan OKT4 sejurus sebelum kejadian. Beliau juga merupakan orang yang membeli minyak yang digunakan oleh OKT4 untuk membakar si mati. Keterangan PW3, yang terpentingnya, adalah, bahawa OKT1, OKT2 dan OKT3 berada bersama-sama OKT4 dalam satu tempoh yang lama sebelum dan selepas pembunuhan tersebut, bahawa terdapat kesan darah yang banyak pada baju ketiga-tiga mereka selepas kejadian, bahawa di pejabat OKT4 kesemua mereka telah disuruh oleh OKT4 untuk menukar pakaian, dan bahawa OKT4 ada bercerita kepadanya, iaitu kepada PW3, bahawa semasa OKT4 memeluk si mati ketiga-tiga mereka telah menikam si mati.
Fakta juga menunjukkan bahawa, walaupun siasatan polis telah bermula pada 13 April 1996 lagi, laporan polis mengenai penangkapan OKT1, OKT2 dan OKT3 hanya dibuat kira-kira dua minggu kemudian. Selain itu, terdapat juga keterangan yang menunjukkan bahawa EW2, iaitu saksi yang merakam percakapan hemat, sewaktu merakamkan percakapan hemat OKT1, telah gagal untuk bertanya OKT1 kenapa percakapan tersebut hendak diberi, atau pun apa yang berlaku semenjak dia ditangkap sehingga dia dikatakan hendak memberi percakapan beramaran tersebut. Dan sewaktu beliau memberi amaran berkanun kepada OKT1, amaran yang diberi hanyalah berbunyi “… jika awak memberi keterangan mungkin awak juga terlibat dalam kes ini”.
Tidak dinafikan bahawa penghakiman majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes Arulpragasan a/l Sandaraju v. Public Prosecutor[1996] 4 CLJ 597telah memutuskan bahawa ujian yang harus dipakai di akhir kes pendakwaan bagi membolehkan pembelaan dipanggil ialah ujian melampaui keraguan yang munasabah. Tidak dinafikan juga bahawa selepas keputusan ini, s.180 Kanun Acara Jenayahtelah dipinda melalui Criminal Procedure Code (Amendment) Act 1997 (Act A979), berkuatkuasa pada 1 Februari 1997, di mana ujian ini telah digantikan dengan ujian kes prima facie. Tidak dinafikan seterusnya bahawa pindaan Akta A979 adalah tidak berkuatkuasa secara retrospektif.
Berlatarbelakangkan fakta-fakta di atas, di hadapan Yang Arif Hakim perbicaraan, persoalan-persoalan berikut timbul untuk penentuan:
(i) Samada, di akhir kes pendakwaan, ujian yang patut dipakai adalah ujian melampaui keraguan munasabah atau pun ujian kes prima facie.
(ii) Samada, walau apa pun ujian yang dipakai, wujud keterangan yang mencukupi bagi memanggil tertuduh untuk membela diri, terutamanya OKT1, OKT2 dan OKT3. (iii) Samada terdapat keterangan yang mencukupi tentang niat bersama.
(iv) Samada laporan-laporan polis, yang dibuat selepas penyiasatan bermula, menepati kehendak s. 107 Kanun Acara Jenayahdan boleh diterimamasuk sebagai keterangan.
(v) Samada percakapan beramaran OKT1, dalam keadaan yang wujud, boleh dikatakan sebagai telah diberi dengan sukarela.
Diputuskan:
[1] Keempat-empat laporan polis di sini, yang dibuat selepas penyiasatan bermula, bukanlah satu “information relating to the commission of an offence” seperti yang termaktub dalam kehendak s. 112 Kanun Acara Jenayah. Laporan-laporan tersebut, dengan itu, tidak boleh diterimamasuk sebagai keterangan.
[1a] Penerimaan atau penolakan laporan-laporan polis ini, bagaimana pun, tidak menjejaskan kes kedua-dua belah pihak. Ini kerana kesemua mereka, pada hakikatnya, memang telah ditangkap.
[2] Tidak terdapat sedikit pun keterangan mengenai apa yang berlaku semenjak OKT1 ditangkap sehingga dia dikatakan hendak memberi percakapan itu, iaitu selama lima hari dia ditahan. Dia tidak disoal mengenai tempoh itu. Dia tidak disoal langsung samada ada sesiapa semasa dia dalam tahanan yang mendorong, mengugut atau menjanjikan sesuatu kepadanya untuk membuat percakapan itu. Dalam keadaan sedemikian Mahkamah tidak berpuashati melampaui keraguan yang munasabah bahawa OKT1 memberi percakapan itu dengan sukarela.
[3] Amaran yang diberi oleh EW2 yang berbunyi “saya terangkan kalau dia beri keterangan ia boleh dipakai” adalah tidak memadai. Begitu juga dengan kata-kata “Jika awak beri keterangan mungkin awak juga terlibat dalam kes ini”, yang mana, bukan sahaja jauh benar larinya daripada kata-kata yang diperuntukkan, malah merupakan satu ‘prevention or discouragement’ yang tidak dibenarkan dibawah s. 114 KAJ. Di samping itu, terdapat juga keraguan samada EW2 telah membaca balik percakapan berkenaan kepada OKT1. Percakapan hemat OKT1, oleh hal yang demikian, tidak boleh diterima sebagai keterangan.
[4] Tertuduh-tertuduh di sini telah diperintahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 10 Oktober 1996. Ertinya, mulai tarikh itu atau esoknya (walau ini tidak praktikal), mereka sudah boleh dibicarakan. Jika mereka telah dibicarakan sebelum 31 Januari 1997, Mahkamah ini semestinya telah memakai ujian melampaui keraguan yang munasabah. Tetapi mereka telah hanya dibicarakan pada 17 Februari 1997 dan ini bukanlah salah mereka.
[4a] Sebelum pindaan melalui Akta A979 berkuatkuasa, tertuduh mempunyai hak substantif untuk ditimbang dan diputuskan berdasarkan ujian melampaui keraguan yang munasabah yang lebih memihak kepada mereka, samada hendak dipanggil untuk membela diri ataupun tidak. Pindaan itu, jika dipakai terhadap mereka akan “merampas” hak mereka itu. Adalah satu prinsip undang-undang bahawa satu pindaan yang “merampas” hak substantif seseorang tidak boleh dipakai secara retrospektif melainkan pindaan itu dengan jelasnya menyatakan demikian.
[4b] Mengambilkira hakikat di atas, dan hakikat bahawa, jika Mahkamah ini memakai ujian “prima facie”, ianya lebih “tidak menguntungkan” tertuduhtertuduh berbanding dengan hak yang mereka telah miliki sebelum 1 Februari 1997, ujian yang dipakai haruslah ujian “melampaui keraguan yang munasabah”, dan bukannya ujian kesprima facie.
[5] Berhubung dengan kes terhadap OKT1, OKT2 dan OKT3, keterangan yang dikemukakan oleh PW3 adalah tidak memadai untuk Mahkamah membuat andaian bahawa mereka mempunyai niat bersama untuk membunuh si mati. Yang pastinya, dari keterangan PW3 tersebut, tidak ada sedikit pun keterangan mengenai penglibatan ketiga-tiga OKT dalam perbuatan menggelek si mati dengan kereta atau pun membakarnya. Selain itu cerita mengenai mereka menikam si mati hanyalah cerita yang dikatakan oleh PW3 sebagai telah diceritakan kepadanya oleh OKT4. Kemungkinan OKT4 membabitkan OKT1, 2 dan 3 untuk mengurangkan tanggungjawabnya sendiri tidak boleh ditolak.
[5a] PW3 adalah seorang rakan sejenayah. Keterangannya sahaja, tanpa disokong oleh keterangan lain tidaklah memadai, dan tidak selamat untuk membabitkan seseorang. Kesimpulannya, pendakwaan tidak berjaya membuktikan melampaui keraguan yang munasabah yang jika tidak disangkal membolehkan Mahkamah ini mensabitkan OKT1, OKT2 dan OKT3 atas pertuduhan yang dihadapi oleh mereka. Walau apa pun, perlu dinyatakan, bahawa, berdasarkan keterangan yang ada, jikapun pendekatan prima facie digunakan, keputusan Mahkamah adalah sama, iaitu tidak cukup keterangan untuk memanggil mereka membela diri.
[6] Berhubung kes terhadap OKT4, selain keterangan PW3, terdapat juga keterangan Pegawai Penyiasat mengenai penemuan kereta yang terbakar itu, mayat si mati yang rentung serta payung di tempat kejadian. Juga terdapat keterangan PW6, seorang rakan OKT4, bahawa OKT4 ada menaliponnya bertanyakan samada PW6 melihat kereta terbakar di tempat yang sama. Kesemua ini adalah keterangan sokongan mengenai butiran-butiran material. Kesimpulannya, Mahkamah berpendapat bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan terhadap OKT4, walaupun memakai ujian malampaui keraguan yang munasabah, bahawa terdapat satu kes terhadapnya yang, jika tidak disangkal, membolehkan Mahkamah mensabitkannya atas pertuduhan terhadapnya itu. Beliau oleh itu dipanggil untuk membela diri.
[Perintah sekadarnya.]

Case(s) referred to:
Pendakwa Raya v. Ismail bin Atan [1994] 2 CLJ 1253 (dirujuk)
Public Prosecutor v. Aidil bin Ma’arof [1992] 2 CLJ 1239 (dirujuk)
Public Prosecutor v. Mohd.Fuzi bin Wan Teh & Anor. [1989] 2 CLJ 652 (dirujuk)
Public Prosecutor v. Didie bin Ma’arof [1992] 2 CLJ 1239 (diikuti)
Hasibullah bin Mohd Ghazali v. Public Prosecutor [1993] 4 CLJ 535
Arulpragasan all Sundaraju v. Public Prosecutor [1997] 1 MLJ (diikuti)
Abu Bakar bin Osman v. Pendakwa Raya (Rayuan No. 05-114-89) (dirujuk)
National Land Finance Co. Operative Society Ltd. v. Director-General of Inland Revenue [1993] 4 CLJ 339 MA. (dirujuk)
Malayan Banking Bhd. v. Siong Electronic Industries [1981] Sdn. Bhd. & Ors. [1994] 3 CLJ 68 (dirujuk)
Sim Seoh Beng & Anor. v. Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd. [1995] 1 CLJ 491 (dirujuk)
Cheah Boon Tat v. Pendakwa Raya Malaysia [1995] 3 AMR 2623 (dirujuk)
(1) Namasiyiam, (2) Rajindran, (3) Goh Chin Peng and (4) Ng Ah Kiat v. Public Prosecutor 1987 CLJ 241 [1987] 2 MLJ 336 MA (dirujuk)
Public Prosecutor v. Abdul Aziz Sou & Ors. [1993] 1 CLJ 138 [1978] MLJ 165 (dirujuk)
Goh Khiok Phiong v. Regina [1954] 1 LNS 18
P.P v. Mohamed Kassim bin Yatim [1976] 1 LNS 105 [1977] 1 MLJ 64 (dirujuk)
Re Soo Keat [1956] 1 MLJ 54 (dirujuk)
Nathan V. Public Prosecutor [1972] 1 LNS 99
Legislation referred to:
Akta Tafsiran 1967, s. 19
Kanun Acara Jenayah, ss. 107, 108(A), 112(5), 113, 114, 180Criminal Procedure Code,
Counsel:
Bagi pihak tertuduh – Karpal Singh (Jagdeep Singh bersamanya); T/n. Karpal Singh& Co.
Bagi pihak Pendakwa Raya – Ishak bin Yusoff

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed J:
Terdapat dua kes yang di dengar bersama. Kes No. 45-5-96 melibatkan tiga orang tertuduh, Rohani (disebut sebagai OKT1 selepas ini), Romzi (OKT2), Fauzi (OKT3). Pertuduhan terhadap mereka adalah seperti berikut:
Bahawa kamu bersama-sama dengan seorang lagi yang dituduh di bawah kes No. 81-3-96 iaitu Mohd Saberi bin Othman telah di antara jam 11.00 malam pada 12 April 1996 hingga 1.00 pagi pada 13 April 1996 di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Tasek, Simpang Ampat, dalam Daerah Seberang Prai Selatan, dalam Negerl Pulau Pinang telah melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian Teoh Soo Kim (KP/No: 7331760) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah s. 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama dengan s. 34 Kanun Keseksaan.
Kes No. 45-7-96 melibatkan Mohd. Saberi (yang disebut sebagai OKT4). Tuduhan terhadapnya adalah seperti berikut:
Bahawa kamu bersama-sama dengan tiga (3) lagi yang dituduh dibawah kes No. 81-1/96 iaitu Rohani bte Ahmad, Romzi bin Omar dan Fauzi b. Omar telah di antara jam 11.00 malam pada 12 April 1996 hingga 1.00 pagi pada 13 April 1996 di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Tasek, Simpang Ampat, dalam Daerah Seberang Prai Selatan, dalam Negeri Pulau Pinang telah melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian Teoh Soo Kim (KP/No: 7331760) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah s. 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama dengan s. 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dijalankan oleh Encik Ishak bin Yusuff, Timbalan Pendakwa Raya, manakala kesemua tertuduh dibela oleh Encik Karpal Singh dan Encik Jagdeep Singh.
Dalam perbicaraan ini saya telah membuat beberapa keputusan (‘ruling’) dan rasanya eloklah saya membincang dan memberi alasan-alasan saya mengenainya terlebih dahulu.
Samada laporan-laporan polis mengenai tangkapan semua OKT yang dibuat selepas penyiasatan bermula boleh diterima sebagai keterangan.
Semasa pegawal penyiasat (PW9) memberi keterangan, tiga laporan polis yang masing-masing dibuat olehnya pada 29 Mei 1996 mengenai penangkapan OKT1 dan OKT2 dan pada 3 Jun 1996 mengenai tangkapan OKT3 hendak dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya. Saya bertanya Encik Jagdeep Singh sekiranya beliau mempunyai apa-apa bantahan. Oleh sebab beliau tiada bantahan laporan-laporan itu diterima dan ditanda sebagai P23, P25 dan P26.
Kemudian semasa Encik Jagdeep Singh menyoal balas saksi tersebut beliau mahukan laporan mengenai penangkapan PW3 yang dibuat pada 27 Mei 1996 di kemukakan. Ini dibantah oleh Encik Ishak.
Berbangkit daripada bantahan itu, saya meminta kedua-dua belah pihak berhujah samada keempat-empat laporan itu boleh diterima atau tidak. Kesemuanya mengenai penangkapan yang dibuat selepas penyiasatan bermula. Perlu diambil perhatian bahawa laporan awal diterima pada 13 April 1996 dan penyiasatan bermula semenjak itu.
Setelah mendengar hujah kedua belah pihak saya memutuskan bahawa kesemua laporan-laporan itu tidak boleh diterima.
Seksyen 107 Kanun Acara Jenayah (KAJ)menyebut “Every information relating to the commission of an offence…”. Mengikut s. 108A, ringkasnya maklumat itu boleh diterima sebagai keterangan. Jadi soalan ialah samada laporan-laporan itu merupakan “information relating to the commission of an offence”.
Mengikut buku Criminal Procedure Codeoleh Dr. Mallal yang dipetik oleh James Foong H dalam kes Pendakwa Raya v. Ismail bin Atan [1994] 2 CLJ 1253 (dirujuk)[1994] 2 CLJ 1253 di halaman 1256:
… information in this section means something in the nature of a complaint or accusation or at least information of a crime, given with the object of putting the police in motion in order to investigate as distinguished from information obtained by the police when actively investigating a crime.
Adalah jelas bagi saya bahawa keempat-empat laporan itu, yang dibuat paling awal 14 hari selepas penyiasatan bermula, dan juga dari isi kandungannya, bukanlah satu “information relating the commission of an affence”. Atas alasan ini saya menolak keempat-empat laporan itu.
Walau bagaimanapun, penerimaan atau penolakan laporan-laporan itu tidaklah sedikit pun menjejaskan kes kedua-dua belah pihak, kerana hakikatnya, dan tidak dipertikaikan bahawa kesemua mereka itu ditangkap.
Penolakan percakapan hemat OKT1.
Pihak pendakwaan cuba memasukkan percakapan hemat OKT1. Ini dibantah oleh Peguam tertuduh-tertuduh. Satu perbicaraan dalam perbicaraan di adakan. Pihak pendakwaan memanggil dua orang saksi, iaitu pegawal penyiasat dan pegawai perakam. Pihak tertuduh tidak memanggil saksi langsung. Encik Karpal Singh memilih untuk membuat penghujahan di akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan dalam perbicaraan itu, seperti yang dilakukan dalam kes Public Prosecutor v. Aidil bin Ma’arof [1992] 2 CLJ 1239 (dirujuk)[1992] 2 CLJ 1239 dan juga kes Public
Prosecutor v. Mohd. Fuzi bin Wan Teh & Anor. [1989] 2 CLJ 652. Selepas mendengar hujah kedua belah pihak saya memutuskan bahawa percakapan hemat itu tidak boleh diterima sebagai keterangan.
Tidak dipertikaikan bahawa beban pembuktian terletak kepada pendakwaan untuk membuktikan melampaui keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt) bahawa semua kehendak peruntukan 113 KAJ dipatuh – lihat, antara lain, Public Prosecutor v. Didie bin Ma’arof [1992] 2 CLJ 1239 (diikuti) [1992] 2 CLJ 1239, Hasibullah bin Mohd Ghazali v. Public Prosecutor [1993] 4 CLJ 535(MA).
Biarlah saya bincangkan soal kesukarelaan (voluntariness) dahulu. Pertama, keterangan EW1 (pegawai penyiasat yang juga PW9). Keterangannya ringkas:
Dalam kes ini saya sebagai pegawai penyiasat. Pada 29 May 1996 saya menangkap OKT1 – (dicam). Pada 3 June 1996 saya minta Insp. Bakyah untuk merakam percakapan hemat OKT1. Saya pergi ke pejabat beliau dan minta dia merakam. Saya beritahu OKT1 ada di lock-up Balai Polis Bukit Tambun. Saya tidak beri apa-apa maklumat mengenai latar belakang kes. Insp. Bakyah serahkan rakaman percakapan pada 4 June 1996 di pejabat saya. Saya minta Insp. Bakyah uruskan untuk menghantar OKT ke Ibu Pejabat Polis Daerah, Seberang Perai Selatan. Waktu saya minta Insp.
Bakyah ambil percakapan lebih kurang 11.00 pagi.
Disoal balas beliau berkata:
“OKT1 tak cakap kepada sesiapa, termasuk saya bahawa dia ingin buat percakapan.
Saya langsung tidak sebut mengenai kes ini kepada Insp Bakyah.
Di soal “Apa butir-butir yang diberi kepada Insp. Bakyah?”, beliau menjawab “Tak ada langsung”. Itulah sahaja keterangannya.
Keterangan Insp. Bakyah (EW2) lebih panjang. Saya tidak akan perturunkan kesemuanya. Saya akan perturunkan bahagian-bahagian yang berkenaan semasa membincang sesuatu isu.
Mengenai kesukarelaan katanya:
Saya beritahu OKT1 bahawa dia di bawa berjumpa saya untuk mengambil keterangan. Sebelum keterangan di ambil saya periksa badan OKT1. Saya dapati tiada apa-apa kecederaan dan dia dalam keadaan sihat.
Dia maklumkan kepada saya dia mengandung 5 bulan… Saya tidak pujuk, paksa atau janji kepada OKT1.
Semasa disoal balas beliau berkata, “Sebelum mengambil percakapan saya tidak tanya OKT1 di mana dia di tangkap, dimana dia ditahan dan keadaannya. Saya tanya keadaan kesihatan dia. Saya tak tanya dia mengapa dia hendak buat statement… Dia beri keterangan dengan sukarela.
Itulah sahaja keterangan yang ada mengenai kesukarelaan. Adalah jelas tidak terdapat sedikit pun keterangan mengenai apa yang berlaku semenjak OKTl ditangkap sehingga dia dikatakan hendak memberi percakapan itu, iaitu selama lima hari dia ditahan itu. Dia tidak disoal mengenai tempoh itu. Dia tidak disoal langsung samada ada sesiapa semasa dia berada dalam tahanan yang mendorong, mengugut atau menjanjikan sesuatu kepadanya untuk membuat percakapan itu. Insp Krishnan (EWl), dalam usahanya untuk menjauhkan dirinya daripada OKT1 berkata bahawa OKT1 tidak beritahu kepada sesiapa, termasuknya, bahawa OKT1 hendak beri percakapan. Jika demikian bagaimana beliau tahu OKT1 hendak beri percakapan?
Dalam keadaan ini saya tidak berpuashati melampaui keraguan yang munasabah bahawa OKT1 memberi percakapan itu dengan sukarela.
Amaran
Mengenai amaran keterangan EW2 adalah seperti berikut:
Saya baca amaran di bawah s. 113 Criminal Procedure Code. “Dia kata dia sedia untuk memberi percakapan kepada saya. Saya beri amaran dalam Bahasa Malaysia. Saya baca dua kali. Dia kata dia faham akan keterangan yang saya beri dan terima akibatnya.
Saya baca amaran berpandukan buku Criminal Procedure Codekerana saya takut silap…. Saya baca amaran mengikut buku KAJ(Kanun Acara Jenayah yang baru)
Semasa disoal balas EW2 berkata:
Sebelum saya ambil statement saya baca amaran. Saya terangkan kalau dia beri keterangan ia boleh dipakai… Saya beritahu, “jika awak beri keterangan mungkin awak juga terlibat dalam kes ini.” Itu sahaja. Saya membaca amaran.
Lepas baca saya beritahu akibat seperti yang kata tadi.
Semasa diperiksa semula beliau berkata “Saya baca daripada buku KAJ tahun 1991.”
Tidak diketahui “buku” apakah sebenarnya yang daripadanya EW2 membaca amaran itu, samada dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia dan apakah kandungannya. Buku itu pun tidak dikemukakan. Perkataan-perkataan yang dibaca tidak disebut.
Dalam kes Public Prosecutor v. Mohd. Fuzi b. Wan Teh & Anor. [1989] 2 CLJ 652@ 654 Shaik Daud H (ketika itu) mengatakan, “It is my view that administering of the caution should not be merely a mechanical exercise of just reading it to the accused. PW8 should have not merely read the caution but also explained it and its consequences to the accused. “Penjelasan” yang diberi dalam kes ini ialah “saya terangkan kalau dia beri keterangan ia boleh di pakai.” Ini pada pandangan saya tidak memadai apabila dibandingkan dengan bentuk amaran yang di peruntukkan. Kedua, “Jika awak beri keterangan mungkin awak juga terlibat dalam kes ini”. Ini jauh langsung larinya daripada kata-kata yang diperuntukkan itu, malah merupakan satu “prevention or discouragement” yang tidak dibenarkan dibawah s. 114 KAJ.
Kesimpulannya saya tidak berpuashati mengenai amaran yang diberi.
Samada percakapan dibaca balik dan OKT1 ditanya samada dia hendak membuat pembetulan.
Dalam pemeriksaan awalnya EW2 berkata:
Lepas itu saya beri kepada OKT statement itu untuk dibaca. Lepas baca dia tandatangan setiap halaman. Dia berpuashati dengan keterangan yang diberi… “Saya tanya kalau dia hendak tambah.
Dia kata tiada”
Disoal balas esoknya EW2 berkata :
Saya baca balik statement itu kepada OKT1. Saya juga bagi dia baca sendiri. Saya tidak catat dalam statement itu bahawa saya ada baca balik kepada OKT1. Saya biasa merekod statement s. 113sebelum ini. Biasanya saya ada rekodkan bahawa saya baca balik. Saya ada tanya OKT1 samada dia hendak buat apa-apa pembetulan. Saya tidak catat dalam statement bahawa saya bertanya OKT1 sama ada dia hendak membuat apa-apa pembetulan.
Biasanya saya catat.
S: Awak tak baca balik kepada OKT1?
J: Saya ada baca balik.
Disoal semula, beliau berkata “Dalam setengah kes saya catat bahawa saya baca balik dan sekiranya ada pindaan. Dalam setengah kes tidak. Dalam kes ini saya tak catat sebab saya telah terangkan kepadanya.”
Dalam hal ini s. 112(5) KAJmemperuntukkan:
(1)…
(2)…
(3)…
(4)…
(5) A statement made by any person under this section whether or not a caution has been administered to him under s. 113(1)shall, whenever possible, be taken down in writing and signed by the person making it or
affixed with his thumb print as the case may be, after it has been read to him in the language in which he made it and after he has been given an opportunity to make any corrections he may wish.
Daripada keterangan yang saya perturunkan di atas sekurang-kurangnya terdapat keraguan, pertama, samada EW2 membaca balik percakapan itu kepada OKT1. Pada hari pertama beliau memberi keterangan beliau cuma berkata beliau beri percakapan itu kepada OKT1 untuk dibaca. Tetapi, semasa disoal balas esoknya beliau menambah dan berkata bahawa beliau juga ada baca balik. Tetapi ini tidak dicatatkan walaupun biasanya beliau berbuat demikian.
Mengenai soalan samada beliau ada bertanya OKT1 samada OKT1 hendak membuat apa-apa pembetulan, walau pun beliau berkata beliau ada bertanya, tetapi ini juga tidak dicatatkan. Hal ini juga meragukan.
Atas alasan-alasan ini saya tidak menerima percakapan itu sebagai keterangan.
Beban pembuktian diakhir kes pendakwaan
Semasa berhujah di akhir kes pendakwaan satu persoalan penting telah berbangkit iaitu mengenai beban pembuktian yang patut dibuktikan oleh pendakwaan untuk membolehkan Mahkamah memanggil tertuduh membela diri, iaitu samada mengikut ujian “prima facie ” atau “melampaui keraguan yang munasabah (beyond reasonable doubt).
Sudah terlalu banyak di tulis mengenai hal ini. Saya tidak akan mengulangi sejarahnya semula. Memadailah dikatakan bahawa penghakiman majority Mahkamah Persekutuan dalam kes Arulpragasan all Sundaraju v. Public Prosecutor [1997] 1 MLJ memutuskan bahawa ujian yang betul ialah ujian melampaui keraguan yang munasabah. Selepas itu s. 180 KAJtelah dipinda melalui Criminal Procedure Code (Amendment) Act 1997 (Act A979). Ia diwartakan pada 31 Januari 1997 dan mengikut s. 19 Akta Tafsiran 1967, mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1997.
Tidak dan tidak boleh dipertikaikan bahaw pindaan itu tidak berkuatkuasa secara retrospektif. Mahkamah ini dimaklumkan oleh Encik Karpal Singh dan demikian juga mengikut laporan akhbar, sehari sebelum persoalan ini timbul di Mahkamah ini, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dalam kes Abu Bakar bin Osman v. Pendakwa Raya (Rayuan No. 05-114-89) bahawa pindaan itu tidak berkuatkuasa secara retrospektif.
Tetapi perlu disebut bahawa kes itu telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan kes Arulpragasan dan sebelum pindaan itu dibuat.
Namun demikian, Encik Karpal Singh telah mengemukakan hujah yang amat menarik. Hujahnya begini:
Dalam kedua-dua kes ini, tertuduh-tertuduh telah diperintahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi oleh Majistret pada 10 Oktober 1996. Ertinya mulai tarikh itu, atau esoknya (walau itu tidak praktikal) tertuduh-tertuduh telah boleh dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi. Jika mereka telah dibicarakan antara tempoh daripada tarikh itu hingga 31 Januari 1997, Mahkamah ini semestinya telah memakai ujian melampaui keraguan yang munasabah. Bukan salah mereka mereka tidak dibicarakan dalam tempoh itu. Tetapi, mereka cuma mula dibicara pada 17 Februari 1997, selepas pindaan itu berkuatkuasa. Sebelum pindaan itu berkuatkuasa, mereka telah mempunyai hak substantif untuk ditimbang dan diputuskan berdasarkan ujian melampaui keraguan yang munasabah yang lebih memihak kepada mereka, samada hendak dipanggil membela diri atau tidak. Pindaan itu jika dipakai terhadap mereka dan “merampas” hak mereka itu. Adalah satu prinsip undang-undang bahawa satu pindaan yang “merampas” hak substantif seseorang tidak boleh dipakai secara retrospective melainkan pindaan itu dengan jelasnya mengatakan demiklan. Pindaan ini tidak mengatakan ia berkuatkuasa secara retrospectif. Oleh itu ia tidak boleh dipakai terhadap mereka.
Malangnya Timbalan Pendakwa Raya tidak dapat mengemukakan hujah-hujah sebaliknya untuk membantu Mahkamah membuat keputusan dalam soal ini.
Memanglah betul bahawa sesuatu pindaan yang “merampas” hak substantif seseorang tidak boleh dipakai secara restropektif melainkan ia diperuntukkan dengan jelas. Banyak penghakiman telah diterima mengenainya. Antaranya lihat National Land Finance Co-operative Society Ltd. v. Director-General of Inland Revenue [1993] 4 CLJ 339 MA., Malayan Banking Bhd. v. Siong Electronic Industries [1981] Sdn. Bhd. & Ors. [1994] 1 MLJ 704, Sim Seoh Beng & Anor. v. Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd. [1995] 1 MLJ 292.
Juga tidak boleh dipertikaikan bahawa jika tertuduh-tertuduh ini dibicarakan sebelum 1 Februari 1997, Mahkamah ini akan memakai ujian “melampaui keraguan yang munasabah.” (Perlu disebut disini dalam kedua-dua kes ini kesalahan dikatakan dilakukan pada 12 April 1996. Tangkapan terakhir di buat pada 9 Julai 1996. Perintah supaya mereka dibicarakan di Mahkamah Tinggi dibuat oleh Majistret pada 10 Oktober 1996. Mereka mula dibicarakan pada 17 Februari 1997, iaitu empat bulan kemudian. Saya berani mengatakan bahawa tempoh empat bulan itu adalah satu tempoh yang amat singkat bagi satu kes bunuh yang ditetapkan mengikut perjalanan biasa (in due course). Namun demikian 16 hari sebelum perbicaraan bermula, pindaan itu telah mula berkuat kuasa. Seperti yang dikatakan dalam kes Cheah Boon Tat v. Pendakwa Raya Malaysia [1995] 3 AMR 2623, bukanlah salah tertuduh-tertuduh (malah, bukan salah sesiapa) bahawa perbicaraan tiada bermula sebelum 1 Februari 1997.
Saya telah menimbang persoalan ini semasak-masaknya. Kesimpulannya, saya tidak dapat lari dari hakikat bahawa jika perbicaraan ini telah dimulakan dan Mahkamah ini membuat keputusan ini sebelum 1 Februari 1997, ujian yang dipakai oleh Mahkamah ini adalah ujian “melampaui keraguan yang munasabah” (beyond reasonable doubt). Saya juga tidak dapat lari dari hakikat bahawa, jika Mahkamah ini memakai ujian “prima facie ” hari ini, ia lebih “tidak menguntungkan” (disadvantageous) tertuduh-tertuduh berbanding dengan hak yang mereka telah miliki sebelum 1 Februari 1997.
Jadi, kesimpulannya penghakiman saya ialah Mahkamah ini mestilah menggunakan ujian “melampaui keraguan yang munasabah” (beyond reasonable doubt), dan itulah ujian yang saya pakai dalam membuat keputusan ini.
Walau bagaimanapun jika ujian yang saya pakai itu silap pun, ia tidak memberi kesan kepada keputusan saya memanggil OKT4 membela diri dan melepas dan membebaskan OKT1, 2 dan 3 dalam kes ini. Kerana mengenai OKT4, waluapun saya memakai ujian yang lebih tinggi yang lebih memihak kepadanya, saya masih mendapati bahawa dia patut dipanggil membela diri. Mengenai OKT1, 2 dan 3 pula, saya, semasa membuat keputusan itu, telah juga menimbang dan memutuskan bahawa, jika ujian “prima facie ” dipakai sekali pun, mereka masih tidak sepatutnya di panggil membela diri.
Apakah ujian “melampaui keraguan yang munasabah” itu?
Memadailah dikatakan ia menghendaki Mahkamah membuat penganalisaan maksimum semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan dan membuat keputusan samada pendakwaan telah berjaya membuktikan semua unsur (ingredient) kesalahan itu melampaui keraguan yang munasabah yang, jika tidak disangkal, membolehkan Mahkamah mensabitkan tertuduh-tertuduh itu atas kesalahan yang mereka dituduh melakukannya. Perbincangan yang panjang lebar boleh dilihat dalam kes-kes yang saya telah sebutkan di atas.
Menganalisa keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan:
Kempat-empat tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu dengan niat bersama yang memakai peruntukan s. 34 Kanun Keseksaan.
Rasanya patutlah disebut sedikit mengenai niat bersama ini. Dalam kes (1) Namasiyiam, (2) Rajindran, (3) Goh Chin Peng and (4) Ng Ah Kiat v. Public Prosecutor [1987] 2 MLJ 336 MA, Syed Agil Barakhbah HMA menulis memberi penghakiman Mahkamah itu berkata:
In law, common intention requires a prior meeting of the minds and presupposes some prior concert. Proof of holding the same intention or of sharing some other intention, is not enough.
There must be proved either by direct or by circumstantial evidence that there was (a) a common intention to commit the very offence of which the accused persons are sought to be convicted and (b) participation in the commission of the intended offence in furtherance of that common intention.
Where the prosecution case rests on circumstantial evidence, the circumstances which are proved must be such as necessarily lead only to that inference. Direct evidence of a prior plan to commit an offence is not necessary in every case because common intention may develop on the spot and without any long interval of time between it and the doing of the act commonly intended.
In such a case, common intention may be inferred from the facts and circumstances of the case and the conduct of the accused. (The Supreme Court (of India) on Criminal Law 1950-1960 by J.K. Soonavala p. 188 to 193).
Memandangkan kepada keterangan dalam kes ini, rasanya lebih baik jika saya menimbang kes terhadap OKT1, 2 dan 3 berasingan daripada kes terhadap OKT4.
Sebelum itu eloklah di jelaskan bahawa tidak terdapat keraguan sedikit pun bahawa Teoh Soo Kim telah mati dan bahawa kereta yang terbakar itu adalah kereta si mati.
Saya juga menerima keterangan Dr. Bhurpinder Singh, Pakar Perunding Pathologi Forensik bahawa sebab-sebab kematian simati adalah:
due to expiration of blood due to blunt trauma to the head and face with inhalation of the products of combustion
Saya juga terima keterangan beliau bahawa si mati masih hidup semasa di bakar, bahawa tidak mungkin si mati itu mati kerana kesan tikaman dan bahawa “blunt trauma” di kepala dan muka si mati itu boleh disebabkan oleh tayar kereta.
Penganalisaan keterangan terhadap OKT1, 2 dan 3
Keterangan terhadap OKT1, 2 dan 3 cuma datangnya daripada keterangan Hashim bin Yahaya (PW3). Saya tidak akan memperturunkan kesemua keterangan PW3 yang agak panjang itu. Saya akan butirkan keterangan yang mengenai mereka, tetapi saya mesti tegaskan bahawa di dalam membuat keputusan saya bukan cuma menimbang keterangan ini sahaja, tetapi kepada keseluruhannya: (a) Setelah OKT1 memberitahu PW3 bahawa OKT4 ada talipon menyuruh PW3 menghantar OKT1 ke Toll Sungai Dua, PW3 menghantar OKT1 ke sana.
(b) Semasa memandu perlahan-lahan berhampiran Simpang Ara Kuda 1 PW3 nampak kereta CAD 20 dipandu oleh OKT2 dan memotong keretanya.
(c) Kedua-dua kereta itu masuk ke Bukit Boon Siew.
(d) Semasa PW3 berhenti minum di gerai di Mengkuang Titi, dia nampak kedua-dua kereta itu pusing balik.
(e) Semasa berhenti di tepi Jalan dekat simpang ke Bukit Mertajam OKT2 dan OKT3 berada dalam kereta CAD 20. OKT1 berada bersama-sama OKT4. Masa itu “baju mereka penuh dengan darah.”
(f) Selepas berhenti di tepi Jalan “di atas bukit” mereka bergerak semula. PW3 mengikut di belakang sekali, belakang kereta OKT2 dan 3.
(g) Lepas itu, “mereka balik ke kiri masuk dalam kebun kelapa sawit.”
(h) Di Rumah Rehat Prai, dia lihat ke empat-empat mereka dalam kereta ‘CAD 20.’
(i) Di Pejabat OKT4, OKT4 suruh OKT2 dan OKT3 pergi mandi dan tukar pakaian.
(J) Semasa di Pejabat, PW3 kata OKT4 menceritakan kepadanya bahawa “semasa di Ara Kuda, OKT4 peluk Cina itu dari belakang, masa itu OKT1, OKT2 dan OKT3 tikam di bahagian badan Cina itu.”
Memanglah mereka berada pada tempoh yang lama bersama-sama OKT4. Memanglah mereka dilihat pergi ke sana dan ke sini dengan OKT4. Memanglah PW3 kata baju mereka penuh dengan darah, dan di Pejabat OKT4 mereka disuruh oleh OKT4 pergi mandi dan tukar pakaian. Memanglah mengikut PW3, OKT4 menceritakan kepadanya bahawa semasa OKT4 “memeluk Cina itu dari belakang mereka menikam badan Cina itu.”
Adakah ini sudah mencukupi untuk Mahkamah ini membuat andaian (inference) bahawa mereka mempunyai niat bersama membunuh si mati?.
Perlu diingat semula keterangan PW4 (Pakar Perunding Patologi Forensik) bahawa kecederaan itu tidak boleh menyebabkan kematian. Perbuatan yang boleh menyebabkan kematian ialah perbuatan menggelek dengan kereta (kecederaan di kepala dan muka) dan membakar si mati semasa masih hidup. Kita tidak ada sedikit keterangan pun mengenai penglibatan mereka dalam perbuatan-perbuatan itu.
Selain dari itu cerita mengenai mereka menikam “Cina itu” pun hanyalah cerita yang dikatakan oleh PW3 di ceritakan kepadanya oleh OKT4. Daripada keterangan yang ada jika diterima pun, nampaknya OKT4 adalah orang yang memain peranan utama dalam pembunuhan ini. Tidakkah mungkin dia melibatkan OKT1, 2 dan 3 untuk mengurangkan tanggungjawabnya?
PW3 pula, dari keterangannya sendiri, juga terlibat, menghantar OKT1 ke Toll Sg. Dua untuk menemui OKT4, membawa mereka untuk “beri tempat” (tidak diterangkan untuk apa), membeli minyak dan memberinya kepada OKT4, pergi lihat api itu menyala atau tidak. Dan dialah yang mula ditangkap dan dia mengaku semua tertuduh di tangkap selepas itu atas maklumat yang diberinya. Pendek kata PW3 adalah seorang rakan sejenayah (accomplice). Keterangannya sahaja, tanpa disokong oleh keterangan lain tidaklah memadai, dan tidak selamat untuk mensabitkan seseorang.
Mengenai siapakah seorang “accomplice”, Mohamed Zahir H dalam kes Public Prosecutor v. Abdul Aziz Sou & Ors. [1993] 1 CLJ 138[1978] MLJ 165 di halaman 166 memetik Maule J dalam kes Regina v. Mullins 3 Cox C.C. 526:
An accomplice is a person who has concurred in the commission of the offence
Dalam kes Goh Khiok Phiong V. Regina [1954] 1 LNS 18CA (Sarawak), Mahkamah itu memutuskan:
In deciding whether a witness should be treated as an accomplice the trial Judge should ask himself this question: “Is there any evidence upon which I can properly rule that the witness was a participant in the offence?”
Lihat juga PP v. Mohamed Kassim bin Yatim [1977] 1 MLJ 64 dan Re Soo Keat [1956] 1 MLJ 54.
Daripada keterangan PW3 sendiri yang saya telah perturunkan di atas dan akan perturunkan dalam membincang kes terhadap OKT4 selepas ini, adalah jelas bahawa dia adalah seorang “accomplice.”
Mengenai pendekatan yang patut dibuat saya memilih untuk memakai apa yang dikatakan oleh Ong Hock Sim HMP dalam kes Mahkamah Tinggi Nathan v. Public Prosecuto r [1972] 2 MLJ 101 @ 103:
In applying general principles regarding accomplice evidence, it is advisable to bear in mind what was said in Public Prosecutor v. Haji Ismail and Anor. [1940] MLJ 76. “A magistrate should first decide whether a witness is an accomplice, then determine on the evidence whether he is corroborated in any material particular and then, if he is not corroborated, subject the accomplice’s evidence to a close scrutiny to satisfy himself that without corroboration, there is nevertheless evidence which is credible and sufficient the guilt of the accused.
Dalam kes ini, tidak terdapat apa-apa keterangan daripada mana-mana saksi lain mengenai penglibatan mereka. Apa yang ada hanyalah keterangan PW3.
Kesimpulannya penghakiman saya mengenai mereka (OKT1, 2 dan 3) ialah bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan melampaui keraguan yang munasabah yang jika tidak disangkal membolehkan Mahkamah ini mensabitkan mereka atas pertuduhan ini.
Saya ingin menjelaskan juga, jika ujian prima facie dipakai pun, keputusan saya sama juga, iaitu tidak cukup keterangan untuk memanggil mereka membela diri.
Oleh itu ketiga-tiga mereka dilepaskan dan dibebaskan.
Kes terhadap OKT4
Saya akan ringkaskan keterangan PW3 dulu.
Pada 12 April 1996 jam lebih kurang 6 petang, PW3 pergi ke Sungai Bogak, ke rumah kawannya bernama Aziah. OKT1 berada di sana. OKT1 memberitahu PW3 bahawa OKT4 menaliponnya menyuruh PW3 menghantar OKT1 ke tol Sungai Dua. Dia menghantar OKT1 ke sana. Di sana dia menemui OKT4. Selepas itu PW3 balik semula ke Pulau Pinang untuk menghantar Nor Aziah.
Kemudian OKT4 menalipon PW3 menyuruhnya pergi semula ke Toll Sungai Dua. Dalam percakapan talipon itu OKT4 berkata dia sudah dapat lelaki Cina itu. PW3 pergi semula dan ikut Jalan Sungai Dua hingga ke suatu simpang. Di sana dia nampak kereta bernombor CAD 20. OKT4 seorang sahaja dalam kereta itu. Lepas itu PW3 mengikut kereta OKT4. Kereta OKT4 masuk ke simpang Ara Kuda. PW3 pergi, kemudian pusing balik. PW3 terus pandu perlahan-lahan. Kemudian B kereta OKT4 memotong keretanya.
Kemudian OKT4 menalipon PW3 dan memberitahunya dia hendak pergi ke Bukit Boon Siew dan menyuruh PW3 mengikutnya.
PW3 mengikutnya dan kereta yang dipandu oleh OKT4 dan sebuah lagi masuk ke Bukit Boon Siew.
PW3 berhenti minum di Mengkuang Titi. Dia nampak kedua-dua kereta itu pusing balik. Dia terima panggilan talipon daripada OKT4 lagi. OKT4 menyuruh PW3 mengikutnya dan membeli minyak. OKT4 juga kata dia sedang cuci kereta kerana kereta banyak darah. PW3 beli minyak. Lepas itu OKT4 menalipon PW3 menyuruhnya pergi ke “Highway Sungai Dua”. Dia pergi dan jumpa kedua-dua kereta. PW3 mengikut kereta OKT4. Sampai di simpang ke Bukit Mertajam mereka berhenti di tepi jalan. Di sana OKT4 kata kepada PW3 dia (OKT4) tak tahu hendak pergi ke mana, masa sudah lama. PW3 juga kata dia tak tahu hendak pergi ke mana. OKT4 kata ikut jalan lama pun tak mengapa, dia (OKT4) takut hendak ikut lebuhraya. PW3 tidak tahu sebabnya, masa itu baju mereka semua penuh dengan darah.
Mereka bertolak semula. Sampai di satu tempat di atas bukit, mereka berhenti di tepi Jalan. PW3 beri minyak kepada OKT4, PW3 kata dia tak tahu hendak pergi ke mana. OKT4 marah kepadanya dan suruh dia “beri tempat juga”.
Mereka berjalan semula mengikut Jalan Bukit junjung. Sampai di atas bukit mereka berhenti lagi. PW3 berkata, antara lain, “ikut suka merekalah hendak pergi ke sebelah mana”.
Mereka bergerak lagi. Kedua-dua kereta itu belok “ke dalam hutan kelapa sawit”. PW3 terus hendak balik. Kemudian PW3 terima panggilan talipon daripada OKT4 menyuruh PW3 “pergi tengok api kereta itu menyala atau tidak.” PW3 patah balik dan pergi melihatnya, dia nampak api menyala besar.
Selepas itu OKT4 menaliponnya lagi menyuruh PW3 menemuinya di Rumah Rehat Prai. Di sana OKT4 mencerita kepadanya “semasa masuk dalam hutan kelapa sawit tadi itu, bonet kereta dia terbuka dan Cina itu keluar lari. Mereka ikut Cina itu sampai jatuh. Dia ambil kereta dia langgar Cina itu. Cina itu ada di bawah kereta, dia ambil minyak, ambil payung dan cucuh kereta itu.
Atas ajakan OKT4, PW3 bersama-sama tertuduh lain, pergi ke pejabat OKT4. Di sana OKT4 suruh OKT2 dan OKT3 tukar baju dan suruh mereka pergi mandi. OKT4 dan adiknya pergi bakar pakaian itu di belakang pejabat itu. OKT4 suruh adiknya ambil seluar untuk OKT2 dan OKT3 pakai untuk balik.
Selain daripada keterangan PW3, terdapat keterangan pegawai penyiasat (PW9) mengenai penemuan kereta yang terbakar itu, mayat si mati yang rentung dan payung ditempat kejadian.
Juga terdapat keterangan PW6, seorang rakan OKT4 yang bekerja di Crystal Golf Resort bahawa pada 13 April 1996 OKT4 menaliponnya bertanya sama ada PW6 ada nampak kereta terbakar di sana.
Seperti saya telah putuskan PW3 adalah seorang rakan sejenayah (accomplice). Adalah tidak selamat untuk memanggil OKT4 membela diri hanyalah atas keterangannya sahaja.
Tetapi, saya dapati ada keterangan sokongan mengenal butiran-butiran penting (material particulars) iaitu daripada keterangan PW9 mengenai penemuan dan keadaan kereta, mayat dan payung ditempat kejadian, daripada PW4 mengenai sebab-sebab kematian dan, walaupun agak neutral, keterangan PW6 mengenai panggilan talipon yang diterimanya daripada OKT4 esoknya.
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pendakwaan telah berjaya membuktikan terhadap OKT4, walaupun memakai ujian melampaui keraguan yang munasabah bahawa terdapat satu kes terhadapnya yang, jika tidak disangkal, membolehkan Mahkamah ini mensabitkannya atas pertuduhan terhadapnya itu. Oleh itu saya memanggilnya membela diri.

467 visits