HASHIM BIN MD ARIFF v. SITI BTE JUSOH @ SITI BT YUSOF

HASHIM BIN MD ARIFF v. SITI BTE JUSOH @ SITI BT YUSOF
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
GUAMAN SIVIL NO. 22-305-95
15 NOVEMBER 1996
[1996] 1 LNS 549
JUDGMENT

(Lampiran 8)
Plaintif adalah salah seorang cicit dan waris Assin @ Lebai Hashim bin Haji Salleh (Si mati) yang meninggal dunia di awal abad ini. Si Mati meninggalkan sebidang tanah di Seberang Perai Tengah. Surat mentadbir harta pesaka Si Mati itu telah dlkeluarkan oleh Mahkamah ini pada 28 Februari 1963 kepada Jusoh bin Din, salah seorang cucu Si Mati. Jusoh tidak membahagikan pesaka itu kepada waris-waris Si Mati. Jusoh meninggal dunia dalam tahun 1969. Plaintif dan sembilan orang waris-waris lagi mendapat tahu bahawa Defendan, anak kepada Jusoh, tanpa persetujuan waris-waris lain telah pun mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan mencatakan namanya sebagai “Berkuasa Harta Pesaka” ke atas tanah itu. Defendan juga telah memasuki satu perjanjian jual-beli untuk menjual tanah itu. Maka untuk menjaga kepentingan Plaintif dan waris-waris lain, Plaintif telah memasukkan satu kaveat persendirian.
[Page 2]
Pada 29 November 1995, atas permohonan Plaintif secara ex parte, saya melanjutkan kaveat itu sehingga perintah selanjutnya.
Melalui Saman dalam Kamar yang difail pada 12 April 1996 (Permohonan ini) Defendan memohon supaya perintah itu diketepikan dan kaveat itu dibatalkan.
Soal pertama ialah sama ada Plaintif mempunyai kepentlngan yang memberikannya hak untuk mengkaveat tanah itu seperti yang diperuntukkan oleh seksyen 323 Kanun Tanah Negara.
Si Mati meninggal dunia di awal abad ini. Plaintif adalah salah seorang cicitnya. Terdapat beberapa banyak cucu-cicit Si Mati lagi – lihat carta dalam afidavit Plaintif di Lampiran 2. (Sekali imbas saya tidak fikir carta itu lengkap. Tetapi biarlah perkara itu dibuktikan dalam perbicaraan tuntutan ini kelak). Plaintif bersama-sama waris lain, selain daripada Defendan sedang dalam proses mendapatkan Surat Mentadbir de bonis non. Defendan tidak menafikan bahawa nama-nama yang tersebut dalam carta itu bukan waris-waris Si Mati. Kalau Defendan mengatakan sedemikian pun, perkara itu bukanlah boleh diputuskan melalui keterangan afidavit. Saya berpendapat bahawa sekurang-kurangnya terdapat persoalan yang serius untuk dibicarakan sama ada Plaintif dan “waris-waris lain” itu, sebenarnya waris-waris Si Mati dan bahawa mereka mempunyai kepentingan yang boleh dilindungi oleh kaveat.
[Page 3]
Mengenai imbangan kesesuaian, saya tiada sedikit keraguan pun bahawa ini adalah satu kes yang mana kaveat patut dikekalkan sehingga perbicaraan kes ini.
Seperti yang saya telah sebut, Si Mati meninggal dunia di awal abad ini. Sudah terdapat tiga generasi selepas itu. Bayangkan berapa banyak bilangan mereka. Apa yang Defendan lakukan ialah dia mengambil alih peranan bapanya sebagai Pentadbir. Dia mengemukakan cuma tiga nama, iaitu adik beradiknya sendlri, sebagai waris-waris kepada Pejabat Kadi Besar Pulau Pinang dan mendapat Sijil Faraid yang membahagikan pusaka itu kepada ketiga-tiga mereka sahaja, seolah-olah itu pusaka bapa mereka.
Kita sedia maklum bahawa Kadi Besar cuma memberi pendapat mengenai bahagian waris-waris mengikut bilangan waris-waris, jantina dan hubungan kekeluargaan mereka masing-masing. Kadi Besar tidak dan tidak berupaya memastikan sama ada nama-nama yang diberi kepadanya itu sahajalah waris-waris yang sebenar. Sijil Faraid itu sendiri menyebut:
“PERHATIAN: Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa dalam menentukan waris-waris sebaliknya hanya berkewajipan untuk menentukan bahagian mengikut hukum syarak ”
Pihak Plaintif juga telah mendapat satu Sijil Faraid lain yang membahagikan pusaka itu kepada 13 orang (termasuk Baitul Mal).
[Page 4]
Soal siapa waris-waris sebenar cuma boleh diputuskan oleh Mahkamah ini selepas perbicaraan.
Sekali imbas pun sudah nampak bahawa Defendan bersama-sama adik-beradik sebapa dengannya cuba membolot kesemua pusaka nenek mereka dan mengetepikan hak waris-waris lain. Defendan juga telah memasuki perjanjian jual-beli untuk menjual tanah tersebut. Tiada sebarang perjanjian jual-beli diekshibitkan setakat ini. Tetapi, daripada pengalaman saya di Pulau Pinang ini, biasanya ada dalang di sebaliknya yang menggunakan orang-orang seperti Defendan untuk membolehkannya membeli tanah seperti itu. Kalau diperhatikan salinan “Interim Register” yang diekshibitkan, terdapat satu cacatan yang mengatakan bahawa seorang bernama Tay Meng Hock telah memasukkan kaveat persendirian yang berkuasa mulai 14 Julai 1995. Mungkin, saya kata mungkin, dialah pembelinya.
Saya berpendapat bahawa saya berhak mengambil kira fakta-fakta ini dalam menimbangkan imbangan kesesuaian. Mahkamah ini tidak akan membiarkannya dipergunakan untuk melakukan suatu salah laku yang akan merampas hak waris-waris lain yang besar kemungkinan juga berhak. Saya katakan dengan tegas dan jelas bahawa sekali imbas pun ternampak ada frod dalam kes ini. Tetapi, biarlah semua itu diputuskan dalam perbicaraan kelak. Sehingga itu kaveat ini patutlah dikekalkan untuk menjaga kepentingan [Page 5] berbelas-belas orang lain yang juga mengaku sebagai waris Si Mati.
Atas alasan-alasan ini saya menolak permohonan Defendan dengan kos.
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamad
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA.
1. Cik R. Sharmni (Tetuan R. Sharmni, Siva Ramlah & Co.) bagi pihak Plaintif.
2. En. N. Nakaretnam (Tetuan Retnam, Ahmad Azhar & Co.) bagi pihak Defendan.
15.11.96.

94 visits