SOO AH CHONG v. TAN SAW CIE & 1 ORS

HIGH COURT, PULAU PINANG
PETISYEN PERCERAIAN NO. 33-305-95
16 SEPTEMBER 1996
[1996] 1 LNS 538
Case(s) referred to:
1. Lim Bee Cheng v. Christppher Lee Joo Peng [1996] 2 CLJ 697; [1966] 1 AMR 1096
2. Re Heng Peng Hoo & Anor. [1989] 3 MLJ 103
3. Ng Kim Seng v. Kek Mew Leng [1992] 2 SLR 872
4. Chan Yeong Keay v. Yeo Mei Leng [1994] 2 SLR P 541
5. Ng Hwee Keng v. Chia Soon Hin William [1995] 2 SLR 231

Counsel:
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA
1. En. See Ewe Lin (Tetuan Ooi Lee & Co.) bagi pihak Pempetisyen.
2. En. Patrick See (Tetuan John Heah & Co.) bagi pihak Responden.

ALASAN PENGHAKIMAN
Pempetisyen (Suami) memfail Petisyen Perceraian mohon perintah:
(a) perkahwinannya dengan Responden (isteri) dibubarkan?
(b) Responden (isteri) membayar nafkah RM300.00 sebulan kepadanya;
(c) sebagai alternatif, supaya Responden memindahmilik 1/2 bahagian rumah pangsa Blok 40-09-11, Lorong Semarak Api Satu, 11500 Air Itam, Pulau Pinang;
(d) supaya Responden bersama membayar gantirugi kepadanya;
(e) kos.
Pada 21 Mac 1996, dengan persetujuan, saya membuat perintah pembubaran perkahwinan itu. Perbicaraan diteruskan mengenai prayer (b) dan (c).
Pada 28 Mei 1996 Pempetisyen menarik balik prayer (b), untuk nafkah. Maka cuma tinggal prayer (c) sahaja untuk dibicarakan dan diputuskan.
[Page 2]
Setelah meneliti keterangan yang dikemukakan oleh kedua belah pihak, penemuan fakta saya adalah seperti yang saya akan perturunkan di bawah ini.
Pempetisyen dan Responden berkahwin pada 30 Disember 1971. Pada masa itu Pempetisyen bekerja sebagai seorang kerani. Pendapatannya lebih kurang RM400.00. Selepas tiga tahun dia bekerja sebagai pemandu teksi sapu sehingga tahun lepas (1995). Selepas itu dan sehingga sekarang dia tidak bekerja.
Responden pula, semasa perkahwinannya, bekerja di syarikat Eastern Garment. Pada masa itu gajinya RM1.50 sehari. Pada tahun 1972, apabila dia hamil, dia berhenti kerja. Dia bekerja semula mulai 25 Oktober 1972. Sekarang dia masih bekerja di Eastern Garment sebagai “Supervisor”. Gajinya RM1,180.00 sebulan.
Selepas berkahwin, mereka tinggal di No. 42, Jalan Syed Madar, Pulau Pinang. Rumah itu disewa daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang, sebanyak RM42.00 sebulan. Sewaan dibayar oleh Responden. Dalam tahun 1990 Responden keluar daripada rumah itu dan pergi tinggal dengan ibunya. Ini kerana dia tak tahan diganggu oleh pemiutang-pemiutang yang selalu datang mencari Pempetisyen. Sebelum itu Pempetisyen telah pun lari ke Sungai Petani untuk mengelak daripada pemiutang-pemlutang yang selalu mencarinya.
[Page 3]
Mereka mempunyai seorang anak yang dilahirkan dalam tahun 1972. Pempetisyen tidak pernah menanggung perbelanjaan saraan dan persekolahan anaknya selain daripada memberi “duit poket” semasa anaknya itu masih kecil. Cuma semasa dia dalam Darjah 1 sahaja bapanya (Pempetisyen) menghantarnya ke sekolah. Respondenlah yang menyara anak mereka itu.
Dalam tahun 1987, mereka membeli satu unit rumah pangsa kos rendah berharga RM25,000.00. Rumah inilah yang menjadi rebutan sekarang. Pempetisyen mahu kesemuanya dan dia hendak menjualnya. Responden juga mahu kesemuanya dan dia hendak beri kepada anak mereka.
Mereka tidak pernah tinggal di rumah pangsa itu. Ia disewa mulanya dengan harga RM250.00 sebulan, dan sekarang RM280.00 sebulan. Sewaan itu dikutip oleh Responden. Dari wang sewaan itu Responden membayar ansuran sebanyak RM192.29 sebulan, caj penyelengaraan RM35.00 sebulan, Insuran sebanyak RM41.00 dan cukai pintu sebanyak RM204.00 setahun.
Pempetisyen mengatakan dia memberi sumbangan untuk membeli rumah pangsa itu, tetapi dia tidak tahu berapa banyak. Untuk menyokong nyataannya dia mengemukakan satu salinan resit yang diperolehinya daripada pemadu yang menunjukkan bayaran sebanyak RM3,700.00 dibayar – Pl. Resit itu menunjukkan bahawa wang itu diterima daripada [Page 4] kedua-dua mereka, walau pun cek itu mengikut Pempetisyen adalah ceknya. Demikian juga halnya dengan dua bayaran lagi sebanyak RM2,550.00 (P2) dan RM3,750.00 (P3). Jumlah tiga bayaran ini ialah RM10,050.00.
Responden mengatakan dia mengeluarkan wang simpanan pekerjanya berjumlah RM10,000.00 untuk membeli rumah pangsa itu. Dia mengemukakan salinan waran KWSP bernilai RM10,000 bertarikh 1 Jun 1987 (tempoh laku waran itu disambung kepada 30 November 1987 – P14). Patut diambil perhatian bahawa tarikh resit-resit bayaran itu adalah dalam bulan April 1988 iaitu kemudian daripada tarikh waran itu. Jadi keterangan Responden itu adalah munasabah.
Mengikut Responden lagi, untuk membayar baki harga rumah itu, mereka mengambil pinjaman dari Chartered Bank, dan dialah yang membayar balik pinjaman itu. Dia mengemukakan salinan-salinan “Deposit Voucher”, “Loan Repayment Voucher” dan “Loan Statement” – P15 dan P16.
Mengikut Responden lagi, semenjak 1980, hampir setiap bulan Pempetisyen datang meminta wang daripadanya. Dia beri lebih kurang RM100.00 sebulan kepada Pempetisyen. Setiap kali Responden mendapat bonus, Pempetisyen akan datang meminta wang daripadanya, memberi alasan keretanya rosak dan sebagainya dan setiap kali dia memberi antara RM300.00 – RM400.00 kepada Pempetisyen.
[Page 5]
Pada suatu ketika Pempetisyen hendak meminjam sebanyak RM3,000.00 daripada Chartered Bank untuk bayar hutangnya kepada Pemberipindam Wang. Responden dikehendaki dan menjadi penjaminnya. Pempetisyen tidak bayar hutangnya kepada bank. Akibatkan wang simpanan tetapnya dipakai (“uplifted”) untuk membayar – Responden mengemukakan “Fixed Deposit Account Statement”nya (D8) untuk membuktikannya. Hutang Pempetisyen kepada bank melebihi RM8,000.00. Wang Simpanan Tetapnya tidak mencukup. Responden berbincang dengan pihak wang yang membenarnya membayar secara ansuran. Responden membayarnya.
Mengikut Responden lagi, entah bagaimana, Pempetisyen telah memperolehi satu “overdraft” daripada bank berkenaan. Pempetisyen tidak menjelaskan hutang itu. Melalui surat bertarikh 10 Ogos 1992 (D9) pihak bank memberi notis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pempetisyen Jika ia tidak dijelaskan (surat asal bank ini dikemukakan oleh Responden). Responden berkata dia diberitahu oleh pihak bank jlka hutang itu tidak dibayar, ia akan ditambahkan kepada pinjaman perumahan mereka. Responden tidak mahu hutang Pempetisyen itu ditambah kepada pinjaman perumahan. Oleh itu Responden membayarnya secara ansuran.
Seolah-olah itu pun tidak cukup lagi, suatu hari selepas menghadiri tribunal perkahwinan, Pempetisyen telah menyambar beg tangannya. Responden pergi mencari [Page 6] Pempetisyen, tidak berjumpa. Dia pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Pihak polis menyuruhnya mencari Pempetisyen. Dia mencari dan menemuinya di sebuah kedai kopi di Lebih Chulia. Dia dapat balik beg tangannya itu, tetapi dia dapati bahawa wang dan dokumen-dokumennya sudah tiada lagi dalam beg tangannya itu. Dia membuat laporan polis yang juga dikemukakan – D12.
Saya telah memerhati kedua-dua saksi ini. Saya telah meneliti keterangan mereka, bersama-sama keterangan-keterangan saksi lagin. Saya dapati, bukan sahaja atas prinsip kebarangkalian, tetapi, dalam kes ini saya boleh katakan bahawa saya yakin, bahawa keterangan Responden bukan sahaja lebih munasabah, malah adalah benar dan saya terima.
Pempetisyen cuma mengatakan dia ada menyumbang terhadap pembelian rumah pangsa itu, tetapi dia tidak tahu berapa banyak. Dia tidak dapat menunjukkan bahawa apa-apa keterangan dokumentari yang menunjukkan dia ada membuat sumbangan itu, jika ada, dari wangnya sendiri.
Sebaliknya, Responden dapat menceritakan satu persatu bagaimana bayaran-bayaran itu dibuat, disokong oleh keterangan dokumentari semasa. Responden mempunyai kerja dan pendapatan yang tetap. Pempetisyen pula senentiasa hidup sebagai pelarian hutang, diburu oleh pemberi pinjam-pemberi pinjam wang dan bank. Dia tidak pernah [Page 7] menanggung isteri dan anaknya. Malah ditanya sama ada dia menanggung isterinya dia menjawabs “Kami bersetuju dia (Responden) akan makan di rumah emaknya dan saya akan makan di rumah emak saya.” Mengenai anaknya pula dia berkata, “Semenjak kecil dia (anaknya) makan di rumah neneknya,”oleh sebab itu dia (Pempetisyen) tidak perlu beri wang kepadanya (anaknya).
Sepanjang perkahwinanan mereka, Responden menanggung dirinya dan anaknya, membayar hutang-hutang Pempetisyen. Pempetisyen sentiasa meminta wang daripada Responden, malah mencuri wang Responden.
Berdasarkan keseluruhan keterangan saya dapati bahawa Pempetisyen tidak menyumbang kepada pembelian rumah itu. Respondenlah, seorang sahaja yang membayar untuk pembelian rumah itu.
Beralih kepada undang-undang. Seksyen 76(3) dan (4) Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 memperuntukkan:
“76. (1) ……..
(2).…….
(3) The Court shall have power, when granting a decree of divorce or judicial separation, to order the division between the parties of any assets acquired during the marriage by the sole effort of one party to the marriage or the sale of any such assets and the division between the parties of the proceeds of sale.
(4) In exercising the power conferred by subsection (3) the court shall have regard to-
[Page 8]
(a) the extent of the contributions made by the other party who did not acquire the assets to the welfare of the family by looking after the home or caring the family;
(b) the needs of the minor children, if any of the marriage;
and subject to those considerations, the court may divide the assets or the proceeds of sale in such proportions as the court thinks reasonable but in any case the party by whose effort the assets were acquired shall receive a greater proportion.”
Beberapa kes dirujukkan kepada saya dan saya pakai sebagai panduan. Kes-kes itu ialah Lim Bee Cheng v. Christppher Lee Joo Peng [1996] 2 CLJ 697; [1966] 1 AMR 10961, Re Heng Peng Hoo & Anor.2m Ng Kim Seng v. Kek Mew Leng3, Chan Yeong Keay v. Yeo Mei Leng4, Ng Hwe Keng v. Chia Soon Hin William5.
Daripada penghakiman-penghakiman itu dapat difahamkan bahawa, jika satu pihak dalam suatu perkahwinan, tidak kira isteri atau suami, tidak membuat sumbangan kewangan pun terhadap pembelian harta berkenaan, tetapi Jika dia memberi sumbangan dengan cara lain seperti membuat kerja-kerja rumah dan menjaga anak-anak dan dengan cara itu memberi sumbangan kepada kebajikan keluarga mereka, pihak yang tidak memberi sumbangan kewangan itu juga patut mendapat sebahagian daripada harta itu, apabila perkahwinan itu dibubarkan.
Dalam kes ini saya telah membuat keputusan fakta bahawa Pempetisyen bukan sahaja tidak menyumbang langsung kepada pembelian rumah pangsa itu, tetapi, sepanjang perkahwinan itu, dia menjadi parasit. Dia berhutang sekeliling pinggang dan Responden berkali-kali terpaksa menjelaskannya. Lebih dari itu dia memakan hasil titik peluh Responden. Dia tidak menjaga, mendidik atau menanggung anaknya, selain daripada menghantarnya ke sekolah semasa anaknya berada dalam Darjah 1 dan sekali-sekali memberi duit poket kepadanya. Dia (Pempetisyen) menuntut semua rumah pangsa itu diberikan kepadanya. Dalam keadaan ini, saya berpendapat, dia tidak berhak mendapat apa yang dituntutnya itu.
Responden pula menuntut semua rumah pangsa itu diberi kepadanya. Maka soalnya, sama ada permohonannya itu patut dibenarkan atau sebahagian daripada harta itu diberi kepada Pempetisyen.
Berdasarkan penemuan fakta saya yang saya telah sebutkan, saya tidak fikir, dalam keadaan kes ini, Pempetisyen patut mendapat apa-apa bahagian daripada harta itu. Bukan sahaja dia tidak memberi sumbangan kewangan terhadap pembelian rumah itu, bukan sahaja dia tidak memberi sumbangan bukan-wang kepada kebajikannya keluarganya, hutangnya yang tidak berkaitan dengan pembelian rumah Itu pun dibayar oleh Responden. Wang [Page 10] Responden pun diambilnya, dengan cara meminta atau selainnya.
Saya percaya undang-undang, terutama sekali peruntukan seksyen 76(3) dan (4) Akta 164 itu memberi kuasa kepada saya membuat perintah ini, dan dalam keadaan kes ini, adalah patut.
Oleh itu saya menolak tuntutan Pempetisyen dan memerintahkan Pempetisyen untuk memindahmilik 1/2 bahagiannya rumah pangaa itu kepada Responden dalam tempoh 30 hari dan kos kepada Responden.
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamad
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA
1. En. See Ewe Lin (Tetuan Ooi Lee & Co.) bagi pihak Pempetisyen.
2. En. Patrick See (Tetuan John Heah & Co.) bagi pihak Responden.
SENARAI KES YANG DIRUJUK
1. Lim Bee Cheng v. Christppher Lee Joo Peng [1996] 2 CLJ 697; [1966] 1 AMR 1096
2. Re Heng Peng Hoo & Anor. [1989] 3 MLJ 103
3. Ng Kim Seng v. Kek Mew Leng [1992] 2 SLR 872
4. Chan Yeong Keay v. Yeo Mei Leng [1994] 2 SLR P 541
5. Ng Hwee Keng v. Chia Soon Hin William [1995] 2 SLR 231
16.9.96.

Read 87 times