DAVID S/O ATHISAYAM v. KETUA POLIS NEGERI, KEDAH/PERLIS & 1 ORS

DAVID S/O ATHISAYAM v. KETUA POLIS NEGERI, KEDAH/PERLIS & 1 ORS
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD J
GUAMAN SIVIL NO. 25-779-83
11 SEPTEMBER 1996
[1996] 1 LNS 534

Case(s) referred to:
1. Tan Tek Seng v. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Anor. [1996] 2 CLJ 771; [1996] 1 MLJ 261.
2. Madras Southern Maharatta Ry. Co. Ltd. v. P. Ranga Rao A.I.R. 1940 Madras 269.\

Counsel:
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA
1. En. S.P. Annamalai (Tetuan Annamalai & Co.) bagi pihak Plaintif.
2. Puan Jeleha binti Abu Baidah (Peguam Kanan Persekutuan) bagi pihak Defendan 1 dan 2.

JUDGMENT
Ini, mendukacitakan, adalah satu kes yang sangat tua. Ia dimulakan dalam tahun 1983. Perintah perbicaraan awal diberi dalam tahun 1988. Hanya dengan “tekanan” Mahkamah, Ia akhirnya dapat didengar dan diputuskan.
Plaintif, bekas seorang pegawai polis, mencabar pembuangan kerjanya dan memohon perintah-perintah bahawa pembuangan kerjanya itu tak betul, tak sah dan tak berkesan, bahawa dia hendaklah diambil bekerja semula, gantirugi dan kos. Kedua belah pihak bersetuju hanya soalan undang-undang dihujahkan kerana fakta-fakta tidak dipertikaikan. Saya menolak tindakan dan tuntutan Plaintif. Plaintif merayu.
Seperti yang saya sebutkan, fakta-fakta kes ini tidak dipertikaikan dan saya perturunkan.
Plaintif mula bekerja sebagai konstabel polis pada 1 April 1962. Pada 4 September 1980 dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Patani atas tuduhan di bawah [Page 2]seksyen 90 Akta Polis 1967. Dia mengaku salah dan dihukum denda RM25.00. Dia tidak merayu terhadap sabitan dan hukuman itu. Pada 16 Disember 1980 dia menerima surat yang bertajuk “Buang kerja bertarikh 6 Disember 1980.” Surat itu ditandatangani oleh Ketua Polis Kedah/Perlis. Surat itu berbunyi:
“Pada menjalankan kuasa-kuasa tatatertib yang telah diwakilkan kepada saya oleh Suruhanjaya Pasokan Polis, saya memutuskan anda dibuangkerja di bawah Perintah Am 36(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Perintah Am Bab ‘D’, 1980 mengikut acara yang ditetapkan dalam Perintah Am 35, Peraturan-Peraturan tersebut mulai tarikh anda menerima surat ini, dimana anda telah disabitkan atas tudohan di bawah Seksyen 90, Akta Polis 1967 dan dihokum denda $25/-.”.
Melalui surat bertarikh 22 Disember 1980, Plaintif merayu kepada Ketua Polis Negara. Rayuannya ditolak melalui surat bertarikh 11 Februari 1981. Pada 2 Oktober 1981, lebih dari satu tahun selepas dia dihukum oleh Mahkamah Majistret, dan lapan bulan selepas rayuan pembuangan kerjanya ditolak, peguamnya menulis surat kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Alor Setar, meminta supaya kesnya diulangkaji (revise) oleh Hakim Mahkamah Tinggi. Kajian semula dilakukan dan pada 14 Mac 1982. Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Alor Setar memansuhkan sabitan dan hukuman terhadap Plaintif dan memerintahkan supaya kes itu dibicarakan semula oleh Majistret lain. Plaintif dituduh semula di Mahkamah [Page 3] Majistret Sungai Patani. Selepas perbicaraan dia telah dilepas dan dibebaskan. Plaintif menulis surat beberapa kali untuk diambil bekerja semula tetapi pihak defendan enggan berbuat demikian. Maka Plaintif memulakan tindakan ini.
Peguam Plaintif menghujahkan bahawa notis tunjuk sebab tidak diberi dan Plaintif tidak diberi hak untuk didengar sebelum keputusan membuang kerja itu dibuat. Kepada hujah itu, Peguam Persekutuan menjawab bahawa satu pertuduhan jenayah telah dibuktikan terhadap Plaintif, oleh itu hak untuk didengar tidak perlu diberi lagi. Jawapan kepada hujah itu oleh peguam Plaintif ialah bahawa sabitan dan hukuman itu telah dibatalkan, oleh itu peruntukan Perkara 135(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Am 35(1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Perintah Am Bab “D” 1980, (yang selepas ini akan dirujuk sebagai Perintah Am) tidak boleh dipakai.
Perkara 135(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“135. (1)
(2) No member of such a service as aforesaid shall be dismissed or reduced in rank without being given a reasonable opportunity of being heard:
Provided that this clause shall not apply to the following cases:
(a) where a member of such a service is dismissed or reduced in rank on the ground [Page 4] of conduct in :respect of which, a criminal charge has been proved against him; or”
Perintah Am 33 memperuntukkan:
“33 Where criminal proceedings against an officer result in his conviction, or where his appeal against his conviction has been dismissed, the Head of Department concerned shall apply to the Registrar or Senior Assistant Registrar of the relevant Court for a copy of the judgment of the Court. Upon receipt of the said judgment, the Head of Department shall submit the same to the Appropriate Disciplinary Authority together with full particulars of the officer’s past record of service and recommendation of the Head of Department as to whether the officer should be dismissed from the service or otherwise dealt with depending on the nature and gravity of the offence committed in relation to the degree of disrepute which It brings to the service.”.
Perintah Am 35(1) memperuntukkan:
“35(1) Notwithstanding anything in General Order 23, if after considering the report and documents submitted by the Head of Department in General Order 33 and 34(1), the Appropriate Disciplinary Authority is of the opinion that the officer merits dismissal or reduction in rank, it may forthwith direct accordingly? or if it is of the opinion that the officer should be inflicted with a lesser punishment or otherwise dealt with, the Disciplinary Authority may forthwith inflict upon the officer such lesser punishment or deal with him in such manner as it may deem fit.”
Perbincangan yang panjang lebar mengenai peruntukan-peruntukan ini boleh didapati dalam penghakiman [Page 5] Mahkamah Rayuan dalam kes Tan Tek Seng v. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Anor. [1996] 2 CLJ 771; [1996] 1 MLJ 2611. Dalam kes itu diputuskan, antara lain, oleh sebab Mahkamah Tinggi Muar telah mengekalkan keputusan kebersalahan terhadap Perayu, maka perlindungan yang diberikan oleh Perkara 135 (hak untuk didengar) telah ditarik balik. Ertinya dia tidak berhak diberi had untuk didengar sebelum dibuang kerja.
Mengikut Arahan Am 33, di mana satu prosiding jenayah terhadap seseorang pegawal berkesudahan dengan sabitan atau di mana rayuannya terhadap sabitan itu telah ditolak, tindakan boleh diambil untuk membuang kerja pegawai itu.
Dalam kes ini Plaintif dituduh di Mahkamah, dia mengaku salah, disabitkan dan dihukum. Dia tidak merayu. Selepas itu tindakan pembuangan kerja itu diambil. Adalah jelas bagi saya bahawa pada masa tindakan itu diambil, tindakan itu adalah sah dan mengikut undang-undang. Hak untuk didengar juga tidak perlu diberi.
Tetapi, apakah kesan pemansuhan sabitan dan hukuman Mahkamah Majistret itu oleh Mahkamah Tinggi kemudiannya dalam ulangkaji itu kepada pembuangan kerja itu?
Dalam penghakiman saya, untuk menjawab persoalan ini, kita perlu teliti peruntukan Perintah Am 33 sekali lagi. Mengikut peruntukan itu ada dua peringkat bila tindakan pembuangan kerja itu boleh dibuat. Pertama, selepas sabitan jika tiada rayuan. Kedua, jika ada rayuan, selepas [Page 6] rayuan itu ditolak. Ertinya, jika tiada rayuan, maka selepas tamat sahaja tempoh untuk merayu tindakan itu sudah boleh dilakukan. Itulah yang dilakukan dalam kes ini.
Soal seterusnya adakah perkataan “appeal” dalam peruntukan itu patut dibaca sebagai termasuk “revision”. Pada pendapat saya adalah tidak munasabah memberi tafsiran sedemikian. Ini kerana, untuk menbuat rayuan, ada tempoh had masanya, iaitu 10 hari. Untuk membuat ulangkaji, tidak ada had masa. Dalam kes ini ulangkaji itu dibuat 1/2 tahun selepas Plaintif disabitkan dan dihukum. Jika “rayuan” itu ditafsirkan sebagai termasuk “ulangkajl”, maka, dalam setiap kes, selepas sabitan, walau pun tiada rayuan, pihakberkuasa tatatertib tidak akan boleh mengambil tindakan di bawah Perintah Am 33 itu. Ia kena tunggu kemungkinan ulangkaji akan dibuat, yang tidak diketahui akan dibuat atau tidak, dan, Jika akan dibuat, bila masanya. Ini akan menghilangkan kesan Perintah Am 33 itu sendiri. Ia juga akan menghalang Lembaga Tatatertib daripada mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai yang telah pun didapati bersalah dan dihukum oleh Mahkamah, dalam masa yang berpatutan. Ertinya, untuk satu tempoh yang tidak diketahui berapa lama, pegawai itu akan kekal dalam jawatannya. Ini semestinya akan memberi kesan yang tidak sihat kepada perkhidmatan jabatan-jabatan kerajaan. Bukan kepentingan individu tidak penting, tetapi, dalam [Page 7] keadaan seperti ini, kepentingan perkhidmatan, kepentingan awam dan negara sepatutnya mengatasi kepentingan individu seperti itu.
Oleh itu saya berpendapat bahawa apa yang patut dilihat ialah sama ada pada masa tindakan pembuangan kerja itu dibuat, ia dibuat mengikut undang-undang atau tidak. Jika pada masa itu ia dibuat mengikut undang-undang, apa yang berlaku selepas itu tidak seharusnya membatalkan keputusan itu. Saya juga mendapat sokongan kepada pendapat ini daripada penghakiman Leach C.J. dan Kunhi Raman J. dalam Madras Southern Maharatta Ry. Co. Ltd. v. P. Ranga Rao2, di mukasurat 271:
“The fact that as a result of revision proceedings the conviction was set aside does not affect the position. If the company had the right to dismiss the respondent when he was convicted it could not be compelled to take him back into its employment when the conviction was set aside at a later date.”
Atas alasan-alasan ini saya menolak tindakan ini dengan kos.
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamad
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang.
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA
1. En. S.P. Annamalai (Tetuan Annamalai & Co.) bagi pihak Plaintif.
2. Puan Jeleha binti Abu Baidah (Peguam Kanan Persekutuan) bagi pihak Defendan 1 dan 2.
[Page 8]
SENARAI KES YANG DIRUJUK
1. Tan Tek Seng v. Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & Anor. [1996] 2 CLJ 771; [1996] 1 MLJ 261.
2. Madras Southern Maharatta Ry. Co. Ltd. v. P. Ranga Rao A.I.R. 1940 Madras 269.
11.9.96.

61 visits