T M FEROZE KHAN DAN LAIN-LAIN v. MEERA HUSSAIN BIN T M MOHAMED MYDIN DAN SATU LAGI

T M FEROZE KHAN DAN LAIN-LAIN v. MEERA HUSSAIN BIN T M MOHAMED MYDIN DAN SATU LAGI
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO 22-19 OF 1993
8 JULY 1996
[1996] 1 LNS 586

Counsel:
Abu Haniffa bin Md Abdullah (Syarikat Abu Haniffa) bagi pihak defendan pertama.
Hamid Sultan bin Abu Backer (Hamid Sultan & Rakan-Rakan) bagi pihak plaintif.
ALASAN PENGHAKIMAN

(Lampiran 60)
Ini adalah permohonan oleh Defendan Pertama untuk membatalkan tindakan ini atas alasan bahawa Plaintif-Plaintif tidak menetapkan tindakan ini untuk perbicaraan dalam tempuh satu bulan seperti yang dikehendaki oleh peruntukan Aturan 25 kaedah 1(1)(b) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980).
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan telah difail pada 15 Januari 1993. Pada hari yang sama Plaintif-Plaintif memohon secara ex parte untuk mendapat perintah injunksi. Perintah diberi esoknya.
Beberapa permohonan dibuat oleh kedua-dua belah pihak selepas itu. Saya cuma akan menyebut mana yang berkenaan sahaja.
[2]
Pada 31 Mac 1993, Defendan Pertama memfail Saman dalam Kamar memohon supaya perintah injunksi dibuat pada 16 Januari 1993 itu dibubarkan atau diketepikan. (Ini sebelum pindaan kepada Aturan 29 KMT 1980 mula berkuatkuasa). Permohonan itu ditolak pada 12 Julai 1994.
Tarikh selanjutnya yang penting ialah 22 Jun 1995. Pada tarikh itu saya membenarkan permohonan Defendan untuk menerima pembelaan yang difailkan pada 14 April 1994 dan pembelaan terpinda yang difailkan pada 21 April 1994.
Mengikut Aturan 25 kaedah 1(1)(b) KMT 1980, Plaintif kenalah mengeluarkan Saman minta Arahan dalam masa satu bulan. Jika tidak, mengikut kaedah (4) Aturan itu, Defendan boleh memohon untuk mendapat perintah supaya tindakan itu dibuang.
Oleh sebab Plaintif tidak mengambil tindakan tersebut pada 8 Mac 1966, iaitu lebih kurang sembilan bulan kemudian, peguam Defendan menulis surat kepada peguam Plaintif-Plaintif memintanya memfail Saman minta Arahan dalam masa tujuh hari, jika tidak beliau akan membuat permohonan untuk membuang tindakan itu.
Plaintif-Plaintif tidak juga berbuat demikian. Sebaliknya mereka membuat satu permohonan melalui Saman dalam Kamar supaya Saman Pemula No. 24-553-92 didengar bersama tindakan ini.
Pada 30 Mac 1996 Defendan Pertama memfail permohonan [3] Sama ada permohonan ini patut dibenarkan atau tidak terletak atas budibicara Mahkamah. Dalam membuat keputusan ini saya mengambil maklum apa yang dikatakan oleh Lord Guest dalam kes Ratnam v. Cumarasamy & Anor.1, di halaman 229:
“The Rules of Court must prima facie be obeyed… If the law were otherwise, a party in breach would have an unqualified right to an extension of time which would defeat the purpose of the rules which is to provide a time table for the conduct of litigation.” ini diikuti oleh Mahkamah Agung dalam kes Lee Guat Eng v. Tan Lian Kim 2.
Memanglah kedua-dua kes itu mengenai permohonan untuk melanjutkan masa. Tetapi prinsipnya terpakai.
Dalam kes ini, sembilan bulan telah berlalu. Apa yang patut dilakukan dalam masa satu bulan masih tidak dilakukan, malah sehingga tarikh permohonan ini didengar. Sementara itu perintah injunksi terhadap Defendan masih berkuatkuasa.
Kerapkali Mahkamah dipersalahkan kerana “melambat-lambatkan perbicaraan”. Tuduhan seperti ini kerapkali tidak adil. Mengikut acara sivil yang terkandung dalam KMT 1980, sesuatu tindakan sivil itu belum sedia untuk diberi tarikh perbicaraan sehingga beberapa perkara dilakukan oleh pihak Plaintif atau, jika dia tidak melakukannya, oleh pihak Defendan. Dia perlu memfail Saman [4] minta Arahan, mendapat perintah dan mematuhinya – lihat Aturan 25. Dia perlu menyerahkan kepada Pendaftar Permintaan Menetapkan Tindakan Untuk Perbicaraan (Borang 63), bersama-sama Ikatan Pliding – Aturan 34. Nota Amalan No. 1 tahun 1969, No. 3 tahun 1970 dan No. 1 Tahun 1977 juga hendaklah dipatuhi. Hanya setelah semua itu dilakukan barulah tindakan itu sedia untuk diberi tarikh perbicaraan. Jika semua itu sudah dilakukan oleh salah satu pihak dalam tindakan itu, tetapi, setelah beberapa lama, Mahkamah masih tidak menetapkan tarikh perbicaraan, barulah Mahkamah boleh dipersalahkan. Dalam kebanyakan kes perkara-perkara itu tidak dilakukan atau dilakukan lewat masa. Walau pun, mengikut aturan, jika pihak Plaintif tidak melakukannya, pihak Defendan boleh melakukannya, sepanjang pengalaman saya belum pernah lihat Defendan melakukannya. Pihak Defendan juga mempunyai pilihan untuk memohon supaya tindakan itu dibuang. Ini juga amat jarang dilakukan. Kes ini adalah salah satu kes di mana ia dilakukan.
Memandang kepada keadaan kes ini, saya berpendapat bahawa permohonan Defendan patutlah dibenarkan dan saya membenarkannya dengan kos.
[5]
SENARAI KES YANG DIRUJUK
1 Ratnam v. Cumarasamy & Anor. [1965] 31 MLJ 28 PC
2 Lee Guat Eng v. Tan Lian Kim [1985] 2 MLJ 195 8.7.96

118 visits