RE-TAN CHONG KEAT v. EX-PARTE ASIA COMMERCIAL PINANCE (M) BERHAD

RE-TAN CHONG KEAT v. EX-PARTE ASIA COMMERCIAL PINANCE (M) BERHAD
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
DALAM KEBANKRAPAN NO. 29-1187-92
19 APRIL 1996
[1996] 1 LNS 545

Case(s) referred to:
1 Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd. [1993] 3 CLJ 324; [1993] 2 MLJ 298.
2 Re Yamaha (Malaysia) Sdn. Bhd. [1990] 1 LNS 76; [1990] 3 MLJ 317.
3 Wee Chow Yong t/a Vienna Music Centre v. Public Finance Bhd. [1990] 1 CLJ 176; [1990] 3 CLJ 349 (Rep) ; [1989] 3 MLJ 508.

Counsel:
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA
1 En. Harjit Singh Sangay (Tetuan Harjit Singh Sangay & Co.) bagi pihak Penghutang Penghakiman.
2. Cik Toh Lee Hong (Tetuan Chew, Tan & Lim) bagi pihak Pemiutang Penghakiman.

JUDGMENT
(Lampiran 27)
Pada 9 Mei 1987 Pemiutang Penghaklman mendapat penghakiman ingkar terhadap Penghutang Penghakiman dalam Guaman Sivil 23-193-1986 di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Penghakiman ingkar ini masih belum diketepikan sehingga hari saya mendengar rayuan ini iaitu pada 15 Januari 1996. Walau bagaimana pun pada 5 Disember 1995 Penghutang Penghakiman memfail permohonan untuk mengketepikan penghakiman ingkar itu, iaitu 8 1/2 tahun selepas penghakiman itu diperolehi.
Prosiding kebankrapan ini dimulakan pada 24 September 1992. Notis Kebankrapan disampaikan secara ganti. Pada 19 Ogos 1993 Penghutang Penghakiman memfail “Affidavit on an application to set aside Bankruptcy Notice Lampiran 11.” Afidavit itu panjang. Ini diikuti oleh berpuluh-puluh afidavit lagi oleh kedua belah pihak. Permohonan Ini (Lampiran 11) didengar dan ditolak oleh Penolong Kanan Pendaftar pada 14 Julai 1994. Enam hari sebelum itu Penghutang Penghakiman memfail Saman Dalam Kamar untuk –
[Page 2]
(a) membantah Notis Kebankrapan “atas alasan-alasan lain. …….. di bawah Kaedah 28 Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969;”
(b) untuk mengketepikan Notis Kebankrapan
(c) Kos. B Permohonan itu belum didengar sehingga sekarang.
Sehari selepas Penolong Kanan Pendaftar menolak Lampiran 11 Penghutang Penghakiman memfail Notis Rayuan, kepada Hakim dalam Kamar.
Pendengaran rayuan ini ditangguh beberapa kali, untuk penyelesaian dan lain-lain. Akhirnya, pada 15 Januari 1996 peguam Penghutang Penghakiman memohon penangguhan lagi. Kali ini kerana beliau telah memfail permohonan untukm mengketepikan penghakiman ingkar pada 5 Disember 1995 dan juga kerana beliau baru memfail afidavit baru untuk memasukkan “keterangan baru”. Permohonan itu difail pada 12 Januari 1996. Beliau mahu permohonan-permohonan itu didengar terlebih dahulu.
Saya menolak permohoan penangguhan itu dan mengarahkan kedua pihak berhujah atas rayuan ini.
Biarlah saya putuskan hujah peguam Pemiutang Penghakiman mengenal prosedur terlebih dahulu. Beliau menghujahkan bahawa afidavit (Lampiran 11) itu tidak termasuk di bawah peruntukan seksyen 3(1)(1) Akta [Page 3] Kebankrapan 1967 kerana ia tidak mengandungi tuntutan balas tolakan atau kenabayar balas (cross-demand). Afidavit Itu juga bukanlah satu afidavit di bawah kaedah 95, Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969 kerana ia tidak mengikutl Borang 7. la juga tidak termasuk dl bawah proviso (ii) kepada seksyen 3(2) Akta itu. Prosedur yang patut digunakan, hujahnya, ialah di bawah kaedah 18. Beliau merujuk kepada penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd. [1993] 3 CLJ 324; [1993] 2 MLJ 298.
Tentang undang-undang berkenaan, kes itu telah membincangnya dengan panjang lebar. Saya tidak akan mengulanginya. Adalah jelas jika seseorang penghutang penghakiman hendak mengketepikan Notis Kebankrapan di bawah kaedah 95, dia mestilah memfail afidavit seperti yang diperuntukkan dalam Borang 7 dalam masa tujuh hari daripada tarikh penyampaian itu. Dia mestilah menunjukkan bahawa dia mempunyai tuntutan balas, tolakan atau kenabayar balas yang menyamai atau melebihi jumlah penghakiman dan yang tidak boleh dibangkitkan dalam guaman sivil yang di dalamnya penghakiman itu diperolehi. Selanjutnya Jika seseorang penghutang penghakiman hendak mempertikaikan jumlah keterhutangnya, iaitu jumlah yang dikatakan oleh Pemiutang Penghakiman itu melebihi jumlah hutang sebenar (proviso (ii) kepada seksyen 3(2)), dia hendaklah memberi butir-butir mengenai jumlah yang dia benar-benar terhutang.
[Page 4]
Dalam kes ini, afidavit itu difail pada hari terakhir (hari ketujuh) selepas ia disampaikan. Jadi ia tidaklah difail di luar masa. Tetapi ia tidak mengatakan bahawa Penghutang Penghakiman mempunyai tuntutan balas, tolakan atau kenabayar balas yang sama banyak atau melebihi jumlah penghakiman yang diperolehi. Ia tidak mengatakan tuntutan balas atau tolakan itu tidak boleh dibangkitkan dalam Guaman Sivil 23-193-1986 itu. (Sebaliknya Penghutang Penghakiman membiarkan penghakiman ingkar diperolehi dan tidak membuat permohonan untuk mengketepikannya sehingga 8 1/2 tahun kemudian.) Ia tidak memberi butir-butir mengenai jumlah hutang yang sebenar. Oleh itu, mengikuti kes Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd. [1993] 3 CLJ 324; [1993] 2 MLJ 2981, permohonan ini patutlah ditolak atas alasan itu sahaja, tanpa menimbang alasan-alasan lain.
Tetapi, untuk mengelak prosiding ini berlarutan lagi biarlah saya beri keputusan saya mengenainya, atas merit.
Dihujahkan oleh peguam Penghutang Penghakiman bahawa Pemiutang Penghakiman menuntut faedah untuk tempoh melebihi enam tahun. Beliau merujuk kepada peruntukan seksyen 6(3) Akta Had Masa 1953:
“(3) An action upon any judgment shall not be brought after the expiration of twelve years from the date on which the judgment became enforceable and no arrears of interest in respect of any judgment debt shall be recovered after the expiration of six years from the date on which the interest became due.”.
[Page 5]
Dalam hubungan ini peruntukan seksyen 2 Akta Had Masa 1953 juga berkenaan:
“action” Includes a suit or any other proceeding in a court of law.”
Dalam kes Re Yamaha (Malaysia) Sdn. Bhd. [1990] 1 LNS 76; [1990] 3 MLJ 3172, Siti Norma Yaacob H. (pada masa itu) memutuskan bahawa mengikut peruntukan seksyen 6(3} Akta Had Masa 1953 itu, faedah yang boleh dituntut dalam menguatkuasakan penghakiman hanyalah bagi tempoh enam tahun daripada tarikh penghakiman diberi. [Saya dimaklumkan bahawa rayuan terhadap penghakiman itu telah ditarik balik]. Saya bersetuju dengan pandangan itu. Saya juga bersetuju bahawa dalam prosiding ini pun (prosiding kebankrapan) faedah yang boleh dituntut hanyalah bagi tempoh enam tahun daripada tarikh penghakiman diberi.
Tetapi, adakah kemasukan tuntutan faedah bagi tempoh selebih dari itu menjadikan Notis Kebankrapan itu tidak sah?
Pada pandangan saya tidak. Ini kerana seksyen 3(1)(i) Akta Kebankrapan 1967 itu sendiri memperuntukkan:
“if a creditor has obtained a final judgment or final order against him for any amount and execution thereon not having been stayed has served on him in the federation, or by leave of the court elsewhere, a bankruptcy notice under this Act requiring him to pay the judgment debt or sum ordered to be paid in accordance with the terms of the judgment or order with Interest quantified up to the date of issue of the bankruptcy notice,” (Tekanan ditambahkan)
[Page 6]
Ertinya, faedah boleh dituntut sehingga tarikh notis kebankrapan itu dikeluarkan. Saya difahamkan oleh Pegawai Pemegang Harta bahawa amalan biasa ialah bagi pemiutang penghakiman menuntut faedah dari tarikh penghakiman sehingga tarikh notis kebankrapan dikeluarkan. Tetapi, apabila bukti hutang dikemukakan kepada Pegawai Pemegang Harta kelak, jumlah faedah itu akan dihadkan kepada tempoh enam tahun sahaja, jika jumlah yang disebut dalam notis kebankrapan itu bagi tempoh melebihi enam tahun sekali pun. Ertinya soal penghutang penghakiman kena bayar faedah lebih daripada tempoh enam tahun yang dibenarkan oleh undang-undang itu tidak akan timbul.
Walau apa pun saya berpendapat hakikat bahawa Pemiutang Penghakiman dalam notis kebankrapannya menuntut faedah lebih daripada enam tahun itu tidaklah menjadikan notis itu tidak sah. Ia bukanlah di luar aturan kerana ia menurut peruntukan seksyen 3(1)(i) Akta Kebankrapan 1967. Jika ia di luar aturan pun, ia boleh dimaafkan di bawah peruntukan seksyen 131 Akta itu – lihat Wee Chow Yong t/a Vienna Music Centre v. Public Finance Bhd. [1990] 1 CLJ 176; [1990] 3 CLJ 349 (Rep); [1989] 3 MLJ 5083.
Peguam Penghutang Penghakiman juga merujuk kepada “Deed of Assignment” yang dibuat antara Ever Point (M) Sdn. Bhd. dengan Asia Commercial Finance (M) Berhad pada 4 Julai 1990 yang mempunyai peruntukan bahawa Asia Commercial Finance (M) Berhad sebagai pemegang serahhak mengakui tidak akan [Page 7] mengambil apa-apa tindakan undang-undang selama setahun terhadap Penghutang Penghakiman. Mereka tidak berbuat apa-apa selama setahun, selepas itu mereka memulakan prosiding ini, katanya.
Saya kurang faham apa isi pati hujah ini. Ia nampak seolah-olah Penghutang Penghakiman tidak puas hati prosiding kebankrapan ini tidak dimulakan lebih awal. Jika itu maksudnya, ia tidak berasas.
Juga perlu diambil perhatian bahawa Pemiutang Penghakiman bukanlah satu pihak kepada “Deed of Assignment” itu. Jika, Pemiutang Penghakiman tertakluk kepada perjanjian itu pun tempoh satu tahun itu telah luput sebelum prosiding ini dimulakan. Jadi “Deed of Assignment” itu tidak menahan Pemiutang Penghakiman daripada memulakan prosiding ini.
Kesimpulannya, baik atas alasan prosedur sahaja atau pun atas meritnya juga rayuan ini patut ditolak dan saya menolaknya dengan kos.
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang.
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA
1 En. Harjit Singh Sangay (Tetuan Harjit Singh Sangay & Co.) bagi pihak Penghutang Penghakiman.
2. Cik Toh Lee Hong (Tetuan Chew, Tan & Lim) bagi pihak Pemiutang Penghakiman.
KES YANG DIRUJUK
1 Datuk Lim Kheng Kim v. Malayan Banking Bhd. [1993] 3 CLJ 324; [1993] 2 MLJ 298.
2 Re Yamaha (Malaysia) Sdn. Bhd. [1990] 1 LNS 76; [1990] 3 MLJ 317.
3 Wee Chow Yong t/a Vienna Music Centre v. Public Finance Bhd. [1990] 1 CLJ 176; [1990] 3 CLJ 349 (Rep); [1989] 3 MLJ 508.
19.4.96.

112 visits