OCBC BANK (M) BERHAD v. TAN CHONG KEAT & 1 ORS

OCBC BANK (M) BERHAD v. TAN CHONG KEAT & 1 ORS
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO. 23-110-88
6 APRIL 1996
[1996] 1 LNS 543
Case(s) referred to:
1 Seloga Jaya Sdn. Bhd. v. Pembenaan Keng Ting (Sabah) Sdn. Bhd. [1994] 2 CLJ 716; [1994] 2 MLJ 97.
2. Hsu Seng v. Chai Soi Fua [1989] 1 LNS 116; [1990] 1 MLJ 300.
3. Citibank N.A. v. Ooi Boon Leong & Ors M.P. [1980] 1 LNS 168; [1981] 1 MLJ 282.
4. Krishnamurthy & Anor. v. Malayan Finance Corporation Bhd. [1986] 1 CLJ 541; [1986] CLJ 170 (Rep); [1986] 2 MLJ 134 M.A.
5. Tan Chong Keat v. Ban Hin Lee Bank Ltd. Saman Pemula No. 24-681-95 (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang).
6. Public Bank Berhad v. Koperasi Belia Bersatu Pahang & 2 Others [1993] 1 LNS 51; [1994] 1 AMR 4, 196
7. South East Asia Insurance Bhd. v. Nasir Ibrahim [1992] 4 CLJ 1801; [1992] 1 CLJ 295 (Rep); [1992] 2 MLJ 355 M.A.
8. Development & Commercial Bank Bhd. v. Syarikat Farmco Sdn. Bhd. & Ors. [1988] 1 LNS 83; [1988] 3 MLJ 275.

Counsel:
PEGUAMBELA & PEGUAMCARA
1 Cik Lau May Ling (Tetuan Shook Lin & Bok) bagi pihak Plaintif/Perayu.
2. Harjit Singh Sangay (Tetuan Harjit Singh Sangay & Co.) bagi pihak Defendan/Responden.

ALASAN PENGHAKIMAN
(Lampiran 14)
Plaintif memulakan tindakan ini dalam tahun 1988. Tuntutan Plaintif berdasarkan Gerenti bertarikh 6 Mac 1986. Sekarang, 8 tahun kemudian, prosidingnya masih di peringkat penghakiman terus. Untuk mengetahui sebab sebenarnya saya akan perturunkan kronologi prosiding ini.
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan dikeluarkan pada 14 Jun 1988. Kehadiran dimasukkan pada 4 Ogos 1988. Defendan-Defendan memasukkan Pembelaan pada 24 Ogos 1988. Pada 17 November 1988, Plaintif memfail Saman dalam Kamar memohon penghakiman terus – Lampiran 8. Penolong Kanan Pendaftar menolaknya pada 26 November 1990. Plaintif merayu kepada Hakim dalam Kamar. Sebelum saya mendengar rayuan itu, Plaintif memfail Saman-dalam-Kamar untuk meminda Pernyataan Tuntutan – Lampiran 16. Penolong Kanan Pendaftar menolak permohonan itu pada 11 Oktober 1990. Plalntif merayu kepada Hakim dalam Kamar. Pada 17 Mei 1991 saya meluluskan rayuan itu. Defendan memohon hujah lanjut di Mahkamah Terbuka (pada masa itu ia masih boleh dilakukan). Pada -8 Mei 1992 saya memberi keputusan mengesahkan perintah saya dalam kamar. Defendan merayu ke Mahkamah Agung. Saya menulis alasan penghakiman pada 4 Julai 1992. Dua tahun dua bulan kemudian, pada 29 September 1994, Defendan memfail Notis Pemberhentian rayuan itu. Sementara itu rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar kepada Hakim Dalam Kamar (rayuan ini) tergantung.
Sementara itu, pada 29 November 1994 Plaintif memfail Saman dalam Kamar pula untuk menukar nama Plaintif. Ini kerana pertukaran nama Plaintif daripada Oversea-Chinese Banking Corporation Limited kepada OCBC Bank (Malaysia) Berhad.
Akhirnya, rayuan ini ditetapkan untuk didengar pada 15 Jun 1995. Pada hari itu peguam Plaintif memohon penangguhan untuk membuat penyelesaian. Peguam Plaintif bersetuju. Tarikh baru diberi iaitu pada 18 Ogos 1995. Sampai kepada tarikh tersebut, Mahkamah diberitahu penyelesaian tidak dapat dicapai. Pada 3 November 1995, pada tarikh rayuan itu ditetapkan untuk didengar, peguam Defendan membangkitkan bantahan awal. Setelah mendengar, saya menolaknya. Oleh sebab tidak cukup masa, hujah penuh mengenai rayuan terpaksa ditangguh (bukan kes ini sahaja [Page 3] yang ditetapkan untuk hari itu). Akhirnya saya mendengar hujah sepenuhnya dan memberi keputusan. Saya meluluskan rayuan Plaintif itu, dan memberi penghakiman seperti di lampiran 8. Sekarang Defendan merayu ke Mahkamah Rayuan.
Saya memperturunkan semua ini kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam prosiding kes-kes sivil yang menyebabkan berlakunya kelambatan seperti ini. Mahkamah ini, pada masa ini boleh dan membicarakan (perbicaraan penuh) kes-kes termasuk yang dimulakan dalam tahun 1994. Tetapi, ini kes yang dimulakan dalam tahun 1988, masih berada di peringkat penghakiman terus!.
Daripada apa yang saya telah perturunkan, sebab utamanya ialah kerana terdapat permohonan-permohonan interlokutori dan rayuan-rayuan mengenainya.
Kedua, permohonan itu mula-mula didengar oleh Penolong Kanan Pendaftar. Selepas itu satu pihak merayu kepada Hakim dalam Kamar, selepas itu pihak-pihak boleh merayu lagi, walau pun hanya mengenai pindaan Pernyataan Tuntutan, seperti dalam kes ini. Rayuan kepada Hakim dalam Kamar, walau pun satu rayuan, dikehendaki didengar seolah-olah ianya didengar buat kali pertama oleh Hakim – lihat Seloga Jaya Sdn. Bhd. v. Pembenaan Keng Ting (Sabah) Sdn. Bhd. [1994] 2 CLJ 716; [1994] 2 MLJ 971. Apabila ia didengar semula oleh Hakim, hujah-hujah baru dibangkitkan. Hakim terpaksa mendengarnya kerana Hakim dikehendaki mendengar rayuan itu seolah-olah ia mendengar permohonan itu buat kali pertama!.
[Page 4]
Rasanya sudahlah tiba masanya untuk memikirkan cara untuk mengurangkan kelambatan yang disebabkan oleh permohonan-permohonan. interlokutori dan rayuan-rayuan mengenainya.
Juga, rasanya sudahlah tiba masanya untuk menimbang semula sama ada rayuan kepada Hakim dalam Kamar patut didengar oleh ‘ Hakim seolah-olah Hakim itu mendengar permohonan itu buat kali pertama. Kalau ia hendak didengar oleh Hakim seolah-olah Hakim itu mendengar permohonan itu buat kali pertama, mengapa perlu ianya didengar oleh Penolong Kanan Pendaftar terlebih dahulu? Mengapa ia dipanggil “rayuan”? Kalau ia rayuan, mengapa tidak didengar oleh Hakim sebagai satu rayuan dan prinsip-prinsip mengenai pendengaran satu rayuan dipakai?.
Kembali semula kepada kes ini. Plaintif adalah sebuah bank. Huat Tatt Sdn. Bhd. (peminjam) telah diberi kemudahan overdraf sebanyak RM100,000.00 seperti dalam surat Plaintif bertarikh 29 April 1985. Peminjam menerima tawaran itu melalui surat bertarikh 8 Mei 1985. Dokumentasi pinjaman itu disempurnakan. Kemudahan itu mula digunakan pada 21 Mei 1985.
Pada 8 Februari 1986 kemudahan overdraf tambahan sebanyak RM900,000.00 diberi, menjadikan jumlahnya RM1 juta. Peminjam menerima tawaran tambahan itu pada 19 Februari 1986 dan mula menggunakannya pada 18 Mac 1986 setelah dokumentasi pinjaman disempurnakan.
[Page 5]
Sebagai tambahan kepada kedua-dua kemudahan overdraf itu, lain-lain kemudahan termasuk “letters of credit”, “Trust Receipt”.dan “bill discounting” berjumlah RM500,000.00 dan “bankers’ guarantee” berjumlah RM50,000.00 juga telah diberi, berjumlah RM650,000.00 kesemuanya.
Sebagai tambahan lagi, lain-lain kemudahan yang serupa dengan yang disebut dalam perenggan sebelum ini berjumlah RM1,000,000 dan RM50,000.00 masing-masing juga telah diberi. Jadi jumlah besar kesemuanya ialah RM2,600,000.00.
Pada 2 Mei 1985 dan 6 Mac 1986, kedua-dua Defendan yang adalah Pengarah-Pengarah Syarikat peminjam menandatangani surat jaminan yang menjamin pembayaran hutang syarikat peminjam sehingga RM2,600,000.00.
Surat jaminan itu antara lain, memperuntukkan:
“(a) payment shall be made by the Defendants to the Plaintiffs on demand of the outstanding sums subject to the maxlmum principal limit set out therein together with interest thereon;
(b) that the said Guarantees shall be continuing guarantees;
(c) that the said Guarantees shall not be affected or prejudiced in anyway by any other security that the Plaintiff is entitled;
(d) that the said Guarantees shall not be affected or prejudiced In anyway by the Plaintiffs refusal to grant further credit even though the limit of the said Guarantees shall not have been reached;
(e) that the Guarantors herein are deemed to be F principal debtors for all the monies outstanding and owing to the Plaintiffs.”.
[Page 6]
Pada 20 Januari 1987 Plaintif menuntut hutang itu daripada peminjam tetapi peminjam masih tidak menjelaskan hutang itu. Hutang peminjam pada 30 April 1988 adalah sebanyak RM1,366,126.47. Plaintif juga telah menuntut hutang itu daripada Defendan-Defendan pada 26 April 1988 tetapi tiada bayaran dibuat. Oleh itu Plaintif melalui tindakan menuntut sebanyak RMl,366,126.47 dan faedah pada kadar 10.25% mulai 1 Mei 1985 sehingga bayaran sepenuhnya.
Dalam pembelaan Defendan-Defendan, yang difail pada 24 Ogos 1988, iaitu sebelum permohonan untuk penghakiman terus dibuat dan tidak dipinda selepas pernyataan tuntutan dipinda, Defendan-Defendan menafikan bahawa mereka menjamin pembayaran hutang itu dan menafikan jumlah yang dikatakan terhutang oleh peminjam. Sebagai alternatif, Defendan-Defendan mengatakan bahawa surat jaminan itu cuma satu “mere formality” dan bukan untuk dilaksanakan. Sebagai alternatif lagi, Defendan-Defendan mengatakan bahawa jaminan itu menunjukkan balasan lampau (past conslderation).
Hujah pertama yang dibangkitkan ialah mengenai kelewatan memfail permohonan ini. Kehadiran dimasukkan pada 4 Ogos 1988. Pembelaan dimasukkan pada 24 Ogos 1988. Permohonan ini difail pada 17 November 1988, iaitu lebih kurang tiga bulan selepas pembelaan dimasukkan.
[Page 7]
Mengikut peguam Plaintif, hujah ini tidak dibangkitkan semasa pendengaran di hadapan Penolong Kanan Pendaftar. Ini tidak disangkal oleh peguam Defendan. Ini satu perkara lagi yang, bagi saya, tidak memuaskan berkenaan prosedur yang ada sekarang mengenai rayuan daripada Penolong Kanan Pendaftar kepada Hakim dalam Kamar. Rayuan kena didengar seolah-oloh permohonan itu didengar buat kali pertama oleh Hakim. Penolong Kanan Pendaftar yang mendengar permohonan itu tidak dikehendaki menulis alasan penghakiman. Ada kalanya kedua pihak berbalah sama ada hujah itu telah dibangkitkan atau tidak. (Ini tidak berlaku dalam kes ini). Tanpa alasan penghakiman Hakim sukar mengetahui hal sebenar, atau Jlka dibangkitkan, sama ada ditimbang oleh Penolong Kanan Pendaftar atau tidak dan apa keputusannya mengenainya. Walau bagaimana pun, oleh sebab saya dikehendaki mendengar rayuan ini seolah-olah permohonan ini didengar buat kali pertama, kenalah saya mendengar juga hujah baru ini.
Saya berpendapat tempoh itu bukanlah satu kelewatan yang keterlaluan. Apatah lagi jika dibandingkan dengan tempoh daripada permohonan ini dibuat hingga rayuan ini didengar. Sebab kelewatan itu diberi dalam afidavit Plaintif – Lampiran 70. Memang betul afidavit itu dilkrar dan dlfailkan dalam bulan Oktober 1995. Tetapl tiada bantahan dibangkitkan terhadap kelewatan memfailkan [Page 8] afidavit itu. Sebab-sebab kelewatan ini boleh diberi walau pun secara lisan oleh peguam Plaintif – lihat Hsu Seng v. Chai Soi Fua [1989] 1 LNS 116; [1990] 1 MLJ 3002.
Saya juga tidak nampak apa-apa prejudis kepada Defendan.
Sebab yang diberi oleh Plaintif mengapa “kelewatan” ini berlaku iaitu kerana terdapat pertukaran peguam Plaintif. Saya akui sebab ini bukanlah satu sebab yang amat baik. Tetapi itu adalah satu hakikat yang semestinya berlaku jika terdapat pertukaran peguam.
Kesimpulannya, memandangkan bahawa kelewatan itu cuma lebih kurang tiga bulan, dalam keadaan kes ini, ia tidaklah mematutkan permohonan ini ditolak atas alasan itu sahaja.
Hujah kedua yang dikemukakan ialah “variation of interest” tidak diplidkan. Memang betul dalam pernyataan tuntutan tidak disebut bahawa faedah telah diubah (varied), bila dan berapa kadarnya. Tetapi, dalam pernyataan tuntutan terpinda disebut beberapa kali bahawa jumlah yang dituntut itu adalah termasuk faedah. Tuntutan terhadap Defendan adalah di bawah surat jaminan. Klausa 20 surat jaminan itu memperuntukkan:
“20. A certificate signed by your officer as to the monies for the time being due or owing to you from the Customer as aforesaid or as to the liabilities of the Customer or any account settled P or stated by or between you and the Customer or admitted by the Customer or on his/its behalf shall be accepted by us and each of us as conclusive evidence that the amount appearing thereon is due or owing to you from the Customer.”
[Page 9]
Sijil keberhutangan peminjam dikemukakan. Kes Citibank N.A. v. Ooi Boon Leong & Ors M.P. [1980] 1 LNS 168; [1981] 1 MLJ 2823 adalah berkenaan. Penghakiman ingkar telah diperolehi terhadap peminjam bersama-sama faedah pada kadar 9.75%. Dalam Pernyataan Tuntutan Terpinda Plaintif pindaan telah dibuat berkenaan kadar faedah daripada 10.25% kepada 9.75%, selaras dengan penghakiman ingkar terhadap peminjam. Cuma Saman dalam Kamar yang difail dalam tahun 1988 itu tidak dipinda. Ia masih menunjukkan 10.25%. Saya berpendapat bahawa kegagalan meminda Saman dalam Kamar itu bukanlah satu ketakpatuhan peraturan yang serius yang boleh memudaratkan Defendan-Defendan.
Dalam kes Krishnamurthy & Anor. v. Malayan Finance Corporation Bhd. [1986] 1 CLJ 541; [1986] CLJ 170 (Rep); [1986] 2 MLJ 1344, kegagalan meminda Pernyataan Tuntutan untuk menyebut jumlah tuntutan yang betul pun tidak menghalang penghakiman terus diberi. Dalam kes ini pernyataan tuntutan telah dipinda, cuma Saman dalam Kamar yang tidak dipinda.
Satu hujah lagi yang dikemukakan oleh peguam Defendan-Defendan ialah bahawa surat jaminan itu dibuat berdasarkan balasan lampau.
Dalam afidavit Defendan Pertama (Lampiran 69) dia mengatakan bahawa kontrak antara Plaintif dengan peminjam ditandatangani pada 19 Februari 1986. Oleh itu surat jamlnan bertarikh 6 Mac 1986 adalah taksah kerana ia berdasarkan balasan lampau.
[Page 10]
Dalam afidavit balasan Plaintif ditegaskan bahawa pada 26 April 1985 Plaintif mula-mula memberi kemudahan kredit kepada peminjam sebanyak RM650,000.00. Ini dijamin oleh Defendan-Defendan melalui surat jaminan bertarikh 15 Mei 1985. Walau bagaimana pun tindakan ini bukanlah berasaskan surat jaminan itu. Pada 17 September Plaintif membuat satu tawaran lagi yang tidak melebihi RM3,600,000.00. Had itu dipinda kepada RM2,600,000.00 atas permintaan peminjam. Surat tawaran Plaintif bertarlkh 8 Pebruari 1986 berkenaan. Ini dijamin oleh Defendan-Defendan melalui surat jaminan bertarikh 6 Mac 1986. Surat jaminan inilah yang menjadi asas tuntutan ini. Jaminan ini adalah satu jaminan yang bersambung – lihat klausa 2(c) Ekshiblt LES 1, Lampiran 7.
Pernbelaan yang serupa telah pernah dibangkitkan oleh Defendan Pertama dan kes Tan Chong Keat v. Ban Hin Lee Bank Ltd.5. Plaintif dalam kes itu adalah Defendan Pertama sekarang. Dalam alasan penghakiman saya bertarikh 20 Disember 1995, saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai undang-undang berkaitan. Saya telah merujuk kepada kes Public Bank Berhad v. Koperasi Belia Bersatu Pahang & 2 Others [1993] 1 LNS 51; [1994] 1 AMR 46, seksyen 2(8)(d) Akta Kontrak 1950, kes South East Asia Insurance Bhd. v. Nasir Ibrahim [1992] 4 CLJ 1801; [1992] 1 CLJ 295 (Rep); [1992] 2 MLJ 3557. Saya tidak berhasrat mengulanginya. Saya menerima pakai prinsip-prinsip itu. Saya juga menerima [Page 11] pakai prinsip dalam kes Development & Commercial Bank Bhd. v. Syarikat Farmco Sdn. Bhd. & Ors. [1988] 1 LNS 83; [1988] 3 MLJ 2758 di mana surat jaminan yang ditandatangani selepas kemudahan kredit mula dinikmati adalah sah kerana jaminan itu adalah jaminan yang bersambung. Demikian duga dalam kes ini. Jaminan berkenaan adalah jaminan untuk kemudahan kredit yang bersambung.
Bagi saya adalah jelas bahawa tidak terdapat apa-apa persoalan atau apa-apa sebab lain yang mematutkan tindakan ini dibicarakan. Oleh itu saya meluluskan rayuan ini dan memberi penghakiman kepada Plaintif sebanyak RM1,366,126.47 bersama-sama faedah pada kadar 9.75% mulai 1 Mei 1988 sehingga pembayaran sepenuhnya dan kos.
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang.
PEGUAMBELA & PEGUAMCARA
1 Cik Lau May Ling (Tetuan Shook Lin & Bok) bagi pihak Plaintif/Perayu.
2. Harjit Singh Sangay (Tetuan Harjit Singh Sangay & Co.) bagi pihak Defendan/Responden.
[Page 12]
SENARAI KES YANG DIRUJUK
1 Seloga Jaya Sdn. Bhd. v. Pembenaan Keng Ting (Sabah) Sdn. Bhd. [1994] 2 CLJ 716; [1994] 2 MLJ 97.
2. Hsu Seng v. Chai Soi Fua [1989] 1 LNS 116; [1990] 1 MLJ 300.
3. Citibank N.A. v. Ooi Boon Leong & Ors M.P. [1980] 1 LNS 168; [1981] 1 MLJ 282.
4. Krishnamurthy & Anor. v. Malayan Finance Corporation Bhd. [1986] 1 CLJ 541; [1986] CLJ 170 (Rep); [1986] 2 MLJ 134 M.A.
5. Tan Chong Keat v. Ban Hin Lee Bank Ltd. Saman Pemula No. 24-681-95 (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang).
6. Public Bank Berhad v. Koperasi Belia Bersatu Pahang & 2 Others [1993] 1 LNS 51; [1994] 1 AMR 4, 196
7. South East Asia Insurance Bhd. v. Nasir Ibrahim [1992] 4 CLJ 1801; [1992] 1 CLJ 295 (Rep); [1992] 2 MLJ 355 M.A.
8. Development & Commercial Bank Bhd. v. Syarikat Farmco Sdn. Bhd. & Ors. [1988] 1 LNS 83; [1988] 3 MLJ 275.
6.4.96.

285 visits