GOVINDASAMY A/L THANNIMALAI v. P.B RAJINDRAN & 2 ORS
HIGH COURT, PULAU PINANG
GUAMAN SIVIL NO. 23-18-89
[1996] 1 LNS 528
Case(s) referred to:
1. Mokhtar bin Abdul Razak dan lain v. Samsiah bt. Saman1 Rayuan Sivil Mahkamah Tinggi Pulau Pinang No. 12-31-93.
2. Che Noh bin Yacob v. Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. [1981] 1 LNS 135; [1982] 1 MLJ 80.
3. Tan Peng Loh v. Lee Aik Fong & Anor. [1981] CLJ 167; [1981] CLJ 96 (Rep); [1982] 1 MLJ 74 M.P.
4. Koay Tuan & Anor. v. Eng Chong How & Anor. [1988] 1 CLJ 816; [1988] 1 CLJ 673 (Rep); [1987] 1 MLJ 422.
5. P.P. v. Lim Bong Kat and Anor. [1992] 4 CLJ 2173; [1992] 3 CLJ 380 (Rep) (M.T.).
6. Yeap Cheng Hock v. Kajima-Taisei Joint Venture [1971] 1 LNS 155; [1973] 1 MLJ 250.
7. Wee Peng Whatt v. Singapore Transport Supply Services Pte. Ltd. & 2 Ors. [1977] 1 LNS 153; [1981] 1 MLJ 193 (Singapura).
8. Ho Teck Fah v. Looi Wah t/a Looi Construction [1980] 1 LNS 118; [1981] 1 MLJ 162.
9. Teoh Suan Eng v. Lee Meng Shui & Anor. [1982] CLJ 202; [1982] CLJ 810 (Rep); [1982] 1 MLJ 363.
10. Au Kee Tuang v. Lightweight Concrete Pte. Ltd. [1984] 2 MLJ xxix.
11. Abdul Munir bin Haji Abdul Rahman v. Mohamed Adzhar bin Hassan [1985] 2 MLJ cl.
12. Tarmi Bte Sanusi & Anor. v. Yusoff Bashah [1986] 2 MLJ cclvii.
13. Lee Ann v. Mohamed Sahari Bin Zakaria [1986] 1 CLJ 572; [1986] CLJ 432 (Rep); [1987] 1 MLJ 252.
Counsel:
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA:
1. En. Darshan Singh Khaira (Tetuan Darshan Singh & Co.) bagi pihak Plaintif dalam 23-18-89.
2. En. Teja Singh Penesar (Tetuan Teja Singh Penesar & Co.) bagi pihak Defendan 1.
3. En. N. Sivanathan (Tetuan Kumar, Sitham & Co.) bagi pihak Defendan 2.
4. En. Ranjit Singh (Tetuan Jagjit Singh & Co.) bagi pihak Plaintif dalam 73-565-89.
ALASAN PENGHAKIMAN
Biarlah saya sebut terlebih dahulu sejarah kes ini supaya kita dapat lihat apakah yang sebenarnya menyebabkan kelambatan penyelesaiannya.
Satu kemalangan telah berlaku di letauhraya Bahau/Karak pada 3 Julai 1983. Lima setengah tahun kemudian (pada 28 Januari 1989) Plaintif memulakan guaman sivil di Mahkamah Pekan, Pahang. Kes ini diberi nombor 73 (83)-7-89.
[Page 2]
Pada 7 Julai 1989, atas permohonan Plaintif, kes itu dipindahkan ke Mahkamah Majistret, George Town, Pulau Pinang. Nombor baru diberi iaitu 73-565-89. Defendan Kedua memasukkan Pembelaan dalam bulan Januari 1989. Defendan Pertama memasukkan Pembelaannya setahun kemudian.
Pada 3 Julai 1989, satu guaman lagi difail di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. Plaintif dalam kes ini adalah salah seorang penumpang dalam kereta itu semasa kemalangan berlaku. Defendan Pertama dan Kedua adalah sama seperti dalam kes di Mahkamah Majistret itu. Tetapi dimasukkan pula Defendan Ketiga, iaitu syarikat yang menjadi majikan Defendan Pertama. Pembelaan-pembelaan dimasukkan dalam bulan Mac 1990. Pada 8 Julai 1991, atas permohonan Defendan Kedua, kes di Mahkamah Majistret George Town itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan disatukan dengan kes di Mahkamah Tinggi ini.
Pada 14 Julai 1994, barulah peguam Plaintif memfail Saman Minta Arahan. Pada 17 November 1994 barulah Peguam Plaintif membuat Permintaan Menetapkan Tindakan untuk Perbicaraan, iaitu genap lima tahun selepas kes itu dimulakan dan sebelas tahun selepas kemalangan berlaku.
Perbicaraan bermula pada 14 Februari 1995 dan keterangan selesai diambil pada 25 Julai 1995. Peguam kedua belah pihak hendak memfail hujah bertulis. Saya arahkan peguam Defendan memfailnya dalam masa tiga minggu [Page 3] selepas menerima nota keterangan, dan tiga minggu selepasnya untuk peguam Plaintif menjawab. Mereka berjanji akan menulis surat kepada Setiausaha saya untuk mendapatkan nota keterangan. Tetapi sehingga 30 September 1995 tiada siapa yang memohon. Pada 3 Oktober 1995 Setiausaha saya sendiri menulis surat memberitahu mereka nota keterangan telah ditaip (walau tidak diminta). Selepas itu pada 6 Disember 1995 barulah kesemua hujah bertulis difail. Saya beri keputusan enam hari kemudian.
Perlu disebut, pada 25 Julai 1995, kali kedua perbicaraan ini ditetapkan untuk disambung bicara kerana saksi-saksi (dua orang doktor) tidak dapat hadir, peguam Plaintif dalam kes 73-565-89 memohon membuat pindaan kepada pernyataan tuntutan untuk menambah perenggan 8: “The deceased was earning a sum of RM900.00 per month at the time of the accident and his estate is claiming for lost years”. Tiada bantahan oleh pihak-pihak lain. Saya meluluskan pindaan itu.
Selepas itu peguam Defendan Pertama dalam kes 73-565-89 yang juga Defendan Kedua dalam kes 23-18-89 pula memohon membuat pindaan kepada pembelaannya dengan memasukkan di perenggan 6: “The 1st Defendant further avers that at the material time the 2nd Defendant was not the agent or servant of the 1st Defendant.” Pindaan yang serupa kesannya juga dipohon untuk kes 23-18-89 iaitu [Page 4] dengan menambah di perenggan 1.4 pembelaan Defendan Kedua: “The 2nd Defendant further avers that at the material time the 1st Defendant was not the agent or servent of the 2nd Defendant.”
Pindaan ini dibantah oleh peguam Plaintif dalam kes 23-18-89. Walau bagaimana pun saya meluluskannya.
Kemudian, peguam Defendan Pertama dalam kes 23-18-89 pula memohon untuk meminda pembelaannya untuk menambah perenggan 1(ii) dan 9(i) dan (ii) seperti berikut:
“1 (ii) Further both the Plaintiff and the 1st Defendants were at the material times the employees of the 3rd Defendant and were travelling for purposes related to and in the course of their employemnt and in a vehicle provided for by the 3rd Defendant.”.
“9. (i) The 1st Defendant further avers that if at all the injuries sufferred (sic) by the Plaintiff, it was in the cause of his employment with the 3rd Defendant and the Plaintiff is precluded from maintaining any proceedings against the Defendants whether under common law or any other law for the time being in force on the grounds that the Plaintiff has received and is receiving disability benefits under the Employees’ Social Security Act, 1969.”
(ii) The alleged cause of action did not arise within the six (6) years before this action and is barred by the provisions of the Limitation Act, 1953.”
Pindaan-pindaan ini dibantah oleh peguam Plaintiff. Beliau berkata beliau terkejut dengan permohonan ini dan memerlukan masa untuk menghujahkannya, yang bererti perbicaraan itu akan terpaksa ditangguh. Kerana tidak mahu [Page 5] menangguhkannya lagi, saya arahkan perbicaraan itu diteruskan, apatah lagi memandangkan doktor yang akhirnya datang dari Ipoh itu ada menunggu. Saya juga arahkan peguam kedua belah pihak mengemukakan hujah-hujah mereka mengenai pindaan itu dalam penghujahan mereka kelak, dan saya akan beri keputusan mengenainya kemudian.
Dalam hujah bertukisnya peguam Defendan Pertama dalam kes 23-18-89 mengemukakan hujah-huajhnya berkenaan pindaan-pindaan itu. Tetapi Encik Darshan Singh yang membantah pindaan-pindaan itu tidak menyebut barang sepatah pun mengenainya.
Saya telah meluluskan pindaan-pindaan itu. Sekarang saya beri sebabnya.
Berkenaan perenggan 1(ii), saya tidak nampak apa-apa bantahan boleh dibuat mengenainya. Itulah juga kes Plaintiff Pertama.
Berkenaan perenggan 9(i) ini soal undang-undang. Malah mengikut keterangan isteri Plaintiff Pertama, mereka pun pernah dinasihatkan sedemikian (semestinya oleh peguam mereka) mulanya. Memandangkan bahawa ini satu persoalan undang-undang, say berpendapat ia patut diluluskan.
Berkenaan perenggan 9(ii) iaitu mengenai had masa memulakan tindakan, ini juga pembelaan undang-undang. Ia juga tidak melibatkan pengemukaan fakta baru. Tarikh kemalangan dan tarikh pemfailan guaman tidak berubah dan [Page 6] tidak boleh diubah. Oleh itu saya meluluskan juga pindaan itu.
Guaman Sivil No. 23-18-89.
Supaya tidak keliru, eloklah saya beri alasan-alasan penghakiman saya mengenai kes ini dahulu, dan secara berasingan daripada Guaman Sivil 73-565-89.
(i) Had Masa.
Pertama, yang lebih mudah, ialah mengenai had masa. Tidak dipertikaikan kemalangan berlaku pada 3 Julai 1983. Tindakan ini (23-18-89) dimulakan pada 3 Julai 1989. Enam tahun daripada tarikh kemalangan berakhir pada 2 Julai 1989, iaitu sehari sebelum tindakan ini dimulakan. Nyata ia dimulakan di luar tempoh masa yang diizinkan.
Atas alasan ini sahaja guaman sivil 23-18-89 patut ditolak.
(ii) Akta SOCSO.
Sekarang mengenai halangan oleh Akta OSCSO, 1969. Saya telah menulis tentang persoalan ini dengan panjang lebar dalam kes Mokhtar bin Abdul Razak dan lain v. Samsiah bt. Saman1.
Setelah meneliti peruntukan-peruntukan seksyen 31 (sebelum dan selepas dipinda) dan seksyen 42 Akta itu dan kes-kes seperti Che Noh bin Yacob v. Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. [1981] 1 LNS 135; [1982] 1 MLJ 802, Tan Peng Loh v. Lee Aik Fong & Anor. [1981] CLJ 167; [1981] CLJ 96 (Rep); [1982] 1 MLJ 743dan Koay Tuan & Anor. v. Eng Chong How & Anor. [1988] 1 CLJ 816; [1988] 1 CLJ 673 (Rep); [1987] 1 MLJ 4224saya telah memutuskan bahawa seksyen 42 hendaklah dibaca bersama-sama seksyen 31. Kesannya ialah apa yang dihalang ialah bagi seorang berinsurans mendapat pampasan atau gantirugi daripada majikannya dan rakan sekerjanya di bawah undang-undang lain. Halangan itu tidak meliputui terhadap orang-orang lain daripada mereka. Dalam kes itu hanya persoalan ini sahaja yang menjadi isu. Mahkamah Rayuan, dalam Rayuan P4-39-95, pada 11 Januari 1996, telah mengesahkan penghakiman saya itu. Walau pun belum ada penghakiman bertulis oleh Mahkamah itu, memandangkan bahawa terdapat satu isu sahaja dalam rayuan itu, rasanya adalah selamat bagi saya mensifatkan bahawa Mahkamah Rayuan itu bersetuju dengan pandangan saya itu. Oleh itu saya tidak akan membincangkan persoalan ini semula dengan panjang lebar.
Dalam kes di hadapan saya sekarang tidak dipertikaikan bahawa Defendan Ketiga adalah majikan Plaintif dan Defendan Pertama adalah rakan sekerja Plaintif. Juga diakui bahawa Plaintif telah dan sedang menerima pampasan di bawah Akta SOCSO kerana kemalangan itu. Oleh itu saya berpendapat bahawa tuntutan Plaintif terhadap Defendan Pertama dan Ketiga patut juga ditolak atas alasan ini.
Walau bagaimana pun alasan ini tidak boleh dipakai terhadap Defendan Kedua, kerana Defendan Kedua bukanlah majikan atau rakan sekerja Plaintif.
[Page 8]
(iii) Merit.
Tidak dipertikaikan bahawa Plaintif bekerja sebagai pemandu Syarikat Defendan Ketiga. Defendan Pertama adalah Pengurus Pemasaran Defendan Ketiga. Defendan Kedua adalah tuan punya kereta yang terlibat dalam kemalangan itu yang disewakan kepada Syarikat itu.
Mengikut Plaintif yang memberi keterangan, mereka bertolak dari Kulim, Kedah ke Kuala Lumpur dan bermalam semalam di Kuala Lumpur. Esoknya mereka meneruskan perjalanan ke Kuantan, Pahang dan bermalam di sana. Esoknya, di waktu tengahari mereka bertolak untuk pulang ke Kulim, melalui Seremban. Di tempat kemalangan berlaku jalan lurus dan lebar. Jalan itu sunyi. Kenderaan di atas jalan kurang. Kereta mereka dipandu oleh Defendan Kedua. Mengikut Plaintif “lebih kurang 5.45 petang ada satu lori datang dari arah hadapan. Rajendran (Defendan Pertama) sedang memandu kereta itu dengan laju. Lori itu sedang memotong sebuah motosikal dan keluar dari jalannya. Rajendran tidak buat apa-apa sebab dia bawa kereta dengan laju dan berlanggar. Kereta itu terpusing dan jatuh dalam ravine (gaung) lebih kurang 30 kaki dalam.”
Saksi Plaintif Kedua ialah isteri Plaintif sendiri. Katanya, setelah mendengar berkenaan kemalangan itu, dia pergi ke hospital Seremban. Semasa dia berada di sebelah katil suaminya seorang lelaki Cina dan seorang budak India [Page 9] antara 18 hingga 19 tahun datang. Dia bercakap dengan budak India itu. Dia tidak tahu nama atau alamat budak India itu. Dia tidak boleh kesan budak India itu. “Mereka beritahu lori itu berlanggar dengan kereta,” katanya.
Peguam Defendan membantah kemasukan keterangan ini atas alasan isinya kata-dengar. Oleh sebab kedua pihak kurang bersedia menghujahkan perkara itu, saya tangguhkan keputusan mengenainya. Kemudian, saya menimbangnnya dan menolak keterangan itu.
Alasan saya adalah seperti berikut. Tidak syak lagi bahawa kenyataan itu adalah kata dengar. Soalnya ialah sama ada ia boleh diterima sebagai salah satu pengecualian di bawah seksyen 32 Akta Keterangan 1950. Jika ia mungkin boleh diterima pun, ianya adalah di bawah seksyen 32(c). Yang lainnya tidak berkenaan. Seksyen 32(c) setakat yang berkenaan diperturunkan:
“32. (1) Statements, written or verbal, of relevant facts made by a person who cannot be found are themselves relevant facts in the following cases:
(a)
(b)
(c) when the statement is against the pecuniary or proprietory interest of the person making it or when, if true, it would expose him or would have exposed him to a criminal prosecution or to a suit f or damages.”.
[Page 10]
Pertama, Plaintif mestilah membuktikan bahawa kedua-dua mereka itu tidak boleh ditemui. Dalam kes ini tidak ada sedikit pun keterangan bahawa mereka cuba dicari tetapi tidak dapat ditemui. Dalam kes P.P. v. Lim Bong Kat and Anor. [1992] 4 CLJ 2173; [1992] 3 CLJ 380 (Rep)5, James Foong H. memutuskan bahawa orang yang “tidak boleh ditemui” itu termasuk orang yang namanya tidak boleh diketahui. Menerima pakai penghakiman ini pun, saya masih tidak puas hati bahawa nama kedua-dua orang itu atau sekurang-kurangnya “budak India” itu tidak boleh diketahui. Mengikut isteri Plaintif (SP2) mereka datang melawat Plaintif di hospital. Dia bercakap-cakap dengan “budak India” itu. Tidak bolehkah dia bertanya namanya dan alamatnya? Tidak dikemukakan sedikit pun keterangan mengenainya.
Sayugia diambil ingatan bahawa dalam laporan polis yang dibuat oleh isteri Plaintif (SP2) (lihat Ikatan B halaman 3), SP2 ada menceritakan hal yang serupa. Tetapl laporan polis itu dibuat pada 23 November 1985, iaitu 2 tahun 4 bulan selepas kemalangan berlaku. SP2 cuba memberi alasan mengapa dia lambat membuat laporan itu. Katanya sebabnya ialah kerana dia banyak menghabiskan masanya di hospital. Juga dia tidak buat laporan polis kerana dia diberitahu kiranya dia “menerima SOCSO” dia “tak boleh dapat tuntutan lain”. Dia dinasihatkan adalah lebih baik untuk membuat laporan ini.
[Page 11]
Dari keterangannya sendiri pun adalah jelas bahawa laporan itu dibuat 2 tahun 4 bulan atas nasihat dan untuk tujuan tuntutan ini. Kesimpulannya saya tidak puashati bahawa pihak Plaintif telah membuktikan bahawa segala usaha yang perlu telah dibuat untuk mengambil tahu siapa mereka dan alamat mereka dan mencari mereka tetapi tidak dapat ditemui. Malah saya yakin bahawa cerita ini hanya diada-adakan untuk menyokong kes Plaintif.
Selain dari itu, saya dapati bahawa kenyataan itu juga tidak termasuk di bawah peruntukan perenggan (c) seksyen 32 itu.
Dalam keterangannya di Mahkamah, SP2 tidak sepatahpun mengatakan siapa kedua-dua mereka itu. Bagaimana hendak dikatakan “pernyataan itu menentang kepentingan kewangan atau kepentingan kepunyaan (mereka), atau apabila, jika benar, pernyataan itu akan mendedahkan atau mungkin mendedahkan (mereka) kepada suatu guaman untuk ganti rugi”?
Memang betul dalam laporan polisnya itu SP2 ada menyebut bahawa “budak India” itu adalah kelindan lori itu dan “lelaki Cina” itu pemandu lori itu. Saya telah memberi sebab-sebab mengapa saya tidak puashati bahawa kandungan laporan itu betul. Tetapi, katakanlah ianya betul. Mengikut laporan itu pun orang yang membuat nyataan itu (budak India) adalah kelindan lori itu. Pendakwaan atau guaman apa boleh dibuat terhadapnya?
[Page 12]
Dalam keterangannya di Mahkamah, SP2 berkata “Mereka beritahu”. Penggunaan perkataan “mereka” itu timbul secara tiba-tiba. Sepanjang keterangannya (dan juga dalam laporannya) dia berkata dia bercakap dengan “budak India” itu dan dalam bahasa Tamil. Bagaimana “lelaki” Cina itu tiba-tiba turut memberitahunya juga?
Katakanlah itu pun benar juga (dalam penghakiman saya tidak), mereka tidak mengatakan pemandu itu cuai atau lori itu makan jalan. Jadi, jika apa yang dikatakan itu betul pun, nyataan itu (jika dibuat) tidak menentang kepentingannya.
Atas semua alasan-alasan ini saya menolak nyataan itu. Defendan memberi keterangan tentang bagaimana kemalangan itu berlaku. Mengikutnya pada hari tersebut mereka pergi melawat tapak binaan di Rancangan FELDA. Mereka bertolak balik dari Rancangan itu lebih kurang pukul 5.00 petang. Plaintif memandu kereta itu. Jalan itu jalan tanah merah yang baru dibuka. Terdapat banyak lobang-lobang dan batu kelikir. Di kedua belah jalan itu ialah hutan dan tepi jalan itu curam. Dalam perjalanan itu Plaintif berkata dia sangat letih kerana dia telah memandu kereta itu sepanjang hari dari Kuantan lagi. Dipendekkan cerita, Defendan Pertama mengambil alih. Dia memandu kereta itu antara 30-40 k.m.j. sebab keadaan jalan itu tidak membolehkannya memandu laju. Tidak ada kenderaan [Page 13] lain di jalan itu. Tidak ada rumah orang di sepanjang jalan itu. Selepas dia mengambil alih, Plaintif duduk di tempat duduk hadapan sebelah kiri. Plaintif merendahkan tempat duduknya dan tidur. Selepas memandu lebih kurang 10-15 minit dia terdengar bunyi letupan yang kuat. Dia tidak dapat mengawal kereta itu. Kereta itu jatuh dan mengolek ke dalam gaung.
Dipendekkan cerita lagi, dia dimasukkan ke hospital Kuala Pilah manakala Plaintif di hospital Seremban. Dia menalipon isterinya dari Kuala Pilah. Masa itu isteri Plaintif (SP2) ada di rumah Defendan Pertama bersama-sama isterinya. Isterinya, Isteri Plaintif (SP2) dan seorang Encik Bala pergi menemuinya di hospital Kuala Pilah. Dari situ mereka semua pergi ke hospital Seremban untuk melawat Plaintif. Di sana isteri Plaintif bertanya Plaintif apa yang terjadi. Plaintif berkata dia tak ingat sebab dia tidur.
Keterangan Defendan Pertama yang saya sebut dalam perenggan sebelum ini disokong oleh keterangan isterinya.
Sekarang saya akan timbangkan keterangan kedua-dua belah pihak mengenai bagaimana kemalangan itu berlaku.
Patut disebut bahawa dalam kes ini Laporan J.P.J., peta kasar dan gambar-gambar tidak dikemukakan sebagai keterangan. Salinan kesemua ini adalah dimasukkan dalam Ikatan Dokumen-Dokumen Plaintif yang tidak dipersetujui [Page 14] untuk diterima sebagai keterangan oleh Defendan-Defendan. Pihak Plaintif tidak memanggil saksi-saksi untuk mengemukakannya. Tidak diketahui mengapa. Mungkin kerana dokumen-dokumen itu tidak menyokong kes Plaintif. Misalnya gambar-gambar kereta itu tidak menunjukkan kerosakan terutama di bahagian hadapan kereta. Kalau keterangan Plaintif bahawa “Bahagian hadapan kereta dilanggar oleh lori”, itu betul, tentulah bahagian hadapan kereta itu remuk. Tetapi, gambar kereta itu (terutama sekali gambar C) tidak menunjukkan demikian. Jika demikian saya patut memakai peruntukan seksyen 114(g) Akta Keterangan terhadap Plaintif. Tetapi, untuk lebih berlaku adil kepada Plaintif, saya cuma mengambil sikap tidak mengambil kira kandungan dokumen-dokumen dan gambar-gambar itu kerana ia tidak dikemukakan sebagai bukti.
Berkenaan keadaan jalan dan keadaan disekelilingnya saya terima keterangan Defendan. Ia tidak disangkal oleh Plaintif.
Tentang kelajuan kereta itu, saya juga dapati, memandangkan kepada keadaan jalan itu, keterangan Defendan Pertama juga adalah munasabah.
Tentang wujudnya lori dan motosikal, saya juga dapati keterangan Defendan Pertama lebih munasabah. Adalah penemuan fakta saya bahawa lori dan motosikal itu tidak wujud. Di kawasan seperti itu dan di waktu petang seperti [Page 15] itu, adalah munasabah tidak ada kenderaan-kenderaan lain, apatah lagi memotong antara satu sama lain. Defendan mengatakan lori kereta itu berlanggar dengan lori semasa lori itu hendak memotong sebuah motosikal. Tetapi, peliknya dia tidak nampak motosikal itu sebelum lori itu hendak memotong motosikal itu, pada hal motosikal itu sepatutnya berada, jika ada, di hadapan lori itu. Tidak ada keterangan motosikal itu keluar dari lorong, jika ada lorong.
Selain dari itu cerita mengenai kewujudan lori dan motosikal itu cuma disebut buat pertama kali dalam laporan polis isteri Plaintif yang dibuat 2 tahun 4 bulan selepas kemalangan dan dibuat untuk tujuan tuntutan ini.
Saya juga perhatikan kelakuan kedua-dua saksi penting itu, Plaintif dan Defendan Pertama semasa memberi keterangan dan isi kandungan keterangan mereka. Saya dapati Defendan Pertama lebih boleh dipercayai. Sebagai misalan, Plaintif memberi keterangan “Apabila lori datang saya tutup mata dan pengsan.” (tekanan ditambah). Ini sukar diterima.
Menimbang keseluruhan keterangan, cerita Defendan Pertama adalah lebih munasabah berkenaan bagaimana kemalangan itu berlaku. Adalah penemuan fakta saya bahawa kemalangan itu berlaku kerana tayar kereta itu meletup dan Defendan Pertama pada masa itu tidaklah memandu kereta itu [Page 16] dengan laju dalam keadaan jalan itu. Oleh itu saya dapati tidak terdapat kecuaian di pihaknya.
Alasan tambahan khusus mengenai Defendan Kedua.
Asas tuntutan Plaintif terhadap Defendan Kedua ialah bahawa dia adalah tuan punya berdaftar kereta itu dan semasa kemalangan itu Defendan Pertama adalah ejen, pengkhidmat atau pekerjanya. Dalam pembelaannya, Defendan Kedua mengaku dia adalah tuan punya berdaftar kereta itu tetapi kereta itu disewa kepada Defendan Ketiga. Defendan Kedua juga menafikan bahawa Defendan Pertama adalah ejen, pengkhidmat atau pekerjanya.
Dalam perbicaraan, saksi-saksi Plaintif dalam kedua-dua kes ini tidak mengemukakan apa-apa keterangan langsung untuk membuktikan nyataan itu. Sebaliknya Defendan Pertama mengakui dia adalah tuan punya berdaftar kereta itu. Tetapi, katanya, pada masa kemalangan itu dia menyewa kereta itu kepada Defendan Ketiga secara sewa bulanan. Dia tidak tahu mereka guna kereta itu untuk apa. Semua ini tidak dicabar dan saya terima.
Dalam keadaan ini, jelas bahawa Plaintif tidak langsung cuba membuktikan nyataannya yang menjadi asas tuntutannya terhadap Defendan itu iaitu bahawa Defendan Kedua adalah ejen, pengkhidmat atau pekerjanya. Malah, sepanjang perbicaraan itu tidak dipertikaikan bahawa Defendan Pertama adalah seorang pekerja Defendan Ketiga.
[Page 17]
Atas alasan ini juga tuntutan terhadap Defendan Kedua patut ditolak.
Guaman No. 73-565-89.
Plaintif dalam kes ini adalah emak dan Pentadbir kepada Pesaka M. Muniandy a/1 Marimuthu yang meninggal dunia dalam kemalangan yang sama. Plaintif dalam kes ini cuma membuat tuntutan terhadap tuan punya kereta (Defendan Pertama) dan P.B. Rajendran (Defendan Kedua) yang memandu kereta itu semasa kemalangan itu berlaku. Seperti disebut lebih awal kes ini digabung dengan kes 23-18-89 dan didengar bersama.
Mengenai Defendan Pertama sahaja.
Asas tuntutan Plaintif terhadap Defendan Pertama ialah sebagai tuan punya berdaftar kereta itu dan semasa kemalangan berlaku Defendan Kedua dikatakan memandu kereta itu sebagai pengkhidmat, ejen, pekerja berbayar dan atau pemandu yang diizinkan Defendan Pertama.
Defendan Pertama dalam pembelaannya menyatakan bahawa pada masa berkenaan kereta itu disewakan kepada Defendan Ketiga dalam Guaman Sivil 23-18-89. Defendan Pertama juga menafikan bahawa Defendan Kedua adalah ejen atau pengkhidmatnya.
Seperti yang saya telah sebutkan, tidak terdapat sedikit pun keterangan bagi membuktikan bahawa Defendan Kedua (dalam Guaman ini) adalah pengkhidmat, ejen, pekerja [Page 18] dan pemandu berbayar Defendan Pertama (dalam kes ini). Tuntutan ini patut juga ditolak atas alasan ini, setakat yang ia mengenai Defendan Pertama dalam kes ini.
Mengenai Defendan Kedua sahaja.
Alasan saya mengenai halangan oleh Akta SOCSO terpakai setakat yang ia mengenai Defendan Kedeua (dalam guaman ini). Kes Koay Tuan & Anor. v. Eng Chong How & Anor. [1988] 1 CLJ 816; [1988] 1 CLJ 673 (Rep); [1987] 1 MLJ 4224 adalah berkenaan.
Merit.
Alasan yang saya telah berikan atas merit dalam kes 23-18-89 adalah terpakai dalam kes ini juga.
Kesimpulan.
(a) Guaman No. 23-18-89.
Kesimpulannya, saya menolak tuntutan ini atas alasan-alasan berikut:
(i) Guaman ini dimulakan di luar had masa yang diizinkan;
(ii) tuntutan terhadap Defendan Pertama dan Ketiga dihalang oleh Akta SOCSO;
(iii) tuntutan terhadap Defendan Kedua patut ditolak kerana tiada sedikit pun keterangan bahawa Defendan Pertama adalah ejen, pengkhidmat atau pekerja Defendan Kedua;
(iv) atas merit, Plaintif tidak berjaya membuktikan kecuaian Defendan Pertama.
[Page 19]
(b) Guaman No. 73-565-89.
Saya menolak tuntutan Plaintif atas alasan-alasan berikut:
(i) terhadap Defendan Kedua, tuntutan ini dihalang oleh Akta SOCSO, memandangkan Si Mati dan Defendan Kedua adalah rakan sekerja.
(ii) terhadap Defendan Pertama, kerana Plaintif gagal membuktikan bahawa Defendan Kedua adalah pengkhidmat, ejen, pekerja atau pemandu berbayar Defendan Pertama yang diizinkan.
(iii) terhadap kedua-dua mereka kerana Plaintif gagal membuktikan kecuaian Defendan Pertama.
Gantirugi Khas.
Dalam pernyataan tuntutannya Plaintif menuntut gantirugi khas berjumlah RM98,330.00 yang terdiri dari 14 tajuk kesemuanya.
Dalam hujah bertulisnya peguam Plaintif juga menuntut:
“(d) cost of nursing care and supervision at RM200-00 per month with effect from 3-7-83 till 3-7-2001 for 28 years totalling RM 67,200-00
(e) cost of 15 wheel chairs RM 22,500-00
(f) special foods RM 4,800-00
(g) cost of 15 crutches RM 9,000-00
(h) cost of future medical treatment RM 50,000-00
[Page 20]
Tetapi tidak ada apa-apa keterangan dikemukakan untuk membuktikan kerugian yang dialami itu. Undang-undang adalah jelas bahawa gantirugi khas mestilah dibuktikan -lihat Yeap Cheng Hock v. Kajima-Taisei Joint Venture [1971] 1 LNS 155; [1973] 1 MLJ 2506. Oleh itu, jika Plaintif berjaya sekali pun membuktikan liabiliti Defendan-Defendan, tuntutan gantirugi khas ini tidak patut dibenarkan.
Mengenai kehilangan pendapatan, dalam pernyataan tuntutannya, Plaintif mengatakan bahawa dia bekerja sebagai pemandu dengan gaji sebanyak RM357.00 sebulan. Dalam keterangannya juga, dia mengaku bahawa gajinya ialah $357.00 sebulan. Tidak ada apa-apa keterangan dikemukakan. Sebaliknya, isterinya memberi keterangan bahawa pendapatan suaminya sebulan termasuk bayaran lebih masa hampir RM1,000.00 sebulan. Tidak ada apa-apa keterangan dokumentasi dikemukakan. Keterangan isteri Plaintif itu tidak munasabah. Saya berpendapat RM500.00 sebulan termasuk kerja lebih masa adalah lebih munasabah.
Oleh itu, jika Plaintif berjaya membuktlkan liabiliti Defendan-Defendan, gantirugi bagi kehilangan pendapatan berikut bolehlah diberi: RM500.00 sebulan x 9 bulan (3 Julai 1983 hingga 15 Disember 1995, hari penghakiman diberi) = RM74,500.00.
[Page 21]
Gantirugi Am.
Plaintif memanggil seorang saksi perubatan memberi keterangan iaitu Dr. K. Raveendran, seorang Consultant Orthopaedic Surgeon dari Hospital Fatimah, Ipoh, Perak. Beliau memberitahu Mahkamah bahawa Plaintif dimasukkan ke hospitalnya pada 1 Oktober 1993 dan dirawat di situ sehingga 2 April 1994. Beliau mengemukakan laporan perubatannya yang menyatakan seperti berikut:
“Medical Report on GOVINDASAMY @ THANNIMALIA – MALE -32 YEARS.
This patient was involved in a motorvehicle accident in July 1983 and sustained fracture T4 spine with complete paraplegia below that level.
He was admitted under my care on 1st October 1983.
On examination, he was emaciated and anemic. There were hugh pressure sores over both trochanters extending to the bone: and there were two large sores over the sacral region and left posterior iliac crest. Several operations were done to cover the pressure sores.
He also had a penoscrotal fistulai and had continuous catheterization. Later this was removed and he gradually developed a reflex bladder.
He was discharged on 2nd April 1984 with all the wounds healed, in a wheelchair. He has not improved neurologically since the time of the accident. Myelogram has not been done as I felt that it was not indicated.
The prognosis regarding his paraplegia is poor.” Seterusnya beliau mengatakan:
“This resulted in total paralysis. He has no bladder control or bowel control.
Other effect of paralysis – impotent, no sensation in the body below the fracture.”
[Page 22]
Semasa disoal balas, beliau mengatakan bahawa beliau merawat Plaintif lebih kurang tiga bulan selepas kemalangan. Sebelum itu Plaintif dirawat di Hospital Besar, Kuala Lumpur tetapi beliau tidak melihat laporan perubatan yang lebih awal. Beliau bersetuju bahawa seorang “urotologist” adalah lebih baik atau berkelayakan untuk memberi pendapat. Beliau juga mengatakan bahawa sepanjang pengetahuannya, tidak ada alat di Malaysia yang boleh digunakan untuk mebolehkan Plalntif mengawal pundi-pundi kencingnya.
Peguam Plaintif cuba memasukkan satu surat yang ditulis oleh Sir G.M. Bedbrook, Senior Spinal Surgeon dari Royal Perth (Rehabilitation) Hospital, Australia. Surat ini adalah jawapan kepada surat Dr. K. Raveendran kepada Sir G.M. Bedbrook.
Kemasukan surat itu dibantah oleh peguam Defendan Kedua atas alasan ianya kata-dengar. Peguam Plaintif telah mengemukakan keterangan melalui Dr. K. Raveendran (SP3) bahawa Sir G.M. Bedbrook tidak lagi bertugas, beliau tidak tahu alamatnya. Peguam Plaintif menghujahkan, jika diketahui alamatnya pun, adalah terlalu mahal untuk membawanya ke sini untuk memberi keterangan. Saya terima hujah peguam Plaintif itu dan saya terima kemasukan surat Sir G.M. Bedbrook itu. Tetapi, sebenarnya surat cuma memberi alasan mengapa Plaintif tidak boleh diterima untuk [Page 23] dirawat di sana. Jadi, nilai isi kandungannya amat sedikit, jika ada pun hanya mengenai mahalnya perbelanjaan merawatnya kerana ia akan memakan masa yang panjang.
Selain daripada itu Plaintif sendiri memberi keterangan. Dia memaklumkan Mahkamah semenjak kemalangan itu dia tidak boleh melakukan hubungan seks lagi. Dia tidak dapat mengawal air kencingnya. Sebelum itu dia aktif dalam sukan. Isteri Plaintif (SP2) juga menyokong keterangan ini.
Pihak Defendan tidak langsung mengemukakan keterangan mengenai kecederaan Plaintif.
Dalam keadaan ini, jika liabiliti Defendan dibuktikan, saya akan menerima keterangan Plaintif dan saksi-saksinya mengenai kecederaannya.
Berkenaan jumlah ganti rugi am Plaintif, peguam Plaintif tidak mengemukakan apa-apa autoriti. Beliau hanya menyebut jumlah yang diminta, iaitu RM200,000.00. Peguam Defendan Kedua merujuk kepada beberapa autoriti seperti Wee Peng Whatt v. Singapore Transport Supply Services Pte. Ltd. & 2 Ors. [1977] 1 LNS 153; [1981] 1 MLJ 1937; Ho Teck Fah v. Looi Wah t/a Looi Construction [1980] 1 LNS 118; [1981] 1 MLJ 1628; Teoh Suan Eng v. Lee Meng Shui & Anor. [1982] CLJ 202; [1982] CLJ 810 (Rep); [1982] 1 MLJ 3639; Au Kee Tuang v. Lightweight Concrete Pte. Ltd.10; Abdul Munir bin Haji Abdul Rahman v. Mohamed Adzhar bin Hassan11; Tarmi bte Sanusi & Anor. v. Yusoff Bashah12; Lee Ann v. Mohamed Sahari Bin Zakaria [1986] 1 CLJ 572; [1986] CLJ 432 (Rep); [1987] 1 MLJ 25213. Dalam kes-kes itu yang melibatkan paralegia, gantirugi yang diberi mengikut keadan-keadaan dalam sesuatu kes itu ialah antara RM70,000.00 hingga $177,305.00 (Singapura). Sebagai panduan saya berpendapat kes Au Kee Tuang11, di mana gantirugi sebanyak $105,000.00 (Singapura) diberi dan kes Abdul Munir bin Haji Abdul Rahman11 di mana RM120,000.00 diberi adalah lebih sesuai dengan kes ini. Oleh itu saya berpendapat, jika liability dibuktikan, ganti rugi am untuk “pain and suffering and loss of amenities” sebanyak RM130,000.00 adalah berpatutan.
Kehilangan pendapatan di masa hadapan.
Tidak dinafikan bahawa Plaintif tidak boleh bekerja langsung selepas kemalangan itu. Berasaskan RM500.00 sebulan sehingga dia meningkat umur 55 tahun (sebagai seorang pemandu saya berpendapat 55 tahun adalah umur yang sesuai untuk bersara) ganti rugi di bawah tajuk yang patut diberi jika liabiliti dibuktikan ialah RM500.00 x 7 x 12 = RM46,620.00.
(b) Guaman No. 73-565-89.
Gantirugi am.
Kemalangan ini berlaku sebelum seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 dipinda. Semasa meninggal dunia anak Plaintif berumur 23 tahun. Mengikut Plaintif (SP4) anaknya bekerja sebagai seorang “draughtsman”. Pendapatan [Page 25] terakhirnya sebanyak RM900.00 sebulan. Anaknya memberinya RM700.00 sebulan. Tidak ada apa-apa keterangan dokumentasi dikemukakan.
Saya berpendapat keterangan Plaintif itu tidak munasabah. Saya berpendapat gaji Si Mati yang lebih munasabah adalah dalam lingkungan RM700.00 dan dia memberi ibunya lebih kurang RM200.00 sebulan. Memandangkan bahawa anaknya itu akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, besar kemungkinan sumbangan itu akan dikurangkan kalau tidak dihentikan langsung. Dalam keadaan ini saya berbendarap tempoh 4 tahun adalah patut untuk digunakan untuk perkiraan. Oleh itu, jika liabiliti berjaya dibuktikan, mengikut “annuity tables” sejumlah RM8,500.00 adalah patut.
Gantirugi khas.
Jika liabiliti terbukti, saya bersetuju bahawa gantirugi khas sebanyak RM750.00 untuk pengambilan Surat Kuasa Pentadbiran dan RM1,000.00 untuk belanja pengkebumian patutlah diberi.
Dato’ Abdul Hamid bin Hj. Mohamed
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang.
[Page 26]
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA.
1. En. Darshan Singh Khaira (Tetuan Darshan Singh & Co.) bagi pihak Plaintif dalam 23-18-89.
2. En. Teja Singh Penesar (Tetuan Teja Singh Penesar & Co.) bagi pihak Defendan 1.
3. En. N. Sivanathan (Tetuan Kumar, Sitham & Co.) bagi pihak Defendan 2.
4. En. Ranjit Singh (Tetuan Jag-Jit Singh & Co.) bagi pihak Plaintif dalam 73-565-89.
SENARAI KES YANG DIRUJUK.
1. Mokhtar bin Abdul Razak dan lain v. Samslah bt. Saman1Rayuan Sivil Mahkamah Tinggi Pulau Pinang No. 12-31-93.
2. Che Noh bin Yacob v. Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. [1981] 1 LNS 135; [1982] 1 MLJ 80.
3. Tan Peng Loh v. Lee Aik Fong & Anor. [1981] CLJ 167; [1981] CLJ 96 (Rep); [1982] 1 MLJ 74 M.P.
4. Koay Tuan & Anor. v. Eng Chong How & Anor. [1988] 1 CLJ 816; [1988] 1 CLJ 673 (Rep); [1987] 1 MLJ 422.
5. P.P. v. Lim Bong Kat and Anor. [1992] 4 CLJ 2173; [1992] 3 CLJ 380 (Rep) (M.T.).
6. Yeap Cheong Hock v. Kajima Taisei Joint Venture [1973] 1 MLJ 250.
7. Wee Peng Whatt v. Singapore Transport Supply Services Pte. Ltd. & 2 Ors. [1977] 1 LNS 153; [1981] 1 MLJ 193 (Singapura).
8. Ho Teck Fah v. Looi Wah t/a Looi Construction [1980] 1 LNS 118; [1981] 1 MLJ 162.
9. Teoh Suan Eng v. Lee Meng Shui & Anor. [1982] CLJ 202; [1982] CLJ 810 (Rep); [1982] 1 MLJ 363.
10. Au Kee Tuang v. Lightweight Concrete Pte. Ltd. [1984] 2 MLJ xxix.
11. Abdul Munir bln Haji Abdul Rahman v. Mohamed Adzhar bin Hassan [1985] 2 MLJ cl.
[Page 27]
12. Tarmi Bte Sanusi & Anor. v. Yusoff Bashah [1986] 2 MLJ cclvii.
13. Lee Ann v. Mohamed Sahari Bin Zakaria [1986] 1 CLJ 572; [1986] CLJ 432 (Rep); [1987] 1 MLJ 252.
13.3.96.