TAK-CHEUNG TOKUSHO TRAVEL SERVICE LTD v. TOKUSHO TRAVEL SERVICE SDN BHD

TAK-CHEUNG TOKUSHO TRAVEL SERVICE LTD v. TOKUSHO TRAVEL SERVICE SDN BHD
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO. 22-88-94
3 JANUARY 1996
[1996] 1 LNS 525

Counsel:
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA:
1. Cik Zarizana Bte Abdul Aziz (Tetuan K. Ahmad & Yong) bagi pihak Plaintif.
2. En. Yeang Kok Kheang (Tetuan Yeang & Co. ) bagi pihak Defendan.

ALASAN PENGHAKIMAN
(Lampiran 53)
Guaman ini dimulakan pada 3 Mac 1994. Semenjak itu beberapa banyak permohonan interlokutori difail dan didengar. Sudah terdapat dua rayuan ke Mahkamah Rayuan mengenainya, selain dari rayuan ini.
Keputusan yang terhadapnya rayuan ini dibuat sekarang ialah perintah yang saya buat setelah mendengar rayuan Defendan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar berhubung dengan Lampiran 7. Lampiran 7 itu adalah permohonan oleh Defendan memohon perintah supaya Plaintif menyampaikan butir-butir lanjut.
Kronologi kes ini perlu diperturunkan setakat yang berkenaan dengan permohonan itu.
Plaintif memfail Writ dan Pernyataan Tuntutan pada 31 Mac 1994. Kehadiran dimasukkan pada 19 April 1994. Pada 21 April 1994 peguam Defendan menulis surat kepada peguam Plaintif memohon butir-butir mengenai Pernyataan Tuntutan Plaintif. Pembelaan dimasukkan paa 26 April 1994. Pada 27 [Page 2] April 1994 Defendan memfail Saman-dalam Kamar memohon jaminan untuk kos. Pada hari yang sama Defendan memfail Saman-dalam-Kamar (Lampiran 7) memohon butir-butir lanjut -permohonan ini. Pada 10 Mei 1994 Defendan memfail Saman-dalam-Kamar memohon supaya Writ dan Pernyataan Tuntutan Plaintif dibuang menurut Aturan 18 Kaedah 19 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980). Pada 13 Julai 1994, Plaintif pula memfail Saman-dalam-Kamar untuk meminda Pernyataan Tuntutan. Pada 7 September Penolong Kanan Pendaftar membenarkan permohonan Plaintif untuk meminda Pernyataan Tuntutan itu (Lampiran 28). Defendan merayu kepada Hakim dalam Kamar (Lampiran 43). Pada 23 Februari 1995 saya menolak rayuan Defendan itu dengan kos. Defendan merayu ke Mahkamah Rayuan. Alasan Penghakiman telah disiapkan pada 7 April 1995. Sementara itu, pada 22 Oktober 1994, Penolong Kanan Pendaftar meluluskan permohonan Defendan di Lampiran 7 dan memerintahkan Plaintif memberi butir-butir lanjut dan jelas. Plaintif pula merayu kepada Hakim dalam Kamar. Setelah mendengar rayuan itu saya meluluskan rayuan Plalntif itu pada 1 Disember 1995. Defendan merayu ke Mahkamah Rayuan – rayuan ini.
Jadi, pendengaran di hadapan saya itu ialah pendengaran rayuan kepada Hakim-dalam-Kamar terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar. Peguam Defendan [Page 3] menghujahkan secara sambil lewa sahaja bahawa Plaintif perlu mendapat kebenaran untuk merayu terlebih dahulu. Disoal oleh saya beliau mengatakan beliau tidak dapat memberi apa-apa nas untuk menyokong hujahnya itu.
Semasa menulis alasan penghakiman ini saya temui satu nota dalam Mallal’s Supreme Court Practice Jilid I di halaman 208 seperti berikut:
“The question as to whether particulars shall be ordered is one of discretion, and though an appeal lies with leave, the leave is only granted if a question of principle is involved.”.
Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh peguam Defendan itu.
Bahawa sama ada hendak memberi perintah itu terserah kepada budibicara Mahkamah (di Malaysia, Penolong Kanan Pendaftar), memang betul. Demikian juga kedudukannya di England – lihat The Supreme Court Practice 1995, Jilid I nota 18/12/23 di halaman 319.
Tetapi, sama ada untuk merayu kepada Hakim dalam Kamar terhadap perintah Penolong Kanan Pendaftar dalam hal ini memerlukan kebenaran saya tidak yakin. Nota itu tidak menyebut apa-apa nas sebagai sumbernya. Saya juga tidak temui nyataan yang serupa dalam The Supreme Court Practice. Kalau ada pun, dan kalau itu amalan di England pun, saya tidak fikir kita patut ikut tanpa meneliti kesesuaiannya di Malaysia. Pertama, dalam Aturan 56 KMT [Page 4] 1980 yang mengandungi peruntukan mengenai rayuan daripada Pendaftar kepada Hakim dalam Kamar tidak terdapat apa-apa peruntukan yang menghendaki kebenaran diperolehi terlebih dahulu. Saya juga tidak temui apa-apa peruntukan dalam mana-mana undang-undang di Malaysia ini yang menghendaki demikian. Kedua, rayuan kepada Hakim dalam Kamar adalah bersifat pendengaran semula. Pendaftar-Pendaftar tidak menulis alasan penghakiman mereka. Jadi, bagaimana Hakim dalam Kamar boleh tahu sama ada Pendaftar itu tersilap dari segi prinsip atau tidak? Ketiga, di mana kebenaran untuk merayu dikehendaki undang-undang kita menyatakannya dengan jelas – sebagai misalan lihat seksyen 68 Akta Mahkamah Keadilan 1964. Saya berpendapat, di mana undang-undang tidak memperuntukkan bahawa kebenaran untuk merayu diperlukan, Mahkamah tidak patut “membuat undang-undang” untuk mewujudkan syarat itu. Mengapa untuk merayu dalam hal ini perlu ada kebenaran sedangkan untuk merayu terhadap perintah-perintah lain yang dibuat oleh Pendaftar ia tidak perlu?
Atas alasan-alasan ini, sambil saya menghormati pandangan penulis buku amalan yang kita sanjung tinggi itu, saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Kesimpulannya, adalah penghakiman saya bahawa kebenaran tidaklah diperlukan untuk merayu terhadap perintah Penolong Kanan Pendaftar mengarahkan satu-satu pihak memberi butiran lanjut, kepada Hakim dalam Kamar.
[Page 5]
Seperti yang dikatakan tadi bahawa perkara ini terletak kepada budlbicara Mahkamah, mulanya Penolong Kanan Pendaftar, dan di hadapan saya, budibicara saya.
Peguam Plaintif membantah permohonan Peguam Defendan atas dua alasan. Pertama, kerana butir-butir yang dikehendaki itu telah diberi dalam Pernyataan Tuntutan Terpinda. Kedua, Permohonan untuk butir-butir lanjut itu dibuat sebelum Defendan memfail pembelaan.
Berkenaan alasan pertama, kita perlu rujuk kepada “Pindaan Penyata Tuntutan” seperti yang dibuat mengikut perintah Mahkamah bertarikh 7 September 1994. Kerana ianya panjang saya tidak akan memperturunkannya – sila lihat Lampiran 42. (Pindaan ini dibenarkan selepas permohonan ini difail tetapi sebelum Penolong Kanan Pendaftar mendengar permohonan untuk butir-butir lanjut ini).
Saya telah meneliti Pernyataan Tuntutan Terpinda itu. Saya dapati butir-butir yang mencukupi telah pun dinyatakan dalamnya. Lebih dari itu adalah keterangan yang cuma patut dikemukakan dalam perbicaraan kelak. Malah Defendan boleh selepas pliding ditutup memohon penzahiran dan pemeriksaan dokumen di bawah Aturan 24 KMT 1980. Atas alasan itu saya dapati perintah yang dipohon oleh Defendan ini tidak perlu lagi.
Alasan kedua bantahan Plalntif ialah permohonan (melalui surat) meminta butir-butir lanjut itu dibuat sebelum Defendan memfailkan pembelaannya.
[Page 6]
Dalam hal ini, kaedah 12 (5) Aturan 18 KMT 1980 memperuntukkan:
“(5) Sesuatu perintah di bawah kaedah ini tidaklah boleh dibuat sebelum penyampaian pembelaan melainkan jlka pada pendapat Mahkamah, perintah itu perlu atau wajar untuk membolehkan pihak defendan membuat pliding atau perlu atau wajar kerana sesuatu sebab khas yang lain.”.
Perlu diambil perhatian bahawa kaedah ini menyebut mengenai perintah, iaitu perintah oleh Mahkamah mengarahkan pemberlan butir-butir lanjut, bukan permintaan melalui surat oleh peguam satu pihak kepada peguam satu pihak lain. Dalam kes ini, permintaan melalui surat dibuat sebelum Defendan memfailkan pembelaan, tetapi permohonan kepada Mahkamah dibuat dan didengar selepas pembelaan difailkan. Jadi, pada pandangan saya kaedah 12(5) ini tidaklah berkenaan dan tidak boleh membantu Plaintif menentang permohonan ini.
Kesimpulannya, saya meluluskan rayuan ini dan mengenepikan perintah Penolong Kanan Pendaftar itu kerana saya berpendapat bahawa Plaintif telah pun memberi butiran-butiran yang cukup dalam Pernyataan Tuntutan Terpindanya dan oleh itu butir-butir lanjut tidak perlu lagi dan Defendan boleh memohon penzahiran dan pemeriksaan dokumen-dokumen di bawah Aturan 24 KMT 1980.
[Page 7]
Rayuan Plaintiff diluluskan dan perintah Penolong Kanan Pendaftar bertarikh 22 Oktober 1994 itu di ketepikan dengan kos.
Abdul Hamid Bin Hj. Mohamad
Hakim, Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang.
PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA.
1. Cik Zarizana Bte Abdul Aziz (Tetuan K. Ahmad & Yong) bagi pihak Plaintif.
2. En. Yeang Kok Kheang (Tetuan Yeang & Co. ) bagi pihak Defendan.
3.1.96.

76 visits