ISA ABDUL RAHMAN & LAGI lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM, PULAU PINANG

ISA ABDUL RAHMAN & LAGI lwn. MAJLIS AGAMA ISLAM, PULAU PINANG
MAHKAMAH TINGGI MALAYA,
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
GUAMAN SIVIL NO. 22-441-90
13 OKTOBER 1995
[1996] 1 CLJ 283

UNDANG-UNDANG ISLAM: Tanah wakaf – Tanah diwakafkan untuk masjid – Tanggungjawab pemegang amanah – Samada untuk melaksanakan tujuan wakaf – Cadangan pemegang amanah untuk mendirikan bangunan bagi menampung sebuah masjid dan sebuah pejabat bank – Samada bercanggah dengan tujuan wakaf – Samada bercanggah dengan Hukum Syarak.

UNDANG-UNDANG ISLAM: Fatwa – Fatwa oleh Jawatankuasa Syariah dan Mufti – Samada mengikat Mahkamah Sivil. [English Translation of Catchwords]

ISLAMIC LAW: Wakaf land – Land as trust property for mosque – Duties of trustees – Whether to effectuate purpose of wakaf – Proposal by trustees to construct building on land to cater for a mosque and a bank – Whether in breach of purpose of wakaf – Whether contravened Syariah Law.

ISLAMIC LAW: Fatwa – Fatwa by Syariah Committee and Muftis – Whether binding on Civil Courts.

Melalui satu Suratikatan Penyelesaian bertarikh 26 September 1900 suatu amanah telah dibuat di mana sebidang tanah yang terletak di Jalan MacAlister, Pulau Pinang, di atas mana terdiri sebuah masjid, telah diwakafkan untuk digunakan “sebagai tempat orang-orang Islam bersembahyang dan tidak untuk tujuan-tujuan lain “. Pada 1 Disember 1989, berikutan suatu notis usul, perintah telah dibuat oleh Mahkamah di mana tanah wakaf ini telah diletakhak kepada defendan (Majlis) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 1959.
Majlis bercadang untuk membangunkan tanah wakaf ini dan mengambil ketetapan untuk merobohkan masjid berkenaan dan mendirikan di situ sebuah bangunan lima tingkat, dimana sebahagiannya akan digunakan sebagai masjid dan sebahagian lagi untuk pejabat sebuah bank.
Plaintif membantah pembangunan yang dicadangkan, dan berikutnya, memohon injunksi bagi menegah Majlis dari melaksanakan cadangan itu, dan perisytiharaan bahawa pelaksanaan pembangunan yang dicadangkan adalah bercanggah dengan Hukum Syarak.
Plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat tanah wakaf manakala plaintif kedua adalah ahli jawatankuasa masjid yang hendak dirobohkan.
Dihadapan yang arif Hakim, Majlis berhujah bahawa berdasarkan peruntukan s. 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956, para plaintif tidak ada locus standi untuk bertindak terhadap mereka dalam kes ini.
Fakta menunjukkan bahawa pada tahun 1973 Mufti Pulau Pinang pada waktu itu telah memfatwakan bahawa pembinaan bangunan baru ditapak tanah wakaf tersebut dan menjadikan sebahagiannya sebagai masjid dan sebahagian yang lain sebagai tempat berniaga adalah berlawanan dengan Hukum Syarak dan tidak boleh dilaksanakan.
Bagaimanapun, pada tahun 1989 satu fatwa baru telah dibuat oleh Jawatankuasa Syariah dimana cadangan Majlis tersebut telah dihukumkan sebagai harus disisi Hukum Syarak.
Fakta juga menunjukkan bahawa setelah selesai perbicaraan ini, tetapi sebelum penghakiman dibuat, fatwa terkemudian di atas telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Pulau Pinang No. 220 bertarikh 4 Ogos 1994.
Diputuskan:
[1] Hakikat bahawa tanah wakaf itu terletakhak kepada Majlis tidaklah membolehkan Majlis membuat apa sahaja yang dikehendakinya seperti tuan-tuan tanah berdaftar lain.
Selaku pemegang amanah tugas Majlis ialah untuk mentadbit dan melaksanakan tujuan wakaf.
Majlis masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat-syarat wakaf berkenaan.
[2] Plaintif pertama adalah waris dan pemegang amanah asal tanah wakaf berkenaan sementara plaintif kedua adalah ahli jawatankuasa masjid.
Mereka adalah orang-orang yang mengurus, mentadbir dan “memakmurkan” masjid tersebut.
Dengan kedudukan yang sedemikian mereka berhak untuk menentukan bahawa tujuan wakaf itu dipelihara dan dilaksanakan.
Ini bermakna bahawa mereka mempunyai kepentingan dalam perkara tindakan ini, iaitu amanah yang terkandung dalam Suratikatan Penyelesaian itu, tanah wakaf dan masjid yang terletak di atas tanah wakaf itu.
Plaintif-plaintif dengan itu mempunyai locus standi untuk bertindak.
[3] Fatwa, samada dibuat oleh Mufti-Mufti atau pun Jawatankuasa-Jawatankuasa Syariah tidak boleh mengikat Mahkamah Sivil.
Bagi fatwa yang dibuat pada tahun 1989 di sini, walaupun ia diwartakan, ianya juga tidak mengikat Mahkamah ini.
Ini kerana undangundang Negeri tidak boleh mengurangkan bidangkuasa Mahkamah Sivil yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan.
Selain dari itu, perkataan bahawa sesuatu fatwa itu “hendaklah terkena kepada semua orang-orang Islam yang duduk dinegeri ini”, yang terdapat dalam s. 37(2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang 1993, tidak boleh mengikat Mahkamah ini oleh kerana Mahkamah tidak boleh ditafsirkan sebagai “orang Islam”.
[4]Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 hendaklah dibaca selaras dengan peruntukanperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan terutama Jadual Kesembilannya.
Ini bererti perkataan “excluding wakaf” di dalam perenggan 15(c) Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mestilah dibaca kedalam peruntukan s. 9. Kesan dari pembacaan ini ialah s. 9 Akta tersebut tidak terpakai kepada amanah yang berupa satu wakaf.
Oleh itu plaintif tidak perlu mendapatkan izin Peguam Negara untuk memulakan tindakan mereka, dan mereka juga tidak perlu menunjukkan bahawa terdapat “infringement of a private right or suffering of a special damage”.
[5] Cadangan Majlis untuk mendirikan pejabat Bank Islam di tapak tanah wakaf itu adalah bercanggah dengan tujuan amanah yang terkandung dalam Suratikatan Penyelesaian bertarikh 26 September 1900.
Mahkamah ini tidak nampak bagaimana kata-kata “untuk digunakan sebagai tempat orang-orang Islam bersembahyang” boleh ditafsirkan sebagai termasuk “untuk orang-orang Islam dan bukan Islam menjalankan urusan perbankan mereka”. Adalah juga tidak munasabah untuk mengatakan bahawa tujuan pengamanahpengamanah itu termasuk untuk mendirikan sebuah pejabat bank Islam, yang wujud cuma tiga suku abad kemudian.
Tambahan pula terdapat kata-kata “dan tidak untuk tujuantujuan lain”.
[6] Oleh kerana terdapat fatwa dan pandangan yang bertentangan samada cadangan Majlis tersebut bercanggah atau tidak dengan Hukum Syarak, disamping Mahkamah ini sendiri tidak berkemampuan untuk membuat penemuan Hukum Syarak berkenaan, maka, walaupun
Mahkamah mempunyai budibicara yang luas untuk memberi perisytiharan yang dipohon, berdasarkan fakta dan halkeadaan yang wujud, perisytiharan berhubung persoalan ini tidak harus diberi.
Ini bermakna permohonan untuk mendapatkan injunksi adalah ditolak. Per curiam:
Adalah lebih baik penemuan atau penetapan Hukum Syarak dibuat oleh ulama-ulama Islam daripada Hakim-Hakim Mahkamah Sivil.
Cuma, berhubung dengan persoalan samada cadangan Majlis disini bercanggah atau tidak dengan Hukum Syarak, saya ingin mengesyorkan supaya Jawatankuasa Syariah Pulau Pinang menimbang semula masalah ini dan mengeluarkan fatwa yang mutakhir mengenainya.
Dan sehingga fatwa mutakhir ini dikeluarkan, tidaklah patut masjid berkenaan dirobohkan oleh Majlis. [Permohonan ditolak].
Case(s) referred to:
Majlis Agama Islam Pulau Pinang v. Isa Abdul Rahman & Yang Lain [1992] 3 CLJ 1675;[1992] 2 MLJ 244 (dirujuk)
Commissioner for Religious Affairs, Trengganu & Ors. v. Tengku Mariam Binti Tengku Sri Waja Raja & Anor. [1968] 1 LNS 156 [1970] 1 MLJ 222 MP (diikuti)
Re Dato’ Bentara Luar, Deceased Haji Yahya bin Yusoff v. Hassan bin Othman & Anor. [1982] 1 LNS 16;[1981] 2 MLJ 352 dan [1982] 2 MLJ 264 MP (diikuti)
Haji Abdullah & Ors. v. Ibrahim & Ors. [1965] 1 LNS 48 (dirujuk)
Lee Eng Teh & Ors. v. Teh Thiang Seong & Anor. [1966] 1 LNS 79 (dirujuk)
Lee Chick Yet v. Chen Siew Hee & Ors. [1974] 1 LNS 70 (dirujuk)
Haji Embong bin Ibrahim & Ors. v. Tengku Nik Maimunah Hajjah Binti Almarhum Sultan Zainal Abidin & Anor. [1979] 1 LNS 24 [1980] 1 MLJ 286 (dirujuk)
Lim Cho Hock v. Government of the State of Perak & Ors. [1980] 1 LNS 43 [1980] 2 MLJ 148 (dirujuk)
Tan Sri Haji Othman bin Saat v. Mohamed bin Ismail [1982] 1 LNS 2;[1982] 2 MLJ 177 MP (dirujuk)
Karpal Singh v. Sultan of Selangor [1987] 2 CLJ 98 (dirujuk)
Government of Malaysia v. Lim Kit Siang [1988] 1 CLJ 63 (dirujuk)
Lim Kit Siang v. U.E.M. [1987] 1 LNS 129;[1988] 1 MLJ 53 (dirujuk)
Gouriet v. Union of Post Office Workers [1977] 3 All ER 70 (dirujuk)
Tengku Jaafar bin Tengku Ahmad v. Karpal Singh [1993] 4 CLJ 183 [1993] 3 MLJ 156 (dirujuk)
G. Rethinasamy v. Majlis Ugama Islam Pulau Pinang [1992] 1 LNS 42;[1993] 2 MLJ 166 (dirujuk)
Datuk Syed Kechik bin Syed Mohamed v. The Government of Malaysia and Sabah [1978] 1 LNS 44 [1979] 2 MLJ 101 (dirujuk)
Land Executive Committee of the Federal Territory v. Harper Gilfillan Ltd. [1980] 1 LNS 150 [1981] 1 MLJ 234 (dirujuk)
Commissioner for Religious Affairs Trengganu v. Tengku Mariam binti Tengku Sri Waja Raja & Anor. [1970] 1 LNS 21 [1980] 1 MLJ 287 (dirujuk)
Abdul Rahim and Others v. Syed Abu Mohamed Barkat All Shah and Others AIR 1928 PC 16 (dirujuk)
Khalid Panjang & Ors. V. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 53
Other source(s) referred to:
Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359), peruntukan 9
Enakmen No. 3/1959, s. 37(2),
89(1), (2), 90,
92, 93,
105, 108
Enakmen No. 7/1993, ss. 36(4), (5),
42
Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 (Enakmen No. 7 tahun 1993)
Perlembagaan Persekutuan, Perenggan 15(c), Senarai 1 & Perenggan 1, Senarai 11, Jadual Kesembilan,
Perkara 42,
74,
121A,
162 Klausa 4
Islamic Law with Special Reference to the Institution of Waqf, m.s. 214
Administrative Law of Malaysia and Singapore, Edisi Kedua, m.s. 449

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Haji Sulaiman bin Abdullah (M. Athimulan bersamanya); T/n. Kumar, Sitham &Co.
Bagi pihak defendan – Ghazi Ishak (Mureli Navaratnam bersamanya); T/n. Ghazi & Lim
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed H:
Tuntutan plaintif-plaintif
Mengikut pernyataan tuntutan plaintif-plaintif, plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat tanah wakaf di Jalan MacAlister, Pulau Pinang di atas mana terletak Masjid Jamek Hj. Wahab, atau lebih dikenali umum sebagai Masjid Simpang Enam (masjid). Plaintif kedua adalah Ahli- Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK masjid) itu.
Defendan adalah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Majlis).
Mengikut pernyataan tuntutan itu masjid itu dibina dalam tahun 1889.
Semenjak dahulu lagi waris-waris pewasiat itu telah mentadbir dan mengurus hal ehwal masjid tersebut dan defendan mengetahui dan mengiktiraf pengurusan dan pentadbiran mereka.
Mengikut pernyataan tuntutan itu lagi, di akhir-akhir ini defendan telah mengambil langkah-langkah untuk merobohkan masjid itu dengan tujuan untuk menggantikannya dengan sebuah bangunan bertingkat.
Plaintif-plaintif tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana mengikut plaintif-plaintif ia bertentangan dengan tujuan sebenar wakaf tersebut, bertentangan dengan pendapat dan kemahuan orang-orang Islam di Pulau Pinang, bertentangan dengan undang-undang dan peraturan-peraturan, bertentangan dengan Hukum Syarak dan bertentangan dengan kepentingan awam.
Plaintif-plaintif memohon perintah-perintah berikut:
(a) satu pengisytiharan (sic) bahawa cadangan defendan untuk merobohkan masjid jamek Hj. Abdul Wahab adalah bercanggah dengan undang-undang dan hukum syarak. (b) satu pengisytiharan (sic) bahawa di bawah wakaf am (kemudian dipinda kepada “khas”) pihak defendan tidak mempunyai hak untuk merobohkan masjid tersebut semata-mata kerana tujuan perobohan tersebut adalah bercanggah dengan hukum syarak. (c) satu pengisytiharan(sic) bahawa defendan tidak layak untuk merobohkan masjid tersebut tanpa mendapat restu dan keizinan daripada waris-waris dan umat Islam Pulau Pinang (benefisiari) termasuk plaintif. (d) satu injunksi untuk mencegah defendan atau ejen-ejennya daripada merobohkan masjid tersebut dan memberhentikan daripada melakukan segala penyediaan awal untuk merobohkan masjid berkenaan seperti ujian-ujian tanah dan sebagainya. (e) ganti-rugi (f) kos (g) lain-lain perintah yang difikirkan adil dan setimpal oleh Mahkamah yang mulia.
Pembelaan defendan
Mengikut pernyataan pembelaannya, defendan menafikan bahawa plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat tanah wakaf itu.
Defendan mengatakan bahawa ia adalah tuan punya dan mempunyai hak milik ke atas tanah berkenaan.
Defendan seterusnya mengatakan bahawa satu daripada tanah tersebut, iaitu pegangan 318 di mana terletaknya masjid itu dahulunya dipegang oleh pemegang-pemegang amanah iaitu Hadji Abdul Wahab bin Oosman, Tunku Abbass Bin Tunku Hadji Kasim, Hadji Zakariah Bin Shaik Osman dan Shaik Mohamed Sahib Bin Kader Mydin mengikut “Suratikatan Penyelesaian” (Deed of Settlement) No. 129/63 bertarikh 26 September 1900. (Saya gunakan istilah “Suratikatan Penyelesaian” bagi “Deed of Settlement” dan tidak “Surat Ikatan Kemendapan” seperti yang digunakan oleh defendan kerana istilah yang digunakan oleh defendan itu nyata tidak betul). Defendan seterusnya mengatakan bahawa mengikut Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam No. 3 Tahun 1959 (selepas ini disebut Enakmen No. 3/1959). Masjid itu dan tanah yang di atasnya terletak masjid itu terletakhak pada Majlis.
Perintah perletakanhak itu telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam Notis Usul No. 24-912-1989 bertarikh 1 Disember 1989.
Defendan mengakui bahawa plaintif kedua adalah AJK masjid itu.
Mengikut defendan lagi, defendan telah membuat keputusan untuk merobohkan masjid itu dan membina di atas tanah itu satu bangunan lima tingkat, tingkat pertama hingga ketiga akan digunakan sebagai pejabat bank manakala tingkat empat dan lima sebagai masjid.
Defendan menafikan bahawa cadangan tersebut bertentangan dengan tujuan sebenar wakaf itu dan terma-terma dan syarat-syarat amanah itu.
Defendan juga mengatakan bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai “locus standi “, bahawa defendan tidak perlu mendapat keizinan plaintif-plaintif atau orang-orang Islam untuk meneruskan rancangannya itu, bahawa rancangan itu adalah untuk kepentingan orang-orang Islam di Pulau Pinang.
Defendan juga menyatakan bahawa Enakmen No. 3/1959 memberi kuasa kepadanya untuk “meruntuhkan” masjid tersebut.
Mengikut defendan lagi rancangan itu adalah selaras dengan Hukum Syarak dan ajaran Islam, selaras dengan wasiat yang dibuat oleh pewasiat.
Penemuan Fakta
Sekarang eloklah saya membuat beberapa penemuan fakta terlebih dahulu: (a) Sama ada plaintif pertama seorang waris
Adakah plaintif pertama seorang waris kepada pewasiat amanah tersebut? Dalam hal ini, dalam pernyataan pembelaan defendan, di perenggan 1, defendan mengatakan bahawa “defendan tidak mengakui bahawa plaintif pertama ialah waris kepada pewasiat…”‘ Dalam penghakiman Mahkamah Agung dalam kes ini (Majlis Agama Islam Pulau Pinang v. Isa Abdul Rahman & Yang Lain [1992] 3 CLJ 1675; [1992] 2 MLJ 244) Hj. Mohd.
Eusoff b. Chin HMA (pada masa itu) yang menulis penghakiman Mahkamah itu berkata:
Responden pertama Isa bin Abdul Rahman menyatakan dalam tuntutannya dan tidak dinafikan oleh perayu, bahawa dia ialah seorang waris bagi tuan tanah asal…
Saya mengambil pendirian bahawa soal itu belum, diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Agung.
Maka saya akan memutuskannya sekarang.
Dalam hal ini, plaintif pertama memberi keterangan sebagai PW1. Dalam keterangannya dia menerangkan hubungannya dengan Haji Abdul Wahab, salah seorang pemegang amanah seperti berikut:
Nama saya Isa bin Abdul Rahman.
Emak saya bernama Latifah binti Hj. Abdul Aziz.
Dato’ perempuan saya (sebelah ibu) ialah Zainab bt. Mustaffa.
Emak Zainab ialah Arbaayah bt. Hj. Abdul Wahab.
Saya ada hubungan dengan Hj. Abdul Wahab melalui emak saya.
Berkenaan hubungannya dengan Tuan Shaikh Mohamed, tuan tanah dan pewasiat lot 578 beliau berkata:
Tuan Shaikh Mohamed ialah nenek saya sebelah ibu.
Latifah bt. Abdul Aziz (emak saya) ialah anak Abdul Aziz.
Abdul Aziz ialah anak kepada, Tuan Shaikh Mohamed.
Tuan Shaikh Mohamed adalah menantu kepada Hj. Abdul Wahab.
Tidak ada keterangan sebaliknya dikemukakan oleh defendan dalam hal ini.
Atas imbangan kebarangkalian, saya terima keterangan plaintif pertama dalam hal ini.
Saya terima bahawa plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat (Tuan Shaikh Mohamed) dan pemegang amanah (Hj. Abdul Wahab). (b) Plaintif kedua AJK masjid
Defendan mengakui bahawa plaintif kedua adalah AJK masjid berkenaan.
Dalam hal ini saya juga menerima keterangan plaintif pertama bahawa dia juga adalah seorang AJK masjid itu. (c) Amanah (Trust)
Tidak dipertikaikan bahawa kesemua tanah berkenaan adalah perkara (subject matter) suatu amanah (trust). Suratikatan penyelesaian bertarikh 26 September 1900, antara lain, memperuntukkan:
To hold all the said lands unto and for the use of the said Hadji Zakariah, Shaikh Mohamed Sahib, Tunku Hadji Abbass and Hadji Abdul Wahab their executors and administrators and assignors and the executor or administrator of the last successor of them upon trust to allow the same to be used as a place of Mohamedan Public Worship and for no other purpose. (d) Keadaan dan kedudukan masjid
Mengikut plaintif pertama, masjid itu telah dibina dalam tahun 1889 dan terletak di atas lot 318.
Walau bagaimanapun, lebih kurang 10% daripada masjid itu terletak di atas lot 578.
Bahagian yang terletak di atas lot 578 itu adalah diperbuat daripada “zinc dan canvas”. Untuk kegunaan sembahyang Jumaat, terdapat juga sebahagian yang cuma bersimen di atas lot 578 itu.
Bahagian di lot 578 itu telah digunakan sebagai masjid lebih daripada 30 tahun.
Mengikut beliau bangunan masjid itu masih kukuh.
Oleh sebab tidak ada keterangan sebaliknya dalam hal ini saya, menerima keterangan plaintif pertama itu.
Beralih kepada bilangan jemaah yang bersembahyang di masjid itu, plaintif pertama mengatakan bahawa bagi sembahyang Subuh hingga Isyak terdapat antara 60 hingga 130 orang jemaah.
Bagi sembahyang Jumaat, jemaah melebihi 500 orang.
Dalam hal ini, DW3, Pengarah Jabatan Agama Islam dan juga merangkap Setiausaha Majlis memberi keterangan bahawa berdasarkan pemerhatiannya masjid itu boleh memuatkan antara 100-150 jemaah.
Saya dapati, keterangan DW1 dalam hal ini berbanding dengan keterangan plaintif pertama, tidak meyakinkan.
Ini adalah kerana plaintif pertama, sebagai seorang AJK masjid yang mengurus dan mentadbirkan masjid itu lebih maklum dalam hal itu.
Keterangan DW1 juga tidak meyakinkan kerana beliau, semasa memberi keterangan, nampaknya tidak pasti walau pun berkenaan perkara seperti berapa tingkat bangunan yang dicadangkan itu dan samada, pejabat bank terletak di bawah dan masjid (yang dicadangkan) di atas atau sebaliknya.
Dalam keadaan ini saya menerima keterangan plaintif pertama dalam hal ini. (e) Cadangan Defendan
Berkenaan cadangan defendan, tidak dipertikaikan bahawa iaitu untuk merobohkan masjid yang sedia ada itu, dan di atas tapaknya (lot 318) hendak dibina satu bangunan lima tingkat.
Tiga tingkat bawah akan digunakan sebagai pejabat Bank Islam manakala dua tingkat atas akan digunakan, sebagai masjid yang boleh memuat lebih kurang 350 orang jemaah.
Perlu disebut bahawa cadangan defendan itu termasuk juga membina rumah pangsa dan kedai di atas lot di sebelahnya.
Ini tidak ditentang oleh plaintif-plaintif.
Apa yang mereka tentang ialah cadangan merobohkan masjid yang sedia ada dan membina di atas tapak itu bangunan lima tingkat itu.
Mereka juga tidak membantah jika masjid itu dirobohkan dan di atas tapaknya dibina sebuah masjid baru. (f) Fatwa 1973
Adalah juga penemuan fakta saya bahawa Haji Adnan bin Haji Hashim, Mufti Pulau Pinang pada masa itu, semasa menjawab surat K.S. Mohamed Ismail, 3 Jesselton Avenue, Pulau Pinang, menulis surat berikut:
Bil: JUPP. 59/61.
Tal.No. Pg: 22504. 16 Jun 1973.
Tuan K.S. Mohamed Ismail, 3, Jesselton Avenue, Pulau Pinang,
Tuan,
Cadangan Untuk Membina 2 Tingkat Bangunan Membelibelah dan Masjid di Lot. 318 5(11) 6 T.S. No. 16, Jalan McAlister, Pulau Pinang
Dengan hormatnya saya merujuk kepada surat tuan bertarikh 25 Mei 1973 mengenai perkara di atas. 2. Perkara ini telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 4 Jun 1973.
Keputusan Jawatankuasa Syariah Negeri ialah seperti berikut:
Jawatankuasa Syariah berpendapat bahawa pertanyaan yang dibuat oleh Penguasa Masjid Simpang Enam supaya diadakan bangunan dua lapis yang mana lapisan bawah untuk perniagaan dan lapisan atas dijadikan tempat sembahyang (masjid) adalah berlawanan dengan hukum Syarak dan dengan itu cadangan itu tidak boleh dilaksanakan kerana pembinaan di bawah itu adalah disifatkan sebagai masjid jua. 3. Sekianlah dimaklumkan.
Saya yang menurut perintah, t.t. (Haji Adnan bin Haji Hashim) Mufti, Negeri Pulau Pinang.
Defendan tidak menafikan wujudnya surat itu.
Malah defendan telah mengeluarkan satu risalah yang ditandatangani oleh Yang Di Pertua Majlis bertajuk “Pembinaan Semula Masjid Simpang
Enam, Jalan MacAlister Pulau Pinang” (P5). Dalam risalah itu pendapat yang terkandung dalam surat itu disebut sebagai “Fatwa 1973”.
Tetapi, dalam keterangannya, DW3, Setiausaha Majlis itu cuba membangkitkan keraguan berkenaan kesahihan fatwa itu bukan dari segi betul atau tidak fatwa itu mengikut Hukum Syarak, tetapi sama ada benar Jawatankuasa Syariah mengeluarkannya.
Katanya “Mengikut rekod fatwa yang dibuat pada tahun 1973 itu tidak tercatat dalam keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Syariah.”
Sekali lagi DW3 gagal meyakinkan saya bahawa fatwa itu bukan keputusan Jawatankuasa Syariah.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut.
Pertama, beliau cuma menjadi Setiausaha Majlis kira-kira mulai awal tahun 1993, sedangkan fatwa itu dikeluarkan 20 tahun sebelumnya.
Kedua, kita tidak tahu sama ada “ketiadaan rekod” itu kerana tidak ada mesyuarat dan keputusan sedemikian yang dibuat oleh Jawatankuasa Syariah, sama ada mesyuarat dan keputusan dibuat tetapi tidak dicatat, atau sama ada mesyuarat, ada keputusan, ada catatan tetapi beliau tidak menemuinya.
Ketiga, adalah tidak munasabah untuk mengatakan bahawa Tuan Haji Adnan, Mufti Pulau Pinang itu sanggup menulis surat mengatakan dengan jelas bahawa perkara itu telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 4 Jun 1973 dan keputusan Jawatankuasa itu adalah seperti yang diperturunkan dalam surat itu, jika tidak ada keputusan seperti itu.
Keempat, jika ia bukan keputusan Jawatankuasa Syariah mengapa Majlis sendiri memanggilnya “fatwa”? Mengapa defendan bersusah payah mengeluarkan risalah yang cuba menjelas dan membezakan fatwa itu dengan fatwa yang dibuat kemudiannya (dalam tahun 1989)? Mengapa tidak dikatakan sahaja bahawa tidak ada fatwa seperti yang terkandung dalam surat itu pernah dibuat oleh Jawatankuasa Syariah? Atas alasan-alasan ini saya terima bahawa Jawatankuasa Syariah pernah memberi fatwa itu. (g) Fatwa 1989
Tidak dipertikaikan juga bahawa dalam tahun 1989 Jawatankuasa Syariah itu mengeluarkan satu fatwa lagi.
Saya petik bahagian yang berkenaan daripada risalah itu.
Jawatankuasa Syariah setelah menimbang permohonan Majlis telah mengeluarkan fatwa seperti berikut: a. Harus (dibolehkan) pada segi hukum syarak mendirikan bangunan baru yang mengandungi pejabat Bank Islam di tingkat satu, dua dan tiga serta masjid di tingkat empat dan lima di atas tapak masjid Simpang Enam yang ada sekarang ini. b. Ini tidaklah bercanggah dengan hukum syarak kerana tujuan wakaf tidak tergendala dan amal jariah wakif (yang berwakaf) akan berterusan dan masjid diganti dengan yang baru yang lebih luas kawasannya daripada masjid Simpang Enam yang ada dan lebih selesa untuk digunakan. c. Rekabentuk bangunan yang didirikan itu pula melambangkan bentuk masjid dengan senibina berunsur Islam yang akan meningkatkan lagi mutu syi’ar Islam, lebih-lebih lagi bangunan tersebut akan berada di pusat bandaraya Pulau Pinang ini.
d. Jawatankuasa Syar’iah juga mencadangkan supaya untuk naik turun ke masjid diadakan lif bagi memudahkan orang-orang yang datang sembahyang dan beribadat di masjid itu. e. Tandas hendaklah dibuat terkeluar dari kawasan yang dahulunya jadi tapak Masjid Simpang Enam.
(h)Wakaf
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa tanah berkenaan adalah tanah wakaf untuk masjid.
Apa yang menjadi perbalahan ialah jenisnya, sama ada ia wakaf khas atau wakaf am. Dalam hal ini kedua-dua belah pihak menukar pendirian masing-masing dari semasa ke semasa. (i) Defendan tuan punya berdaftar
Juga tidak dipertikaikan bahawa pada masa ini defendan adalah tuanpunya berdaftar tanah itu dan pemegang amanah tunggal tanah wakaf itu.
Perletakan hak ini dibuat melalui perintah Mahkamah bertarikh 1 Disember 1989 berdasarkan peruntukan ss. 89, 90 dan 105 Enakmen No. 3/1959. Tetapi perlu dijelaskan di sini bahawa perletakanhak tanah itu kepada defendan adalah sebagai pemegang amanah – s. 89(2). Pendapatan atau modal (capital) wakaf itu hendaklah digunakan mengikut peruntukan yang sah wakaf itu – s. 92 dan 93. Dalam katakata lain, hakikat bahawa tanah itu terletakhak kepada Majlis tidaklah membolehkan Majlis berbuat apa sahaja yang dikehendakinya seperti tuan-tuan tanah berdaftar lain.
Majlis masih tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat-syarat wakaf berkenaan.
Bidangkuasa
Soal ini tidak berbangkit lagi di peringkat ini.
Ini kerana Mahkamah Agung telah pun memutuskan dalam kes ini (lihat [1992] 2 MLJ 244) bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa membicara dan memutuskan kes ini.
Oleh itu tidak ada apa lagi yang hendak saya katakan mengenainya dalam hal ini.
Wakaf am atau wakaf khas
Kedua pihak nampaknya menukar pendirian mereka dalam hal ini.
Plaintif-plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka, mula-mula mengambil pendirian bahawa ia adalah wakaf am, kemudian, semasa PW2 memberi keterangan, Peguam plaintif memohon meminda pernyataan tuntutannya kepada wakaf khas.
Defendan pula, dalam risalahnya merujuk kepada tanah itu “Tanah Wakaf Khas Masjid (lot 318).” Tetapi semasa perbicaraan pihak defendan mengambil pendirian bahawa ia adalah wakaf am.
Banyak masa Mahkamah telah dihabiskan dalam perbalahan ini.
Saya tidak hendak membincang pendapat saksi-saksi pakar itu (PW2 dan DW2). Ini adalah kerana dalam Enakmen No. 3/1959 itu sendiri terdapat tafsiran “wakaf am” dan wakaf khas”. Saya berpendapat jika perbezaan itu akan membawa akibat kepada keputusan kes ini, maka tafsiran yang diperuntukkan oleh Enakmen itulah yang mesti dipakai.
Perkembangan baru
Selepas selesai perbicaraan ini dan sebelum saya dapat menyiapkan penghakiman ini, dua perkara telah berlaku.
Pertama Fatwa 1989 itu telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Pulau Pinang No. 220 bertarikh 4 Ogos 1994.
Kedua Dewan Undangan Negeri, Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 (Enakmen No. 7 tahun 1993 ).
Fatwa 1989 itu diwartakan enam tahun selepas ianya dikeluarkan dan selepas perbicaraan kes ini tamat dan cuma menunggu keputusan.
Mengapa defendan menunggu begitu lama untuk berbuat demikian dan apa tujuan sebenarnya menimbulkan tanda tanya.
Apa yang jelas ialah dengan mewartakan Fatwa 1989 itu maka peruntukan s. 37(2) Enakmen tahun 1959 itu perlu ditimbangkan.
Seksyen-seksyen itu memperuntukkan:
37(1)… (2) Any ruling given by the Majlis, whether directly or through the Legal Committee in accordance with the foregoing provisions shall, if the Yang di-Pertuan Agong directs, be published by certification in the Gazette and shall thereupon be binding on all Muslims resident in the State.
Sementara itu Enakmen No. 7 tahun 1993 itu pula mengandungi peruntukan baru. Seksyen 36(4) dan (5) memperuntukkan:
(4) Sesuatu fatwa bertulis hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah dalam Negeri Pulau
Pinang sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya.
(5) Walau apa jua pun yang terdapat dalam subseksyen (2), sesuatu kenyataan bertulis yang dibuat oleh Mufti boleh dianggap sebagai fatwa untuk perbicaraan dalam manamana Mahkamah.
Saya akan bincang terlebih dahulu kesan Enakmen No. 7 tahun 1993 itu.
Pada pandangan saya jika Enakmen itu terpakai kepada kes ini pun (saya tidak membuat keputusan mengenainya), ia tidak mengikat Mahkamah ini.
Sebabnya ialah, pertama, Enakmen itu sendiri mentafsirkan perkataan “Mahkamah atau Mahkamah Syariah” sebagai bererti “Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, setakat mana yang berkenaan yang ditubuhkan di bawah s. 42.
Kedua, saya tidak fikir undang-undang Negeri boleh mengurangkan bidangkuasa Mahkamah Sivil yang diberi oleh Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Persekutuan.
Hanya Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Persekutuan sahaja yang boleh berbuat demikian.
Soalan seterusnya ialah adakah dengan mewartakan Fatwa 1989, Fatwa itu mengikat Mahkamah ini? Seksyen 37(2) itu sendiri mengatakan ia “hendaklah terkena kepada semua orang-orang Islam yang duduk di dalam Negeri ini.” (Saya petik daripada naskah Bahasa Malaysia Enakmen No. 3/1959 itu.)
Saya tidak nampak bagaimana Mahkamah Tinggi boleh ditafsirkan sebagai “orang Islam”. Mahkamah bukan orang yang boleh mengucapkan dua kalimah syahadat.
Mahkamah juga tidak boleh disamakan dengan diri seseorang Hakim itu.
Jika “Mahkamah” itu “Hakim”, maka peruntukan itu akan membawa kesan yang tidak munasabah apabila Hakim yang membicarakan sesuatu kes itu beragama Islam, fatwa itu akan mengikat Mahkamah, Jika Hakim itu seorang bukan Islam, fatwa itu tidak mengikat Mahkamah.
Apa akan jadi?
Selain dari itu Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali memutuskan bahawa sesuatu fatwa, walau pun diwartakan tidak mengikat Mahkamah Sivil – lihat Commissioner for Religious Affairs Trengganu v. Tengku Mariam binti Tengku Sri Waja Raja & Anor. [1970] 1 LNS 21[1970] 1 MLJ 222 MP dan Re Dato Bentara Luar, Deceased Haji Yahya bin Yusof & Anor. v. Hassan bin Othman & Anor. [1981] 2 MLJ 325 dan [1982] 2 MLJ 264 MP. Saya berpendapat bahawa autoriti-autoriti ini masih terpakai dan mengikat Mahkamah ini. Peruntukan Perkara 121A Perlembagaan Persekutuan tidak mengubah keadaan itu.
Peruntukan itu adalah mengenai bidangkuasa Mahkamah ini.
Seperti yang saya sebut sebelum ini Mahkamah Agung telah pun memutuskan bahwa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes ini.
Jika Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes ini, tentu sekali Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan persoalan-persoalan yang berbangkit di dalamnya.
Jika tidak apa gunanya perbicaraan?
Maka keputusan saya ialah bahawa walau pun Fatwa 1989 itu diwartakan ia tidak mengikat Mahkamah ini.
Locus standi
Berkenaan persoalan locus standi, Peguam defendan menghujahkan bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai locus standi. Hujah Peguam defendan dalam soal ini bolehlah diringkas begini.
Oleh sebab plaintif-plaintif tidak mendapat keizinan Peguam Negara, maka plaintifplaintif mestilah menunjukkan bahawa mereka mempunyai locus standi. Untuk itu mereka perlulah menunjukkan bahawa terdapat “infringement of a private right or suffering of a special damage”, yang mengikutnya tidak dibuktikan.
Peguam plaintif-plaintif menghujahkan bahawa peruntukan 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359) tidak terpakai kepada wakaf. Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956 (Akta 359) itu memperuntukkan:
9. (1) In the case of any alleged breach of any express or constructive trust for public, religious, social or charitable purposes, or where the direction of the Court is deemed necessary for the administration of any such trust, the Attorney General or two or more persons having an interest in the trust and having obtained the consent in writing of the Attorney General, may institute a suit or be joined as a party in an existing suit on behalf of the Government or the public for the purpose of: (a) asserting any interest or right in the trust property; (b) removing any trustee; (c) appointing a new trustee; (d) vesting any property in a trustee; (e) directing accounts and inquiries; (f) declaring what proportion of the trust property or of the interest therein shall be allocated to any particular object of the trust; (g) authorising the whole or any part of the trust property to be let, sold, mortgaged, charged or exchanged; (h) settling a scheme; and [Note: Section 9(1)(h) not applicable to Sabah and Sarawak.
See L.N. 67/75.](i) obtaining such further or other relief as the nature of the case may require. (2) No suit claiming any of the reliefs specified in subsection (1) shall be instituted in respect of any such trust as is therein referred to except in conformity with that subsection.
(3) Subject to subsections (1) and (2), all suits and proceedings in any Court relating to any such trust as is therein referred to or otherwise in which the Government is interested, or in which the interests of the public are affected, or in ‘which if brought in England the Attorney General of England would be, or would be made, a necessary party as plaintiff or defendant, whether by himself or by relation of parties, shall be brought and had in the name of the Attorney General as plaintiff or defendant; and the Attorney General shall have and exercise therein the same rights, duties and powers as the Attorney General of England would have and exercise in England in similar cases so far as the circumstances of Malaysia admit. (4) The powers of the Attorney General under this section shall, in respect of any trust on the concurrent list, be exercisable by the State Attorney General.
Adakah peruntukan s. 9 ini terpakai kepada kes ini?
Adalah dipersetujui bahawa plaintif-plaintif tidak mendapat izin bertulis daripada Peguam Negara untuk memulakan tindakan ini.
Peguam plaintif-plaintif menghujahkan bahawa kata-kata “trust for public, religious, social or charitable purposes” dalam s. 9 itu tidak termasuk wakaf.
Sebabnya ialah kerana wakaf adalah terletak di bawah bidangkuasa Negeri dan bukan Persekutuan.
Berkenaan hujah ini, saya cuba mencari kiranya terdapat penghakiman-penghakiman yang terdahulu untuk menjadi panduan.
Malangnya saya tidak dapat menemuinya.
Mungkin soal pemakaian s. 9 Akta 359dalam prosiding berkenaan wakaf belum pernah dibangkitkan dan hujah ini belum pernah dikemukakan.
Adalah jelas bahawa peruntukan seksyen itu terpakai jika guaman itu berkenaan dengan “charitable trust” – lihat Haji Abdullah & Ors. V. Ibrahim & Ors [1965] 1 LNS 48; Lee Eng Teh & Ors. V. Teh Thiang Seong & Anor [1966] 1 LNS 79dan Lee Chick Yet V. Chen Siew Hee & Ors [1974] 1 LNS 70. Tetapi, sama ada seksyen itu terpakai jika amanah itu suatu wakaf tiada nas ditemui.
Kes Haji Abdullah & Ors. V. Ibrahim & Ors [1965] 1 LNS 48melibatkan dua orang, yang mengikut nama mereka beragama Islam.
Tetapi daripada penghakiman yang ringkas itu tidak diketahui sama ada “charitable trust” itu wakaf atau bukan.
Lagi pula seperti yang disebut dalam penghakiman itu, Peguam plaintif dalam kes itu “did not seriously contest the point.” Jadi, kes ini pun tidak dapat membantu Mahkamah ini memutuskan persoalan ini.
Dalam kes-kes mengenai wakaf yang telah diputuskan oleh Mahkamah-Mahkamah di negara ini, persoalan ini tidak pernah dibangkitkan atau dibincangkan – lihat Commissioner for Religious Affairs Trengganu v. Tengku Mariam binti Tengku Sri Waja Raja & Anor. [1970] 1 LNS 21[1970] 1 MLJ 222 MP; Haji Embong bin Ibrahim & Ors. v. Tengku Nik Maimunah Hajjah Binti Almarhum Sultan Zainal Abidin & Anor. [1979] 1 LNS 24[1980] 1 MLJ 286; Re Dato’ Bentara Luar, Deceased Haji Yahya bin Yusoff v. Hassan bin Othman & Anor. [1982] 1 LNS 16;. [1981] 2 MLJ 352 dan [1982] 2 MLJ 264 MP.
Maka nampaknya terpaksalah saya membuat keputusan buat kali pertama berkenaan persoalan ini.
Adalah jelas bahawa mengikut Perenggan 15(c), Senarai 1, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, wakaf tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.
Adalah jelas juga bahawa mengikut Perenggan 1, Senarai II, Jadual itu ia terletak di bawah Senarai Negeri.
Seterusnya mengikut Perkara 74 Badan Perundangan Negerilah yang mempunyai bidangkuasa membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang tersebut dalam senarai Negeri itu.
Sayugia diambil perhatian bahawa seksyen 9(1) Akta 359 itu memakai kata-kata “trust for public, religious, social or charitable purposes”. Sebaliknya Perenggan 15(c) Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memakai kata-kata “charitable trusts and trustees excluding Wakafs”. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang terkemudian daripada Akta 359. Perkara 162 Klausa 4 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
(6) Any Court or tribunal applying the provision of any existing law which has not been modified on or after Merdeka Day under this Article or otherwise may apply it with such modifications as may be necessary to bring it into accord with the provisions of this Constitution.
Dalam keadaan ini, saya berpendapat bahawa s. 9 Akta 359 hendaklah dibaca selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam Jadual Kesembilan itu.
Dalam kata-kata lain perkataan “excluding Wakafs” mestilah dibaca ke dalamnya.
Hanya dengan berbuat demikian barulah peruntukan seksyen itu boleh diselaraskan dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang saya sebut itu.
Tidak membaca demikian, selain daripada berlawanan dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan membawa kesan yang pelik.
Ia akan bermakna bahawa Majlis-Majlis Agama Islam, yang mengikut undang-undang Negeri masing-masing adalah pemegang amanah tunggal wakaf-wakaf, yang terletak di bawah bidangkuasa Negeri, tidak boleh dengan sendirinya memulakan prosiding yang berkaitan dengan wakaf tanpa mendapat keizinan Peguam Negara, yang mewakili Kerajaan Persekutuan.
Dalam kata-kata lain berkenaan tanah wakaf ini pun, defendan sendiri tidak boleh memohon, tanpa keizinan Peguam Negara, untuk meletakhak tanah wakaf ini kepadanya seperti yang dibuatnya dalam Notis Usul No. 24-912-1989 itu.
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa peruntukan s. 9 Akta 359 itu tidak terpakai jika amanah itu adalah satu wakaf.
Sekarang eloklah saya timbangkan pula sama ada plaintif-plaintif telah berjaya menunjukkan bahawa mereka mempunyai locus standi.
Rujukan dibuat kepada banyak penghakiman dari Malaysia dan England dalam perkara ini.
Tetapi, rasanya memadailah jika saya merujuk kepada penghakiman-penghakiman Mahkamah- Mahkamah di Malaysia.
Dalam kes Lim Cho Hock v. Government of the State of Perak & Ors. [1980] 1 LNS 43[1980] 2 MLJ 148 plaintif adalah seorang ahli Dewan Rakyat seorang ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang pembayar cukai pintu dalam kawasan Perbandaran Ipoh.
Beliau memohon deklarasi, ringkasnya, bahawa perlantikan Menteri Besar sebagai Yang Di Pertua Majlis Perbandaran itu taksah dan batal.
Abdoolcader H. (pada masa itu) memutuskan bahawa plaintif mempunyai locus standi, walaupun permohonan itu ditolak atas alasan-alasan lain.
Dalam kes Tan Sri Haji Othman bin Saat v. Mohamed bin Ismail [1982] 1 LNS 2;[1982] 2 MLJ 177 MP responden dan 183 orang lagi telah memohon untuk mendapatkan tanah kerajaan.
Mereka tidak mendapat apa-apa jawapan selama lapan tahun.
Kemudian tanah itu diberikan (alienated) kepada orang-orang lain.
Responden memohon perintah perisytiharan bahawa pemberian (alienation) itu taksah.
Perayu memohon untuk membatalkan prosiding atas alasan responden tidak mempunyailocus standi. Ringkasan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu, antara lain, adalah seperti berikut:
Held: (1)… (2) although it is not necessary for a plaintiff who seeks relief by way of declaratory judgment to show that he has a present cause of action, he must be somebody with such an interest in the subject-matter of the action as to justify his seeking relief; (3) the respondent in this case was alleging an abuse of power and he sought to impugne the validity of the alienation of the land in question to the appellant.
This was a clear case of a person having a special or substantial interest in the subject matter of the proceedings he had instituted and whose legal interests were particularly affected.
This clearly gave him capacity to sue and there could be no justification in debarring him from doing so.
Dalam kes Karpal Singh V. Sultan Of Selangor [1987] CLJ 686 (Rep), plaintif memohon deklarasi bahawa suatu kenyataan yang dibuat oleh Sultan Selangor adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Alasan yang diberi oleh plaintif bahawa dia mempunyai locus standi ialah kerana sumpah jawatannya sebagai seorang ahli Dewan Rakyat menghendaki “to preserve, protect and defend the Constitution.”
Berhubung dengan soal locus standi, Abdul Hamid CJ (Malaya) (pada masa itu) memperturunkan pendekatan-pendekatan kepada persoalan itu seperti berikut:
There are various approaches which a Court may adopt in deciding the question oflocus standi. One approach is to ask whether the plaintiff has “a cause of action”. Another approach is to determine whether the plaintiff can establish a “right” which the Court may declare.
Yet another approach is to require the plaintiff to demonstrate “a special injury” resulting from the subject matter of the declaration. A fourth approach requires the plaintiff to have an “interest” in the subject matter of the declaration to be litigated. A final approach leaves the question of standing to be determined by the Court in the exercise of its discretion.
Selepas itu beliau memutuskan bahawa mengikut pendekatan mana pun, plaintif tidak mempunyai locus standi.
Kes Government of Malaysia v. Lim Kit Siang [1988] 2 MLJ 12 adalah satu penghakiman Mahkamah Agung di mana tiga daripada lima Hakim yang mendengar rayuan itu memutuskan bahawa responden adalah mempunyai locus standi dan dua daripada mereka mengatakan tidak ada.
Patut disebut bahawa sebelum itu, semasa persoalan yang sama sampai ke Mahkamah Agung buat kali pertama dalam kes Lim Kit Siang v. U.E.M. [1987] 1 LNS 129;[1988] 1 MLJ 53, Mahkamah Agung yang terdiri dari tiga orang Hakim telah memutuskan bahawa Lim Kit Siang mempunyai locus standi – lihat [1977] 1 MLJ 558.
Kedudukan responden (Lim Kit Siang) dalam kes itu ialah sebagai seorang Ahli Dewan Rakyat dan ketua pembangkang.
Beliau memohon deklarasi bahawa kontrak yang diberi oleh Kerajaan Malaysia kepada UEM adalah taksah.
Salleh Abas KHN menganggap kes Lim Cho Hock dan Tan Sri Haji Othman Saat sebagai “high water mark” undang-undang mengenai locus standi di Malaysia dan Mahkamah hendaklah waspada untuk melebihinya.
Abdul Hamid, HB (Malaya) (pada masa itu) mengatakan kes Tan Sri Haji Othman bin Saat v. Mohamed bin Ismail [1982] 1 LNS 2;[1982] 2 MLJ 177 MP itu betul “berdasarkan fakta-fakta yang tertentu itu”.
Hakim Yeop A. Sani HMA (pada masa itu) mengatakan bahawa prinsip berkenaan undangundang locus standi di negara ini disebut dengan betulnya dalam kes Tan Sri Haji Othman bin Saat v. Mohamed bin Ismail [1982] 1 LNS 2;[1982] 2 MLJ 177 MP itu.
Patut juga disebut di sini bahawa Seah HMA (salah seorang yang menulis penghakiman minoriti) juga mengatakan bahawa ujiannya adalah seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Sri Haji Othman bin Saat v. Mohamed bin Ismail [1982] 1 LNS 2;[1982] 2 MLJ 177 MP itu, yang ditulis oleh Abdoolcader HMA, Hakim kelima yang mendengar kes Government of Malaysia v. Lim Kit Siang [1988] 2 MLJ 12 dan salah seorang yang menulis penghakiman minoriti.
Walau pun Hakim-Hakim yang arif itu bersetuju dengan prinsip yang ditetapkan dalam kes Tan Sri Haji Othman bin Saat v. Mohamed bin Ismail [1982] 1 LNS 2;[1982] 2 MLJ177 MP itu, mereka mencapai keputusan yang berlainan (3 lawan 2) dalam kes Government of Malaysia v. Lim Kit Siang [1988] 2 MLJ 12 itu.
Nampaknya, perbezaan di antara mereka berpunca daripada sama ada prinsip yang ditetapkan dalam kes Gouriet v. Union of Post Office Workers [1977] 3 All ER 70 itu patut diikuti atau tidak.
Ketiga-tiga Hakim yang menulis penghakiman majoriti berpendapat bahawa kes Gouriet itu patut diikuti.
Yang dua lagi itu berpendapat sebaliknya.
Mereka mengambil pendirian yang lebih “liberal”.
Satu penghakiman lagi patut disebut dalam hal ini, iaitu kes Tengku Jaafar bin Tengku Ahmad v. Karpal Singh [1993] 4 CLJ 183[1993] 3 MLJ 156. Dalam kes itu plaintif telah memfailkan suatu tindakan terhadap defendan untuk memohon, antara lain, empat deklarasi, iaitu bahawa: (1) pernyataan atau perkataan-perkataan yang disebutkan oleh defendan sepertimana yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian bertarikh 14 Disember 1992 merupakan libel hasutan; (2) adalah menjadi hasutan untuk merendahkan maruah pemerintah atau Sultan dalam cara yang dilakukan oleh defendan; (3) dengan merendahkan maruah pemerintah, defendan telah secara tidak langsung merendahkan maruah orang-orang Melayu; dan (4) Mahkamah mempunyai kuasa yang tidak terhad untuk memberi satu deklarasi serta injunksi jika dipohon oleh sesiapa pun sekiranya Sultan enggan untuk memulakan prosiding undang-undang dan mana-mana rakyat boleh berbuat demikian kerana sekiranya tidak, rakyat atau warganegara Melayu tidak mempunyai apa-apa remedi terhadap ketidakadilan.
Berkenaan locus standi Idris Yusoff H memutuskan:
(2) Untuk mempunyai locus standi, pemohon patut berusaha untuk melindungi atau mewajarkan kepentingannya sendiri.
Plaintif hanya atas alasan bahawa beliau adalah seorang berbangsa Melayu dan seorang rakyat Sultan Kelantan, tidak mempunyai locus standi yang diperlukan kerana tidak terdapat sebarang gangguan hak persendiriannya berbanding dengan orang Melayu serta rakyat Sultan Kelantan yang lain.
Oleh itu, plaintif tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan ini terhahap defendan.
Rasanya, di samping memberi perhatian kepada apa yang dikatakan oleh Hakim-Hakim yang arif dalam kes-kes yang disebut ini, pendekatan yang lebih selamat untuk mendapatkan intisari penghakiman-penghakiman ini berkenaan soal locus standi ialah dengan memberi tumpuan kepada fakta-fakta kes itu, dan membandingkannya dengan fakta-fakta kes ini.
Dalam kes ini, plaintif pertama adalah waris kepada pewasiat dan pemegang amanah asal tanah wakaf berkenaan.
Plaintif kedua (termasuk plaintif pertama) adalah AJK masjid itu.
Mereka inilah yang mengurus, mentadbirkan dan memakmurkan” masjid itu, bukan sahaja setakat bersembahyang di masjid itu.
Dalam keadaan ini, saya berpendapat bahawa kedudukan mereka adalah lebih kuat daripada Lim Cho Hock yang hanya seorang ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri; lebih kuat daripada Mohamed bin Ismail yang hanya seorang pemohon tanah kerajaan, lebih kuat daripada Karpal Singh yang juga seorang ahli Dewan Rakyat; lebih kuat daripada Lim Kit Siang, juga seorang ahli Dewan Rakyat dan ketua pembangkang di Dewan Rakyat dan lebih kuat daripada Tengku Jaafar bin Tengku Ahmad yang hanya seorang Melayu dan rakyat Sultan Kelantan, dalam kes-kes berkenaan yang saya telah sebutkan itu.
Plaintif-plaintif dalam kes ini bagi saya jelas mempunyai kepentingan dalam perkara tindakan ini iaitu amanah yang terkandung dalam suratikatan penyelesaian itu, tanah wakaf dan masjid yang terletak di atas tanah wakaf itu.
Malah, Mohd.
Zain bin Haji Othman, dalam bukunya “Islamic Law with Special Reference to the Institution of Waqf “, di muka surat 214 berkata bahawa berkenaan sesebuah masjid, setiap orang Islam, atau sekurang-kurangnya setiap orang yang biasanya boleh diharap bersembahyang di situ, mempunyai hak persendirian dalam wakaf itu, yang dia berhak mempertahannya bagi pihak dirinya.
Saya perturunkan petikan itu sepenuhnya.
In the case of a mosque or property in support of a mosque and its services every individual Muslim, at least every one who may normally expect to worship there, has a personal right in the waqf, which he is entitled to defend on his own behalf.
Saya terima pandangan ini kerana wakaf, seperti dalam kes ini, adalah untuk orang-orang Islam bersembahyang berjemaah.
Mereka adalah benefisiarinya.
Defendan, kerana kuatkuasa undang-undang adalah pemegang amanah. Mengikut Enakmen No. 3/1959 pun, tugas pemegang amanah sesuatu wakaf itu ialah untuk mentadbir dan melaksanakan tujuan wakaf itu.
Plaintif pertama bukan sahaja seorang Islam yang bersembahyang di masjid itu.
Dia adalah seorang AJK masjid itu.
Lebih dari itu dia adalah waris pewakaf tanah itu.
Nenek moyangnyalah yang mewakafkan tanah itu.
Jika tidak, Majlis pun tidak mempunyai apa-apa hak ke atas tanah itu.
Sebagai seorang waris dia patutlah mempunyai hak untuk menentukan bahawa tujuan wakaf nenek moyangnya itu terus dilaksanakan.
Selain dari itu semua AJK masjid itu semestinya mempunyai hak yang serupa.
Sedikit mengenai kedua-dua fatwa
Saya telah perturunkan Fatwa 1973 (fatwa pertama) tadi.
Kita perhatikan bahawa fatwa itu cuma menyatakan hukumnya.
Tidak diketahui apa fakta yang diambilkira atau tidak diambil kira.
Tidak diketahui sama ada peruntukan suratikatan penyelesaian itu dipertimbangkan atau tidak.
Patut diambil perhatian bahawa dalam risalah yang dikeluarkan oleh defendan (P5) pun tidak ada sebarang rujukan dibuat kepada suratikatan penyelesaian itu.
Di Mahkamah ini pun, plaintif-plaintif yang mengemukakannya.
Tetapi, patut disebut juga bahawa dalam pernyataan pembelaan, defendan ada menyebutnya.
Mengenai Fatwa 1989 (fatwa kedua) pula, mula-mula diperturunkan dalam risalah yang dikeluarkan oleh defendan (D5) itu.
Kemudian ia diwartakan.
Tetapi, fatwa itu sendiri (baik yang terdapat dalam risalah itu atau pun seperti yang diwartakan) tidak menyebut apakah fakta yang diambil kira dan yang tidak diambil kira.
Juga tidak diketahui sama ada Jawatankuasa itu menimbang peruntukan suratikatan penyelesaian itu.
Perenggan (a) fatwa kedua itu merupakan penetapan hukum.
Perenggan (b) adalah alasannya.
Perenggan (c) berkenaan rekabentuk.
Kita tidak tahu sama ada ianya satu syarat yang mesti dipenuhi untuk menjadikan hukum membinanya itu “harus”. Perenggan (d) mengenai lif, seperti yang tersebut di dalamnya adalah satu “cadangan” pula.
Kita juga tidak tahu sama ada itu satu syarat juga.
Perenggan (e) mengenai tandas, nampaknya seperti satu syarat.
Akhirnya perenggan (f) pula mengandungi nas-nas yang menjadi alasan penemuan hukum itu.
Sementara saya tidak mengambil kisah sangat mengenai nas-nas kerana saya terima bahawa ahli-ahli Jawatankuasa itu lebih arif mengenainya, saya lebih menekankan tentang fakta yang diambil kira atau tidak diambil kira dalam membuat penemuan hukum itu.
Kita telah lihat, dalam kes G. Rethinasamy v. Majlis Ugama Islam Pulau Pinang [1992] 1 LNS 42;[1993] 2 MLJ 166 bagaimana Kadi Besar, Mufti dan Jawatankuasa Syariah Pulau Pinang telah memberi pendapat bahawa kubur berkenaan boleh dipindahkan.
Pendapat ini diberi berdasarkan fakta yang diberitahu oleh G. Rethinasamy bahawa tanah yang di atasnya terletak kubur itu adalah kepunyaannya.
Tetapi fakta penting bahawa tanah itu tanah wakaf telah tidak diambil kira dalam memberi pendapat itu.
Apabila fakta itu diambil kira, hukumnya berlainan.
Apa yang saya tekankan di sini ialah bahawa sesuatu penemuan hukum boleh silap jika ia berasaskan fakta-fakta yang silap.
Pendekatan yang sepatutnya
Bagi saya pendekatan yang patut dilakukan dalam menjawab masalah ini ialah seperti berikut: (a) Adakah cadangan pembangunan itu bercanggah dengan tujuan amanah yang terkandung dalam Suratikatan Penyelesaian itu? (b) Jika, jawapannya “Ya”, mengikut Hukum Syarak, bolehkah tujuan pengamanah itu diubah seperti yang hendak dilakukan itu?
Saya akan bincangkan soalan pertama dahulu.
Amanah ini dibuat pada tahun 1900 dengan menggunakan “Deed of Settlement”, satu cara pindah hak yang dipakai di England, yang juga terpakai di Pulau Pinang pada masa itu.
Ia dibuat dalam Bahasa Inggeris oleh seorang peguamcara bernama Murison Allen.
Tidak boleh dipertikaikan bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa dan kemampuan untuk mentafsirnya.
Jawapan kepada soalan ini terletak kepada penemuan fakta mengenai cadangan defendan itu (yang saya telah lakukan) dan tafsiran kepada suraikatan penyelesaian itu.
Tujuan amanah itu ialah (saya terjemahkan di sini) supaya ia “digunakan sebagai tempat orangorang Islam bersembahyang berjemaah dan tidak untuk tujuan-tujuan lain.”
Soalnya, adakah kata-kata itu boleh ditafsirkan sebagai termasuk membina pejabat sebuah bank?
Saya telah menimbang persoalan ini dengan teliti.
Saya tidak nampak bagaimana kata-kata “untuk digunakan sebagai tempat orang-orang Islam bersembahyang berjemaah itu” boleh ditafsirkan sebagai termasuk “untuk orang-orang Islam dan bukan Islam menjalankan urusan perbankan mereka”. Juga adalah tidak munasabah mengatakan bahawa tujuan pengamanahpengamanah itu termasuk untuk mendirikan sebuah pejabat bank Islam, yang cuma wujud lebih kurang tiga suku abad kemudian.
Tambahan pula, terdapat pula kata-kata “dan tidak untuk tujuan-tujuan lain”. Tidak ada tafsiran lain yang boleh diberi kepada perkataan-perkataan itu di selain daripada apa yang dikatakannya.
Dihujahkan bahawa jika pejabat bank tidak boleh dibina di atas tapak itu, maka jika dibina masjid pun, tandas dan tempat berwuduk juga tidak boleh dibina.
Saya tidak bersetuju dengan hujah ini.
Bank tidaklah boleh disifatkan sebagai tergolong dalam kategori tandas dan tempat wuduk berhubungan dengan masjid.
Seorang yang hendak bersembahyang (solat) perlu beristinja’ dan perlu berwudu’ sebelum dia boleh bersembahyang dengan sah.
Meminjam wang, mengeluarkan wang, memasukkan wang dan sebagainya tidak ada kena mengena dengan sah tidaknya sembahyang.
Oleh itu keputusan saya mengenai persoalan ini ialah bahawa cadangan defendan mendirikan pejabat Bank Islam itu adalah bercanggah dengan tujuan amanah yang terkandung dalam Suratikatan Penyelesaian bertarikh 26 September 1900 itu.
Sekarang, kita sampai kepada soalan kedua: bolehkah, mengikut Hukum Syarak tujuan amanah (wakaf) itu diubah seperti yang hendak dilakukan itu?.
Malangnya, kedua-dua fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syariah itu tidak membuat pendekatan seperti ini.
Oleh itu saya tidak tahu apakah jawapan yang mungkin diberi oleh Jawatankuasa Syariah itu jika mereka membuat pendekatan kepada masalah ini seperti yang saya sebutkan itu.
Keterangan kedua-dua saksi pakar di Mahkamah ini pun tidak dengan jelasnya mengikut pendekatan itu.
Di hadapan saya terdapat dua fatwa Jawatankuasa Syariah yang bercanggah. DW2 (Mufti, Pulau Pinang) mempunyai pandangan yang terbuka berkenaan kedua-dua fatwa itu.
Beliau tidak mengatakan yang mana salah yang mana betul.
Mengikut beliau kedua-duanya ijtihad dan boleh dipakai.
Walau bagaimana pun, beliau berpendapat bahawa cadangan itu adalah harus.
Sebaliknya, PW2, seorang ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak mengatakan bahawa fatwa pertama itulah yang betul.
Saya bertanya diri saya, dalam keadaan ini, memandangkan bahawa terdapat dua fatwa.
Jawatankuasa Syariah Pulau Pinang yang bercanggah, memandangkan bahawa terdapat dua pendapat yang bercanggah yang diberi oleh dua orang ulama di Mahkamah ini, memandangkan bahawa saya sendiri tidak berkemampuan untuk menyemak sendiri hukum berkenaan seperti yang saya boleh lakukan dalam membuat penemuan undang-undang lazim (Common Law), misalnya, bolehkah saya dengan ikhlas membuat penemuan Hukum Syarak dalam soal ini? Dengan terus terang dan dengan tulus ikhlas saya katakan bahawa saya tidak boleh.
Saya juga mengambil ingatan bahawa perintah yang dipohon ini adalah perisytiharan.
Bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa mengeluarkan perisytiharan tidak boleh diragukan.
Jika autoriti diperlukan, satu ayat daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Syed Kechik bin Syed Mohamed v. The Government of Malaysia and Sabah [1978] 1 LNS 44[1979] 2 MLJ 101 adalah memadai.
Lee Hun Hoe HB, dalam penghakiman Mahkamah itu berkata:
The prevailing view seems to be that the Court’s jurisdiction to make a declaratory order is unlimited subject only to its own discretion.
Seperti yang dikatakan oleh M.P. Jain dalam buku Administrative Law of Malaysia and Singapore Edisi Kedua, di halaman 499:
In spite of the broad jurisdiction which the High Court possesses to issue declarations, the Court has been extremely chary and reluctant to grant declarations in actual cases, and there are not many cases in which the plaintiffs have succeeded in obtaining declarations.
Dalam kes Land Executive Committee of the Federal Territory v. Harper Gilfillan Ltd. [1980] 1 LNS 150[1981] 1 MLJ 234 Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa penggunaan perintah perisytiharan “must not be carried too far” dan kuasa untuk mengeluarkan perintah perisyitaran hendaklah dilakukan “with caution”, “sparingly”, dan “with great care and jealousy”.
Saya telah menimbang semasak-masaknya sama ada saya patut, menggunakan budibicara saya, membuat perintah perisytiharan yang dipohon itu.
Keputusan saya ialah saya tidak patut mengeluarkan perintah perisytiharan yang dipohon dalam prayer (a) dan (b) itu, iaitu, ringkasnya, sama ada cadangan defendan itu bercanggah dengan Hukum Syarak atau tidak.
Alasan pertama telah saya berikan tadi iaitu saya tidak mampu membuat penemuan hukum (Hukum Syarak) berkenaan dalam keadaan yang saya berhadapan dengannya dalam kes ini.
Kedua, saya mengambil ingatan kepada peruntukan Perkara 121A Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen No. 3/1959 sendiri.
Memanglah Perkara 121A itu mengenai bidangkuasa Mahkamah ini dan Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes ini.
Tetapi, tujuan peruntukan itu ialah bahawa persoalan Hukum Syarak hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Syariah dan badan-badan yang ditubuh mengikut undang-undang untuk memutuskannya. Enakmen No. 3/1959 sendiri, sama seperti Enakmen-Enakmen Pentadbiran Ugama Islam di Negeri-Negeri lain, menubuhkan Jawatankuasa Syariah untuk mengeluarkan fatwa mengenai Hukum Syarak.
Jawatankuasa itu dianggotai oleh orang-orang yang arif dalam bidang berkenaan.
Tidak cukup dengan itu Kerajaan telah menubuhkan pula Majlis Fatwa Kebangsaan yang diwakili, antara lain, oleh Mufti-Mufti setiap negeri.
Mereka ini lebih layak memutuskan persoalan seperti ini.
Sebaliknya, Hakim-Hakim Mahkamah Sivil, ada yang beragama Islam dan ada yang bukan Islam.
Mereka bukan dilantik kerana kearifan mereka dalam Hukum Syarak.
Saya tidak fikir mereka, termasuk saya, adalah orang-orang yang paling layak untuk membuat keputusan seperti ini, demi kepentingan agama Islam dan umat Islam sendiri.
Memanglah berkenaan sesuatu pendapat atau fatwa ada kalanya terdapat pendapat yang berlainan.
Itu perkara biasa dalam jurisprudensi mana pun.
Tadi semasa membincang soal locus standi, saya telah menyebut satu kes di mana, dua daripada lima orang Hakim Mahkamah Agung mempunyai pendapat yang berlainan daripada yang tiga lagi.
Dalam jurisprudensi Islam pun serupa.
Jika tidak, tentu sekali tidak ada Mazhab-Mazhab.
Malah, Imam Shafie adalah murid Imam Malik.
Tetapi ada pendapat Imam Malik yang tidak dipersetujui oleh Imam Shafie.
Tetapi, biar apa pun, adalah lebih baik penemuan atau penetapan Hukum Syarak dibuat oleh ulama-ulama Islam daripada Hakim-Hakim Mahkamah Sivil, yang termasuk yang tidak beragama Islam itu.
Saya juga teringat kepada salah satu alamat kiamat, iaitu apabila sesuatu tugas itu diberi kepada orang yang bukan ahli mengenainya.
Saya tidak mahu menjadi sebagai satu misalan alamat kiamat itu.
Umat Islam juga tidak harus terlalu ghairah datang ke Mahkamah Sivil untuk meminta Mahkamah ini membuat suatu perisytiharan mengenai Hukum Syarak, yang akibatnya mengatakan satu fatwa Jawatankuasa Syariah tidak betul.
Hari ini mereka berbuat demikian.
Esok mungkin orang-orang bukan Islam pula yang datang ke Mahkamah Sivil untuk meminta
Mahkamah itu mengisytihar suatu fatwa yang dipersetujui oleh umat Islam, tidak betul mengikut Hukum Syarak.
Mungkin kebetulan Hakim yang mendengar kes itu seorang bukan Islam pula.
Bagaimana?
Maka, saya memutuskan saya tidak akan membuat perisytiharan yang dipohon itu.
Sebaliknya, saya ingin mengesyorkan supaya Jawatankuasa Syariah Pulau Pinang menimbang semula masalah ini dan mengeluarkan fatwa yang mutakhir mengenainya.
Fatwa yang hendak dikeluarkan itu hendaklah berdasarkan penemuan fakta yang saya telah buat dalam kes ini, iaitu bahawa cadangan membina pejabat Bank Islam di tiga tingkat yang terletak di bawah masjid yang dicadangkan akan dibina itu adalah bercanggah dengan tujuan amanah (wakaf) yang terkandung dalam Suratikatan Penyelesaian bertarikh 26 September 1900 itu.
Soalan yang perlu dijawab ialah, bolehkah atau haruskah, mengikut Hukum Syarak, tujuan amanah (wakaf) itu diubah seperti yang dicadangkan itu? Malah, saya berpendapat, adalah lebih baik jika masalah ini dikemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dipertimbangkan dan diputuskan.
Kerana, inilah kali pertama satu rancangan seperti ini hendak dilakukan di negara kita, mungkin di dunia ini.
Sekurang-kurangnya umat Islam di Malaysia akan memperolehi. satu fatwa yang selaras di seluruh negara.
Ini bukan soal menang atau kalah.
Ini soal hukum-hukum Syarak.
Jika penetapan hukum itu dibuat dengan betul semua umat Islam akan “menang”. Jika tidak, semuanya akan “kalah”, kalau tidak di dunia, di akhirat.
Pada pandangan saya, pihak Majlis juga harus mempunyai minda yang terbuka mengenai rancangan ini.
Majlis bukanlah berada dalam satu keadaan di mana ia perlu membuat satu pilihan antara hidup atau mati.
Tanah wakaf itu pun cukup luas untuk dibina masjid dan bangunan-bangunan lain sebelah menyebelah.
Tidak bolehkah tapak masjid itu dikekalkan untuk masjid? Tidak bolehkah bahagian yang selain daripadanya itu digunakan untuk tujuan ekonomi dan sebagainya? Plaintif-plaintif telah mengatakan mereka tidak akan membantah jika itulah yang hendak dilakukan.
Anak-anak Kariah yang hadir begitu ramai di Mahkamah ini di sepanjang perbicaraan ini pun, saya yakin, tidak akan membantah.
Walau bagaimanapun terserahlah kepada kebijaksanaan Majlis, sama ada hendak menimbang semula dan membuat pengubahsuaian kepada rancangan mereka.
Mengenai prayer (c), penghakiman saya ialah defendan tidak perlu mendapat “restu dan keizinan daripada waris-waris dan umat Islam Pulau Pinang (benefisiari) termasuk plaintif.” Ini berdasarkan peruntukan s. 108 dan 89(l) Enakmen No. 3/1959 itu.
Saya juga menolak prayer (d) (injunksi). Tetapi saya harap defendan tidak ada merobohkan masjid itu sehingga fatwa mutakhir mengenai Hukum Syarak yang saya sebut itu telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syariah atau Majlis Fatwa Kebangsaan.
Janganlah, kerana suatu tindakan yang terburu-buru suatu kebajikan menjadi satu kemusnahan.
Prayer (e) juga ditolak.
Mengenai kos, saya telah putuskan bahawa plaintif-plaintif mempunyai locus standi. Dalam kata-kata biasa mereka bukanlah semata-mata pengacau.
Jawatankuasa Syariah Pulau Pinang sendiri telah mengeluarkan dua fatwa yang bercanggah.
Dalam keadaan itu kita tidak boleh salahkan plaintif-plaintif kerana mengambil tindakan ini.
Oleh itu, menggunakan budibicara saya, saya perintahkan masing-masing pihak membayar kos masing-masing.

253 visits