TG. NAWAWI TENGKU AB. KADIR lwn. LOKMAN MUDA & LAGI

TG. NAWAWI TENGKU AB. KADIR lwn. LOKMAN MUDA & LAGI
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KUALA TERENGGANU
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
PETISYEN PILIHANRAYA NO. 1 OF 1995
2 SEPTEMBER 1995
[1996] 1 CLJ 551

UNDANG-UNDANG PILIHANRAYA: Pempetisyen memfailkan petisyen mempertikaikan kesahihan dan taraf kelayakan pengundi yang berdaftar di kawasan N5 Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu, Trengganu – Pempetisyen mempertikaikan kesahihan dan kelayakan 104 orang sebagai pengundi dimana nama mereka terdapat dalam Daftar Pemilih 1994 – Samada pertikaian kelayakan pengundi tersebut boleh dilakukan melalui Petisyen Pilihanraya – Rujukan kepada peruntukan-peruntukan Peraturan- Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1971 – Samada terdapat ketakpatuhan kepada s. 32(b) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Pempetisyen memohon supaya tafahus dilakukan – Samada pempetisyen berjaya membuktikan perkara-perkara yang dikehendaki dalam s. 40(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Kegagalan menyerahkan sesalinan Borang 14 kepada calon atau agen calon – Kesannya – Ketakpatuhan kepada Peraturan 25(12)(b)(ii) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981 – Samada menyentuh keputusan pilihanraya.

ELECTION LAW: Petitioner filing petition disputing validity and eligibility of voters registered in area N5 State Legislative Council Jabi, Setiu, Trengganu – Petitioner disputing validity and eligibility of 104 persons as voters whose names appear in the Register of Voters 1994 – Whether dispute regarding eligibility of said voters may be made through an Election Petition – Reference to provisions of Elections (Registration of Electors) Regulations 1971 – Whether non-compliance with s. 32(b) Election Offences Act 1954 – Petitioner requesting scrutiny to be conducted – Whether petitioner succeeded in proving matters required in s. 40(1) Election Offences Act 1954 – Failure to serve a copy of Form 14 to candidate or candidate’s agent – Effect – Non-compliance with Regulation 25(12)(b)(ii) Elections (Conduct of Elections) Regulations 1981 – Whether affecting results of election.
[English Translation of Catchwords]
Petisyen pilihanraya ini difail oleh seorang pengundi berdaftar di kawasan N5, Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu, Trengganu.
Pempetisyen mempertikaikan kesahihan, kelayakan 104 orang yang mempunyai nombor kad pengenalan yang sama yang berhak mengundi di N5 Dewan Undangan Negeri Jabi dan/atau dalam masa yang sama berhak juga mengundi di lokaliti yang lain.
Pempetisyen juga mengatakan bahawa Pegawai Pilihanraya yang dilantik telah gagal menyerahkan sesalinan Borang 14 kepada calon atau ejen calon dan memohon, diantara lain, satu pemeriksaan, semakan dan pengiraan semula kertas-kertas undi.
Soalan yang timbul untuk keputusan Hakim Pilihanraya ialah samada pertikaian kesahihan pengundi tersebut boleh dibuat melalui petisyen pilihanraya dan samada kegagalan menyerahkan sesalinan Borang 14 telah menjejaskan keputusan pilihanraya.
Diputuskan:
[1] Petisyen pilihanraya bukanlah satu prosedur untuk mencabar atau mempertikaikan nama-nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang telah diperakui.
Petisyen pilihanraya adalah proses bagi mencabar cara pilihanraya itu dijalankan.
Memanglah tidak tersurat di mana-mana kata-kata bahawa daftar pengundi tidak boleh dicabar atau dipertikaikan melalui suatu petisyen pilihanraya.
Tetapi, Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1971 telah memperuntukkan mekanisma bagi seseorang membantah terhadap kemasukan dalam daftar pemilih namanya sendiri atau nama orang lain yang ada di dalam daftar itu mengikut Peraturan 10(3) semasa daftar itu disediakan.
Selepas bantahan diputuskan daftar pemilih atau daftar pemilih semakan akan diperakui dan diwartakan lagi untuk diperiksa oleh orang ramai.
Dari sini adalah jelas bahawa bantahan terhadap daftar pemilih mestilah dibuat pada masa dan mengikut cara yang diperuntukkan dalam Peraturan 10dan 15, iaitu sebelum ianya diperakui di bawah Peraturan 12atau 16. Selepas ia diperakui, ia tidak boleh dicabar lagi.
[2] Dalam kes ini, nama-nama yang dipertikaikan telah berada dalam daftar pemilih itu paling awal semenjak tahun 1960 dan paling akhir semenjak tahun 1993.
Biar bila pun nama-nama itu didaftarkan kesemuanya telah beberapa kali diwartakan, dibuka untuk diperiksa dan diberi peluang untuk dibantah.
Tiada apa-apa keterangan dikemukakan bahawa apa-apa bantahan pernah dibuat oleh sesiapa sebelum semakan tahun 1994.
Malah dalam semakan tahun 1994 pun tiada apa-apa bantahan terhadapnya.
Pempetisyen sendiri yang membuat bantahan tidak membantah terhadap nama-nama yang dipertikaikan itu dan atas alasan ini sahaja petisyen patut ditolak.
[3] Daripada penganalisaan keterangan yang diberi adalah jelas bahawa pempetisyen telah tidak berjaya membuktikan bahawa ada orang yang mengundi dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya yang bercanggah dengan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun pempetisyen telah berjaya membuktikan perlanggaran peruntukan s. 10 Akta Pilihanraya 1958, tidak ada bukti bahawa Pui Beng Jee, yang mendaftar sekali atas nama asalnya dan sekali lagi atas nama Hassan bin Abdullah, mengundi sekali, dua kali atau langsung.
Malah jika dia mengundi dua kali pun, perbuatannya tidak menjejaskan keputusan pilihanraya itu, yang merupakan satu lagi syarat yang perlu dipenuhi di bawah s. 32(b) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
[4] Permohonan pempetisyen untuk tafahus patut ditolak kerana pempetisyen telah gagal membuktikan apa yang perlu dibuktikan di bawah perenggan (a), (c) atau (d) s. 40 Akta Pilihanraya 1958. Dalam kes ini tidak dibuktikan bahawa seseorang pengundi itu tidak layak didaftarkan sebagai pemilih.
Yang dibuktikan hanyalah bahawa nombor kad pengenalan seperti yang tercatit dalam daftar atau senarai pemilih itu tidak betul.
Malahan ia juga tidak dibuktikan bahawa mereka telah mengundi.
Sebaliknya s. 40(2) Akta Pilihanraya 1958 memperuntukkan bahawa kalau kesemua itu dibuktikan pun, undi mereka masih tidak boleh dipotong.
[5] Ia adalah jelas daripada keterangan yang diberikan bahawa Borang 14 tidak diserahkan kepada calon atau ejen pilihanraya atau ejen mengira mereka yang hadir.
Ini merupakan ketakpatuhan kepada peruntukan Peraturan 25(12)(b)(ii) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981. Tetapi, merujuk kepada Peraturan 30(1) Peraturan- Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, bahawa kemungkiran itu tidak menyentuh keputusan pilihanraya itu. [Petisyen ditolak dengan kos].Obiter dictum:
Petisyen ini sedikit sebanyak telah menggugat kewibawaan dan kecekapan Suruhanjaya Pilihanraya, dan sedikit sebanyak menyebabkan satu pihak merasa terkilan dengan penjalanan dan keputusan pilihanraya itu.
Ini tidak baik bagi proses demokrasi di negara kita.
Pempetisyen telah berjaya menunjukkan bahawa terdapat 52 nama pemilih dalam daftar pemilih yang nombor kad pengenalan mereka tidak betul.
Saya harap pihak Suruhanjaya akan mengambil dayausaha untuk menyiasat bagaimana perkara itu telah berlaku, membetulkan apa yang tidak betul, malah mendakwa mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa kesalahan, jika ada.

Case(s) referred to:
M. Robert v. Sri Ram AIR [1991] NOC 11 Kant (dirujuk)
Muip bin Tabib v. Dato’ James Wong [1970] 1 LNS 83 [1971] 1 MLJ 246 (dirujuk)
Mohamed Jaafar v. Sulaiman & Anor. [1969] 1 LNS 111
Other source(s) referred to:
Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, s. 32(b), (d),
35, 40(1)(a)-(f), (2), (3)
Akta Pilihanraya 1958, s. 10
Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1971, Peraturan 3,
8,
9,
10(4),
(5), (6), 11,
12,
(1), (2), 13(1),
14(3),
(6), 15(1),
16, 25(12)
Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1972, Peraturan 5
Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981,
Peraturan 20, 30(1)
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119
Chawla’s Elections Law and Practice (1994), m.s 1.292 & 1.293
Halsbury’s Laws of England

Counsel:
Bagi pihak pempetisyen pertama – Wan Abdul Muttalib bin Embong, T/n. Wan Abd.Mutalib & Co.
Bagi pihak responden pertama – Dato’ Zaki Tun Azmi, T/n. Rashid & Lee; WanAhmad Farid bin Wan Salleh, (Manshell Kaur bersama-samanya) T/n. Adnan &Wee.
Bagi pihak responden kedua dan ketiga – Akhtar bin Tahir, Peguam KananPersekutuan, (Rusida bte Abu Bakar bersama-samanya).

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed H:
Petisyen ini difail oleh seorang pengundi berdaftar di kawasan N5, Dewan Undangan Negeri Jabi, Setiu, Trengganu.
Alasan petisyen ini terdapat dalam perenggan 3 yang, antara lain, “menyatakan bahawa bertentangan dengan dan secara menyalahi peruntukan s. 32(b) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan dan s. 10 Akta Pilihanraya 1958, pempetisyen mempertikaikan kesahihan dan taraf kelayakan pengundi yang berdaftar di kawasan N5 Dewan Undang Negeri Jabi, Setiu, Trengganu berdasarkan alasan-alasan dan fakta-fakta yang seterusnya dinyatakan.”
Asalnya enam alasan diberi.
Kemudian empat daripadanya ditarik balik, tinggal dua, iaitu “Alasan Kelima” dan “Alasan Keenam”.
“Alasan Kelima” secara ringkasnya menyatakan, “Pempetisyen mempertikaikan kesahihan, kelayakan pemegang No. Kad Pengenalan berikut yang berhak mengundi di N5 Dewan Undangan Negeri Jabi dan/atau dalam masa yang sama berhak juga mengundi di lokaliti yang lain di dalam Dewan Undangan Negeri, yang dinyatakan di atas.” Berikutnya diperturunkan satu senarai 104 nama yang mana setiap dua nama mempunyai nombor kad pengenalan yang sama.
Diperturunkan di sini satu misalan:
Bil No. K.P. Nama Penuh No. Bil. Buku Lokaliti 21 0454743 Abdullah Hassan 17 403001006 22 0454743 Zainab bt Awang 8 340504005
Alasan Keenam menyatakan, “Pempetisyen seterusnya mempetisyenkan bagi lokaliti 034/05/05 Pegawai Pilihanraya yang dilantik telah gagal menyerahkan sesalinan Borang 14 kepada calon atau ejen calon atau agen (sic ) tempat mengira bagi calon Zahari Mohamed.
Oleh itu pempetisyen memohon:
(a) Bahawa pempetisyen memohon satu pemeriksaan, semakan dan pengiraan semula serta perkara-perkara berkaitan semua kertas-kertas undi berkaitan yang mana masa, tempat dan syarat-syarat yang berkaitan ditentukan oleh Yang Arif Hakim. (b) Pempetisyen memohon mana-mana pengundi berdaftar di Dewan Undangan N5 yang tidak berhak mengundi/hilang kelayakan mengundi sebagaimana yang diperuntukkan dibawah s. 40(1) a, c & d tidak dikira sebagai pengundi yang sah bagi pengiraan semula undi dan tidak diambil kira. (c) Pempetisyen memohon satu perisytiharan iaitu calon PAS Zahari bin Mohamed dipilih atau dilaporpilih sebagai calon yang berjaya dan menang serta mempunyai majoriti undi sah di Dewan Undangan Negeri N5. (d) Apa-apa perintah atau relief yang Mahkamah sifatkan adil dan saksama untuk diberi. (e) Kos.
Pempetisyen memanggil empat orang saksi manakala responden-responden memanggil tiga orang saksi.
Saya akan memperturunkan keterangan mereka, di mana perlu, semasa membincang alasan-alasan petisyen ini.
Alasan Kelima
Seperti disebut tadi, dalam alasan ini pempetisyen “mempertikaikan kesahihan dan taraf kelayakan pengundi berdaftar” (perenggan 3), atau seperti yang disebut dengan cara yang lebih khusus sedikit dalam Alasan Kelima itu sendiri, “Pempetisyen mempertikaikan kesahihan, kelayakan pemegang No. Kad Pengenalan berikut…”.
SP1, Pegawai Pilihanraya Negeri Trengganu memberi keterangan bahawa beliau telah menyemak Daftar Pemilih 1994 (Pl) dan dapati bahawa memang terdapat sebanyak 104 nama pengundi di mana setiap dua daripadanya mempunyai nombor kad pengenalan yang sama, seperti yang disenaraikan oleh pempetisyen di bawah Alasan Kelima di muka surat 5 hingga 8 petisyen itu.
Beliau bersetuju setiap orang yang namanya tercatit dalam Pl boleh mengundi.
Semasa disoal balas oleh Dato Zaki, Peguam responden pertama, sekali lagi beliau mengakui ada nama orang-orang yang mempunyai nombor kad pengenalan yang sama dalam Pl. Disoal mengapa hal itu berlaku, beliau menjawab, “Ada kemungkinan kesilapan menaip semasa memasukkan data dalam komputer.” Kepada satu soalan lagi beliau berkata beliau bersetuju tidak mungkin seorang itu mengundi dua kali.
Sebagai misalan, Abdullah bin Hassan, No. 21, namanya cuma terdapat sekali, sahaja.
Oleh itu tidak mungkin dia mengundi lebih daripada sekali, katanya.
Saya terima keterangan SP1 ini, tertakluk kepada perbincangan saya kemudian kelak mengenai Pui Beng Jee dan/atau Hassan bin Abdullah.
SP2 ialah Pembantu Pentadbir Kanan di Pejabat Pendaftaran Kanan di Petaling Jaya.
Beliau mengesahkan bahawa beliau telah menyemak senarai nama-nama itu.
Beliau dapati bahawa mengikut rekod di pejabatnya hanya 52 daripada 104 nama-nama itu yang mempunyai nombor-nombor kad pengenalan yang betul dan sah.
Sebagai misalan, bagi dua nama yang diperturunkan tadi, mengikut rekodnya tidak ada orang yang bernama Abdullah bin Hassan yang mempunyai kad pengenalan nombor 0454743.
Dalam kata-kata lain, nombor kad pengenalan itu ialah kepunyaan Zainab bt Awang.
Beliau mengesahkan bahawa setiap orang cuma mempunyai satu kad pengenalan yang sah.
Disoal balas oleh Dato Zaki beliau mengatakan bahawa semakan itu dibuat mengikut nombor kad pengenalan yang diberi, bukan mengikut nama, sebab pejabatnya tidak menyimpan rekod mengikut nama.
Jadi, jika Abdullah bin Hassan, misalnya, sebenarnya mempunyai kad pengenalan yang sah, beliau tidak tahu apa nombor kad pengenalannya yang sebenar.
Menjawab soalan En. Akhtar, Peguam Kanan Persekutuan, yang mewakili responden kedua dan ketiga, beliau berkata bahawa beliau tidak boleh kata samada, sebagai misalan, Abdullah bin Hassan wujud atau tidak.
Saya juga terima keterangan saksi ini.
Sekarang mari kita lihat semula apakah alasan kelima itu sebenarnya.
Dalam hal ini saya memetik kata-kata yang digunakan oleh pempetisyen sendiri dalam petisyennya itu:
Pempetisyen mempertikaikan kesahihan, kelayakan pemegang kad pengenalan berikut…
Adalah jelas bahawa apa yang dipertikaikan ialah kesahihan dan taraf kelayakan 104 orang itu sebagai pengundi.
Maksudnya, dan hanya satu maksud yang boleh diberi, pempetisyen mempertikaikan kesahihan nama-nama yang terdapat dalam Daftar Pemilih 1994 (Pl) itu sendiri.
Soalnya, bolehkah ini dilakukan melalui petisyen pilihanraya?
Dalam hal ini kita perlu meneliti peruntukan-peruntukan Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1971. Peraturan 3, antara lain, menyatakan bahawa daftar pemilih hendaklah disediakan dalam tiga senarai, iaitu senarai A, B dan C. Senarai A ialah daftar pemilih yang berkuatkuasa pada tarikh notis di bawah peraturan 13(l) dikeluarkan, yang secara ringkasnya bolehlah disebut sebagai pemilih-pemilih lama.
Senarai B ialah senarai nama orang-orang yang berkelayakan yang telah memohon supaya dimasukkan dalam daftar pemilih setelah notis di bawah peraturan 13(l) dikeluarkan dan nama orangorang yang berjaya menuntut di bawah Peraturan 15(l), atau secara ringkasnya bolehlah disebut sebagai pengundi-pengundi baru.
Senarai C pula ialah senarai yang mengandungi nama orang-orang yang sudah mati atau tidak lagi berkelayakan. Peraturan 8 memperuntukkan proses penyediaan daftar pemilih itu, ringkasnya dengan mengeluarkan notis yang disiarkan dalam Warta meminta orang-orang yang berkelayakan untuk memohon dan hendak didaftarkan supaya didaftarkan sebagai pemilih.
Selepas itu, mengikut Peraturan 9, pegawai pendaftaran di setiap kawasan dikehendaki menyediakan daftar pemilih.
Apabila siap pegawai pendaftaran itu dikehendaki memberi notis dalam Warta menyatakan bahwa daftar pemilih itu telah siap dan ia dibuka untuk pemeriksaan.
Mengikut Peraturan 10 pula, seseorang yang telah memohon untuk didaftarkan dalam daftar pemilih tetapi namanya tidak dimasukkan ke dalamnya boleh membuat tuntutan supaya namanya dimasukkan.
Mengikut perenggan (3)Peraturan 10 itu pula seseorang yang namanya ada dalam daftar itu boleh membantah kemasukan namanya sendiri atau nama orang lain yang terdapat dalam daftar itu atau boleh membantah kemasukan nama orang yang menuntut.
Cara membuat bantahan diperuntukkan dalam perenggan (4)Peraturan 10 itu.
Jika ada bantahan pegawai pendaftaran dikehendaki memberi notis kepada orang yang terhadapnya bantahan itu dibuat – perenggan (5). Mengikut perenggan (6) pula pegawai pendaftaran itu dikehendaki mengadakan satu siasatan awam.
Peraturan itu seterusnya memperuntukkan bagaimana siasatan itu hendak diadakan dan apa perintah yang boleh dibuat oleh pegawai itu.
Ini diikuti pula dengan Peraturan 11 yang memperuntukkan bahawa seseorang, samada dia orang yang menuntut, membantah atau dibantah, yang tidak berpuashati dengan keputusan pegawai pendaftaran itu boleh merayu kepada pegawai penyemak.
Rayuan itu hendaklah didengar oleh pegawai penyemak itu.
Keputusan pegawai penyemak itu adalah muktamad.
Selepas itu, seperti yang diperuntukkan, oleh Peraturan 12, pegawai pendaftaran dikehendaki memperakui daftar itu seperti dalam Borang G dan memberi notis dalam Warta sekali lagi, kali ini menyatakan bahawa daftar pemilih telah diperakui dan ia terbuka untuk diperiksa. Perenggan (2) Peraturan 12 itu mengatakan, antara lain, bahawa daftar pemilih itu akan berkuatkuasa pada tarikh notis di bawah perenggan (1) disiarkan dalam Warta dan akan terus berkuatkuasa sehingga ia diperakui semula kemudiannya.
Selain daripada proses yang telah disebutkan, setiap tahun pula Suruhanjaya Pilihanraya dikehendaki memberi notis dalam Warta meminta orang-orang yang berkelayakan dan hendak didaftarkan sebagai pemilih, yang belum didaftarkan atau ingin dipindahkan ke bahagian pilihanraya lain untuk membuat permohonan untuk didaftarkan atau dipindahkan ke bahagian lain – Peraturan 13. Proses ini dipanggil penyemakan. Peraturan 14 memperuntukkan bagaimana penyemakan itu hendak dibuat.
Untuk tujuan itu dua senarai kena disediakan.
Pertama, Senarai C yang mengandungi nama orang-orang dalam daftar pemilih yang berkuatkuasa pada tarikh kelayakan yang sudah mati atau yang, pada pendapat pegawai pendaftaran, telah hilang atau dilucutkan kelayakan untuk didaftarkan.
Kedua, Senarai B, yang mengandungi nama orang-orang yang nama mereka tidak ada dalam Senarai A yang telah memohon untuk didaftarkan di bawah Peraturan 13 yang pada pendapat pegawai pendaftaran layak untuk didaftarkan. Perenggan (3) Peraturan 14 itu seterusnya memperuntukkan, ringkasnya, untuk maksud menyemak daftar pemilih itu dan untuk memuaskan hatinya tentang kelayakan seseorang itu untuk didaftarkan atau menentukan samada nama seseorang itu patut dimasukkan atau dikekalkan dalam atau dibatalkan dari daftar itu, pegawai itu boleh menjalankan siasatan dari rumah ke rumah atau membuat lain-lain siasatan samada dengan sendirinya atau melalui orang lain yang dilantik olehnya, atau menghantar notis kepada orang-orang berkenaan untuk mendapat maklumat.
Apabila penyemakan itu selesai, mengikut perenggan (6) Peraturan 14, pegawai pendaftaran dikehendaki pula memberi notis dalam Warta mengatakan bahawa penyemakan itu telah siap dan daftar pemilih itu adalah terbuka untuk diperiksa sekali lagi.
Ini diikuti pula oleh prosedur untuk membuat tuntutan atau bantahan yang diperuntukkan dalam Peraturan 15, yang serupa, pada pokoknya, dengan peruntukan membuat tuntutan dan bantahan di bawah Peraturan 10.
Selepas tuntutan dan bantahan diputuskan, pegawai pendaftaran dikehendaki memperakui daftar pemilih dalam Borang G, dan memberi notis dalam Warta menyatakan bahawa daftar pemilih itu telah diperakui dan ianya terbuka untuk diperiksa sekali lagi.
Prosedur ini serupa dengan prosedur dalam Peraturan 12.
Pendek kata setiap, tahun daftar pemilih boleh diperiksa oleh orang ramai, tuntutan atau bantahan boleh dibuat, samada semasa daftar pemilih itu disediakan atau disemak.
Dan apabila ia diperakui, dan diwartakan, samada di bawah Peraturan 12atau 16 ia berkuatkuasa sehingga ia diperakukan semula.
Dalam kes ini SP1, Pegawai Pilihanraya Negeri yang dipanggil oleh pempetisyen sebagai saksinya memberi keterangan bahawa daftar pemilih yang dipakai bagi Pilihanraya Umum 1995 telah diperakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada 9 Februari 1995 melalui Warta bertarikh yang sama.
Mengikut keterangannya, sebelum ia diwartakan ia dipamirkan untuk tuntutan dan bantahan.
Ia dipamirkan bagi kali terakhir untuk tuntutan dan bantahan pada 12 Oktober 1994 hingga 25 Oktober 1994, selama 14 hari disemua bahagian pilihanraya di N5. Mengikutnya, sebagai Pegawai Pilihanraya Negeri, jika ada tuntutan atau bantahan beliau akan tahu.
Apabila dirujuk kepada senarai 104 nama itu beliau berkata tidak ada apa-apa bantahan diterima.
Walau pun SP1 adalah juga responden ketiga, tetapi, semua keterangan ini diberi olehnya semasa beliau dipanggil oleh pempetisyen sebagai saksinya.
Tidak ada sebab mengapa saya tidak patut menerima keterangannya ini.
Malah mengenai bantahan berkenaan 104 nama itu, pempetisyen sendiri dalam keterangannya berkata: “Senarai dipamirkan dalam bulan Oktober 1994.
Saya ada buat bantahan dalam tempoh bantahan.
Bantahan itu tidak melibatkan 104 orang yang tersebut dalam petisyen.”
Dato’ Zaki, semasa berhujah menarik perhatian saya kepada beberapa nas dari India (kerana belum ada penghakiman Hakim Pilihanraya di Malaysia mengenainya) yang mengatakan bahawa “electoral rolls cannot be the subjectmatter of challenge in an election petition” (daftar pemilih tidak boleh menjadi perkara untuk dicabar dalam petisyen pilihanraya). Autoriti bagi proposisi itu ialah kes M. Robert v. Sri Ram [1991] NOC 11 Kant.
Pandangan yang sama juga terdapat dalam buku Chawla’s Elections Law and Practice (1994) di mukasurat 1.292 dan 1.293.
Bagi saya, autoriti-autoriti itu bolehlah dijadikan panduan jika ia didapati sesuai dengan undang-undang bertulis kita.
Tetapi, dalam memutuskan persoalan ini kita perlulah meneliti undang-undang bertulis kita sendiri.
Memanglah tidak tersurat di mana-mana kata-kata bahawa daftar pengundi tidak boleh dicabar atau dipertikaikan melalui suatu petisyen pilihanraya.
Tetapi, sebagaimana yang saya telah perturunkan dengan panjang lebar undang-undang bertulis kita, khususnya Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1971 telah memperuntukkan mekanisma bagi seseorang membantah terhadap kemasukan dalam, daftar pemilih namanya sendiri atau nama orang lain yang ada di dalam daftar itu mengikut Peraturan 10(3) semasa daftar itu disediakan.
Selain daripada itu pada tiap-tiap tahun dia berpeluang lagi untuk membuat bantahan mengikut Peraturan 15 apabila daftar itu disemak semula.
Dibawah kedua-dua peruntukan itu, jika dia membuat bantahan penyiasatan akan diadakan dan keputusan dibuat.
Jika dia tidak berpuashati dengan keputusan itu dia boleh merayu.
Selepas bantahan diputuskan daftar pemilih atau daftar pemilih semakan akan diperakui dan diwartakan lagi untuk diperiksa oleh orang ramai.
Selepas itu daftar itu akan terus berkuatkuasa sehingga ia diperakui pula kemudiannya, setelah melalui proses yang sama.
Dari sini adalah jelas bahawa bantahan terhadap daftar pemilih mestilah dibuat pada masa dan mengikut cara yang diperuntukkan dalam Peraturan 10atau 15, iaitu sebelum ianya diperakui dibawah Peraturan 12atau 16. Selepas ia diperakui, ia tidak boleh dicabar lagi.
Petisyen Pilihanraya bukanlah satu prosedur untuk mencabar atau mempertikaikan nama-nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang telah diperakui atau, memetik kata-kata yang digunakan oleh pempetisyen dalam petisyennya, untuk “mempertikaikan kesahihan dan taraf kelayakan pengundi yang berdaftar”. Petisyen Pilihanraya adalah proses bagi mencabar cara pilihanraya itu dijalankan.
Dalam kes ini, nama-nama yang dipertikaikan telah berada dalam daftar itu paling awal semenjak tahun 1960 dan paling akhir semenjak tahun 1993.
Biar bila pun nama-nama itu didaftarkan kesemuanya telah beberapa kali (sedikit atau banyak kalinya tertakluk kepada awal atau kemudian ia dimasukkan ke dalam daftar itu) diwartakan, dibuka untuk diperiksa, diberi peluang untuk dibantah.
Tiada keterangan apa-apa bantahan pernah dibuat oleh sesiapa sebelum semakan tahun 1994.
Malah dalam semakan tahun 1994 pun tidak ada bantahan terhadapnya.
Pempetisyen sendiri yang membuat bantahan tidak membantah terhadap nama-nama yang dipertikaikan itu.
Atas alasan ini sahaja Alasan Kelima itu patut ditolak.
Seterusnya, katakanlah saya silap dalam membuat keputusan sedemikian, biarlah saya timbang pula samada, atas Alasan Kelima itu saya patut membenarkan permohonan pempetisyen ini.
Dalam petisyennya (di perenggan 3) pempetisyen telah menyebut s. 32(b) sebagai satu seksyen yang telah disalahi.
Seksyen itu, setakat yang berkenaan, memperuntukkan:
32. Pemilihan seseorang calon dalam sesuatu pilihanraya hendaklah diisytiharkan sebagai batal atas suatu petisyen pilihanraya atas mana-mana daripada alasan-alasan yang berikut yang boleh dibuktikan dengan memuaskan hati Hakim Pilihanraya; (a)… (b) Ketakpatuhan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan sesuatu pilihanraya jika didapati bahawa pilihanraya itu telah tidak dijalankan mengikut prinsipprinsip yang ditetapkan di dalam undang-undang bertulis itu dan bahawa ketakpatuhan itu telah menyentuh keputusan pilihanraya itu;
Adalah jelas bahawa perenggan (b) itu adalah salah satu alasan yang membolehkan Hakim Pilihanraya membatalkan pemilihan seseorang calon atau dalam kata-kata lain, kemenangan seseorang calon.
Tetapi, dalam petisyen ini, pempetisyen tidak memohon perintah supaya pemilihan calon yang menang iaitu responden pertama dibatalkan.
Prayer-prayer yang dipohon nampaknya dibuat di bawah s. 35(d):
Semua atau mana-mana daripada relif-relif yang berikut yang pempetisyen mungkin berhak boleh dituntut dalam sesuatu petisyen pilihanraya:

(d) Jika kerusi itu dituntut untuk seseorang calon yang tidak berjaya atas alasan bahawa calon itu telah mendapat majoriti undi yang sah di sisi undangundang, suatu tafahus.
Kedua-dua belah pihak menghabiskan banyak masa berhujah mengenai s. 32(b) ini.
Maka saya akan membincangnya sekarang.
Berkenaan seksyen ini terdapat penghakiman-penghakiman Hakim-Hakim Pilihanraya di Malaysia yang mengatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk membuktikan dengan memuaskan hati Hakim Pilihanraya bahawa terdapat ketakpatuhan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan sesuatu pilihanraya dan ketakpatuhan itu telah menyentuh keputusan pilihanraya itu – lihat Muip bin Tabib v. Dato’ James Wong [1970] 1 LNS 83[1971] 1 MLJ 246 dan Mohamed Jaafar V. Sulaiman & Anor [1969] 1 LNS 111. Terdapat perbezaan pendapat tentang tahap pembuktian itu.
Ada yang berkata seperti dalam kes sivil, ada pula yang berkata seperti dalam kes jenayah.
Tetapi, dalam kes ini tidak ada tuduhan perbuatan rasuah, maka soal membuktikan seperti dalam kes jenayah tidaklah timbul.
Jadi soalnya, pertama, berjayakah pempetisyen membuktikan bahawa terdapat ketakpatuhan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan pilihanraya?
Dalam hal ini pempetisyen mengatakan, berhubung dengan Alasan Kelima, responden kedua dan ketiga telah menyalahi Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dan s. 10 Akta Pilihanraya 1958. Perkara 119(l) Perlembagaan Persekutuan setakat yang berkenaan mengatakan:
… but no person shall in the same election vote in more than one constituency.
Sementara itu s. 10 Akta Pilihanraya 1958 pula mengatakan:
10. Tiada seorang pun berhak dicatitkan dalam daftar pemilih sebagai seorang pemilih dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya bagi maksud-maksud sesuatu pilihanraya.
Inilah peruntukan-peruntukan yang dikatakan disalahi di bawah Alasan Kelima ini, iaitu, pertama ada orang-orang yang namanya telah dicatit dalam daftar pemilih dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya.
Kedua, ada orang yang mengundi dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya.
Sekarang mari kita teliti keterangan yang telah dikemukakan.
Apakah yang telah berjaya dibuktikan?
Bagi saya, pempetisyen telah berjaya membuktikan: (a) bahawa terdapat sebanyak 104 nama dalam daftar pemilih yang mana setiap dua daripadanya mempunyai nombor kad pengenalan yang sama, (b) daripada 104 nama itu, 52 mempunyai kad pengenalan yang memakai nombor seperti yang tercatit dalam daftar pemilih itu; yang selainnya tidak.
Sebaliknya pempetisyen tidak membuktikan: (a) bahawa 52 orang yang nombor kad pengenalannya tidak seperti yang tercatit dalam daftar pemilih itu tidak wujud, bahawa mereka tidak layak didaftarkan sebagai pemilih, atau bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai kad pengenalan yang sah; (b) bahawa 104 orang itu atau mana-mana di antara mereka mengundi; (c) bahawa bagi setiap dua nama yang mempunyai nombor kad pengenalan yang sama itu sebenarnya hanya ada satu orang, selain daripada Hassan bin Abdullah dan/atau Pui Beng Jee, nombor 33 dan 34 dalam D6, yang saya akan bincang berasingan; (d) bahawa setiap atau mana-mana satu orang yang namanya terdapat dalam daftar pemilih itu mengundi lebih daripada satu kali.
Sebagai misalan tidak ada sedikit pun keterangan bahawa Abdullah bin Hassan (nombor 1 dalam D6) atau Zainab bt. Awang yang kedua-duanya dicatitkan dalam daftar pemilih dan mempunyai nombor kad pengenalan yang sama mengundi lebih daripada sekali; Jika mereka mengundi.
Apa yang jelas ialah setiap orang yang namanya tercatit dalam daftar pemilih cuma boleh mengundi sekali, sebab namanya cuma tercatit sekali dan oleh itu, jika dia mengundi pun, hanya sekali.
Kembali kepada Hassan bin Abdullah dan/atau Pui Beng Jee. Dalam daftar pemilih terdapat dua nama yang memakai nombor kad pengenalan yang sama.
Satu nama ialah Hassan bin Abdullah.
Satu lagi Pui Beng Jee. Pui Beng Jee didaftarkan dalam tahun 1985, manakala Hassan bin Abdullah dalam tahun 1990.
Alamat bagi kedua-dua mereka yang tercatit dalam daftar pemilih itu berlainan, bahagian pilihanraya dan tempat mengundi berlainan.
Pui Beng Jee mempunyai kad pengenalan nombor 3746802.
Hassan bin Abdullah tidak mempunyai kad pengenalan bernombor sedemikian.
Mengikut P4B, senarai yang disediakan oleh SP2 (pegawai di Pejabat Pendaftaran Negara) Pui Beng Jee mempunyai nama kedua iaitu Hassan bin Abdullah.
Dia mempunyai kad pengenalan baru sekarang bernombor 250825-03-5059.
Dari sini nampaknya Pui Beng Jee dan Hassan bin Abdullah adalah orang yang sama.
Jadi, jika ada bukti bahawa Pui Beng Jee mengundi sekali atas nama Pui Beng Jee dan sekali lagi atas nama Hassan bin Abdullah, maka bolehlah dikatakan satu orang mengundi dua kali.
Tetapi tidak ada bukti bahawa Pui Beng Jee atau Hassan bin Abdullah mengundi sekali atau dua kali atau tidak langsung.
Yang terbukti (saya terima itu terbukti walaupun cuma berdasarkan keterangan dokumentari sahaja) hanyalah orang yang sama didaftar dua kali.
Maka cabaran terhadapnya sepatutnya dibuat melalui bantahan seperti yang saya sebut lebih awal.
Daripada penganalisaan keterangan ini adalah jelas bagi saya bahawa pempetisyen telah tidak berjaya membuktikan bahawa ada orang yang mengundi dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya yang bercanggah dengan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Berhubung dengan s. 10 Akta Pilihanraya 1958 pula, saya berpuashati bahawa Pui Beng Jee telah mendaftar sebanyak dua kali, sekali atas nama Pui Beng Jee dan sekali atas nama Hassan bin Abdullah.
Ini melanggar peruntukan s. 10 itu.
Tetapi, tidak ada bukti bahawa dia mengundi sekali, dua kali atau tidak langsung.
Malah jika dia mengundi dua kali pun, perbuatannya seorang sahaja tidak menjejaskan keputusan pilihanraya itu, satu lagi syarat yang perlu dipenuhi di bawah s. 32(b).
Oleh sebab dalam petisyen ini tekanan diberikan kepada nombor kad pengenalan yang sama, patutlah saya bincang tentang peranan kad pengenalan dalam proses mengundi. (Saya tidak perlu bincang peranan kad pengenalan dalam proses pendaftaran pemilih, kerana cabaran mengenainya patut dibuat melalui bantahan mengikut Peraturan 10atau 15 Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1971).
Kita tahu adalah menjadi amalan biasa bahawa seseorang yang hendak mengundi dikehendaki menunjukkan kad pengenalannya, sehingga kita menyangka bahawa tanpa menunjuk kad pengenalannya, seseorang itu tidak boleh mengundi.
Sebenarnya kedudukan di sisi undang-undang bukan begitu.
Kad pengenalan adalah merupakan satu dokumen, yang paling baik, untuk membuktikan bahawa orang yang datang hendak mengundi itu adalah orang yang sama dengan yang namanya tercatit dalam daftar pemilih.
Undang-undang tidak mensyaratkan bahawa kad pengenalan mesti ditunjuk sebelum seseorang itu boleh diberi kertas undi.
Undang-undang berkenaan terdapat dalam Peraturan 20, Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1991:
20.(1) Ketua tempat mengundi di sesuatu tempat mengundi boleh menurut budi bicaranya menghendaki seseorang pengundi, sebelum dia diberi suatu kertas undi, memberi apa-apa keterangan mengenai dirinya yang difikirkan perlu oleh ketua tempat mengundi dan membuat serta menandatangani akuan yang dinyatakan dalam Borang 11 Jadual Pertama dan tiap-tiap akuan itu adalah dikecualikan daripada cukai setem.
Mengikut peruntukan ini, terletaklah kepada budibicara ketua tempat mengundi samada mahu menghendaki seseorang pengundi itu memberi apa-apa keterangan mengenai dirinya sebelum diberi kertas undi, atau tidak.
Malah jika beliau berpuashati dengan pengenalan pengundi itu beliau tidak perlu menghendaki apaapa keterangan mengenai diri pengundi itu.
Tetapi, mengikut amalan, seseorang pengundi itu dikehendaki menunjukkan kad pengenalannya sebagai keterangan mengenai dirinya.
Jika pengundi itu tidak boleh menunjukkan kad pengenalannya dia dikehendaki membuat serta menandatangani akuan mengikut Borang 11 Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan itu.
Ini disebut oleh SR2 dalam keterangannya.
Amalan ini adalah baik.
Tetapi ketiadaan atau kegagalan menunjukkan kad pengenalan bukanlah satu sebab yang, mengikut undang-undang, menghalang seseorang itu daripada mengundi, asalkan namanya, terdapat dalam daftar pemilih.
Peraturan 5 Peraturan-Peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihanraya 1972 mengatakan dengan jelas:
5. Se-seorang pengundi berdaftar ada-lah berhak mengundi dalam suatu pilehanraya Parlimen atau pilehanraya Negeri (dipetik mengikut ejaan asal).
Oleh itu tidaklah boleh dikatakan oleh sebab 52 itu tidak mempunyai kad pengenalan untuk ditunjuk kepada pegawai pilihanraya, mereka tidak berhak mengundi. (Sebenarnya tidak dibuktikan bahawa mereka tidak mempunyai kad pengenalan.
Apa yang terbukti ialah mereka tidak mempunyai kad pengenalan yang bernombor seperti yang tercatit dalam daftar pemilih). Dan jika mereka mengundi undi mereka taksah. (Juga tidak dibuktikan samada mereka sebenarnya mengundi.)
Seperti yang telah disebut lebih awal, dalam petisyen ini pempetisyen mohon supaya tafahus (scrutiny) dilakukan.
Setakat yang saya dapat kesan perkataan tafahus atau “scrutiny” digunakan dua kali dalam undang-undang pilihanraya kita, sekali dalam s. 35 dan sekali dalam s. 40. Dalam s. 35 disebut bahawa seseorang yang menuntut suatu kerusi untuk seseorang calon yang tidak berjaya atas alasan bahawa calon itu telah mendapat majoriti undi yang sah di sisi undang-undang, maka dia bolehlah menuntut tafahus sebagai satu relif. Seksyen 40 pula memperuntukkan undi-undi yang boleh dipotong dalam sesuatu tafahus.
Walau pun peruntukan itu agak panjang, rasanya perlulah ianya diperturunkan:
40. (1) Atas sesuatu tafahus dalam perbicaraan sesuatu petisyen pilihanraya, hanya undi-undi yang berikut sahaja boleh dipotong: (a) undi bagi seseorang yang namanya tidak ada dalam daftar atau dalam senarai pemilih yang diuntukkan bagi tempat mengundi di mana undi itu telah direkodkan atau yang telah tidak dibenarkan mengundi di tempat mengundi itu; (b) undi bagi seseorang yang undinya telah diperolehi melalui penyogokan, penjamuan atau pengaruh tak wajar; (c) undi bagi seseorang yang telah melakukan atau mendapatkan pelakuan menyamar dalam pilihanraya itu; (d) Jika pilihanraya itu adalah suatu pilihanraya biasa, undi bagi seseorang yang telah dibuktikan sebagai telah mengundi dalam pilihanraya biasa itu dalam lebih daripada satu bahagian pilihanraya atau kawasan pilihanraya;
(e) undi bagi seseorang yang tak berkebolehan mengundi dalam pilihanraya itu oleh kerana suatu sabitan atau perbuatan rasuah atau perbuatan yang menyalahi undang-undang atau oleh kerana laporan seorang Hakim Pilihanraya atau oleh kerana sabitan bagi sesuatu kesalahan di bawah s. 3; dan (f) undi-undi yang diberi untuk seseorang calon yang hilang kelayakan oleh seseorang pengundi yang mengetahui bahawa calon itu telah hilang kelayakan atau akan fakta-fakta yang menyebabkan hilang kelayakan itu, atau selepas notis awam yang memadai mengenai hilang kelayakan itu, atau apabila hilang kelayakan itu atau faktafakta yang menyebabkannya adalah nyata diketahui ramai. (2) Undi seseorang pengundi berdaftar tidak boleh, kecuali dalam hal yang dinyatakan dalam subseksyen (1)(e), dipotong dalam sesuatu tafahus sematamata oleh sebab pengundi itu telah tidak atau adalah tidak layak mendapatkan namanya dicatatkan dalam daftar atau senarai pemilih. (3) Atas sesuatu tafahus, mana-mana undi yang telah diberi dan dibuktikan sebagai suatu undi sah hendaklah, atas permohonan mana-mana pihak kepada petisyen itu, ditambahkan kepada undi-undi yang telah dipungut.
Jadi peruntukan yang ada hanya yang menyebut tafahus sebagai satu relif dan bagaimana cara melakukan tafahus.
Tidak terdapat suatu peruntukan seperti s. 32, misalnya, yang menyatakan apa yang perlu dibuktikan bagi tujuan membatalkan pemilihan seseorang calon.
Malangnya juga tidak terdapat satu pun penghakiman bertulis di negara kita mengenainya. (Ini disahkan oleh peguam-peguam yang menghujahkan kes ini.
Saya sendiri pun, dalam carian saya dalam tempoh yang singkat itu tidak dapat menemuinya).
Beberapa penghakiman Mahkamah-Mahamah di India yang dirujukkan oleh Dato’ Zaki tidak dapat memberi panduan yang jelas kerana kes-kes itu mengenai pengiraan semula di bawah keadaan yang berlainan.
Saya juga tidak jelas mengenai tafahus di England walau pun Halsbury’s Laws of England ada membincangnya.
Dalam keadaan ini, rasanya adalah lebih baik jika kita meneliti undang-undang bertulis kita, khususnya peruntukan ss. 35 dan 40 itu.
Sebelum, berbuat demikian, eloklah saya sebut bahawa prinsip mengenai pembuktian seperti yang telah saya sebut itu adalah terpakai dalam petisyen untuk relif tafahus.
Pempetisyen mestilah membuktikan dengan memuaskan hati Hakim Pilihanraya.
Apa yang perlu dibuktikan adalah mengikut undi siapa yang hendak dipotong, seperti yang diperuntukkan dalam s. 40(l)(a) hingga (f). Dalam kes ini, pempetisyen melandaskan alasannya kepada perenggan (a), (c) dan (d) sahaja.
Untuk berjaya di bawah (a), pempetisyen kenalah membuktikan orang yang namanya tidak ada dalam daftar atau dalam senarai pemilih yang diuntukkan bagi tempat mengundi di mana undi itu telah direkodkan, telah mengundi.
Ini jelas tidak terbukti.
Dalam kes ini, nama orang-orang itu ada, bukan tidak ada.
Kedua, tidak ada bukti mereka mengundi.
Atau, di bawah satu cabang lagi kepada perenggan (a), pempetisyen hendaklah membuktikan ada orang yang telah tidak dibenarkan mengundi di tempat mengundi itu (“or who has not been authorized to vote at such station”), mengundi di situ.
Juga tidak ada bukti.
Bukti yang ada hanyalah terdapat 52 orang yang nombor kad pengenalannya seperti yang tercatit dalam daftar pemilih, tidak betul.
Itu sahaja.
Di bawah (c), untuk berjaya, pempetisyen kenalah membuktikan bahawa ada orang yang menyamar dalam pilihanraya itu.
Tidak dibuktikan siapa menyamar sebagai siapa.
Kes pempetisyen bukanlah Abdullah bin Hassan menyamar sebagai Zainab bt. Awang, misalnya.
Kes pempetisyen ialah nombor kad pengenalan Abdullah bin Hassan seperti yang tercatit dalam daftar pemilih itu ialah nombor kad pengenalan Zainab bt. Awang.
Malah tidak dibuktikan Abdullah bin Hassan wujud atau tidak, mengundi atau tidak.
Kes pempetisyen yang lebih berkenaan di bawah perenggan (c) ini ialah mengenai Pui Beng Jee atau Hassan bin Abdullah.
Jika sebagaimana yang telah putuskan bahawa Pui Beng Jee atau Hassan bin Abdullah itu adalah orang yang sama, maka bolehlah dihujahkan bahawa, jika (saya tekankan, jika) dia mengundi dua kali maka bagi kali kedua itu dia menyamar sebagai Pui Beng Jee atau Hassan bin Abdullah, mengikut di bawah nama mana dia mengundi terlebih dahulu.
Tetapi, seperti yang saya telah katakan lebih awal, tidak ada bukti bahawa Pui Beng Jee mengundi sekali atau dua kali atau tidak langsung.
Oleh itu mengenainya pun tidak terbukti bahawa dia mengundi dengan menyamar.
Di bawah (d) pula, untuk berjaya, pempetisyen kenalah membuktikan bahawa ada orang yang mengundi dalam lebih daripada satu bahagian atau kawasan pilihanraya.
Dalam hal ini juga tidak dibuktikan siapa di antara 52 orang itu yang mengundi.
Kedua, kalau mereka atau sesiapa di antara mereka mengundi pun, seseorang itu cuma mengundi sekali, kecuali dalam kes Pui Beng Jee atau Hassan bin Abdullah.
Tetapi, mengenai dia pun, seperti yang saya telah sebut, tidak ada bukti bahawa dia mengundi dua kali malah sekali atau tidak langsung.
Cuma namanya ada dua kali.
Dari sini adalah jelas bahawa pempetisyen telah tidak berjaya membuktikan apa yang perlu dibuktikan di bawah perenggan (a), (c) atau (d) itu.
Kemudian terdapat pula subseksyen (2) yang saya telah perturunkan tadi.
Ringkasnya, subseksyen (2) itu menyatakan bahawa undi seseorang pengundi berdaftar tidak boleh dipotong dalam sesuatu tafahus semata-mata oleh sebab pengundi itu telah tidak atau adalah tidak layak mendapatkan namanya dicatit dalam daftar atau senarai pemilih (melainkan dalam hal yang dinyatakan dalam subseksyen (1)(e) – yang tidak berkenaan dalam kes ini). Ertinya kalau seseorang itu tidak layak didaftarkan sebagai pemilih pun, asalkan namanya ada dalam daftar atau senarai pemilih, undinya tidak boleh dipotong.
Dalam kes ini, tidak dibuktikan bahawa seseorang pengundi itu tidak layak didaftarkan sebagai pemilih (melainkan Hassan bin Abdullah). Yang dibuktikan hanyalah nombor kad pengenalan seperti yang tercatit dalam daftar atau senarai pemilih itu tidak betul.
Kedua, tidak dibuktikan bahawa mereka mengundi.
Tetapi, mengikut subseksyen (2), kalau semua itu dibuktikan pun, undi mereka masih tidak boleh dipotong.
Dalam keadaan ini, atas alasan ini juga saya berpendapat bahawa permohonan untuk tafahus atas Alasan Kelima itu patut ditolak juga.
Alasan Keenam
Alasan Keenam berbunyi begini:
Pempetisyen seterusnya mempetisyenkan bagi lokaliti 034/05/05 Pegawai Pilihanraya yang dilantik telah gagal menyerahkan sesalinan Borang 14 kepada calon atau agen calon atau agen tempat mengira bagi calon Zahari Mohamed.
Eloklah saya meneliti fakta mengenainya dahulu.
Pempetisyen (SP3) memberi keterangan.
Katanya dia adalah wakil calon Zahari bin Mohamed.
Dia melantik empat orang ejen mengira, dua orang bagi Saluran 1 dan dua orang bagi Saluran 2.
Keterangannya adalah merupakan apa yang diberitahu kepadanya oleh keempatempat orang ejen mengira itu.
Di antara mereka cuma seorang yang dipanggil iaitu Mat Yassin bin Awang Isa (SP4). Oleh itu keterangannya mengenai apa yang diberitahu kepadanya oleh tiga orang lagi itu adalah kata-dengar dan hendaklah diketepikan.
Yang lebih penting ialah keterangan SP4 sendiri.
Dia memberi keterangan bahawa dia dilantik oleh pempetisyen (SP3) menjadi ejen mengira bagi Saluran 1, Jabi.
Kesimpulan keterangannya ialah dia ada menandatangani empat salinan Borang 14 tetapi satu salinan pun tidak diberi kepadanya oleh Ketua Tempat Mengundi, Nik Anuar bin Abdullah (SR3). Dia ada meminta satu salinan tetapi, mengikutnya, SR3 berkata “Ta mengapalah saya simpan dalam sampul ini”. Di soal balas oleh Dato’ Zaki dia berkata bahawa semasa menandatangani borang itu dia berpuashati dengan apa yang terkandung di dalamnya.
Seorang saksi lagi yang penting dalam hal ini ialah Ketua Tempat Mengundi, SR3. Mengikut keterangannya, apabila selesai mengira, dia menyediakan Borang 14. Mengikutnya borang itu ditandatangani oleh SP4, sama seperti yang dikatakan oleh SP4. Seterusnya dia berkata “Saya beri satu salinan kepada counting agent tetapi saya tak ingat samada En. Yasin.
Tetapi saya beri kepada ejen-ejen kedua-dua calon” Disoal oleh Dato’ Zaki dia berkata “Borang 14 itu diberi kepada orang yang menandatangani”.
Jadi, bahawa SP4 ada menandatangani borang itu tidak dipertikaikan.
Yang dipertikaikan ialah samada satu salinan diberi oleh SR3 kepada SP4 atau tidak.
Saya akui bahawa saya sebenarnya tidak tahu siapa di antara mereka yang bercakap benar dalam hal ini.
Malangnya saya tidak berkuasa untuk membolehkan tangan, mata dan telinga mereka berkata-kata.
Jadi, saya terpaksa membuat keputusan berdasarkan apa yang dikatakan oleh lidah mereka di samping memerhatikan tingkah laku mereka.
Bagi saya dalam perkara ini, atas imbangan kebarangkalian, saya lebih cenderung kepada mempercayai keterangan SP4 (Mat Yassin). Jadi, adalah keputusan fakta saya bahawa satu salinan Borang 14 itu tidak diberi kepada SP4.
Maka soal selanjutnya ialah, apakah kesannya di sisi undang-undang?
Dalam menimbang dan menentukan Alasan Keenam ini, apa yang saya telah katakan mengenai peruntukan s. 32(b) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 adalah terpakai.
Ertinya pempetisyen mestilah membuktikan bahawa terdapat ketakpatuhan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan pilihanraya dan bahawa ketakpatuhan itu telah menyentuh keputusan pilihanraya itu.
Saya akan bincangkan soal ketakpatuhan dahulu.
Dalam hal ini, peruntukan Peraturan 25(12) adalah berkenaan.
Saya akan memperturunkannya setakat yang perlu sahaja:
25…. (12) Tertakluk kepada perengan (13), ketua tempat mengundi hendaklah, dengan serta merta setelah selesai mengira undi-undi: (a)… (b) menyediakan bilangan salinan yang mencukupi penyata pengundian dalam Borang 14 Jadual Pertama, yang hendaklah diperakui oleh ketua tempat mengundi dan ditandatangani oleh calon-calon atau ejen-ejen pilihanraya atau ejen-ejen mengira mereka yang hadir dan berkehendak menandatangani penyata itu seperti berikut: (i)… (ii) satu salinan hendaklah diserahkan kepada setiap seorang calon atau ejen pilihanraya atau ejen mengira mereka yang hadir;
Berdasarkan keputusan fakta yang saya telah buat, memanglah terdapat ketakpatuhan peruntukan ini bagi Saluran 1.
Maka soal seterusnya ialah, adakah ketakpatuhan menyentuh keputusan pilihanraya itu?
Kes pempetisyen dalam hal ini ialah tanpa salinan Borang 14 itu dia tidak boleh tahu samada jumlah undi yang diserahkan oleh ketua tempat mengundi kepada pegawai pengurus di tempat penjumlahan resmi sama atau tidak dengan yang tercatit dalam Borang 14 itu.
Dalam kes ini Borang 14 yang tidak diberi kepada ejen mengira itu, setakat yang dibuktikan hanya bagi satu saluran.
Ejen itu (SP4) sendiri berpuashati dengan kandungan Borang 4 itu semasa dia menandatanganinya.
Semasa penjumlahan resmi dilakukan, di Sekolah Arab Permaisuri, calon-calon dan ejenejen pilihanraya mereka berhak hadir – Peraturan 25D(2)(c).Tidak ada keterangan samada calon yang kalah itu atau ejen pilihanraya hadir atau tidak.
Pempetisyen sendiri tidak hadir, walau pun dia mengaku jika dia hendak dia boleh pergi.
Katanya, kalau dia pergi pun borang itu tidak ada kepadanya, ertinya dia tidak boleh bandingkan apa yang tertulis dalam Borang 14 yang ditandatangani oleh SP4 dengan salinan yang diserahkan kepada Pegawai Pengurus.
Tetapi dalam keterangannya dia memberitahu Mahkamah berapa kelebihan undi yang diperolehi oleh calon partinya di Saluran 1. Ertinya dia ingat angka itu dan oleh itu boleh membantah jika angka yang ditunjuk semasa penjumlahan resmi itu berlainan, jika dia pergi.
Tuduhan bahawa ada kemungkinan ketua tempat mengundi (SR3) menukar bilangan undi yang diperolehi dan yang telah dicatit dalam Borang 14 dan ditandatangani oleh ejen-ejen mengira itu adalah satu tuduhan yang serius.
Tidak ada bukti untuk menyokong tuduhan itu.
Yang ada hanyalah syak.
Syak sahaja tidak memadai. Peraturan 30(l) Peraturan-Peraturan Pilihan (Penjalanan Pilihanraya) 1981 memperuntukkan:
30 (1) Sesuatu pilihanraya tidak boleh menjadi tak sah oleh sebab kemungkiran mematuhi mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini berhubungan dengan pilihanraya jika didapati bahawa pilihanraya itu telah dijalankan mengikut prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam peruntukan-peruntukan itu,
dan kemungkiran itu tidak pula menyentuh keputusan pilihanraya itu.
Kesimpulan saya mengenai alasan ini ialah walau pun terdapat ketakpatuhan atau kemungkiran mematuhi peruntukan Peraturan 25(12)(b)(ii) bagi Saluran 1, saya berpuashati bahawa kemungkiran itu tidak menyentuh keputusan pilihanraya itu.
Atas alasan-alasan yang saya telah beri itu saya menolak petisyen ini dengan kos.
Akhir kata saya rasa adalah perlu bagi saya berkata sesuatu mengenai kes ini.
Dengan keputusan ini maka yang menang, menang dan yang kalah, kalah, untuk sementara waktu.
Bagi kedua-dua calon, kes ini telah berakhir.
Tetapi saya harap bahawa pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihanraya tidak akan mengambil sikap bahawa tugas mereka juga telah selesai.
Petisyen ini sedikit sebanyak telah menggugat kewibawaan dan kecekapan Suruhanjaya itu, dan sedikit sebanyak menyebabkan satu pihak merasa terkilan dengan perjalanan dan keputusan pilihanraya itu.
Ini tidak baik bagi proses demokrasi di negara kita.
Pempetisyen telah berjaya menunjukkan bahawa terdapat 52 nama pemilih dalam daftar pemilih yang nombor kad pengenalannya tidak betul.
Saya harap pihak Suruhanjaya akan mengambil dayausaha untuk menyiasat bagaimana perkara itu telah berlaku, membetulkan apa yang tidak betul, malah mendakwa mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa kesalahan, jika ada.

66 visits