KUA KIA SOONG lwn. MOHD. NOR BADOR & ANOR.

KUA KIA SOONG lwn. MOHD. NOR BADOR & ANOR.
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, SHAH ALAM
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
PETISYEN PILIHANRAYA NO. 1/95
7 SEPTEMBER 1995
(1996) 1 CLJ 429

UNDANG-UNDANG PILIHANRAYA: Tarikh penamaan calon – Pencalonan pempetisyen ditolak – Responden diisytihar sebagai dipilih – Samada proses pilihanraya tamat pada tarikh penamaan calon.

[EnglishTranslation of Catchwords]ELECTION LAW: Date for naming candidate – Petitioner’s candidacy rejected – Respondent declared as nominated – Whether election process ended on the date candidate named.
Pada hari penamaan calon, iaitu 15 April 1995, pempetisyen dan responden kedua telah menyerahkan kertas penamaan calon mereka bagi bahagian Petaling Jaya. Bantahan terhadap pencalonan pempetisyen, kerana kertas penamaan pempetisyen tidak ditandatangani oleh saksi, dibenarkan Pegawai Pengurus Pemilihanraya, menyebabkan pencalonan pempetisyen ditolak dan responden kedua diisytiharkan sebagai dipilih. Pempetisyen kemudiannya menyebabkan dikeluarkan satu petisyen yang di antaranya menyebut “… pilihanraya yang dijadualkan pada 25 April 1995… “.
Sebelum mendengar petisyen tersebut, Mahkamah telah bersetuju untuk mendengar dan memutuskan bantahan awal yang dibuat oleh responden kedua bahawa tarikh pilihanraya adalah pada hari penamaan calon dan bukan 25 April 1995. Isu yang dibangkitkan adalah samada petisyen pempetisyen menyebut tarikh pilihanraya yang betul.
Diputuskan:
[1] Jika tarikh pilihanraya yang disebut dalam sesuatu petisyen itu tidak betul, pempetisyen tidak berhak mendapat relief yang dipohon, dan pindaan untuk membetulkan tarikh itu tidak boleh dibuat selepas tamat tempoh untuk memfail petisyen.
[2] Apabila pencalonan pempetisyen ditolak dan responden kedua diisytiharkan sebagai dipilih, proses pilihanraya itu telah tamat pada hari itu juga, iaitu 15 April 1995. Oleh itu, tidak ada lagi pilihanraya yang dijadualkan pada 25 April 1995 bagi bahagian itu.
[Petisyen ditolak dengan kos]. Referred{617}:Kes-kes yang dirujuk:
Nobert Chong Kai Chong & Anor. v. Mohamed Idris bin Haji Ibrahim & Anor. [1980] 1 MLJ 316 (dirujuk)
Muip bin Tabib v. Dato’ James Wong [1971]1 MLJ 246 (dirujuk)
Zulkarnaini bin Mohamed Noor v. Syed Omar bin Mohamed & Anor. [1979] 2 MLJ 143 (dirujuk)
Bong Geok Beng v. Ahmad Nordin bin Muhamed Amin [1980] 1 MLJ 167 (dirujuk)
Perundangan yang dirujuk:
Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihanraya 1954, k. 4(4)

Counsel:
Bagi pihak pempetisyen – Raja Aziz Addruse; T/n. W.K. Yap & Loo
Bagi pihak responden pertama – Stanley Issacs (Abdullah Hassan bersamanya); Ketua BahagianGuaman, Jabatan Peguam Negara.
Bagi pihak responden kedua – Muhammad Shafee bin Md. Abdullah (Robert Lazar bersamanya);T/n. Shearn, Delamore & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed H:
Kes ini telah diputuskan atas bantahan awal yang dibuat oleh Peguam responden kedua. Saya bersetuju mendengar bantahan awal dan memutuskannya sebelum mendengar petisyen ini sepenuhnya setelah Peguam pempetisyen sendiri memberi pandangannya bahawa dalam sesuatu petisyen pilihanraya, keputusan Mahkmah atas bantahan awal yang bersifat teknikal seperti ini akan menyelesaikan kes ini secara muktamad dan tidak akan timbul kelewatan penyelesaian muktamad seperti yang biasa berlaku dalam kes-kes sivil biasa; dan juga jika Mahkamah terus mendengar petisyen ini sepenuhnya (bersama-sama dengan bantahan teknikal), masalah mengenai kos akan timbul, jika Mahkamah, setelah mendengar petisyen itu sepenuhnya, membuat keputusan atas alasan teknikal. Oleh sebab Peguam pempetisyen sendiri lebih cenderung supaya saya mendengar dan memutuskan bantahan awal itu terlebih dahulu, maka saya bersetuju berbuat demikian.
Bantahan awal telah dibangkitkan atas alasan tarikh pilihanraya telah tidak dinyatakan dengan betul.
Jadi saya akan memperturunkan fakta mengenainya sahaja.
Seperti diketahui umum hari penamaan calon bagi pilihanraya umum 1995 ialah pada 15 April 1995. Pilihanraya diadakan pada 25 April 1995.
Apa yang berlaku dalam kes ini ialah pada hari penamaan calon, dua orang telah menyerahkan kertas penamaan calon mereka bagi Bahagian Parlimen P94 (Petaling Jaya). Mereka ialah pempetisyen dan responden kedua.
Dalam tempoh masa untuk membuat bantahan, seorang yang bernama Lee Chong Beng telah membuat bantahan terhadap pencalonan pempetisyen. Alasannya ialah kerana kertas penamaan pempetisyen tidak ditandatangani oleh saksi. Adalah satu fakta yang dipersetujui oleh semua pihak bahawa satu daripada salinan-salinan kertas penamaan calon itu (salinan yang dipamirkan untuk bantahan) telah tidak ditandatangani oleh saksi. Pegawai Pengurus Pilihanraya telah membenarkan bantahan itu dan menolak pencalonan pempetisyen. Oleh kerana hanya tinggal seorang calon sahaja iaitu responden kedua, maka Pegawai Pengurus telah mengisytiharkan responden kedua sebagai dipilih.
Untuk memahami bantahan awal ini patutlah diperturunkan bahagian-bahagian Petisyen itu yang berkenaan. Untuk penghakiman saya, saya gunakan naskah Bahasa Malaysia kerana, pertama, ia adalah naskah sahih, dan, kedua, ia lebih menguntungkan pempetisyen. (Terdapat sedikit kelainan dalam naskah Bahasa Inggeris yang merugikan pempetisyen jika saya menggunakannya. Saya berbuat demikian untuk berlaku lebih adil kepada pempetisyen memandangkan bahawa bantahan awal ini dibuat terhadap petisyennya):
AKTA KESALAHAN PILIHANRAYA 1954
Pilihanraya untuk Kawasan Parlimen P. 94 Petaling Jaya Utara yang dijadualkan pada 25 April 1995.
Petisyen Pilihanraya
1. Pempetisyen adalah calon di pilihanraya yang tersebut di atas.
2. Pempetisyen mengatakan bahawa dalam pilihanraya yang dijadualkan pada 25 April 1995, dan bahawa pempetisyen dan Lim Kuo Phau, responden kedua di sini, adalah calon dalam pilihanraya tersebut, dan pada 15 April 1995, Pegawai Pilihanraya, responden pertama disini, telah menerima Lim Kuo Phau sebagai calon yang dipilih secara sah tanpa bertanding.
Seperti yang saya sebut tadi, bantahan awal ini ialah atas alasan bahawa tarikh pilihanraya, dalam keadaan kes ini, ialah pada hari penamaan calon, iaitu pada 15 April 1995, bukan pada 25 April 1995. Hujah Peguam pempetisyen ringkasnya, ialah 25 April 1995 itu ialah tarikh pilihanraya yang dijadualkan.
Berkenaan undang-undang, ia bolehlah disimpulkan seperti berikut:
(a) jika tarikh pilihanraya yang disebut dalam sesuatu petisyen itu tidak betul, pempetisyen itu tidak berhak mendapat relif yang dipohonnya – Nobert Choong Kai Chong & Anor. v. Mohamed Idris bin Haji Ibrahim & Anor. [1980] 1 MLJ 316, Muip bin Tabib v. Dato’ James Wong [1971] 1 MLJ 246 dan Zulkarnaini bin Mohamed Noor v. Syed Omar bin Mohamed & Anor. [1979] 2 MLJ 143.
(b) pindaan untuk membetulkan tarikh itu tidak boleh dibuat selepas tamat tempoh untuk memfail petisyen – lihat kes-kes Zulkarnaini [1979] 2 MLJ 143 dan Muip [1971] 1 MLJ 246.
(c) di mana hanya seorang calon sahaja sah dinamakan dan Pegawai Pengurus mengisytiharkan calon itu sebagi dipilih, tarikh perisytiharan itu dibuat, atau biasanya disebut, tarikh penamaan calon, adalah tarikh pilihanraya – lihat kes-kes Nobert Choong Kai Chong [1980] 1 MLJ 316 dan Zulkarnaini [1979] 2 MLJ 143. (Patut juga diambil perhatian bahawa nota kepala kes Bong Geok Beng v. Ahmad Nordin bin Muhamed Amin [1980] 1 MLJ 167) perenggan (1) juga berkata demikian. Tetapi tidak pula ditemui nyataan seperti itu dalam penghakiman itu).
Encik Robert Lazar, Peguam responden kedua, menghujahkan bahawa petisyen itu hendaklah menyebut seperti dalam borang contoh yang diperuntukkan dalam kaedah 4(4) Kaedah- Kaedah Petisyen Pilihanraya 1954 dengan menyebut “Pilihanraya… yang diadakan pada…” Dalam kata-kata lain pempetisyen tidak boleh menggunakan perkataan “yang dijadualkan pada “.
Saya tidak bersetuju dengan hujah itu. Bagi saya hanya kerana menggunakan perkataan “yang dijadualkan pada” sebagai ganti kepada “yang diadakan pada” sahaja bukanlah satu perkara yang mencacat petisyen ini. Kaedah itu sendiri menyatakan “Bentuk yang berikut, atau bentuk yang bermaksud seumpama adalah memadai:” (tekanan ditambah). Selain dari itu, tanpa memetik nas-nas, undang-undang adalah jelas bahawa sesuatu borang itu boleh diubah dan dipinda mengikut keadaan.
Jadi, soalan yang saya perlu putuskan ialah sama ada petisyen ini, seperti yang diplidkan menyebut tarikh pilihanraya bagi bahagian ini dengan betul.
Kita lihat dahulu tajuk petisyen ini: “Pilihanraya untuk kawasan Parlimen P94 Petaling Jaya yang dijadualkan pada 25 haribulan April 1995.”
Bagi saya, nyataan ini betul jika dikatakan sebelum responden kedua diisytiharkan sebagai dipilih. Kerana, jika ada lebih daripada seorang calon, maka pilihanraya itu akan diadakan pada 25 April 1995. Tetapi, seperti yang berlaku dalam kes ini, apabila pencalonan pempetisyen ditolak dan responden kedua diisytiharkan sebagai dipilih, proses piilihanraya itu telah tamat pada hari itu juga (15 April 1995). Oleh itu tidak ada lagi pilihanraya yang dijadualkan pada 25 April 1995 bagi bahagian itu.
Kita lihat pula perenggan 1 Petisyen itu: “Pempetisyen adalah calon dipilihanraya yang tersebut di atas.”
Perkataan yang tersebut di atas itu merujuk kepada “pilihanraya… yang dijadualkan pada 25 April 1995.” Seperti yang saya katakan di atas, bagi bahagian itu, setelah responden kedua diisytiharkan dipilih tidak ada lagi pilihanraya “yang dijadualkan pada 25 April 1995.” Malah pempetisyen juga, setelah pencalonannya ditolak, tidak lagi boleh berkata bahawa dia adalah seorang calon untuk pilihanraya yang dijadualkan pada 25 April 1995 itu.
Demikian juga halnya dengan perenggan 2, petisyen itu.
Kesimpulannya, dalam petisyen ini pempetisyen merujuk kepada satu tarikh pilihanraya yang tidak wujud bagi bahagian itu.
Oleh itu, berdasarkan penghakiman-penghakiman yang saya sebut di atas, saya menolak petisyen ini dengan kos.

91 visits