AHMAD TAJUDIN ISHAK lwn. SURUHANJAYA PELABUHAN PULAU PINANG

AHMAD TAJUDIN ISHAK lwn. SURUHANJAYA PELABUHAN PULAU PINANG
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
SAMAN PEMULA NO. 24-951-92
18 JANUARI 1995
[1995] 4 CLJ 707

HAD MASA: Permohonan untuk deklarasi – Defendan tertakluk kepada Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 – Samada tindakan plaintif dimulakan dalam had masa 36 bulan seperti yang diperuntukkan dalam Akta tersebut.

AMANAH & PROSEDUR: Kausa tindakan – Plaintif memohon deklarasi atas alasan diskriminasi – Samada ditunjukkan “diskriminasi” melanggar mana-mana undang-undang – Samada pengataan diskriminasi cukup untuk menjadi kausa tindakan. [ English Translation of Catchwords]

LIMITATION: Application for a declaration – Defendant’s status governed by Public Authorities Protection Act 1948 – Whether action by plaintiff initiated within the 36 month period prescribed in Act.

PRACTICE & PROCEDURE: Cause of action – Plaintiff seeking declaration on ground of discrimination – Whether “discrimination” shown to have contravened any law – Whether allegation of discrimination per se could constitute a good cause of action.

Plaintif merupakan Penolong Keselamatan Tingkat Biasa Gred gaji C-11 yang ditauliahkan sebagai Konstabel Polis Bantuan. Plaintif membuat permohonan, bagi pihak dirinya dan 53 orang rakan-rakannya, untuk deklarasi bahawa defendan, yang merupakan majikan mereka telah menjalankan diskriminasi terhadap mereka dengan, diantara lain, dengan tidak mentauliahkan plaintif dengan kuasa-kuasa Sarjan Polis Bantuan berkuatkuasa pada 1 Mei 1982.
Pihak defendan mengatakan bahawa tindakan plaintif dan rakan-rakannya telah dimulakan diluar tempoh masa yang dibenarkan oleh Akta Perlindungan Pihak Berkuasa 1948 dan Akta Had Masa 1953.
Diputuskan:
[1] Perbuatan defendan mentauliahkan sebanyak 46 orang Penolong Keselamatan C-11 sebagai Sarjan Bantuan adalah satu perbuatan yang dilakukan menurut undang-undang bertulis, khususnya s. 14 Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955. Perbuatan itu juga dilakukan dalam melaksanakan atau dengan tujuan melaksanakan kewajipan awam atau kuasa awam pihak defendan. Walaupun kegagalan mentauliahkan plaintif dan rakanrakannya disifatkan sebagai satu keingkiran, ia adalah satu keingkiran dalam melaksanakan kewajipan atau kuasa awam defendan. Oleh yang demikian adalah nyata bahawa peruntukan had masa dalam s. 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 itu terpakai.
[2] Mengikut afidavit plaintif sendiri pentauliahan 46 orang Penolong Keselamatan sebagai Sarjan Bantuan itu dilakukan dalam tahun 1982 dan berkuatkuasa mulai 11 Mei 1982. Tempoh 36 bulan yang diperuntukkan dalam s. 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasaa Awam 1948 patut dikira mulai tarikh itu oleh kerana itulah tarikh perbuatan yang dicabar itu dilakukan. Prosiding ini dimulakan pada 10 November 1992 dan ia adalah jelas bahawa prosiding ini dimulakan di luar tempoh 36 bulan itu.
[3] Tindakan plaintif difailkan atas alasan diskriminasi. Tidak pula ditunjukkan “diskriminasi” itu melanggar mana-mana undang-undang. Untuk menjadikan “diskriminasi” satu kausa tindakan, ia mestilah bercanggah dengan sesuatu undang-undang, misalnya Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Pengataan “diskriminasi” sahaja adalah tidak cukup untuk menjadi kausa tindakan.
[4] Permohonan plaintif adalah untuk Mahkamah mengeluarkan perintah mengarahkan defendan mentauliahkan plaintif dan rakan-rakannya sebagai Sarjan Bantuan. Ia adalah jelas bahawa sasaran plaintif dan rakan-rakannya adalah tidak betul kerana kuasa mentauliahkan itu bukanlah satu kuasa yang dipunyai oleh defendan. Seperti yang diperuntukkan dibawah s. 47(2) Akta Polis 1967, kuasa ini terletak kepada Polis Di Raja Malaysia. Seksyen 42(2) Akta yang sama memberi kuasa kepada pihak polis untuk melantik sesiapa yang difikirkan sesuai dan plantif dan rakan-rakannya tidak mempunyai hak disisi undang-undang untuk dilantik menjadi Polis Bantuan berpangkat Sarjan.
[Permohonan plaintif ditolak dengan kos].

Case(s) referred to:
Government of Malaysia v. Lee Hock Ning [1973] 1 LNS 36 (dibezakan)
Sayah bin Muhammad & Ors. v. Government of Malaysia [1973] 1 LNS 133 (dibezakan)
Akta Had Masa 1953
Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 (Akta 198), s. 2
Akta Polis 1967, ss. 42(2), 47(1), (2), 49A
Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 (Akta 140), ss. 14, 20
Sex Discrimination Act (England)
Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 8
Race Relation Act (England)

Counsel:
Bagi pihak defendan – Khoo Kuan Jin; T/n. Lim Huck Aik & Co.
Bagi pihak plaintif – K.L. Ong; T/n. Ghazi & Lim
JUDGMENT
Abdul Hamid bin Mohamed H:
Permohonan ini dibuat oleh plaintif bagi pihak dirinya dan 53 orang rakan-rakannya. Mereka adalah Penolong Keselamatan Tingkat Biasa Gred Gaji C11 yang ditauliahkan sebagai Konstabel Polis Bantuan. Defendan ialah Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), majikan mereka.
Ringkasnya, plaintif dan rakan-rakannya tidak puashati kerana mereka cuma ditauliahkan sebagai Konstabel Polis Bantuan, dan tidak sebagai Sarjan Polis Bantuan. Alasan-alasan yang mereka beri ialah, pertama, pangkat konstabel itu tidak setanding dengan jawatan mereka dan tidak selaras dengan pangkat anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Lembaga Pelabuhan Kelang yang ditauliahkan sebagai Sarjan. Mengikut afidavit plaintif dalam tahun 1981, defendan telah mewujudkan jawatan baru ialah Penolong Keselamatan Muda dengan Gred gaji D19-1. Mereka itu juga ditauliahkan sebagai konstabel. Kemudian, mengikut Skim Penyelarasan Baru Jabatan Perkhidmatan Awam yang berkuatkuasa pada 1 November 1982, kumpulan baru ini dipindahkan kepada Skim Pengawal Keselamatan Tingkat Biasa Gred Gaji D11 dan kekal dengan kuasa Konstabel. Kumpulan baru itu menjalankan tugas yang sama dengan kumpulan plaintif walaupun gaji kumpulan plaintif lebih tinggi. Dalam tahun 1982, 46 daripada 171 anggota Pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa, Gred C11 (Kumpulan plaintif) ditauliahkan sebagai Sarjan. Mereka ini ditugaskan sebagai penyelia kepada plaintif dan rakan-rakannya. Plaintif dan rakanrakannya mengatakan bahawa ini adalah satu tindakan yang mendiskriminasikan mereka. Plaintif dan rakan-rakannya membantah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam. Nampaknya, asas bantahan itu ialah kerana kedudukan mereka itu telah menghalang peluang kenaikan pangkat mereka. Melalui suratnya bertarikh 8 Oktober 1983, Jabatan Perkhidmatan Awam memberitahu pihak plaintif bahawa Jabatan itu telah mengarahkan defendan “supaya mematuhi keseluruhan syarat-syarat kenaikan pangkat Pembantu Keselamatan Tingkatan Biasa kepada Pembantu Keselamatan Tingkatan Kanan sebagaimana yang dinyatakan di dalam skim perkhidmatan Pembantu Keselamatan yang diluluskan oleh Jabatan” itu.
Sayugia diambil perhatian bahawa Jabatan itu tidak mengatakan bahawa plaintif dan rakanrakannya hendaklah ditauliahkan sebagai Sarjan.
Melalui suratnya bertarikh 29 Mei 1986 kepada defendan, Jabatan Perkhidmatan Awam, antara lain, mengatakan:
2. Berhubung dengan masalah pangkat-pangkat polis dan pembahagian tugas yang berbeza di antara penyandang Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa C11 (Sarjan) dengan C11 (Konstabel) dan di antara Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa C11 (Konstabel) dengan Pembantu Keselamatan Muda D22 (Konstabel) ianya adalah merupakan masalah pihak pengurusan Suruhanjaya.
Dari segi skim perkhidmatan penyandang-penyandang yang berada di atas skel gaji sama hendaklah diberi tugas-tugas yang sama selaras dengan prinsip ‘rate for the job’ (kadar upah mengikut kerja). Oleh itu suka Jabatan ini mencadangkan supaya pihak tuan merundingkan perkara ini dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi yang berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian.
Pada 16 September 1987 defendan mengeluarkan satu kenyataan seperti berikut:
2. Sukacita dimaklumkan bahawa dari segi Skim Perkhidmatan yang terpakai sekarang, pihak Pengurusan menganggap tanpa prasangka bahawa kedudukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa berpangkat Sarjan dan Konstabel adalah sama antara satu sama lain di atas Kod Gaji Tingkatan Biasa C11 dari segi ciri-ciri yang dibekalkan dalam Skim Perkhidmatan seperti kenaikan pangkat, kedudukan gaji dan sebagainya.
3. Namun demikian, seperti yang tuan sedia maklum, perbezaan memang terwujud dari segi Kuasa Polis Bantuan yang ditauliahkan oleh Pihak Berkuasa Polis bagi melicinkan pentadbiran dan operasi pasukan Polis Bantuan SPPP. Penolong Keselamatan yang ditauliahkan dengan Kuasa Sarjan Bantuan adalah bertugas dalam pangkat tersebut.
Mengikut plaintif, akibat daripada tindakan defendan itu, mereka telah mengalami penyekatan kemajuan kerjaya dan diskriminasi seperti berikut:
(a) Menjalankan tugas hakiki yang sama setaraf dengan penyandang-penyandang jawatan Pengawal Keselamatan Tingkatan Biasa, Gred Gaji D11.
(b) Penyekatan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan iaitu daripada Tingkatan Biasa, Gred Gaji C11 ke Tingkatan Kanan Gred Gaji C3 kerana hanya ditawarkan kepada anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa yang bertauliah kuasa Sarjan Polis Bantuan sahaja walaupun plaintif dan anggota-anggota Penolong Keselamatan lain di Skel Tingkatan Biasa, Gred Gaji C11 yang sama.
(c) Diberi taraf jawatan ‘khas untuk penyandang’ oleh defendan yang sekaligus menyekat peluang-peluang kenaikan pangkat.
(d) Tugas-tugas harian disediakan oleh anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa, Gred Gaji C11 bertauliah kuasa Sarjan Polis Bantuan, walaupun (sic) mereka di dalam Skel Gaji yang sama.
(e) Penilaian mutukerja plaintif dan anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa, Gred Gaji C11 yang lain dilakukan oleh anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa, Gred Gaji C11 bertauliah kuasa Sarjan Bantuan, walaupun mereka di dalam Skel Gaji yang sama.
(f) Dikelaskan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan yang sama setaraf dengan penyandang-penyandang jawatan Pengawal Keselamatan Tingkat Biasa, Gred Gaji D11
yang merupakan Tingkatan Gred Gaji dan Skim Perkhidmatan yang lebih rendah.
(g) Diberi Elaun Bantuan Sewa Rumah dengan bayaran yang sama dengan penyandangpenyandang jawatan Pengawal Keselamatan Tingkatan Biasa Gred Gaji D11, sementara anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa, Gred Gaji C11 bertauliah kuasa Sarjan Polis Bantuan diberi Elaun Bantuan Sewa Rumah di kadar Tingkatan Gred Gaji C11.
Mereka juga mengatakan bahawa mereka mengalami kerugian kewangan kerana tidak mendapat elaun khas sebanyak RM40 mulai 1 Mei 1982 dan perbezaan elaun sewa rumah sebanyak RM53 sebulan mulai 1 September 1991.
Oleh itu plaintif dan rakan-rakannya memohon perintah-perintah seperti berikut:
(a) Satu deklarasi bahawa defendan telah menjalankan diskriminasi di dalam perkhidmatan Penolong Keselamatan Gred Gaji C11 dan terhadap plaintif-plaintif selaku Penolong Keselamatan Gred Gaji C11 bertauliah kuasa konstabel.
(b) Satu deklarasi bahawa plaintif-plaintif adalah berhak ditauliahkan dengan kuasa-kuasa Sarjan Polis Bantuan berkuatkuasa pada 1 Mei 1982.
(c) Perintah berbangkit memerintahkan defendan memberhentikan diskriminasi di dalam perkhidmatan Penolong Keselamatan Gred Gaji C11 dan bahawa semua plaintif-plaintif yang merupakan anggota pasukan Penolong Keselamatan Gred Gaji C11, disama tarafkan dengan kuasa Sarjan Polis Bantuan dan berhak menikmati hak-hak yang telah diberikan kepada anggota-anggota lain Penolong Keselamatan Gred GajI C11 yang telahpun ditauliahkan dengan kuasa Sarjan Polis Bantuan.
(d) Perintah berbangkit memerintahkan defendan membayar plaintif-plaintif elaun khas yang dibayar oleh defendan kepada anggota-anggota Pasukan Penolong Keselamatan Gred Gaji C11 bertauliah kuasa Sarjan Polis Bantuan yang tidak diberikan kepada plaintif-plaintif yang merupakan pasukan Penolong Keselamatan Tingkatan Biasa Gred Gaji C11 bertauliah Konstabel Polis Bantuan sebanyak RM40 sebulan seorang berkuatkuasa daripada 1 Mei 1982 atau daripada satu tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah Terhormat.
(e) Perintah berbangkit memerintahkan defendan membayar plaintif-plaintif perbezaan sebanyak RM53 sebulan daripada 1 September 1991 (Perbezaan elaun bantuan sewa rumah sebanyak RM138 sebulan yang diberikan kepada anggota pasukan Penolong Keselamatan Gred Gaji C11 bertauliah kuasa Sarjan Polis Bantuan berbanding dengan elaun bantuan sewa rumah sebanyak RM85 sebulan yang diberikan kepada plaintifplaintif.
(f) Kos
(g) Faedah
(h) Apa-apa perintah atau relif yang dianggap patut dan suaimanfaat oleh Mahkamah Terhormat ini.
Pengurus kakitangan defendan memfail afidavit balasan – Lampiran 11. Beliau mengatakan bahawa dalam tahun 1969 Kementerian Pengangkutan telah meminta defendan menyusun semula pasukan keselamatannya. Diringkaskan cerita, melalui surat bertarikh 30 Mei 1970,
Kementerian Pengangkutan telah bersetuju dengan skim (C) yang terkandung di halaman 4 Memorandum bertarikh 16 Mac 1970, Ekshibit 2, Lampiran 11. Kementerian itu memberi alasan bahawa keadaan keselamatan di Pelabuhan Pulau Pinang bukanlah sebegitu terancam seperti di Pelabuhan Kelang dan kos perbelanjaan dapat dijimatkan.
Melalui suratnya bertarikh 19 Jun 1979 Kementerian Pengangkutan meluluskan perubahan Pasukan Keselamatan SPPP mengikut skim perkhidmatan yang dilampirkan sebagai ekshibit PPC 4, Lampiran 11. Ia bolehlah diringkaskan seperti berikut:
(a) Bahagian III – Penolong Keselamatan (Pelatih) dengan gaji RM125 sebulan dan selepas latihan dengan gaji mula sebanyak RM140. Kelayakan ialah Sijil Rendah Pelajaran.
(b) Bahagian III – Penolong Pegawai Keselamatan (Pelatih) dengan gaji RM156 dan selepas tamat latihan dengan gaji mula sebanyak RM230. Kelayakan yang diperlukan ialah Sijil Pelajaran Malaysia atau Overseas School Certificate dengan kelulusan Bahasa Melayu.
(c) Bahagian II – Pegawai Keselamatan dengan gaji mula sebanyak RM350. Kelayakan ialah Sijil Tinggi Persekolahan dan juga mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia atau Overseas School Certificate dengan kelulusan Bahasa Melayu. Penolong Pegawai Keselamatan yang memenuhi syarat-syarat tertentu juga layak memohon.
(d) Pegawai Keselamatan Kanan dengan gaji mula sebanyak RM642. Ini adalah jawatan kenaikan pangkat bagi Pegawai-Pegawai Keselamatan.
Perlu disebut bahawa organisasi ini berbeza dengan organisasi di Pelabuhan Kelang.
Pada 6 September 1969, satu mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan bahawa Pasukan Keselamatan SPPP seharusnya ditauliahkan dengan kuasa polis bantuan (pangkatnya tidak disebut).
Kemudiannya pihak Polis Di Raja Malaysia memutuskan bahawa kuasa Polis Bantuan yang seharusnya ditauliahkan kepada Penolong Keselamatan SPPP adalah kuasa Konstabel Bantuan dan bukan Sarjan Bantuan seperti di Pelabuhan Kelang. Ini adalah kerana kuasa Sarjan Bantuan terlalu tinggi dan tidak mencerminkan kedudukan mereka yang paling bawah dalam struktur Pegawai-Pegawai Keselamatan SPPP. Lagi pula kelayakan mereka ialah Sijil Rendah Pelajaran manakala di Pelabuhan Kelang Sijil Pelajaran Malaysia. Catitan mesyuarat yang diadakan pada 14 Jun 1971 di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur adalah berkenaan – Ekshibit PPC6, Lampiran 11.
Mengikut afidavit Pengurus Kakitangan defendan itu lagi, di antara tahun 1971 hingga 1975 plaintif dan rakan-rakannya ditauliahkan sebagai Polis Bantuan berpangkat Konstabel. Pentauliahan itu diterima dan diperakui oleh mereka. Perakuan Jawatan mereka masing-masing sebagai konstabel dikemukakan sebagai Ekshibit PPC7. Surat perlantikan plaintif dan rakan-rakannya sebagai konstabel kehormat juga dikemukakan – Ekshibit PPC8. Perlu diambil perhatian bahawa surat perlantikan itu ditandatangani oleh Ketua Polis Pulau Pinang dan ia dibuat di bawah s. 47(1) & (2) Akta Polis 1967 – Lihat Ekshibit PPC8.
Pengurus kakitangan defendan itu juga mengatakan bahawa plaintif dan rakan-rakannya tidak pernah diberi pangkat Sarjan. Mereka menganggap diri mereka sebagai Sarjan kerana corak pakaian seragam mereka yang pada masa itu serupa dengan corak pakaian seragam yang digunakan di Pelabuhan Kelang yang mempunyai apaulette berpalang tiga. Apabila plaintif hendak mengubah corak pakaian mereka, plaintif dan rakan-rakannya membantah dan mendesak supaya apaulette berpalang tiga itu dikekalkan.
Pengurus kakitangan defendan itu juga mengatakan bahawa selepas latihan plaintif dan rakan-rakannya tidak diberi pangkat Sarjan kerana pada masa itu jawatan yang berpangkatpangkat tidak wujud dalam struktur pemerintahan keselamatan SPPP.
Mengikut beliau lagi, sebelum tahun 1975, anggota-anggota Penolong Keselamatan di pelabuhan-pelabuhan di Malaysia tertakluk kepada skim gaji masing-masing. Tetapi, dalam tahun 1975, berikutan pelaksanaan Laporan Jawatankuasa Gaji Harun semua anggota yang dilantik sebagai Penolong Keselamatan di pelabuhan-pelabuhan di Malaysia ditaklukkan di bawah kod gaji C16-7 dengan tidak mengambilkira pangkat yang disandang. Pada masa itu Penolong Keselamatan Lembaga Pelabuhan Kelang berpangkat Sarjan Bantuan manakala di SPPP berpangkat Konstabel Bantuan.
Dalam tahun 1977 berikutan pelaksanaan Jawatankuasa Gaji Kabinet 1977 gaji anggotaanggota Penolong Keselamatan diubah kepada gred gaji C16. Kemudian, melalui surat bertarikh 6 Mei 1977, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan bahawa gred C16 dibatalkan dan diubah kepada C11. Mengikutnya lagi pada masa itu kesemua Penolong Keselamatan C11 di SPPP berpangkat Konstabel Bantuan.
Seterusnya beliau mengatakan bahawa jawatan Penolong Keselamatan Muda telah diwujudkan di Lembaga Pelabuhan Kelang dengan tujuan untuk mengambil khidmat anggota-anggota yang berkuasa Konstabel dan berkelayakan Sijil Rendah Pelajaran kerana pada masa itu anggota-anggota Penolong Keselamatan di sana berpangkat Sarjan Bantuan dan berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia. Jawatan Penolong Keselamatan Muda diluluskan oleh JPA dan kemudiannya diperkekalkan dalam Skim Penyelarasan JPA. Oleh itu apabila defendan hendak menambah anggota-anggota yang berpangkat Konstabel, defendan terpaksa mengikuti skim itu. Anggota-anggota itu dipanggil Penolong Keselamatan Muda di bawah kod gaji D11 dengan kelayakan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).
Pada tahun 1981, atas keperluan untuk mewujudkan satu struktur pemerintahan (“chain of command”) yang lebih teratur, pihak defendan telah memohon kepada Ketua Polis Negara untuk mentauliahkan kuasa Polis Bantuan berpangkat-pangkat kepada Penolong Keselamatan SPPP. Ketua Polis Negara melalui surat bertarikh 13 Februari 1981 meluluskan seperti berikut:
a) 1 anggota Penolong Keselamatan Tingkatan Tinggi C1 supaya ditauliahkan dengan kuasa berpangkat Sub-Inspektor.
b) 2 anggota Penolong Keselamatan Tingkatan Khas C3 supaya ditauliahkan dengan kuasa berpangkat Sarjan Mejar.
c) 43 Penolong Keselamatan Biasa C11 supaya ditauliahkan dengan kuasa berpangkat Sarjan.
Sebelum mentauliahkan Penolong Keselamatan sebagai Sarjan, defendan telah membuat tawaran kepada plaintif dan rakan-rakannya untuk memohon supaya memenuhi 46 Jawatan Sarjan Bantuan itu. Salinan Surat Pekeliling tersebut dikemukakan – Ekshibit PPC12. Pengakuan penerimaan mereka dikemukakan sebagai Ekshibit PPC13. Namun demikian plaintif dan rakan-rakannya tidak membuat apa-apa permohonan kerana mereka mahu semua anggota Penolong Keselamatan C11 ditauliahkan sebagai Sarjan Bantuan.
Pengurus kakitangan defendan itu juga mengatakan bahawa plaintif dan rakan-rakannya sebenarnya ditawarkan untuk memohon menduduki Peperiksaan Perkhidmatan Palang Kedua, malah mereka telah menduduki peperiksaan itu. Surat-surat permohonan mereka itu dikemukakan sebagai Ekshibit PPC14. Beliau juga mengatakan bahawa walau pun plaintif dan rakan-rakannya lulus peperiksaan itu, itu tidak bererti bahawa secara automatic kesemua mereka boleh ditauliahkan sebagai Sarjan, kerana pentauliahan itu adalah tertakluk kepada bilangan pangkat Sarjan yang kosong.
Pengurus kakitangan defendan itu juga menjelaskan bahawa pemberian Jawatan “khas untuk penyandang” adalah untuk membezakan plaintif dan rakan-rakannya (yang berkuasa Konstabel Bantuan C11) daripada Penolong Keselamatan Muda. Patut diambil perhatian bahawa ini dilakukan untuk kepentingan plaintif dan rakan-rakannya. Oleh itu beliau mengatakan bahawa pemberian Jawatan “khas untuk penyandang” itu tidak menjejaskan peluang kenaikan pangkat plaintif dan rakan-rakannya. Malah mereka telah, dalam tahun 1990, ditawarkan untuk memohon supaya dipertimbangkan untuk ditauliahkan sebagai Sarjan Bantuan. Notis itu dikemukakan sebagai Ekshibit PPC15.
Berkenaan Elaun Bantuan Sewa Rumah, Pengurus Kakitangan defendan itu mengatakan bahawa itu tertakluk kepada pangkat Penolong Keselamatan berkenaan dan kepada Pekeliling Perkhidmatan No. 10/80. Malah plaintif dan rakan-rakannya dibekalkan dengan talipon di mana defendan membayar sewa talipon itu.
Berkenaan dengan Elaun Khas, Pengurus Kakitangan defendan itu mengatakan bahawa ia diberikan kepada Sarjan Bantuan C11 kerana sifat, beban dan tanggungjawab mereka. Akhir sekali pihak defendan mengatakan bahawa tindakan plaintif dan rakan-rakannya ini telah dimulakan di luar tempoh masa yang dibenarkan oleh Akta Perlindungan Pihak Berkuasa 1948 dan Akta Had Masa 1953.
Plaintif memfail afidavit balasan – Lampiran 12. Tetapi pada pandangan saya tidaklah perlu saya memperturunkannya kerana kebanyakan apa yang dikatakan itu merupakan hujah atau telah disebut dalam afidavitnya yang lebih awal. Walau bagaimanapun di mana berkenaan saya akan menyebutnya dalam perbincangan saya selepas ini.
Mula-mula eloklah saya bincangkan soal sama ada tindakan plaintif ini dibuat di luar had masa. Seksyen 2, Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 (Akta 198), memperuntukkan:
2. Jika, selepas mula berkuatkuasa Akta ini, apa-apa guaman, tindakan, pendakwaan atau prosiding lain dimulakan di Persekutuan terhadap mana-mana orang kerana apa-apa perbuatan yang dilakukan menurut atau dalam melaksanakan atau dengan tujuan melaksanakan mana-mana undang-undang bertulis atau apa-apa kewajipan awam atau kuasa awam atau berkenaan dengan apa-apa keabaian atau keingkaran yang dikatakan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang bertulis, kewajipan atau kuasa tersebut, maka peruntukan-peruntukan berikut hendaklah berkuatkuasa:
(a) guaman, tindakan, pendakwaan atau prosiding itu tidak boleh diambil atau dimulakan melainkan jika ianya dimulakan dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dilakukan itu atau, berkenaan dengan kecederaan atau kerosakan yang berterusan, dalam tempoh tiga puluh enam bulan selepas sahaja terhentinya kecederaan atau kerosakan itu;
Seksyen 20, Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 (Akta 140)memperuntukkan:
20. The Public Authorities Protection Ordinance, 1948, shall apply to any action, suit, prosecution or proceeding against the Commission, or against any member, officer, servant
or agent of the Commission in respect of any act, neglect or default done or committed by him in that capacity.
Soal pertama ialah samada perbuatan yang dilakukan itu dilakukan menurut atau dalam melaksanakan atau dengan tujuan melaksanakan mana-mana undang-undang bertulis atau apa-apa kewajipan awam atau kuasa awam atau berkenaan dengan apa-apa keabaian atau keingkaran yang dikatakan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang bertulis, kewajipan atau kuasa tersebut.
Sehubungan dengan ini s. 14 Akta 140 memperuntukkan:
14. The Commission may from time to time appoint and employ, at such remuneration or on such terms and conditions as it may think fit, such officers and servants as may be necessary, in the opinion of the Commission, for the purposes of this Act:
Saya bersetuju dengan hujah Peguam defendan bahawa perbuatan mentauliahkan sebanyak 46 orang Penolong Keselamatan C11 sebagai Sarjan Bantuan itu adalah satu perbuatan yang dilakukan menurut undang-undang bertulis, khususnya s. 14 Akta 140. Saya juga berpendapat bahawa ia juga dilakukan dalam melaksanakan atau dengan tujuan melaksanakan kewajipan awam atau kuasa awam SPPP. Malah jika kegagalan mentauliahkan plaintif dan rakan-rakannya disifatkan sebagai satu keingkaran pun, ia adalah satu keingkaran dalam melaksanakan kewajipan atau kuasa awam SPPP. Jadi, dilihat dari sudut mana pun, peruntukan s. 2 Akta 198 itu terpakai.
Kes-kes Government of Malaysia v. Lee Hock Ning [1973] 1 LNS 36dan Sayah bin Muhammad & Ors. v. Government of Malaysia [1973] 1 LNS 133boleh dibezakan. Pertama, kes-kes itu berkenaan kontrak. Kedua, perbuatan yang dicabar dalam kes ini dilakukan berasas kepada peruntukan s. 14 Akta 140 itu sendiri.
Soalan seterusnya ialah sama ada tindakan ini dimulakan selepas had masa 36 bulan itu. Mengikut afidavit plaintif sendiri (Lampiran 2 perenggan 10) pentauliahan 46 orang Penolong Keselamatan sebagai Sarjan Bantuan itu dilakukan dalam tahun 1982 dan berkuatkuasa mulai 11 Mei 1982. Pada pandangan saya itulah tarikh perbuatan yang dicabar itu dilakukan. Jadi tempoh 36 bulan itu patut dikira mulai tarikh itu. Prosiding ini dimulakan pada 10 November 1992, iaitu 10 tahun selepas itu. Jadi, adalah jelas bahawa prosiding ini dimulakan di luar tempoh 36 bulan itu.
Dalam afidavit balasan plaintif, plaintif mengatakan bahawa defendan membuat keputusan memberi elaun khas kepada mereka-mereka yang ditauliahkan sebagai Sarjan Bantuan melalui surat bertarikh 11 Ogos 1990 dan plaintif cuma mengetahui hal itu melalui surat defendan bertarikh 5 September 1990 (di sini saya ambil tarikh yang lebih lewat yang lebih memihak kepada plaintif).
Pihak plaintif nampaknya seolah-olah menghujahkan bahawa tarikh itulah yang patut diambilkira.
Tetapi, saya berpendapat bahawa itu tarikh rundingan mengenai elaun khas itu dihentikan. Sedangkan perkara pokok ialah pentauliahan 46 orang Penolong Keselamatan itu sebagai Sarjan dan keengganan defendan mentauliahkan plaintif dan rakan-rakannya sebagai Sarjan. Perbuatan dan keengganan itu dilakukan dalam tahun 1982. Lagi pula soal pemberian elaun itu adalah perkara sampingan yang berbangkit daripada pentauliahan 46 orang itu (dan tidak plaintif dan rakan-rakannya) dalam tahun 1982. Jadi, dalam, penghakiman saya, tahun 1982 adalah relevan untuk mengira tempoh had masa itu. Tindakan ini nyata di luar tempoh 36 bulan itu. Atas alasan ini sahaja tindakan plaintif ini patut ditolak.
Tetapi, kiranya saya khilaf berkenaan alasan ini, eloklah saya bincang dan putuskan alasanalasan lain juga.
Pokok pangkal rasa tidak puashati plaintif dan rakan-rakannya berbangkit daripada keengganan defendan mentauliahkan kesemua mereka sebagai Sarjan Bantuan. Mereka memohon Mahkamah ini mengeluarkan perintah deklarasi bahawa defendan telah menjalankan diskriminasi terhadap mereka dan bahawa mereka berhak ditauliahkan sebagai Sarjan Bantuan. Untuk itu mereka membuat tindakan ini terhadap defendan.
Apakah kuasa tindakan plaintif dan rakan-rakannya yang sebenar? Nampaknya cuma “diskriminasi”. Tidak pula ditunjukkan “diskriminasi” itu melanggar mana-mana undangundang atau pengataan “diskriminasi” sahaja cukup untuk menjadi satu kausa tindakan. Saya bersetuju dengan hujah defendan bahawa untuk menjadikan “diskriminasi” satu kausa tindakan, mestilah bercanggah dengan sesuatu undang-undang seperti di England, Sex Discrimination Act atau Race Relation Act atau di Malaysia mungkin Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Pengataan “diskriminasi” sahaja adalah tidak cukup untuk menjadi satu kausa tindakan.
Atas alasan ini pun, saman ini patut ditolak.
Selain dari itu, plaintif dan rakan-rakannya menyaman defendan kerana tidak mentauliahkan mereka sebagai Sarjan Bantuan. Tetapi kuasa mentauliahkan itu bukanlah satu kuasa yang dipunyai oleh defendan. Kuasa itu terletak kepada Polis Di Raja Malaysia. Ini diperuntukkan di bawah s. 47(2) Akta Polis 1967:
47. (1)…
(2) Seorang Pegawai Memerintah atau mana-mana pegawai polis yang diberikuasa olehnya bagi maksud itu, dengan atau tanpa perjanjian bertulis, boleh melantik atau menaikkan pangkat mana-mana orang untuk berkhidmat dalam Polis Bantuan sebagai pegawai rendah polis bantuan dengan pangkat kehormat sub-inspektor, sarjan mejar, sarjan atau koperal atau sebagai seorang konstabel polis bantuan dan boleh menetapkan kawasan di mana pegawai itu akan berkhidmat.
Adalah jelas bahawa sasaran plaintif dan rakan-rakannya tidak betul. Bagaimana Mahkamah ini hendak mengeluarkan perintah mengarahkan defendan melakukan sesuatu yang defendan sendiri tidak ada kuasa melakukannya?
Selain dari itu plaintif dan rakan-rakannya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk dilantik menjadi Polis Bantuan berpangkat Sarjan. Seksyen 42(2) Akta Polis 1967 itu cuma memberi kuasa kepada pihak polis untuk melantik sesiapa yang difikirkan sesuai. Hak untuk melantik diberi kepada pihak polis. Hak untuk dilantik tidak diberi kepada sesiapa.
Berbalik kepada fakta kes ini, plaintif dan rakan-rakannya diberi peluang untuk memohon. Mereka enggan memohon. Mereka mahu kesemua mereka dilantik sebagai Sarjan Bantuan secara automatik. Mereka nampaknya terpengaruh denganpakaian seragam yang diberi kepada mereka dan kedudukan Penolong Keselamatan di Pelabuhan Kelang. Tetapi mereka tidak patut lupa bahawa kelayakan mereka adalah lebih rendah dan bahawa dari mulanya mereka ditauliahkan sebagai Polis Bantuan berpangkat Konstabel.
Berkenaan dengan elaun khas, adalah jelas bahawa elaun itu dibayar kepada mereka yang berpangkat Sarjan itu kerana kedudukan mereka sebagai Sarjan. Elaun Khas itu bukanlah sesuatu yang ditetapkan dalam Skim Gaji Jabatan Perkhidmatan Awam atau ditetapkan oleh Menteri. Seksyen 49A Akta Polis 1967 memperuntukkan:
46A. Seseorang pegawai polis bantuan hendaklah berkhidmat secara sukarela dan tidak berhak menerima apa-apa saraan bagi perkhidmatan tersebut kecuali apa-apa elaun yang ditetapkan oleh Menteri dari semasa ke semasa berkenaan dengan tugas-tugas tertentu.
Jadi, oleh sebab mereka bukan berpangkat Sarjan dan tidak mempunyai hak untuk ditauliahkan sebagai Sarjan tidaklah betul jika dikatakan mereka telah didiskriminasikan oleh defendan.
Berkenaan dengan elaun Bantuan Sewa Rumah, elaun itu telah ditetapkan oleh Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10 tahun 1980.
Atas alasan-alasan ini saya menolak permohonan ini dengan kos.

232 visits