MOKHTAR ABDUL RAZAK & LAGI lwn. SHAMSLAH BT. SAMAN (MENDAKWA SEBAGAI BALU DAN BENEFISIARI KEPADA ABDUL RAZAK SEMAWI, SI MATI)

MOKHTAR ABDUL RAZAK & LAGI lwn. SHAMSLAH BT. SAMAN (MENDAKWA SEBAGAI BALU DAN BENEFISIARI KEPADA ABDUL RAZAK SEMAWI, SI MATI)
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
RAYUAN SIVIL NO. 12-31-93
28 NOVEMBER 1994
[1995] 2 CLJ 789

GANTIRUGI: Tuntutan gantirugi – Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 – Kehilangan saraan hidup – Balu si mati dibayar pampasan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 – Defendan bukan Majikan atau rakan sekerja si mati – Samada tuntutan di bawah s. 7 boleh dibuat dengan sahnya – Samada tuntutan dihalang oleh ss. 31 dan 42 Akta 1969.

INTERPRETASI: Seksyen 31 & 42 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 – Maksud – Skop pemakaian – Samada perlu dibaca bersama-sama.

Responden dalam kes ini adalah balu kepada simati. Si mati telah meninggal dunia akibat satu kemalangan jalanraya di antara motosikal yang ditunggangnya dan bas yang dipandu oleh perayu pertama sebagai agen kepada perayu kedua. Berikutan kemalangan tersebut responden menuntut gantirugi khas sejumlah RM2000 dari kedua-dua perayu untuk perbelanjaan kematian dan gantirugi dibawah s. 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956. Fakta kes menunjukkan bahawa ekoran kemalangan di atas, responden telah menerima beberapa faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta SOCSO) dan persoalan yang timbul ialah samada responden juga berhak untuk menuntut gantirugi dibawah s. 7 Akta 1956. Hakim Sesyen menjawab persoalan ini secara positif dan kedua-dua perayu merayu terhadap keputusan tersebut.
Diputuskan:
[1]Seksyen 42 Akta SOCSO hendaklah dibaca bersekali dan bersama-sama s. 31 Akta tersebut. Apa yang dihalang oleh s. 31 ialah bagi seseorang “injured person” menuntut terhadap majikannya sendiri. Di samping itu dia juga dihalang menuntut terhadap “any other person who is the servant of the employer”, yang bererti rakan sekerjanya yang mempunyai majikan yang sama dengannya. Jadi adalah jelas bahawa apa yang dilarang ialah menuntut terhadap rakan sekerja atau majikan pekerja itu sendiri, bukan orang lain atau majikan orang lain.
[2] Dalam kes ini plaintif bukan menuntut terhadap majikan atau rakan sekerja si mati, tetapi terhadap pemandu bas yang dikatakan melanggar simati dan majikan pemandu tersebut. Mereka itu adalah orang asing yang tidak ada kena mengena dengan penggajian si mati. Oleh hal yang demikian plaintif adalah tidak dihalang oleh Akta SOCSO untuk meneruskan tuntutannya di bawah s. 7 Akta 1956.
[Rayuan ditolak].

Case(s) referred to:
Che Noh Bin Yaacob v. Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. [1981] 1 LNS 135;[1982] 1 MLJ 80 MP (dibezakan)
Tan Peng Loh v. Lee Aik Fong & Anor. [1981] CLJ (dibezakan)
Koay Tuan & Anor. v. Eng Chong How & Anor. [1988] 1 CLJ 673 (tidak diikuti)
Other source(s) referred to:
Akta Undang-Undang Sivil 1956, s. 7
Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, ss. 2(11), 31, 42

Counsel:
Bagi pihak perayu/defendan – P. Navaratnam; T/n. Vello & Assoc.
Bagi pihak responden/plaintif – Baldev Singh Bhar; T/n. Baldev Bhar

JUDGMENT
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Responden/plaintif adalah balu kepada si mati. Pada 2 April 1992, semasa si mati sedang menunggang motosikalnya dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya, si mati terlibat dalam satu kemalangan dengan bas yang dipandu oleh perayu/defendan pertama sebagai agen atau pengkhidmat perayu/defendan kedua yang mengakibatkan kematian kepada si mati. Responden/plaintif mengatakan bahawa kemalangan itu adalah disebabkan atau disumbangkan oleh kelalaian perayu/defendan pertama. Responden/plaintif menuntut gantirugi khas, iaitu perbelanjaan kematian sebanyak RM2,000 dan gantirugi di bawah s. 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Kedua belah pihak mengakui bahawa responden/plaintif berhak mendapat faedah-faedah yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta SOSCO) dan telah menerima faedah-faedah itu.
Pada hari kes itu ditetapkan untuk dibicarakan, atas permohonan Peguam-Peguam kedua belah pihak, Hakim Mahkamah Sesyen mendengar hujah undang-undang sama ada responden/plaintif, yang menerima faedah di bawah Akta SOCSO itu berhak juga menerima gantirugi di bawah s. 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Hakim Mahkamah Sesyen itu memutuskan bahawa responden/plaintif tidak dihalang oleh s. 42 Akta SOCSO untuk membuat tuntutan di bawah Akta Undang-Undang Sivil 1956 ini. Perayu/defendan merayu. Di hadapan saya pun hanya persoalan ini yang dihujahkan dan perlu saya putuskan.
Untuk menjawab soalan ini eloklah saya bincang undang-undang berkenaan dan penghakiman-penghakiman Mahkamah-Mahkamah di Malaysia, mengikut susunan mana yang lebih awal. Seksyen 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956membolehkan tuntutan ini dibuat.
Dalam tahun 1969, Akta SOCSO dibuat. Seksyen 42 Akta itu memperuntukkan:
42. Bar of benefits under other written laws.
When a person is entitled to any of the benefits provided by this Act, he shall not be entitled to receive any similar benefit admissible under the provisions of any other written law.
Peruntukan s. 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 dipinda dalam tahun 1975. Pindaan berkenaan ialah proviso (1)(1d) kepada s. 7(3) (selepas ini disebut proviso (i)(d) sahaja):
Provided that:
(i) In assessing the damages there shall not be taken into account
(a)..
(b)…
(c)…
(d) any sum which has been or will or may be paid under any written law relating to the payment of any benefit or compensation whatsoever, in respect of the death;
Terdapat beberapa penghakiman Mahkamah-Mahkamah di Malaysia yang berkaitan. Pertama kes Che Noh Bin Yacob v. Seng Hin Rubber (M) Sdn. Bhd. [1982] 1 MLJ 80 MP. Dalam kes ini Mahkamah Persekutuan memutuskan:
Held, dismissing the appeal, it is clear that once a person is an insured person under the Act (Akta SOCSO – ditambah), s. 31 and s. 42 of the Act constitute a complete bar to any (tekanan ditambah) under the common law.
Patut diambil perhatian bahawa dalam kes ini kemalangan berlaku pada 23 April 1975, iaitu sebelum proviso (i)(d) dimasukkan.
Kes kedua ialah kes Tan Peng Loh v. Lee Aik Fong Anor. [1981] CLJ 96. Kes ini memutuskan, antara lain:
Held: (1) by virtue of ss. 31 and 42 of the Employees Social Security Act 1969, an insured person is precluded from recovering damages from the employer (tekanan ditambah) in respect of an employment injury sustained by him as an employee under the common law or any other law for the time being in force;
(2) ln the absence of express exclusion of claims against fellow employees in the Employees Social Security Act, 1969, the right to recover damages at common law from the 1st respondent, a fellow employee, remains;
Malangnya dalam penghakiman itu tarikh kemalangan berlaku tidak disebut. Tetapi memandangkan tidak ada rujukan dibuat langsung kepada proviso (i)(d) yang berkuatkuasa mulai 30 Mei 1975, rasanya adalah selamat dikatakan bahawa kemalangan itu juga berlaku sebelum pindaan itu dibuat, seperti dalam kes Che Noh.
Setakat ini bolehlah disimpulkan bahawa seorang pekerja yang tertakluk kepada Akta SOCSO dihalang daripada membuat tuntutan di bawah Akta Undang-Undang Sivil 1956 terhadap majikannya. Tetapi, dia boleh menuntut terhadap rakan sekerjanya.
Selepas itu, s. 31 Akta SOCSO dipinda. Peruntukan yang dipinda itu berbunyi
31. Liability of employer and his servant.
An insured person or his dependants shall not be entitled to receive or recover from the employer of the insured person, or from any other person who is the servant of the employer, any compensation or damages under any other law for the time being in force in respect of an employment injury sustained as an employee under this Act.
Kesan pindaan ini telah menghalang tuntutan terhadap rakan sekerja seperti dalam kes Tan Peng Loh. Pendek kata penghakiman Mahkamah Persekutuan yang terdapat dalam perenggan (2) di bawah “Held” yang dipetik di atas dimansuhkan.
Jadi kedudukan sehingga masa itu ialah seorang yang mendapat faedah di bawah Akta SOCSO tidak boleh menuntut mengikut Common Law terhadap majikan dan rakan sekerjanya (yang juga pekerja majikannya).
Kes ketiga ialah kes Koay Tuan & Anor. v. Eng Chong How & Anor [1988] 1 CLJ 673. Perlu disebut bahawa dalam kes ini kemalangan berlaku pada 20 Disember 1974, juga sebelum proviso (i)(d) dibuat. Kes ini memutuskan, antara lain:
Held: (1) an award of general damages in respect of a dependency claim under s. 7 of the Civil Law Act, 1956, being intended to compensate the dependants of the deceased in respect of loss of support is similar to “dependant’s benefit” within the meaning of s. 15(1)(c) of the Act. Accordingly, the bar imposed by s. 42 of the Act is available to the defendants insofar as the claim for loss of dependency under s. 7 of the Civil Law Act, 1956 is concerned:
Perlu disebut di sini bahawa kes ini defendan kedua bukanlah majikan si mati dalam kes itu dan defendan pertama bukanlah rakan sekerjanya. Jadi, nampaknya kes ini telah memperluaskan halangan untuk menuntut terhadap orang lain yang bukan majikannya dan bukan rakan sekerja seseorang pekerja.
Dalam penghakimannya, Hakim yang arif itu merujuk kepada peruntukan s. 31 sebelum dipinda yang berbunyi:
31.An insured person or his dependants shall not be entitled to receive or recover from the employer of the insured person.
(i) any compensation under the Workmen’s Compensation Ordinance, 1952, or
(ii)damages under any other law for the time being in force
in respect of an employment injury sustained as employee under this Act.
Tetapi setakat yang berhubung dengan majikan, saya berpendapat bahawa tidak ada perbezaan dalam peruntukan s. 31, sebelum dan selepas dipinda. Kedua-dua menyebut:
An insured person or his dependants shall not be entitled to receive or recover from the employer of the insured person ” (tekanan ditambah).
Bagi saya, nampaknya apa yang dihalang ialah menuntut terhadap majikan pekerja itu sendiri bukan orang lain atau majikan orang lain.
Walaubagaimanapun penghakiman itu nampaknya lebih diasaskan atas peruntukan s. 42 Akta SOCSO. Tetapi, dengan hormat, saya berpendapat bahawa s. 42 hendaklah dibaca bersama-sama s. 31. Apa yang dihalang oleh s. 31 ialah bagi seorang “insured person” (seperti yang ditakrifkan dalam s. 2(11) Akta SOCSO) menuntut terhadap “the employer of the insured person”, ertinya dari majikannya sendiri. (mengikut peruntukan s. 31 sebelum dipinda). Dia juga dihalang menuntut terhadap “any other person who is the servant of the employer”, ertinya rakan sekerjanya yang mempunyai majikan yang sama dengannya (mengikut s. 31 selepas dipinda).
Sayugia diambil ingatan bahawa dalam kedua-dua penghakiman Mahkamah Persekutuan itu, iaitu dalam kes Che Noh dan Tan Peng Loh pekerja-pekerja berkenaan menuntut terhadap majikan-majikan mereka sendiri. Manakala dalam kes Koay Tuan & Anor. tuntutan dibuat bukan terhadap majikan pekerja yang mati itu.
Oleh itu, dengan hormat, dukacita saya tidak dapat bersetuju dengan Hakim yang arif yang memutuskan Koay Tuan & Anor. itu bahawa seorang pekerja yang tertakluk di bawah Akta SOCSO tidak boleh membuat tuntutan di bawah s. 7 Akta Undang-Undang Sivil 1956 terhadap orang lain yang bukan majikannya atau rakan sekerjanya (selepas s. 31 dipinda).
Dalam rayuan di hadapan saya itu juga responden/plaintif bukan menuntut terhadap majikan atau rakan sekerja si mati, tetapi terhadap pemandu bas yang dikatakan melanggarnya dan majikan pemandu bas itu. Mereka ini adalah orang asing langsung. Mereka tidak ada kena mengena dengan penggajian (employment) si mati.
Tetapi peruntukan yang menjadi tumpuan hujah Peguam kedua belah pihak ialah proviso (i)(d) itu. Mereka berhujah samada proviso (i)(d) itu, satu peruntukan yang dibuat kemudian daripada peruntukan s. 42 Akta SOCSO, dan yang terkandung dalam satu Akta umum, mengatasi peruntukan s. 42 yang lebih awal dibuat tetapi terkandung dalam suatu Akta khusus.
Tetapi hujah ini hanya berkenaan jika s. 42 itu menghalang responden/plaintif daripada menuntut terhadap perayu/defendan yang bukan majikan atau rakan sekerja si mati. Saya telah memutuskan bahawa s. 42 dibaca dengan s. 31 tidak menghalang plaintif membuat tuntutan terhadap orang-orang yang bukan majikan atau rakan sekerja si mati. Oleh itu saya berpendapat bahawa hujah berkenaan kesan proviso (i)(d) ke atas s. 42 setakat yang berkenaan dengan majikan atau rakan sekerja si mati tidak berbangkit dalam kes ini. Oleh itu saya tidak hendak memberi pandangan mengenainya. Eloklah perkara itu diputuskan dalam kes di mana faktanya berkenaan.
Saya menolak rayuan ini dengan kos.

Read 157 times