KHALED BIN CHE LAH v. KETUA POLIS NEGARA, MALAYSIA DAN SATU LAGI

KHALED BIN CHE LAH v. KETUA POLIS NEGARA, MALAYSIA DAN SATU LAGI
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO 21-2 OF 1992
21 OCTOBER 1994
[1994] 1 LNS 276
Case(s) referred to:
Inspektor General of Police & Anor. v. Alan Noor bin Kamat [1987] 1 LNS 101; [1988] 1 MLJ 260
Chief Constable of North Wales [1982] 2 All ER 141
Halimatussaadiah v. Public Service Commission Malaysia & Anor [1992] 1 CLJ 413; [1992] 2 CLJ 467 (Rep); [1992] 1 MLJ 513

Counsel:
Karpal Singh (Karpal Singh & Co) bagi pihak plaintif.
Azmi bin Taib (Peguam Persekutuan) bagi pihak defendan.

PENGHAKIMAN
Walau pun ini adalah satu tindakan writ, kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa fakta-fakta tidak dipertikaikan. Oleh itu kedua belah pihak bersetuju untuk tidak memanggil saksi dan mereka bersetuju berhujah berkenaan isu undang-undang sahaja berdasarkan fakta-fakta yang disebut dalam Pernyataan Tuntutan, diakui dalam Pembelaan dan dokumen-dokumen yang dipersetujui.
Eloklah saya perturunkan fakta-fakta yang tidak dipertikaikan itu.
Pada masa berkenaan Plaintif adalah seorang Inspektor Polis.
Melalui surat bertarikh 23 April 1988 yang ditandatangani bagi pihak Penolong Ketua Urusetia KPN (Tatatertib), Plaintif dimaklumkan bahawa Timbalan Ketua Polis Negara telah memutuskan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadapnya. Surat itu mengatakan bahawa representasi telah dibuat kepada Timbalan Ketua Polis Negara mengatakan bahawa kerja Plaintif tidak memuaskan dan juga kerana salah laku. Tiga alasan diperturunkan. Plaintif diberi 16 hari untuk membuat representasi untuk membebaskan dirinya.
Plaintif telah memberi alasan-alasannya melalui surat bertarikh 15 Mei 1988.
Melalui satu surat bertarikh 20 Februari 1989 yang ditandatangani bagi pihak Penolong Ketua Urusetia KPN (Tatatertib) Plaintif telah dimaklumkan bahawa hukuman buang kerja telah dijatuhkan terhadapnya bagi ketiga-tiga tuduhan tersebut. Perlu disebut bahawa surat itu antara lain, berkata:
“… setelah menimbangkan representasi anda dengan teliti dan saksama, Y.Bhg. Tan Sri Timbalan Ketua Polis Negara memutuskan representasi yang anda bentangkan itu tidak dapat membebaskan diri anda dari pelanggaran-pelanggaran tatatertib yang dikatakan terhadap anda…”
Perlu disebut bahawa terdapat satu lagi surat “Hukuman Tatatertib” yang mempunyai rujukan yang sama dan tarikh yang sama. Kedua belah pihak mengakui bahawa semua isi kandungan surat itu (mukasurat 15 Ikatan Dokumen Yang diPersetujui) adalah sama dengan yang mula disebut (mukasurat 11 hingga 14 Ikatan itu) melainkan pada dua perenggan di mukasurat pertama. Dalam surat ini dikatakan bahawa Plaintif tidak mengemukakan representasi bagi menjawab notis Tindakan Tatatertib itu. Oleh itu “setelah menimbang segala keterangan yang ada” hukum itu dijatuhkan.
Pihak Defendan tidak memberi apa-apa penjelasan mengapa terdapat dua surat Hukuman Tatatertib yang berbeza itu.
Plaintif merayu terhadap keputusan itu melalui suratnya bertarikh 20 Mac 1989. Melalui suratnya bertarikh 27 Mac 1989, Plaintif merayu semula, antara lain, mengatakan bahawa surat representasinya telah dipalsukan dan/atau tidak dikemukakan kepada Defendan Pertama oleh pihak berkuasa polis Kelantan, di mana dia bekerja.
Melalui surat bertarikh 8 April 1989 yang juga ditandatangani bagi pihak Penolong Ketua Urusetia KPN (Tatatertib), Plaintif dimaklumkan bahawa hukuman tatatertib terhadapnya telah dibatalkan memandangkan bahawa surat representasinya baru sahaja diterima oleh Timbalan Ketua Polis Negara. Plaintif diarah melaporkan diri untuk bertugas semula.
Sementara itu pada 17 April 1989, Ketua Polis Negara sendiri, bagi menjawab surat rayuan Plaintif bertarikh 27 Mac 1989 itu memaklumkan Plaintif bahawa beliau telah meminta ulasan Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Kelantan.
Kemudian melalui surat bertarikh 12 Mei 1989, Penolong Ketua Urusetia KPN (Tatatertib) menyampaikan satu “hukuman tatatertib” lagi terhadap Plaintif. Hukum itu ialah Plaintif dibuang kerja sekali lagi.
Perlu diambil perhatian bahawa hukuman kedua itu adalah dibuat berdasarkan notis tindakan tatatertib yang asal bertarikh 23 April 1988 dulu, yang terhadapnya Plaintif telah membuat representasinya dan hukuman buang kerja telah dijatuhkan pada 20 Februari 1989 dan kemudian dibatalkan pada 8 April 1989. Tidak ada notis tindakan tatatertib baru diberi kepada Plaintif.
Encik Karpal Singh, Peguam Plaintif, menghujahkan bahawa setelah menjatuhkan hukuman bagi kali pertama, tugas pihak berkuasa tatatertib itu selesai. Ia tidak boleh membuat keputusan mengenai prosiding yang sama buat kali kedua. Dalam kata-kata lain beliau mengatakan bahawa pihak berkuasa tatatertib itu telah “functus officio”.
Kedua belah pihak akui bahawa tidak terdapat nas yang mengatakan bahawa prinsip ini terpakai kepada pihak berkuasa tatatertib seperti ini. Malah kedua belah pihak mengakui bahawa inilah kali pertama persoalan seperti dalam kes ini dibangkitkan.
Saya berpendapat bahawa prinsip ini sesuai dipakai kepada pihak berkuasa tatatertib sekurang-kurang setelah hukuman itu disampaikan kepada Plaintif. Jika tidak maka pihak berkuasa tatatertib akan boleh mengubah hukumannya, dari yang lebih ringan kepada yang lebih berat dan dari yang lebih berat kepada yang lebih ringan. Dan kalau boleh dibuat sebanyak dua kali, mengapa tidak tiga, empat atau lebih? Pihak berkuasa tatatertib juga akan menarik balik satu perintah apabila dicabar dan menggantikannya dengan yang baru. Hal seperti ini tentu sekali tidak patut dibiarkan berlaku.
Tetapi pandangan ini, sambil nampaknya munasabah, juga akan menimbulkan masalah jika dipakai dengan ketat seperti yang dilakukan di Mahkamah, dalam kes ini. Sebab, kiranya pihakberkuasa tatatertib itu telah “functus officio” apabila ia mengeluarkan hukuman itu, maka ia juga tidak boleh membatalkan hukuman itu, seperti yang dilakukan.
Tetapi, dalam kes ini kedua belah pihak mengambil pendirian bahawa pembatalan hukuman pertama itu adalah sah.
Oleh itu, dalam satu sistem “adversarial” yang kita amali, saya tidak fikir saya patut mempersoalkan keesahan pembatalan itu.
Peguam Plaintif juga menarik perhatian Mahkamah kepada prinsip res judicata. Bagi menyokong hujahnya, walau pun tidak secara terus beliau menarik perhatian Mahkamah kepada penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Inspektor General of Police & Anor. v. Alan Noor bin Kamat [1987] 1 LNS 101; [1988] 1 MLJ 260. Tetapi kes itu tidak dapat menolong Mahkamah ini dalam persoalan ini. Apa yang dikatakan oleh Mahkamah Agung dalam kes itu ialah berkenaan prosiding tatatertib baru, bukan seperti dalam kes ini di mana tiada prosiding baru. Pandangan Mahkamah itu mungkin lebih sesuai dipakai kiranya Defendan dalam kes ini memulakan satu tindakan tatatertib baru. Dalam keadaan itu bolehlah dihujahkan bahawa prosiding baru itu res judicata. Dalam keadaan kes ini prinsip functus officio adalah lebih berkenaan.
Peguam Persekuauan yang mewakili Defendan-Defendan menghujahkan bahawa hukuman pertama itu dibatalkan dan ditimbang semula adalah untuk memberi keadilan kepada Plaintif.
Ini adalah kerana, nampaknya pihak berkuasa tatatertib mengakui bahawa surat representasi Plaintif telah tidak disampaikan kepada Ketua Urusetia KPN (Tatatertib) sebelum Hukuman Tatatertib dijatuhkan dan oleh itu nyataan Timbalan Ketua Polis Negara dalam salah satu surat Hukuman Tatatertib bertarikh 20 Februari 1989 bahawa beliau telah menimbang representasi itu dengan teliti dan saksama, adalah tidak betul.
Jadi Peguam Persekutuan itu menghujahkan bahawa pembatalan hukuman yang pertama itu adalah untuk berlaku adil kepada Plaintif, supaya Defendan boleh menimbang representasi Plaintif dan membuat keputusan semula.
Katakanlah, itulah tujuan semua itu dilakukan, ia masih tidak dapat membantu kes Defendan-Defendan. Ini adalah kerana kajian semula kehakiman adalah kajian semula mengenai cara sesuatu keputusan itu dibuat. Ia bukan satu rayuan terhadap keputusan itu. Dalam permohonan kajian semula kehakiman Mahkamah tidak berhak menimbang sama ada keputusan itu sendiri adil atau berpatutan – lihat penghakiman House of Lords dalam kes Chief Constable of North Wales [1982] 2 All ER 141 yang dipetik oleh Eusoff Chin H. (pada masa itu) dalam kes Halimatussaadiah v. Public Service Commission Malaysia & Anor [1992] 1 CLJ 413; [1992] 2 CLJ 467 (Rep); [1992] 1 MLJ 513.
Jadi apa yang Mahkamah ini perlu timbang ialah sama ada cara keputusan itu dibuat itu betul.
Saya berpendapat bahawa prosiding terhadap Plaintif bermula dengan notis Tindakan Tatatertib bertarikh 23 April 1988. Hukuman telah dijatuhkan melalui surat 20 Februari 1989. Plaintif merayu kepada Ketua Polis Negara melalui surat 27 Mei 1989. Melalui surat 8 April 1989 Hukuman itu dibatalkan. Prosiding itu sepetutnya tamat di situ. Adalah tidak terbuka kepada pihak berkuasa tatatertib itu untuk menjatuhkan satu hukuman bagi kali kedua dalam prosiding yang sama itu. Jika tidak ia akan membawa akibat seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini.
Jika, seperti yang saya putuskan, bahawa prosiding itu telah berakhir, maka pihak berkuasa tatatertib tidak berkuasa mengeluarkan satu hukuman lagi. Apatah lagi memandangkan bahawa Plaintif tidak diberi peluang untuk membela diri sebelum hukuman kedua itu dijatuhkan.
Atas alasan-alasan ini saya benarkan permohonan seperti dipohon dalam prayer (a), (b), (c), (e) dan (f). Saya tidak meluluskan prayer (d) (iaitu gantirugi) kerana tiada apa-apa keterangan dikemukakan mengenainya.
Bertarikh hari ini, 21hb Oktober 1994.

109 visits