RAYMOND MICHAEL IGNATIUS JOHN IGNATIUS & SATU LAGI lwn. D & C FINANCE BERHAD

     
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI;   MOHAMED H.
[RAYUAN SIVIL NO. 12-13-93]
[1994] 2 CLJ 741
AMANAH & PROSEDUR: Mendapatkan balik hutang penghakiman – Permohonan oleh pemiutang penghakiman bagi penahanan gaji – Sama ada permohonannya wajar – Sama ada Mahkamah berkuasa untuk membuat perintah – Sama ada gaji pada masa hadapan tertakluk kepada penahanan – Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 A. 24, 30& 37– Akta Penghutang 1957, s. 3(1)(f).

BIDANG KUASA: Permohonan oleh pemiutang penghakiman untuk penahanan gaji penghutang – Sama ada Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk membuat perintah penahanan.

BIDANG KUASA: Bidang kuasa sedia ada Mahkamah Majistret – Aturan 53 k. 11 Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980– Prasyarat bagi pengamalannya – Permohonan oleh pemiutang penghakiman bagi penahanan gaji penghutang – Prosedur tidak diperuntukkan oleh Kaedah-kaedah berkenaan – Sama ada Majistret patut mengamalkan bidang kuasa sedia ada untuk membuat perintah – Sama ada membuat perintah tersebut perlu untuk menghalang ketidakadilan.

Responden dalam kes ini telah memperolehi satu penghakiman ingkar terahadap para perayu untuk wang berjumlah RM4,047.30. Berikut dengan penghakiman tersebut, responden telah memohon kepada Mahkamah Majistret untuk satu perintah supaya majikan perayu-perayu diarahkan untuk membayar hutang penghakiman melalui potongan gaji bulana para perayu tersebut.

Perayu-perayu tersebut telah membuat bantahan permulaan dan menghujahkan bahawa Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk memberi perintah yang dipohon itu, tetapi bantahan tersebut telah ditolak dan satu keputusan yang bertentangan dengannya telah diberikan oleh Majistret berkenaan.

Perayu-perayu tersebut membuat rayuan dan isu yang timbul ialah sama ada Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa untuk memberikan satu perintah mengarahkan majikan supaya memotong gaji pekerjanya bagi menyalesaikan hutang yang ditanggung oleh pekerja tersebut.

Diputuskan:

[1] Undang-undang menyebutkan bahawa gaji tidak boleh tertakluk kepada perintah penahanan melainkan cara penahanan yang sedemikian diperuntukkan loeh kaedah-kaedah Mahkamh atau bahawa peruntukanperuntukan khas untuk penahanan yang sedemikian ditetapkan oleh statut sebagaimana dalam kes Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968. Adalah jelas bahawa dalam kes ini Mahkamah Majistret tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk memberikan perintah yang dipohon memandangkan tiada peruntukan dalam Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 (KMR)atau dalam manamana kaedah Mahkamah yang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memberikan perintah yang sedemikian.

[2] Walaupun s. 3(1)(f) Akta

[3]Aturan 30 Kaedah-kaedah Mahkamah Rendahyang berkaitan dengan penguatkuasaan penghakiman dan perintah tidak memberi kuasa responden untuk membuat permohonan sebagaiman yang dibuat olehnya.

Pihak ketiga yang disebutkan dalam Kaedah 8(2) berkenaan merujuk kepada seseorang ”terhadap mana pematuhan kepada sebarang penghakiman atau perintah dapat dikuatkuasakan”. Dalam kesini penghakiman ingkar hanyalah terhadap para perayu dan tiada apa yang disebutkan mengenai majikan para perayu dalam penghakiman tersebut.

[4] Penghujahan responden bahawa kecacatan dalam prosedur permohonan dalam kes ini. jika ada, hanyalah merupakan satu perkara di luar aturan adalah tidak betul kedudkannya.

Adalah jelas bahawa persoalan di sini bukanlah mengenai prosedur tetapi sama ada terdapat sebarang peruntukan dalam kaedah-kaedah Mahkamah yang membenarkan permohonan responden.

Dalam kata-kata lain, yang menjadi persoalannya ialah bidang kuasa dan oleh yang demikian Aturan 2 KMRtidak terpakai.

[5] Ini bukanlah merupakan kes yang sesuai untuk Mahkamah menggunakan kuasa sedia adanya di bawah Aturan 53 k. 11 KMR. Adalah jelas bahawa untuk menggunakan kaedah-kaedah tersebut, ujiannya ialah sama ada pemberian perintah tersebut adalah perlu untuk menghalang ketidakadilan terhadap pihak-pihak berkenaan.

Dalam hal ini KMRtelah memperuntukkan remedi yang secukupnya untuk mendapatkan balik hutang penghakiman sebagaimana yang ditinjukkan oleh peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan writ penyitaan dan jualan, prosiding garisan, saman penghutang penghakiman dan lain-lain.

Tiada satu pun daripada remedi ini digunakan walaupun kesemuanya dapat digunakan oleh responden.

Dalam hal ini, pemberian perintah yang dipohon itu tidak boleh dikatakan sebagai perlu untuk menghalang ketidakadilan terhadap pihak-pihak berkenaan. [Rayuan dibenarkan].

Case(s) referred to:

Loo Chay Meng lwn. Ong Cheng Hoe (Gamuda , Garnishee ) [1990] 1 MLJ 445 (refd)

Permodalan MBf & Ors. lwn. Tan Sri Datuk Hamzah bin Abu Samah & Ors. [1990] 1 MLJ 446 (foll)

T.S. Doss lwn. P.R.M. Ramasamy Pillai FMSLR Vol. 1 m.s. 445 (foll)

Hongkong And Shanghai Banking Corporation lwn. Goh Su Liat (Telecommunication Authority of Singapore, Garnishee) [1986] 2 MLJ 86 (foll)

Other source(s) referred to:

Perundangan yang dirujuk:

Akta Penghutang 1957, s. 3 (1)(f)

Akta Perempuan Bersuami dan Anak-anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968 , s. 4

Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980,A. 2

A. 15 k. 1

A. 24

A. 37

Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 32 k. 6

Kanun Acara Sivil 1918, s. 265

Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121(1)

Counsel:

Bagi pihak perayu – Thayalan Muniandy: T/n Meena,Thayalan & Partners

Bagi pihak penentang – Nawal bte.

Harun @ AbdulRahman; T/n Gan Teik Chee & Ho

 

ALASAN PENGHAKIMAN

Abdul Hamid bin Haji Mohamad H.

Pada 13 Mei 1991 D & C Finance Berhad (penentang) telah memperolehi satu penghakiman ingkar terhadap kedua-dua perayu dalam saman No. 72-331-91. Mereka diperintahkan membayar sejumlah wang sebanyak RM4,047.30, faedah-faedah kerana bayaran lewat dan kos.

Tidak diketahui apakah kausa tindakan dalam guaman itu.

Tetapi yang pasti ialah ia bukanlah suatu tuntutan nafkah.

Melalui satu notis permohonan bertarikh 1 Julai 1992, penentang membuat permohonan untuk mendapat perintah bahawa:
(a) B. Braun Medical Industries yang beralamat di Bayan Lepas Free Trade Zone, 11900 Pulau Pinang membayar kepada plaintif wang bulanan sebanyak RM500 yang akan dipotong masing-masing dari gaji bersih Raymond Micheal Ignatius a/l John Ignatius, defendan kedua dan Rajagopal a/l Soorapan, defendan ketiga yang tersebut di atas sepanjang masa defendan-defendan kedua dan ketiga akan menggaji di B. Braun Medical Industries Sdn Bhd dan sehingga hutang penghakiman sebanyak:
(1) Jumlah wang sebanyak RM4,047.30 (termasuk bayaran lewat sebanyak RM32.29 dan bayaran pos sebanyak RM3.60) seperti pada 27 Februari 1991; (2) Faedah sebanyak 13% setahun dikenakan dari 28 Februari 1991 hingga tarikh pembayaran dalam kiraan bulanan; (3) Bayaran lewat (late charges) dikenakan sebanyak 1% setahun di atas kadar faedah semasa (pada masa ini adalah 13% setahun) dari 28 Februari 1991 hingga tarikh pembayaran dalam harian; (4) Kos seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3 dan 5 dalam Pernyataan Tuntutan di dalam ini; dan (5) Kos yang ditaksir sebanyak RM222.50 dibayar dengan sepenuhnya.
(b) ansuran sebanyak RM500 bagi setiap bulan dibayar kepada plaintif mulai dari tarikh perintah diberikan sehingga penjelasan sepenuhnya. (c) kos permohonan ini dibayar oleh defendandefendan kedua dan ketiga kepada plaintif.

B. Braun Medical Industries adalah majikan perayu-perayu.

Ringkasnya, penentang memohon perintah supaya majikan perayu-perayu memotong gaji perayu-perayu untuk membayar hutang perayu-perayu kepada penentang.

Permohonan itu dibuat dalam saman asal dimana B. Braun Medical Industries bukan satu pihak.

Peguam perayu-perayu telah membangkitkan bantahan awal membantah permohonan itu atas alasan Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah yang dipohon itu.

Puan majistret menolak bantahan awal itu.

Beliau berpendapat Mahkamah mempunyai bidangkuasa membuat perintah yang dipohon itu.

Jadi soalnya hanyalah sama ada Mahkamah majistret mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah mengarahkan seorang majikan memotong gaji pekerjanya untuk menjelaskan suatu hutang penghakiman.

Kedua pihak bersetuju bahawa tidak terdapat peruntukan khusus seperti s. 4 Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968 (Akta 356) berhubung dengan perintah nafkah.

Maka untuk menjawab soalan ini perlulah dilihat sama ada terdapat apa-apa peruntukan undang-undang, walaupun yang berbentuk umum, yang memberi kuasa kepada Mahkamah membuat perintah yang dipohon itu.

Sehubungan dengan ini kita mestilah waspada kepada peruntukan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan yang, antara lain, menyatakan “… and the High Courts and inferior Courts shall have such jurisdiction and powers as may be conferred by or under federal law.”

Peruntukan undang-undang persekutuan yang berkenaan ialah Akta Penghutang 1957.

Seksyen 3, setakat yang berkenaan, memperuntukkan:
3. Subject to and in accordance with any rules of Court any sum of money payable under the judgment of a Court may be recovered in case of default or failure of payment thereof forthwith or at a time or times, or in the manner thereby directed by execution whether legal or equitable against the property movable or immovable of the party against whom the judgment was obtained:

Provided that the following shall not be liable to attachment, seizure or sale in such execution, namely:
(a)… (b)… (c)… (d)… (e)… (f) wages or salary of the judgment debtor:

Provided that where such wages or salary exceed two hundred ringgit a month –
(1) the Court may authorize execution to be levied in such manner as may be prescribed by rules of Court in respect of such excess or part thereof as the Court may think just;

Ringkasnya, mengikut peruntukan ini, gaji seseorang yang melebihi RM200 boleh ditahan (attached), tertakluk kepada dan mengikut cara yang diperuntukan oleh kaedah-kaedah Mahkamah.

Soalnya adakah terdapat apa-apa kaedah Mahkamah dibuat dalam perkara ini.
Aturan 37 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 (KMR 1980)adalah satu peruntukan yang berkenaan.

Aturan itu bertajukkan “Akta Penghutang 1957”. Ia memperuntukkan dengan khusus prosedur mengenai “penangkapan penghutang penghakiman” “penangkapan atau penahanan sebelum penghakiman”, “saman penghutang penghakiman”, “notis penghakiman”, dan “pengkomitan”.

Perlu diambil perhatian bahawa, pertama, semua tindakan yang diperuntukan itu adalah terhadap penghutang itu sendiri, bukan terhadap majikannya.

Kedua, tidak terdapat peruntukan berkenaan perintah seperti yang dipohon dalam kes ini.

Selain daripada itu terdapat Aturan 30yang memperuntukan cara penguatkuasaan penghakiman dan perintah.

Berkenaan penguatkuasaan penghakiman bagi pembayaran wang, tiga cara diperuntukan iaitu –
(a) writ penyitaan dan penjualan; (b) prosiding garnismen; (c) dalam, hal di mana kaedah 5 terpakai, suatu perintah pengkomitan.

Peruntukan lanjut mengenai cara-cara itu diperuntukan dalam Aturan 32, 33dan 34.

Jadi, saya dapati bahawa tidak terdapat peruntukan khusus baik di bawah KMR 1980atau di bawah manamana “kaedah Mahkamah” yang memperuntukan cara bagi membuat perintah seperti yang dipohon ini.

Peguam penentang menghujahkan bahawa A. 24 KMR 1980adalah kaedah-kaedah yang diperuntukan seperti yang dikehendaki oleh s. 3(1)(f) Akta Penghutang 1957 itu.

Di sini eloklah diperturunkan peruntukan itu:
1(1) Jika menurut kaedah-kaedah ini sesuatu permohonan semasa apa-apa prosiding sebelum atau selepas penghakiman dibenarkan secara nyata atau implikasi dibuat kepada Mahkamah, maka permohonan itu mestilah dibuat melalui notis dan hendaklah didengar dalam kamar.

Dengan hormat, hujah ini tidak berasas, kerana, permohonan itu mestilah satu permohonan yang dibenarkan dibuat menurut KMP 1980itu sendiri.

Ertinya mestilah terlebih dahulu ada peruntukan yang membolehkan sesuatu permohonan itu dibuat kepada Mahkamah oleh KMR 1980seperti permohonan untuk mendapat kebenaran meminda saman atau pliding (Aturan 15, Kaedah 1 KMR 1980), maka, dalam keadaan itu, permohonan itu bolehlah dibuat mengikut acara yang diperuntukan oleh Aturan 24itu.

Dalam kata-kata lain, sebelum menggunakan acara yang diperuntukan oleh Aturan 24 itu, mestilah ada peruntukan lain yang membenarkan permohonan itu dibuat.

Sayugia diingati tidak ada peruntukan seperti yang akhir disebut itu bagi membuat permohonan seperti yang dibuat dalam kes ini.

Peguam penentang juga menghujahkan jika prosedur yang diikuti olehnya itu salah pun, itu cuma satu “irregularity” dan bukan satu “nullity”. Beliau mungkin bermaksud untuk menarik perhatian Mahkamah kepada Aturan 2 KMR 1980. Tetapi adalah jelas bahawa, dalam hal ini Aturan 2itu tidak berkenaan.

Apa yang dipertikaikan ini bukan cuma sekadar prosedur mana yang hendak diikuti, tetapi sama ada terdapat peruntukan atau tidak yang membenarkan permohonan seperti ini dibuat.

Dalam kata-kata lain isunya ialah soal bidangkuasa, bukan cuma bentuk permohonan itu.

Peguam penentang juga merujukkan saya kepada A. 30 k. 8yang berbunyi:
(2) Mana-mana orang, yang bukan suatu pihak dalam sesuatu kausa atau perkara, yang terhadapnya pematuhan kepada mana-mana penghakiman atau perintah boleh dikuatkuasakan, boleh dikenakan proses yang sama bagi menguatkuasakan pematuhan kepada penghakiman atau perintah itu seolah-olah dia adalah suatu pihak.

Dengan hormat, dalam penghakiman saya, peruntukan ini juga tidak boleh membantu penentang.

Pihak ketiga yang dimaksudkan di sini ialah pihak ketiga “yang pematuhan kepada mana-mana penghakiman atau perintah boleh dikuatkuasakan”. Penghakiman yang diperolehi oleh penentang hanya terhadap perayuperayu.

Perintah itu tidak menyebut bahawa B. Braun Medical Industries mesti mematuhinya.

Juga tidak ada mana-mana peruntukan undang-undang yang membolehkan penghakiman itu dikuatkuasakan terhadap B. Braun Medical Industries dengan cara yang dilakukan ini.

Lainlah halnya, jika misalnya, penentang memohon mengikut prosiding garnismen yang dibolehkan dibawah A. 33.

Akhir sekali Peguam penentang menghujahkan bahawa sebagai satu alternatif, permohonan ini dibuat dibawah bidangkuasa sedia ada Mahkamah.

Beliau merujukkan saya kepada peruntukan A. 1, k. 4terutama sekali perenggan (2). Tetapi untuk memberi gambaran yang menyeluruh eloklah kesemua kaedah 4 itu diperturunkan :
4. (1) Dalam apa-apa perkara mengenai prosedur atau amalan yang tidak diperuntukkan dalam kaedah-kaedah ini, prosedur atau amalan yang sedang digunakan atau berkuatkuasa di Mahkamah Tinggi hendaklah, dengan sehampir yang boleh, diikuti dan diterimapakai. (2) Dalam apa-apa perkara sedemikian jika tidak mungkin memakai perenggan (1), Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah dan memberikan apa-apa arahan yang mungkindapat menjaminkan keadilan yang substansial di antara pihak-pihak itu, dengan memberi perhatian kepada penyelesaian terus perkara-perkara yang menjadi isu dan penjimatan kos.

Tetapi untuk memakai perenggan (2) pun ujiannya ialah bahawa perintah itu mungkin dapat menjaminkan keadilan yang substansial.

Rasanya peruntukan A. 53, k. 11adalah lebih berkenaan dengan hujah Peguam penentang itu.

Jadi eloklah saya bincang kedua-duanya sekali.
Aturan 53, kaedah 11memperuntukkan:
11. Bagi menghapuskan keraguan maka adalah dengan ini diisytiharkan bahawa tiada apaapa jua dalam kaedah-kaedah ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah sebagaimana yang perlu untuk mencegah ketakadilan atau untuk mencegah penyalahgunaan proses Mahkamah.

Seperti yang diperuntukkan oleh kaedah itu perintah itu mestilah suatu yang perlu untuk mencegah ketakadilan atau untuk mencegah penyalahgunaan proses Mahkamah.

Soal sama ada perintah yang dipohon ini perlu untuk mencegah penyalahgunaan proses Mahkamah tidak timbul.

Maka soalnya ialah sama ada perintah yang dipohon itu perlu untuk mencegah ketakadilan.

Dalam hal ini terdapat beberapa acara lain yang diperuntukkan oleh KMR 1980seperti writ penyitaan dan jualan, garnismen dan saman penghutang penghakiman.

Semua ini boleh digunakan tetapi tidak digunakan.

Nampaknya, jalan yang sedia ada tidak hendak dilalui; jalan yang belum ada cuba diterokai.

Dalam keadaan ini perintah yang dipohon ini bukanlah satu perintah yang perlu dibuat untuk mencegah ketakadilan.

Sehubungan dengan ini Peguam penentang merujukkan saya kepada beberapa penghakiman.

Pertama kes Loo Chay Meng lwn.

Ong Cheng Hoe (Gamuda, Garnishee) [1990] 1 MLJ 445. Dalam kes itu V. C. George, H. membuat perintah mengenepikan perintah garnismen mutlak yang dibuat secara ex-parte. Dua alasan diberi.

Pertama bidangkuasa diberi kepada Mahkamah di bawah A. 32, k. 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Kedua, sebagai alternatif, di bawah bidangkuasa sedia ada Mahkamah.

Perlu diambil perhatian, Hakim yang arif itu dalam penghakimannya, di halaman 446 berkata:

If O. 32, r. 6cannot be applied in an O. 49situation, then we have a situation of ‘a lacuna in the face of the rules which causes a procedural injustice’ in that it cannot be said that the ‘rules contain provision making available sufficient remedies’. In my judgment in that kind of situation and if there is injustice, the Court is not only entitled to but is obliged to make any order as may be necessary to prevent injustice.

Dalam hal ini penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Permodalan MBf & Ors. lwn.

Tan Sri Datuk Hamzah bin Abu Samah & Ors. [1990] 1 MLJ 446, yang kepadanya dirujuk dalam kes itu adalah berkenaan.

Penghakiman itu antara lain mengatakan:

It follows that where the rules contain provision making available sufficient remedies, the Court will not invoke its inherent powers.

Dalam kes ini, terdapat remedi yang mencukupi seperti prosiding garnismen, saman penghutang penghakiman dan penyitaan dan penjualan.

Dalam keadaan ini tidak boleh dikatakan ketidakadilan akan berlaku jika Mahkamah tidak menggunakan bidangkuasa sedia adanya.

Dalam kata-kata lain saya berpendapat bahawa ini bukanlah satu keadaan dimana Mahkamah patut menggunakan bidangkuasa sedia adanya.

Peguam perayu-perayu mengemukakan satu alasan lagi mengapa perintah yang dipohon itu tidak patut diberi.

Penentang memohon perintah supaya gaji perayu-perayu dipotong mulai daripada tarikh perintah itu berkuatkuasa sehinggalah hutang itu selesai selama mereka bekerja dengan B. Braun Medical Industries Beliau menghujahkan ini bererti menahan (attach) hutang yang belum terakru kerana pada masa perintah dibuat, jika ia dibuat, gaji perayu-perayu bagi bulan-bulan selepas itu belum kena dibayar kepada mereka.

Beliau merujuk kepada dua kes iaitu T. S. Doss lwn. P.R.M. Ramasamy Pillai FMSIR Vol. 1 muka surat 445 dan Hongkong and Shanghai Banking Corporation v. Goh Su Liat (Telecommunication Authority of Singapore, Garnishee) [1986] 2 MLJ 86.

Kes T.S. Doss telah diputuskan berdasarkan peruntukan s. 265 Kanun Acara Sivil 1918. Malangnya peruntukan seksyen itu tidak diperturunkan dalam penghakiman itu.

Jadi adalah tidak selamat mengikutinya dengan buta tuli.

Kes Hongkong and Shanghai Banking Corporation adalah berkenaan prosiding garnismen.

Saya fikir kes itu juga tidak berkenaan.

Permohonan untuk menahan pendapatan, jika diperuntukkan seperti dalam Akta 356, semestinya ke atas pendapatan yang akan diterima.

Tetapi, tidak terdapat peruntukan seperti itu untuk tujuan permohonan ini.

Walau bagaimana pun, prinsip yang terdapat dalam kedua-dua kes yang disebut itu boleh digunakan bagi menguatkan hujah bahawa gaji yang akan dibayar di masa hadapan tidak boleh ditahan melainkan jika terdapat peruntukan khusus mengenainya, misalnya, seperti dalam Akta 356 atau diperuntukkan dalam kaedah-kaedah Mahkamah.

Kesimpulannya saya berpendapat bahawa Mahkamah Majistret tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah penahanan gaji seperti yang dipohon dalam kes.

 

113 visits