LEE KEAN LUM lwn. PENOLONG PENDAFTAR PERNIAGAAN WILAYAH UTARA ALOR SETAR

LEE KEAN LUM lwn. PENOLONG PENDAFTAR PERNIAGAAN WILAYAH UTARA ALOR SETAR
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
USUL PEMULA NO. 25-53-92
15 JANUARI 1994
[1994] 3 CLJ 278
BIDANG KUASA: Writ dan perintah mandamus – Samada Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah mandamus – Seksyen 44, 49 Akta Relif Tertentu 1950 – Seksyen 25(2) dan Perenggan 1 Jadual, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 – Aturan 53 Kaedah 1 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

PENDAFTARAN PERNIAGAAN: Perkongsian – Permohonan pekongsi untuk menarik diri dari perkongsian – Borang B – Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 k. 8(1) – Borang PNA 1A tidak ditandatangani oleh semua pekongsi – Samada pendaftar perniagaan boleh menolak pendaftaran borang B.

UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Perintah Mandamus – Permohonan untuk kebenaran memohon perintah – Prinsip yang dipakai – Samada prinsip yang sama dengan permohonan untuk certiorari dan perintah halangan.

Pemohon memohon kebenaran untuk memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden mendaftarkan Borang B mengenai sebuah perkongsian, dimana pemohon adalah seorang pekongsi. Fakta kes menunjukkan bahawa pemohon telah menarik diri dari perkongsian tersebut pada tahun 1974 tetapi hanya mendaftarkan Borang B yang berkenaan pada 26 Februari 1990, itu pun selepas satu tindakan sivil diambil terhadapnya dan juga rakan-rakan kongsinya dan setelah satu notis kebankrapan dikeluarkan terhadapnya.
Bagi tujuan permohonan di atas, responden pada 13 Mac 1990 telah menghantar kepada pemohon borang PNA 1A untuk ditandatangani oleh pemohon dan pekongsi-pekongsi yang lain. Pemohon melalui Peguamnya memberitahu responden bahawa beliau tidak tahu di mana pekongsi-pekongsi lain berada dan memohon borang B itu didaftarkan tanpa tandatangan mereka. Responden enggan berbuat demikian. Oleh itu pemohon membuat permohonan ini. Persoalan yang timbul adalah samada kebenaran yang dipohon patut diberi atau pun tidak.
Diputuskan:
[1] Apa yang dipohon oleh pemohon di sini ialah supaya Mahkamah mengarahkah seorang pegawai kerajaan berbuat sesuatu yang melanggar undangundang. Mahkamah tidak boleh berbuat demikian.
[2]Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980mengkehendaki kebenaran diperolehi terlebih dahulu sebelum memohon perintah mandamus. Oleh sebab keperluan mendapat kebenaran ini diperuntukkan bersama-sama dengan kebenaran untuk memohon perintah larangan dan certiorari, maka prinsip yang patut digunakan adalah sama dengan prinsip yang digunakan dalam permohonan kebenaran memohon certiorari iaitu kebenaran patut diberi jika ” the point taken was not frivolous to merit refusal of leavein limine and justified argument on a substantial motion”.
[3] Pemohon telah gagal mengemukakan butir-butir kepada responden seperti yang dikehendaki oleh kaedah 8, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957. Peruntukan kaedah ini adalah satu kewajipan dan bukannya hanya satu arahan seperti yang dihujahkan oleh pemohon. Dengan demikian, hujah pemohon selanjutnya bahawa kegagalan beliau mematuhi kaedah 8 tersebut tidak boleh menjadi alasan untuk responden enggan mendaftarkan Borang B yang berkenaan adalah tidak berasas. Memanglah menjadi tugas responden mendaftar butir-butir yang dikemukakan tetapi butirbutir yang dikemukakan itu mestilah mematuhi cara ia dikehendaki dikemukakan.
Obiter:
Peruntukkan s. 49 Akta Relif Tertentu 1950 nampaknya bercanggah dengan perenggan 1, Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Rasanya eloklah pihak yang berkenaan membuat keputusan samada Mahkamah hendak diberi kuasa mengeluarkan writ mandamus ataupun tidak. Jika kuasa itu hendak diberi patutlah s. 49 Akta Relif Tertentu 1950 tersebut dimansuhkan. Dan jika demikian peruntukan s. 44 Akta itu juga tidak perlu dikekalkan, kerana perintah di bawah s. 44 dan mandamus adalah serupa. Sebaliknya jika Mahkamah tidak hendak diberi kuasa mengeluarkan writ mandamus, peruntukan perenggan 1, Jadual kepada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 hendaklah dipinda dengan mengeluarkan rujukan kepada mandamus di dalamnya. Dan jika demikian A. 53(1) KMT 1980juga patut dipinda.
[Permohonan ditolak].

Case(s) referred to:
Chan Mun Poy v. Director-General of Telecommunications & Anor. [1981] 2 MLJ 293 (diikuti)
Mohamed Nordin bin Johan v. Attorney General, Malaysia [1983] 1 MLJ 68 (diikuti)

Legislation referred to:
Akta Makamah Kehakiman 1964, s. 25(2)
Akta Pendaftaraan Perniagaan 1956, ss. 5(1), (4)(a), 12, 16(1), (2)(b), (c), (h)
Akta Pendaftaran Syarikat 1956, s. 5
Akta Relif Tertentu 1950, ss. 44, 49
Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 53(1), k. 1
Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957, k. 8(1)
Administrative Law of Malaysia and Singapore, M.P. Jain, 2nd Edn., m.s. 456.
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Ramsun Ho Chii Huey; T/n. GanTeik Chee & Ho
Bagi pihak responden – Abdullah bin Hassan, PeguamPersekutuan

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Bin Hj Mohamed H:
Melalui usul pemula pemohon memohon kebenaran memohon perintahmandamus mengarahkan responden mendaftarkan Borang B mengenai See Hai Hong Trading Co., sebuah perkongsian.
Fakta-fakta kes ini tidak dipertikaikan.
Pemohon adalah seorang pekongsi See Hoi Hong Trading Co. Mengikut pemohon dia telah menarik diri daripada perniagaan itu semenjak 1974. Pada 7 Ogos 1986 tindakan sivil telah dimulakan terhadapnya dan 10 orang pekongsi lagi menuntut hutang berjumlah RM59,980.51. Penghakiman telah diberi tetapi tarikhnya tidak disebut. Pada 9 Ogos 1989 Notis Kebankrapan dikeluarkan terhadapnya. Tidak diberitahu apa yang berlaku kepada prosiding itu.
Kerana ingin mengetahui kedudukan sebenar berkenaan tindakan sivil dan prosiding kebankrapan itu saya telah memanggil dan menyemak fail-fail berkenaan. Apa yang didapati ialah bahawa dalam guaman sivil berkenaan (No. 24-611-86) plaintif mendapat penghakiman ingkar terhadap pemohon dan rakanrakan kongsinya pada 27 April 1989. Pada 13 Jun 1990, atas permohonan pemohon, dengan persetujuan, Mahkamah telah memerintahkan bahawa plaintif diberi kebebasan untukmenghentikan (to discontinue) tindakan itu terhadap pemohon. Berkenaan prosiding kebankrapan No.19-1837-89, pempetisyen (plaintif dalam Guaman Sivil No. 24-611-86) telah tidak mengambil apa-apa tindakan lanjut selepas mengeluarkan Notis Kebankrapan disampaikan kepada pemohon. Ini adalah kerana perintah bertarikh 13 Jun 1990 itu.
Berbalik semula kepada permohonan ini. Mengikut pemohon pada 26 Februari 1990 dia mengarahkan Peguamnya mendaftarkan Borang B untuk menarik diri daripada perniagaan tersebut. Tujuan dia berbuat demikian ialah kerana dia tidak mahu dituntut oleh orang lain kerana namanya masih wujud dalam perniagaan itu. Pada 13 Mac 1990 Penolong Pendaftar Perniagaan Wilayah Utara menjawab surat Peguamnya dan menghantar Borang PNA 1A untuk ditandatangani oleh semua pekongsi-pekongsi. Melalui Peguamnya pemohon memberitahu Penolong Pendaftar itu bahawa pemohon tidak tahu di mana pekongsi-pekongsi lain berada dan memohon Borang B itu didaftarkan tanpa tandatangan mereka. Penolong Pendaftar itu enggan berbuat demikian. Oleh itu pemohon membuat permohonan ini.
Walaupun perkara ini tidak dibangkitkan oleh keduadua belah pihak, memandangkan bahawa ianya adalah satu persoalan undang-undang, saya berpendapat bahawa saya berhak dan patut menyebutnya untuk menarik perhatian pihak-pihak berkenaan untuk mengambil tindakan susulan jika difikirkan perlu.
Persoalan ini ialah berkenaan kuasa Makamah mengeluarkan writ dan perintah mandamus. Seksyen 49 Akta Relif Tertentu 1950 memperuntukkan:
49. Neither the High Court nor any other Court in Malaysia shall hereafter issue any writ of mandamus.:
Perenggan 1, Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964 berkenaan kuasa tambahan Mahkamah, pula memperuntukkan:
1. Power to issue to any person or authority directions, orders or writs, including writs of the nature of habeas corpus, mandamus,prohibition, quo warrants and certiorari, or any others, for the enforcement of the rights conferred by Part II of the Constitution, or any of them, or for any purpose.
Patut juga disebut bahawa s. 25(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang memberi kuasa yang diperuntukkan dalam Jadual itu kepada Makamah mempunyai peruntukan:
Provided that all such powers shall be exercised in accordance with any written law or rules of Court relating to the same.
Seksyen 44 Akta Relief Tertentu 1950 memberi kuasa kepada Hakim memerintahkan seseorang pekerja awam (public servant), dan lain-lain, melakukan tindakantindakan tertentu. Perintah ini adalah serupa dengan writ mandamus.
Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980(KMT 1980) menghendaki kebenaran diperolehi terlebih dahulu sebelum memohon perintah mandamus, sama seperti perintah halangan dancertiorari. Ini disahkan oleh Wan Suleiman HMP dalam kes Chan Mun Poy v. Director- General of Telecommunications & Anor. [1981] 2 MLJ 293.
Beberapa komen patut dibuat di sini. Pertama, peruntukan s. 49 Akta Relif Tertentu 1950 nampaknya bercanggah dengan perenggan 1, Jadual Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Rasanya eloklah pihak berkenaan membuat keputusan sama ada Mahkamah hendak diberi kuasa mengeluarkan writ mandamus atau tidak. Jika kuasa itu hendak diberi patutlah s. 49 Akta Relif Tertentu 1950 dimansuhkan. Jika demikian, peruntukan s. 44 Akta itu juga nampaknya tidak perlu dikekalkan, kerana perintah di bawah s. 44 dan mandamus adalah serupa. Malah mengikut Professor M.P. Jain skop perintah di bawah s. 44 itu adalah lebih sempit daripada perintah mandamus – lihat “Administrative Law of Malaysia and Singapore ” – 2 Edn. – oleh M.P. Jain muka surat 456. Jika perintah mandamus lebih luas skopnya daripada skop perintah di bawah s. 44, maka s. 44 itu tidak perlu lagi.
Sebaliknya jika Mahkamah tidak hendak diberi kuasa mengeluarkan writ mandamus, maka peruntukan perenggan 1, Jadual kepada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 patutlah dipinda dengan mengeluarkan rujukan kepada mandamus di dalamnya. Jika demikian, A. 53(1) KMT 1980juga rasanya patut dipinda. Keperluan mendapat kebenaran untuk memohon perintah mandamus tentu tidak akan timbul jika Mahkamah tidak ada kuasa mengeluarkan perintah mandamus. Dalam keadaan ini peruntukan s. 44 patutlah dikekalkan.
Walau bagaimanapun, bagi tujuan kes ini, memandangkan kepada peruntukan perenggan 1, Jadual kepada Akta Mahkamah Kehakiman 1964, s. 25(2) Akta itu, A. 53 Kaedah 1 KMT 1980, Penghakiman Wan Suleiman HMP dalam kes Chan Mun Poy, amalan biasa, dan kedua belah pihak dalam kes ini berhujah atas dasar Mahkamah ini mempunyai kuasa mengeluarkan perintahmandamus dan sebelum permohonan dibuat, kebenaran perlu diperolehi, saya akan menimbang sama ada kebenaran yang dipohon ini patut diberi atau tidak.
Walaupun di peringkat ini, permohonan ini cuma untuk mendapat kebenaran, responden telah memasukkan kehadiran.Oleh itu permohonan ini dihujahkan secara inter parte.
Oleh sebab keperluan mendapat kebenaran diperuntukkan bersama-sama dengan kebenaran untuk memohon perintah larangan dan certiorari, rasanya prinsip yang patut digunakan adalah sama dengan prinsip yang patut digunakan dalam permohonan kebenaran memohon certiorari iaitu kebenaran patut diberi jika “the point taken was not frivolous to merit refusal of leave in limine and justified argument on a substantial motion…” – lihat Mohamed Nordin bin Johan v. Attorney General, Malaysia. [1983] 1 MLJ 68.
Oleh sebab dalam kes ini persoalan yang timbul hanyalah persoalan undang-undang dan kedua pihak mempunyai peluang untuk berhujah sepenuhnya persoalan undangundang itu ia boleh dan patut diputuskan terus di peringkat ini.
Seksyen 5 Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 memperuntukkan, antara lain:
5(1) Particulars as to… any change in… associates of the business… shall,in such manner as may be prescribed, (tekanan ditambah) be submitted to the Registrar for registration…
(2)… (3)… (4) (a) On receiving the particulars submitted for registration the Registrar shall cause the same… to be entered in the register in the manner prescribed.
Seksyen 12 menjadikan satu kesalahan jika orang yang bertanggungjawab mengemukakan butiran-butiran itu gagal melakukannya.
Seksyen 16, antara lain, memperuntukkan:
16(1) The Minister may from time to time make rules for carrying out the purposes of the Act.
(2) Without prejudice to the generality of the powers conferred by subsection (1) such rules may prescribe:

(b) the particulars which must be registered and the form in which such particulars are to be supplied for registration;
(c) the requirements as to renewal, amendment or supplementing from time to time of any particulars prescribed for registration

(h) the nature and from of any document necessary for the purpose of this Act.
Kaedah 8, Kaedah-kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957 memperuntukkan:
8(1) The particulars of a business submitted for registration in accordance with these rules shall be verified by every associate of that business who shall sign the declaration endorsed on Forms “A”, “B” and “C” and every such signature shall be attested in the manner specified.
Pertama dihujahkan bahawa kaedah 8 itu tak sah kerana bercanggah dengan peruntukan s. 5 Akta Pendaftaran Syarikat 1956 itu sendiri.
Hujah ini nyata tidak berasas. Seksyen itu sendiri menghendaki “particulars… shall, in such manner as may be prescribed, be submitted…” Seksyen 16 pula dengan jelas memberi kuasa kepada Menteri membuat kaedah, termasuk k. 8 itu. Kaedah 8 itu menyatakan (prescribe) cara (manner) butir-butir itu perlu disediakan untuk dikemukakan kepada Pendaftar. Saya tidak nampak adanya apa-apa percanggahan antara kaedah dan Akta berkenaan.
Kedua, dihujahkan bahawa k. 8 itu hanyalah satu arahan (directory) dan bukan satu kewajipan (mandatory). Dalam kata-kata lain, dihujahkan jika pemohon tidak mematuhi peruntukan kaedah 8 sekalipun tidak mengapa, Pendaftar mesti mendaftarkannya juga.
Dengan hormat, saya tidak bersetuju dengan hujah ini. Memanglah menjadi tugas Pendaftar mendaftar butirbutir yang dikemukakan. Tetapi butir-butir yang dikemukakan itu mestilah mematuhi cara ia dikehendaki dikemukakan. Seorang Pendaftar yang mendaftar butirbutir yang dikemukakan dengan cara yang bercanggah dengan apa yang dikehendaki oleh undang-undang (termasuk kaedah) akan terdedah kepada perintah certiorari pula. Saya tidak fikir Mahkamah patut mengarahkan Pendaftar melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak undang-undang.
Selain daripada apa yang disebut sebelum ini, sama ada Mahkamah hendak memberi kebenaran atau tidak terletak kepada budibicara Mahkamah. Tujuan pemohon membuat permohonan ini adalah jelas – dia hendak lari dari tanggungjawabnya di atas hutang perniagaan itu. Patut diambil perhatian bahawa walaupun mengikut pemohon dia telah menarik diri semenjak 1974 hanya pada 26 Februari 1990 baru dia mengarahkan Peguamnya mendaftarkan Borang B, iaitu selepas tindakan sivil diambil terhadapnya dan rakan-rakan kongsinya dan selepas Notis Kebangkrapan dikeluarkan terhadapnya. Alasannya ialah dia tidak tahu di mana pekongsi-pekongsinya. Hal seperti ini tentu tidak berlaku jika perniagaan itu menjadi pemiutang dan bukan penghutang. Untuk itu Mahkamah ini diminta mengarahkan pegawai kerajaan berbuat sesuatu yang melanggar peruntukan undangundang. Mahkamah ini tidak sepatutnya berbuat demikian.
Permohonan ditolak dengan kos.

73 visits