ALOR JANGGUS SOON SENG TRADING SDN. BHD. & LAGI lwn. SEY HOE SDN. BHD. & LAGI

ALOR JANGGUS SOON SENG TRADING SDN. BHD. & LAGI lwn. SEY HOE SDN. BHD. & LAGI
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED, H
GUAMAN SIVIL NO. 22-109-93
3 NOVEMBER 1993
[1994] 4 CLJ 57

ACARA SIVIL: INJUNKSI – Penjualan saham syarikat – Injunksi sementara ex-parte diberi untuk menahan pelupusan saham kepada pembeli – Samada injunksi patut dikekalkan – Permohonan untuk injunksi dibuat empat bulan selepas penjualan – Samada berlaku kelewatan yang tidak berpatutan – Imbangan kesesuaian – Samada berpihak kepada defendan dan pembeli.

UNDANG-UNDANG SYARIKAT: Pemegang saham minoriti – Hak untuk bertindak – Frod oleh pemegang saham terhadap syarikat – Samada pemegang saham minoriti boleh memulakan tindakan secara sendirian – Samada tindakan hanya boleh dimulakan oleh dan atas nama syarikat – Halehwal dalaman syarikat – Samada Mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk campur tangan.

Plaintif-plaintif dan defendan kedua adalah pemegang saham defendan pertama (syarikat tersebut), di mana plaintif-plaintif dan defendan kedua memegang 43.7% dan 25.6% saham masing-masing.
Saham yang selebihnya dipegang oleh mereka yang bukan parti kepada kes ini. Fakta kes menunjukkan bahawa syarikat tersebut adalah pemilik kepada sejumlah saham dalam sebuah syarikat lain (MGR). Berikutan resolusi yang diluluskan oleh Mesyuarat Agung Luarbiasa syarikat tersebut, defendan kedua telah menjual saham MGR tersebut kepada defendan ketiga, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan deefendan kedua, melalui perjanjian bertarikh 1 September 1992.
Tiga bulan selepas penjualan saham tersebut, syarikat MGR telah disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) menyebabkan nilai sahamnya naik. Plaintif-plaintif merasakan mereka telah ditipu oleh defendan kedua, dan dengan itu telah memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap defendan kedua dan ketiga dan seterusnya memohon satu perintah injunksi bagi menahan syarikat tersebut dan defendan kedua daripada melupuskan saham MGR tersebut kepada defendan ketiga.
Plaintif-plaintif mengatakan bahawa mereka telah difrodkan oleh defendan kedua oleh kerana, sewaktu penjualan saham tersebut, defendan kedua telah mengetahui bahawa MGR akan disenaraikan di BSKL tetapi maklumat tersebut telah disorok dan tidak diberitahu kepada plaintifplaintif.
Pada 2 April 1993 Yang Arif Hakim telah memberi injunksi sementara secara ex-parte kepada plaintif-plaintif.
Berikutnya defendan kedua dan ketiga telah memfailkan permohonan masing-masing memohon supaya perintah injunksi diketepikan dan persoalan penting yang timbul ialah (i) samada apa yang ditelingkahkan oleh plaintif-plaintif merupakan hal ehwal dalaman syarikat di mana Mahkamah tidak seharusnya campur tangan (ii) samada plaintif-plaintif adalah sebenarnya pemegang saham minoriti syarikat tersebut, dan jika ya, samada dalam halkeadaan kes ini, mereka mempunyai locus standi untuk membuat tuntutan yang berkenaan (iii) samada wujud alasan yang cukup untuk mengekalkan injunksi sementara yang berkenaan.
Diputuskan:
[1] Berhubung dengan tuntutan plaintif-plaintif, kedudukannya di sisi undang-undang ialah, jika sesuatu kesalahan dilakukan terhadap sesebuah syarikat, syarikat itulah yang patut bertindak dan pemegangpemegang saham cuma mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam syarikat itu. Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman syarikat jika syarikat itu bertindak dalam bidangkuasanya atau tanpa frod.
Pengecualian hanya diberi jika relif-relif yang dipohon itu adalah terhadap majoriti, dan majoriti itu tidak membenarkan guaman itu dibawa atas nama syarikat itu di mana pemegang-pemegang saham yang tidak puas hati bolehlah membawa tindakan itu bagi pihak yang lain.
[2] Dalam hal ini, samada plaintif merupakan pemegang-pemegang saham minoriti boleh dipertikaikan. Di antara ketiga-tiga defendan dalam kes ini, hanya defendan kedua seorang pemegang saham syarikat, itu pun cuma 25.6% berbanding dengan 43.7% yang dipegang oleh plaintif-plaintif. Jadinya, jika dilihat dari segi pemegangan saham antara pihak-pihak dalam kes ini, plaintif-plaintif bukanlah merupakan pihak minoriti, walau mereka boleh dianggap demikian jika dilihat dari segi keseluruhan pemegangan saham.
[3] Jikapun plaintif-plaintif di sini merupakan pihak minoriti, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa mereka cuba menyelesaikan ketidakpuashatian mereka samada di mesyuarat Lembaga Pengarah atau di Mesyuarat Agung syarikat. Dalam keadaan mereka gagal mengambil tindakan sedemikian terlebih dahulu, adalah “unreasonable” untuk membenarkan tuntutan mereka di Mahkamah ini. Selain dari itu, tidak terdapat apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa defendan kedua dan pemegang-pemegang saham lain tidak membenarkan tindakan dibawa oleh syarikat tersebut. Oleh hal yang demikian, plaintif-plaintif di sini tidak ada locus standi kerana mereka bukanlah pihak-pihak yang sepatutnya memulakan tindakan ini. Paling tidak, tindakan mereka adalah “misconceived”.
[4] Tuntutan plaintif di sini ialah tuntutan ganti rugi dimana kerugiannya adalah semata-mata dari segi wang ringgit, dan oleh itu, boleh ditaksirkan jika terbukti. Oleh yang demikian relif injunksi adalah tidak sesuai dan tidak harus diberikan. Selain dari itu imbangan kesesuaian juga berpihak kepada defendan-defendan, oleh kerana penjualan telah selesai dilaksanakan, harga jualan telah dibayar dan cagaran telah dilepaskan. Tambahan pula terdapat kepentingan pembeli iaitu defendan ketiga yang telah membayar harga belian sepenuhnya. Sebaliknya plaintif hanya menuntut “kerugian” kerana kenaikan nilai saham.
[5] Plaintif-plaintif membuat permohonan untuk mendapat injunksi sementara enam bulan selepas Mesyuarat Agung defendan pertama meluluskan penjualan saham yang berkenaan dan empat bulan selepas penjualan itu selesai. Berdasarkan autoriti-autoriti yang diputuskan oleh Mahkamah-Mahkamah, telah berlaku kelewatan dipihak plaintif-plaintif dan oleh kerana tiada penjelasan diberi, maka kelewatan mereka adalah tidak berpatutan.
[Permohonan defendan-defendan dibenarkan. Injunksi sementara tidak dikekalkan].

Case(s) referred to:
Burland v. Earle [1990] AC 83 (diikuti)
Prudential Assurance v. Newman Industries [1982] 1 Ch 204 (dinama)
Hew Sook Ying V. Hiw Tin Hee [1992] 1 CLJ 120 (Rep)
Evercrisp Snack Products (M) BANKINGANDFINANCE & Anor. v. Sweeties Food Industries BANKINGANDFINANCE [1979] 1 LNS 19 (dirujuk)
Haji Wan Habib Syed Mahmud v. Datuk Pattinggi Haji Abdul Taib Mahmud & Anor. [1986] 2 CLJ 115/[1986] 2 MLJ 198
R v. Senate of the University of Aston [1969] 2 All ER 964 (dinama)
Chung Khiaw Bank Ltd. v. Berjaya Textiles Ltd. & Anor. [1968] 1 MLJ 299 (dinama)

Counsel:
Bagi pihak semua plaintif – John Khoo Boo Lai; T/n. Ismail, Khoo & Associates
Bagi pihak defendan 1 – Manjit Singh; T/n. Manjit Singh & Co.
Bagi pihak defendan 2 – Ghazi Ishak; T/n. Ghazi & Lim
Bagi pihak defendan 3 – Rumi Manecksha; T/n. Ong & Manecksha

Case History:
Supreme Court : [1995] 1 CLJ 461

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Haji Mohamed:
Pada 1 April 1993 plaintif-plaintif memfail writ dan pernyataan tuntutan memohon berbagai-bagai perintah – lihat perenggan 20 pernyataan tuntutan, lampiran 1.
Pada hari yang sama, plaintif-plaintif memfail saman-dalam-kamar memohon perintah-perintah berikut:
(i) Suatu perintah menahan defendan-defendan pertama dan kedua, pekerja-pekerja, agen-agen, orangorang suruhannya atau mana-mana pihak daripada melupuskan saham-saham atau mendaftarkan ‘executed’ memorandum of transfer yang disebutkan dalam perjanjian jualan saham bertarikh 1 September 1992 antara Sey Hoe dan Choong Keong Kor. (ii) Suatu perintah menahan ‘executed’ memorandum of transfer saham-saham yang disebutkan dalam perjanjian jualan saham bertarikh 1 September 1992 antara Sey Hoe dan Choong Keong Kor didaftarkan dalam nama Choong Keong Kor atau namaannya atau mana-mana pihak; (iii) Kos;
Pada 2 April 1993, saya memberi injunksi sementara secara ex parte berikut:

Adalah Diperintahkan Dan Diarakhan bahawa defendan-defendan pertama dan kedua pekerjapekerja, agen-agen, orang-orang suruhan mereka atau mana-mana pihak ditahan, dan suatu injunksi adalah dengan ini diberikan sehingga perintah selanjutnya menahan mereka daripada melupuskan sahamsaham atau mendaftarkan ‘executed’ memorandum of transfer yang disebutkan dalam perjanjian jualan saham bertarikh 1 September 1992 antara Sey Hoe dan Choong Keong Kor;

Adalah Juga Diperintahkan bahawa ‘executed’ memorandum of transfer saham-saham yang disebutkan dalam perjanjian jualan saham bertarikh 1 September 1992 antara Sey Hoe dan Choong Keong Kor dengan ini ditahan dari didaftarkan dalam nama Choong Keong Kor atau namaannya atau mana-mana pihak sehingga perintah selanjutnya.

Pada 8 Mei 1993 defendan kedua, memfail saman-dalam-kamar memohon supaya perintah injunksi sementara itu diketepikan dan lain-lain perintah sampingan – lampiran pertama 17. Defendan pertama juga membuat permohonan yang serupa pada 14 Jun 1993 – lampiran 22.

Pada 27 Ogos 1993 saya membenarkan permohonan-permohonan defendan-defendan itu.

Eloklah diringkaskan terlebih dahulu tuntutan plaintif-plaintif itu.
Plaintif-plaintif adalah pemegang saham defendan pertama. Defendan kedua adalah juga pemegang saham defendan pertama dan pengarah urusan syarikat itu. Plaintif-plaintif menyatakan bahawa defendan kedua telah, pada 1 September 1992, dengan cara yang taksah dan memfrodkan plaintif-plaintif sebagai pemegangpemegang saham, menandatangan satu perjanjian menjual saham milikan syarikat defendan pertama dalam syarikat MGR Corporation (MGR) kepada defendan ketiga. Plaintif memberi butir-butir frod yang dikatakan itu. Ringkasnya, plaintif-plaintif menyatakan bahawa defendan kedua tahu bahawa MGR akan disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSRL). Maklumat itu tidak diberitahu olehnya kepada plaintif-plaintif. Defendan kedua memanggil Mesyuarat Agung Luarbiasa yang meluluskan jualan saham defendan pertama dalam MGR. Ia dijual dengan harga yang murah kepada defendan ketiga yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan defendan kedua. Akibatnya, apabila nilai saham itu naik selepas MGR disenaraikan, defendan ketiga mendapat untung.
Plaintif-plaintif mengatakan oleh sebab itu mereka telah rugi.
Pada hari permohonan-permohonan ini didengar, Peguam-Peguam defendan-defendan membuat bantahan awal. Setelah mendengarnya, saya memutuskan untuk tidak membuat keputusan berkenaan bantahan awal itu terlebih dalulu. Sebaliknya saya mengarahkan mereka menghujahkan kes itu dari segi meritnya juga.
Ini adalah untuk mengelak rayuan berulangkali ke Mahkamah Agung dan melambatkan prosiding ini.

Pada 27 Ogos 1993 saya memberi keputusan membenarkan prayer 1, 2 dan 3 dalam lampiran 17 dan 22. Saya juga mengarahkan bahawa gantirugi seperti yang akan ditaksirkan oleh Penolong Kanan Pendaftar dan kos diberi juga kepada defendan ketiga.

Eloklah diperturunkan terlebih dahulu fakta-fakta kes yang tidak dipertikaikan mengikut susunan mana yang lebih awal.
(a) Pada 29 September 1991, defendan pertama membeli saham MGR berkenaan. Untuk mendapat wang untuk membeli saham itu, tanah kepunyaan defendan pertama digadai kepada bank.
(b) Pada 5 Mac 1992, lembaga pengarah defendan pertama meluluskan resolusi melantik defendan kedua sebagai wakil defendan pertama dalam semua mesyuarat dengan MGR – ekshibit “B”, lampiran 21.
(c) Pada 29 Julai 1992, lembaga pengurus defendan pertama meluluskan resolusi memberikuasa kepada setiausaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung luarbiasa untuk membincang cadangan, antara lain, untuk menjual saham berkenaan kepada Ng Kay Kim dan Chong Keong Koh – lihat ekshibit “C”, lampiran 21.
(d) Mesyuarat Agung luarbiasa itu diadakan pada 23 Ogos 1992. Mesyuarat itu, antara lain, meluluskan resolusi untuk menjual saham berkenaan dan memberi kuasa kepada defendan kedua untuk melaksanakan perjanjian berkenaan dengannya.
(e) Pada 1 September 1992, perjanjian antara defendan pertama dengan defendan ketiga, di mana defendan pertama menjual dan defendan ketiga membeli saham tersebut ditandatangani – ekshibit “A”, lampiran 2.
(f) Pada 19 September 1992, terdapat satu laporan dalam akhbar The Star yang menyebut bahawa MGR akan memohon untuk disenaraikan di BSKL.

(g) Pada 9 Disember 1992, MGR disenaraikan di BSKL.

(h) Pada 25 Disember 1992, gadaian tanah kepunyaan defendan pertama yang digadai kepada bank dalam tahun 1991 untuk membeli saham berkenaan dilepaskan.

(i) Pada 1 April 1993, plaintif-plaintif memfail tindakan ini.
Pertama, dihujahkan oleh Peguam-Peguam defendan-defendan bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai locus standi dalam kes ini. Plaintif-plaintif, hujah mereka hanyalah pemegang-pemegang saham defendan pertama. Saham dalam MGR yang dijual itu adalah kepunyaan defendan pertama. Jika ada pihak yang patut mengambil tindakan berkenaan jualan itu ialah defendan pertama. Di sini, defendan pertama berpuashati dengannya. Jualan disahkan oleh Mesyuarat Agung Luarbiasa. Harga jualan telah dibayar. Tanah defendan pertama yang digadai telah ditebus kembali.
Plaintif-plaintif sebagai pemegang saham defendan pertama tidak berhak memulakan tindakan ini, hujah mereka.

Beberapa autoriti telah dirujukkan oleh kedua-dua belah pihak berkenaan isu ini. Autoriti pertama yang patut dirujuk dalam hal ini ialah kes Burland v. Earle [1990] AC 83 (PC). Dalam penghakiman Majlis Privy itu yang disampaikan oleh Lord Davey, di halaman 93, Hakim yang arif itu berkata:
It is an elementary principle of the law relating to joint stock companies that the Court will not interfere with the internal management of companies acting within their powers, and in fact has no jurisdiction to do so. Again, it is clear law that in order to redress a wrong done to the company or to recover moneys or damages alleged to be due to the company, the action should prima facie be brought by the company itself. These cardinal principles are laid down in the well-known cases of Foss v. Harbottle (1) and Mozley v. Alston (2), and in numerous later cases which it unnecessary to cite. But an exception is made to the second rule, where the persons against whom the relief is sought themselves hold and control the majority of the shares in the company, and will not permit an action to be brought in the name of the company. In that case the Courts allow the shareholders complaining to bring an action in their own names. This, however, is mere matter of procedure in order to give a remedy for a wrong which would otherwise escape redress, and it is obvious that in such an action the plaintiffs cannot have a larger right to relief than the company itself would have if it were plaintiff, and cannot complain of acts which are valid if done with the approval of the majority of the shareholders, or are capable of being confirmed by the majority. The cases in which the minority can maintain such an action are, therefore, confined to those in which the acts complained of are of a fraudulent character or beyond the powers of the company. A familiar example is where the majority are endeavouring directly or indirectly to appropriate to themselves money, property, or advantages which belong to the company, or in which the other shareholders are entitled to participate, as was alleged in the case of Menier v. Hooper’s Telegraph Works.(3) It should be added that no mere informality or irregularity which can be remedied by the majority will entitle the minority to sue, if the act when done regularly would be within the powers of the company and the intention of the majority of the shareholders is clear.
This may be illustrated by the judgment of Mellish LJ in MacDougall v. Cardiner.(1) Lihat juga Prudential Assurance v. Newman Industries [1982] 1 Ch 204 (CA)
Nampaknya, jika sesuatu kesalahan dilakukan terhadap sesebuah syarikat, syarikat itulah yang patut bertindak. Pemegang-pemegang saham cuma mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam syarikat itu. Kesalahan yang dilakukan kepada syarikat itu tidak menjejaskan hak itu. Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah syarikat jika syarikat itu bertindak dalam bidangkuasanya atau tanpa frod.
Tetapi, jika relif-relif yang dipohon itu adalah terhadap majority, dan majoriti itu tidak membenarkan guaman itu dibawa atas nama syarikat itu, pemegang-pemegang saham yang tidak puas hati bolehlah membawa tindakan itu bagi pihak yang lain.
Dalam hal ini, sama ada plaintif merupakan pemegang-pemegang saham minoriti dipertikaikan. Plaintifplaintif mengatakan bahawa mereka adalah minoriti. Ini disangkal oleh abang plaintif-plaintif kedua hingga ketujuh. Katanya saham syarikat itu dibahagikan 50-50 di antara dua cabang keluarga Lim. Saham plaintifplaintif, termasuk sahamnya sebanyak 6.25% berjumlah 50%, katanya. Nampaknya dia tidak menyebelahi adik-adiknya.
Dalam keadaan itu, rasanya tidaklah wajar bagi saya mengambilkira sahamnya.
Sementara itu, di antara ketiga-tiga defendan hanya defendan kedua seorang pemegang saham syarikat, itu pun cuma 25.6% berbanding dengan 43.7% yang dipunyai oleh plaintif-plaintif, jika saham yang dimiliki o]eh abang plaintif-plaintif kedua hingga ketujuh tidak diambilkira.
Jadi, jika cuma dilihat dari segi pemegangan saham antara pihak-pihak dalam kes ini plaintif-plaintif bukanlah pihak minoriti.
Tetapi, jika dilihat dari segi keseluruhan pemegangan saham, plaintif-plaintif adalah minoriti.
Tetapi, katakanlah plaintif-plaintif merupakan pihak minoriti, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa mereka mencuba menyelesaikan ketidakpuashatian mereka sama ada di mesyuarat lembaga pengarah atau di Mesyuarat Agung.
Dalam kes Hew Sook Ying V. Hiw Tin Hee [1992] 1 CLJ 120 (Rep), walaupun faktanya berlainan, Mahkamah itu mengatakan di halaman 199:

… it is unreasonable for the respondent managing director (dalam sifatnya sebagai pegawai syarikat dan sebagai pemegang saham – ditambah) to challenge the bona fide of the sale without first resolving the matter either in the boardroom of the company, or at the floor of its general meeting.

Selain dari itu tidak terdapat apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa defendan kedua dan pemegangpemegang saham lain tidak membenarkan tindakan ini dibawa oleh defendan pertama.
Dalam keadaan ini saya berpendapat bahawa plaintif-plaintif bukanlah pihak-pihak yang sepatutnya memulakan tindakan ini.
Atau, sekurang-kurangnya tindakan mereka adalah “misconceived”.
Peguam defendan kedua menghujahkan bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai kausa tindakan. Hujah ini adalah bertindih-tindan dengan hujah Peguam defendan pertama yang telah dibincangkan di atas. Asas hujahnya juga sama dengan hujah itu. Tanpa mengulangi perbincangan mengenainya, saya tidak fikir bahawa plaintif-plaintif tidak mempunyai kausa tindakan.
Tetapi, atas alasan-alasan yang saya telah beri semasa membincangkan hujah yang dikemukakan oleh Peguam defendan pertama itu, saya berpendapat bahawa tindakan plaintif-plaintif ini adalah “misconceived”.
Peguam defendan kedua juga menghujahkan bahawa memandangkan bahawa dalam tuntutan plaintif-plaintif mereka menuntut gantirugi, maka semestinya gantirugi adalah relif yang memadai. Saya bersetuju dengan hujah ini. Tuntutan plaintif ialah kerana mengikut mereka mereka telah rugi kerana selepas saham itu dijual dan MGR disenaraikan, nilai saham itu telah naik. Sebab itu mereka rugi.
Kerugian ini adalah semata-mata dari segi wang ringgit, yang jika terbukti, boleh ditaksirkan.
Berkenaan imbangan kesesuaian pula, penjualan itu telah selesai dilaksanakan, harga beliau telah dibayar dan cagaran telah dilepaskan. Selain dari itu terdapat pula kepentingan pembeli (defendan ketiga) yang telah membayar harga belian sepenuhnya. Sebaliknya plaintif-plaintif cuma menuntut “kerugian” kerana kenaikan nilai saham itu.
Dalam keadaan ini, saya berpendapat bahawa imbangan kesesuaian memihak kepada defendan-defendan.

Akhir sekali dibangkitkan soal kelewatan membuat permohonan untuk mendapat injunksi sementara ini.
Dalam kes Evercrisp Snack Products (M) & Anor. V. Sweeties Food Industries Sdn. Bhd [1979] 1 LNS 19terdapat kelewatan selama 22 bulan dan tiada penjelasan diberi mengenainya.
Mahkamah berpendapat bahawa kelewatan itu tidak munasabah.
Dalam kes Haji Wan Habib Syed Mahmud v. Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud & Anor. [1986] 2 MLJ 198, cuma terdapat kelewatan selama dua bulan untuk memohon injunksi sementara.
Dalam Penghakiman Mahkamah itu, Abdul Hamid, Pemangku Ketua Hakim Negara (pada masa itu) berkata:

Discretionary remedies are exceptional in their nature and shall not be made available to those who sleep on their rights.

Lihat juga kes R v. Senate of the University of Aston [1969] 2 All ER 964 dan Chung Khiaw Bank Ltd. v. Berjaya Textiles Ltd. & Anor. [1968] 1 MLJ 299.
Dalam kes ini permohonan untuk mendapat injunksi sementara ini dibuat lebih kurang enam bulan selepas Mesyuarat Agung defendan pertama meluluskan penjualan itu, lebih kurang empat bulan selepas penjulan itu selesai dan tanah defendan pertama yang digadai untuk membeli saham itu dahulunya ditebus, dan tiada apa-apa penjelasan mengenai kelewatan itu. Berdasarkan autoriti-autoriti yang tersebut di atas, terutama sekali penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Haji Wan Habib itu, saya berpendapat bahawa kelewatan plaintif-plaintif dalam kes ini adalah tidak berpatutan dan tiada penjelasan diberi. Oleh itu injunksi sementara itu tidak patut diberi, atau, jika diberi secara ex parte, tidak patut dikekalkan.
Atas asalan-alasan ini saya membenarkan permohonan defendan-defendan dan membuat perintah-perintah itu.

161 visits