ISMAIL MOHD. & LAGI lwn. ZAINUL ABIDIN MOHAMAD HASHIM & LAGI

ISMAIL MOHD. & LAGI lwn. ZAINUL ABIDIN MOHAMAD HASHIM & LAGI
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
GUAMAN SIVIL NO. 22-343-93
30 SEPTEMBER 1993
[1994] 2 CLJ 201

INJUNKSI: Pemohonan untuk menahan mesyuarat parti politik bersidang – Keputusan pemangku ketua UMNO Bahagian Bagan dipersoalkan – Samada Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendengarkan guaman ini – Samada plaintif-plaintif mempunyai locus standi memulakan tindakan – Akibat plaintif membawa perkara parti UMNO ke Mahkamah.

Ini adalah satu permohonan untuk mengeluarkan injuksi secara exparte untuk menahan defendan-defendan daripada mengadakan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Bagan yang telah dijadualkan pada hari Ahad 19 September 1993. Setelah memerhatikan kelewatan samam-dalam-kamar difailkan, iaitu pada hari Jumaat 17 September 1993, Hakim yang arif telah memerintahkan permohonan didengari secara interpartes.
Pertelingkahan dalam kes ini bermula dari keputusan defendan pertama, pemangku ketua UMNO Bahagian Bagan menggugurkan jawatankuasa tambahan dan ahliahlinya yang telah dilantik oleh ketua UMNO yang terdahulu. Defendan pertama telah memohon nasihat Setiausaha Agung UMNO mengenai status ahli-ahli jawatankuasa baru yang ditubuhkannya dan telah menerima pengesahan bahawa perlantikan tersebut tidak menyalahi perlembagaan UMNO. Perlantikan juga menerima pengesahan Bahagian Perhubungan UMNO Pulau Pinang (BPUPP).
Pada 20 September 1993, Setiausaha Agung telah juga menulis surat dalam mana dinyatakan Majlis Tertinggi UMNO telah memberikan pengendalian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan kepada Badan Perhubungan UMNO di Pulau Pinang yang berkuasa membuat segala keputusan mengenai semua perkara Bahagian Bagan dan keputusan-keputusan itu adalah muktamad.
Isu pertama dihadapan Mahkamah ialah samada Mahkamah mempunyai bidangkuasa terhadap guaman ini memandangkan s. 18C Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan (secara ringkas) bahawa keputusan seseorang yang memegang kuasa dan diberikuasa oleh sesuatu parti politik tidak boleh dijadikan perkara perguaman dalam Mahkamah. Isu kedua ialah samada kedua-kedua plaintif mempunyai locus standi membawa guaman ini setelah memerhatikan Fasal 18.3 Perlembagaan UMNO. Fasal 18.3 itu menyatakan bahawa mana-mana ahli yang membawa perkara parti ke Mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti akan menghadapi keguguran keahlian secara sendirinya.
Diputuskan:
[1] Mahkamah terpaksa menerima hujahan Peguam defendan-defendan yang dengan sendirinya melaksanakan kes atas prinsip kes Ainismic dan penukiran bahawa s. 18Ctidak mengeluarkan bidangkuasa Mahkamah jika keputusan yang dibacar itu dibuat diluar bidangkuasa atau jika keputusan itu adalah satu ‘nullity’.
Oleh itu isu yang benar ialah sama ada dalam faktafakta kes ini, peruntukan s. 18C itu, mengambil kira prinsip dalam kes Ainismic mengeluarkan guaman daripada bidangkuasa Mahkamah.
Majlis Tertinggi telah menurunkan kuasanya kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang (BPUPP). BPUPP diberikuasa menyelesaikan pertelingkahan yang berbangkit dan adalah orang yang diberikuasa oleh [parti], s. 18C itu. Oleh yang demikian ia mempunyai bidangkuasa membuat keputusan dan lebih-lebih lagi keputusan disahkan oleh Majlis Tertinggi. Keputusan BPUPP bukanlah nullity dan s. 18C terpakai, justru itu keputusan tidak boleh dicabar.
[2] Pihak plaintif tidak mendedahkan surat Setiausaha Agung UMNO dalam permohonan untuk injunksi. Kegagalan ini adalah serius, menjejaskan keperluan sesuatu pihak mendedahkan semua fakta penting dalam perkara diperguamkan dan bersikap jujur dalam memohon secara exparte.
[3] Dalam menelitikan peraturan-peraturan UMNO, didapati ada peraturan-peraturan yang disebut oleh Fasal 18.3 dan ini adalah perenggan 1.6.6 yang mengkehendaki sebarang bantahan dikemukakan dalam tempoh 7 hari. Perisytihan dalam pernyataan tuntutan adalah sesuatu yang jatuh di bawah perenggan 1.6.6. Bantahan hanya boleh dibuat selepas Mesyuarat Perwakilan dan pihak-pihak mesti tunggu sebelum membawa perkara parti ke Mahkamah jika tidak dihalang oleh s. 18C. Plaintif-plaintif tidak mematuhi peraturan dan keahlian mereka gugur apabila memfailkan guaman ini dan akibatnya mereka tidak ada locus standi kerana tidak ada hak-hak yang dipunyai oleh ahli.
[4] Selain daripada alasan-alasan di atas, tiada isu-isu serius untuk dibicarakan kerana defendan pertama sendiri bersetuju dengan keputusan BPUPP dan BPUPP yang diberikuasa menyelesaikan masalah disahkan keputusannya oleh Majlis Tertinggi UMNO.
[Permohonan ditolak dengan kos].

Case(s) referred to:
Anisminic Ltd. lwn.
Foreign Compensation Commission [1969] 2 AC 147 (dirujuk)
South East Asia Fire Bricks BANKINGANDFINANCE lwn.
Non-Metallic Mineral Products Manufacturers Employees’ Union & Ors. [1980] 2 MLJ 165 (dirujuk)
Pahang South Union Omnibus Co. Bhd. lwn. Minister of Labour and Manpower & Anor. [1981] CLJ 83/ [1981] 2 MLJ 199 (dirujuk)
Penang Development Corporation lwn. Teoh Eng Huat & Anor. [1993] 2 CLJ 283 (dirujuk)
Tunas (Pte) Ltd. lwn.
Mayer Investment Pte. Ltd. & Ors. [1989] 2 MLJ 132 (dirujuk)
Cocoa Processing BANKINGANDFINANCE lwn. United Malayan Banking Corporation Bhd. & Ors. [1989] 1 CLJ 183/ [1988] 3 MLJ 491 (dirujuk)

Legislation referred to:
Akta Pertubuhan 1966, s. 18C
Perlembagaan Persekutuan, perkara 121
Counsel:
Bagi pihak plaintif – K. Balasundram; T/n. Balasundram& Co.
Bagi pihak defendan-defendan – Muhammad ShafeeAbdullah (Ariffin bin Hj. Daud dan Radzi bin ZainalAbidin bersama-samanya); T/n. Shafee &Co.

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Haji Mohamed H:
Latar belakang
Pada hari Jumaat 17 September 1993 pukul 3.10 petang plaintif-plaintif memfail guaman ini. Pada masa yang sama mereka memfail saman-dalam-kamar untuk mendapat injunksi sementara secara ex parte (setelah mendengar sebelah pihak sahaja) untuk menahan defendan-defendan daripada mengadakan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Bagan yang dijadualkan akan diadakan pada hari Ahad 19 September 1993 pukul 9.00 pagi.
Memandangkan bahawa, jika perintah sementara itu diberi secara ex parte, defendan-defendan tidak mungkin mempunyai kesempatan untuk mengenepikannya sebelum hari Ahad 19 September 1993, saya enggan mendengar permohonan ini secaraex parte. Saya mengarahkan semua dokumen disampaikan kepada defendan-defendan petang itu juga, dan menetapkan esoknya (Sabtu 18 September 1993) untuk mendengar permohonan ini.
Esoknya (Sabtu 18 September 1993) peguam-peguam kedua-dua belah pihak hadir di kamar saya. Dengan persetujuan kedua belah pihak, mereka memohon pendengaran permohonan ini ditangguhkan kepada 22 atau 23 September 1993. Defendan-defendan pula memberi akujanji (undertaking) tidak akan mengadakan Mesyuarat Agung pada hari Ahad 19 September 1993 seperti yang dijadualkan itu. Saya menetapkan supaya permohonan ini didengar pada 22 September 1993.
Permohonan ini dihujahkan pada 22 September 1993 sehingga lebih kurang pukul 3.30 petang. Saya menangguhkan keputusan saya kepada esoknya (23 September 1993). Pagi 23 September 1993 saya memberi keputusan menolak permohonan plaintifplaintif dengan kos.
Inilah alasan-alasan saya sepenuhnya.
Fakta-fakta kes
Eloklah diperturunkan terlebih dahulu fakta-fakta yang berkenaan, yang tidak dipertikaikan:
(a) Plaintif pertama adalah ahli UMNO Cawangan Mak Mandin dalam Bahagian Bagan, Seberang Perai. (b) Plaintif kedua adalah ahli UMNO Cawangan Kampung Perlis, juga dalam Bahagian Bagan. (c) Defendan pertama adalah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bagan. (d) Defendan kedua adalah Setiausaha Bahagian itu. (e) Defendan ketiga adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang (BPUPP). (f) Defendan keempat adalah setiausaha BPUPP. (g) Apabila Y.B. Mohd. Farid Ariffin berhenti daripada menjadi ketua UMNO Bahagian Bagan pada 25 Mei 1993, defendan pertama telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas-tugas Ketua Bahagian itu. (h) Pada 27 Jun 1993, defendan pertama, selaku Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bagan telah memberhentikan Jawatankuasa Tambahan yang telah dilantik oleh Y.B. Mohd. Farid Ariffin. Jawatan-jawatan yang terlibat ialah Bendahari, Ketua Penerangan dan empat orang ahli Jawatankuasa. (i) Akibat daripada tindakan defendan pertama itu, Ketua-Ketua 22 Cawangan dalam Bahagian UMNO Bagan telah membuat bantahan kepada Ketua BPUPP. Mereka juga mendesak supaya BPUPP mengambil alih pentadbiran dan pengurusan UMNO Bahgian itu sehingga persidangan Bahagian itu. (j) Perkara itu dilaporkan oleh defendan pertama kepada Mesyuarat BPUPP pada 8 Julai 1993. Mesyuarat itu telah membuat keputusan berikut:
2. Mengesahkan keputusan Pemangku Ketua yang telah menggugurkan: a. Bendahari. b. Ketua Penerangan, dan c. 4 orang Ahli Jawatankuasa.
Jawatan-jawatan tersebut melainkan Bendahari akan dikosongkan sehingga Persidangan Perwakilan Bahagian. Bendahari yang akan dilantik hendaklah dari kalangan Ahli Jawatankuasa Bahagian yang lama.
Setiausaha Bahagian yang ada sekarang akan kekal menyandang jawatan tersebut sehingga Persidangan Perwakilan Bahagian.
(k) Pada 9 Julai 1993, defendan keempat, selaku setiausaha BPUPP telah menghantar surat kepada defendan pertama mengesahkan keputusan itu – Lampiran IS-8, Lampiran 8. (l) Pada 3 Ogos 1993 defendan ketiga telah mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Pemuda dan Wanita, ketua-ketua Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Pemuda dan Wanita. Keputusan perjumpaan itu disampaikan kepada defendan pertama melalui surat bertarikh 2 September 1993 – Eksibit IS-9, Lampiran 8. (m) Dalam Mesyuarat Khas BPUPP pada 12 Ogos 1993 Mesyuarat tersebut telah memberi kuasa kepada defendan ketiga untuk menyelesaikan masalah di Bahagian Bagan itu dan mengiktirafkan semua keputusan yang telah dibuat oleh defendan ketiga pada 3 Ogos 1993. Mesyuarat pada 12 Ogos 1993 itu dihadiri juga oleh defendan pertama. (n) Pada 17 Ogos 1993, defendan pertama telah memberhentikan Mohd. Junid bin Kecik dan Gayah bte Ibrahim, masing-masing dari jawatan Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa Bahagian itu. Beliau juga melantik Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan lima orang Ahli Jawatankuasa baru. (o) Dalam Mesyuarat BPUPP pada 28 Ogos 1993, defendan ketiga diberi mandat menyelesaikan semua masalah di Bahagian Bagan. Defendan pertama juga hadir dalam mesyuarat itu. Keputusan mesyuarat yang dipersetujui sendiri oleh defendan pertama ialah:
(i) Jawatan Ketua Penerangan, Bendahari dan empat (4) AJK tambahan yang telah dipecat tidak boleh diganti, kecuali jawatan Bendahari boleh diisi daripada AJK Bahagian yang sedia ada. (ii) Setiausaha UMNO Bahagian yang seharusnya dikekalkan sehingga persidangan Agung Bahagian diputuskan oleh Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim boleh ditukarkan atas alasan Bahagian yang munasabah. (iii) Puan Gayah Ibrahim, AJK tambahan kekal sebagai AJK Bahagian sehingga persidangan Agong Bahagian.
Keputusan itu disampaikan oleh defendan ketiga kepada defendan pertama melalui suratnya pada 10 September 1993 – Ekshibit IS-14, Lampiran 8.
(p) Pada 6 September 1993, defendan pertama telah menghantar fax kepada setiausaha Agung UMNO:
Perlantikan AJK Tambahan Mengikut Fasal 13.6, 13.11.1.4 Dan 13.11.1.5
Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara tersebut di atas.
Ingin saya memaklumkan kepada Y.B. Dato’ bahawa sebagai Pemangku Ketua Bahagian saya telah menggunakan kuasa mengikut perlembagaan iaitu saya telah menggugur beberapa AJK yang dilantik oleh bekas Ketua Bahagian seterusnya melantik AJK Tambahan yang baru. (Surat-surat perlantikan dikepilkan).
Saya memohon penjelasan dari Y.B. Dato’ mengenai status perlantikan ini mengikut perlembagaan oleh kerana pertikaian mungkin berlaku pada hari Persidangan Perwakilan Bahagian yang akan di adakan pada 12 September 1993. Demi untuk melicinkan Persidangan tersebut saya berharap Y.B. Dato dapat memberi penjelasan bertulis sebelum tarikh persidangan.
(q) Pada 8 September 1993, Setiausaha Kerja menjawab bagi pihak Setiausaha Agung UMNO seperti berikut:
Perlantikan Ahli Jawatankuasa Tambahan Fasal 13.6, 13.11.1.4 Dan 13.11.1.5
Dengan hormatnya saya mohon merujuk kepada fax saudara bertarikh 06 September 1993 mengenai perkara tersebut di atas dan dimaklumkan bahawa kuasa yang digunakan oleh Pemangku Ketua untuk melantik Pegawai- Pegawai dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian adalah tidak menyalahi peruntukan di dalam Perlembagaan UMNO.
(r) Pada 20 September 1993, Setiausaha Agung UMNO telah menulis surat kepada defendan ketiga seperti berikut:
Perwakilan Pergerakan Permuda/Wanita Bahagian Dan Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Tahun 1993
Dengan hormatnya saya mohon merujuk kepada perkara tersebut di atas, dan adalah dimaklumkan bahawa Majlis Tertinggi UMNO dalam sidangnya pada 6 September, 1993 telah memutuskan sebagaimana berikut:
Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang akan mengambil alih tugas mengendalikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan termasuk Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita Bahagian.
2. Semua keputusan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri mengenai semua perkara dalam Bahagian Bagan adalah muktamad.
Perlu diambil perhatian di sini bahawa En. Zainul Abidin Hashim, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bagan, orang yang membuat perlantikan-perlantikan yang menimbulkan pertikaian ini bukanlah salah seorang plaintif dalam guaman ini. Malah beliau adalah defendan pertama. Plaintif-plaintif juga bukanlah antara orangorang yang dilantik oleh defendan pertama yang perlantikan mereka tidak dipersetujui oleh BPUPP itu.
Sama ada Mahkamah mempunyai bidangkuasa
Soal pertama ialah sama ada Mahkamah mempunyai bidangkuasa terhadap guaman ini. Dalam hal ini, peruntukan s. 18C Akta Pertubuhan 1966 adalah berkenaan. Ia memperuntukkan:
18C. Keputusan sesuatu parti politik atau manamana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedahkaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan halehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan keesahan keputusan itu.
Sebelum membincang peruntukan ini eloklah disebut bahawa mengikut Perkara 121, Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa seperti mana yang diberi oleh atau di bawah undang-undang persekutuan. Akta Pertubuhan 1966 adalah satu undang-undang persekutuan. Akta itu boleh memberi, menambah, mengurangkan atau meniadakan bidangkuasa mahkamah dalam sesuatu perkara.
Dalam hujahnya, En. Mohd. Shafee yang mewakili defendan-defendan mengakui bahawa peruntukan ini tidak mengeluarkan (oust) bidang kuasa Mahkamah dalam perkara-perkara yang disebut dalam s. 18C itu dalam semua keadaan. Beliau mengaku bahawa Mahkamah masih mempunyai bidangkuasa, walau pun dalam hal-hal yang disebut dalam seksyen itu, jika keputuan (“decision”) yang dicabar itu dibuat di luar bidangkuasa atau jika keputusan itu satu “nullity”. Beliau mengakui bahawa prinsip itu yang dinyatakan dalam kesAnisminic Ltd. lwn. Foreign Compensation Commission [1969] 2 AC 147 oleh House of Lords, England telah diterima pakai oleh Mahkamah- Mahkamah di negara ini. Beliau menyebut penghakiman Privy Council dalam kes South East Asia Fire Bricks lwn. Manufacturers Employees’ Union & Ors. [1980] 2 MLJ 165. Jika perlu ditambah, penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Pahang South Union Omnibus Co. Bhd. lwn. Minister of Labour and Manpower & Anor. [1981] 2 MLJ 199 dan penghakiman Mahkamah Agung baru-baru ini dalam kes Penang Development Corporation lwn. Teoh Eng Huat & Anor. [1993] 2 CLJ 283adalah juga berkenaan.
Memandangkan bahawa peguam defendan-defendan sendiri memilih untuk menghujahkan kesnya atas asas bahawa prinsip yang dinyatakan dalam kes Anisminic itu terpakai dalam tafsiran peruntukan s. 18C itu, maka tidaklah perlu bagi saya, dalam memutuskan kes ini, menimbang dan memutuskan sama ada s. 18C itu mengeluarkan bidangkuasa Mahkamah sepenuhnya atau tidak. Walau bagaimana pun soalan itu nampaknya masih terbuka, memandangkan, terutama sekali, bahawa perkataan-perkataan yang digunakan oleh Parlimen dalam akta-akta berkenaan yang ditafsirkan dalam keskes yang saya sebut di atas itu adalah berlainan daripada perkataan-perkataan yang digunakan dalam s. 18C itu. Saya tidak patut berkata lebih banyak berkenaan soalan itu dalam kes ini.
Soal yang perlu diputuskan ialah sama ada, berdasarkan fakta-fakta kes ini, peruntukan s. 18C itu, mengambil kira prinsip yang disebut dalam kesAnisminic itu, mengeluarkan guaman ini daripada bidangkuasa Mahkamah ini.
Tidak boleh dinafikan bahawa perbalahan yang berbangkit dalam kes ini adalah satu perkara yang berhubung dengan hal-ehwal parti. Soal yang menjadi pertikaian sebenarnya ialah sama ada BPUPP diberikuasa oleh parti (UMNO) untuk membuat keputusan itu.
Dalam hal ini kita perlu melihat struktur UMNO itu sendiri seperti yang terkandung dalam Perlembagaannya. Dari bawah ke atas, organisasinya terdiri daripada Ahli, Cawangan, Bahagian, Badan Perhubungan, Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung. Fasal 7.1, antara lain, memperuntukkan:
… Majlis Tertinggi adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan Agung pada masa ketiadaannya tetapi hendaklah memaklumkan kepada Perhimpunan Agung.
Melalui Surat Pekeliling Ibu Pejabat bertarikh 10 Ogos 1993, Setiausaha Agung memaklumkan bahawa Majlis Tertinggi dalam sidangnya pada 5 Ogos 1993 telah pun membuat keputusan seperti berikut:
1. 1 Penurunan Kuasa kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri
Semua masalah berkaitan dengan kesahihan Persidangan Cawangan dan Perwakilan Bahagian termasuk Pergerakan Pemuda dan Wanita, soal kesahihan keahlian dan soal yuran keahlian hendaklah dikemuakakan ke badan Perhubungan UMNO Negeri. Keputusan Badan Perhubungan UMNO Negeri adalah muktamad.
Adalah jelas bahawa surat pekeliling itu telah menurunkan kuasa Majlis Tertinggi dalam hal-hal yang disebut itu kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri, dan keputusan Badan Perhubungan itu adalah muktamad.
Dalam penghakiman saya, pembalahan ini adalah termasuk dalam rangkai kata “… masalah berkaitan dengan… Perwakilan Bahagian…”. Oleh itu BPUPP diberikuasa oleh Majlis Tertinggi untuk memutuskan “masalah” yang berbangkit itu. Dalam kata-kata lain, BPUPP adalah “orang yang diberikuasa oleh [parti]”. Oleh itu keputusan yang dibuat oleh BPUPP dan dicabar oleh plaintif-plaintif itu adalah keputusan yang dibuat dalam bidangkuasa BPUPP.
Bukan setakat itu sahaja, keputusan itu secara khusus telah disahkan pula oleh Majlis Tertinggi, seperti yang terkandung dalam surat Setiausaha Agung bertarikh 20 September 1993 yang saya petik dalam perenggan (r) itu.
Dalam pernyataan tuntutan dan afidavit plaintifplaintif, malah dalam hujah En. Balasundram, peguam plaintif-plaintif tekanan diberi kepada surat setiausaha kerja bertarikh 8 September 1993 yang saya perturunkan dalam perenggan (q) itu. Malah pihak plaintif-plaintif tidak mengemukakan surat Setiausaha Agung bertarikh 20 September 1993 (lihat perenggan (r)), mahu pun Surat Pekeliling Ibu Pejabat bertarikh 10 Ogos 1993 itu. Memandangkan bahawa plaintif-plaintif cuba memohon perintah injunksi sementara secara ex parte, kegagalan itu (yang dalam penghakiman saya adalah kegagalan mengemukakan fakta-fakta penting) adalah satu perkara yang serius. Undang-undang adalah jelas bahawa sesuatu pihak yang memohon suatu perintah secara ex parte mestilah bersikap jujur dan mendedahkan semua fakta penting walau pun ia tidak menyebelahinya – lihat, antara lain, Tunas (Pte.) Ltd. lwn. Mayer Investment Pte. Ltd. & Ors. [1989] 2 MLJ 132 dan Cocoa Processing lwn. United Malayan Banking Corporation Bhd. & Ors. [1988] 3 MLJ 491. Oleh sebab itulah Mahkamah patut waspada jika hendak membuat perintah injunksi secara ex parte. Mencurigai kemungkinan berlakunya perkara seperti itulah, maka saya, pada petang hari Jumaat 17 September 1993 itu, enggan memberi perintah secara ex parte. Nampaknya daripada apa yang berlaku kemudiannya, budibicara yang ada pada saya itu telah dilaksanakan dengan betul dan adil.
Kembali kepada surat Setiausaha Kerja itu. Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerja, walau pun bagi pihak Setiausaha Agung. Berlainan daripada surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung sendiri yang bertarikh 20 September 1993 itu, surat Setiausaha Kerja itu tidak menyebut bahawa perkara itu telah dirujuk kepada Majlis Tertinggi terlebih dahulu. Ia juga tidak mengatakan bahawa keputusan itu adalah keputusan Majlis Tertinggi. Malah, melihat betapa segeranya fax defendan pertama itu dijawab tidak mungkin perkara itu telah dirujuk kepada Majlis Tertinggi. Lagi pula Setiausaha Kerja itu hanyalah mengatakan bahawa perlantikan yang dibuat oleh defendan pertama itu “adalah tidak menyalahi peruntukan di dalam Perlembagaan UMNO.” Dalam kata-kata lain Setiausaha Kerja itu cuma memberi pandangan bahawa peruntukan Perlembagaan UMNO memberi kuasa Ketua Bahagian untuk membuat perlantikan itu sahaja.
Peguam plaintif-plaintif menghujahkan bahawa kuasa itu adalah satu kuasa yang diberi secara mutlak kepada Ketua Bahagian. Saya bertanya beliau sama ada itu bererti bahawa Badan Perhubungan dan Majlis Tertinggi pun tidak boleh masuk campur. Teragakagak beliau menjawab “Ya”.
Saya tidak bersetuju dengan pendapat itu. Jika pendapat itu betul, nampaknya Ketua Bahagian lebih berkuasa daripada Badan Perhubungan dan Majlis Tertinggi!
Kesimpulannya saya berpuas hati bahawa BPUPP diberi kuasa oleh UMNO (parti) membuat keputusan yang dicabar itu; bahawa BPUPP telah membuat keputusan itu di dalam bidangkuasanya dan keputusan itu bukanlah satu “nullity”; bahawa keputusan itu adalah berhubung dengan hal-ehwal parti. Oleh itu s. 18C itu terpakai kepada kes ini. Justru itu keputusan itu tidak boleh “dicabar,… dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah.. dan tiada mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding… berkenaan dengan keesahan itu.
Atas alasan ini sahaja permohonan ini patut ditolak.
Sama ada plaintif-plaintif mempunyai locus standi dalam kes ini
Soal kedua ialah sama ada plaintif-plaintif mempunyai locus standi dalam kes ini. Dalam hal ini peruntukan
Fasal 18.3 Perlembagaan UMNO adalah berkenaan. Ia memperuntukkan:
18. 3 Seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya di dalam parti gugur dengan sendirinya.
Tidak boleh dinafikan bahawa perkara yang menjadi perbalahan ini adalah “perkara parti”. Jadi soalnya ialah sama ada, sebelum memulakan tindakan ini di mahkamah mereka telah mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti.
Hujah peguam plaintif-plaintif dalam hal ini dikemukakan secara alternatif dan bercanggah antara satu sama lain. Pertama dikatakan tidak ada peraturanperaturan dibuat. Oleh itu tidak ada peraturan yang perlu dipatuhi. Kedua, dikatakan bahawa hanya Majlis Tertinggi berkuasa memutuskan sama ada seseorang ahli itu telah mematuhi peraturan-peraturan itu, jika ada. Kemudian, menjawab soalan-soalan saya, beliau menukar pendiriannya dan mengatakan bahawa jika persoalan itu berbangkit dalam satu prosiding di mahkamah, mahkamahlah yang berhak membuat keputusan sama ada peraturan-peraturan itu telah dipatuhi sepenuhnya atau tidak. Ketiga, beliau menghujahkan pula bahawa plaintif-plaintif telah mematuhi peraturan-peraturan itu, jika ada. Keempat, beliau cuba menghujahkan pula bahawa Fasal 18.3 itu tak sah. Saya tidak membenarkan cubaan itu kerana ia tidak diplidkan. Kelima, beliau menghujahkan pula bahawa tidaklah perlu bagi plaintif-plaintif merujuk perkara itu kepada BPUPP atau Majlis Tertinggi kerana defendan pertama telah berbuat demikian.
Biarlah saya putuskan terlebih dahulu sama ada dalam UMNO terdapat peraturan-peraturan yang dimaksudkan itu atau tidak.
Dalam hal ini, pertama, kita perlu memberi perhatian kepada struktur UMNO yang saya sebutkan lebih awal. Kedua, kita perlu memberi perhatian kepada Surat Pekeliling Ibu Pejabat bertarikh 10 Ogos itu. Ini menunjukkan bahawa jika timbul apa-apa masalah berhubung dengan perkara-perkara yang disebutkan dalam Surat Pekeliling itu, yang termasuk masalah seperti dalam kes ini, ia hendaklah dirujukkan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Encik Mohd. Shafee, bagi pihak defendan-defendan telah juga mengemukakan keputusan Majlis Tertinggi yang terkandung dalam surat Setiausaha Agung bertarikh 18 Mac 1993, bagi menyokong hujahnya bahawa terdapat peraturan-peraturan. Terutama sekali beliau merujukkan saya kepada perenggan 1.6.6: 1.6.6. Sebarang bantahan mengenai kesahihan Perwakilan Bahagian hendaklah dikemukakan dalam tempoh 7 (tujuh) hari selepas Perwakilan Bahagian. Mana-mana bantahan dibuat selepas 7 (tujuh) hari Perwakilan Bahagian tidak akan dilayan. Sebarang keputusan yang dibuat oleh Perhubungan Negeri adalah muktamad.
Sayugia diambil perhatian bahawa prayer (1) dalam Pernyataan Tuntutan plaintif-plaintif adalah untuk mendapat deklarasi bahawa perlantikan Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan lima orang Ahli Jawatankuasa oleh defendan pertama itu adalah sah, dan mereka itu “berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Bahagian UMNO Bagan.
Adalah jelas bahawa perisytiharan yang dipohon itu adalah perkara yang berkenaannya boleh dibuat bantahan di bawah perenggan 1.6.6 itu.
Memanglah bantahan itu cuma boleh dibuat selepas Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Tetapi itulah peraturannya: tunggu dulu, lepas mesyuarat Perwakilan Bahagian buatlah bantahan kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri!
Dari perbincangan di atas adalah jelas bahawa terdapat peaturan-peraturan. Peraturan-peraturan itu mestilah dipatuhi terlebih dahulu sebelum seseorang ahli boleh membawa perkara parti ke Mahkamah (jika tidak dihalang oleh s. 18C Akta Pertubuhan 1966).
Adakah plaintif-plaintif telah mematuhi peraturanperaturan itu sebelum membawa perkara ini ke Mahkamah? Jawapannya “tidak”.
Saya juga tidak bersetuju dengan hujah peguam plaintifplaintif bahawa mereka tidak perlu berbuat demikian kerana defendan pertama telah melakukannya. Perlembagaan UMNO menghendaki mereka sendiri mematuhi peraturan-peraturan itu sebelum membawa perkara parti ke Mahkamah. Mereka sendiri tidak melakukannya. Maka, apabila sahaja mereka memfail tindakan ini di Mahkamah, keahlian UMNO mereka telah gugur dengan sendirinya. Ertinya mulai saat itu mereka bukan lagi ahli-ahli UMNO. Oleh itu mereka tidak mempunyai apa-apa hak undang-undang, yang dipunyai oleh seorang ahli, dalam UMNO. Justru itu mereka tidak mempunyai locus standi dalam prosiding ini.
Satu perkara perlu dijelaskan. Ia berbangkit daripada surat bertarikh 21 September 1993 yang ditandatangani oleh defendan ketiga yang dialamatkan kepada peguamnya. Mengikut peguam plaintif-plaintif satu salinan surat itu telah disampaikan kepadanya pada pagi 22 September 1993, sebelum mereka masuk ke Kamar saya untuk menghujahkan kes ini. Surat itu menyatakan:
Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO P. Pinang yang diadakan pada 21 September 1993 telah memutuskan untuk melaksanakan peruntukan perlembagaan UMNO, Fasal 18.3 ke atas sdr. Ismail Mohamad dan Mohd Suhamy Abdul Samad.
Dengan itu kedua mereka adalah gugur dari ahli UMNO mulai 21 September 1993.
Surat itu dikemukakan kepada saya oleh peguam plaintif-plaintif semasa beliau memulakan hujah-hujahnya. Beliau menghujahkan bahawa BPUPP tidak mempunyai kuasa melucutkan keahlian plaintif-plaintif, kerana mengikut Fasal 8.7 Perlembagaan UMNO, kuasa itu hanya terletak kepada Majlis Tertinggi.
Semasa Encik Mohd. Shafee peguam plaintif-plaintif berhujah, saya telah bertanya beliau, sama ada beliau berlandas (rely) kepada surat itu atau tidak. Beliau menjawab tidak. Malah beliau cuba menerangkan bahawa maksud surat itu bukanlah mengatakan bahawa BPUPP telah melucutkan keahlian plaintifplaintif. BPUPP cuma mengambil tindakan dari segi pentadbiran sahaja seperti memotong nama mereka daripada daftar ahli, katanya. Dengan penuh hormat saya tidak bersetuju bahawa itulah maksud surat itu. Tetapi oleh sebab pihak defendan-defendan sendiri tidak melandaskan hujahan mereka bahawa keahlian plaintif-plaintif telah dilucutkan oleh BPUPP, saya tidak mengambil kira fakta itu dan isi kandungan surat itu. Keputusan saya bahawa keahlian plaintif-plaintif telah lucut semata-mata berdasarkan peruntukan Fasal 18.3 Perlembagaan UMNO.
Atas alasan ini sahaja juga permohonan ini patut ditolak.
Sama ada terdapat isu-isu yang serius untuk dibicarakan
Seperti biasa, apabila seseorang itu memohon perintah injunksi, dia perlulah memuaskan Mahkamah bahawa dia mempunyai satu kes yang didalamnya terdapat isu-isu yang serius untuk dibicarakan. Jika Mahkamah tidak berpuashati bahawa terdapat isu-isu demikian, parmohonan injunksi mestilah ditolak.
Dalam kes ini saya telah putuskan bahawa Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa dan bahawa plaintifplaintif tidak mempunyai locus standi. Atas salah satu atau kedua-dua alasan itu sudah jelas bahawa permohonan plaintif-plaintif patut ditolak, tanpa menimbang “merit” kes mereka sama ada terdapat isuisu yang serius untuk dibicarakan atau tidak. Walau bagaimana pun, eloklah saya menimbang dan memutuskan persoalan ini, kiranya keputusan saya dalam kedua-dua perkara yang disebut lebih awal itu tidak betul. Setelah meneliti dan menimbang faktafakta kes ini, jawapan saya ialah: “tidak”. Sebab-sebabnya ialah, pertama, sebelum defendan pertama membuat perlantikan-perlantikan itu, BPUPP dalam mesyuaratnya pada 8 Julai 1993 telah memutuskan bahawa jawatan-jawatan berkenaan, melainkan Bendahari, akan dikosongkan sehingga Persidangan Perwakilan Bahagian – lihat perenggan (j). Sayugia diambil perhatian bahawa Mesyuarat itu dihadiri oleh defendan pertama. Malah beliaulah yang melaporkan masalah di Bahagian Bagan itu. Mengikut Minit Mesyuarat itu (Eksibit IS-7, Lampiran 8), sebelum membuat keputusan itu, Pengerusi BPUPP telah “menjemput kedua-dua belah pihak yang bersengketa ke dalam bilik mesyuarat dan telah memberi nasihat kepada mereka dan akhirnya keputusan seperti berikut telah tercapai.
Ini berlaku sebelum defendan pertama membuat perlantikan-perlantikan itu.
Kemudian pada 28 Ogos 1993, selepas perlantikanperlantikan itu dibuat BPUPP telah bermesyuarat lagi. Ia juga dihadiri oleh defendan pertama. Keputusannya seperti dalam perenggan (o).
Semua ini menunjukkan bahwa defendan pertama sendiri bersetuju dengan keputusan-keputusan BPUPP, atau sekurang-kurang, beliau sendiri hadir dalam mesyuarat-mesyuarat yang membuat keputusankeputusan itu.
Kedua, BPUPP diberikuasa oleh Majlis Tertinggi untuk menyelesaikan masalah itu melalui surat Pekeliling Ibu Pejabat bertarikh 10 Ogos 1993. Fasal 10.13.5 yang juga memberi kuasa kepada Badan Perhubungan untuk “menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit di dalam Bahagian dan Cawangan dengan kehendak Majlis Tertinggi”.
Ketiga, keputusan BPUPP itu disahkan oleh Majlis Tertinggi – lihat Eksibit IS-13, Lampiran 8 dan perenggan (r).
Keempat, seperti yang saya telah putuskan lebih awal, BPUPP mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu. Keputusan itu dibuat dalam bidangkuasa dan bukan satu “nullity”.
Oleh itu, tanpa mengambil kira soal bidangkuasa Mahkamah dan locus standi plaintif-plaintif pun adalah jelas bahawa tidak terdapat isu-isu yang serius yang patut dibicarakan.
Atas alasan ini sahaja juga permohonan ini patut ditolak.
Dalam keadaan ini, tidaklah perlu lagi bagi saya menimbang soal sama ada gantirugi merupakan remedi yang memadai, imbangan kesesuaian dan soal-soal lain yang patut ditimbang, jika perlu,dalam suatu permohonan injunksi.
Permohonan ini ditolak. Kos defendan-defendan yang akan ditaksirkan oleh Penolong Kanan Pendaftar hendaklah dibayar oleh defendan-defendan.

95 visits