SIAUW KALUNG DAN LAIN-LAIN v. MALAYAN THUNG PAU DAILY SDN BHD

SIAUW KALUNG DAN LAIN-LAIN v. MALAYAN THUNG PAU DAILY SDN BHD
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO 22-40 OF 1989
3 JULY 1993
[1993] 1 LNS 275

Counsel:
N Shanmugam (Shan & Gooi) bagi pihak plaintif/perayu.
P L Wong (Ng Yook Woon, Andrew T S Saw & Co) bagi pihak defendan/responden.

ALASAN PENGHAKIMAN
(Lampiran 10)
Ini adalah rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar yang dibuat pada 9 September 1989. Bahawa ia mengambil masa yang begitu lama untuk didengar dan diputuskan sangatlah mendukacitakan. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Walau bagaimana pun, saya mengambil alih dan menetapkannya untuk didengar di hadapan saya. Saya telah mendengarnya dan memberi keputusan saya.
Eloklah diperturunkan fakta-fakta kes ini, yang sebenarnya tidak dipertikaikan.
Melalui Perjanjian bertarikh 4 Julai 1986, bertajuk “Fringe Benefits for Executive Staff Effective 1st June 1986 (Grade B Level). [2]
Plaintif-Plaintif diberi, antara lain, “Fringe Benefit” dan “Other Benefits”. Dalam perjanjian itu terdapat satu peruntukan:
“The existing terms and conditions of service for executive staff remain unchanged except where they are inconsistent with the foregoing. The Company reserves the right to amend/change the above clauses at its discretion when necessary.”
Pada 4 November 1986, Defendan memberi notis berikut:
“Further to the memo on FRINGE BENEFITS FOR EXECUTIVE STAFF effective 1st June, 1986 dated 4th July 1986, we regret to inform that with the exception of the medical benefits and annual leave entitlement, the other benefits stated therein are temporary freezed until further notice. We will review the Executive staff’s fringe benefits from time to time once we recover from the poor financial situation.
For Grade A and B level Executive Staff’s benefit on petrol allowance and motor-vehicle maintenance are still in force.
Your understanding and acceptance of our problem is most appreciated.”
Enam hari kemudian, iaitu pada 10 November 1986, Defendan memberi Plaintif-Plaintif “Notice of Retrenchment” yang berkuatkuasa pada 22 November 1986.
Pada 24 November 1986 bayaran dibuat seperti yang terkandung dalam “Notice of Retrenchment”.
Plaintif-Plaintif menuntut “Retrenchment benefit, salary in lieu of Notice” dan “Contractual Bonus”, seperti yang mereka berhak mendapat di bawah perjanjian bertarikh 4 Julai 1986 itu. [3]
Perlu disebut bahawa jumlah yang dituntut tidak dipertikaikan. Apa yang dipertikaikan hanyalah sama ada Plaintif-Plaintif berhak mendapatnya. Ini terletak kepada persoalan sama ada tindakan Defendan “membekukan” faedah-faedah (benefits) itu melalui surat bertarikh 4 November 1986 itu sah atau tidak.
Perlu diingat bahawa ini adalah permohonan untuk mendapat penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Jadi soalnya, sama ada terdapat persoalan-persoalan yang patut dibicarakan.
Pembelaan pertama yang dibangkitkan ialah bahawa Defendan berhak menarik balik faedah-faedah itu mengikut peruntukan Perjanjian bertarikh 4 Julai 1986 itu.
Dalam hal ini saya tidak bersetuju dengan hujah pertama peguam Plaintif-Plaintif bahawa “pembekukan” faedah-faedah itu tidak sah kerana tiada balasan (consideration) baru. Pada pandangan saya, tidak perlu ada balasan baru bagi Defendan-Defendan mengambil tindakan di bawah peruntukan berkenaan, kerana peruntukan itu adalah sebahagian daripada terma-terma Perjanjian itu.
Soal seterusnya ialah sama ada apa yang dilakukan melalui surat bertarikh 4 November 1986 itu dibolehkan oleh peruntukan berkenaan.
Dalam hal ini, perlu diambil perhatian bahawa mengikut peruntukan Perjanjian itu Defendan mempunyai hak “to amend/change” terma-terma Perjanjian itu. [4]
Mengikut surat bertarikh 4 November 1988, Defendan “termporary freezed” faedah-faedah yang menjadi pertikaian. Enam hari kemudian Defendan terus memberhentikan Plaintif-Plaintif. Bagi saya, adalah jelas bahawa tujuan Defendan adalah untuk “membekukan” faedah-faedah itu supaya Defendan tidak perlu bayar faedah-faedah itu apabila Defendan memberhentikan Plaintif-Plaintif beberapa hari kemudian. “Pembekuan” faedah-faedah itu, dalam penghakiman saya, bukanlah sesuatu yang dimaksudkan oleh “amend/change” dalam Perjanjian itu. Oleh itu Defendan tidak berhak “membekukan” hak-hak itu seperti yang dilakukannya.
Pembelaan kedua yang dibangkitkan ialah “estoppel”. Dihujahkan oleh peguam defendan bahawa Plaintif-Plaintif adalah “estopped” daripada membuat tuntutan ini kerana mereka telah menerima bayaran-bayaran yang telah dibuat itu. Pada pandangan saya hujah ini tidak berasas. Tidak terdapat apa-apa bukti bahawa bayaran-bayaran yang diterima oleh Plaintif-Plaintif itu diterima sebagai penyelesaian penuh dan muktamad.
Saya dapati tidak terdapat apa-apa persoalan, fakta atau undang-undang yang perlu dibicarakan.
Rayuan ini diluluskan. Plaintif-Plaintif diberi kebenaran memasuki penghakiman muktamad bagi jumlah-jumlah yang dituntut oleh mereka. Defendan hendaklah membayar kos [5] Plaintif-Plaintif.

Read 63 times