NOORDHEEN E.H. KADERSHAN lwn. RAM L. BELANI & LAGI

NOORDHEEN E.H. KADERSHAN lwn. RAM L. BELANI & LAGI
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
USUL PEMULA NO. 25-26-92
3 MEI 1993
[1993] 3 CLJ 366

KAWALAN SEWA: Prosiding dihadapan Jemaah Pengadilan Sewa – Prosiding dijalankan oleh Timbalan Pengerusi – Sama ada perlantikan Timbalan Pengerusi adalah sah – Permohonan certiorari untuk membatalkan keputusan Jemaah Pengadilan Sewa – Sama ada terdapat kemungkinan yang responden pertama tak adil (bias).

Pemohon membuat permohonan untuk membatalkan keputusan Jemaah Pengadilan Sewa Pulau Pinang bahawa responden pertama tidak perlu mengundurkan dirinya daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi untuk Jemaah Pengadilan Sewa dalam permohonan No. 33/1990. Pemohon juga memohon satu perintah larangan melarang Jemaah Pengadilan Sewa Pulau Pinang dan Seberang Perai daripada meneruskan prosiding permohonan No. 33/1990.
Responden pertama telah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi/Setiausaha Jemaah itu bagi tempoh satu tahun. Pada masa permohonan No. 33/1990 itu didengar, tidak ada Pengerusi yang dilantik dan responden pertama menjalankan tugas Pengerusi Jemaah.
Pemohon juga berhujah bahawa oleh kerana responden pertama adalah seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), yang telah meluluskan pelan projek pembangunan yang menjadi pertikaian itu, maka terdapat kemungkinan bahawa responden pertama mungkin tak adil (bias).
Diputuskan:
[1]Seksyen 12 Akta Kawalan Sewa 1966 dengan jelas memperuntukkan keahlian Lembaga yang terdiri daripada Pengerusi dan ahli-ahli. Di bawah peruntukan Akta tersebut tidak ada ruang untuk perlantikan Timbalan Pengerusi. Timbalan Pengerusi, sebagai Timbalan Pengerusi, jika dilantik pun, tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah Akta tersebut.
[2] Jika perlantikan itu sah pun, responden pertama tidak boleh menjalankan kuasa-kuasa Pengerusi semasa tidak ada Pengerusi terlantik. Persidangan yang dipengerusikan oleh responden pertama adalah tak sah dan keputusan Jemaah yang dipengerusikan olehnya adalah terbatal.
[3] MPPP adalah satu pihak kuasa tempatan yang besar dimana responden pertama mengetuai bahagian undang-undang. Tugas beliau adalah untuk memberi nasihat terhadap masalah undang-undang kepada MPPP, bukan menasihatkan sama ada sesuatu pelan itu patut dilulus atau tidak. Peranan Pengerusi Jemaah di bawah s. 18 Akta Kawalan Sewaadalah berlainan langsung dengan peranannya sebagai Pengarah Jabatan Undang-Undang dan dalam keadaan ini seorang yang berfikiran waras tidak akan beranggapan bahawa responden pertama mungkin tak adil.
[4] Tidak terdapat apa-apa sebab mengapa Jemaah itu patut dilarang daripada meneruskan prosiding No. 33/1990 jika ia dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga itu yang telah pun dilantik.
[Permohonan prayer pertama diluluskan. Permohonan prayer kedua ditolak. Responden pertama dan kedua diarah membayar kos pemohon].

Case(s) referred to:
Maleb bin Su lwn.Public Prosecutor [1984] 1 MLJ 311/ [1984] 1 CLJ 378 (diikuti)
Chong Kok Lim & Ors. lwn.Yong Su Hian [1978] 1 LNS 31 [1979] 1 MLJ 11 (dirujuk)
Cheak Yoke Thong V. Public Prosecutor [1984] 1 CLJ 87 (Rep)

Legislation referred to:
Akta Kawalan Sewa 1966 (Akta 363), ss. 12(1)(2)(5), 18
Akta Tafsiran 1948 & 1967 (Akta 388), ss. 41, 48, 49
Counsel:
Bagi pihak pemohon – M. Thayalan; M/s. Meena, Thayalan&Partners
Bagi pihak responden pertama dan kedua – Ahmad Zakibin Hj. Husin, Penasihat Undang-Undang Negeri
Bagi pihak responden ketiga – Foo Say Keow; M/s. Murad&Foo

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Melalui notis usul yang difailkan pada 24 Januari 1992, pemohon memohon perintah-perintah berikut:
1) Satu perintah certiorari untuk dikemukakan di Mahkamah Yang Mulia ini bagi tujuan dibatalkan keputusan Jemaah Pengadilan Sewa Pulau Pinang dan Seberang Perai yang dibuat pada 18 April 1992 bahawa responden pertama tidak perlu mengundurkan dirinya daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi untuk Jemaah Pengadilan Sewa dalam permohonan No. 33/1990.
2) Satu perintah larangan melarang Jemaah Pengadilan Sewa Pulau Pinang dan Seberang Perai daripada meneruskan prosiding permohonan 33/1990.
3) Satu perintah bahawa kos permohonan ini dibiayai oleh responden.
Bantahan pemohon adalah terhadap kehadiran Encik Ram L. Belani (Responden Pertama) yang mempengerusikan Jemaah Pengadilan Sewa (Jemaah) itu.
Fakta-fakta berikut tidak dipertikaikan.
Encik Hussin Che Pa telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah itu bagi tempoh dua tahun mulai 1 Januari 1990. Tempoh perlantikan tu telah dilanjutkan dan tamat pada 28 Februari 1992. Pengerusi baru dilantik pada 1 Mei 1992. Antara 1 Mac 1992 hingga 30 April 1992 tidak ada Pengerusi yang terlantik.
Responden pertama dilantik menjadi Timba-lan Pengerusi/Setiausaha Jemaah itu bagi tempoh satu tahun mulai 2 Oktober 1991. Perlantikan itu dibuat di bawah s. 12 Akta Kawalan Sewa 1966 (Akta 363). Kerana rujukan akan dibuat kepada pelantikan ini, eloklah ia diperturunkan:
Pg. P.U. 19
Akta Kawalan Sewa 1966
Perlantikan Di Bawah Seksyen 12
Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh s. 12 Akta Kawalan Sewa 1966, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dengan ini melantik Encik Ram L. Belani menjadi Timbalan PengerusiSetiausaha Jemaah Pengadilan Sewa untuk menguatkuasakan undangundang tersebut di seluruh kawasan Pulau Pinang dan Seberang Perai bagi tempoh satu tahun mulai 2 Oktober 1991.
Apabila Pengerusi tidak dapat hendak menjalankan tugas-tugasnya oleh kerana sakit, tidak ada di Malaysia, atau oleh kerana apa-apa sebab lain, Timbalan Pengerusi hendaklah menjalankan tugastugas Pengerusi itu; dan pada menjalankan tugastugas itu; Timbalan Pengerusi hendaklah, bagi maksud-maksud Akta, disifatkan sebagai Pengerusi Jemaah Pengadilan Sewa.
Tidak dipertikaikan bahawa pada 18 April 1992 tidak ada Pengerusi yang terlantik. Juga tidak dipertikaikan pada tarikh itu tempoh perlantikan responden pertama sebagai “Timbalan Pengerusi/Setiausaha” masih belum tamat, jika perlantikan itu sah.
Rasanya eloklah ditimbangkan terlebih dahulu sama ada perlantikan responden pertama itu sah atau tidak.
Perhatian patutlah diberi kepada peruntukan s. 12 Akta 363 itu. Seksyen kecil (1) memperuntukkan Jemaah itu hendaklah terdiri daripada seorang Pengerusi dan dua orang ahli. Seksyen kecil (2) memperuntukkan kelayakan orang yang hendak dilantik menjadi Pengerusi oleh Yang di-Pertua Negeri. Secara ringkas seksyen kecil (5) memperuntukkan bahawa keputusan Jemaah mestilah mengandungi keputusan Pengerusi yang menyetujui keputusan itu.
Adalah jelas bahawa seksyen itu atau mana-mana peruntukan Akta 363 itu tidak memperuntukkan perlantikan Timbalan Pengerusi. Juga tidak ada apa-apa kuasa yang diberi oleh Akta 363 itu kepada Timbalan Pengerusi.
Mengikut Pg. P.U. 19 itu, perlantikan responden pertama dibuat di bawah s. 12 Akta 363 itu. Mengikut Pg. P.U. 19 itu Yang di-Pertua Negeri melantik responden pertama menjadi Timbalan Pengerusi/Setiausaha mengikut kuasa yang diberi kepadanya di bawah s. 12 itu.
Meneliti peruntukan s. 12 Akta 363 tu, adalah jelas bahawa seksyen itu tidak memberi kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri untuk melantik Timbalan Pengerusi.
Perenggan pertama Pg. P.U. 19 itu juga mengatakan bahawa tujuan perlantikan itu ialah “untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut di seluruh kawasan Pulau Pinang dan Seberang Perai”. Tetapi, Akta 363 itu tidak memperuntukkan apa-apa kuasa Timbalan Pengerusi. Apakah “kuasa” yang hendak dijalankannya?
Perenggan kedua Pg. P.U. 19 itu memberi kuasa kepada timbalan Pengerusi untuk menjalankan tugas-tugas Pengerusi dalam keadaan-keadaan yang tersebut di dalamnya. Pada pandangan saya jika Yang di-Pertua Negeri tidak mempunyai kuasa melantik Timbalan Pengerusi maka timbalan Pengerusi yang dilantik itu tentu tidak boleh menjalankan apa-apa tugas pun.
Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri yang mewakili responden pertama dan kedua membuat rujukan kepada s. 49 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).
Where a power is conferred by any written law to appoint the members of any board, commission, committee or similar body, the appointing authority may appoint a chair-man, deputy chairman and secretary of the board, commission, committee or body.
Pada pandangan saya, seksyen itu tidak terpakai dalam keadaan kes ini. Seksyen itu membolehkan dibuat perlantikan pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha kepada sesuatu lembaga, komisyen, jawatankuasa atau badan jika kuasa diberi untuk melantik “ahli-ahli ” lembaga dan lain-lain itu. Sebagai satu misalan yang mudah, jika undang-undang memperuntukkan bahawa ahli-ahli sesuatu lembaga dilantik dan tidak disebut jawatan-jawatan pengerusi dan sebagainya itu, maka, dalam melantik ahli-ahli lembaga itu, bolehlah dilantik siapa yang akan menjadi pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha.
Tetapi, dalam kes ini, s. 12dengan jelas memperuntukkan keahlian Lembaga yang terdiri daripada Pengerusi dan ahli-ahli. Oleh itu di bawah Akta 363itu tidak ada ruang untuk perlantikan Timbalan Pengerusi. Timbalan Pengerusi, sebagai Timbalan Pengerusi, jika dilantik pun, tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah Akta 363 itu.
Dihujahkan juga bahawa perlantikan responden pertama itu dibuat seperti yang diperuntukkan oleh s. 48 Akta 388iaitu:
Where a power is conferred by a written law to appoint any person to be a member of any board, commission, committee or similar body, the appointing authority may, if during any period owing to absence or inability to act from illness or any other cause any member so appointed is unable to act as such, appoint some other person to act temporarily for that member during the period of absence or inability.
Biarlah saya beri pandangan saya tentang makna seksyen itu. Apa yang dikatakan oleh seksyen itu ialah jika kuasa diberi oleh sesuatu undang-undang bertulis untuk melantik seseorang menjadi ahli sesuatu lembaga, komisyen, jawatankuasa atau badan yang serupa, pihak berkuasa membuat perlantikan itu boleh melantik orang lain untuk menjalankan tugas orang yang telah dilantik itu bagi tempoh orang yang telah dilantik itu tidak boleh menjalankan tugas-tugasnya kerana ketiadannya (absence) atau kerana dia sakit atau sebab-sebab lain.
Saya bersetuju, dalam seksyen ini perkataan “member” (ahli) bolehlah dibaca sebagai termasuk apa-apa jawatan lain termasuk pengerusi. Tetapi orang yang sepatutnya dilantik (dalam kes ini Pengerusi) itu mestilah dilantik terlebih dahulu dan perlantikannya mestilah berkuatkuasa pada masa orang lain itu dilantik untuk menjalankan tugas-tugas-nya bagi tempoh dia tidak boleh menjalankan tugasnya atas sebab-sebab yang disebut dalam seksyen itu. Ini nyata dari kata-kata “… if during any period… any member so appointed is unable to act as such… ”
Dalam kes ini, seperti yang disebut lebih awal, pada masa Jemaah yang dipengerusikan oleh responden pertama mendengar permohonan berkenaan dan membuat keputusan yang dicabar ini, tidak ada Pengerusi yang terlantik. Oleh itu, jika perlantikan responden pertama untuk menjalankan tugas-tugas Pengerusi itu sah pun, adalah jelas bahawa, pada masa itu responden pertama tidak boleh menjalankan tugas-tugas Pengerusi itu, kerana jika perlantikan itu mengikut s. 48 Akta 388 pun, seksyen itu tidak memberi kuasa kepadanya untuk menjalankan tugas-tugas itu semasa tidak ada Pengerusi terlantik.
Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri juga merujuk kepada seksyen 41 Akta 388.
41. Powers of certain bodies not effected by vacancy, etc.
A board commission, committee or similar body (whether corporate or incorporate) established by or under a written law may act notwithstanding any vacancy in its membership; and its proceedings shall not be in validated by
(a) any defect afterwards discovered in the appointment or qualification of a person purporting to be a member; or
(b) any minor irregularity in the convening or conduct of a meeting; or
(c) the presence or participation of a person not entitled to be present or participate.
Bahagian pertama menyatakan bahawa sesuatu lembaga, komisyen, jawatankuasa atau badan yang serupa boleh bertindak walaupun terdapat kekosongan dalam keahliannya.
Dalam penghakiman saya, bahagian ini tidak boleh menolong kes responden-responden. Kerana, s. 12 Akta 363secara khusus mensyaratkan bahawa sesuatu keputusan Pengerusi (termasuk orang yang dilantik menjalankan tugas-tugas Pengerusi dalam keadaan yang telah disebut itu) adalah dimestikan dalam sesuatu keputusan Jemaah.
Bahagian kedua dan perenggan (a) menyatakan bahawa prosidingnya tidak menjadi taksah kerana terdapat apaapa kecacatan yang didapati kemudiannya berkenaan perlantikan atau kelayakan seseorang “purporting to be a member”.
Sekali lagi saya bersetuju perkataan “member” di sini boleh dibaca sebagai termasuk Pengerusi. Tetapi, peruntukan itu cuma terhad kepada kecacatan yang didapati kemudiannya, iaitu setelah keputusan dibuat. Dalam kes ini bantahan dibuat pada masa Jemaah itu bersidang. Oleh itu s. 41 ini juga tidak boleh menolong kes responden-responden.
Hujah Peguam pemohon yang terakhir adalah berasaskan “bias”. Alasannya ialah responden pertama adalah seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). MPPP dikatakan telah meluluskan pelan projek pembangunan yang menjadi pertikaian itu. Kedua, sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Perundangan, beliau dikatakan menasihat Jawatankuasa Tujuan Awam MPPP yang telah meluluskan pelan projek itu. Ketiga, dikatakan bahawa beliau menghadiri dan menasihati mesyuarat MPPP di mana pelan dan projek pembangunan yang dipertikaikan telah dipertimbangkan dan diluluskan.
Berkenaan dengan alasan ini responden pertama memfail afidavit jawapan (lampiran 10). Antara lain, beliau menjelaskan:
(i) Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan perlulusan pelan-pelan pembangunan oleh Majlis Perbandaran, dan hanya jika terdapat sebarang implikasi undang-undang perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Undang-Undang. Oleh yang demikian, kesannya ialah saya sebenarnya tidak ada kaitan dengan kelulusan yang sedemikian. Keputusan untuk melulus atau menolak pembangunan ialah dengan Majlis Perbandaran.
(ii) Saya tidak ada ‘preconceived views or opinion’ ke atas pembangunan yang dicadangkan oleh responden ketiga di dalam [kes – tambah] ini dan pelan-pelan untuk pembangunan yang dicadangkan itu tidak pernah dirujuk kepada saya ataupun Jabatan saya untuk komen.
(iii) Saya bersedia untuk bertindak secara adil dan dengan fikiran yang tidak tertutup untuk hujah.
Perlulah disebut di sini bahawa sama ada sebenarnya responden pertama “bias” atau tidak tidaklah relevan. Ujiannya ialah sama ada seorang yang waras (a reasonable man) akan berpendapat bahawa terdapat “a real likelihood of bias”.
Dalam hal ini, memadailah jika dipetik satu perenggan daripada penghakiman Hashim Yeop A. Sani HMP (pada masa itu) dalam kes Maleb bin Su v. Public Prosecutor [1984] 1 MLJ 311 di halaman 312:
I think the correct view is also clearly stated in Healey v. Rauhina & Anor. following R v. Camborne Justices, Exparte Pearce in that if bias is alleged (other than pecuniary of pro-prietary bias) then there must be proved a real likelihood of bias and that reasonable suspicion of bias is insufficient. Thus, bare allegations (as done in the present case) are insufficient. A fortiori bare allegations before hearing had hardly commenced.
Lihat juga penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Chong Kok Lim & Ors. V. Yong Su Hian [1978] 1 LNS 31 dan penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Cheak Yoke Thong V. Public Prosecutor [1984] 1 CLJ 87 (Rep) .
Menggunakan ujian ini, saya tidak fikir adalah munasabah bagi seorang wasas berpendapat bahawa responden pertama mungkin “tak adil” (biased) atas alasan yang diberi itu.
MPPP adalah satu pihak kuasa tempatan yang besar dan mempunyai berbagai-bagai jabatan. Responden pertama mengetuai bahagian undang-undang. Proses perlulusan pelan-pelan pembangunan dibuat oleh jabatan lain dan kelulusan diberi oleh MPPP sendiri. Tugas beliau dan Jabatan beliau adalah untuk memberi nasihat terhadap masalah undang-undang kepada MPPP, bukan menasihatkan sama ada sesuatu pelan itu patut dilulus atau tidak.
Peranan Pengerusi Jemaah di bawah s. 18 Akta 363 adalah berlainan langsung dengan peranannya sebagai Pengarah Jabatan Undang-Undang. Apa yang perlu ditimbangkan dalam sesuatu permohonan di bawah s. 18 itu, dijelaskan oleh seksyen itu. Berkenaan pelan cuma sama ada pelan telah diluluskan atau tidak.
Dalam keadaan ini, saya tidak nampak bagaimana seorang yang berfikiran waras boleh beranggapan bahawa responden pertama mungkin tak adil (bias). Memanglah di George Town ini, tidak sukar untuk mencari orangorang yang beranggapan bahawa semua kakitangan kerajaan tak adil (biased) dan “boleh dibeli”. Tetapi, adakah pandangan orang-orang seperti itu yang harus dijadikan ukuran? Pada pandangan saya tidak, kerana pandangan seperti itu bukanlah pandangan “orangorang waras” yang dimaksudkan oleh undang-undang.
Alasan ini ditolak.
Kesimpulannya saya berpendapat bahawa perlantikan responden pertama tak sah. Jika perlantikan itu sahpun, beliau tidak boleh menjalankan kuasa-kuasa Pengerusi semasa tidak ada Pengerusi terlantik. Oleh itu, persidangan yang dipengerusikan oleh beliau adalah tak sah dan keputusan Jemaah itu yang dipengerusikan olehnya yang dicabar itu adalah terbatal.
Permohonan (prayer) pertama diluluskan.
Berkenaan permohonan (prayer) kedua, saya tidak fikir terdapat apa-apa sebab mengapa Jemaah itu patut dilarang daripada menerus- kan prosiding itu jika ia dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga itu, yang saya difahamkan telah pun dilantik. Permohonan (prayer) kedua ditolak.
Responden pertama dan kedua hendaklah membayar kos pemohon.

89 visits