CHAN PAIK SAN lwn. LEE WANG HOCK

CHAN PAIK SAN lwn. LEE WANG HOCK
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
GUAMAN SIVIL NO. 23-37-89
18 MEI 1993
[1993] 3 CLJ 617

AMANAH & PROSEDUR: Tindakan untuk gantirugi – Plaintif seorang kanak-kanak pada masa writ difailkan – Penyata tuntutan tidak dipinda – Defendan memasukkan kehadiran tanpa syarat – Defendan membuat permohonan secara lisan untuk membatalkan tuntutan plaintif – Sama ada tindakan plaintif patut dibatalkan atau digantungkan.

Plaintif telah memulakan tindakan untuk mendapat gantirugi akibat dari kecederaan yang dialami dalam satu kemalangan. Defendan telah memasukkan kehadiran tanpa syarat dan kes telah di tetapkan untuk perbicaraan. Dalam keterangan plaintif, dia telah mengatakan bahawa tarikh lahirnya ialah pada 21 April 1967.
Defendan telah membuat permohonan secara lisan untuk membatalkan tuntutan plaintif atas alasan bahawa pada tarikh writ difailkan, umur plaintif adalah di bawah 18 tahun dan tidak berkapasiti dan oleh yang demikian plaintif tidak mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding ini.
Diputuskan:
[1] Jika seorang kanak-kanak memulakan tindakan tidak melalui sahabat wakil, Mahkamah mempunyai kuasa untuk menggantungkan atau menolak tindakan itu. Ini menunjukkan bahawa kegagalan mematuhi A. 76 k. 2(1) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980bukanlah satu “nullity” yang tidak boleh diperbaiki.
[2] Tetapi dalam kes ini tempoh had masa selama enam tahun daripada tarikh plaintif mencapai umur 18 tahun telah tamat dan mengikut prinsip undang-undang permohonan untuk meminda tidak patut dibenarkan jika tempoh had masa telah tamat.
[3] Kemasukkan kehadiran tanpa syarat oleh defendan tidak boleh disifatkan sebagai satu “waiver” oleh defendan. Defendan tidak mengetahui tarikh lahir plaintif sebelum plaintif memberikan keterangan pada masa perbicaraan dan oleh yang demikian beliau tidak boleh disalahkan kerana tidak memfail kehadiran bersyarat.
[Permohonan defendan supaya tindakan plaintif ditolak dibenarkan. Peguam plaintif diperintahkan membayar kos defendan].

Case(s) referred to:
Government of Malaysia v. Mohamed Amin bin Hassan [1984] 2 CLJ 540 [1986] 1 MLJ 224 (dirujuk)
Tan Guan Seng v. Sibuti Yon Seng Quarry BANKINGANDFINANCE [1973] 1 LNS 151 (dirujuk)

Legislation referred to:
Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 76 k. 2(1)

Other source(s) referred to:
Mallal’s Supreme Court Practice, Perenggan 15/ 6/2, 26/2/9, 76/2/1, 76/2/7
The Supreme Court Practice 1988, Vol. 1, halaman 1193

Counsel:
Bagi pihak plaintif – V. Muthusamy; T/n. V.Muthusamy & Co.
Bagi pihak defendan – Bala Mahesan; T/n. BalaMahesan & Co.

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Chan Paik San, plaintif dalam kes No. 23-37-89, adalah pembonceng motosikal yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. Teoh Peng Sim, plaintif dalam kes 25-1046-84, adalah penunggang motosikal itu. Kedua-dua kes ini diperintahkan untuk didengar bersama.
Perbicaraan dimulakan pada 20 Oktober 1992. Semasa Chan Paik San, plaintif dalam kes 23-37-89 (PW2) memberi keterangan, dalam pemeriksaan awal, dia memberitahu tarikh lahirnya iaitu pada 21 April 1967.
Mengetahui hakikat itu pada kali pertama, Peguam defendan memaklumkan bahawa beliau perlu meminda pembelaan untuk menyatakan bahawa plaintif (dalam kes 23-37-89) tidak mempunyai kapasiti dan oleh itu tidak mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding ini. Sebabnya ialah, pada tarikh writ difail, iaitu pada 26 Julai 1984, umur plaintif adalah di bawah 18 tahun (17 tahun 3 bulan 5 hari).
Di peringkat itu kedua pihak pohon perbicaraan ditangguhkan untuk memfail permohonan untuk meminda pliding masing-masing.
Pada 15 Februari 1993, kes itu ditetapkan semula. Pada hari itu Peguam defendan memaklumkan Mahkamah bahawa beliau tidak bercadang untuk meminda pembelaannya. Sebaliknya beliau ingin memohon secara lisan supaya tuntutan plaintif dibatalkan atas alasan yang disebut tadi.
Saya menangguhkan kes itu kepada 7 April 1993 untuk membolehkan kedua-dua pihak membuat kajian mengenai undang-undang. Kes itu dihujahkan pada 7 April 1993. Saya memberi keputusan saya pada 16 April 1993. Saya meluluskan permohonan Peguam defendan dan menolak (dismiss) tindakan plaintif (dalam kes 23-37-89). Saya juga memerintah Peguam plaintif sendiri membayar kos.
Rayuan ini adalah terhadap perintah itu dan berkenaan kes itu (23-37-89) sahaja.
Rasanya eloklah disebut fakta-fakta yang penting yang tidak dipertikaikan terlebih dahulu.
(a) Plaintif dilahirkan pada 21 April 1967. (b) Kemalangan berlaku pada 29 Jun 1983. (Umur plaintif pada masa itu adalah 16 tahun 2 bulan) (c) Writ difailkan atas nama plaintif pada 26 Mac 1984. (Umur plaintif pada masa itu adalah 17 tahun 3 bulan 5 hari) (d) Plaintif mencapai umur 18 tahun pada 21 April 1985. (e) Tempoh had masa selama enam tahun daripada tarikh plaintif mencapai umur dewasa ialah pada 21 April 1991.
Persoalan pertama yang dihujahkan ialah sama ada permohonan ini boleh dibuat secara lisan.
Tidak ditunjukkan kepada saya apa-apa autoriti dan saya juga tidak menemuinya, bahawa permohonan seperti ini tidak boleh dibuat secara lisan, memandangkan bahawa perbicaraan sedang berjalan. Pada pendangan saya ia boleh dibuat secara lisan, sama seperti membuat bantahan awal berdasarkan undang-undang.
Soalan kedua yang perlu diputuskan ialah sama ada writ yang dikeluarkan itu satu “nullity” atau cuma satu “irregularity”.
Dalam hal ini A. 76 k. 2(1) Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980memperuntukkan:
2(1) A person under disability may not bring or make a claim in any proceeding except by his next friend…
Mengikut nota kepada A. 30 k. 2, The Supreme Court Practice 1988, Vol. I di halaman 1193, “The words of the rule “may not” in r. 2(1)are equivalent to “shall not”.”
Saya terima bahawa seorang kanak-kanak (infant) mestilah memulakan tindakan melalui sahabat wakil (next friend). Soalan seterusnya ialah sama ada kegagalan berbuat demikian menjadikan writ itu “a nullity” atau “an irregularity”.
Adalah jelas jika plaintif, seorang kanak-kanak memulakan tindakan tidak melalui sahabat wakil, Mahkamah mempunyai kuasa untuk menggantungkan (stay) tindakan itu atau menolak (dismiss) tindakan itu atas permohonan defendan atas alasan bahawa Peguam plaintif tidak mempunyai kuasa untuk memulakan tindakan itu – lihatMallal’s Supreme Court Practice, perenggan 76/2/1 dan 26/2/9.
Ini menunjukkan bahawa kegagalan mematuhi k. 2(1) A. 76itu bukanlah, dalam keadaan biasa, satu “nullity” yang tidak boleh diperbaiki.
Dalam kes ini defendan memasukkan kehadiran tanpa syarat (unconditional appearance). Soalnya ialah sama ada ini boleh disifatkan sebagai “waiver” oleh defendan.
Adalah jelas bahawa dalam keadaan biasa, dengan memasukkan kehadiran tanpa syarat, defendan boleh disifatkan sebagai telah “waived the irregularity”.
Tetapi, soalnya ialah sama ada dalam keadaan kes ini defendan boleh disifatkan demikian.
Perlu diambil pehatian bahawa dalam kes ini fakta ini nampaknya cuma disedari semasa plaintif (dalam kes 23-37-89) memberi keterangan. Meneliti keterangan yang ada, keputusan fakta saya ialah Peguam defendan tidak mengetahui tarikh lahir plaintif sebelum itu. Malah Peguam plaintif pun nampaknya tidak sedar bahawa pada masa writ dikeluarkan, plaintif masih di bawah umur 18 tahun. Adalah menjadi tugas Peguam plaintif untuk memastikan umur plaintif sebelum memfail tindakan ini. Peguam defendan tidak boleh disalahkan kerana tidak mengetahuinya. Oleh itu beliau tidak boleh disalahkan kerana tidak memfail kehadiran bersyarat. Dalam keadaan ini, kegagalannya untuk memfail kehadiran bersyarat tidaklah boleh atau patut disifatkan sebagai satu “waiver”.
Soalan seterusnya ialah sama ada “irregularity” ini boleh diperbaiki melaui pindaan. Jawapan saya ialah dalam keadan biasa ia boleh dilakukan.
Tetapi, dalam kes ini ada beberapa masalah bagi plaintif berbuat demikian. Pertama, sekarang plaintif sudah melebihi umur 18 tahun. Tetapi, saya berpendapat masalah ini boleh diatasi seperti berikut: plaintif hendaklah membuat permohonan untuk meminda writ itu. Setelah mendapat perintah, plaintif bolehlah memberi notis kepada Pendaftar bahawa dia telah mencapai umur 18 tahun – lihat perenggan 76/2/7Mallal’s Supreme Court Practice di halaman 1052.
Tetapi, ada masalah lain pula dalam kes ini. Seperti yang disebut di awal alasan penghakiman ini, tempoh had masa selama enam tahun daripada tarikh plaintif mencapai umur 18 tahun telah tamat pada 21 April 1991. Adalah menjadi satu prinsip bahawa permohonan untuk meminda tidak patut dibenarkan jika tempoh had masa telah tamat – lihat Government of Malaysia v. Mohamed Amin bin Hassan [1984] 2 CLJ 540[1986] 1 MLJ 224. Lihat juga Mallal’s Supreme Court Practice di perenggan 15/6/2 di halaman 118 dan 119.
Peguam plaintif menghujahkan bahawa soal sama ada pindaan patut dibenarkan atau tidak masih belum timbul kerana belum ada permohonan olehnya untuk meminda.
Saya tidak bersetuju dengan hujah itu. Kerana, jika permohonan defendan sekarang ini diluluskan, plaintif tidak akan berpeluang lagi membuat permohonan untuk meminda writnya itu. Oleh itu, adalah bagi kepentingan plaintif, soal ini ditimbangkan sekarang.
Berhubung dengan soalan pindaan yang perlu dibuat itu, perlu juga diputuskan sama ada pindaan itu sebenarnya untuk menggantikan (substitute) satu pihak atau cuma untuk membetulkan nama pihak itu.
Dalam hal ini, panduan boleh didapati daripada kes Tan Guan Seng v. Sibuti Yon Seng Quarry [1973] 1 MLJ 116.
Dalam penghakiman saya, dalam kes ini, pindaan yang perlu dibuat itu bukanlah sekadar membetulkan ejaan nama plaintif, tetapi untuk memasukkan bagi kali pertama nama sahabat wakil. Plaintif sendiri tidak boleh memulakan tindakan ini. Hanya sahabat wakil yang boleh berbuat demikian bagi pihaknya. Pada pandangan saya pindaan yang perlu dibuat itu tidak boleh dilakukan selepas tempoh had masa telah tamat.
Dalam keadaan ini, patutkah Mahkamah menggantungkan (stay) tindakan ini? Saya tidak fikir saya patut berbuat demikian. Saya juga berpendapat tidak ada faedahnya berbuat demikian kerana, permohonan untuk meminda itu, jika dan apabila dibuat pun, dalam keadaan kes ini dan mengikut prinsip yang saya telah sebutkan, tidak patut dibenarkan juga. Satu hujah lagi dikemukakan oleh Peguam plaintif. Katanya jika writ itu “irregular” pada mulanya pun, ia telah menjadi “regular” kerana plaintif telah mencapai umur 18 tahun. Saya tidak bersetuju dengan hujah ini. Saya tidak fikir satu writ yang “irregular” boleh dengan sendirinya menjadi “regular” kerana peredaran masa. Pada pandangan saya, jika suatu writ itu “irregular”, ia kekal “irregular” sehingga dibetulkan.
Permohonan supaya tindakan plaintif (dalam kes 23-37-89) ditolak (dismissed) dibenarkan.
Saya meminta Peguam plaintif memberi sebab-sebab mengapa saya tidak patut memerintahkannya sendiri untuk membayar kos defendan. Beliau menyerahkan perkara itu kepada Mahkamah. Dalam penghakiman saya, memandangkan bahawa kesilapan itu adalah kesilapan Peguam plaintif, saya memerintahkan beliau sendiri membayar kos defendan.

91 visits