EPCO MARINE SDN. BHD. lwn. YANG DIPERTUA, MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG & SATU LAGI DAN L. HONG ENTERPRISES SDN. BHD. & SATU LAGI (PENCELAH)

EPCO MARINE SDN. BHD. lwn. YANG DIPERTUA, MAJLIS PERBANDARAN PULAU PINANG & SATU LAGI DAN L. HONG ENTERPRISES SDN. BHD. & SATU LAGI (PENCELAH)
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED, H
USUL PEMULA NO. 25-19-92
16 APRIL 1993
[1993] 3 CLJ 446

UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Per- mohonan certiorari dan mandamus – Bagi membatalkan keputusan merancang – Mengarahkan pelaksanaan ss. 21 dan 22 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 – Bantahan terhadap kelewatan permohonan dibawah A. 53 k. 1A KMT 1980- Samada Mahkamah puas hati diatas penjelasan diberi – Samada pendedahan yang penuh dan adil dibuat semasa permohonan ex parte untuk kebenaran – Samada kelewatan menyebabkan kesusahan atau prejudis atau menghalang kepada pentadbiran yang baik – Pentafsiran s. 21(6) APBD 1976 – Akibat kegagalan mengambil tindakan awal oleh pemohon – Samada Notis perlu diberi kepada pemohon sebelum kebenaran merancang diluluskan – Seksyen 2, 10(6) & (7), 21(3) & (6), 25 APBD 1976- Aturan 53 kaedah 1A KMT 1980.

Responden-responden telah meluluskan satu kebenaran merancang kepada pencelah-pencelah untuk membina sebuah bangunan bertingkat tinggi. Pemohon memohon kepada Mahkamah untuk perintah certiorari tehadap kebenaran merancang tersebut dan bagi mengarahkan responden-responden melaksa-nakan bidangkuasa menurut ss. 21& 22 APBD 1976. Responden-responden membantah dengan menyatakan bahawa terdapat kelewatan menurut A. 53 k. 1A KMT 1980didalam pemohonan pemohon dan menghujahkan kelewatan ini menyebabkan kesusahan atau prejudis atau kelemahan didalam pentadbiran yang baik kepada responden-responden dan pencelah. Pemohon telah menyatakan bahawa menurut s. 21(6) APBD 1976mereka perlu diberi notis sebelum permohonan perancangan diluluskan kerana tanah pemohon bersempadanan. Responden-responden juga mempertikaikan kesahihan responden pertama dibuat sebagai pihak kerana kelulusan yang dipohon dibatalkan oleh pemohon bukannya keputusan responden pertama.
Diputuskan:
[1] Di atas kelewatan pemohon, walaupun
Mahkamah telah memberi kebenaran secara ex parte untuk tindakan A. 53 KMT 1980, respondenresponden boleh mencabar kebenaran itu.
[2] Adalah didapati walaupun Mahkamah berpuashati dengan penjelasan pemohon diatas kelewatan ini, ianya akan menyebabkan permohonan yang dipohon mengakibatkan kesusahan atau prejudis atau melemahkan pentadbiran yang baik responden-responden dan pencelah-pencelah. Pemohon telah membiarkan sehingga pencelah membina sehingga 90% selesai dan pembeli-pembeli telah mengikat perjanjian untuk membeli unit-unit yang dibina itu, walaupun pemohon mengetahui berkenaan pembinaan itu lebih awal dan hanya mencabar keputusan responden sebagai alasan menghalang pembinaan diteruskan lebih tinggi dari 8 tingkat.
[3]Seksyen 21(6) APBD 1976 memerlukan notis disampaikan kepada pemunya tanah bersempadan sebelum permohonan merancang diluluskan. Adalah didapati sempadan tanah pemohon tidak bersempadanan.
[4]Seksyen 21(6) APBD 1976 juga memperuntukkan bahawa notis perlu diberi jika dikawasan tersebut tiada rancangan pemajuan dan didapati pada waktu berkenaan iaitu pada tarikh arahan-arahan dibawah s. 21(3) APBD 1976dipatuhi rancangan struktur (yang ditakrifkan tergulung sebagai rancangan pemajuan dibawah s. 2 APBD 1976) telah berkuatkuasa.
[5] Responden pertama bukanlah pihak berkuasa tempatan tetapi hanyalah menjalankan kuasa-kuasa eksekutif. Di atas alasan-alasan diatas maka permohonan plaintif ditolak. Kos kepada respondenresponden dan pencelah.
[Permohonan ditolak].

Case(s) referred to:
Mersing Omnibus Co. BANKINGANDFINANCE lwn. Minister of Labour and Manpower & Anor. [1983] 2 MLJ 54 (dirujuk)
Lazard Brother’s & Co. lwn. Midland Bank [1933] AC 307 (dirujuk)
Caswell and Another lwn. Dairy Produce Quota Tribunal for England and Wales [1990] 2 All ER 434 (HL) (dirujuk)
R lwn. Herrod, ex parte Leeds City District Council [1976] 1 All ER 273 (CA) (dirujuk)
The King lwn. Stafford Justices [1940] 2 KB 33 (dirujuk)
Badat bin Drani lwn. Tan Kheat [1953] MLJ 67 (dirujuk)
Datin Azizah bte Abdul Ghani lwn. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur [1992] 4 CLJ 207/ [1992] 2 MLJ 393 (dibezahan)
Datin Azizah bte Abdul Ghani v. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur [1992] 4 CLJ 207

Legislation referred to:
Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), s. 2
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), ss. 10(6), 15(1)s. 2 APBD 1976, 21(3)(6), 22, 25
Keadah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980), A. 53, k. 1A
Akta Mahkamah Agung 1981 (England), s. 31(6)
seksyenkecil (7)s. 15(1)s. 21(6)

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid b. Hj. Mohamed J:
Setelah mendapat kebenaran pada 13 April 1992, pemohon memfail Notis Usul Pemula pada 25 April 1992 (Lampiran 7) untuk mendapat perintahperintah:
(a) certiorari untuk membatalkan keputusan Yang Di Pertua, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (responden pertama) dan/atau Majlis Perbandaran Pulau Pinang (responden kedua) bertarikh 14 Mei 1990 memberi kebenaran merancang (planning permission);
(b) Mandamus mengarahkan respondenresponden melaksanakan bidangkuasa mereka di bawah s. 21 dan s. 22 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 173);
(c) Mandamus mengarahkan respondenresponden membatalkan kebenaran merancang yang dikeluarkan ke atas lot-lot 3545, 3456- 3470, 3495-3499, 3472, 3491 dan 3492 Daerah Timur Laut Pulau Pinang dan mengarahkan semua kerja-kerja yang dijalankan di situ dihentikan;
(d) Mandamus mengarahkan respondenresponden mematuhi peruntukan s. 25 Akta itu dan kos.
Mengikut afidavit yang difailkan bagi pihak pemohon (Lampiran 7B), plaintif adalah tuan punya berdaftar Lot 3730 yang “bersebelahan” dengan lot-lot yang disebut dalam perenggan (c). Pemohon tidak puashati kerana ia tidak diberitahu oleh responden-responden tentang permohonan oleh tuan tanah lot-lot itu untuk membina pangsapuri di situ dan memberi peluang kepadanya untuk membuat bantahan.
Atas permohonan mereka, pada 23 September 1992, saya membenarkan L. Hong Enterprises dan Junimas untuk mencelah – Lampiran 17.
Beberapa banyak afidavit yang tebal-tebal difailkan oleh kesemua pihak.
Hujah pertama yang dikemukakan oleh peguam responden-responden bagi menentang permohonan ini ialah kelewatan pemohon membuat permohonan ini.
Dalam hal ini, fakta-fakta berikut perlu diberi perhatian. Keputusan yang hendak dibatalkan itu dibuat pada 14 Mei 1990. Notis Usul ex parte memohon kebenaran (leave) cuma dibuat pada 8 April 1992 dan Notis Usul Pemula memohon perintah-perintah berkenaan difailkan pada 25 April 1992.
Permohonan kebenaran itu telah dibuat secara ex parte, dan kebenaran itu diberi secara ex parte. Dalam keadaan itu saya bersetuju dengan hujah peguam responden-responden bahawa di peringkat ini pun responden-responden masih boleh mencabar kebenaran itu. Dalam kes Mersing Omnibus Co. lwn. Minister of Labour and Manpower & Anor. [1983] 2 MLJ 54 (Mahkamah Persekutuan) nampaknya, walaupun pihak responden tidak membangkitkannya, Mahkamah, di peringkat rayuan terhadap perintah Hakim yang membicarakan kes itu menolak permohonan certiorari itu, menolak rayuan itu atas alasan bahawa permohonan untuk mendapat kebenaran dibuat di luar tempoh enam minggu.
Tidak boleh dinafikan bahawa dalam kes ini permohonan untuk kebenaran dibuat di luar tempoh enam minggu yang ditetapkan oleh Aturan 53, Kaedah 1A, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980). Oleh itu soalnya ialah sama ada
the delay is accounted for to the satisfaction of the Court or Judge to whom the application for leave is made…
Mengikut nota yang saya catit semasa permohonan kebenaran itu dibuat, berhubung dengan kelewatan, peguam pemohon memberitahu Mahkamah
We were not informed at all. Did not know about it at all.
Dalam afidavit menyokong permohonan untuk kebenaran itu (lampiran 3) Pengurus Syarikat pemohon menyatakan bahawa dia cuma tahu tentang kebenaran merancang itu pada 4 Mac 1992 melalui afidavit defendan kedua dalam Guaman 22-57-92 (pencelah kedua) yang disampaikan kepadanya. Pada 12 Mac 1992 dia mengarahkan peguamnya membuat carian di pejabat responden-responden tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian.
Atas sebab-sebab itu, pada masa itu saya bepuashati bahawa kelewatan itu telah dijelaskan (accounted for) dan saya memberi kebenaran yang dipohon itu.
Tetapi dalam afidavit pengarah pemohon yang diikrarkan pada 25 Februari 1992 dalam Guaman 22- 57-1992 itu, dia mengatakan di perenggan 9 dan 10:
9. Although I was aware that the defendants were constructing apartments at the foot of Pearl Hill, I was not aware that the apartments would reach the level of the said property and exceed it.
10. Only when I visited the said property in early 1992 was I shocked to notice that the development of the apartments by the defendants had reached the 8th Floor and any other floors constructed would immediately and drastically and injuriously affect the said property causing loss and deprivation in terms of amenity value and enjoyment of the land and consequential devaluation in market value of the said property of the plaintiffs.
Dari apa yang disebut oleh Pengarah pemohon sendiri dalam perenggan 9 afidavitnya bertarikh 25 Februari 1992 itu adalah jelas bahawa sebelum “awal 1992” lagi pemohon sudah tahu akan pembinaan itu. Hal itu tidak disebut dalam permohonan untuk kebenaran.
Undang-undang adalah jelas bahawa dalam sesuatu permohonan ex parte, adalah menjadi tugas pemohon membuat pendedahan yang penuh dan adil (full and fair) fakta-fakta yang relevan yang dia tahu dan kegagalan berbuat demikian boleh dengan sendirinya menjadi satu alasan untuk mengenepikan perintah itu – lihat Lazard Brother’s & Co. lwn. Midland Bank [1933] AC 307.
Memandangkan bahawa apa yang diketahui oleh plaintiff di “awal 1992” ialah bahawa pembinaan sedang dijalankan dan bukan kebenaran merancang itu sendiri, saya tidak fikir kebenaran yang saya telah beri itu patut diketepikan atas alasan kegagalan mendedah fakta-fakta penting.
Satu hujah lagi telah dibangkitkan oleh peguam responden-responden yang ada hubung-kait dengan kelambatan membuat permohonan ini. Hujahnya ialah oleh sebab kelambatan membuat permohonan ini, jika perintah yang dipohon ini diberi, ia akan menyebabkan “hardship or prejudice or be detrimental to good administration” dan juga pihak ketiga.
Dalam kes Caswell and Another lwn. Dairy Produce Quota Tribunal for England and Wales [1990] 2 All ER 434 (HL), permohonan untuk ulangkaji kehakiman (judicial review) dibuat lebih dari dua tahun selepas keputusan yang dicabar itu dibuat. Permohonan ditolak atas alasan yang disebut di atas. Tetapi perlu diambil perhatian bahawa keputusan itu nampaknya berdasarkan peruntukan s. 31(6) Supreme Court Act 1981 (England). Tidak ditunjukkan kepada saya, dan saya juga tidak dapat menemui di mana-mana dalam undang-undang yang berkenaan di negara ini bahawa terdapat peruntukan yang serupa dengannya.
Kes-kes R lwn. Herrod, ex parte Leeds City District Council [1976] 1 All ER 273 (CA) dan The King lwn. Stafford Justices [1940] 2 KB 33 juga dirujukkan kepada saya.
Pada pandangan saya walaupun tidak terdapat peruntukan yang serupa dengan s. 31(6) Supreme Court Act 1981 di sini, prinsip yang sama boleh dipakai. Alasan saya ialah kerana, pertama, relif yang dipohon ini adalah bersifat budibicara (discretionary) dan Mahkamah tidak akan memberi relif itu
if the conduct of the applicant had been such as to disentitle him to the relief asked for
lihat Badat bin Drani lwn. Tan Kheat [1953] MLJ 67.
Dalam kes ini, atas pengakuan pihak pemohon sendiri, dia tahu tentang pembinaan yang dijalankan di tanah bersebelahan itu sebelum Januari 1992. Dia tidak membantah. Dia cuma mula membantah apabila pembinaan itu sudah sampai ke tingkat lapan. Itu pun, bantahan itu adalah kerana bangunan yang lebih tinggi dari itu akan menghalang pemandangannya. Permohonan pemohon untuk mendapat injunksi menghalang pembinaan seterusnya atas alasan iaitu ditolak oleh Mahkamah ini. Tiada rayuan dibuat. Selepas itu barulah pemohon memulakan tindakan ini pula. Adalah nyata bahawa bantahan pemohon terhadap keputusan responden yang dicabar sekarang ini bukanlah matlamat tetapi alasan untuk menghalang pembinaan yang lebih tinggi.
Pemohon juga, dengan tidak berbuat apa-apa lebih awal, dan tidak membuat permohonan ini lebih awal, telah membiarkan pencelah-pencelah (sebenarnya pihak ketiga dalam perbalahan ini) membina sehingga 90% selesai dan pembeli-pembeli telah mengikat perjanjian untuk membeli unit-unit yang dibina itu. Kepentingan mereka juga akan terjejas, tanpa salah mereka, jika permohonan ini dibenarkan.
Atas alasan ini permohonan ini patut ditolak.
Seterusnya biarlah saya bincangkan sama ada, mengikut undang-undang, pemohon berhak diberi notis sebelum permohonan kebenaran merancang itu diluluskan. Dalam hal ini peruntukan s. 21(6) Akta 172 adalah berkenaan dan diperturunkan di sini.
(6) Jika pemajuan yang dicadangkan itu bertempat di kawasan yang berkenaan dengannya tidak ada rancangan pemajuan pada masa itu, maka, setelah menerima permohonan untuk kebenaran merancang, atau, jika arahanarahan telah diberi di bawah seksyen-kecil (3), setelah dipatuhi arahan-arahan itu, pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah, dengan notis secara bertulis yang disampaikan kepada pemunya-pemunya tanah yang bersempadan dengan tanah yang dimaksudkan oleh permohonan itu, memberitahu mereka akan hak mereka untuk membantah terhadap permohonan itu dan untuk menyatakan alasanalasan bantahan mereka dalam masa dua puluh satu hari dari tarikh notis itu disampaikan.
Saya ditunjukkan penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Datin Azizah bte Abdul Ghani v. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur [1992] 4 CLJ 207. Saya terima bahawa saya terikat dengan penghakiman itu, berkenaan undang-undang. Tetapi, keputusan saya dalam kes ini adalah berdasarkan fakta dalam kes ini.
Soalnya, adakah tanah pemohon “bersempa-dan” dengan tanah yang dibangunkan itu?
Banyak nas dirujukkan kepada saya tentang makna “adjoining” Saya tidak fikir semua itu perlu. Perkataan Melayu “bersempadan” yang digunakan oleh Akta 172 itu sudah cukup jelas maknanya. “Bersempadan” ertinya mempunyai sempadan bersama, kedua-duanya mesti bersentuh.
Mengikut peta yang difailkan oleh Pengarah pemohon sendiri, Ekshibit PC02, Lampiran 20, adalah jelas bahawa di antara lot 3730 kepunyaan plaintif dan lot 3470 yang dibangunkan itu terdapat satu lot lain iaitu lot 3729. Malah di antara lot 3729 dan lot 3470 terdapat satu lot lain pula, iaitu lot 3796 yang merupakan rezab parit (drain reserve) yang dipunyai oleh Pearl Hill
Memanglah di bucu sebelah kiri bawah peta itu, lot 3470 tidak dipisahkan daripada lot 3730 kepunyaan pemohon oleh lot 3729. Tetapi ia dipisahkan oleh lot 3796.
Oleh itu adalah keputusan fakta saya bahawa lot 3470 dan lot 3730 kepunyaan pemohon bukanlah bersempadan. Oleh itu notis tidak perlu diberi kepada pemohon di bawah s. 21 Akta 172 itu.
Atas alasan ini pun permohonan ini patut ditolak.
Seksyen 21(6) Akta 172 itu juga memperuntukkan bahawa notis itu perlu diberi jika di kawasan berkenaan tidak ada rancangan pemajuan.
Jadi soal seterusnya ialah sama ada, pada masa itu, di kawasan itu terdapat satu rancangan pemajuan atau tidak.
“Rancangan pemajuan” ditakrifkan dalam s. 2 seperti berikut: “rancangan pemajuan”, berhubung dengan sesuatu kawasan, ertinya –
(a) rancangan tempatan bagi kawasan itu; atau (b) jika tiada rancangan tempatan bagi kawasan itu, rancangan struktur bagi kawasan itu;
“Rancangan tempatan” pula ditakrifkan seperti berikut:
“rancangan tempatan”, berhubung dengan sesuatu kawasan, ertinya rancangan tempatan bagi kawasan itu, dan apa-apa perubahan rancangan itu, yang pada masa itu dipakai dalam kawasan itu menurut s. 15(1) dan, berhubung dengan mana-mana tanah atau bangunan, ertinya rancangan tempatan sebagimana ditakrifkan sedemikian bagi kawasan di mana tanah atau bangunan itu terletak; dan “draf rancangan tempatan” hendaklah ditafsirkan sebagaimana yang dikehendaki oleh kandungan ayatnya.
“Rancangan struktur” pula ditafsirkan seperti berikut:
“rancangan struktur” berhubung dengan sesuatu kawasan, ertinya rancangan struktur bagi kawasan itu, dan apa-apa perubahan rancangan itu, yang dipakai dalam kawasan itu menurut s. 10(6); dan berhubung dengan mana-mana tanah atau bangunan ertinya rancangan struktur, sebagaimana ditakrifkan sedemikian, bagi kawasan di mana tanah atau bangunan itu terletak; dan “draf rancangan struktur” hendaklah ditafsirkan sebagaimana yang dikehendaki oleh kandungan ayatnya;
Kedua pihak bersetuju pada masa berkenaan tidak ada “rancangan tempatan”. Oleh itu soalnya, ialah sama ada “pada masa itu” ada “rancangan struktur” atau tidak.
Perbalahan timbul tentang makna “pada masa itu”, sama ada pada masa permohonan untuk kebenaran merancang dibuat atau, jika, seperti dalam kes ini, di mana arahan-arahan di bawah s. 21(3) Akta 172 itu diberi, tarikh arahan-arahan itu dipatuhi.
Dalam hal ini s. 21(6) menyatakan
Jika pemajuan yang dicadangkan itu bertempat di kawasan yang berkenaan dengannya tidak ada rancangan pemajuan pada masa itu, maka setelah menerima permohonan untuk kebenaran merancang, atau, jika arahanarahan telah diberi di bawah seksyenkecil (3), setelah dipatuhi arahan-arahan itu, pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah dengan notis secara bertulis yang disampaikan kepada pemunya-pemunya tanah yang bersempadan dengan tanah yang dimaksudkan oleh permohonan itu, memberitahu mereka akan hak mereka untuk membantah terhadap permohonan itu…
Dalam penghakiman saya seksyen-kecil ini bermaksud jika arahan-arahan diberi di bawah seksyen-kecil (3), notis itu cuma perlu diberi setelah arahan-arahan itu dipatuhi, jika, pada masa itu (pada masa arahan-arahan itu dipatuhi) tidak ada rancangan pemajuan. Dalam kata-kata lain, jika arahan-arahan di bawah seksyen-kecil (3) diberi, “pada masa itu” bererti pada masa arahan-arahan itu dipatuhi, iaitu pada 16 April 1990, bukan pada masa permohonan untuk kebenaran merancang mula dibuat.
Soalnya seterusnya ialah adakah pada 16 April 1990 terdapat rancangan struktur atau tidak?
Dalam hal ini pun terdapat perbalahan. Mengikut peguam responden, rancangan struktur itu berkuatkuasa pada 20 Disember 1989, iaitu tarikh Pihakberkuasa Negeri memberi persetujuan kepada draf rancangan struktur itu. Peguam pemohon mengatakan ia berkuatkuasa apabila ianya diwartakan, iaitu pada 14 Jun 1990. Adalah jelas, jika 20 Disember 1989 adalah tarikh berkuatkuasa rancangan struktur itu, maka notis tidak perlu diberi kepada tuan punya tanah yang bersempadan. Sebaliknya jika tarikh berkuatkuasa rancangan struktur itu ialah pada 14 Jun 1990, maka notis itu kenalah diberi.
Dalam hal ini peruntukan s. 10(6) dan (7), yang diperturunkan di bawah ini perlu ditimbang:
(6) Setelah meluluskan draf rancangan struktur itu, Jawatankuasa hendaklah menyampaikan kepada Pihakberkuasa negeri untuk mendapat persetujuan Pihakberkuasa Negeri kepada rancangan itu, dan setelah persetujuan diberi, rancangan itu hendaklah berkuatkuasa.
(7) Jawatankuasa hendaklah mengarahkan supaya fakta persetujuan Pihakberkuasa negeri kepada suatu draf rancangan struk-tur disiarkan dalam Warta Negeri dan sekurang-kurangnya dalam dua akhbar tempatan, satu daripadanya adalah dalam bahawa kebangsaan, bersama dengan tanda yang dengannya rancangan itu boleh dikenali dan suatu pernyataan mengenai tempat rancangan itu boleh diperiksa.
Adalah jelas daripada s. 10(6) bahawa rancangan struktur berkuatkuasa apabila ia mendapat persetujuan Pihakberkuasa Negeri. Pengwartaan yang dikehendaki dilakukan selepas itu oleh seksyenkecil (7) hanyalah untuk memaklumkan orang ramai sahaja.
Daripada perbincangan ini adalah jelas bahawa pada tarikh arahan-arahan di bawah s. 21(3) dipatuhi (pada 16 April 1990) rancangan struktur telah pun berkuatkuasa (pada 20 Disember 1989). Oleh itu notis di bawah s. 21(6) tidak perlu diberi kepada pemohon jika tanahnya bersempadan pun (dalam keputusan saya tidak).
Atas alasan ini pun permohonan pemohon patut ditolak.
Akhir sekali dihujahkan oleh peguam respondenresponden bahawa responden pertama tidak sepatutnya dijadikan satu pihak dalam prosiding ini. Alasannya ialah responden pertama hanyalah menjalankan kuasa-kuasa eksekutif. Kedudukannya adalaah berbeza dengan Dato’ Bandar Kuala Lumpur. Mengikut s. 2 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) “Datuk Bandar Kuala Lumpur” adalah “pihak berkuasa tempatan” berhubung dengan Wilayah Persekutuan. Sebaliknya bagi tempat-tempat lain seperti Pulau Pinang pihakberkuasa tempatannya ialah MPPP (responden kedua). MPPP sahajalah yang boleh dan patut didakwa.
Saya bersetuju dengan hujah ini. Selain daripada alasan yang diberi oleh peguam respondenresponden, kelulusan yang hendak dibatalkan itu bukanlah keputusan responden pertama dan arahanarahan yang dikehendaki dilakukan dalam prayer (b), (c) dan (d) itu bukanlah dalam bidangkuasa responden pertama.
Walau bagaimana pun alasan yang terakhir sekali disebut ini hanyalah berkenaan responden pertama sahaja.
Atas alasan-alasan yang diberi sebelum ini, saya menolak permohonan ini. Pemohon hendaklah membayar kos responden-responden dan pencelahpencelah.

Read 120 times