WONG NYOOK KUEN DAN SATU LAGI v. WONG NYOOK CHONG DAN LAIN-LAIN

WONG NYOOK KUEN DAN SATU LAGI v. WONG NYOOK CHONG DAN LAIN-LAIN
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
GUAMAN SIVIL NO 22-368 OF 1992
23 FEBRUARY 1993
[1993] 1 LNS 125

Counsel:
Yeang Kok Kheang (Yeang & Co) bagi pihak pemohon/defendan.
Darshan Singh Khaira (Darshan Singh & Co) bagi pihak responden/plaintif.

ALASAN PENGHAKIMAN
(Lampiran 23)
Dalam Pernyataan Tuntutan mereka yang difailkan pada 23 September 1992 Plaintif-Plaintif mengatakan bahawa mereka, bersama-sama Defendan-Defendan Pertama hingga Keempat telah dilantik sebagai pemegang amanah Pertubuhan Cheng Kon Tsu dan Cheng Kon Tsu Monastry mengikut Perisytiharan Amanah (Declaration of Trust) bertarikh 27 Mei 1985. Plaintif-Plaintif, antara lain, mengatakan bahawa Defendan-Defendan telah menggunakan pungutan-pungutan wang untuk kegunaan mereka sendiri, bahawa Defendan-Defendan telah mengambil tindakan secara bersendirian untuk membena bangunan baru dan menurap jalan ke kuil itu dan menuntut kos sebanyak RM200,000, bahawa Defendan-Defendan telah mengeluarkan Plaintif-Plaintik daripada pengurusan harian kuil dan persatuan itu, dan telah melanggar peruntukan Amanah itu. [2]
Oleh itu mereka memohon perintah supaya Defendan-Defendan Pertama hingga Keempat disingkirkan, supaya perintah injunksi dikeluarkan supaya Defendan-Defendan memberi pernyataan akaun bagi kedua-dua amanah itu, supaya penerima dan pengurus dilantik keraguan, faedah dan kos.
Melalui Saman-dalam-Kamar yang difailkan pada 9 Oktober 1992 (Lampiran 12) Defendan-Defendan memohon perintah untuk mengenepikan “Writ atau penyampaiannya.” Semasa menghujahkan permohonan itu, peguam Defendan-Defendan membangkitkan alasan-alasan bahawa Plaintif-Plaintif tidak dilantik sebagai pemegang amanah dengan sah dan oleh itu tidak mempunyai keupayaan (capacity) untuk memulakan tindakan.
Saya menolak permohonan itu. Tiada rayuan terhadap keputusan saya itu.
Selepas itu, pada 16 November 1992, Plaintif-Plaintif memfail pula Saman-dalam-Kamar untuk membatalkan Writ dan Pernyataan Tuntutan. Adalah nyata permohonan ini dibuat di bawah Aturan 18 Kaedah 19, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980).
Peguam Defendan-Defendan sekali lagi menghujahkan bahawa perlantikan Plaintif-Plaintif adalah tak sah. Alasan yang diberi ialah kerana peguam Plaintif-Plaintif yang terdahulu telah memberi pendapat mereka bahawa Perisytiharan-Perisytiharan Amanah bertarikh 27 Mei 1985 itu tak sah. [3]
Alasan ini boleh dan sepatutnya telah dibangkitkan dalam permohonan yang terdahulu (dalam Lampiran 12) itu. Peguam Defendan-Defendan tidak membangkitkannya dan, dalam penghakiman saya, dia tertahan (estopped) daripada berbuat demikian sekarang – lihat Government of Malaysia v. Dato’ Chong Kok Lim1 dan Superintendent of Pudu Prison & Ors. v. Sim Kie Choon2.
Walau bagaimanapun, hakikat bahawa peguam Plaintif-Plaintif yang terdahulu itu berpendapat bahawa Perisytiharan-Perisytiharan Amanah itu tak sah tidaklah mengikat Plaintif-Plaintif atau Mahkamah. Itu adalah soal undang-undang yang patut diputuskan oleh Mahkamah.
Alasan kedua yang dikemukakan ialah Writ Saman itu tak sah kerana ia tidak diindorskan dengan pernyataan ringkas tentang jenis tuntutan atau relief atau remedi yang dikehendaki. Tetapi perlu diambil perhatian bahawa dalam kes ini Writ itu diindorskan dengan Pernyataan Tuntutan yang difail bersama-sama Writ Saman itu.
Dalam hal ini Aturan 6 Kaedah 2(1), Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980) memperuntukkan:
“2(1) Sebelum sesuatu writ dikeluarkan ia mestilah diindorskan.
(a) dengan pernyataan tuntutan atau, jika pernyataan tuntutan tidak diindorskan pada writ itu, dengan pernyataan ringkas tentang jenis tuntutan yang dibuat atau relief atau remedi yang dikehendaki dalam tindakan yang dimulakan dengan demikian itu;” [4]
Peruntukan ini jelas mengatakan bahawa pengindorsan itu cuma perlu jika Writ Saman itu tidak diindorskan dengan pernyataan tuntutan.
Oleh itu hujah peguam Defendan-Defendan itu tidak berasas.
Seterusnya peguam Defendan-Defendan menghujahkan bahawa Writ Saman itu tidak diindorskan dengan pernyataan ringkas yang menunjukkan sifat (capacity) Plaintif-Plaintif.
Sebenarnya, berdasarkan peruntukan Aturan 6 Kaedah 2(1) KMT 1980 yang saya perturunkan di atas, alasan ini juga tidak berasas, kerana, di mana Writ Saman itu diindorskan dengan pernyataan tuntutan, pengindorsan dalam bentuk pernyataan ringkas tidaklah perlu dibuat.
Jadi, soalnya ialah, sama ada sifat Plaintif-Plaintif itu disebut dalam Pernyataan Tuntutan mereka. Dalam perenggan 1 Pernyataan Tuntutan, Plaintif-Plaintif menyatakan bahawa mereka bersama-sama Defendan-Defendan Pertama hingga Keempat “telah dilantik sebagai pemegang amanah” Pertubuhan dan Kuil tersebut menurut Perisytiharan-Perisytiharan Amanah bertarikh 27 Mei 1985.
Peguam Defendan-Defendan menghujahkan bahawa pernyataan itu tidak memadai. Mengikutnya Plaintif-Plaintif mestilah menyebut bahawa mereka “adalah pemegang-pemegang amanah”. [5]
Saya berpendapat bahawa tidak ada apa-apa perbezaan penting sama ada Plaintif-Plaintif mengatakan bahawa mereka “telah dilantik” atau “adalah pemegang-pemegang amanah.”
Peguam Defendan-Defendan merujuk kepada kes Mohamed Hanif & Anor. v. Chin Ah Bah3. Saya telah meneliti penghakiman itu. Kes itu nyata sekali boleh dibezakan. Dalam kes itu, Plaintif-Plaintif menyebut dalam tajuk Writ bahawa mereka adalah Pentadbir Pesaka. Tetapi sifat itu tidak disebut dalam pernyataan ringkas. Juga tidak ada apa-apa dakwaan (averment) bahawa pemberian surat mentadbir, jika ada, telah dikeluarkan. Adalah jelas bahawa kes itu diputuskan atas prinsip bahawa, melainkan dalam tindakan oleh seorang balu, sehingga surat mentadbir dikeluarkan, pentadbir tidak mempunyai keupayaan untuk memulakan tindakan.
Kes ini nyata berlainan. Dalam kes ini Plaintif-Plaintif memulakan tindakan sebagai pemegang-pemegang amanah. Mereka menyebut demikian dan memberi butir-butir Perisytiharan-Perisytiharan Amanah berkenaan dalam Pernyataan Tuntutan mereka. Sama ada Perisytiharan-Perisytiharan Amanah itu sah atau tidak adalah soal lain, yang patut diputuskan selepas perbicaraan kelak.
Dalam hal ini, penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Ng Tien & Anor v. Chow Nim Yan4 adalah berkenaan. Dalam kes itu, diputuskan antara lain: [6]
“Held,… Even if the appellants were not properly elected in accordance with the Rules of the society, the court, if at all necessary, may yet intervene to raise a constructive trustee for equity does not want for a trustee. If the trustees who were elected at a committee meeting could be made liable or accountable to the society it is axiomatic that they should be capable of suing as well. The appellants are therefore constructive trustees for the society for the purpose of the action.”
Perlu diingat bahawa ini adalah permohonan untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KMT 1980.
Perintah yang dipohon adalah satu perintah yang “drastic”. Ia cuma patut dibuat jika Plaintif itu “clearly unsustainable.” Di mana terdapat persoalan-persoalan, fakta atau undang-undang yang patut dibicarakan, permohonan seperti ini patut ditolak.
Dalam kes ini, saya dapati bahawa terdapat persoalan-persoalan yang patut dibicarakan terutama sekali sama ada Perisytiharan-Perisytiharan Amanah itu sah atau tidak dan, oleh itu, perlantikan Plaintif-Plaintif (malah defendan-Defendan juga) sebagai pemegang amanah sah atau tidak, dan juga sama ada Plaintif-Plaintif adalah “constructive trustees”. Persoalan-persoalan ini, pada pandangan saya, hanya boleh diputuskan selepas perbicaraan sepenuhnya.
Permohonan ini ditolak dengan kos.

106 visits