UNITED MALAYAN BANKING CORPORATION BHD v. CHUAH GIM SUAN @ CHAI CHONG CHIN

UNITED MALAYAN BANKING CORPORATION BHD v. CHUAH GIM SUAN @ CHAI CHONG CHIN
HIGH COURT, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMED J
SAMAN PEMULA NO 24-442 OF 1988
3 FEBRUARY 1993
[1993] 1 LNS 269
Case(s) referred to:
1 Nam Bee Rubber Estate Sdn. Bhd. v. Syarikat Tanaman Perak Bhd. [1986] 1 MLJ 29 @ 34 (M.A.)
2 Thomas v. Nokes [1868] L.R. 6 Eq. 521
3 Danchevsky v. Danchevsky [1974] 3 All ER 934

Counsel:
Hira Singh (Asbir Hira Singh & Co) bagi pihak pemohon/plaintif.
Peter Miranda (Lim Cheng Poh, Lim & Rahim) dengan Chong Heang Kim bagi pihak responden/defendan.

PENGHAKIMAN
(Lampiran 37)
Pada 17 Julai 1991, dengan persetujuan kedua-dua belah pihak, Mahkamah ini memerintahkan antara lain bahawa rumah pangsa yang dikenali sebagai unit No. 160/82 Anson Road, 10400 Pulau Pinang dijual secara lelongan awam. Tarikh lelongan awam itu ditetapkan pada 27 November 1991. Responden/Defendan juga diperintahkan memberi milikan kosong dengan serta merta (forthwith).
Pada 25 Julai 1991 peguam Pemohon/Plaintif menulis surat kepada Responden/Defendan dan peguamnya, mengemukakan satu salinan Perintah itu dan memaklumkan bahawa pihak Pemohon/Plaintif akan pergi ke rumah pangsa itu pada 29 Julai 1991 untuk mengambil milikan kosong.
Pada 26 Julai 1991 peguam Pemohon/Plaintif menerima fax daripada peguam Responden/Defendan bahawa mereka telah mencuba menasihatkan Responden/Defendan menyerahkan milikan kosong tetapi Responden/Defendan berada di Bangkok. [2]
Pada hari yang sama peguam Pemohon/Plaintif menjawab bahawa wakil atau ahli keluarganya boleh menyerahkannya.
Esoknya peguam Pemohon/Plaintif menerima jawapan daripada peguam Responden/Defendan bahawa mereka tidak dapat mengambil arahan daripada Responden/Defendan.
Pada 29 Julai 1991 peguam Pemohon/Plaintif menulis kepada peguam Responden/Defendan lagi meminta mereka memberitahu Responden/Defendan atau kakitangannya atau keluarganya memberi milikan kosong premis itu.
Pada hari yang sama wakil Pemohon/Plaintif bersama-sama peguamnya pergi ke premis tersebut untuk mengambil milikan kosong. Responden/Defendan atau wakilnya tidak ada untuk menyerahkan milikan kosong itu.
Dalam afidavit menyokong permohonan Pemohon/Plaintif, dinyatakan bahawa peguam Pemohon/Plaintif mencuba beberapa kali untuk menyampaikan perintah bertarikh 17 Julai 1991 itu tetapi tidak berjaya sehingga 19 November 1991.
Perlu disebut di sini, sambil usaha-usaha untuk mencari dan menyampaikan perintah itu kepada Responden/Defendan tidak berjaya, pada 26 Oktober 1991 Responden/Defendan mengikrarkan satu Afidavit dan memfailnya. Dalam Afidavit ini dia membantah pengurangan harga rizab yang dipohon oleh Pemohon/Plaintif. Apa yang ketara sekali ialah Responden/Defendan tidak memberi alamat tempat tinggalnya dalam Afidavit itu. [3]
Pada 26 Februari 1992, saya memberi kebenaran kepada Pemohon/Plaintif untuk memohon perintah komital ini.
Notis Usul untuk mendapat perintah komital ini difail pada 2 Mac 1992.
Pada 14 April 1992 melalui Saman dalam Kamar, Pemohon/Plaintif memohon supaya penyerahan ke diri Notis Usul dan dokumen-dokumen berkenaan dikecualikan dan sebaliknya disampaikan melalui fax. Permohonan ini dibuat di bawah Aturan 52 kaedah 3(4) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.
Daripada Afidavit yang difail dan ekshibit-ekshibit yang dikembarkan, saya berpuashati bahawa berkali-kali cubaan dibuat untuk menyerahkan dokumen-dokumen itu tetapi setiap kali orang lain yang keluar dan memberitahu bahawa Responden/Defendan telah keluar (tidak ada), bahawa Responden/Defendan sengaja mengelakkan diri dan bahawa pada masa yang sama Responden/Defendan menggunakan nombor fax yang sama untuk berurusan dengan “Loans Supervision Department” Plaintif berkenaan perkara yang sama. Oleh itu saya meluluskan permohonan itu.
Pada 2 Mei 1992 hari Notis Usul itu ditetapkan untuk didengar, Responden/Defendan hadir, bersama-sama peguam barunya.
Walau bagaimana pun pada hari itu peguamnya memohon penangguhan untuk memfail afidavit jawapan. Walau pun [4] keberatan, saya membenarkan permohonan itu dan menangguhkan kes ini kepada 23 Mei 1992.
Pada 21 Mei 1992, Responden/Defendan memfail Afidavit Jawapan. Pertama dia menyatakan bahawa dia tidak disampaikan Notis Usul dan dokumen-dokumen berkaitan. Kedua, dia memberi sebab mengapa dia tidak menyerahkan milikan kosong. Alasan yang diberi ialah premis itu didiami oleh seorang penyewa. Penyewa itu enggan keluar. Dia juga menyatakan bahawa dia telah memfail satu tindakan di Mahkamah Tinggi, di Pulau Pinang untuk mendapat milikan kosong.
Dalam prosiding komital adalah tugas Pemohon/Plaintif untuk membuktikan bahawa Responden/Defendan dengan sengaja tidak mematuhi perintah itu melampaui keraguan yang munasabah, seperti beban yang perlu dibuktikan dalam kes jenayah.
Biarlah saya putuskan terlebih dahulu alasan-alasan keingkaran Responden/Defendan itu, seperti yang diberi olehnya dalam Afidavit Jawapannya.
Pertama, dia mengatakan bahawa dia tidak menerima Notis Usul dan dokumen-dokumen berkenaan. Tetapi, dalam keterangannya dia tidak menyentuh langsung hal ini.
Dalam hal ini, perlu diambil ingatan bahawa pada 14 April 1992, saya memerintahkan bahawa penyampaian ke diri Notis Usul dan dokumen-dokumen berkaitan dikecualikan [5] (dispensed with) kerana saya berpuashati bahawa Responden/Defendan sengaja mengelak daripada disampaikan sebarang proses Mahkamah terhadapnya. Tiada permohonan mengenepikan Perintah itu dibuat oleh Responden/Defendan. Notis Usul dan dokumen-dokumen itu disampaikan melalui fax mengikut nombor fax yang diguna sendiri oleh Responden/Defendan. Responden/Defendan hadir pada hari yang ditetapkan. Ini menunjukkan dia menerima Notis Usul dan dokumen-dokumen itu. Alasan ini tidak dibangkitkan oleh Responden/Defendan dalam keterangan lisannya atau dalam hujah peguamnya. Saya berpuashati alasan ini tidak berasas dan saya tolak.
Alasan kedua yang diberinya dalam Afidavit Jawapannya (Lampiran 51) mengapa dia tidak mematuhi Perintah bertarikh 17 Julai 1991 itu ialah kerana premis itu didiami oleh seorang yang bernama Ong Ewe Kee. Mengikutnya, walau pun dia memberitahu secara lisan kepada Ong supaya menyerahkan milikan kosong kepadanya, Ong gagal berbuat demikian. Oleh itu, dia telah memfail tindakan sivil terhadap Ong untuk mendapat milikan kosong.
Dalam keterangannya, di Mahkamah, antara lain, Responden/Defendan mengatakan bahawa dia adalah tuanpunya premis Nombor 160/8-2 Anson Road itu tetapi dia bukan penghuni. Dia adalah pemaju premis nombor 160 Anson Road itu dan itulah satu-satunya harta yang dimajukannya. Dia mempunyai “management office” di situ. [6]
Berbalik kepada alasannya bahawa dia tidak boleh menyerahkan milikan kosong kerana penyewa rumah itu tidak menyerahkan milikan kosong kepadanya.
Perlu disebut bahawa ini adalah kali pertama perkara ini disebut. Dan mengikut Responden/Defendan Ong telah menyewa premis itu semenjak tahun 1990.
Perlu diambil ingatan di sini bahawa Perintah yang antara lain menghendaki Responden/Defendan menyerah milikan kosong itu dibuat dengan persetujuan Responden/Defendan pada 17 Julai 1991. Hal itu tidak disebut. Demikian juga dalam prosiding-prosiding selepas itu, hal ini tidak pernah disebut. Hanya sekarang baru disebut.
Satu perkara lagi yang mungkin tidak berkenaan, tetapi menimbulkan kesangsian ialah peguam yang mewakili Ong (Defendan dalam tindakan Responden/Defendan dalam kes 22-356-91 itu) adalah peguam yang sama dengan peguam yang mewakili Responden/Defendan dalam prosing ini.
Seterusnya, jika benar Responden/Defendan tidak dapat menyerah milikan kosong kerana sebab itu, mengapakah dari awal-awal lagi dia tidak memberitahu Pemohon/Plaintif sebab itu? Sebaliknya dia mengelak daripada disampaikan proses Mahkamah. Adalah keputusan fakta saya bahawa dia berbuat demikian dan cuma keluar untuk memfail afidavit tanpa memberi alamatnya seperti yang dilakukannya pada 26 Oktober 1991 dan hadir di Mahkamah pada 2 Mei 1992 apabila dia tidak [7] boleh mengelaknya lagi. Selepas itu baru dia membangkitkan alasan ini.
Walau bagaimana pun dalam penghakiman saya, jika benar terdapat penghuni di premis itu pun, itu bukanlah satu perkara yang boleh memaafkannya daripada mematuhi Perintah itu. Perintah bertarikh 17 Julai 1991 itu dibuat dengan persetujuannya. Tetapi seperti yang kerap dilakukannya semasa memberi keterangan, dia cuba berdolak dalik dan menyatakan bahawa dia cuma tahu mengenai Perintah itu dalam bulan Mei 1992. Ini nyata tidak benar kerana pada 26 Oktober 1991 dia telah memfail Afidavit membantah harga rizab lelongan awam harta tersebut.
Dia terikat dengan Perintah itu. Jika benar dia tidak berdaya mengusir keluar penyewa itu pun, sekurang-kurangnya dia boleh menyerahkan kuncinya (tuanpunya premis sepatutnya mempunyai satu set kunci) atau menunjukkan kepada Pemohon/Plaintif bahawa ada penyewa di premis itu. Semua ini tidak dilakukan. Sebaliknya dia cuba mengelakkan diri daripada disampaikan proses Mahkamah.
Semasa memberi keterangan di Mahkamah, Responden/Defendan membangkitkan alasan baru pula. Katanya dia tidak disampaikan perintah bertarikh 17 Julai 1991 itu. Alasan ini tidak disebut dalam Afidavit Jawapannya. Saya berpendapat, dalam prosiding seperti ini, di mana afidavit [8] adalah dianggap sebagai pliding, sesuatu pihak tidak boleh dibenarkan membangkitkan persoalan fakta yang tidak dinyatakan dalam afidavitnya. Jika sesuatu pihak itu boleh membangkitkan apa sahaja persoalan fakta bila-bila masa sahaja, walau pun tidak dinyatakanhya dalam afidavitnya, tidak ada makna dia dikehendaki memfail afidavit. Tujuan afidavit-afidavit itu dikehendaki difail adalah untuk pihak lawan tahu apa persoalan yang perlu dihadapi dan supaya isu-isu dapat diketahui lebih awal dan dijawab, jika perlu.
Nyataan Responden/Defendan dalam kes ini bahawa dia tidak disampaikan Perintah itu adalah satu nyataan fakta, bukan undang-undang.
Atas alasan ini Responden/Defendan tidak sepatutnya diizin membangkitkan pembelaan ini.
Tetapi, jika pandangan ini tidak betul, eloklah diputuskan sama ada Responden/Defendan disampaikan Perintah itu atau tidak.
Pertama, perlu diambil perhatian bahawa Perintah bertarikh 17 Julai 1991 itu adalah satu perintah yang dibuat dengan persetujuan kedua belah pihak. Responden/Defendan tidak boleh berkata dia tidak tahu mengenainya.
Kedua, Encik Ahmad Razali bin Mat Sab, seorang pembantu kerani mahkamah daripada Tetuan Presgrave & Matthews memfail afidavit, mengikrarkan bahawa pada 19 November 1991 dia telah pergi ke alamat berkenaan untuk [9] menyampaikan Perintah itu. Dia bertemu Responden/Defendan yang menerima satu salinan Perintah itu tetapi tidak mahu menurunkan tandatangannya. Nyataan ini tidak dinafikan oleh Responden/Defendan dalam Afidavit Jawapannya. Cuma dalam keterangannya di Mahkamah dia tiba-tiba menafikan bahawa Perintah itu telah disampaikan kepadanya.
Saya telah mendengar, memerhati dan meneliti keterangan Responden/Defendan dan cara dia memberi keterangan dan menjawab soalan. Dia adalah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai. Jawapannya penuh dengan dolak dalik. Dia boleh dan berkata begitu dan begini walau pun dalam hal yang sama. Dia boleh mengaku dan menafi dalam masa yang sama. Tak perlulah diperturunkan keterangan-keterangan itu. Tetapi, mungkin patut disebut untuk menunjukkan apa yang, dan sejauh mana, dia sanggup lakukan untuk mengelak proses Mahkamah. Syarikatnya cuma menjalankan satu perniagaan, iaitu membangunkan tanah berkenaan, di Pulau Pinang. Itulah satu-satunya aset Syarikat itu. Tetapi alamat berdaftar yang diberi oleh Responden/Defendan kepada Pendaftar Syarikat ialah di Kelantan. Ini dia akui. Tetapi apabila ditanya alamat itu dia menjawab dia tidak ingat.
Kesimpulannya saya terima bahawa perintah bertarikh 17 Julai 1991 itu disampaikan kepadanya. [10]
Peguam Defendan menghujahkan bahawa Perintah itu tidak jelas kerana penggunaan perkataan “forthwith”.
Saya tidak bersetuju dengan hujah ini. Ini bukan satu kes di mana tempoh untuk melakukan sesuatu tidak disebut langsung. Ia menyebut “forthwith” (dengan serta merta). Perkataan “forthwith” bermakna “without any delay or loss of time” – lihat Nam Bee Rubber Estate Sdn. Bhd. v. Syarikat Tanaman Perak Bhd.1
Dalam kes Thomas v. Nokes2 di mana kaedah 10, Cons. Ord. XXIII yang menghendaki “that every decree or order in a suit requiring any person to do an act thereby ordered “shall state the time within which the act is to be done”, Lord Romilly M.R. memutuskan “that the word “forthwith” was a sufficient expression of the time within which the act was required to be done within the meaning” kaedah itu. Lihat juga Mallal’s Supreme Court Practice, Edisi Kedua, Jilid I, halaman 490.
Dalam kes ini, di mana perintah dibuat dengan persetujuan yang menghendaki Responden/Defendan menyerahkan milikan kosong “forthwith” di mana tarikh lelongan awam telah pun ditetapkan dalam perintah persetujuan itu, di mana Pemohon/Plaintif telah mencuba berbagai-bagai cara untuk mendapat pematuhan oleh Responden/Defendan, di mana Responden/Defendan mencuba dengan berbagai cara untuk mengelak penyampaian, adalah tidak munasabah mengatakan dia [11] tidak tahu bila dia patut mematuhinya. Hakikatnya ialah bukan dia tidak tahu tetapi tidak mahu. Sebab itu sehingga hari ini dia masih tidak mematuhi Perintah itu.
Peguam Responden/Defendan juga menghujahkan bahawa Pemohon/Plaintif tidak sepatutnya memilih cara ini untuk menguatkuasakan Perintah itu kerana ada cara lain yang boleh dilakukan, iaitu melalui Writ Milikan. Beliau merujuk kepada kes Danchevsky v. Danchevsky3 sebagai autoriti bahawa jika terdapat satu cara lain yang sesuai untuk memastikan bahawa perintah mahkamah dipatuhi yang tidak melibatkan pemenjaraan “contemnor”, cara lain itu patutlah digunakan.
Walau bagaimana pun “in exceptional cases” prosiding komital boleh digunakan. Jadi, soalnya ialah, sama ada kes ini adalah satu kes yang “exceptional”. Dalam memutuskan persoalan itu, Mahkamah perlulah menimbang kelakuan Responden/Defendan, menimbang kepentingan kedua-dua pihak, menimbang kepentingan awam dan maruah Mahkamah. Berdasarkan fakta-fakta dalam kes ini, saya berpendapat bahawa ini adalah satu kes di mana Mahkamah, demi untuk menjaga kewibawaannya dan demi untuk mengelak perintah-perintah Mahkamah (apatah lagi yang dibuat dengan persetujuan) dipermain-mainkan, patut mengizinkan prosiding komital digunakan. Juga, memandangkan kepada tindak-tanduk Responden/Defendan, proses melalui Writ Milikan besar [12] kemungkinan tidak akan berkesan, atau sekurang-kurangnya akan mengambil masa yang panjang, memandangkan kepada kebijaksanaan Defendan/Responden untuk mengelak diri daripada proses Mahkamah.
Kesimpulannya, saya berpuas hati melampaui keraguan yang munasabah bahawa Defendan tahu tentang Perintah yang dibuat dengan persetujuan itu, bahawa Perintah itu disampaikan kepadanya, bahawa dia mempunyai peluang dan keupayaan untuk mematuhinya, bahawa Perintah itu adalah jelas, bahawa dia sengaja tidak mematuhinya dan mencuba sedaya upaya mengelak prosiding ini.
Saya dapati Responden/Defendan bersalah kerana menghina Mahkamah.
Berkenaan dengan hukuman, memandangkan penghinaan bahawa ini adalah daripada jenis sivil dan apa yang dikehendaki ialah supaya Responden/Defendan mematuhi Perintah itu yang mungkin sukar dipatuhinya jika dia dipenjarakan, saya berpendapat bahawa hukuman denda adalah memadai. Dalam menetapkan amaunnya, saya mengambil kira bahawa Perintah berkenaan dibuat dengan persetujuan, bahawa walau pun tarikh lelongan telah ditetapkan pada 27 November 1991 dalam Perintah dengan persetujuan itu, tetapi sehingga hari ini, sudah lebih daripada satu tahun selepas itu, lelongan masih tidak dapat dijalankan kerana Responden/Defendan masih tidak menyerahkan milikan kosong. [13] Saya juga mengambil kira kepentingan awam bahawa perintah Mahkamah mestilah dihormati dan dipatuhi, jika tidak kewibawaan Mahkamah akan tercemar dan orang awam akan hilang kepercayaan terhadap proses Mahkamah dan “rule of law”.
Oleh itu saya menjatuhkan hukuman denda sebanyak $10,000.00 yang hendaklah dibayar pada atau sebelum 10 Februari 1993, jika tidak Responden/Defendan akan dipenjarakan selama tiga bulan. Walau bagaimana pun dia boleh dibebaskan lebih awal jika Mahkamah, atas permohonannya, berpuashati bahawa dia telah “purge his contempt”.

88 visits