PATEL HOLDINGS SDN. BHD. lwn. ESTET PEKEBUN KECIL SDN. BHD. & SATU LAGI

PATEL HOLDINGS SDN. BHD. lwn. ESTET PEKEBUN KECIL SDN. BHD. & SATU LAGI
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED, H
GUAMAN SIVIL NO. 22-36-88
22 FEBRUARI 1993
[1993] 3 CLJ 620

ACARA SIVIL: INJUNKSI – Permohonan untuk membatalkan injunksi jenis mareva – Sama ada terdapat bukti bahawa harta berkenaan berada dalam bidangkuasa Mahkamah – Sama ada terdapat apa-apa bukti bahawa plaintif berniat untuk melesapkan asetnya – Sama ada perintah injunksi patut dibatalkan.

AMALAN & PROSEDUR: Writ dan pernyataan tuntutan dibatalkan – Permohonan untuk membatalkan injunksi dibuat melalui saman dalam kamar – Bantahan di segi prosedur – Sama ada permohonan patut ditolak – Sama ada permohonan patut dibuat melalui proses pemula.
Plaintif telah memfail guaman untuk mengenepikan perintah dengan persetujuan yang dibuat dalam guaman yang lebih awal. Defendan pertama mengambil penghakiman ingkar di atas tuntutan balasnya berjumlah RM2,788,680.18 dan memperolehi perintah injunksi mareva untuk menahan plaintif daripada melesapkan hartanya. Writ dan pernyataan tuntutan plaintif dibatalkan, di bawah A. 18 k. 19 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, atas permohonan defendan.
Plaintif telah berjaya dalam permohonannya untuk mengenepikan sebahagian daripada penghakiman ingkar dan dengan mengambil kira bahawa defendan pertama telah menggunakan dua “performance bank guarantee” yang di berikan oleh plaintif, plaintif telah membayar ke dalam Mahkamah baki hutang penghakiman dengan bantahan terhadap penyelesaian penuh baki hutang penghakiman itu.
Plaintif membuat permohonan melalui saman dalam kamar untuk membatalkan injunksi mareva yang didapati secara ex-parte atas alasan bahawa tidak ada bukti bahawa harta berkenaan berada dalam bidangkuasa dan tidak ada bukti bahawa ia akan dilesapkan.
Peguam defendan pertama membuat bantahan terhadap pendengaran permohonan plaintif untuk membatalkan injunksi yang dibuat melalui saman dalam kamar atas alasan bahawa oleh kerana saman dan pernyataan tuntutan telah dibatalkan, permohonan sepatutnya dibuat melalui proses pemula.
Diputuskan:
[1] Permohonan plaintif difailkan sebelum perintah membatalkan writ dan pernyataan tuntutan diberi. Tuntutan balas defendan pertama masih kekal sehingga hari ini dan sebahagian daripadanya masih belum dibicarakan. Dalam keadaan ini tidak ada apa salahnya permohonan ini dibuat melalui saman dalam kamar dan bantahan defendan pertama di segi prosedur ditolak.
[2] Perintah injunksi yang diperolehi oleh defendan pertama patut dibatalkan dan diketepikan oleh kerana asasnya, iaitu hutang penghakiman telah dikurangkan dan baki hutang penghakiman itu telah/boleh dijelaskan sepenuhnya.
[3] Defendan pertama telah gagal menunjukkan bahawa harta alih atau tak alih plaintif berada dalam bidangkuasa. Harta yang merupakan wang dalam bank telah diganishkan oleh defendan pertama dan tidak ada sebarang bukti bahawa plaintif hendak atau sedang melesapkan hartanya.
[Permohonan plaintif, seperti dalam perenggan (a), (b) dan (c) saman dalam kamar yang dipinda, diluluskan].

Case(s) referred to:
Patel Holdings BANKINGANDFINANCE lwn.Estet Pekebun Kecil & Satu Lagi [1989] 1 CLJ 229
(dirujuk)

Legislation referred to:
Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, A. 2A. 18 k. 19
Counsel:
Bagi pihak plaintif – V.M. Mohan (N. Shanmugambersamanya); T/n. V.M. Mohan & Co.
Bagi pihak defendan – S. Kanawagi; T/n. Khana &Co.

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Melalui saman dalam kamar (Lampiran 86) plaintif memohon bahawa satu penyiasatan diadakan oleh Penolong Kanan Pendaftar berkenaan gantirugi yang dialami oleh plaintif akibat daripada perintah Mahkamah (tarikh tidak disebut) dan bahawa gantirugi itu dibayar oleh defendan pertama kepada plaintif.
Walau pun tarikh perintah itu tidak disebut (tertinggal) tetapi daripada afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan itu bolehlah difahamkan bahawa ia merujuk kepada perintah injunksi yang diberi pada 27 Jun 1990 (Lampiran 79).
Melalui saman dalam kamar (lampiran 117) plaintif memohon meminda lampiran 86 itu. Pindaan yang dicadangkan itu yang penting, ialah, pertama, bagi memasukkan satu perenggan baru (a) yang memohon bahawa perintah injunksi bertarikh 27 Jun 1990 itu dibatalkan dan diketepikan. Perenggan (b) adalah seperti dalam lampiran 86 yang disebut di atas dengan beberapa pembelaan. Perenggan (c) ialah untuk kos.
Atas persetujuan kedua belah pihak permohonan ini ditetapkan untuk didengar bersama beberapa permohonan lain di Mahkamah Terbuka pada 29 September 1992.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak saya meluluskan permohonan untuk meminda (lampiran 117) itu. Walau bagaimana pun saya berikan kos kepada defendan pertama.
Seterusnya saya mendengar lampiran 86 (yang juga ditetapkan untuk didengar pada hari itu) seperti dipinda oleh lampiran 117.
Peguam defendan pertama berkata beliau tidak bersedia. Lagi pula beliau baru menerima satu afidavit daripada Peguam plaintif yang perlu dijawab.
Oleh sebab lampiran 86 itu telah ditetapkan untuk didengar pada hari itu, saya arahkan supaya ia didengar. Walau bagaimana pun saya beri peluang kepada Peguam defendan pertama untuk memfail afidavit bagi menjawab afidavit plaintif yang baru diterima itu, kemudian. Setelah mendengar hujah Peguam plaintif, atas permohonan Peguam defendan pertama, saya tangguh kes ini ke sebelah petang untuk membolehkannya bersedia. Di sebelah petang beliau berhujah. Di akhirnya saya beri peluang kepadanya sekali lagi untuk mengemukakan penghujahan bertulis tambahan itu dan autoritiautoriti. Ini difailkan kemudian.
Walau bagaimana pun saya ingin menyatakan bahawa saya membenarkan Peguam defendan pertama memfail afidavit bagi menjawab afidavit plaintif yang baru difail dan disampaikan itu, bukan untuk mengemuka-kan keterangan baru.
Perintah bertarikh 27 Jun 1990 itu (lampiran 79), antara lain, menahan plaintif, agen atau perkhidmatnya daripada mengeluarkan wang sehingga sejumlah RM2,788,714.18 daripada manamana banknya. Perintah itu juga menahan plaintif, agen atau perkhidmatnya daripada melupuskan apaapa hartanya, alih atau tak alih.
Kes ini telah banyak memakan masa Mahkamah, sebelum dan selepas saya mengambil alihnya. Beberapa rayuan telah pergi ke Mahkamah Agung dan diputuskan. Fail kes ini sudah meningkat dua kaki tebalnya. Namun masih belum ternampak bila kes ini boleh ditutup. Memandangkan bahawa permohonan demi permohonan dibuat dalam kes ini, saya khuatir jika akhirnya pepatah Melayu: “Menang jadi arang, kalah jadi abu” itu terbukti benar.
Supaya mudah difahami, latar belakang kes ini perlulah sebut sekali lagi, secara ringkas dan mana yang berkenaan sahaja.
Pada 26 Mac 1988 plaintif memfail guaman ini untuk mengenepikan perintah dengan persetujuan yang dibuat dalam satu guaman yang lebih awal. Defendan pertama (dalam guaman ini) memfail pembelaan dan tuntutan balas. Plaintif tidak memfail jawapan kepada tuntutan balas itu. Defendan pertama mengambil penghakiman ingkar di atas tuntutan balasnya pada 1 Februari 1989 berjumlah RM2,788,680.18.
Pada 12 Jun 1990, atas permohonan defendan pertama, Penolong Kanan Pendaftar mengeluarkan “Garnishee Order to Show Cause” berjumlah RM2,204,170 – lampiran 77.
Pada 27 Jun 1990, perintah injunksi yang hendak diketepikan ini dibuat secara ex parte, atas permohonan defendan pertama.
Pada 8 Januari 1991, atas permohonan defendan pertama, saya meluluskan permohonan defendan pertama untuk membatalkan writ dan pernyataan tuntutan plaintif di bawah A. 18 k. 19 Kaedahkaedah Mahkamah Tinggi, 1980. Rayuan plaintif terhadap keputusan itu telah ditolak oleh Mahkamah Agung.
Pada 14 September 1991, atas permohonan plaintif, saya mengenepikan sebahagian daripada penghakiman ingkar yang diperolehi oleh defendan pertama pada 1 Februari 1989 itu. Bahagian penghakiman ingkar yang tidak diketepikan berjumlah sebanyak RM584,510.18. Dalam lain perkataan, selepas 14 September 1991 hutang penghakiman hanya berjumlah RM584,510.18 bukan RM2,788,680.18 lagi. Keputusan ini juga telah disahkan oleh Mahkamah Agung.
Mengikut plaintif, dan tidak dinafikan oleh defendan pertama, bahawa defendan pertama telah menggunakan (utilised) dua “performances bank guarantee” bernilai RM500,000. Oleh itu, mengikut plaintif baki hutang penghakiman ialah sebanyak RM80,656.82. Plaintif telah membayar ke dalam Mahkamah sebanyak RM96,386.43 dengan bantahan terhadap penyelesaian penuh baki hutang penghakiman itu.
Kedua pihak bersetuju bahawa perintah injunksi bertarikh 27 Jun 1990 itu adalah daripada jenis
Mareva.
Sebelum membincang hujah-hujah lain, eloklah dibincang dan diputuskan terlebih dahulu bantahan Peguam defendan pertama di segi prosedur. Peguam defendan pertama itu menghujahkan bahawa permohonan ini patut ditolak kerana prosedur yang diikuti oleh Peguam plaintif tidak betul. Katanya, permohonan ini tidak boleh dibuat melalui saman dalam kamar kerana tuntutan plaintif sudah tidak ada.
Perlu diingati di sini, bahawa pada 8 Januari 1991, atas permohonan defendan pertama, saya telah membatalkan writ dan pernyataan tuntutan plaintif. Tetapi, tuntutan balas oleh defendan pertama masih kekal sehingga hari ini.
Soalnya ialah adakah dalam keadaan itu, plaintif tidak boleh membuat permohonan ini dalam kes ini? Mestikah dia memulakan satu tindakan melalui proses pemula?
Saya bersetuju jika tidak ada langsung proses pemula, suatu permohonan itu tidak boleh dibuat melalui saman dalam kamar. Tetapi dalam kes ini plaintif telah memulakan guaman ini melalui writ saman, defendan pertama mendapati perintah injunksi yang hendak diketepikan ini dalam guaman ini. Permohonan ini (walaupun kemudiannya dipinda) difailkan oleh plaintif pada 10 Ogos 1990 iaitu sebelum perintah membatalkan writ dan pernyataan tuntutan itu diberi (8 Januari 1991). Dalam keadaan ini saya berpendapat tidak ada apa salahnya permohonan ini dibuat melalui saman dalam kamar. Malah, adalah lebih “convenient” ia dibuat dalam guaman ini. Rujukan kepada lampiran-lampiran berkenaan adalah lebih mudah. Lagi pula kes ini tidak boleh dikatakan sudah tidak ada dan telah ditutup. Sebahagian daripada tuntutan balas masih belum dibicarakan. Berbagai-bagai permohonan oleh defendan pertama dan juga plaintif masih belum selesai. Akhirnya, jika prosedur yang diikuti oleh plaintif ini di luar aturan pun, ia tidaklah sedikitpun memudaratkan defendan pertama, dan dimaafkan oleh Aturan 2.
Bantahan ini ditolak.
Peguam plaintif menghujahkan bahawa injunksi ex parte ini, dari jenis Mareva, patut dibatalkan kerana tidak ada bukti bahawa harta berkenaan berada dalam bidangkuasa dan tidak ada bukti bahawa ia akan dilesapkan (dissipated).
Dalam memutuskan persoalan ini, perlulah dilihat Afidavit menyokong permohonan ini – lampiran 78.
Perlu disebut di sini, permohonan untuk mendapat perintah injunksi itu difailkan pada 11 Jun 1990 bertarikh yang sama.
Pada tarikh yang sama juga defendan pertama memohon perintah Garnishee. Permohonan ini pun bertarikh yang sama. Permohonan untuk perintah Garnishee ini disokong oleh afidavit bertarikh yang sama (lampiran 71A) dan difailkan pada tarikh yang sama. Tiada afidavit khas bagi menyokong permohonan perintah injunksi yang difailkan bersama-sama permohonan ini. Malah, di bahagian akhir saman dalam kamar ex parte itu (lampiran 75) ruangan yang sepatutnya diisi dengan tarikh afidavit menyokong diikrarkan ditinggalkan kosong. Hanya pada 27 Jun 1990, hari permohonan untuk mendapat perintah injunksi itu didengar dan perintah itu diperolehi barulah satu afidavit difailkan (lampiran 78).
Perenggan 4 afidavit bertarikh 26 Jun 1990 (difailkan pada 27 Jun 1990) (lampiran 78) itu merujuk kepada “Affidavit affirmed on 11 June 1990 and made in support to obtain a Mareva type of injunction against the plaintiff”.
Sebenarnya afidavit bertarikh 11 Jun 1990 itu adalah afidavit bagi menyokong permohonan Garnishee Order.
Walau bagaimana pun, saya akan merujuk juga kepada afidavit itu dalam membuat keputusan ini.
Soalnya, adakah benar tidak terdapat bukti bahawa harta itu berada dalam bidangkuasa?
Afidavit bertarikh 26 Jun 1990 (lampiran 78), bagi menyokong permohonan injunksi itu tidak menyebut langsung hal itu.
Afidavit bertarikh 11 Jun 1990 (lampiran 71A) ada menyebut:
The Garnishees are all banks within the jurisdiction of the “Honourable Court” – perenggan 5.
Jadi, berkenaan bahagian pertama perintah injunksi itu (Lampiran 79), memang ada nyataan bahawa bank-bank itu terletak dalam bidangkuasa dan wang plaintif, jika ada dalam bank-bank itu, terletak dalam bidangkuasa.
Bagaimana dengan lain-lain aset? Jawapannya, tidak ada apa-apa nyataan dalam afidavit-afidavit itu bahawa lain-lain aset, jika ada, terletak dalam bidangkuasa.
Persoalan kedua ialah sama ada terdapat apa-apa bukti bahawa plaintif, pada masa permohonan injunksi itu dibuat berniat untuk melesapkan asetnya.
Dalam afidavit yang difail oleh defendan pertama (lampiran 75) apa yang disebut adalah seperti berikut:
7. I am informed by my solicitors that they have checked on the plaintiff’s office and note that the plaintiff’s office is devoid of any activity and with no man power thus indicating that the plaintiff have or is about to close their business.
Di peringkat permohonan injunksi ex parte itu, nyataan itu kenalah diterima kerana tiada apa-apa nyataan sebaliknya.
Tetapi, perlu disebut bahawa apa yang dinyatakan dalam afidavit itu ialah tentang kemungkinan plaintif menutup perniagaan-nya. Tidak disebut langsung bahawa plaintif bercadang atau sedang melesapkan hartanya.
Bagi menyokong permohonan ini, plaintif memfail afidavit yang diikrarkan pada 10 Ogos 1990 (lampiran 85). Plaintif juga memfailkan satu lagi afidavit pada 29 September 1992 (pada hari lampiran 86 dan 117 ini didengar) – lampiran 147. Seperti yang saya sebut lebih awal, saya beri kebenaran kepada Peguam defendan pertama untuk menjawab afidavit ini (lampiran 147). Beliau telah pun berbuat demikian pada 14 Oktober 1992 (lampiran 148). Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa kebenaran itu cuma diberi untuk menjawab nyataan-nyataan dalam lampiran 147 itu, yang hanya mengemukakan bil-bil talipon plaintif untuk menunjukkan bahawa talipon plaintif tidak dipotong. Tetapi, Peguam defendan pertama nampaknya, mengambil kesempatan itu untuk mengemukakan beberapa afidavit lain yang telah difailkan dalam guaman lain bagi menunjukkan bahawa plaintif sedang melesapkan hartanya. Sikap seperti inilah yang menyebabkan kes ini berlarutan begitu rupa. Saya menolak apa-apa keterangan baru yang cuba hendak dikemukakan oleh Peguam defendan pertama yang tidak berkaitan dengan apa yang dinyatakan oleh plaintif dalam afidavitnya (lampiran 147) itu, iaitu talipon plaintif tidak dipotong.
Jadi meneliti afidavit-afidavit yang berkenaan, saya berpuashati bahawa tidak ada bukti bahawa plaintif sedang, pada masa permohonan injunksi itu diperolehi, melesapkan hartanya. Malah, saya dapati bahawa tuduhan bahawa plaintif, pada masa itu, hendak menutup perniagaannya juga tidak benar. Tuduhan itu dibuat lebih dari dua tahun dahulu. Tetapi sehingga hari ini plaintif masih diwakili Peguam, masih membuat dan membela berbagaibagai permohonan, termasuk untuk menghalang defendan pertama daripada mengambil tindakan menggulung syarikat plaintif, dan untuk tujuan itu memasukkan wang ke Mahkamah untuk menjelaskan semua hutang penghakiman.
Jika saya silap dalam hal ini, dan keterangan yang dikemukakan dalam afidavit pihak defendan pertama yang difailkan pada 14 Oktober 1992 (lampiran 148) itu patut diberi pertimbangan, maka afidavit pihak plaintif yang difailkan pada 19 Oktober 1992 (lampiran 149) yang menjelaskan tuduhan dari pihak defendan pertama itu juga patut diberi pertimbangan.
Jika afidavit-afidavit itu ditimbang pun, saya tidak berpuashati bahawa plaintif, pada masa itu, sedang atau bercadang untuk melesapkan hartanya. Oleh itu injunksi Mareva ini patutlah dibatalkan dan diketepikan.
Saya juga berpendapat bahawa injunksi ini patut dibatalkan dan diketepikan atas alasan seterusnya.
Perintah injunksi ini dipohon atas asas bahawa penghakiman berjumlah RM2,788,714.18 diperolehi pada masa itu. Sebahagian daripada penghakiman itu telah diketepikan. Jumlah hutang penghakiman dikurangkan kepada RM584,510.18. Melalui perintah garnishee, defendan pertama telah mengutip sebanyak RM3,853.36. Defendan pertama telah menggunakan (utilised) dua “performance bank guarantee” berjumlah RM500,000. Plaintif telah memasukkan RM96,386.43 ke Mahkamah. Defendan pertama telah pun membuat permohonan supaya wang itu dibayarkan kepadanya – lampiran 134. Semua wang ini, apabila diambil kira, menunjukkan bahawa hutang penghakiman sebanyak RM584,510.18 itu telah dijelas/boleh dijelaskan.
Tetapi anihnya, Peguam defendan pertama menghujahkan bahawa hutang penghakiman itu masih belum/ tidak boleh dijelaskan.
Wang berjumlah RM96,386.43 ada dalam simpanan Mahkamah dan defendan pertama telah memohon supaya dibayar kepadanya.
Berkenaan “performance bank guarantee” berjumlah RM500,000, Peguam defendan pertama mengaku gerenti-gerenti itu telah digunakan (utilised) tetapi tidak bersetuju ia diambilkira sebagai bayaran terhadap hutang penghakiman. Katanya penggunaan “performance bank guarantee” itu tidak ada kaitan dengan hutang penghakiman. “Performance bank gurantees” itu adalah “independent” katanya. Beliau menarik perhatian saya kepada penghakiman yang lebih awal oleh Wan Adnan H. dalam kes ini yang dilaporkan dalam [1989] 1 MLJ 190. Sebenarnya kesan penghakiman itu ialah membolehkan defendan pertama menggunakan “performance bank guarantee” itu. Penghakiman itu tidak bererti defendan pertama boleh menggunakannya, tetapi tidak perlu memberi kredit kepada plaintif, seolah-olah itu satu hadiah daripada plaintif.
Dalam penghakiman saya, kredit hendaklah diberi bagi bayaran yang telah/akan diterima. Oleh itu hutang penghakiman telah/boleh dijelaskan sepenuhnya daripada wang yang telah/boleh diterima oleh defendan pertama. Asas injunksi itu sudah luput. Ia patut dibatal dan diketepikan.
Satu perkara lagi yang perlu disebut ialah, bahagian pertama perintah injunksi itu merujuk kepada wang plaintif dalam bank-bank, jika ada. Perkara ini juga diliputi oleh perintah Garnishee. Semua wang plaintif yang ada dalam 35 bank itu telah dibayar kepada defendan pertama. Oleh itu tidak ada apa lagi yang hendak ditahan plaintif daripada mengeluarkannya.
Kesimpulan saya berpendapat perintah injunksi bertarikh 27 Jun 1990 itu patutlah dibatalkan dan diketepikan kerana:
(a) asasnya, iaitu hutang penghakiman telah dikurangkan, dan baki hutang penghakiman itu telah/boleh dijelaskan sepenuhnya; (b) tidak ada bukti bahawa plaintif hendak/sedang melesapkan hartanya; (c) bagi bahagian kedua perintah itu (harta alih atau tak alih), tidak ada bukti ia berada dalam bidangkuasa; (d) bagi bahagian pertama perintah itu (wang dalam bank), ia telah diganishkan.
Akhir sekali, satu perkara lagi perlu disebut. Disebabkan oleh “complexity” (lebih tepat, “complexity” yang disengajakan) dan untuk mempercepatkan perjalanan pendengaran kes ini, saya membenarkan Peguam kedua-dua pihak berhujah dalam Bahasa Inggeris. Tetapi nampaknya kelonggaran yang diberi itu telah disalahgunakan. Permohonan-permohonan dan afidavit-afidavit yang difailkan hanya dalam bahasa Inggeris, seolah-olah Arahan Amalan No. 2 tahun 1990 sudah tidak dipakai lagi. Memanglah prosiding ini dimulakan sebelum Arahan itu berkuatkuasa. Tetapi, itu tidak bererti bahawa permohonan-permohonan dan afidavit-afidavit yang difailkan selepas Arahan itu berkuatkuasa dikecualikan daripada dibuat dalam Bahasa Kebangsaan. Peruntukan Arahan itu mengenai prosiding mendesak ada kalanya disalahgunakan. Pertama, permohonan yang tidak mendesak pun dikatakan mendesak untuk mengelak daripada keperluan memfailkan salinan dalam Bahasa Kebangsaan. Salinan dalam Bahasa Kebangsaan yang dikehendaki difail dalam masa dua minggu ada kalanya tidak difailkan. Dalam keadaan ini, rasanya, arahan itu patut dipinda menghendaki semua permohonan, sama ada mendesak atau tidak, dan semua afidavit difailkan dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan. Ekshibit-ekshibit yang bahasa asalnya Bahasa Inggeris bolehlah terus digunakan tanpa terjemahan ke Bahasa Kebangsaan, kerana adalah tidak praktikal untuk menterjemahkan kesemuanya.
Permohonan plaintif seperti dalam perenggan (a), (b) dan (c) saman dalam kamar yang dipinda (lampiran 117) diluluskan.

92 visits