SUBRAMANIAM ARUMUGAM lwn. RAGHBIR SINGH JARGIR SINGH

SUBRAMANIAM ARUMUGAM lwn. RAGHBIR SINGH JARGIR SINGH
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
USUL PEMULA NO. 25-37-92
15 JANUARI 1993
[1993] 2 CLJ 45
AMANAH DAN PROSEDUR: Sama ada seorang pemberipinjam wang boleh memulakan tindakan melalui prosedur tuntutan kecil – Aturan 54 Kaedah – Kaedah Mahkamah Rendah (KMR) 1980 – Sama ada Aturan 45 KMR 1980 patut dipakai – Percanggahan peruntukan di antara Aturan 45 dan Aturan 54 – Sama ada seorang pemberipinjam wang boleh menafikan hak yang diberikan kepada defendan oleh Aturan 45 dengan memulakan tindakannya di bawah Aturan 54.

Responden, seorang pemberipinjam wang memulakan tindakan terhadap pemohon di Mahkamah Majistret mengikut prosedur tuntutan kecil. Pemohon memohon perintah larangan melarang Mahkamah Majistret daripada meneruskan prosiding itu. Soalan yang dibangkitkan ialah sama ada seorang pemberipinjam wang boleh membuat tindakan melalui Aturan 54 KMR 1980 atau diwajibkan mematuhi peruntukan Aturan 45 KMR 1980.
Diputuskan:
[1] Tindakan oleh pemberipinjam wang dikehendaki dibuat melalui saman dan pernyataan tuntutan dan bukan melalui Borang 164 yang terpakai kepada prosiding di bawah Aturan 54 KMR 1980.
[2] Aturan 45 yang terikat kepada tindakan pemberipinjam wang mempunyai peruntukan yang memberi hak-hak kepada defendan di mana peruntukanperuntukan tersebut tidak terkandung dalam Aturan 54. Jika seorang pemberipinjam wang dibenarkan memakai Aturan 54, defendan akan dinafikan hak-hak yang diberikan kepadanya oleh Aturan 45.
[3] Aturan 54 tidak boleh dipakai dalam tindakan oleh seorang pemberipinjam wang.
[Permohonan untuk perintah larangan diluluskan dengan kos].
Legislation referred to:
Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980, Aturan 5, 14, 37, 38, 39, 41, 42, 44, 45, 46, 54.
Akta Penghutang 1957
Akta Distres 1951
Akta Kerja 1955
Akta Pemberipinjam Wang 1951
Counsel:
Bagi pihak pemohon – M. Thayalan; T/n. Meena,Thayalan & Partners
Bagi pihak responden – Darshan Singh; T/n. DarshanSingh & Co.

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Melalui Notis Usul, pemohon memohon perintah larangan melarang Mahkamah Majistret di George Town Pulau Pinang daripada meneruskan prosiding dalam kes No. 77-24-92 mengikut prosedur tuntutan kecil.
Adalah dipersetujui oleh kedua-dua pihak bahawa plaintif dalam kes 77-24-92 itu adalah seorang pemberipinjam wang dan bahawa tindakan dibuat mengikut prosedur tuntutan kecil di bawah Aturan 54, Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1980 (KMR 1980).
Soal utama dalam kes ini ialah sama ada seorang pemberipinjam wang boleh membuat tindakan melalui Aturan 54.
KMR 1980 berkuatkuasa pada 1 April 1981 (P.U.(B) 106/1981). Ia mengandungi peruntukan umum mengenai prosedur memulakan tindakan, pliding dan lain-lain. Di samping itu terdapat juga peruntukan-peruntukan yang khusus mengenai tindakan di bawah undang-undang tertentu seperti di bawah Akta Penghutang 1957 (Aturan 37), Akta Distres 1951 (Aturan 38), Akta Kerja 1955 (Aturan 39), Permohonan untuk Probet atau Surat Kuasa Mentadbir (Aturan 41), Prosiding oleh dan terhadap Kerajaan (Aturan 42), Tindakan kerana Fitnah (Aturan 44), Tindakan Pemberipinjaman Wang (Aturan 45) dan Prosiding yang berbangkit daripada Perjanjian Sewa-Beli (Aturan 46).
Mengikut sekim KMR 1980 itu, peruntukanperuntukan umum mengenai cara memulakan tindakan, pliding dan lain-lain, semuanya terpakai bagi semua tindakan. Tetapi, di mana terdapat peruntukanperuntukan yang khusus mengenai sesuatu tindakan tertentu yang diperuntukkan dalam Aturan-Aturan khusus itu, peruntukan-peruntukan tertentu itu mestilah dipakai, yang bererti bahawa prosedur umum itu, di mana perlu, mestilah diubahsuai atau ditokok-tambah. Tidak ada masalah selama ini.
Kemudian, mulai 1 Januari 1991, Prosedur Tuntutan Kecil (Aturan 54) dikuatkuasakan (P.U.(A) 460/1990). Secara umum, Aturan ini memperuntukkan prosedur bagi tuntutan-tuntutan mendapatkan kembali hutang atau tuntutan jumlah tertentu berupa wang yang tidak melebihi RM5,000 di mana plaintif adalah individu. Secara ringkas bolehlah dikatakan bahawa prosedur yang diperuntukkan di bawah Aturan 54 itu lebih mudah dan ringkas. Tuntutan, pembelaan dan tuntutan balas dibuat dengan menggunakan borang-borang yang disediakan.
Tidak dipertikaikan bahawa plaintif dalam kes ini adalah seorang individu, bahawa tuntutannya adalah untuk mendapatkan kembali hutang dan jumlah yang dituntut tidak melebihi RM5,000. Juga tidak dinafikan bahawa plaintif adalah seorang pemberipinjam wang.
Jadi, soalnya, bolehkah seorang pemberipinjam wang membuat tuntutan mengikut Aturan 54, jika syaratsyarat yang diperuntukkan oleh Kaedah 2 itu dipenuhi?
Perlu diambil perhatian di sini bahawa aturan-aturan mengenai saman (Aturan 5) dan pliding (Aturan 14) adalah peruntukan umum yang terpakai dalam semua tindakan. Tetapi, bagi tindakan oleh pemberipinjam wang, terdapat satu aturan yang khusus, iaitu Aturan 45. Aturan 45 bukanlah satu aturan yang lengkap yang boleh berdiri dengan sendirinya. Ia perlu dipakai bersamasama Aturan-Aturan lain yang diperuntukkan untuk kegunaan umum. Sebagai misalan, Kaedah 2 Aturan 45 menghendaki sebelum saman yang memulakan tindakan pemberipinjam wang dikeluarkan, ia mestilah diindorskan dengan suatu pernyataan. Ini menunjukkan bahawa saman di bawah Aturan 5 hendaklah digunakan.
Kaedah 3 Aturan 45 pula menghendaki beberapa perkara dinyatakan dalam pernyataan tuntutan. Pernyataan tuntutan diperuntukkan dalam Aturan 14.
Kedua-dua perkara yang saya sebutkan ini pun sudah nyata menunujukkan bahawa tindakan oleh pemberipinjam wang adalah dikehendaki dibuat melalui saman dan pernyataan tuntutan, bukan melalui Borang 164 yang amat ringkas itu. Daripada bentuknya pun Borang 164 itu bukanlah sesuai untuk memuatkan semua nyataan yang dikehendaki dimasukkan oleh Kaedah 3 Aturan 45 itu.
Selain daripada itu, kaedah 3(1) Aturan 45 memperuntukkan bahawa dalam sesuatu tindakan pemberipinjam wang, penghakiman ingkar tidak boleh dicatatkan kecuali dengan kebenaran Mahkamah. Kaedah 5(2) seterusnya menyatakan bahawa sesuatu permohonan minta diberikan kebenaran itu mestilah dibuat melaui notis dan notis itu mestilah disampaikan kepada defendan. Mengikut prosedur tuntutan kecil, Mahkamah boleh terus memberi penghakiman ingkar jika defendan tidak memfailkan pembelaannya atau tidak hadir pada tarikh pendengaran – lihat kaedah 8 Aturan 54. Tiada permohonan yang mesti disampaikan kepada defendan perlu dibuat. Kaedah 8 itu nyata bercanggah dengan peruntukan Kaedah 5 Aturan 45. Saya tidak fikir hak yang diberikan kepada defendan oleh Aturan 45 itu patut dinafikan kepadanya oleh seorang pemberipinjam wang yang memilih membuat tindakannya di bawah Aturan 54. Juga saya tidak fikir kedua-dua peruntukan itu boleh dibaca bersama.
Seterusnya, Kaedah 5(3) Aturan 45 memperuntukkan bahawa semasa mendengar permohonan minta kebenaran untuk mencatatkan penghakiman ingkar, sama ada defendan hadir atau tidak, Mahkamah boleh menggunakan kuasanya di bawah s. 21(2) Akta Pemberipinjam Wang 1951 untuk membuka semula transaksi dan mengambil akaun antara pemberipinjam wang (plaintif) dan defendan. Tidak ada peruntukan seperti itu dalam Aturan 54.
Ini bererti bahawa jika Aturan 54 dipakai bagi tindakan oleh seorang pemberipinjam wang, akibatnya ialah bahawa defendan akan dinafikan hak-hak yang diberikan kepadanya oleh Aturan 45.
Atas alasan-alasan yang saya telah sebutkan di atas saya berpendapat bahawa Aturan 54 tidak boleh dipakai dalam tindakan oleh seorang pemberipinjam wang.
Soal seterusnya ialah sama ada Mahkamah ini patut membuat perintah yang dipohon melalui Notis Usul ini. Peguam defendan menghujahkan bahawa persoalan yang dibangkitkan hanyalah soal prosedur, bukan bidangkuasa dan soal itu boleh dibangkitkan dalam perbicaraan kes itu.
Saya tidak bersetuju dengan hujah itu. Persoalan yang dibangkitkan ini adalah semata-mata persoalan undangundang, tidak ada apa-apa pertelingkahan fakta yang terdapat dalam kes ini. Bagaimanakah kedua-dua pihak akan menghujah persoalan ini di Mahkamah Majistret memandangkan bahawa kedua pihak tidak boleh diwakili oleh Peguam dalam tuntutan kecil? Oleh itu Mahkamah ini adalah forum yang lebih sesuai. Lagi pula persoalan ini melibatkan tuntutan-tuntutan yang serupa di semua Mahkamah Majistret di negara ini. Eloklah ia diputuskan segera.

62 visits