CHAN EWE LEONG, THOMAS & 12 LAGI lwn. DATO LEE SAIK KEE & 16 LAGI DAN SATU LAGI KES

CHAN EWE LEONG, THOMAS & 12 LAGI lwn. DATO LEE SAIK KEE & 16 LAGI DAN SATU LAGI KES
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
SAMAN PEMULA NO. 24-753-92 & 24-826-92
14 DISEMBER 1992
[1993] 2 CLJ 151

UNDANG-UNDANG MESYUARAT: Mesyuarat Agung – Perisytiharan – Memohon inter alia perisytiharan bahawa pemilihan AJK Kelab dan AJK Pemilihan tidak sah – Penggunaan proksi di dalam mengundi-Pengerusi mesyuarat tidal membenarkan pengiraan undi proksi untuk pemegang proksi yang tidak hadir – Usul dikemukakan untuk mesyuarat memutuskan persoalan tersebut dan untuk undi tidak percaya terhadap pengerusi – Tidak dibenarkan oleh pengerusi-Pentafsiran Kaedah Kelab – Samada perlu bagi pemegang proksi hadir untuk undi proksi dikira – Pertikaian cara pengundian bagi undi proksi – Tiada peruntukan cara pengundian proksi didalam kaedah – Soal melucut hak – Samada persetujuan mesyuarat mengenai cara pengundian proksi naelucutkan hak ahli untuk membantah kini – Soal samada pengerusi boleh mempengerusikan mesyuarat sekiranya beliau bertanding untuk jawatan – Samada prinsip “Wednesbury” terpakai didalam menimbangkan keputusan Pengerusi – Persoalan kesahihan pemilihan AJK – Jika seorang ahli yang berhak mwngundi tidak dibenarkan dengan cara yang tidak betul dari mmengundi – Samada mengakibatkan keputusan berlainan – Persoalan fakta.

Ini merupakan dua kes yang didengarkan sekali dimana satu kes mencabar pemilihan AJK Kelab dan satu kes lagi mencabar pemilihan AJKPemilihanyangkedua-duanya telah dilangsungkan di satu MesyuaratAgung yang sama. Pertikaian timbul berkenaan dengan keputusan pengerusi mesyuarat mengenai undian proksi di mana beliau menetapkan hanya undian proksi dimana pemegang proksi hadir di mesyuarat akan diambil kira. Cabaran juga dibuat terhadap cara pengundian proksi dilaksanakan di mana pemegang proksi tidak diberi kertas undi untuk undian proksi tetapi dikira secara otomatis melalui borang proksi yang telah didepositkan oleh ahli di pejabat setiausaha. Oleh kerana beberapa ahli tidak berpuas hati dengan keputusan Pengerusi mengenai persoalan. undi proksi maka usul inter alia untuk menentukan soal itu ditetapkan oleh keputusan mesyuarat telah dikemukakan tetapi tidak dibenarkan oleh pengerusi. Usul tidak percaya juga dikemukakan terhadap pengerusi dan ini juga tidak dibenarkan oleh pengerusi. Kesahihan keputusan ini juga dicabar dan kesahihan pemegangan jawatan sebagai pengerusi mesyuarat juga dicabar sebagai tidak sah kerana pengerusi juga turut bertanding untuk jawatan di mesyuarat yang dipengerusikannya.
Diputuskan.
[1] Pemilihan AJK Kelab adalah sah kerana keputusan pengerusi berkenaan cara pengundian proksi didapati betul. Menurut Kaedah Kelab undi ahli biasa boleh diberi bagi pihaknya dan menunjukkan ahli yang mengundi bagi pihak yang tidak boleh hadir ialah ahli yang hadir. Oleh sedemikian sekiranya pemegang proksi tidak hadir kuasa yang diberi oleh pemberi proksi tidak dapat dilaksanakan.
[2] Bantahan cara pengundian tidak patut diizinkan sekarang kerana persetujuan semua ahli didalam mesyuarat tersebut adalah jelas dan oleh itu mereka telah “waived” hak untuk membantah.
[3] Pemilihan AJK Pemilihan adalah tidak sah kerana kurang ahli (plaintif Saman Pemula 24-826-92) hadir semasa pemilihan sedang berjalan dan dengan kehadirannya di ketika itu undi proksi dipegang oleh beliau sepatutnya dikira memandangkan bilangan proksi yang dipegang oleh beliau keputusan pemilihan besar kemungkinan berlainan jika diberi peluang mengundi kepadanya.
[4] Pengerusi berhak mempengerusikan mesyuarat walaupun beliau bertanding didalam pemilihan jawatankuasa. Fakta behau bertanding secara sendiri tidak melucutkan kelayakannya sebagai pengerusi.
[5] Walaupun menurut amalan demokrasi pengerusi patut mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya kepada mesyuarat adalah didapati walaupun usul itu diluluskan ianya tidak akan membatalkan haknya untuk mempengerusikan mesyuarat itu kerana dia masih Pemangku Yang Dipertuan yang berhak dibawah Kaedah Kelab menjadi pengerusi dan diperuntukkan hanya Jawatankuasa Kelab boleh memecatnya dan bukan mesyuarat.
[6] Oleh sebab itu keputusan pengerusi adalah betul dan kegagalannya tidak menjadikan mesyuarat itu tidak sah.
[7] Adalah diarahkan mesyuarat Agung Luar Biasa diadakan seberapa segera khusus untuk pemilihan AJK pemilihan.

Case(s) referred to:
Me Millan lwn. Le Roi Mining Company Limited [1906] 1 Ch. 331 (dirujuk)
Carruth lwn. Imperial Chemical Industries Ltd [19371 2 All ER 422 HL . (dirujuk)
Florence Bailes lwn. Dr. Ng Jit Leong [1983] 1 LNS 7, [1985] 1 MLJ 374 . (dibezakan)
Nagapa Chettiar lwn. The Madras Race Club AIR (38) 1951 Madras 831 . (dirujuk)
Narayana Chettiar lwn. The Kaleeswaran Mills Ltd. AIR [1952] Madras 515 . (dirujuk)
Wishart lwn. Henneberry [1962] 3 FLR 171. (dirujuk)
Kerr lwn. Kerr [1976] BCR 69 . (dirujuk)
Byng lwn. London Life Assurance Ltd. [1990] 1 Ch. 170 (C. A) . (dirujuk)
Tanjong Jaga Sdn. Bhd lwn. Minister of Labour and Manpower [1987] CLJ 368 (Rep), [1987] 2 CLJ 119, [1987] 1 MLJ 124, M.A.. (dibezakan)
Ex Parte Mawby [1854] 3 E1 EBL 717 (dirujuk)
Morgan & Ors. lwn. Simpson & Anor. [1974] 3 AU ER 722 . (dirujuk)

Legislation referred to:
Akta Perhubungan Perusahaan 1967
Akta Tafsiran 1967, s. 47
Akta Undang-Undang Sivil 1956, s. 3
Peraturan-Peraturan Perhubungan Perusahaan 1980
Counsel:
Bagi pihak plaintif dalam Saman Pemula No.24-753-92 – Gan Teik Chee; T/n. Gan Teik Chee & Ho
Bagi pihak plaintif dalam Saman Pemula 24-826-92 – T. Thomas; T/n. Skrine & Co
Bagi pihak defendan dalam Saman Pemula No. 24-733-92 & 24-826-93 – Rumi Manecksha; T/n. Ong & Manecksha

JUDGMENT
Abdul Hamid bin HJ. Mohamed:
Terdapat dua kes yang berkaitan. Kedua-duanya berkenaan perkara yang lama. Kesemua pihak besetuju kedua-duanya didengar bersama.
Dalam kedua-dua kes, plaintif-plaintif dan defendan-defendan adalah ahli-ahli biasa Penang Turf Club. Secara ringkasnya plaintif-plaintif dalam kedua-dua kes ini memohon perisytiharan bahawa pemilihan defendan-defendan pertama hingga kelapan sebagai ahli-ahli Jawatankuasa Kelab (AJK Kelab) dan pemilihan defendan-defendan kesembilan hingga ketujuh belas sebagai ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan (AJK Pemilihan) adalah tak sah dan lain-lain perintah sampingan.
Walau pun dalam kedua-dua kes terdapat permohonan melalui saman dalam kamar untuk perintah injunksi sementara, dengan persetujuan semua pihak, demi untuk menyelesaikan perbalahan ini dengan segara, saya mengarahkan Saman Pemula didengar terus. Ini telah dilakukan dan inilah penghakiman saya.
Fakta-fakta, terutama sekali tentang apa yang berlaku dalam Mesyuarat Agung itu dipersetujui seperti yang terkandung dalam laporan verbatim yang dikemukakan. Alasan-alasan yang dikemukakan dalam kedua-dua kes ini adalah sama, walaupun terdapat sedikit perbezaan tentang pendekatannya.
Supaya mudah mengikutinya, eloklah diperturunkan fakta-fakta yang tidak dipertikai dan/atau yang saya terima.
Kelab itu mengadakan Mesyuarat Agungnya pada 28 Julai 1992. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Tuan Haji Sidek selaku Pemangku Yang di Pertua Kelab itu. Antara agenda dalam mesyuarat itu ialah pemilihan lapan orang AJK Kelab dan sembilan orang AJK Pemilihan.
Di sini eloklah diperturunkan secara ringkas apa yang berlaku dalam mesyuarat itu mengikut susunan mana yang terdahulu. Hanya perkara-perkara yang penting bagi memutuskan kes ini sahaja diperturunkan.
Apabila mesyuarat itu sampai ke peringkat pemilihan AJK Kelab terdapat perbincangan yang panjang lebar berkenaan cara ahli-ahli yang telah memberi proksi tetapi hadir dalam mesyuarat itu hendak mengundi. Ahli-ahli menyuarakan kebimbangan mereka kiranya akan berlaku keadaan di mana undi seorang ahli itu dikira dua kali, sekali melalui kertas undi dan sekali melalui undi proksi. Akhirnya ahli-ahli diberi pilihan. Sesiapa yang mahu proksinya kekal (“proxy to stand”) dikehendaki menyerahkan balik kertas undi (ballot paper) mereka. Mereka yang mengundi dengan menggunakan kertas undi, proksinye dibatalkan. Tidak ada bantahan tentang cara ini.
Pengundian dijalankan. Mesyuarat ditangguhkan untuk jamuan ringan.
Apabila mesyuarat disambung semula Pengerusi memaklumkan mesyuarat bahawa pengiraan sudah hampir siap. Dan, pada masa itulah Pengerusi mengumumkan bahawa undi proksi yang dipegang oleh pemegang-pemegang proksi yang tidak hadir, tidak akan dikira.
Mulai dari titik itulah kekecohan berlaku. Sebilangan ahli-ahli membantah keputusan itu. Ada yang menyokong.
Usul dikemukakan dan disokong supaya persoalan itu diputuskan oleh mesyuarat. Pengerusi tidak membenarkan usul itu.
Usul tidak percaya terhadap Pengerusi dikemukakan dan disokong. Pengerusi tidak membenarkannya juga.
Pengerusi mengisytiharkan keputusan. Undi-undi yang diambil kira ialah undi-undi yang dibuat melalui kertas undi dan undi-undi proksi yang pemegang proksi itu hadir. Perlu disebut di sini bahawa pemegang-pemegang proksi itu tidak mengundi dengan menggunakan kertas undi. Asalkan seseorang pemegang proksi itu hadir, bilangan proksi yang telah didepositkan olehnya di pejabat setiausaha diambil kira secara otomatik.
Mesyuarat sampai ke peringkat pemilihan AJK Pemilihan (Election Committee). Sedang pengundian itu berjalan, Tun Dato’ Seri Dr. Lim Chong Eu (Tun Dr. Lim), plaintif dalam kes 24-826-1992 tiba.
Antara lain, beliau meminta supaya persoalan sama ada undi proksi yang dipegang oleh ahli yang tidak hadir patut diambil kira atau tidak dikemukakan untuk keputusan mesyuarat. Ini tidak dipersetujui oleh Pengerusi. Cadangan dibuat dan disokong supaya dibuat pengiraan semula. Adalah nyata tujuan cadangan itu ialah supaya proksi yang dipegang oleh Tun Dr. Lim diambil kira, kerana beliau telah hadir. Pengerusi menolak cadangan itu kerana, mengikut pendapatnya, pemilihan(AJK Kelab) telah selesai dan keputusan telah diisytiharkan. Tun Dr. Lim menghujahkan bahawa pengundian bagi kedua-dua Jawatankuasa belum selesai. Beliau meminta kertas undi. Tidak dinafikan bahawa kertas undi tidak diberi kepoda Tun Dr. Lim bagi pemilihan kedua-dua Jawatankuasa dan proksi yang dipegangnya, bagi pemilihan kedua-dua Jawatankuasa itu, tidak dikira.
Tun Dr. Lim sekeli lagi meminta persoalan itu dikemukakan untuk diputuskan oleh mesyuarat. Apabila permintaan itu tidak dipersetujui, seorang ahli mengusulkan supaya mesyuarat diminta memutuskan sama ada Pengerusi berkuasa mengenepikan (overrule) kehendak ahli-ahli. Usul itu disokong. Tetapi Pengerusi tidak membenarkannya.
Kemudian, seorang ahli mengemukan usul undi tidak percaya terhadap Pengerusi dan disokong. Pengerusi menolak usul itu atas alasan ia diluar aturan.
Tun Dr. Lim dan penyokong-penyokongnya keluar meninggalkan mesyuarat itu. Keadaan menjadi reda. Mesyuarat diteruskan.
Kemudian Pengerusi mengisytiharkan keputusan pemilihan AJK Pemilihan. Cara pengiraan undi dibuat adalah sama seperti bagi pemilihan AJK Kelab. Tun Dr. Lim tidak berpeluang mengundi dan proksi yang dipegangnya tidak dikira.
Adalah jelas bahawa pokok pangkal perbalahan berbangkit daripada pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi bahawa undi proksi yang pemegang-pemegangnya tidak hadir tidak akan dikira. Perbalahan yang lainnya berbangkit daripada pengumuman itu. Alasan-alasan selain daripada mengenai betul atau tidaknya keputusan Pengerusi dalam perkara itu, seperti cara pengundian melalui proksi tidak betul, Pengerusi tidak patut mempengerusikan mesyuarat semasa pemilihan dijalankan adalah alasan-alasan yang difikirkan kemudian dan dihujahkan di Mahkamah ini untuk mendapat perintah-perintah yang dipohon.
Saya berpendapat bahawa yang penting hendaklah dipentingkan, yang utama diutamakan. Mahkamah ini patut memberi perhatian kepada persoalan pokok itu terlebih dahulu.
Soalnya, adakah keputusan yang dibuat oleh Pengerusi itu betul?
Dalam memutuskan persoalan ini, pertama perlu diambil perhatian peruntukan kaedah 23:
23. No general proxies shall be allowed. The vote of any ordinary member may, however, be given on his behalf by another ordinary member by proxy provided that the instrument appointing the proxy be in writing and in order, and shall, in the opinion of the Chairman, state clearly the vote of the absent member on any question before the meeting. The instrument appointing the proxy must be deposited at the Secretary’s office not less than 48 hours before the time for holding the Meeting or adjourned Meeting, as the case may be, at which the person named in such instrument proposes to vote.
Borang proksi, yang disedia dan digunakan adalah seperti berikut:
I,… of… an Ordinary Member of the Penang Turf Club declare that I authorise… to act and vote as and for me the election of eight Members of Committee and subsequently the President and also, nine members of the Election Committee as set out hereunder at the Annual General Meeting to be held on the… day of… 19 at… p.m. or at any adjournment thereof.
Members of Committee Members of Election Committee
… …
… …
… …
… …
… …
President
… …
Dated this… day of… 19
(signature of Ordinary Member).
Memanglah kaedah 23 dan borang proksi itu tidak menyebut bahawa pemegang proksi mesti hadir jika dia hendak mengundi. Tetapi, dalam penghakiman saya adalah jelas bahawa dia mestilah hadir jika dia hendak mengundi. Kaedah itu mengatakan “The vote of any ordinary member may, however, be given on his behalf by another ordinary member by proxy…” Ertinya undi seseorang ahli biasa boleh diberi bagi pihaknya melalui proksi. Bagaimana dia (pemegang proksi) akan mengundi bagi pihak ahli lain kalau dia sendiri tidak hadir? Kalau dia sendiri tidak boleh mengundi bagi dirinya kalau dia tidak hadir, bagaimana hendak dikatakan dia boleh mengundi bagi pihak ahli lain yang juga tidak hadir? Kaedah itu juga merujuk kepada pemberian proksi itu sebagai “the absent member”. Ini juga menunjukkan bahawa ahli yang hendak mengundi bagi pihak ahli yang tidak hadir itu adalah ahli yang hadir. Di kaedah itu terdapat kata-kata “at which the parson named in such instrument proposes to vote”. Ini menunjukkan pemegang proksi itu akan mengundi. Borang proksi itu sendiri mengatakan bahawa pemberi proksi itu “authorises… to act and vote as and for me…” Ertinya pemberi proksi cuma memberi kuasa kepada pemegang proksi untuk mengundi bagi pihaknya.
Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, seorang ahli yang tidak hadir di Mesyuarat Agung itu tidak boleh mengundi bagi pihak ahli lain yang tidak hadir. Kes Mc Millan lwn Le Roi Mining Company Limited [1906] 1 Ch. 331 juga menyokong pandangan ini. Oleh itu, dalam penghakiman saya, keputusan yang dibuat oleh Pengerusi itu adalah betul.
Sekarang eloklah saya bincangkan hujah Peguam plaintif-plaintif dalam kes 24-763-92 bahawa cara pengundian proksi itu dijalankan tidak betul dan oleh itu pengundian yang dibuat tak sah.
Perlu disebut di sini bahawa pemegang-pemegang proksi tidak diberi kertas undi untuk membuat pengundian proksi. Proksi yang dipegang oleh mereka dikira sebagai undi, asalkan mereka hadir dalam mesyuarat itu.
Kaedah-kaedah Kelab itu tidak menyebut bagaimana cara pengundian Jawatankmassi Kelab dan Jawatankuasa Pemilihan patut dilakukan. Tetapi Kelab itu ada menyediakan tiga jenis Kertas Undi (Ballot Paper), satu masing-masing untuk Pemilihan AJK Kelab AJK Pemilihan dan Yang di Pertua.
Kertas Undi AJK Kelab mengandungi dua kolum (column), satu untuk nama-nama calun dan satu lagi untuk ditandakan oleh ahli yang mengundi. Kertas undi AJK Pemilihan pula hanya mempunyai satu kolum. Seseorang ahli mengundi dengan menulis nama calun-calun yang dipilihnya. Kedua-dua kertas undi itu tidak mempunysi kolum untuk undi proksi. Adalah jelas bahawa kertas undi itu adalah untuk undi biasa, bukan undi proksi. Jika as hendak dipakai untuk undi proksi, cara yang mudah ialah dengan memberi seseorang ahli yang hendak mengundi secara proksi itu dan menghendakinya mengisi sebilangan borang yang sama banyak dengan bilangan proksi yang dipegangnya atau, jika cuma sehelai kertas undi itu diberi, menghendakinya menyatakan bilangan undi proksi yang dipegangnya dalam kertas undi itu. Kedua-dua cara itu tidak dilakukan. Sebaliknya, asalkan pemegang-pemegang proksi itu hadir, undi proksinya dikira secara otomatik daripada borang proksi yang didepositkan oleh ahli itu di Pejabat Setiausaha.
Seperti yang saya telah sebutkan, kaedah-kaedah kelab tidak memperuntukkan cara pengundian proksi patut dilakukan. Sepanjang-panjang mesyuarat itu tidak ada apa-apa bantahan dibangkitkan berkenaan cara yang dipakai itu. Tidak boleh dikatakan bahawa hasil daripada pengundaan cara itu, terdapat salah kira undi-undi proksi. Semua undi proksi yang dipegang oleh ahli yang hadir dikira.
Persetujuan semua ahli dalam mesyuarat itu dengan cara itu adalah jelas dari laporan verbatim mesyuarat itu. Mereka tidak patut diizinkan membangkitnya sekarang. Mereka boleh tetapi tidak membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat itu. Dalam penghakiman saya mereka telah “waived” hak untuk membantah cara pengundian proksi itu – lihat Carruth lwn. Imperial Chemical Industries Ltd. [1937] 2 All ER 422 HL. Cara yang digunakan itu tidak melanggar peruntukan mana-mana kaedah kelab itu. Ia bukanlah satu “illegality which cannot be waived”.
Kesimpulan penghakiman saya berkenaan isu ini ialah cara pengundian proksi itu dilakukan tidak melanggar mana-mana peruntukan kaedah kelab itu, cara yang digunakan itu tidak menyebabkan apa-apa kecacatan dalam pengundian itu dan oleh sebab tidak ada apa-apa bantahan dibuat dalam mesyuarat itu, ahli-ahli bolehlah disifatkan sebagai telah “waived” hakmereka untuk membantah. Oleh itu pemilihan yang dibuat tidak menjadi tak sah atas alasan itu.
Sekarang eloklah saya timbangkan hujah bahawa Tuan Haji Sidek tidak sepatutnya mempengerusikan mesyuarat itu kerana beliau mempunyai kepentingan sebab beliau sendiri bertanding untuk jawatan AJK.
Tidak boleh dan tidak dinafikan bahawa beliau diberikuasa oleh Kaedah 6 untuk mempengerusikan mesyuaratitu. Soalnya adakah hakikat bahawa beliau bertanding untuk jawatan AJK Kelab sahaja menjadikannya tidak layak untuk mempengerusikan mesyuarat itu? Jawapan saya ialah “tidak”. Adakah hakikat itu dengan sendirinya menjadikannya tidak layak untuk mempengerusikan mesyuarat itu semasa mesyuarat itu membuat pemilihan AJK Kelab?
Eloklah saya bincang autoriti-autoriti yang dikemukakan terlebih dahulu.
Saya dirujukkan kepada kes Florence Bailes lwn. Dr. Ng Jit Leong[1983] 1 LNS 7, [1985] 1 MW 374 di mana Ajaib Singh H. memutuskan bahawa penggantungan keahlian Plaintif tak sah kerana, antara lain:
Held:
(1)
(2)
(3) there was a real likelihood of bias on the part of a member of the committee concerned, namely, Mr. Stone because ofhisclose relationship with Madam Teoh (pengadu – ditambah).
Sambil pemakaian kaedah keadilan asasi dalam kes itu tidak boleh dipertikaikan, kes itu bukanlah satu autoriti yang tepat dengan persoalan yang sedang dipertimbangkan.
Dua kes dari India yang dirujukkan oleh Peguam plaintif-plaintif adalah lebih berkenaan. Kes-kes itu ialah Nagapa Chettiar lwn. The Madras Race Club AIR (38) 1951 Madras 831 dan Narayana Chettiar lwn. The Kaleestvaran Mills Ltd. AIR [1952] Madras 515.
Dalam kes Nagappa Chettiar diputuskan bahawa pemilihan “Managing Committee” tak sah. Salah satu daripada sebab-sebab yang diberi ialah Pengerusi mesyuarat itu sendiri adalah seorang calon untuk jawatan itu. Tetapi perlu diambil perhatian bahawa terdapat bantahan di mesyuarat itu berkenaan keesahan pencalunan calun-calun yang bertanding. Pengerusi mesyuarat itu sendiri membuat keputusan bahawa pencalunan mereka, termasuk dirinya adalah sah.
Kes, Narayana Chettiar lwn. The Kaleeswaran Mills Ltd. juga nampaknya menyokong pandangan bahawa seseorang itu tidak patut mempengerusikan sesuatu mesyuarat jika agenda mesyuarat itu termasuk pengesahan perlantikannya sebagai pengarah ayarikat berkenaan.
Perlu disebut bahawa pandangan-pandangan Hakim-Hakim yang arif dari India itu hanyalah bersifat “persuasive” kepada Mahkamah di negara kita. Saya tidak fakir Mahkamah-Mahkamah di negara ini patut mengikut secara buta tuli setiap pandangan Hakim-Hakim itu. Kita perlu menilai pandangan-pandangan itu berdasarkan amalan yangbiasanya dilakukan di negara kita. Sebagai perbandingan penerimaan “common law of England” di negara ini pun tertakluk kepada kesesuaiannya dengan keadaan di negara kita. Ini diperuntukkan oleh seksyen 3Akta Undang-undang Sivil 1956. Malangnya, peruntukan ini kerap-kali dilupai.
Hakikat bahawa tidak terdapat sebarang penghakiman oleh Mahkamah-Mahkamah di negara ini, (saya diberitahu oleh Peguam kedua belah pihak) menunjukkan bahawa perkara seperti itu tidak pernah dibangkitkan di negara kita. Sebaliknya, saya yakin, adalah satu kebiasaan di negara ini bagi seseorang itu mempengerusikan mesyuarat sesebuah persatuan atau kelab walaupun dia sendiri turut bertanding untuk sesuatu jawatan. Atas alasan itu sahaja, saya tidak fikir kita boleh berkata bahawa semua mesyuarat kelab dan persatuan di negara ini tidakmengikuti kaedah keadilan asasi dan semuanya tak sah.
Kesimpulannya dalam penghakiman saya, hakikat bahawa sesuatu mesyuarat itu dipengerusikan oleh seorang pengerusi yang turut bertanding untuk sesuatu jawatan tidaklah, atas sebab itu sahaja, menjadi tak sah. Tetapi, jika oleh sebab kepentingan dirinya, dia mengendalikan mesyuarat itu dengan cara yang berat sebelah, dengan cara yang melanggar peraturan-peraturan kelab atau persatuan itu, dengan cara yang tidak adil, seperti menghalang ahli-ahli yangberhak mengundi daripada mengundi dan membenarkan orang-orang yang tidak berhak mengundi, mengundi dan, dengan itu, menyebabkan keputusan pemilihan yang tidak betul maka Mahkamah patutlah campur tangan. Dalam lain perkataan, apa yang harus diberi perhatian oleh Mahkamah bukanlah kepada diri pengerusi itu tetapi kepada tindakannya. Jika didapati tindakannya itu seperti dan membawa akibat seperti, yang saya sebut di atas, Mahkamah patutlah campur tangan. Tetapi, Mahkamah tidak patut campur tangan semasa-mata kerana suatu mesyuarat itu dipengerusikan oleh seorang yang bertanding untuk sesuatu jawatan.
Di sini perlulah ditimbang pula tindakan Haji Sidek dalam mempengerusikan mesyuarat dan memutuskan sama ada tindakannya itu melanggar Kaedah-kaedah Kelab, melanggar peraturan-peraturan mesyuarat, berat sebelah dan mengakibatkan pemilihan yang tidak betul.
Fakta-fakta yang menjadi alasan bagi hujah ini ialah:
(a) Yang di Pertua Kelab semasa melawat TunDr. Lim di hospital tidak memberitau Tun Dr. Lim bahawa beliau mesti hadir jika beliau mahu mengundi secara proksi.;
(b) Tuan Haji Sidek sepatutnya membuat pengumuman itu lebih awal;
(c) Keengganan Tuan Haji Side mengemukakan persoalan itu kepada mesyuarat, walaupun ada usul yang dicadang den disokong untuk berbuat demikian;
(d) Keengganan Tuan Haji Sidek mengemukakan kepada mesyuarat usul sama ada Pengerusi berhak mengenepikan kehendak ahli-ahli;
(e) Keenggan Tuan Haji Sidek untuk mengemukakan kepada mesyuarat usul undi tidak percaya terhadapnya walaupun dicadang dan disokong.
Berkenaan (a), saya berpendapat bahawa tidak ada apa-apa tanggungjawab di sisi undang-undang atau Kaedah Kelab yang menghendaki Yang Di Pertua Kelab berbuat demikian, apatah lagi di katil hospital. Undi proksi beliau sendiri pun tidak dikira atas alasan yang sama. Lagi pula, Tuan Haji Sidek tidak boleh dipersalahkan kerana kegagalan beliau.
Berkenaan (b), saya juga berpendapat bahawa tidak terdapat bukti bahawa Tuan Haji Sidek sengaja memilih saat itu untuk mengecewakan Tun Dr. Lim den penyokong-penyokongnya.
Bagaimana jika beliau tidak membuat pengumuman itu langsung tetapi pengiraan undi dibuat atas prinsip yang sama? Bagaimana jika beliau juga mengumumkan bahawa cuma ahli-ahli yang hadir boleh mengundi bagi dirinya sendiri, pada masa itu?. Adakah akan dihujahkan bahawa, jika dibuat ini juga dibuat dengan cara yang tak jujur kerana ia dibuat pada masa itu?
Setiap ahli harus tahu bahawa jika dia hendak mewakili seorang yang tak hadir dia perlulah hadir, sama seperti seorang ahli tahu jika dia hendak mengundi sendiri dia mesti hadir. Pengumuman itu hanyalah untuk makluman. Masa pengumuman itu dibuat tidaklah boleh dijadikan alasan bahawa ia dilakukan dengan cara mala fide. Malah, dalam penghakiman saya, tidak ada apa salahnya jika beliau tidak membuat pengumuman itu langsung.
Fakta-fakta di (c), (d) dan (e) boleh dibincangkan bersama.
Mengenai persoalan ini, peruntukan kaedah-kaedah 6, 22 dan 55 dirujukkan. Supaya mudah dirujuk, eloklah diperturunkan di sini:
6…. The President or the Acting President as the case may be shall during his term of office preside at all general meetings and all meetings of the Committee and shall be responsible for the proper conduct of all such meetings.
22…. All questions other than a question arising under Rule 39 and 52 shall be decided by a majority of votes, the Chairman having, in case of equality of votes, a second or casting vote.
55. Every member shall be bound by and submit to the rules and bye-laws of the Club.
Beberapa autoriti dari England dan Australia dikemukakan. Tetapi, antaranya, kes-kes Wishart lwn. Henneberry [1962] 3 FLR 171 dan Kerr lwn. Kerr [1976] BCR 69 adalah lebih berkenaan.
Wishart lwn. Henneberry [1962] 3 FLR 171 adalah penghakiman Commonwealth Industrial Court, Sydney, manakala Kerr lwn. Kerr [1976] BCR 69 adalah keputusan Mahkamah Tinggi, Timaru (saya tidak tahu di mana letaknya). Prinsip-prinsip yang disebut dalam kes-kes itu berkenaan peranan, kuasa dan tanggungjawab seseorang Pengerusi bolehlah dibaca sebagai panduan. Saya tidak bercadang menganalisisnya seperti yang saya perlu lakukan sekiranya ia penghakiman Mahkamah Agung Malaysia atau mentafsirkannya seperti ia suatu akta Parlimen Malaysia.
Rasanya, lebih bermanafaat kiranya saya tnembincangkan fakta-fakta kes ini dan membuat keputusan mengenainya. Salahkah Pengerusi kerana beliau tidak mengemukakan kepada mesyuarat usul sama ada soal pemegang proksi yang tidak hadir boleh mengundi bagi pihak ahli-ahli yang memberi proksi itu?
Dihujahkan bagi pihak plaintif-plaintif bahawa mengikut Kaedah 22, semua persoalan (selain daripada persoalan yang berbangkit di bawah Kaedah 39 dan 52) mestilah diputuskan dengan undi terbanyak. Oleh itu Pengerusi mestilah mengemukakan usul itu untuk diputuskan oleh mesyuarat.
Dalam penghakiman saya, kaedah itu tidak mewajibkan Pengerusi mengemukakan apa sahaja usul asalkan ada pencadang dan penyokong untuk diputuskan oleh mesyuarat, tidak kira ia munasabah atau tidak, relevan atau tidak dan tidak kira apa jenisnya.
Soal yang berbangkit dan diputuskan oleh Pengerusi ialah soal pentafsiran Kaedah-kaedah Kelab, terutama sekali Kaedah 23. Ini bukan soal yang sesuai diputuskan dengan cara undi. Saya berpendapat bahawa dalam sesuatu mesyuarat, soal tafsiran sesuatu kaedah terletak di bawah bidang kuasa Pengerusi. Jika tafsirannya tidak betul dan mengakibatkan pemilihan calun-calun yang tidak sepatutnya terpilih keputusannya bolehlah dicabar di Mahkamah. Tetapi seperti yang saya telah putuskan, keputusannya adalah betul. Keengganannya mengemukakan usul itu untuk diundi pun betul. Sebaliknya, jika keenggannya mengemukakan usul itu tidak betul pun, itu tidak menjadikan keputusan lebih awal yang betul itu tidak betul.
Fakta-fakta di (d) mempunyai kaitan yang rapat dengan (c) dan apa yang saya katakan mengenai (c) adalah terpakai.
Berkenaan (e) Kaedah 6 memberi kuasa kepada Ja vatanknasa Kelab melantik seorang Pemangku Yang Di Pertua yang diberi kuasa pula mempengerusikan mesyuarat. Hanya Yang Di Pertua atau di mana Pemangku Yang Di Pertua dilantik dalam keadaan-keadaan yang diperuntukkan dalam kaedah itu, Pemangku Yang Di Pertua, sahaja yang diberikuasa mempengerusikan mesyuarat.
Kaedah 55 jelas mengatakan “Every member shall be bound and submit to the rules and bye laws of the Club”.
Oleh itu, apabila Jawatankuasa Kelab melantik seorang Pemangku Yang Di Pertua, dan selagi beliau memegang jawatan itu dia berhak mempengerusikan mesyuarat. Ahli-ahli walaupun dengan suara terbanyak tidak boleh berkata mereka tidak mahu beliau mempengerusikan mesyuarat. Selagi beliau menjadi Pemangku Yang Di Pertua, beliau berhak mempengerusikan Meayuarat.
Saya bersetuju bahawa, mengikut amalan demokrasi, beliau patut mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya untuk diputuskan oleh mesyuarat. Tetapi, kalau usul itu mendapat sokongan suara terbanyak pun, itu tidak akan membatalkan haknya untuk mempengerusikan mesyuarat itu kerana dia masih Pemangku Yang Di Pertua, Kaedah 6 memberi kuasa kepadanya berbuat demikian dan mengikut Kaedah 55 ahli-ahli tertakluk kepadanya. Dia mesti dipecat terlebih dahulu daripada menjadi Pemangku Yang Di Pertua. Kuasa ini terletak kepada Jawatankuasa Kelab, bukan mesyuarat kerana Jawatankuasalah yang berkuasa untuk dan melantiknya. Dalam hal ini peruntukan seksyen 47Akta Tafsiran 1967 bolehlah dipakai. Jika mesyuarat itu berkuasa memecatnya sekalipun, tidak ada usul sedemikian.
Oleh itu, dalam penghakiman saya, walau pun Pengerusi patut mengemukakan usul tidak percaya terhadapnya kepada mesyuarat, kegagalannya berbuat demikian tidak menjadikan dia hilang kelayakan mempengerusikan mesyuarat itu. Kegagalan itu juga tidak menjadikan mesyuarat itu tak sah. Apatah lagi, dalam kes ini, di mana usul itu berbangkit daripada suatu keputusannya yang betul!
Dirujukkan kepada saya oleh Peguam plaintif dalam kes 24-826-92 kes Byng lwn. London Life Assurance Ltd. [1990] 1 Ch. 170 (C.A.) terutama sekali kepada satu petikan yang terdapat dalam penghakiman Sri Nicholas Browns-Wilkinson V.C., di halaman 189:
The quotation from F.N. Rogers’ book might suggest that if the chairman’s decision proves in the event to have an adverse effect on the members, that will render the decision invalid. In my judgment that is not the correct test. The chairman’s decision will not be declared invalid unless on the facts which he knew or ought to have known he failedto take into account all the relevant factors, took into account irrelevant factors or reached a conclusion which no reasonable chirman, properly directing himself as to his duties, could have reached, ie. the test is the same ae that applicable on judicial review in accordance with the principles of Associated Provincial Picture Houses Ltd. v. Wednesbury Corporation [1948] 1 K.B. 223. This was the approach adopted by Uthwatt J. in Second Consolidated Trust v. Ceylon and Amalgamated Tea and Rubber Estates Ltd. [1943] 2 All E.R. 567 where he held a chairman’s decision invalid on the grounds that he had failed to take into account a relevant factor.
Beliau menghujahkan bahawa apa yang dikenali sebagai “Wednesbury Principle” itu hendaklah dipakai kerana ia adalah sebahagian daripada undang-undang di negara ini. Beliau memetik kes Tanjong Jaga Sdn. Bhd lwn. Minister of Labour and Manpower[1987] CLJ 368 (Rep), [1987] 2 CLJ 119, [1987] 1 MLJ 124, M.A.
Eloklah diambil perhatian kepada apa yang dikatakan oleh Abdoolcader HMA dalam kes itu berkenaan “Wednesbury Principle” itu. Katanya, di halaman 129-130:
In exercisinghis functions in this regard, the Registrar had an unfettered discretion which was subject to a duty to act responsibly in the Wednesburysense (Asaociated Provincial Picture Houses Ltd v. Wednesbury Corporation), that is to say, if a decision-making body comes to its decision on no evidence or comes to an unreasonable finding – so unreasonable that a reasonable person would not have come to it – then the court will interfere. TheWednesbury principle refers in effect, in the words of Lord Diplock in Bromley London Council v. Greater London Council & Anor. (at page 821), to decisions that, looked at objectively, are so devoid of any plausible justification that no reasonable body of persons could have reached them.
Petikan ini tidak boleh dipertikaikan, baik dari segi kesahehannya atau kebijaksanaanya. Ia, sebagai sebahagian daripada penghakiman Mahkamah Agung, saya terima Tetapi, perlu diingat bahawa apa yang dicabarkan dalam kes itu ialah keputusan Pendaftar Kesatuan Sekerja dan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia dalam menjalankan tugas mereka di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967dan Peraturan-Peraturan Perhubungan Perusahaan 1980.
Soalnya, patutkah dan sesuaikah prinsip yang sama juga dipakai terhadap setiap orang yang mempengerusikan mesyuarat setiap persatuan termasuk persatuan penjaja dan khairat kematian? Rssanya adalah keterlaluan menghendaki sedemikian.
Sebaliknya, jika prinsip itu patut dipakai pun dalam penghakiman saya, keputusan keputusan Tuan Haji Sidek itu, dalam keadaan kes ini, tidaklah boleh dikatakan tidak mengambil kira faktor-faktor yang sepatutnya diambil kira, atau keputusan-keputusannya begitu tidak munasabah sekali.
Tuan Haji Sidek telah membuat keputusan yang betul dalam perkara pokok. Usul-usul yang berikutan selepas ituberbangkit daripada keputusan yang betul itu. Dalam keadaan itu usul-usul itu yang tidak munasabah. Katakanlah, bahawa Tuan Haji Sidek silap kerana tidak mengemukakan usul-usul itu kepada mesyuarat. Adakah kesilapan itu menjadikan keputusan dalam perkara pokok yang betul itu tidak betul? Perlu diingat, ini bukan dan tidak patut disamakan dengan suatu permohonan habeas corpus di mana jika di suatu peringkat satu tindakan dilakukan dengan cara yang tidak betul, maka semua tindakan dan keputusan, sebelum atau selepasnya, menjadi tak sah.
Saya telah meneliti laporan verbatim mesyuarat itu. Saya dapati bahawa pada masa Tun Dr. Lim tiba, pemilihan Jawatankuasa Kelab telah selesai. Keputusannya pun telah diisytiharkan. Oleh itu tindakan Pengerusi menolak pengiraan semula adalah betul. Pemilihan Ahli Jawatankuasa Kelab adalah sah.
Bagaimana dengan pemilihan Jawatankuasa Pemilihan?
Daripada laporan verbatim mesyuarat itu adalah jelas bahawa semasa Tun Dr. Lim tiba pemilihan Jawatankuasa Pemilihan masih berjalan. Berdasarkan keputusan Pengerusi sendiri berkenaan undi proksi, yang dalam penghakiman saya adalah betul, undi proksi yang dipegang oleh Tun Dr. Lim sepatutnya dikira kerana beliau telah hadir pada masa itu, tidak kira sama ada beliau memintanya dikira atau tidak. Beliau juga berhak mengundi bagi dirinya sendiri, tidak kira sama ada beliau meminta kertas undi atau tidak. Undi-undi proksi ahli-ahli lain yang hadir pun dikira tanpa diminta. Mereka juga diberi kertas undi tanpa meminta. Beliau juga patut diberi hak yang sama dengan cara yang sama. Saya bersetuju bahawa jika seseorang ahli tidak, dengan cara yang tidak betul, dibenarkan mengundi dan akibatnya keputusan pemilihan itu berlainan daripada yang sepatutnya, Pemilihan itu adalah tak sah – lihat Ex Parte Mawby [1854] 3 El EBL 717, Morgan and Others lwn. Simpson and Anor. [197] 722.
Dalam kes ini tidak boleh dinafikan bahawa memandangkan kepada bilangan undi proksi yang dipegang oleh Tun Dr. Lim, keputusan pemilihan itu besar kemungkinan berlainan jika beliau diberi peluang mengundi.
Oleh itu saya membuat perintah-perintah berikut bagi kedua-dua kes:
1. Saya isytiharkan bahawa pemilihan AJK Kelab itu yang dibuat pada 28 Julai 1992 adalah sah; tetapi pemilihan AJK Pemilihan adalah tak sah;
2. AJK Pemilihan yang dipilih pada 28 Julai 1992 itu adalah ditahan daripada bertugas atas sifat mereka sebagai AJK Pemilihan;
3. Saya arahkan supaya satu Mesyuarat Agung Luar biasa diadakan dengan seberapa segera, khusus dan hanya untukpemilihan AJK Pemilihan. Mesyuarat itu hendaklah diadakah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kaedah-kaedah Kelab.
4. Berkenaan kos:
(a) Plaintif-plaintif dalam Saman Pemula No. 24-753-92, sendiri, hendaklah membayar kos defendan kedua hingga kelapan.
Defendan kelapan (sebagai Pengerusi Mesyuarat), sendiri, dan defendan-defendan kesembilan hingga ketujuh-belas hendaklah membayar kos plaintif-plaintif, tetapi terhad kepada tuntutan yang berkenaan dengan Jawatankuasa Pemilihan sahaja;
(b) Plaintif dalam Saman Pemula No. 24-826-92, sendiri, hendaklah membayar kos defendan-defendan pertama hingga kelapan (melainkan keenam) dalam kes itu.
(c) Defendan pertama, sendiri, (sebagai Pengerusi Mesyuarat) dan defendan-defendan kesembilan hingga ketujuh belas, sendiri, hendaklah membayar kos plaintif, tetapi terhad kepada tuntutan yang berkenaan dengan Jawatankuasa Pemilihan sahaja.

110 visits