RAVINDRAN S/O VEERASAMY & SATU LAGI lwn. HARUN BIN SALLEH

RAVINDRAN S/O VEERASAMY & SATU LAGI lwn. HARUN BIN SALLEH
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
GUAMAN SIVIL NO. 25-260-86
8 JULAI 1992
[1993] 1 CLJ 23

TORT: Kecuaian – Kemalangan jalanraya – Liabiliti – Samada defendan cuai – Samada dia cuai sepenuhnya; quantum – Gantirugi am – Gantirugi khas – Kehilangan pendapatan; faedah.

Satu kemalangan jalanraya berlaku pada 15 Disember 1983 di antara motorsikal yang ditunggang oleh plaintif pertama dengan plaintif kedua sebagai pembonceng dan kereta yang dipandu oleh defendan. Mengikut keterangan plaintif pertama, terdapat sebuah bas yang sedang berjalan menghala kepadanya apabila sebuah kereta yang dipandu oleh defendan, memotong bas itu dan melanggar motorsikalnya. Menurut defendan, motorsikal plaintif datang dari arah yang berlawanan, menuju ke keretanya dan menggesel bahagian keretanya di sebelah kanan. Masa itu keretanya berada di bahagian jalannya.
Diputuskan:
[1] Liabiliti – Defendan cuai sepenuhnya. Versi plaintif bagaimana kemalangan itu berlaku adalah lebih munasabah dipercayai. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh plaintif pertama untuk mengelak perlanggaran itu.
[2] Quantum –
Plaintif pertama
Pendapatan plaintif pertama sebelum kemalangan ialah RM250 sebulan. Plaintif pertama kehilangan kerja utamanya bukan kerana kemalangan tetapi kerana prestasinya tidak baik yang dinilai daripada perkhidmatannya semenjak dia mula bertugas. Mengenai pekerjaan sambilan, plaintif tidak berjaya membuktikan bahawa dia mendapat pendapatan antara RM300 hingga RM400 sebulan.
Plaintif pertama tidak bekerja selama dua tahun selepas kemalangan itu, disebabkan oleh kemalangan itu. Selepas dua tahun kadang-kadang sahaja dia bekerja. Pendapatannya sekarang ialah RM300 sebulan. Jika tidak kerana kemalangan pendapatannya pada masa ini lebih kurang RM500 sebulan.
Dalam keadaan ini, award adalah seperti berikut:
(a) Gantirugi am bagi ‘pain and suffering dan loss of amenities’ – RM45,000 dengan faedah sebanyak 8% setahun daripada tarikh penyampaian writ sehingga tarikh penghakiman.
(b) Gantirugi khas
(i) Gantirugi khas yang dipersetujui – RM1,500
(ii) Kerugian pendapatan sebenar sebelum perbicaraan pada RM250 sebulan selama lima tahun – RM15,000
Bagi (i) dan (ii), faedah sebanyak 4% setahun daripada tarikh kemalangan sehingga penghakiman.
(c) Kehilangan pendapatan masa hadapan atau kehilangan keupayaan mencari pendapatan sebanyak RM200 sebulan selama 18 tahun – RM28,055
Jumlah besar – RM89,555
Faedah sebanyak 8% setahun diberi keatas semua amaun daripada tarikh penghakiman sehingga pembayaran sepenuhnya dibuat.
Plaintif kedua
Gantirugi am yang berpatutan bagi ‘pain and suffering and loss of amenities’ adalah sebanyak RM38,000, dengan faedah sebanyak 8% setahun mulai tarikh penyampaian writ sehingga tarikh penghakiman.
Gantirugi khas
(a) Dipersetujui sebanyak RM600
(b) Kehilangan pendapatan sebelum perbicaraan, mulai 1984 hingga Mac 1987 (dipersetujui) sebanyak RM3,189
(c) Kehilangan pendapatan sebelum perbicaraan, Mac 1987 hingga Disember 1991 (dipersetujui) sebanyak RM18,792
Jumlah besar – RM60,581
Faedah sebanyak 4% bagi amaun di bawah butiran (a), (b) dan (c) mulai tarikh kemalangan sehingga tarikh penghakiman.
Counsel:
Bagi Pihak Plaintif – V. Sithambaram (Kumar Sitham & Co.)
Bagi Pihak Defendan – Shyama Nair (Bala Mahesan & Co.)

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Guaman ini berbangkit daripada satu kemalangan jalanraya yang berlaku pada 15 Disember 1983 di antara motosikal yang ditunggang oleh plaintif pertama dengan plaintif kedua sebagai pembonceng dan kereta yang dipandu oleh defendan.
Selepas perbicaraan, saya dapati bahawa plaintif telah berjaya membuktikan kecuaian defendan sepenuhnya. Seterusnya saya menaksirkan kerugian dan membuat perintah-perintah berkenaan. Defendan merayu terhadap keseluruhan penghakiman saya.
Liabiliti
Mengikut keterangan plaintif pertama, pada 15 Disember 1983 lebih kurang 7.00 pagi dia sedang menunggang motosikal bernombor PAT 9960 dari Sg. Nibong ke Bayan Lepas dengan plaintif kedua sebagai pembonceng untuk menghantar plaintif kedua ke tempat kerjanya. Mengikutnya keadaan masa itu “sedikit terang” dan dia menyalakan lampu besar motosikalnya. Walaubagaimanapun, mengikutnya, penglihatannya adalah terang, walaupun jika dia tidak menyalakan lampu motosikalnya. Keadaan jalan pada masa itu “sibuk juga”. Di hadapannya terdapat sebuah kereta dan motosikal, yang menghala ke arah yang sama dengannya. Motosikalnya di belakang kereta itu. Terdapat sebuah bas yang sedang berjalan menghala kepadanya. Sebuah kereta (yang dipandu oleh defendan) memotong bas itu dan melanggar motosikalnya dan dia dan plaintif kedua terjatuh bersama-sama motosikalnya. Semasa disoal balas plaintif pertama berkata bahagian lampu hadapan kereta defendan terkena lututnya. Semasa pelanggaran itu berlaku, motosikal plaintif pertama berada di bahagian jalannya. Dia tidak sempat mengelak sebab kereta itu datang dengan serta merta. Plaintif kedua juga memberi keterangan yang menyokong keterangan plaintif pertama bahawa kereta itu memotong bas itu dan melanggar motosikal yang mereka tunggang.
Defendan juga memberi keterangan. Dia mengatakan keadaan pada masa itu “tak berapa gelap, tak berapa terang”. Dia juga memasang lampu besar keretanya. Mengikutnya, dia mengikut di belakang bas itu. Sebuah motosikal (motosikal yang ditunggang oleh plaintif pertama) datang dari arah yang berlawanan, menuju ke arah keretanya dan menggesel bahagian depan keretanya di sebelah kanan. Masa itu keretanya berada di bahagian jalannya. Selepas itu, dia mengelak ke kiri dan berhenti. Sebuah kereta lain telah menggesel keretanya di sebelah kiri.
Adalah nyata terdapat dua versi bagaimana kemalangan itu berlaku yang bercanggah. Setelah menimbang keterangan kedua-dua belah pihak, saya berpendapat adalah lebih munasabah bahawa kemalangan itu berlaku semasa kereta defendan sedang memotong bas itu, di bahagian jalan plaintif pertama kerana, pertama, tidak ada sebab mengapa plaintif pertama harus masuk ke jalan kereta defendan. Kedua, rajah kasar dan kuncinya (P4 dan P4K) menunjukkan “taburan pecahan kaca” di bahagian jalan plaintif pertama. Ketiga, dalam laporan polisnya, defendan tidak menyebut bagaimana perlanggaran itu berlaku. Dia cuma berkata, “… apabila sampai di bulatan Bayan Baru… datang sebuah motosikal dari hadapan… melanggar motokar saya….” Seterusnya dia berkata “Semasa saya mengelak dari motosikal tersebut tiba-tiba sebuah motokar di sebelah kiri bergesel dengan motokar saya.” Pernyataan yang disebut terkemudian ini disahkan oleh defendan dalam keterangannya di Mahkamah.
Sebaliknya dalam Laporan polis yang dibuat oleh Plaintif Pertama, dia menyatakan, “… Saya lihat satu kereta dari hadapan mahu potong bas kilang tetapi tidak lepas, kereta ini masuk ke jalan saya dan saya tak boleh buat apa. Kereta ini terus langgar pada saya dan saya jatuh…” Pernyataan ini adalah selaras dengan keterangannya di Mahkamah.
Saya sedar bahawa, tempat pecahan kaca ditemui dan pernyataan yang terdapat dalam laporan-laporan polis bukanlah keterangan yang kuat. Tetapi memandangkan kepada keseluruhan keterangan, adalah lebih munasabah, atas imbangan kemungkinan, bahawa perlanggaran itu berlaku semasa defendan sedang hendak memotong bas itu. Pada masa itu semestinya keretanya berada di bahagian jalan plaintif pertama. Ini disokong oleh pengakuan defendan sendiri bahawa selepas berlanggar dengan motosikal plaintif pertama, semasa dia menghimpit semula ke sebelah kirinya, sebuah kereta lain mengesel keretanya di sebelah kiri. Ini menunjukkan bahawa kereta itu sedang hendak memotong kereta defendan di sebelah kiri. Ini bererti terdapat ruang yang cukup luas untuk kereta itu berbuat demikian disebelah kiri kereta defendan. Andainya yang munasabah ialah, pada masa itu kereta defendan berada di bahagian jalan plaintif pertama, sedang hendak memotong bas itu, seperti yang dikatakan oleh plaintif pertama.
Kesimpulannya, saya dapati bahawa plaintif berjaya membuktikan kecuaian defendan. Dan saya dapati bahawa dalam keadaan itu, tiada apa yang boleh dilakukan oleh plaintif pertama untuk mengelak perlanggaran itu. Oleh itu saya dapati bahawa defendan cuai sepenuhnya.
Quantum
Plaintif pertama adalah seorang lelaki berumur 21 tahun semasa kemalangan. Peguam-peguam kedua pihak bersetuju dengan isi kandungan Laporan Perubatan berkenaan kecederaan dan “permanent disabilities” plaintif pertama, yang diringkaskan oleh Peguam plaintif-plaintif, dan pada pandangan saya betul, seperti berikut:
Injuries
A. Right leg
(i) Laceration on the medial aspect of knee
(ii) About 15cm Medial half of quads expansion cut
(iii) Fracture of midshaft and lateral condyle and of right femur (2 fractures)
(iv) Fracture of right patella
(v)Chip fracture of right talus
(vi) Partial patellectomy and screwing of the lateral condyle right femur done (that is partial removal of the patella).
B. Permanent disabilities
(i) Shortening of 4cm – limping gait
(ii) Bend knee only 0-45 degrees; – normal 0 – 160 degrees; unable to squat
(iii) Moderate wasting of muscle
(iv) Abduction of right hip only 30 degrees normal being 50 degrees
(v) Right ankle – dorsiflexion 0 degrees.
Peguam plaintif-plaintif menghujahkan bahawa gantirugi sebanyak RM55,000 patutlah diberi bagi “pain and suffering and loss of amenities”. Angka ini diperolehi seperti berikut:
(a) RM45,000 bagi kecederaan kepada kaki kanan dan ketakdayaan kekal yang berbangkit (consequential permanent disabilities);
(b) RM2,500 bagi “digenerative athritis of knee joint”;
(c) RM5,000 bagi “chronic backache” di masa hadapan;
(d) RM5,000 bagi “fracture of metacarpal right hand”;
(e) RM5,000 bagi parut sepanjang 15cm “over medial aspect of right knee.”
Semua ini memberi jumlah besar sebanyak RM62,500. Sejumlah RM7,500 ditolak kerana bertindih (overlapping). Bakinya ialah RM55,000.
Sebaliknya, Peguam defendan menghujahkan bahawa gantirugi sebanyak RM33,300 adalah munasabah. Angka ini dicapai seperti berikut:
(a) RM25,000 bagi fracture femur with disabilities;
(b) RM 5,000 bagi “fracture patella”;
(c) RM 2,500 bagi “fracture metacarpal”;
(d) RM 2,500 bagi “fracture talus”;
(e) Rm 2,000 bagi calar-calar (laceration).
Ini menjadikan jumlah besar sebanyak RM37,000. Apabila ditolak 10% kerana “overlapping”, bakinya ialah RM33,300.
Banyak autoriti dikemukakan oleh kedua belah pihak. Saya telah menelitinya dan mengambil perhatian sebagai panduan.
Saya berpendapat, memandang kepada keadaan kes ini, gantirugi sebanyak yang diperturunkan di bawah ini adalah berpatutan:
[Sila rujuk kepada butiran-butiran seperti perkiraan yang dibuat oleh Peguam plaintif]:
Bagi (a) sebanyak RM43,000
Bagi (b) sebanyak RM 2,000
Bagi (c) sebanyak RM 2,500
Bagi (d) sebanyak RM 3,000
Bagi (e) sebanyak RM 2,500
RM53,500
Apabila diambilkira “overlapping” saya berpendapat RM45,000 adalah satu jumlah yang berpatutan.
Kehilangan pendapatan di masa hadapan atau kehilangan keupayaan mencari pendapatan
Dalam hal ini terlebih dahulu saya perlu membuat keputusan fakta. Soal pertama ialah berapakah pendapatan plaintif pertama sebelum kemalangan?
Mengikut plaintif pertama dia membuat dua pekerjaan. Pekerjaan utamanya ialah sebagai pemandu Persatuan Perancang Keluarga. Adalah jelas dan saya terima keterangan plaintif pertama dan keterangan Setiausaha Kerhormat Persatuan itu (PW1) bahawa pendapatan plaintif pertama sebagai pemandu Persatuan itu adalah RM252 sebulan. Saya juga terima keterangan bahawa plaintif pertama mula bekerja pada 1 Julai 1983, dan diletakkan dalam percubaan selama enam bulan. Tempoh enam bulan itu tamat pada 31 Disember 1983. Kemalangan berlaku pada 15 Disember 1983, iaitu lebih kurang dua minggu sebelum tempoh percubaan itu tamat. Plaintif pertama tidak disahkan dalam jawatan. Sebab yang diberi oleh Setiausaha Kehormat Persatuan itu (PW1) ialah “prestasi tidak baik”.
Dalam penghakiman saya, plaintif pertama tidak disahkan dalam jawatan dan oleh itu perkhidmatan dikekalkan bukan kerana kemalangan itu tetapi kerana prestasinya tidak baik yang dinilai daripada perkhidmatannya semenjak dia mula bertugas. Dalam lain perkataan, adalah penghakiman saya bahawa plaintif pertama tidak kehilangan kerja itu kerana kemalangan itu.
Soal kedua ialah sama ada plaintif pertama juga bekerja sambilan?
Mengikut plaintif pertama, semasa bekerja sebagai pemandu Persatuan Perancang Keluarga itu, dia juga bekerja sebagai penghantar barang di Veenai Trading “secara sambilan – di sebelah petang dan hari Sabtu dan Ahad”. Mengikutnya pendapatannya daripada kerja sambilan ini adalah di antara RM300 hingga RM400 sebulan.
Sebenarnya itu sahaja keterangan yang ada dalam hal ini. Tiada apa-apa dokumen dikemukakan. Tiada sesiapa daripada Syarikat itu dipanggil untuk menyokongnya. Saya dapati adalah tidak munasabah bahawa plaintif pertama boleh bekerja siang malam setiap hari dan juga tidak munasabah bahawa pendapatannya daripada pekerjaan sambilan itu lebih banyak daripada pekerjaan tetap yang memakan lebih banyak masa.
Dalam keadaan ini saya dapati plaintif tidak berjaya membuktikan bahawa dia membuat pekerjaan sambilan dengan pendapatan antara RM300 hingga RM400 sebulan.
Saya juga telah meneliti dan menimbang keterangan plaintif pertama seterusnya. Saya terima bahawa dia tidak bekerja selama dua tahun selepas kemalangan itu. Saya dapati juga bahawa, selepas dua tahun itu kadang-kadang dia bekerja dan kadang-kadang tidak. Pendapatannya apabila dia bekerja adalah dalam lengkongan RM250 sebulan. Saya juga terima bahawa pendapatannya sekarang ialah RM300 sebulan. Dalam penghakiman saya, jika tidak kerana kemalangan, pendapatan pada masa ini lebih kurang RM500 sebulan.
Dalam keadaan ini, award saya adalah seperti berikut:
(a) gantirugi am bagi “pain and suffering dan loss of amenities”, RM45,000.00 dengan faedah sebanyak 8% setahun daripada tarikh penyampaian Writ sehingga tarikh penghakiman;
(b) Gantirugi Khas –
(i)Gantirugi khas yang dipersetujui, RM1,500;
(ii) Kerugian pendapatan sebenar sebelum perbicaraan pada RM250.00 sebulan selama lima tahun sebanyak RM15,000;
Bagi (i) dan (ii), faedah sebanyak 4% setahun daripada tarikh kemalangan sehingga tarikh penghakiman.
(c) Kerugian pendapatan masa hadapan yang berkurangan sebanyak RM200 sebulan selama 18 tahun mengikut “annuity table” sebanyak RM28,055.
Jumlah besar – RM89,555.
Saya juga perintahkan bahawa faedah sebanyak 8% setahun diberi ke atas semua amaun dalam penghakiman ini, daripada tarikh penghakiman sehingga pembayaran sepenuhnya dibuat.
Plaintif Kedua
Adalah penghakiman saya bahawa defendan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kecederaan yang dialami oleh plaintif kedua. Plaintif kedua adalah seorang perempuan berumur 30 tahun semasa kemalangan.
Mengikut Laporan Perubatan yang dipersetujui (mukasurat 5 Ikatan B), kecederaan yang dialami oleh plaintif kedua adalah sepeti berikut:
(1) Laceration about 5cm over the olecranon region;
(2) Laceration about 6 cm over right ankle;
(3) Fracture of the neck of the right humerus;
(4) Fracture of the right medial malleolus.
Laporan Perubatan itu seterusnya, antara lain, menyebut:
Right Ankle
There was quite severe swelling of the right foot. There were no movements possible in the ankle and subtalar joints. The extension in the right big toe was weak.
The circulation in the right foot was however good. There was also intact sensation to touch and pain.
She was unbale stand on her heels and toes. She was also unable to stand on the right leg alone. She could not squat with both feet together.
Di bawah tajuk “Conclusion and Opinion” disebut:
(1) This lady has sustained a fracture of the right ankle joint which has proceeded osteoarthritis and subsequently required an arthrodesis. The arthrodesis has been achieved satisfactorily.
(2) This lady has swelling of the right foot. This is to be expected after a major injury to the ankle and also following the surgical procedure which was required for the arthrodesis. The swelling is likely to persist for some time.
(3) There is complete stiffness of the right ankle and subtalar joint which has given rise to a limp in her gait and is likely to be permanent.
(4) She is likely to have difficulty in climbing stairs and ladders, walking on uneven terrain and squatting. If work requires her to perform these activities, then she will have problems doing this.
(5) She has some stiffness of the right big toe. This is most probably due to damage to the right big toe tendon and is likely to persist.
Peguam plaintif kedua menghujahkan bahawa gantirugi sebanyak RM48,000 bagi gantirugi am untuk “pain and suffering and loss of amenities: adalah berpatutan. Pecahannya adalah seperti berikut:
(a) loss of consciousness/cerebal
concussions, RM 2,000
(b) Fracture of neck of right humerous,RM10,000
(c) right ankle injury and residual
disability, RM35,000
(d) Osteoarthirits of ankle, RM 2,500
(e) Scars, RM 5,000
Ini memberi jumlah sebanyak RM54,000. Setelah ditolak untuk “Overlapping” bakinya ialah RM48,000.
Sebaliknya, peguam defendan menghujahkan bahawa gantirugi sebanyak RM23,850 di bawah tajuk itu adalah berpatutan. Ini dipecahkan seperti berikut:
(a) Ankle injury – RM18,000
(b) Humerus – RM 4,500
(c) Laceration – RM 2,000
(d) Concussion – RM 2,000
RM26,850
Setelah ditolak kerana “Obverlapping”, bakinya ialah sebanyak RM23,850.
Setelah meneliti autoriti-autoriti yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak, saya berpendapat, gantirugi yang berpatutan bagi plaintif kedua adalah sebanyak RM38,000. Angka ini dicapai seperti berikut, (menggunakan butiran-butiran seperti dalam perkiraan Peguam plaintif)-
RM 2,000 bagi (a)
RM 8,000 bagi (b)
RM28,000 bagi (c)
RM 2,500 bagi (d)
RM 3,000 bagi (e)
Jumlah besar – RM43,500
Setelah diambilkira “overlapping” bakinya ialah RM38, 000.
Kehilangan pendapatan
Ini dipersetujui oleh kedua belah pihak.
Award
Kesimpulannya, saya memerintahkan bahawa defendan membayar gantirugi kepada plaintif kedua seperti berikut:
1. Gantirugi am bagi “pain and suffering and loss of amenities” sebanyak RM38,000 dengan faedah sebanyak 8% setahun mulai tarikh penyampaian Writ sehingga tarikh penghakiman
2. Gatirugi Khas –
(a) Dipersetujui sebanyak RM600
(b) Kehilangan pendapatan sebenar sebelum perbicaraan, mulai 1984 hingga Mac 1987 (persetujui) sebanyak RM3,189.
(c) Kehilangan pendapatan sebelum perbicaran sebanyak RM300 sebulan selama lima tahun (Mac 1987 hingga Disember 1991) (dipersetjui) sebanyak RM18,792
Jumlah besar: RM60,581
Saya juga memerintahkan supaya faedah sebanyak 4% bagi amaun di bawah butiran (a), (b) dan (c) mulai tarikh kemalangan sehingga tarikh penghakiman dibayar oleh defendan.
Defendan juga diperintahkan membayar kos perbicaraan ini kepada kedua-dua plaintif.

101 visits