NG SIEW PIAN lwn. ABD. WAHID ABU HASSAN, KADI DAERAH BUKIT MERTAJAM & SATU LAGI.

NG SIEW PIAN lwn. ABD. WAHID ABU HASSAN, KADI DAERAH BUKIT MERTAJAM & SATU LAGI.
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
SAMAN PEMULA NO. 24-750-91
17 JULAI 1992
[1993] 1 CLJ 391

BIDANG KUASA: Sama ada Mahkamah Kadi mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan perintah yang terikat ke atas seorang bukan beragama Islam – Jadual Kesembilan, Senarai II, Perlembagaan Persekutuan – Seksyen 40 Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam (Pulau Pinang) 1959 – Sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk memberi deklarasi bahawa Mahkamah Kadi tidak mempunyai kuasa perundangan yang sah untuk membuat perintah yang terikat kepada seorang bukan berugama Islam – Sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk mengisytiharkan bahawa perintah Mahkamah Kadi adalah menyalahi undang-undang – Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

UNDANG-UNDANG KELUARGA: Sama ada seorang yang bukan beragama Islam boleh mengemukakan petisyen perceraian atas alasan pihak yang satu lagi kepada perkahwinan telah memeluk agama Islam – Sama ada kebenaran Mahkamah perlu didapati sebelum mengemukakan petisyen – Seksyen 51 Akta Undang- Undang Pembahruan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Plaintif dan defendan kedua yang kedua-duanya beragama Buddha telah berkahwin pada 1973 dibawah peruntukan Ordinan Perkahwinan Sivil 1952. Dalam tahun 1991 defendan kedua telah memeluk agama Islam dan telah pada tahun yang sama membuat permohonan di Mahkamah Kadi Bukit Mertajam untuk membatalkan perkahwinannya atas alasan plaintif belum memeluk agama Islam. Pada 21 Mei 1991 defendan pertama membatalkan perkahwinan diantara plaintif dan defendan kedua atas alasan bahawa plaintif enggan mengikut defendan kedua memeluk agama Islam.
Plaintif memohon untuk deklarasi bahawa, diantara lain,:
1. Defendan pertama tidak mempunyai kuasa perundangan yang sah untuk membuat perintah tersebut; 2. Perintah tersebut adalah menyalahi undang-undang, batal, tak sah serta tidak mempunyai kuasa perundangan; 3. Perkahwinan plaintif dengan defendan kedua adalah masih sah dari segi perundangan dan juga masih wujud. 4. Plaintif diberi kebebasan untuk mengemukakan petisyen perceraian di bawah s. 51 Akta Undang- Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Peguam defendan pertama membangkitkan bantahan awal bahawa Mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa mendengar permohonan ini kerana pada hakikatnya ia menghendaki Mahkamah membuat keputusan sama ada suatu keputusan Mahkamah Kadi sah atau tidak dimana Mahkamah Kadi bukan satu tribunal yang terletak dibawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi. Beliau juga menghujahkan bahawa Mahkamah Kadi mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan dan membuat perintah yang dipohon oleh defendan kedua dan ia merujuk kepada s. 46(2) Undang-Undang Islam Negeri Pulau Pinang (No. 2) 1985 dibaca dengan s. 40(4) Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam (Pulau Pinang) 1959.
Diputuskan:
[1] Mahkamah Kadi Bukit Mertajam tidak mempunyai bidangkuasa membuat perintah yang dibuatnya pada 21 Mei 1991 atas permohonan defendan kedua itu kerana plaintif bukan beragama Islam dan Mahkamah itu hanya mempunyai bidangkuasa jika kedua-dua pihak beragama Islam.
[2] Mahkamah Kadi bukan “subordinate court” seperti yang ditafsirkan oleh Akta Mahkamah Keadilan 1964. Ia adalah sebuah Mahkamah yang terletak di bawah satu sistem keadilan yang berasingan dan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengisytiharkan sama ada sesuatu peng hakiman atau perintah Mahkamah Kadi itu sah atau tidak.
[3]Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tidak mensyaratkan bahawa plaintif perlu mendapat kebenaran untuk membuat permohonan di bawah seksyen itu.
[Diisytiharkan bahawa Mahkamah Kadi Bukit Mertajam tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah tersebut. Kos kepada plaintif].

Case(s) referred to:
Dalip Kaur lwn.Pegawai Polis Daerah (OCPD) Bukit Mertajam & Anor. [1991] 3 CLJ 2768 (diikuti)
Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn.Isa Abdul Rahman & Lain [1992] 3 CLJ 1675 (diikuti)
Legislation referred to:
Akta Mahkamah Keadilan 1964, s. 3
Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, s. 51(2)
Ordinan Perkahwinan Sivil 1952
Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121(1A), JadualKesembilan Senarai II Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang (No. 2) 1985, s. 46(2)
Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam (Pulau Pinang) 1959, ss. 40(3) & (4), 41 & 42

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Gooi Hock Seng; T/n. Shan & Gooi
Bagi pihak defendan pertama – Ahmad Zaki b. Hj. Husin,Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang
Bagi pihak defendan kedua – Abdul Razak b. Yaacob; T/n. Razak & Co.
ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid bin Hj. Mohamed H:
Fakta-fakta dalam kes ini tidak dipertikaikan. Plaintif telah berkahwin dengan defendan kedua pada 17 Disember 1973 di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan di Bukit Mertajam mengikut Ordinan Perkahwinan Sivil 1952. Plaintif (isteri) telah dilahirkan sebagai seorang yang beragama Budha dan pada masa ini masih beragama Budha. Terdapat dua orang anak daripada perkahwinan itu.
Pada 3 Mei 1991, defendan kedua (suami), yang dahulunya juga beragama Budha, telah memeluk agama Islam.
Dalam bulan Mei 1991, defendan kedua, selepas memeluk agama Islam, membuat permohonan tak bertarikh di Mahkamah Kadi, Bukit Mertajam untuk membatalkan perkahwinan itu atas alasan plaintif (isteri) belum memeluk agama Islam.
Pada 20 Mei 1991 plaintif menerima melalui pos satu notis bertarikh 17 Mei 1991, yang dikeluarkan oleh defendan pertama (Kadi) memberitahu plaintif supaya hadir di Mahkamah Kadi Bukit Mertajam pada 20 Mei 1991 untuk perbicaraan permohonan itu. Plaintif tidak hadir di Mahkamah itu pada 20 Mei 1991. Sayugia diambil perhatian bahawa notis itu diterima olehnya pada hari perbicaraan itu ditetapkan untuk dijalankan.
Pada esoknya, 21 Mei 1991, tanpa kehadiran plaintif, defendan pertama membatalkan perkahwinan itu atas alasan bahawa plaintif enggan mengikut defendan kedua memeluk agama Islam. Walaubagaimanapun perintah itu cuma mula berkuatkuasa selepas tiga bulan daripada tarikh defendan kedua memeluk agama Islam. Ini adalah satu syarat yang ditetapkan oleh Hukum Syarak bagi pembubaran perkahwinan bukan Islam atas alasan seperti yang dibuat itu. Nyata di sini bahawa permohonan dan perintah pembubaran itu dibuat sebelum tempoh itu tamat.
Plaintif melalui Saman Pemula, memohon kepada Mahkamah ini untuk mendapat deklarasi seperti berikut:
1. Bahawa defendan pertama tidak mempunyai kuasa perundangan yang sah dan/atau bidangkuasa untuk membuat perintah pada 21 Mei 1991 di Mahkamah Kadi Daerah, Bukit Mertajam bagi membubarkan perkahwinan plaintif dengan defendan kedua.
2. Bahawa perintah tersebut yang diberikan oleh defendan pertama untuk pembubaran perkahwinan plaintif dan defendan kedua adalah menyalahi undang-undang, batal, tak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan.
3. Bahawa perkahwinan plaintif dengan defendan kedua adalah masih sah dari segi perundangan dan juga masih wujud.
4. Bahawa plaintif diberi kebebasan untuk mengemukakan petisyen perceraian di bawah s. 51 Akta Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 dan juga untuk semua relif sampingan yang diperuntukkan di dalam Akta tersebut.
5. Bahawa asas mana perintah tersebut dibuat, iaitu, keengganan plaintif mengikut defendan kedua untuk menjadi seorang Muslim, adalah melanggar hak perlembagaan plaintif dengan sewenangwenangnya untuk menganut dan mengamal agama pilihannya sendiri.
Walaupun kes ini nampaknya mudah, tetapi sebenarnya ia membangkitkan beberapa persoalan undang-undang yang amat rumit.
Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang yang mewakili defendan pertama, membangkitkan bantahan awal bahawa Mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa mendengar permohonan ini. Ini adalah kerana, permohonan ini, pada hakikatnya menghendaki Mahkamah ini membuat keputusan sama ada suatu keputusan Mahkamah Kadi itu sah atau tidak. Mahkamah Kadi bukan satu tribunal yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi. Mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan sesuatu keputusan Mahkamah Kadi boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan, beliau menghujahkan.
Eloklah saya memutuskan persoalan sama ada Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa mendengar permohonan ini atau tidak, terlebih dahulu.
Tidak syak bahawa peruntukan undang-undang yang paling berkenaan dalam hal ini ialah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, terutama sekali fasal (1A) yang mengatakan bahawa Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Borneo “shall have no jurisdiction in respect of any matter within the jurisdiction of the Syariah Courts”.
Mahkamah Agung dalam kes Dalip Kaur v. Pegawai Polis Daerah (OCPD), Bukit Mertajam & Anor. [1991] 3 CLJ 2768 telah mentafsirkan peruntukan ini. Hashim Yeop A. Sani (Hakim Besar Malaya) berkata, di halaman 2773:
The new clause 1A Article 121 of the Constitution effective from 10 June 1988 has taken away the jurisdiction of the civil Courts in respect of matters within the jurisdiction of the Syariah Courts. But that clause does not take away the jurisdiction of the Civil Court to interpret any written laws of the States enacted for the administration of Muslim law.
Baru-baru ini Mahkamah itu berhadapan dengan persoalan itu sekali lagi, iaitu dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang v. Isa Abdul Rahman dan lain Rayuan Sivil No. 02-329-91. Dalam kes itu plaintifplaintif memohon perisytiharan yang jelas adalah mengenai hukum syarak di samping memohon satu injunksi.
Mahkamah Agung memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa mengeluarkan perintah injunksi, dan bidangkuasa mengeluarkan perintah injunksi adalah terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi.
Meneliti permohonan plaintif dalam kes ini, adalah nyata bahawa prayer pertama, iaitu sama ada Mahkamah Kadi mempunyai bidangkuasa membuat perintah yang dibuatnya itu, melibatkan tafsiran undang-undang, tegasnya Perlembagaan Persekutuan dan Undang- Undang Pentadbiran Ugama Islam 1959 (Pulau Pinang dan Seberang Perai). Berdasarkan penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Dalip Kaur saya berpendapat Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa membicara dan memutuskan persoalan itu.
Di peringkat ini saya tidak hendak membincangkan prayer-prayer lain dahulu, kerana saya berpendapat, jika Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa berkenaan satu prayer pun adalah memadai untuk membolehkan Mahkamah ini membicarakan kes ini.
Alasan kedua mengapa saya berpendapat bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Agung dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang v. Isa Abdul Rahman dan lain Rayuan Sivil No. 02-329-91. Apa yang saya faham sebagairatio decidendi penghakiman itu ialah, jika Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan sesuatu tuntutan dan Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa dalam hal itu, maka, walaupun tuntutan itu memerlukan dibuat keputusan berkenaan persoalan hukum syarak, Mahkamah Tinggi tidak ditegah oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan daripada membicarakan tuntutan itu. Di sini perlulah saya memutuskan sama ada Mahkamah Kadi, Bukit Mertajam mempunyai bidangkuasa membicarakan tuntutan defendan kedua dan sama ada Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk membubarkan perkahwinan berkenaan, jika permohonan dibuat.
Dalam memutuskan persoalan ini, pertama sekali, kita perlu merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, antara lain, memperuntukkan –
1. Except with respect to the Federal Territories of Kuala Lumpur and Labuan, Islamic law and personal and family law of persons professing the religion of Islam including the Islamic law relating to… marriage, divorce… maintenance… the Constitution, organisation and procedure of Syariah Courts which shall have jurisdicition only over persons professing the religion of Islam…
Jelas di sini bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah ke atas orang-orang yang menganut agama Islam sahaja.
Seksyen 40, Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1959 (Pulau Pinang) mempunyai peruntukan berkenaan bidangkuasa Mahkamah Kadi Besar dan Mahkamah Kadi, antara lain, seperti berikut:
40. (1)…
(2)…
(3) The Courts of the Kathi Besar shall:
(a)… (b) in its civil jurisdiction hear and determine all actions and proceedings in which all the parties profess the Muslim Religion and which relate to:
(i) betrothal, marriage, divorce, nullity of marriage, judicial separation, or nushuz;
(4) Except as otherwise provided in any written law, the Court of a Kathi shall –
(a)… (b) in its civil jurisdiction hear and determine all such actions and proceedings as the Court of the Kathi Besar is authorized to hear and determine, in which the amount in dispute or value of the subject matter does not exceed one thousand dollars, or is not capable of estimation in terms of money.
Adalah jelas daripada peruntukan ini bahawa Mahkamah
Kadi Besar atau Mahkamah Kadi hanya mempunyai bidangkuasa ke atas orang-orang yang menganut agama Islam. Ini adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang kepadanya saya telah rujukkan. Peruntukan sebaliknya, jika dibuat tanpa terlebih dahulu meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan, akan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan itu, dan tentu sekali tak sah.
Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri menghujahkan bahawa Mahkamah Kadi itu mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan defendan kedua di Mahkamah itu. Mengikutnya, bidangkuasa itu diberi oleh s. 46 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang No. 2 tahun 1985:
46. (1)…
(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan per- kahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.
Perlu diambil perhatian bahawa “Mahkamah” ditafsirkan oleh Undang-Undang itu sebagai bererti “Mahkamah Kadi atau Kadi Besar, mengikut mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah s. 39 Enakmen Pentadbiran.”
Y.B. Penasihat Undang-Undang itu menghujahkan bahawa peruntukan s. 46(2) itu adalah tambahan kepada peruntukan s. 40 Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam, 1959 kerana s. 40(4) Undang-Undang yang disebut terakhir itu bermula dengan kata-kata “Except otherwise provided by any written law…”
Dengan penuh hormat, dalam penghakiman saya, tafsiran seperti itu, tidak betul atas tiga sebab. Pertama, peruntukan s. 46(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, 1985 itu adalah bersifat perisytiharan (declaratory). Ia tidak memberi bidangkuasa. Ia cuma boleh dipakai jika Mahkamah Kadi diberi bidangkuasa. Kedua, bidangkuasa seperti itu tidak boleh diberi melalui undangundang itu tanpa pindaan yang selaras dibuat kepada Senarai II Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Selagi peruntukan Senarai II Jadual Kesembilan itu masih kekal seperti yang ada pada masa ini, peruntukan s. 46(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, 1985 itu, jika ia bermaksud memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Kadi, adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tak sah. Ketiga, kata-kata “Except as provided by any written law” itu adalah berkaitan dengan jenis kes atau had-had yang disebut dalam perenggan (a) dan (b) subseksyen (4) s. 40 itu. Ia bukan satu pengecualian kepada had bidangkuasa ke atas orang-orang Islam yang dengan jelas disebut oleh Senarai II Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan dan s. 40(3)(b) Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam, 1959 itu.
Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, Mahkamah Kadi berkenaan tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan defendan kedua, kerana defendan dalam tuntutan itu (plaintif dalam kes ini) bukan beragama Islam.
Sebaliknya, adakah Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk membubarkan perkahwinan berkenaan jika permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi?
Jawapannya terdapat dalam s. 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976:
51. (2) Where one party to a marriage has converted to Islam, the other party who has not so converted may petition for divorce:
Provided that no petition under this section shall be presented before the expiration of the period of three months from the date of the conversion.
Perlu diambil perhatian bahawa seksyen ini membolehkan pihak yang tidak memeluk agama Islam membuat permohonan membatalkan perkahwinannya itu. Seksyen ini nampaknya tidak memberi hak kepada pihak yang memeluk agama Islam untuk memohon.
Walaubagaimanapun, jika pihak yang tidak memeluk agama Islam memohon, maka Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa kerana bidangkuasa Mahkamah Tinggi meliputi semua orang, tidak kira apa agamanya atau tidak beragama langsung.
Tetapi, bagaimana jika pihak yang tidak memeluk agama Islam tidak memohon, tetapi pihak yang memeluk agama Islam hendak memohon? Di Mahkamah mana ia hendak memohon? Dia tidak boleh memohon di Mahkamah Tinggi. Mahkamah Kadi pula tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes itu kerana satu pihak bukan beragama Islam. Di sini nampaknya terdapat satu “lacuna ” yang patutlah Badan Perundangan memberi perhatian dan membuat pindaanpindaan yang perlu. Jika saya boleh mencadangkan, rasanya eloklah kuasa diberi kepada Mahkamah Tinggi untuk membubarkan perkahwinan seperti itu kerana perkahwinan itu bukan perkahwinan Islam dan Mahkamah Kadi tidak mempunyai bidangkuasa membubarkan perkahwinan bukan Islam. Rasanya, eloklah bidangkuasa diberi kepada satu Mahkamah sahaja untuk membubarkan perkahwinan seperti ini. Jika tidak mungkin akan timbul keadaan di mana terdapat dua perintah yang bercanggah.
Daripada perbincangan setakat ini adalah nyata bahawa
Mahkamah Kadi tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan permohonan defendan kedua, manakala Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa untuk membubarkan perkahwinan yang sama, jika plaintif membuat permohonan di Mahkamah ini.
Dalam keadaan ini, memakai prinsip yang ditetapkan oleh Mahkamah Agung dalam kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang v. Isa Abdul Rahman (supra), saya berpendapat bahawa Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan permohonan plaintif ini.
Maka, eloklah saya memberi jawapan kepada prayer pertama sekarang. Sebenarnya jawapannya sudah jelas daripada perbincangan saya sebelum ini: Mahkamah Kadi, Bukit Mertajam tidak mempunyai bidangkuasa membuat perintah yang dibuatnya pada 21 Mei 1991 atas permohonan defendan kedua itu kerana plaintif (defendan dalam permohonan itu) bukan beragama Islam dan Mahkamah itu hanya mempunyai bidangkuasa jika kedua-kedua pihak beragama Islam.
Prayer kedua, pada hakikatnya, meminta Mahkamah ini mengisytiharkan bahawa Perintah berkenaan “menyalahi undang-undang, batal, tak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan”.
Sebenarnya perintah yang dipohon ini adalah susulan kepada persoalan pertama yang sudah dijawab, dan jawapannya sudah jelas. Jika perintah itu satu keputusan “subordinate court” seperti yang ditafsirkan oleh s. 3 Akta Mahkamah Keadilan 1964 (Akta 91) atau manamana tribunal atau pihak berkuasa lain yang terletak di bawah kawalan keadilan Mahkamah Tinggi perintah yang dipohon dalam prayer kedua itu patutlah diberi. Tetapi Mahkamah Kadi bukan “Subordinate Court” seperti yang ditafsirkan oleh Akta Mahkamah Keadilan, 1964. Ia adalah sebuah Mahkamah yang terletak di bawah satu sistem keadilan yang berasingan daripada Mahkamah ini. Ia terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri, manakala Mahkamah ini berada di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan. Rayuan daripadanya pergi kepada Jawatankuasa Rayuan yang diperuntukkan dalam s. 41 Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam, 1959 dan bukan kepada Mahkamah ini.
Dalam keadaan ini, adalah penghakiman saya bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidangkuasa untuk mengisytiharkan sama ada sesuatu penghakiman atau perintah Mahkamah Kadi itu sah atau tidak. Berbuat demikian bererti Mahkamah ini campur tangan dalam satu sistem kehakiman yang berasingan daripadanya. Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan sendiri cuba menjelaskan pengasingan bidangkuasa kedua-dua sistem Mahkamah ini. Ia mesti dipatuhi.
Atas alasan ini saya tidak membuat apa-apa perisytiharan mengenai prayer kedua.
Berkenaan prayer ketiga, kesannya adalah sama dengan prayer kedua. Atas alasan yang sama saya juga tidak membuat apa-apa perintah mengenainya.
Saya serahkan kepada Jawatankuasa Rayuan untuk menimbang samada hendak membuat ulangkaji (revision) ke atas perintah Mahkamah Kadi berkenaan, di bawah s. 42 Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam, 1959 itu. Nampaknya, itulah satu-satunya cara yang ada untuk mengatasi masalah yang berbangkit daripada perintah yang dibuat oleh Kadi, Bukit Mertajam itu. Plaintif tidak boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan kerana dia bukan beragama Islam dan Jawatankuasa itu juga tidak mempunyai bidangkuasa ke atas orang-orang bukan Islam. Lagi pula tempoh untuk membuat rayuan telah luput.
Berkenaan prayer keempat, sebenarnya s. 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tidak mensyaratkan bahawa plaintif perlu mendapat kebenaran (leave) untuk membuat permohonan di bawah seksyen itu. Maka soal kebenaran Mahkamah ini yang dipohon itu tidak timbul dan tiada perintah dibuat mengenainya.
Berkenaan prayer kelima, persoalan ini tidak dihujahkan oleh kedua-dua pihak. Oleh sebab itu, dan memandangkan kepada jawapan saya kepada prayer pertama, saya juga tidak membuat apa-apa perintah mengenainya.
Kesimpulannya, saya mengisytiharkan bahawa Mahkamah Kadi Daerah, Bukit Mertajam tidak mempunyai bidangkuasa untuk membuat perintah yang dibuatnya pada 21 Mei 1991. Kos permohonan ini kepada plaintif.

148 visits