CONSOLIDATED FACTORING (M) SDN BHD lwn. TONG TEIK CO. SDN BHD & 2 YG. LN.

CONSOLIDATED FACTORING (M) SDN BHD lwn. TONG TEIK CO. SDN BHD & 2 YG. LN.
MAHKAMAH TINGGI, PULAU PINANG
DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMED H
GUAMAN SIVIL NO. 23-287-88
14 JULAI 1992
[1993] 1 CLJ 115

AMANAH DAN PROSEDUR: Permohonan membatalkan pembelaan dan tuntutan balas defendan – pembelaan yang tidak berasas – Aturan 18 kaedah 19(1) Kaedah- Kaedah Mahkamah Tinggi 1980- Prinsip yang dipakai.

Tuntutan plaintif terhadap defendan adalah berbangkit daripada satu “factoring agreement” bertarikh 18 Jun 1985. Defendan mengatakan yang transaksi itu adalah satu transaksi memberi pinjaman wang dan tak sah dan bahawa gerenti yang ditandatangani oleh defendan kedua dan ketiga tak sah sebab tiada had ditetapkan bagi jumlah maksima yang kena dibayar. Defendan juga membangkitkan pembelaan salah nyataan tetapi tidak memberi butiran yang dikehendaki oleh Aturan 18 kaedah 12.
Penolong Kanan Pendaftartelah menolak permohonan plaintif untuk membatalkan pembelaan dan plaintif merayu.
Diputuskan:
[1] “Factoring agreement” yang melibatkan penjualan “book debts” bukanlah satu transaksi memberi pinjaman wang.
[2] Klausa 1 Gerenti itu dengan jelas menyebut apa yang dipersetujukan diantara plaintif dan defendan kedua dan ketiga.
[3] Pembelaan salah nyataan ternyata bercanggah dengan terma-terma yang terkandung dalam perjanjian itu terutamanya klausa 1, 11 & 20. Kewujudan salah nyataan lisan tidak boleh diterima sebagai keterangan
[4] Pembelaan yang dibangkitkan oleh defendandefendan tidak berasas. Pembelaan dan tuntutan balas adalah “frivolous and vexatious”.
[Rayuan dibenarkan. Pembelaan dan tuntutan balas oleh defendan-defendan dibatalkan. Plaintif diberi kebebasan untuk mengambil penghakiman muktamad].

Case(s) referred to:
Old Discount Co. Ltd. lwn.
John Player Ltd. [1938] 3 All ER 275 (diikuti)
Koh Siak Poo lwn.Perkayuan GKS BANKINGANDFINANCE & Ors. [1984] 1 LNS 148[1989] 3 MLJ 164 (dirujuk)
United Malayan Banking Corp.Bhd. lwn.Tan Lian Keng & Ors. [1989] 1 LNS 122[1990] 1 MLJ 280 (dirujuk)

Legislation referred to:
Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980 Aturan 18 kaedah 12, kaedah 19(1)
Akta Keterangan 1950, ss. 9192

Other source(s) referred to:
Legal Aspect of Factoring oleh Ho Peng Kee [1986] 2 MLJ ccxl.

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Goh Siew Kin, T/n. B.C. Teh & Yeoh
Bagi pihak defendan-defendan – Ranjit Singh Dhillon; T/n. Khoo Heng Choon & Co.

ALASAN PENGHAKIMAN
Abdul Hamid b. Hj. Mohamed H:
Melalui writ, plaintiff menuntut defendan-defendan membayar RM978,676 faedah dan kos yang berbangkit daripada “factoring agreement” bertarikh 18 Jun 1985. Defendan-defendan kedua dan ketiga adalah penjamin (guarantors) bagi perjanjian itu.
Defendan-defendan memasukkan pembelaan dan tuntutan balas (counter-claim).
Plaintif memohon melalui Saman-dalam-Kamar supaya pembelaan dan tuntutan balas defendan-defendan itu dibatalkan di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1) Kaedah- Kaedah Mahkamah Tinggi 1980dan supaya penghakiman diberi seperti dipohon. Penolong Kanan Pendaftar menolak permohonan itu. Plaintiff merayu kepada saya. Saya membenarkan rayuan itu. Defendandefendan merayu selanjutnya.
Permohonan di bawah Aturan ini patut dibuat hanya dalam kes-kes yang “plain and obvious” atau di mana tuntutan atau pembelaan itu “obviously unsustainable”.
Dalam kes ini, beberapa persoalan telah dibangkitkan.
Peguam defendan-defendan menghujahkan bahawa plaintif hanya boleh melandaskan permohonan ini di atas perenggan (b) atau (c) Aturan 18 Kaedah 19(1)sahaja.
Memandangkan bahawa plaintif memfailkan beberapa afidavit bagi menyokong permohonan ini dan digunakan oleh plaintif bagi tujuan permohonan ini, adalah nyata bahawa plaintif tidak boleh melandaskan permohonan ini kepada perenggan (a), kerana bagi permohonan di bawah perenggan itu afidavit tidak boleh digunakan – kaedah kecil (2), kaedah 19. Sebenarnya, daripada hujah-hujah Peguam plaintif adalah jelas bahawa beliau cuma menghujah di bawah perenggan (b) sahaja. Oleh itu hujah Peguam defendan-defendan itu tiada berbangkit.
Peguam defendan-defendan menghujahkan bahawa transaksi itu adalah suatu transaksi memberi pinjaman wang (moneylending transaction) dan tak sah. Sebaliknya Peguam plaintif menghujahkan bahawa transaksi ini adalah suatu penyerahan mutlak (absolute assignment), iaitu suatu penjualan hutang-buku (sale of book-debts.)
Undang-undang adalah jelas bahawa “factoring agreement” yang melibatkan penjualan “book debts” bukanlah satu transaksi memberi pinjaman wang – lihat Old Discount Co. Ltd. v. John Player Ltd. [1938] 3 Ll ER 275 dan rencana bertajuk “Legal Aspects of Factoring” oleh Ho Peng Kee [1986] 2 MLJ ccxl.
Meneliti perjanjian di antara plaintif dengan Syn Seng Company (Ekshibit OEH-1, Lampiran 5) dan “Assignment Schedule of Accounts”, Ekshibit OEH-2, notis penyerahakan (notis penyerahakan yang diberi oleh Syn Seng Company kepada defendan pertama – Ekshibit OEH-3), saya berpendapat bahawa perjanjian yang berkenaan ini bukanlah satu perjanjian memberi pinjaman wang dan transaksi itu bukanlah satu transaksi memberi pinjaman wang (moneylending transaction).
Dalam perenggan 6, pembelaan defendan dinyatakan bahawa gerenti bertarikh 18 Jun 1985 itu tak sah kerana tak pasti (uncertainty) sebab tiada had ditetapkan bagi jumlah maksimum yang kena dibayar.
Pembelaan ini nyata tidak berasas. Klausa 1, gerenti itu (Ekshibit OEH-5) dengan jelas menyebut apa yang dipersetujukan iaitu defendan-defendan kedua dan ketiga bersetuju untuk menjamin pembayaran kepada plaintiff “all sums of money as shall from time to time or at any given time hereafter become due and payable.”
Berkenaan had liability defendan-defendan kedua dan ketiga pula, klausa 22 memperuntukkan:
22. The guarantors’ liability shall be limited up to the sums of the debts purchased by the Sole Factor together with interest due and payable by the Manufacturer and/or the Debtors of the Manufacturer.
Itulah hadnya.
Peguam defendan-defendan tidak menghujah- kan pembelaan yang terkandung dalam perenggan 7 Pembelaan (Lampiran 7). Lagi pula pembelaan itu hanya merupakan satu tuduhan (allegation) sematamata tanpa diberi apa-apa butiran bagi menyokongnya. Saya berpendapat bahawa pembelaan itu tidak berasas.
Perenggan 8, Pembelaan membangkitkan pembelaan salah nyataan (misrepresentation). Juga tanpa memberi butiran (particulars) seperti yang dikehendaki oleh Kaedah 12 Aturan 18. Di samping itu pembelaan ini ternyata bercanggah dengan terma-terma yang terkandung dalam perjanjian itu, terutama sekali klausa 1, 11 dan 20. Perlu disebut bahawa Klausa 11 memperuntukkan:
11. agrees that without prejudice to Sole Factor’s rights against the Manufacturer and/or the Debtors of the Manufacturer as principle debtor and obligator, we shall, as between yourselves and ourselves, be liable as if we were the principal debtors and not merely sureties.
Klausa 20 pula antara lain menyebut:
We hereby agree that this guarantee is our primary obligation…
Kewujudan salah nyataan lisan ini, tidak boleh diterima sebagai keterangan – lihat s. 91, 92 Akta Keterangan. Lihat juga Koh Siak Poo lwn.Perkayuan GKS & Ors. [1984] 1 LNS 148[1989] 3 MLJ 164 (SC) dan United Malayan Banking Corp.Bhd. lwn.Tan Lian Keng & Ors. [1989] 1 LNS 122[1990] 1 MLJ 280.
Pembelaan ini juga tidak berasas.
Perenggan 9 dan 10 pembelaan menyatakan bahawa defendan-defendan tidak tahu bahawa noti penyerahan diberi oleh Syn Seng Company kepada penghutang dan bahawa terdapat baki yang tidak dijelaskan sebanyak RM978,676.
Perlu disebut lebih awal bahawa Peguam defendandefendan, dalam hujahnya tidak menyentuh berkenaan pembelaan ini. Walau bagaimanapun, nyataan plaintif dalam hal ini yang terkandung dalam perenggan 5 Lampiran 5 tidak disangkal oleh defendan-defendan. Seterusnya defendan pertama dalam suratnya kepada plaintif mengesahkan baki yang tidak dijelaskan sebanyak RM978,676 itu – lihat Ekshibit OEH-6, Lampiran 5.
Kesimpulannya, saya dapati bahawa pembelaan yang dibangkitkan oleh defendan-defendan sebenarnya tidak berasas. Ini adalah satu kes yang “plain and obvious” dan “obviously unsustainable”. Dalam penghakiman saya pembelaan dan tuntutan balas yang dimasukkan itu adalah “frivolous and vexatious”. Saya meluluskan rayuan ini dan memerintahkan bahawa Pembelaan dan Tuntutan Balas oleh defendan-defendan yang dimasukkan pada 19 Disember 1988 dibatalkan dan memberi kebebasan kepada plaintif untuk mengambil penghakiman muktamad seperti yang dipohon dalam prayer (a), (b) dan (c), Saman-dalam-Kamar (Lampiran 6).

95 visits