LIM KIAT BING LWN. TIMBALAN MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & YANG LAIN

LIM KIAT BING LWN. TIMBALAN MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-185-91
7 JANUARI 1992
[1992] 1 CLJ Rep 489; [1992] 3 CLJ 1364

TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Makluman sebab-sebab ditangkap – Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan – Kegagalan penterjemah memfailkan afidavit-afidavit menyokong terlalu umum – Keperluan butiran ketidakpatuhan di dalam afidavit menyokong – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, ss. 6(1), 3(3).
Timbalan Menteri Dalam Negeri telah mengeluarkan perintah tahanan terhadap pemohon (L) dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta tersebut). L telah berhujah bahawa:
(a) Perintah tahanan tersebut adalah tidak sah kerana tiada sebab-sebab tangkapan dimaklumkan semasa L ditangkap dan dengan sedemikian telah melanggar hak L dibawah perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan;
(b) Secara umum peruntukan-peruntukan s. 3 Akta tersebut khususnya s. 3(3) tidak dipatuhi.
Diputuskan:
[1] Berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh satu Inspektor Suhaimy (S) dalam afidavitnya yang beliau telah memaklumkan kepada L sebab-sebab L ditangkap didalam Bahasa Malaysia yang mudah dan diterangkan kepada penterjemah yang telah menterjemahkannya kepada L serta L telah memahami penerangannya dan juga di atas kegagalan L menyangkal kenyataan ini serta menyatakan yang beliau tidak memahami Bahasa Malaysia, adalah munasabah bagi Mahkamah menerima bahawa L telah faham penerangan S kepadanya.
[2] Oleh kerana tiada butiran ketidakpatuhan peruntukan-peruntukan s. 3 Akta tersebut oleh L dan pegawai penjaga tempat tahanan berkenaan (M) menyatakan didalam afidavitnya beliau bukan hanya mengingatkan L tentang haknya malah telah memberitahu dan menerangkannya kepada L, serta kenyataan ini tidak disangkal dan L tidak menyatakan beliau tidak faham maka keterangan M patut diterima dan Mahkamah mendapati alasan L didalam permohonan ini tidak berasas.

Case(s) referred to:
Chin Chong Nang v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia [1991] 1 CLJ 557 (Rep) (diikuti)
Abdul Rashid Rajantharan bin Abdullah v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [1991] 1 CLJ 505 (Rep) (diikuti)
Liew Kim Swee v. Menteri Dalam Negeri Malaysia [1991] 1 CLJ 672 (Rep) (diikuti)

Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, ss. 3, 3(1), (3), Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, ss. 6
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) (Advisory Board Procedure) Rules 1987, r. 3(3)
Federal Constitution, art. 5
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak responden – Jalaldin Hussain; Peguam Kanan Persekutuan

JUDGMENT
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditangkap pada 29 Mac 1991 di bawah s. 3(1) Akta Dadah Berbahaya(Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Pada 27 Mei 1991 Timbalan Menteri mengeluarkan Perintah Tahanan di bawah s. 6(1) Akta itu, mengarahkan dia ditahan selama dua tahun mulai dari tarikh perintah itu.
Dua alasan dikemukakan dalam permohonan ini.
Alasan pertama ialah apa yang dikatakan ketidakpatuhan peruntukan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan dan s. 3(3) Akta berkenaan.
Alasan ini disebut oleh adik pemohon dalam afidavit menyokong permohonan ini seperti berikut:
6. Saya dengan hormatnya menyatakan disini pemohon tidak diberitahu sebab-sebab tangkapan bila beliau ditangkap pada mulanya. Ini melanggar hak pemohon dibawah Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Selanjutnya, peruntukan-peruntukan s. 3 Akta Dadah Berbahaya(Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 (selepas ini dipanggil “Akta tersebut”) juga tidak dipatuhi, khususnya, peruntukan-peruntukan s. 3(3) Akta tersebut.
Perlu disebut disini bahawa apa yang disebut dalam afidavit itu, seperti yang kerap dilakukan, adalah amat umum. Tidak disebut apa ketidakpatuhan yang dimaksudkan. Seperti yang saya pernah sebutkan sebelum ini, afidavit menyokong hendaklah menyebut dengan jelas-jelas alasan-alasan yang hendak dibangkitkan. Jika dibuat demikian barulah pihak responden tahu apa yang perlu dijawab. Itulah tujuannya undang-undang menghendaki afidavit menyokong dimasukkan.
Peguam pemohon menarik perhatian Mahkamah bahawa jurubahasa yang menterjemahkan alasan-alasan penangkapan yang diberitahu oleh Insp. Suhaimy kepada pemohon tidak memfail affidavit mengatakan beliau berbuat demikian.
Dalam hal ini Insp. Suhaimy dalam afidavitnya menyatakan bahawa beliau memberitahu pemohon sebab-sebab dia ditangkap dalam Bahasa Malaysia yang mudah dan diterangkan oleh Det. Konst. Tan Ah Nya dalam bahasa (loghat) Hokkien dan pemohon memahami penerangannya. Keterangan ini tidak disangkal oleh pemohon.
Dalam penghakiman saya tidaklah perlu bagi Det. Konst. memfail satu afidavit dalam hal ini. Saya sendiri telah memberi dua penghakiman dalam hal ini, iaitu dalam kes Chin Chong Nang v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Malaysia[1991] 1 CLJ 557 (Rep) dan Abdul Rashid Rajantharan bin Abdullah v. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri [1991] 1 CLJ 505 (Rep). Demikian juga saudara saya Mohtar Abdullah H telah juga memberi penghakiman dalam hal ini dalam kes Liew Kim Swee v. Menteri Dalam Negeri Malaysia [1991] 1 CLJ 672 (Rep). Saya masih berpendapat sedemikian.
Pokok pangkalnya ialah pemohon tidak mengatakan dia tidak faham Bahasa Malaysia dan tidak menyangkal afidavit Insp. Suhaimy bahawa Pemohon diberi penerangan berkenaan sebab-sebab dia ditangkap dan dia faham. Dalam keadaan itu adalah munasabah bagi Mahkamah menerima bahawa beliau faham.
Alasan kedua yang dikemukakan oleh peguam pemohon ialah bahawa peruntukan Kaedah 3(3) Kaedah-kaedah Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Prosedur Lembaga Penasihat) 1987telah tidak dipatuhi.
Kaedah 3(3)itu memperuntukkan:
(3) Apabila seseorang orang tahanan dibawa ke suatu tempat tahanan, Pegawai Penjaga hendaklah dengan seberapa segera yang praktik mengingatkan orang itu akan haknya untuk membuat representasi-representasi.
Perlu diambil perhatian juga bahawa dalam afidavit menyokong yang difailkan oleh adik pemohon, apa yang disebutkan berkenaan hal ini ialah:
Peruntukan-peruntukan aturan 3(3) Kaedah-kaedah Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas (Prosedur Lembaga Penasihat) 1987 tidak diikuti.
Tidak disebut apa yang tidak diikuti atau dipatuhi.
En. Mohd. Zawawi, Penguasa Penjara Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor memfail afidavit, antara lain, mengatakan sebaik sahaja pemohon tiba beliau telah memberitahu, menerangkan dan mengingatkan pemohon tentang haknya untuk membuat representasi menurut Kaedah 3(3)itu.
Kenyataan ini tidak disangkal.
Apa yang dikehendaki oleh Kaedah 3(3)itu ialah bagi pegawai penjaga tempat tahanan itu “mengingatkan” orang tahanan akan haknya untuk membuat representasi. Ini telah dilakukan oleh pegawai itu. Malah beliau bukan setakat “mengingatkan”. Beliau juga memberitahu dan menerangkan perkara itu. Pemohon tidak menyangkal. Pemohon tidak berkata dia tidak faham. Keterangan Penguasa Penjara sepatutnyalah diterima.
Alasan ini juga tidak berasas.
Permohonan ditolak.

110 visits