PENDAKWA RAYA lwn. MICHAEL DENNIS MCAULIFFE

PENDAKWA RAYA lwn. MICHAEL DENNIS MCAULIFFE
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERBICARAAN JENAYAH NO. 47(58)-12-86
23 OGOS 1991
[1991] 2 CLJ Rep 90; [1991] 3 CLJ 2819
KETERANGAN: Ahli Kimia – Sama ada orang yang membantu pakar kimia harus dipanggil oleh pendakwaan atau ditawarkan kepada pembelaan – Sama ada afidavit ahli sains forensik dari New Zealand yang telah mengkaji keterangan ahli kimia itu boleh dimasukkan sebagai keterangan – Syarat terdahulu – Pernyataan semasa yang telah dibuat dalam perjalanan biasa urusan atau pada menjalankan tugas profesional seorang – Akta Keterangan 1950, s. 32(b).

UNDANG-UNDANG JENAYAH: Mengedar dadah berbahaya – Jagaan dan kawalan – Pengetahuan bahawa serbuk putih adalah ” heroin ” – Sama ada cerita tertuduh berkemungkinan – Anggapan undang-undang – Analisa pakar kimia – Keraguan yang munasabah – Akta Dadah Berbahaya 1952, ss. 2,37(d),(da),39B(1)(a).

Tertuduh telah dituduh dengan kesalahan mengedar dadah berbahaya di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta tersebut). Pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan bahawa pada masa tertuduh ditangkap, terdapat serbuk putih yang disorok dalam beg tali pinggang tertuduh dan apabila dianalisis oleh pakar kimia, N, ia didapati heroin.
Dalam pembelaannya, tertuduh berhujah bahawa serbuk putih itu adalah ” aphrodisiac ” yang dibelinya di Thailand untuk kegunaannya sendiri dan bahawa dia menyimpan barang itu dalam tali pinggangnya kerana ia tidak pasti sama ada mengikut undang-undang Malaysia, menjadi satu kesalahan membawa ” aphrodisiac ” itu; juga kerana ia malu ditemui dan terpaksa menerangkan apakah benda itu.
Di akhir kes pendakwaan, tertuduh menghujahkan bahawa L, yang telah membantu N dalam analisisnya, adalah seorang pakar dan mestilah dipanggil sebagai saksi atau sekurang-kurangnya ditawarkan kepada pembelaan.
Pihak tertuduh juga ingin mengemukakan satu afidavit yang telah diikrarkan oleh S, seorang ahli sains forensik dari New Zealand, melalui tertuduh, di bawah s. 32(b) Akta Keterangan 1950. Nota keterangan N telah dihantar kepada S yang telah mengikrarkan satu afidavit memberi ulasan dan pandangannya keatas keterangan N.
Diputuskan:
[1] L tidak semestinya dipanggil sebagai saksi atau ditawarkan kepada pembelaan kerana:
(a) terserahlah kepada pendakwaan siapa saksi yang hendak dipanggilnya dan yang hendak ditawarkan kepada pembelaan;
(b) hakikat bahawa N dibantu oleh seorang pembantu makmal tidak bererti bahawa pembantu makmal itu juga mesti dipanggil sebagai saksi atau dikemukakan;
(c) L berpengalaman sebagai seorang pembantu makmal, bukan sebagai seorang ahli kimia dan pengalaman tersebut tidak manjadikannya pakar.
[2] Syarat terdahulu penerimaan afidavit S di bawah s. 32 Akta Keterangantelah dipenuhi kerana kehadiran S tidak dapat diperolehi tanpa perbelanjaan yang pada pendapat Mahkamah tidak berpatutan, mengikut hal keadaan itu.
[3] Pernyataan yang dimaksudkan di bawah s. 32(b) Akta Keteranganitu ialah pernyataan semasa yang telah dibuat dalam perjalanan biasa urusan atau pada menjalankan tugas profesional seorang. Afidavit S dalam kes ini bukanlah daripada jenis yang dimaksudkan oleh s. 32(b).
[4] Berdasarkan keterangan, tidak ada keraguan bahawa tertuduh mempunyai jagaan dan kawalan terhadap beg tali pinggang yang mengandungi heroin itu.
[5] Mesti dipertimbangkan sama ada cerita tertuduh bahawa serbuk tersebut adalah ” aphrodisiac ” adalah cerita berkemungkinan. Tidak mengapa jika cerita itu tidak benar sekalipun. Jika cerita itu berkemungkinan pun, sudah memadai untuk tertuduh dibebaskan dan dilepaskan.
[6] Berdasarkan keterangan, tidak munasabah bahawa tertuduh, seorang bujang yang masih muda, memerlukan ” aphrodisiac ” sebegitu banyak. Pembelaan tersebut sebenarnya adalah sesuatu yang difikirkan kemudian yang sengaja direka oleh tertuduh, kerana sebelum perbicaraan ini, perkara ” aphrodisiac ” ini tidak pernah disebutkan oleh tertuduh kepada sesiapapun.
[7] Tertuduh tidak menceritakan kepada Inspektor AW apabila dia mempunyai kesempatan berbuat demikian yang sedikit sebanyak boleh menolong membantu pembelaannya; dia telah berkata apabila disoal balas oleh pihak pendakwaan bahawa itu bukan satu-satunya peluang baginya dan bahawa ada peluang lain dan bahawa dia ada menjelaskan perkara itu kepada pegawai lain. Tetapi alasan-alasan ini tidak disebut dalam keterangan utamanya.
[8] Berdasarkan keseluruhan kes pembelaan dan pendakwaan, Mahkamah tidak dapati keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan dan mendapati bahawa anggapan undang-undang yang berbangkit telah tidak disangkal oleh tertuduh.
[Nota Pengarang: Tertuduh telah membuat satu rayuan kepada Mahkamah Agung melalui M.A.R.J. No.5 – 105 -91 pada 19 Ogos 1991]

Case(s) referred to:
Sim Tiew Bee lwn. PP [1973] 1 LNS 138[1973] 2 MLJ 200 (dirujuk)
Ng Yiu Kwok & Yg. Ln-Ln lwn. PP [1989] 1 LNS 52[1989] 3 MLJ 166 (dipertimbang)
PP lwn. Forster Frank Edald Heinrick 1987 CLJ 872[1988] 2 MLJ 594 (dibezakan)
Subramaniam lwn. PP [1955] 1 LNS 100[1956] MLJ 220 (dirujuk)

Legislation referred to:
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 2,37(d),(da),39B(1)(a)
Evidence Act 1950, s. 32(b)

Other source(s) referred to:
Sarkar On Evidence Edisi 12 m.s. 365

Counsel:
Bagi pihak pendakwa raya – Ahmad bin Hj. Maarop; Timbalan Pendakwa Raya.
Bagi pihak tertuduh – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Tertuduh dituduh seperti berikut:
Bahawa kamu pada 29 Jun 1985 pada lebih kurang pukul 6.20 petang, di Lapangan Terbang Antarabangsa, Bayan Lepas, di dalam Daerah Balik Pulau, di dalam Negeri Pulau Pinang telah mengedar dadah berbahaya, iaitu 141.89 gram heroin dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Disemak 1980)dan boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama.
Mengikut pendakwaan, pada hari tersebut Konst. Ayob (PW2), Kpl. Norsham (PW6) dan P/Kpl. Zaleha (PW7) bertugas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB), Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada jam lebih kurang 6.20 petang seorang lelaki berkulit putih (tertuduh) tiba di tempat pemeriksaan. Dia membawa dua buah beg galas. Beg-begnya dimasukkan dalam mesin X-ray. Tiada apa-apa barang yang mencurigakan dilihat. Dia melalui ” walk through detector “. Juga tiada apa-apa dikesan. Selepas itu Konst. Ayob membuat pemeriksaan badan tertuduh. Dia menyuruh tertuduh mengangkat kedua-dua tangannya dan memeriksa tertuduh daripada ketiak ke bawah. Di bahagian hadapan, di bawah sedikit daripada pusat, Konst. Ayob terasa satu benda panjang melintang. Dia menyuruh tertuduh mengeluarkan benda itu. Tertuduh membuka tali pinggangnya dan menarik keluar suatu beg bertali pinggang dan meletaknya di atas meja. Apabila dibuka, di dalamnya terdapat 14 bungkusan kecil yang berbalut dengan kondom. Konst. Ayob membuka salah satu daripadanya dan mendapati di dalamnya serbuk putih yang disyaki sebagai dadah. Konst. Ayob memanggil Kpl. Norsham dan Kpl. Zaleha dan menunjukkannya kepada mereka. Kpl. Norsham menberitahu Konst. Ayob supaya menahan tertuduh sementara dia memanggil pegawai bertugas. Pegawai Bertugas, Ku Abdul Munir (PW15) datang. Setelah melihat benda itu dia mengarahkan Kpl. Norsham menahan lelaki itu. Kpl. Norsham mengambil paspot, ” boarding pass “, ” embarkation card ” dan baki tiket perjalanan tertuduh daripada tertuduh. Ku Abdul Munir pergi ke Dewan Berlepas. Selepas itu Ku Abdul Munir datang semula ke tempat pemeriksaan itu. Lepas itu Ku Abdul Munir pergi ke Balai Polis lapangan terbang itu, yang terletak di tingkat bawah. Di sana dia menghubungi Insp. Mohd. Noor (PW8), seorang pegawai Cawangan Anti-Dadah (CAD) lapangan terbang itu dengan telefon.
Kemudian Ku Abdul Munir bersama-sama Insp. Md. Noor tiba di tempat pemeriksaan tadi. Insp. Md. Noor memeriksa satu daripada 14 bungkusan itu, iaitu bungkusan yang telah dibuka oleh Konst. Ayob. Dia juga mendapati di dalamnya terdapat serbuk putih yang disyakinya dadah. Kesemua bungkusan-bungkusan itu dimasukkan semula ke dalam beg bertali pinggang itu. Mereka semua, termasuk tertuduh pergi ke Balai Polis lapangan terbang itu. Konst. Ayob membawa beg bertali pinggang yang berisi serbuk putih itu. Tertuduh dibawa ke bilik gerakan. Insp. Md. Noor memeriksa badan dan beg-beg tertuduh tetapi tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.
Encik Ng Hock Seng, ahli kimia (PW1) yang memeriksa dan menganalisa serbuk putih berkenaan mengesahkannya sebagai heroin seberat 141.89 gram.
Di akhir kes pendakwaan Encik Karpal Singh, peguam tertuduh menghujahkan bahawa pendakwaan telah tidak membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa serbuk putih berkenaan adalah heroin. Ini adalah kerana, dalam keterangannya, semasa disoal balas oleh beliau, Encik Ng berkata:
I had an assistant to assist me. His name was Mr. Lee Wee Kin. He was a senior laboratory assistant. He was experienced in the analysis.
Oleh sebab keterangan itu, peguam tertuduh menghujahkan bahawa Encik Lee adalah seorang pakar. Dia mestilah dipanggil sebagai saksi atau sekurang-kurangnya ditawarkan kepada pembelaan.
Saya berpendapat hujah ini tidak berasas. Pertama, terserahlah kepada pendakwaan siapa saksi yang hendak dipanggilnya dan yang hendak ditawarkan kepada pembelaan. Kedua, hakikat bahawa En. Ng ” dibantu ” oleh seorang pembantu makmal tidaklah bererti pembantu makmal itu juga mesti dipanggil sebagai saksi atau dikemukakan. Jika itulah kehendak undang-undang, maka perbicaraan akan menjadi amat panjang tanpa apa-apa sebab yang munasabah kerana setiap kali seorang ” pathologist ” memberi keterangan berkenaan pembedahan ke atas sesuatu mayat, pembantu-pembantunya perlu dipanggil dan setiap kali seorang pakar bedah memberi keterangan, jururawat-jururawat yang membantunya juga perlu dipanggil. Pada pandangan saya undang-undang tidak menghendaki demikian. Keempat, mungkin Encik Lee seorang yang berpengalaman, tetapi dia berpengalaman sebagai seorang pembantu makmal, dan bukan sebagai seorang ahli kimia, sama seperti seorang jururawat yang membantu seorang pakar bedah semasa pembedahan. Pengalamannya membantu pakar bedah dalam satu pembedahan tidak menjadikannya pakar bedah.
Soalnya ialah, adakah saya mempunyai keraguan yang munasabah terhadap pemeriksaan dan penganalisaan yang dilakukan oleh Encik Ng dan terhadap hasil pemeriksaan dan penganalisaannya itu? Saya telah meneliti keterangan Encik Ng. Saya tidak mempunyai sebarang keraguan.
Walau bagaimanapun, kemudiannya, iaitu selepas kedua-dua belah pihak selesai berhujah di akhir kes pendakwaan dan sebelum saya membuat keputusan sama ada hendak memanggil tertuduh membela diri atau tidak, Timbalan Pendakwa Raya memohon menawarkan Encik Lee kepada pembelaan. Saya meluluskan permohonan ini dan Encik Lee ditawarkan kepada pembelaan. Pembelaan tidak menghendakinya.
Walau bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa sama ada Encik Lee ditawarkan atau tidak, saya berpuas hati dengan keterangan Encik Ng dan bahawa pendakwaan, di peringkat itu, telah berjaya membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa serbuk putih itu adalah heroin seperti yang ditafsirkan oleh s.2 Akta Dadah Berbahaya 1952, dan seberat 141.89 gram.
Saya juga berpuashati, malah saya tidak mempunyai sebarang keraguan pun bahawa heroin itu dijumpai dalam beg bertali pinggang yang dipakai oleh tertuduh di bahagian dalam seluarnya. Keterangan saksi-saksi pendakwaan amat jelas. Dalam keadaan itu saya berpuashati bahawa tertuduh mempunyai jagaan dan kawalan (custody and control) beg bertali pinggang yang mengandungi heroin itu dan oleh itu anggapan (d) s.37 Akta Dadah Berbahaya 1952 berbangkit. Seterusnya, oleh sebab berat heroin itu melebihi 15 gram anggapan (da) di bawah seksyen yang sama juga berbangkit.
Rangkaian keterangan juga telah dibuktikan dengan teliti dan teratur dan saya tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa heroin yang dikemukakan di Mahkamah adalah heroin yang dijumpai daripada tertuduh dan diperiksa dan dianalisa oleh ahli kimia itu.
Kesimpulannya, saya berpuashati bahawa pendakwaan, di peringkat ini, telah berjaya membuktikan satu kes yang, jika tidak disangkal, membolehkan saya mensabitkan kesalahannya seperti pertuduhan. Saya memanggil tertuduh membela diri seperti pertuduhan.
Tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah. Mengikutnya, dia adalah bekas pelayan di sebuah bar. Walaubagaimanapun dia tidak bekerja lebih kurang sebulan sebelum dia datang ke Pulau Pinang dari Brisbane. Selepas tinggal di Pulau Pinang dia pergi ke Thailand. Tujuannya ialah untuk mencari perempuan. Dia singgah di Koh Samui selama tiga atau empat minggu. Lepas itu dia pergi ke Bangkok dan tinggal di sana selama lebih kurang tiga minggu. Di Bangkok dia menemui seorang penari di sebuah bar bernama Lung Noi. Semasa di Bangkok dia tinggal di sebuah rumah tumpangan bersama seorang wanita Switzerland yang ditemuinya di Pulau Pinang dan pergi bersama-samanya ke Bangkok. Mereka membawa Lung Noi ke rumah tumpangan mereka untuk hubungan seks.
Mengikutnya, Lung Noi memperkenalkannya kepada sejenis ubat untuk menguatkan tenaga batin (aphrodisiac) dalam bentuk debu putih yang dipanggil ” Bang Bang Powder ” oleh Lung Noi. Dia menggunakannya dan mendapatinya berkesan. Melalui Lung No dia membeli ” aphrodisiac ” itu dengan harga US$350. Dia membungkusnya dalam kondom. Dia mengatakan ” aphrodisiac ” itulah yang dijumpai dalam beg bertali pinggang yang dipakainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dikemukakan di Mahkamah.
Mengikutnya Lung Noi juga memberi nama-nama kawannya (Lung Noi) di Sydney dan dia (tertuduh) sepatutnya mencari mereka apabila dia sampai ke sana.
Tertuduh menerangkan bahawa dia menyimpan benda itu dalam beg bertali pinggang yang dipakainya di bahagian dalam pakaiannya kerana tidak pasti sama ada mengikut undang-undang Malaysia, menjadi satu kesalahan membawa ” aphrodisiac ” kerana dia malu jika ditemui dan terpaksa menerangkan apakah benda itu, kerana keselamatan dan juga kerana ” walaupun ia bukanlah amat berharga, ia tidak boleh digantikan “.
Mengikutnya lagi, ” aphrodisiac ” itu adalah untuk kegunaannya sendiri dan cukup untuk lebih kurang setahun.
Tertuduh memaklumkan Mahkamah bahawa pada 1 Julai 1985, iaitu tiga hari selepas dia ditangkap, Inspektor Annie Wong bertanya sama ada dia ingin membuat pernyataan beramaran. Dia menjawab:
No. Thank you, Madam.
Peguam tertuduh cuba mengemukakan satu afidavit yang diikrarkan oleh Graene John Sutherland, seorang ahli sains forensik dari New Zealand melalui tertuduh, di bawah seksyen 32(b) Akta Keterangan 1950. Cubaan ini dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya. Setelah mendengar keterangan tertuduh dan Encik Hugh Le (DW3), seorang pegawai dari pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia dan mendengar hujah kedua-dua belah pihak, saya menolak cubaan mengemukakan afidavit itu. Eloklah persoalan ini dibincangkan terlebih dahulu.
Mula-mula, eloklah diperturunkan keterangan yang berkenaan terlebih dahulu. Tertuduh memberitahu Mahkamah bahawa dia atau emaknya (bapanya telah meninggal dunia) tidak mampu membawa saksi itu ke Mahkamah. Kerajaan Australia juga tidak sanggup memberi bantuan kewangan untuk tujuan itu, kerana itu adalah bercanggah dengan dasar Kerajaan Australia. Hal terakhir ini disahkan oleh Encik Hugh Le.
Apa yang dilakukan ialah selepas kes pendakwaan ditutup, nota keterangan Encik Ng Hock Seng, ahli kimia (PW1) telah dihantar kepada Encik Sutherland. Encik Sutherland mengkaji keterangan itu dan mengikrarkan satu afidavit memberi ulasan dan pandangannya ke atas keterangan Encik Ng itu. Afidavit itulah yang hendak dimasukkan oleh peguam tertuduh.
Di sini eloklah diperturunkan keseluruhan s. 32(b) Akta Keterangan 1950itu:
32. Pernyataan, bertulis atau lisan, mengenai fakta relevan yang dibuat oleh seseorang yang telah mati atau yang tidak dapat dijumpai, atau yang telah menjadi tak daya memberi keterangan, atau yang kehadirannya tidak dapat diperolehi tanpa kelengahan atau perbelanjaan yang pada pendapat Mahkamah tidak berpatutan, menurut hal keadaan itu, adalah sendirinya fakta relevan dalam hal-hal berikut:
(b) apabila pernyataan itu telah dibuat oleh mana-mana orang itu dalam perjalanan biasa urusan dan khususnya apabila pernyataan itu terdiri dari sesuatu catatan atau memorandum yang telah dibuat olehnya dalam buku-buku yang disenggara dalam perjalanan biasa urusan atau pada menjalankan tugas profesional; atau dari akuan terima yang ditulis atau ditandatangani olehnya mengenai penerimaan wang, barang-barang sekuriti-sekuriti atau apa jua jenis harta; atau dari suatu dokumen yang digunakan di dalam perdagangan, yang ditulis atau ditandatangani olehnya, atau mengandungi tarikh bagi sesuatu surat atau dokumen lain yang biasanya ditarikh, ditulis atau ditandatangani olehnya;
Sebelum sesuatu pernyataan boleh diterima di bawah seksyen ini, syarat terdahulu (condition precedent) seksyen itu mestilah dipenuhi terlebih dahulu – lihat Sim Tiew Bee lwn. PP [1973] 1 LNS 138[1973] 2 MLJ 200 dan Ng Yiu Kwok & Yg. Ln-Ln lwn. PP [1989] 1 LNS 52[1989] 3 MLJ 166. Dalam kes ini syarat terdahulu yang berkenaan ialah ” kehadirannya tidak dapat diperolehi tanpa… perbelanjaan yang pada pendapat Mahkamah tidak berpatutan, mengikut hal keadaan itu… ”
Setelah meneliti keterangan yang dikemukakan oleh dan bagi pihak tertuduh, saya berpuashati bahawa syarat terdahulu itu telah dipenuhi.
Soal selanjutnya ialah sama ada pernyataan itu termasuk di bawah peruntukan oleh perenggan (b) s. 32itu.
Peguam tertuduh merujukkan saya kepada dua autoriti, iaitu, keputusan (ruling) yang dibuat oleh Dzaiddin H. dalam kes Public Prosecutor lwn. Cohen Lorrain Philips dan Public Prosecutor lwn. Cohen Aaron Shelton, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Perbicaraan Jenayah No. 58-9-85 dan 58-8-85 dan PP lwn. Forster Frank Edald Heinrick 1987 CLJ 872[1988] 2 MLJ 594.
Kedua-dua kes ini adalah relevan berkenaan syarat terdahulu yang perlu dipenuhi. Lebih daripada itu kes Forster Frank tidak relevan kerana dalam kes itu pernyataan berkenaan dikemukakan di bawah perenggan (c) s. 32itu. Sebaliknya kes Cohen adalah lebih relevan kerana dalam kes itu juga pernyataan berkenaan dikemukakan di bawah perenggan (b) seksyen itu.
Sepanjang yang saya tahu, autoriti utama negara kita dalam hal ini ialah penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Ng Yiu Kwok. Dalam kes yang tersebut terakhir ini, bil-bil hotel di Bangkok di mana tertuduh-tertuduh dalam kes itu tinggal semasa di sana sebelum datang ke Malaysia dan ditangkap telah diterima masuk di bawah s. 32(b) Akta Keterangan 1950. Hashim Yeop A. Sani, Hakim Besar (Malaya) antara lain, berkata dalam kes itu, di halaman 169:
In our view the learned Judge was correct in admitting those documents. Such documents are receivable as an exception based on the principle of necessity. Because the entries were made in the course of business there is a presumption that they had been done with disinterested motive and can therefore be taken to be generally true. See also Sarkar on Evidence (12th Edn.), p. 365.
Patut juga diambil perhatian bahawa dalam kes Cohen, pernyataan yang diterima masuk ialah pernyataan doktor-doktor yang pernah terlibat di masa lalu dalam memberi rawatan kepada tertuduh dalam kes itu.
Meneliti peruntukan perenggan (b) s. 32itu dan kes-kes Ng Yiu Kwok dan Cohen serta ulasan yang diberi dalam Sarkar on Evidence, Edisi Ketigabelas, adalah nyata kepada saya bahawa pernyataan yang dimaksudkan oleh perenggan (b) itu ialah kenyataan semasa yang telah dibuat dalam perjalanan biasa urusan atau pada menjalankan tugas profesional seseorang. Perhatikan keseluruhan perenggan (b) s. 32itu dan misalan-misalan yang diberi.
Pernyataan, tegasnya afidavit yang hendak dikemukakan dalam kes ini bukanlah daripada jenis yang dimaksudkan oleh perenggan (b) itu. Apa yang sebenarnya hendak dimasukkan dalam kes ini ialah keterangan seseorang saksi pakar tanpa kehadirannya, dan semata-mata berdasarkan keterangan seorang saksi pakar lain (PW1) dalam Mahkamah yang dihantar kepadanya dengan tujuan untuk mendapat ulasan dan pandangannya. Dalam penghakiman saya afidavit ” pakar ” itu bukanlah satu pernyataan yang termasuk di bawah peruntukkan perenggan (b) s. 32 Akta Keterangan 1950.
Atas alasan ini saya menolak kemasukan afidavit berkenaan.
Sekarang tibalah masanya bagi saya memberi alasan-alasan saya mengapa saya menolak pembelaan tertuduh.
Perlu disebut di sini bahawa beban membuktikan tertuduh bersalah terletak di atas pendakwaan. Dalam konteks kes ini, tertuduh berhak dibebaskan jika terdapat keraguan yang munasabah sama ada dia mempunyai jagaan dan kawalan ke atas beg bertali pinggang yang berisi dadah heroin itu atau jika tertuduh berjaya menyangkal anggapan-anggapan (d) atau (da) s. 37 Akta Dadah Berbahaya 1952yang berbangkit itu, atas imbangan kemungkinan.
Tertuduh tidak menafikan, bahkan mengakui bahawa dia membawa serbuk putih itu dalam beg bertali pinggang yang dipakainya di bahagian dalam pakaiannya. Oleh itu tidak ada keraguan bahawa dia mempunyai jagaan dan kawalan beg bertali pinggang yang berisi serbuk putih itu.
Juga tidak dinafikan bahawa serbuk putih itu adalah heroin dan beratnya adalah sebanyak 141.89 gram. Apa yang dinafikan ialah pengetahuannya bahawa serbuk putih itu adalah heroin. Mengikutnya, dia menyangka serbuk putih itu adalah ” aphrodisiac “. Apa yang perlu saya timbangkan ialah sama ada ceritanya bahawa dia tidak tahu serbuk putih itu heroin berkemungkinan. Tidak mengapa kalau cerita itu tidak benar pun. Jika cerita itu cuma berkemungkinan pun sudah memadai untuk dia dibebaskan dan dilepaskan.
Adalah munasabah bagi tertuduh, seorang bujang yang masih muda, untuk pergi ke Thailand untuk mencari perempuan. Dalam keadaan dunia hari ini, mungkin juga tertuduh dan rakannya, wanita Switzerland itu, membawa penari Thai itu balik ke rumah tumpangan mereka untuk tujuan seks. Mungkin juga tertuduh menggunakan ” aphrodisiac ” seperti yang diceritakannya itu. Tetapi adalah tidak munasabah dan tidak berkemungkinan mengapa Lung Noi harus membelikan heroin jika dia menyuruh membeli ” aphrodisiac “. Tiada sebab mengapa Lung Noi harus berbuat demikian. Dikatakan bahawa Lung Noi memberitahunya dia (Lung Noi) ada kawan-kawan di Sydney dan tertuduh patut mencari mereka di sana. Keterangan ini boleh diterima dan saya terima, berdasarkan kes Subramaniam lwn. PP [1955] 1 LNS 100[1956] MLJ 220 setakat untuk membuktikan pernyataan itu dibuat, bukan untuk membuktikan kebenarannya. Anihnya Mahkamah tidak diberitahu nama dan alamat mereka. Jika hal ini benar, sepatutnya tertuduh ada mengambil nama dan alamat mereka daripada Lung Noi. Sepatutnya butir-butir itu ada bersamanya semasa ditangkap. Tertuduh tidak langsung menyebut dia ada mencatit nama dan alamat mereka di mana-mana. Dia tidak mengemukakan catitan itu, jika ada, atau mengatakan polis merampas catitan itu daripadanya, jika itu berlaku. Dia tidak juga menyebut bahawa dia ingat nama dan alamat mereka.
Juga adalah anih tertuduh tidak menyebut mengapa dia harus mencari mereka. Apa kaitan mereka dengan heroin yang dibawanya? Dia tidak menerangkan. Tidak pula disyorkan bahawa dia dikehendaki memberi serbuk yang disangkakannya ” aphrodisiac ” itu kepada mereka atau dia dikehendaki membawa serbuk itu bersamanya apabila dia pergi mencari mereka, jika hendak disyorkan bahawa heroin itu adalah untuk mereka dan mereka akan merampasnya daripada tertuduh apabila tertuduh pergi menemui mereka. Sebaliknya tertuduh mengatakan serbuk putih yang disangkanya ” aphrodisiac ” itu adalah untuk kegunaannya sendiri. Dalam keadaan itu tidak semestinya dia akan membawanya semasa dia pergi mencari rakan-rakan Lung Noi itu, jika benar dia disuruh berbuat demikian.
Adalah juga tidak munasabah bahawa tertuduh, seorang bujang yang masih muda memerlukan ” aphrodisiac ” sebegitu banyak, terutama mendengar dan melihat keterangan dan demonstrasinya semasa memberi keterangan tentang betapa sedikitnya serbuk itu digunakan setiap kali. Dia sendiri mengaku dia boleh melakukan hubungan seks tanpa bantuan ” aphrodisiac “.
Pembelaan mengemukakan apa yang dirujuk oleh peguam tertuduh sebagai ” pernyataan beramaran ” tertuduh yang dibuat kepada Inspektor Annie Wong pada 1 Julai 1985. Sebenarnya tertuduh tidak membuat pernyataan beramaran. Apa yang berlaku ialah, apabila ditanya sama ada dia ingin membuat pernyataan, selepas amaran diberi, dia menjawab ” No. Thank you, Maam. ” Ertinya dia tidak mahu membuat pernyataan beramaran. Disoal mengapa dia tidak mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan bahawa dia sangkakan serbuk putih itu ” aphrodisiac “, dia menjawab bahawa dia tidak percaya kepada polis dan dia akan mempunyai peluang untuk menjelaskan hal yang sebenar kepada Mahkamah. Juga katanya, adalah memalukan baginya menceritakan hal itu kepada seorang pegawai wanita.
Biar apa pun sebabnya, hakikatnya ialah dia tidak menceritakan kepada Inspektor Annie Wong apabila dia mempunyai kesempatan berbuat demikian yang sedikit sebanyak boleh menolong membantu pembelaannya. Dia juga tidak menyebut dalam keterangan utamanya bahawa dia ada memberitahu sesiapa bahawa dia menyangka serbuk putih itu adalah ” aphrodisiac “. Tetapi, semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, sambil mengakui bahawa peluang untuk membuat penjelasan kepada Inspektor Annie Wong adalah peluang yang awal, dia menambah bahawa itu bukan satu-satunya peluang baginya. Katanya ada peluang lain dan dia ada menjelaskan perkara itu kepada pegawai lain.
Dalam penghakiman saya, tambahan ini adalah suatu yang difikirkan kemudian (afterthought). Jika benar mengapa dia tidak menyebut dalam keterangan utamanya? Tidak pula disebut kepada siapa dia berbuat demikian. Katakanlah benar dia ada memberi penjelasan (walaupun dalam penghakiman saya tidak), tidak pula diketahui apa pangkat pegawai itu, Inspektor atau lebih rendah, dan juga tidak ada keterangan amaran diberi dan dia faham dan dia memberi pernyataan itu dengan sukarela. Jadi kalau ada pun pernyataan dibuat (dalam penghakiman saya tidak) ia tidak boleh diterima kerana syarat-syarat di bawah s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952tidak dipenuhi, dan tertuduh, pada masa itu telah ditangkap.
Sebaliknya, tertuduh mengaku dia tahu bahawa mengedar dadah di Malaysia adalah satu kesalahan yang membawa hukuman mati. Ini adalah sebab yang lebih munasabah mengapa dia menyorok bahan itu sedemikian rupa.
Antara sebab-sebab yang diberi oleh tertuduh mengapa dia menyorok bahan itu sedemikian cara ialah kerana dia malu jika dijumpai dan terpaksa memberi penjelasan. Alasan yang sama juga diberi mengapa dia tidak membuat pernyataan kepada Inspektor Annie Wong. Adalah sukar dimengerti mengapa seorang yang, mengikut ceritanya sendiri, tidak malu bersama-sama seorang wanita Switzerland, membawa seorang wanita Thai untuk, tujuan seks begitu malu sekali untuk menjelaskan perkara itu kepada seorang pegawai polis, walaupun wanita, setelah dia ditangkap, apatah lagi dimana dia mengetahui jika dia didapati bersalah, dia boleh dihukum mati.
Memanglah tertuduh tidak cuba lari semasa ditahan dan dia mengeluarkan beg bertali pinggang itu apabila disuruh oleh Konst. Ayob (PW2). Tetapi di tempat dan dalam keadaan dia berada pada masa itu, apa pilihan yang dia ada? Di samping itu, perlu disebut, daripada pemerhatian saya sepanjang perbicaraan, daripada cara dia memberi keterangan dan menjawab soalan-soalan balas, tertuduh adalah seorang yang amat tenang dan cerdik.
Saya juga menimbang hujah peguam tertuduh bahawa jika tertuduh tahu bahan yang dibawanya itu heroin, tidak mungkin dari Thailand dia akan datang ke Malaysia, kemudian hendak meneruskan perjalanannya ke Singapura untuk ke Manila.
Saya juga timbang fakta ini, berserta keseluruhan kes pembelaan dan pendakwaan. Saya tidak dapati keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Saya juga dapati bahawa anggapan-anggapan yang telah berbangkit itu telah tidak disangkal. Saya dapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh seperti pertuduhan. Saya dapati tertuduh bersalah seperti pertuduhan dan mensabitkan kesalahannya seperti pertuduhan dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Read 116 times