TEOH YOOK HUWAH LWN. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & YANG LAIN

TEOH YOOK HUWAH LWN. MENTERI HAL EHWAL DALAM NEGERI, MALAYSIA & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-187-90
20 JULAI 1991
[1992] 1 CLJ Rep 643; [1992] 1 CLJ 81

TAHANAN PENCEGAHAN: Pemohon dalam tahanan – Dipukul oleh polis – Samada menjadikan penahanan pemohon tidak sah disisi undang-undang – Perbezaan dengan kes penahanan salah – Samada writ habeas corpus sesuai sebagai remedi untuk mencegah penahanan yang menjadi tidak sah – Samda laporan lambat diberi kepada Menteri Dalam Negeri – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, ss. 3(2)(c), 6(1).

UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Samada writ habeas corpus sesuai sebagai remedi untuk mencegah penahanan yang menjadi tidak sah – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, ss. 3(2)(c) & 6(1).

Pemohon telah ditangkap pada 13 September 1990 di bawah s. 3 Akta Dadah Berbahaya(Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta tersebut) dan pada 10 November 1990, ia dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di Pulau Jerejak di bawah s. 6(1) Akta tersebut.
Pemohon mendakwa bahawa semasa ia ditahan di Taiping, ia telah dipukul; dakwaan ini tidak disangkal oleh pihak responden. Pemohon memohon writ habeas corpus.
Yang menjadi isu ialah sama ada perkara pemohon didera dalam tahanan itu menjadikan tahanan itu tidak sah disisi undang-undang.
Diputuskan:
[1] Dari mula seorang itu ditangkap oleh polis hinggalah ia dikenakan perintah tahanan hendaklah semuanya mengikut kehendak undang-undang. Jika semua kehendak undang-undang itu dipatuhi, penahanan itu sah; sebaliknya, jika terdapat mana-mana kehendak undang-undang itu tidak dipatuhi, penahanan itu tidak sah. Jika semasa ia ditahan, haknya dicabul, ia berhak mengambil tindakan undang-undang kerananya. Jika satu kesalahan jenayah dilakukan oleh sesiapa terhadapnya, remedi jenayah adalah terbuka kepadanya. Tetapi writ habeas corpus bukan remedi yang sesuai. Ia sesuai hanya jika penahanannya itu tidak mematuhi undang-undang yang dibawahnya ia ditahan.
[2]Dalam kes ini, permohonan dibuat bukan atas alasan bahawa kehendak undang-undang yang dibawahnya pemohon ditahan tidak dipatuhi. Oleh itu, tahanan itu tidak boleh dikatakan tidak sah.
[3] Mengenai hujah pemohon bahawa terdapat kelambatan dalam melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan pemohon kepada Menteri Dalam Negeri, masa yang diambil untuk membuat laporan dalam kes ini (12 hari) tidak melanggar kehendak s. 3(2)(c) Akta tersebut.
[Nota Pengarang: Pemohon telah merayu kepada Mahkamah Agung melalui MARJ No. 5-95-91]

Case(s) referred to:
Middleweek lwn. Chief Constable of the Merceyside Police & Yg. Ln. [1990] 3 All ER 662 (dibezakan)
Weldon lwn. Home Office [1990] 3 All ER 672 (dibezakan)
Lau Lek Eng & 7 Yg. Ln. lwn. The Minister of Home Affairs, Singapura &. Yg. Ln. [1972] 1 LNS 60 [1972] 3 MLJ 4 (dipertimbangkan).
Loh Cheng Hye lwn. Menteri Dalam Negeri Malaysia & Yg. Ln. [1991] 3 CLJ (Rep) 180 (diikuti)

Legislation referred to:
Dangerous Drugs Act (Special Preventive Measures) 1985, ss. 3
, 3(2)(c), 6(1)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak responden – Jalaldin bin Hussein, Peguam Kanan Persekutuan

Case History:
Supreme Court : [1993] 1 CLJ 261

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditangkap pada 13 September 1990 di bawah s. 3 Akta Dadah Berbahaya(Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Pada 10 November 1990, Timbalan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan di bawah s. 6(1) Akta itu mengarahkannya ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerjak.
Di dalam afidavit kakak pemohon, dia mengatakan pemohon telah dipukul semasa berada dalam tahanan di Taiping. Pernyataan ini tidak disangkal dalam afidavit-afidavit yang difailkan bagi pihak responden.
Walaupun kakak pemohon itu tidak mengatakan dengan nyata bahawa adiknya dipukul oleh polis, inferens yang munasabah ialah dia dipukul oleh polis.
Saya terima itu sebagai fakta. Saya juga bersetuju bahawa dalam suatu perbicaraan yang keterangan hanya berdasarkan afidavit, sesuatu pernyataan yang tidak disangkal hendaklah diterima sebagai fakta.
Jadi, saya terima pernyataan bahawa pemohon dipukul oleh polis semasa tahanan polis.
Soalnya, adakah hakikat itu menjadikan penahanan pemohon tidak sah di sisi undang-undang?
Karpal Singh merujuk kepada dua keputusan Mahkamah Rayuan di England, iaitu kes Middleweek lwn. Chief Constable of the Merseyside Police & Yg. Ln. [1990] 3 All ER 662 dan Weldon lwn. Home Office [1990] 3 All ER 672. Dalam kes Middleweek, responden seorang peguam, ditangkap atas tuduhan mencuri dan ditahan dalam lokap. Dia mengambil tindakan sibil, antara lain, kerana penahanan salah (false imprisonment). Apa yang penting ialah dalam penghakiman Mahkamah Rayuan, Mahkamah itu mengatakan:
We agree with the views expressed by the Divisional Court that it must be possible to conceive of hypothetical cases in which the conditions of detention are so intolerable as to render the detention unlawful and thereby provide a remedy to the prisoner in damages for false imprisonment. A person lawfully detained in a prison cell would, in our judgment, cease to be so lawfully detained if the conditions in that cell were such as to be seriously prejudicial to his health if he continued to occupy it, for example, because it became and remained seriously flooded, or contained a fractured gas pipe allowing gas to escape into the cell. We do not therefore accept as an absolute proposition that, if detention is initially lawful, it can never become unlawful by reason of changes in the conditions of imprisonment.
Kes Weldon juga adalah kes sibil di mana plaintif mengambil tindakan sibil kerana penahanan salah. Keputusan Mahkamah adalah jelas daripada nota ringkas (headnote) kes itu:
Held – A prisoner detained in prison retained such residual liberty within the prison as was left to him under the provisions of the Prison Rules 1964 and that residual liberty would be protected by the availability of the tort of false imprisonment. Accordingly, a prisoner lawfully detained in prison was entitled to bring an action for false imprisonment against the prison authority in respect of acts committed by prison officers which amounted to confinement of the prisoner without lawful authority in a punishment cell or his detention in conditions which the prison officers knew to be intolerable and which deprived the prisoner of his residual liberty within the prison.
Perlu disebut di sini bahawa kes-kes itu bukan kes habeascorpus. Pada pandangan saya kes-kes itu bukanlah autoriti bahawa penahanan pencegahan yang dibuat menurut undang-undang berkenaan menjadi tidak sah dan orang tahanan itu hendaklah dibebaskan jika suatu perbuatan jenayah seperti dipukul, dilakukan ke atasnya.
Pada pandangan saya kes Lau Lek Eng & 7 Yg. Ln. lwn. The Minister of Home Affairs, Singapura &. Yg. Ln. [1972] 3 MLJ 4 adalah lebih relevan.
Dalam kes itu pemohon-pemohon memohon writ habeas corpus. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Singapura. Mereka menyatakan bahawa mereka ditahan dengan cara yang tidak sesuai (“in an improper manner”) kerana mereka diarahkan menyertai “kelas hobi” yang menghendaki mereka melakukan kerja-kerja kasar(“manual work”) selama lima jam sehari. Oleh sebab mereka ingkar mematuhi arahan itu mereka dihukum dengan dihadkan (“confined”) kepada “punishment cell” selama beberapa minggu dan dinafikan “hak-hak” seperti lawatan, surat khabar dan bahan-bahan bacaan. Berhubung dengan alsan bahawa mereka ditahan dengan cara yang tidak sesuai, Hakim Besar itu memutuskan:
The other grounds relied on by the applicants in support of their application for habeas corpus relate to the manner and conditions of their detention and not to the legality of their detention under the Act. In my judgment, on those grounds, habeas corpus is not an available remedy and I would dismiss the application with costs.
Karpal Singh menghujahkan bahawa kes itu adalah berbeza, kerana apa yang dilakukan terhadap orang tahanan dalam kes itu dilakukan semasa mereka ditahan di bawah satu perintah tahanan yang telahpun dikeluarkan, manakala dalam kes ini pemohon dipukul semasa dia masih berada di bawah tahanan polis sebelum perintah tahanan dibuat. Sementara saya mengakui perbezaan itu, saya berpendapat perbezaan itu bukanlah satu perbezaan yang penting. Kita sedia maklum bahawa writ habeas corpus telah dikeluarkan jika penahanan, tidak kira sebelum atau selepas perintah tahanan dibuat, itu bercanggah dengan undang-undang yang di bawah kuatkuasanya penahanan itu dibuat. Oleh itu saya tidak nampak mengapa kedua-dua tempoh itu patut diasingkan.
Dalam penghakiman saya, daripada mula seseorang itu ditangkap oleh polis hinggalah ke akhirnya penahanan itu hendaklah mengikuti undang-undang. Sama ada sesuatu penahanan itu sah atau tidak hendaklah dilihat daripada undang-undang yang di bawah kuatkuasanya penahanan itu dibuat. Jika semua kehendak undang-undang itu dipatuhi, tahanan itu adalah sah. Jika mana-mana kehendak undang-undang itu tidak dipatuhi, ianya tidak sah. Jika semasa dalam tahanan itu haknya dicabul, dia berhak mengambil tindakan undang-undang kerananya, seperti yang dilakukan dalam dua kes di England itu. Jika satu kesalahan jenayah dilakukan oleh sesiapa terhadapnya, remedi jenayah adalah terbuka baginya. Tetapi writ habeas corpus bukanlah remedi yang sesuai. Writ habeas corpus hanya sesuai jika penahanannya itu tanpa mematuhi undang-undang yang di bawahnya dia ditahan.
Dalam kes ini penahanan dibuat bukan atas alasan bahawa kehendak undang-undang yang di bawahnya pemohon ditahan, tidak dipatuhi. Oleh itu tahanan itu tidak boleh dikatakan tidak sah.
Satu hujah lagi telah dikemukakan, iaitu terdapat kelambatan dalam melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan pemohon kepada Menteri Dalam Negeri. Sayugia diingat, mengikut PPKPP 11 Osman bin Awal beliau menerima laporan itu daripada PP Mok Siew Hong pada 18 September 1990 dan melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri pada 25 September 1990, iaitu tujuh hari kemudian. Mengikut Karpal Singh ini adalah berlawanan dengan peruntukan s.3(2)(c) Akta berkenaan.
Di sini perlulah diambil perhatian bahawa perkataan “segera”(“forthwith”) tidak terdapat dalam naskah Bahasa Malaysia, naskah sahih. Walau bagaimanapun persoalan ini telahpun diputuskan oleh saudara saya Edgar Joseph Jr. H. dalam kes Loh Cheng Hye lwn. Menteri Dalam Negeri Malaysia & Yg. Ln. [1991] 3 CLJ (Rep) 180Dalam kes itu laporan kepada Menteri dibuat lapan hari selepas orang tahanan ditangkap. Hakim yang arif itu memutuskan bahawa asalkan laporan itu dibuat dalam masa 14 hari, peruntukan s.3(2)(c) itu tidaklah dilanggar.
Dalam kes ini laporan itu dibuat kepada Menteri 12 hari selepas pemohon ditangkap (dan 8 hari selepas pegawai berkenaan menerima laporan itu). Atas alasan-alasan yang sama dengan yang diberi oleh Edgar Joseph Jr. H. dalam kes Loh Cheng Hye itu saya juga berpendapat bahawa dalam kes ini pun tidak terdapat sebarang kelambatan atau pelanggaran peruntukan s. 3(2)(c) itu.
Atas alasan-alasan ini permohonan ini ditolak.

84 visits