PRITAM SINGH BAHADUR SINGH lwn. TRIPTIPAL SINGH & CO. & YANG LAIN

PRITAM SINGH BAHADUR SINGH lwn. TRIPTIPAL SINGH & CO. & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
USUL PEMULA NO. 25-22-91
24 JULAI 1991
[1991] 2 CLJ Rep 162; [1991] 3 CLJ 2103
UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Certiorari – Membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan – Mandamus – Keadilan asasi – Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

UNDANG-UNDANG BURUH: Pembuangan kerja – Award Mahkamah Perusahaan.

Pemohon telah dibuang kerja dan Mahkamah Perusahaan telah memutuskan bahawa pembuangan kerjanya adalah dengan sebab yang adil atau munasabah (Award No. 91/1991 – [1991] 1 ILR 300]). Pemohon sekarang mencabar keputusan Mahkamah tersebut dan memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan tersebut. Ia juga memohon perintah mandamus supaya Mahkamah mendengar dan memutuskan rujukan ke Mahkamah berhubung dengan pembuangan itu.
Diputuskan:
[1] Prinsip yang patut dipakai dalam menimbang permohonan plaintif ini ialah pemohon hendaklah menunjukkan secara prima facie bahawa permohonan itu bukan remeh, menyusahkan dan bahawa ada alasan-alasan yang menyokong permohonan itu. Berdasarkan alasan-alasan yang diberi dalam plaintif, pemohon tidak berjaya berbuat demikian.
[2] Perbezaan di antara kesilapan mengenai undang-undang di dalam bidang kuasa dan kesilapan mengenai undang-undang di luar bidang kuasa masih wujud. Alasan-alasan plaintif bukanlah alasan-alasan yang mematutkan kebenaran untuk meminta perintah certiorari kerana alasan-alasan itu mempersoalkan keputusan itu ” on merits “.
[3] Tidak terdapat sesuatu yang ” perverse, capricious dan tidak munasabah ” dalam keputusan Mahkamah Perusahaan dan oleh sebab itu, tidak ada asas yang menunjukkan Mahkamah Perusahaan telah melakukan kesilapan undang-undang di luar bidangkuasa.
[4] Adalah menjadi undang-undang asasi bahawa seorang itu tidak sepatutnya menjadi Hakim dalam suatu perkara yang dia ada kepentingan. Tetapi ini adalah satu prinsip umum yang tidak wajar dipakai dalam satu siasatan domestik.
[Nota pengarang: Pemohon telah merayu kepada Mahkamah Agung pada 17 Julai 1991 melalui M.A.R.S. No. 4-12-91.]

Case(s) referred to:
Association of Bank Officers, Peninsular Malaysia lwn. Malayan Commercial Banks Association [1990] 1 CLJ (Rep) 33 (diikuti)
South East Asia Fire Bricks Sdn. Bhd. lwn. Non Metallic Mineral Products Manufacturers Employees Union & Ors. [1975] 1 LNS 166[1980] 2 MLJ 165 diikuti
M/s Viking Askim Sdn. Bhd. lwn. National Union of Employees in Companies Manufacturing Rubber Products [1991] 3 CLJ (Rep) 195diikuti

Legislation referred to:
Industrial Relations Act 1967, s. 26(2)
Rules of the High Court 1980, O. 53
Counsel:
Bagi Pihak Pemohon – Mohideen Abdul Kader (Ganesh bersamanya), T/n. Mohideen & Asamaley

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon, melalui notis usul, memohon kebenaran untuk meminta suatu perintah certiorari untuk memindahkan ke Mahkamah ini dan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan dalam Award No. 91 tahun 1991 bertarikh 3 April 1991 yang menolak tuntutan pemohon dan memutuskan bahawa pembuangan (dismissal) pemohon adalah dengan sebab yang munasabah dan beralasan. Kebenaran juga dipohon untuk meminta suatu perintah mandamus mengarahkan Mahkamah itu mendengar dan memutuskan rujukan ke Mahkamah itu di bawah s. 26(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967berhubung dengan pembuangan itu. Perintah-perintah lain yang dipohon termasuk perintah supaya penentang pertama membekalkan kepada pemohon nota-nota keterangan, ekshibit dan dokumen-dokumen lain yang dirujukkan kepada siasatan domestik.
Alasan-alasan yang diberi untuk permohonan ini adalah seperti berikut:
(a) Keputusan itu adalah ” perverse, capricious ” dan tidak munasabah dan oleh kerana itu ultra vires;
(b) Kegagalan untuk mengambil perkara-perkara relevan ke dalam pertimbangan atau mengambil ke dalam pertimbangan perkara-perkara yang mana tidak sepatutnya diambilkira ke dalam akaun;
(c) Pengerusi telah bertindak atas bukan keterangan atau telah tiba ke suatu penamat atas keterangan yang mana tiada tribunal dapat dengan kemunasabahannya tiba;
(d) Ketidakadaan sebarang keterangan yang menyokong suatu penemuan (finding) bahawa surat layang yang berkepalakan Hotel Shangrilla wujud sama sekali, oleh kerana itu mengakibatkan kepada suatu kesilapan undang-undang dengan nyata atas rekod;
(e) Silap dalam undang-undang bila kepercayaan ditempatkan oleh Pengerusi/Mahkamah Perusahaan bahawa surat layang yang berkepalakan Hotel Shangrilla menjadi keterangan di siasatan-siasatan (inquiries) pada 3 dan 5 November 1987 dan menggunakannya untuk mengadili pembuangan pemohon, bilamana kenyataannya ia tidak boleh ditafsirkan sebagai keterangan sama sekali;
(f) Dengan alternatif, Pengerusi telah gagal untuk mempertimbangkan sama ada kejadian (incident) yang dikatakan itu mengambil tempat;
(g) Dengan alternatif, Pengerusi telah silap dalam undang-undang dan melebihi bidangkuasa dalam menerima keterangan RW 1 tanpa sebarang kekukuhan;
(h) Dengan alternatifnya, Pengerusi telah gagal untuk mempertimbangkan keterangan saksi-saksi pemohon.
Award yang dibuat oleh Mahkamah Perusahaan juga dikepilkan.
Saya telah dirujukkan kepada penghakiman Mahkamah Agung dalam kes Association of Bank Officers, Peninsular Malaysia lwn. Malayan Commercial Banks Association [1990] 1 CLJ (Rep) 33 33. Saya terima bahawa prinsip yang patut dipakai dalam menimbang permohonan ini adalah seperti yang disebut dalam kes itu, iaitu pemohon hendaklah menunjukkan secara prima facie bahawa permohonan ini bukan remeh dan menyusahkan dan ada terdapat bahan di dalam alasan-alasan menyokong permohonan itu.
Di samping itu kita tidak harus lupa juga bahawa di negara kita kes South East Asia Fire Bricks Sdn. Bhd. lwn. Non Metallic Mineral Products Manufacturers Employees Union & Ors. [1975] 1 LNS 166[1980] 2 MLJ 165 masih merupakan undang-undang yang sah – lihat M/s Viking Askim Sdn. Bhd. lwn. National Union of Employees in Companies Manufacturing Rubber Products [1991] 3 CLJ (Rep) 195 195. Oleh itu perbezaan di antara kesilapan mengenai undang-undang di dalam bidang kuasa dan kesilapan mengenai undang-undang di luar bidang kuasa masih wujud.
Melihat alasan-alasan permohonan ini, ternyata alasan-alasan (b), (c), (d), (e), (f), (g) dan (h) bukanlah alasan-alasan yang mematutkan kebenaran untuk meminta perintah certiorari diberi. Alasan-alasan itu mempersoalkan keputusan itu ” on merits “.
Alasan (a) juga sedikit sebanyak mempersoalkan keputusan itu ” on merits “. Di samping itu saya telah meneliti award Mahkamah itu yang ditulis dengan panjang lebar. Saya tidak dapati mana-mana bahagian yang boleh dikatakan ” perverse, capricious dan tidak munasabah. ” Saya juga tidak nampak apa-apa kesilapan yang boleh dikatakan kesilapan mengenai undang-undang di luar bidang kuasa.
Encik Mohideen menarik perhatian saya, walaupun alasan ini tidak disebut dalam kenyataan di bawah Aturan 53, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980, bahawa terdapat percanggahan terhadap peraturan keadilan asasi kerana siasatan (inquiry) telah dilakukan sendiri oleh penentang pertama. Mengikutnya siasatan itu sepatutnya dilakukuan oleh seorang lain yang berkecuali.
Perlu diambil perhatian di sini bahawa penentang pertama adalah seorang peguamcara dan peguambela dan pemohon adalah seorang pekerjanya yang ditugaskan menjaga ” holding company ” penentang pertama dan pesaka bapanya.
Saya akui, adalah menjadi satu prinsip undang-undang asasi bahawa seseorang itu tidak sepatutnya menjadi Hakim dalam satu perkara yang dia mempunyai kepentingan. Tetapi itu adalah satu prinsip umum yang pada pandangan saya, tidak wajar dipakai dalam satu siasatan domestik. Mengatakan sebaliknya bererti seseorang itu tidak boleh membuat ” siasatan ” untuk membuang pemandunya atau orang gajinya dan dia mestilah mendapatkan orang lain yang berkecuali untuk melakukan ” siasatan ” itu. Pada pandangan saya ini tidak munasabah dan bukanlah undang-undang.
Kesimpulannya, setelah meneliti alasan-alasan permohonan ini dan award berkenaan, saya dapati tidak ada asas yang membolehkan saya mengatakan bahawa Mahkamah itu telah melakukan satu kesilapan undang-undang di luar bidang kuasa. Saya juga berpuashati bahawa pemohon tidak berjaya menunjukkan secara prima facie bahawa permohonan ini bukan remeh dan menyusahkan dan ada terdapat bahan di dalam alasan-alasan menyokong permohonan itu yang mematutkan kebenaran yang dipohon itu diberi. Atas alasan-alasan yang sama juga saya menolak permohonan untuk mendapat kebenaran untuk meminta perintah mandamus. Permohonan ditolak.

77 visits