STEER POINT (M) lwn. ONG LEE KUI & YANG LAIN

STEER POINT (M) lwn. ONG LEE KUI & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
ABDUL HAMID MOHAMAD
GUAMAN SIVIL NO. 22-27-91
10 JUN 1991
[1991] 2 CLJ Rep 170; [1991] 3 CLJ 2106

PROSEDUR SIVIL: Injunksi sementara – Injunksi mandatori – Soalan serius untuk dibicarakan – Beban membuktikan atas imbangan kemungkinan – Imbangan kesesuaian – Akta Relif Spesifik 1950, s. 53.

Pada Julai 1990, defendan pertama, D1, mencadangkan kepada SSG supaya mereka, bersama NCK, berniaga telefon tangan di premis milik D1. Untuk tujuan itu, sebuah syarikat telah ditubuhkan (plaintif dalam kes ini) untuk menjadi wakil pengedar barang itu bagi syarikat Iseto Elektronik. Kedua-dua defendan memiliki 25% saham dalam syarikat, manakala 70% dimiliki oleh isteri SSG dan 5% oleh NCK. Premis D1 telah diubahsuai dan kedua-dua defendan telah diamanahkan oleh plaintif menguruskan perniagaan itu dengan dibayar gaji. Oleh sebab defendan tidak menjalankan perniagaan dengan betul dan beramanah, plaintif telah menggantung perkhidmatan mereka.
Seterusnya plaintif telah meminta defendan mengemukakan akaun, mengisytiharkan stok dan memulangkan barang plaintif, tetapi permintaan itu tidak dilayan oleh defendan. Pada 1 Februari 1991, defendan telah menutup premis. Pada 6 Februari 1991, plaintif memohon injunksi sementara menahan defendan daripada mengganggu plaintif menduduki premis, meneruskan perniagaan, dan mendedahkan maklumat sulit atau rahsia perniagaan plaintif. Plaintif juga meminta injunksi mandatori supaya defendan memulangkan kepada plaintif semua dokumen, buku, stok dan lain-lain harta syarikat. Setelah mendengar permohonan, ex parte itu, Mahkamah telah mengeluarkan perintah yang dipohon oleh plaintif. Pada 2 March 1991, defendan memohon injunksi itu diketepikan.
Yang menjadi isu ialah sama ada terdapat persoalan yang serius untuk dibicarakan. Defendan menghujah bahawa tidak terdapat kausa tindakan yang munasabah kerana kausa tindakan tidak berkenaan dengan relif injunksi yang dipohon, dan juga bahawa plaintif tidak memberi butiran dan keterangan yang berkaitan. Defendan juga menafikan bahawa mereka telah melawan perniagaan plaintif atau telah menyalahgunakan rahsia perniagaan plaintif.
Diputuskan:
[1] Plaintif mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengasaskan tuntutannya. Terdapat persoalan yang serius untuk dibicarakan. Pada peringkat ini, plaintif tidak perlu membuktikan kesnya atas imbangan kemungkinan.
[2] Mahkamah tidak perlu, di peringkat ini, memutuskan persoalan fakta yang boleh dan perlu diputuskan dalam perbicaraan.
[3] Dalam kes ini, gantirugi tidak memadai walaupun isu ini tidak dihujah oleh defendan. Mengenai imbangan kesesuaian, ia memihak kepada plaintif.
[4] Injunksi mandatori yang dipohon oleh plaintif adalah sesuai dengan penggantungan perkhidmatan defendan. Memandangkan alegasi penyalahgunaan wang oleh defendan, adalah adil dan munasabah benda-benda yang dituntut oleh plaintif itu dipulangkan kepada mereka untuk membolehkan plaintif mengetahui kedudukan yang sebenar dan mengelakkan kemungkinan dimusnah atau diganggu.
[Nota pengarang: Pihak defendan telah merayu kepada Mahkamah Agung pada 6 April 1991 melalui M.A.R.S. No. 02-168-91.]
Case(s) referred to:
Tinta Press Sdn. Bhd. lwn. Bank Islam Malaysia Bhd. [1987] CLJ (Rep) 396 (dirujuk)

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Ismadi b. Zainal Abidin; T/n. Mahinder Singh Dulku & Co.
Bagi pihak defendan – Tan Beng Hong; T/n. Ooi, Lee & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Melalui saman dalam kamar yang difailkan pada 6 Februari 1991, plaintif memohon injunksi sementara menahan defendan-defendan daripada:
(1) mengganggu plaintif daripada menduduki premis No. 1, Jalan Zainal Abidin, Pulau Pinang (premis berkenaan);
(2) menerima, mengambil pesanan daripada atau berurusan dengan orang ramai berkenaan barang-barang yang diniagakan oleh plaintif;
(3) mendedahkan maklumat sulit atau rahsia perniagaan plaintif;
Plaintif juga memohon injunksi mandatori supaya defendan-defendan diperintahkan memulangkan kepada plaintif semua dokumen, manual, buku stok dan lain-lain harta plaintif yang berada dalam simpanan defendan-defendan.
Permohonan ini disokong oleh afidavit pengarah yang juga setiausaha plaintif – lampiran 3.
Setelah mendengar permohonan itu secara ex parte saya memberi perintah yang dipohon – lampiran 6.
Pada 2 Mac 1991 defendan-defendan memfailkan permohonan supaya perintah itu diketepikan – lampiran 7. Setelah mendengar hujah kedua belah pihak saya menolak permohonan itu.
Soal pertama yang perlu diputuskan ialah sama ada terdapat persoalan yang serius untuk dibicarakan.
Untuk memahami apa yang sebenarnya dipertikaikan eloklah disebut secara ringkas latar belakang dan asas tuntutan plaintif.
Plaintif adalah sebuah syarikat yang diperbadankan. Defendan pertama dan kedua adalah suami isteri. Mereka menjalankan perniagaan yang dikenali sebagai Kui Electrical Service. Dalam bulan Julai 1990 defendan pertama mencadangkan kepada Encik Soon Song Gim, suami Puan Lim Gim Lee supaya mereka menjalankan perniagaan telefon tangan. Defendan pertama mempunyai pengalaman dalam perniagaan tersebut tetapi tidak mempunyai modal. Defendan pertama menawarkan premis berkenaan sebagai tempat menjalankan perniagaan itu. Kedua pihak, termasuk Encik Neoh Chee Kean bersetuju dengan cadangan itu. Defendan pertama, Encik Soon dan Encik Neoh, pergi menemui Iseto Elektronik Sdn. Bhd. pengedar utama telefon tangan Kokusai di Malaysia. Iseto Elektronik tidak berminat untuk memberi hak wakil pengedar kepada Kui Electrical (malah telah menolak permohonan Kui Electrical) tetapi bersetuju memberi hak wakil pengedar kepada sebuah syarikat berhad. Oleh itu mereka memperbadankan syarikat plaintif. Saham sebanyak 25% dikeluarkan kepada defendan-defendan sebagai balasan kepada defendan pertama memindahkan ” semua perniagaan perfileman video, servis alat elektrik dan sebagainya ” di bawah Kui Electrical, aset-asetnya dan sewaan premis berkenaan kepada plaintif. 70% saham plaintif dipegang oleh Puan Lim Gui Lee dan 5% dipegang oleh Encik Neoh.
Selepas itu, premis itu diubahsuai oleh plaintif dengan kos lebih kurang $45,000. Defendan-defendan diamanahkan menjalankan urusan perniagaan harian plaintif dengan dibayar gaji. Sewaan premis itu dibayar oleh plaintif.
Hanya beberapa bulan kemudian didapati defendan-defendan tidak menjalankan urusan perniagaan itu dengan betul seperti tidak memasuk wang yang dikutip daripada jualan ke akaun plaintif, menjual unit-unit telefon secara persendirian dan membuat keuntungan sulit dan menyalahgunakan wang plaintif.
Oleh sebab defendan-defendan tidak memberi penjelasan yang memuaskan lembaga pengarah plaintif telah menggantung perkhidmatan mereka.
Plaintif telah berkali-kali meminta defendan-defendan memberikan akaun-akaun, mengisytiharkan stok dan memulangkan semua peralatan barang-barang kepunyaan plaintif tetapi mereka gagal berbuat demikian. Pada 1 Februari 1991 mereka menutup premis tersebut pada pukul 11.00 pagi. Bukan itu sahaja. Mengikut gambar bertarikh bulan Januari 1991 (Ekshibit NCK 18 lampiran 12) pada tiang premis tersebut Kui Electrical Service telah diiklankan dengan besarnya.
Pendek kata atas sebab-sebab inilah plaintif memohon injunksi ini.
Berdasarkan fakta-fakta tersebut di atas saya berpuas hati bahawa plaintif mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengasaskan tuntutannya. Dalam perkataan lain saya berpuashati bahawa terdapat persoalan yang serius untuk dibicarakan. Saya tidak bersetuju dengan hujah peguam defendan-defendan bahawa tidak terdapat kausa tindakan yang munasabah dan bahawa kausa tindakan tidak berkenaan dengan relif injunksi yang dipohon. Peguam defendan-defendan juga menghujahkan bahawa permohonan plaintif tidak memberi butiran-butiran (particulars) dan tidak mengemukakan keterangan bagi mengatakan bahawa hak plaintif telah diganggu, bahawa defendan-defendan melawan perniagaan plaintif dan bahawa mereka ada membuat tempahan untuk faedah diri mereka sendirilah bahawa buku-buku akaun ada dalam milikan defendan-defendan. Beliau juga menghujahkan bahawa tidak terdapat keterangan bahawa rahsia perniagaan plaintif telah disalahgunakan. Untuk menjawab hujah-hujah ini, rasanya adalah memadai dengan saya mengatakan bahawa di peringkat ini plaintif tidak perlu membuktikan kesnya atas imbangan kemungkinan. Plaintif cuma perlu memuaskan Mahkamah bahawa terdapat persoalan yang serius untuk dibicarakan. Apa yang dinyatakan dalam afidavit menyokong permohonan ini (lampiran 3) adalah memadai untuk tujuan itu.
Rasanya di peringkat ini tidaklah perlu bagi saya memutuskan persoalan-persoalan fakta seperti boleh atau tidak premis itu diberi sewaan kecil. Semua ini cuma boleh dan perlu diputuskan dalam perbicaraan kelak.
Peguam defendan-defendan tidak menghujahkan bahawa dalam kes ini gantirugi adalah memadai. Saya telah menimbang hal ini. Saya berpuashati dalam keadaan kes ini gantirugi tidaklah memadai.
Demikian juga dengan imbangan kesesuaian. Dalam kes ini ia memihak kepada plaintif.
Berkenaan injunksi mandatori untuk memulangkan dokumen, buku, manual, stok dan lain-lain harta plaintif itu, prinsip yang patut dipakai dalam menimbang untuk memberinya atau tidak disebut dengan jelas oleh Mahkamah Agung dalam kes Tinta Press Sdn. Bhd. lwn. Bank Islam Malaysia Bhd. [1987] CLJ (Rep) 396 396 pada ms. 398:
The discretionary power of the court to grant a mandatory injunction is provided by s. 53 of the Specific Relief Act 1950 (Act 137). By judicial process, the power is extended to the granting of an interlocutory mandatory injunction before trial. Such discretion however must be exercised and an injunction granted only in exceptional and extremely rare cases as was held in Wah Loong (Jelapang) Tin Mines Sdn. Bhd. lwn. Chia Ngen Yiok and confirmed by the Federal Court in Sivaperuman lwn. Heah Seok Yeong Realty Sdn. Bhd. The case must be unusually strong and clear in that the court must feel assured that a similar injunction would probably be granted at the trial on the ground that it would be just and equitable that the plaintiff’s interest be protected by immediate issue of an injunction, otherwise irreparable injury and inconvenience would result. (See Gibb & Co. lwn. Malaysia Building Society Bhd. and Shepherd Homes Ltd. lwn. Sandham.
Tetapi perlu diingat bahawa dalam kes ini injunksi mandatori yang dipohon itu bukanlah daripada jenis yang akan memberikan relief sepenuhnya kepada plaintif. Plaintif cuma memohon supaya defendan memulangkan semua dokumen, manual, buku, stok dan lain-lain harta kepunyaan plaintif. Ini adalah sesuai dengan penggantungan perkhidmatan defendan-defendan oleh lembaga syarikat plaintif. Lagi pula memandangkan bahawa terdapat alegasi penyalahgunaan wang plaintif oleh defendan-defendan yang menjadi bahan tindakan sibil ini, adalah adil dan munasabah benda-benda itu dipulangkan kepada plaintif untuk membolehkan plaintif mengetahui kedudukan yang sebenar dan mengelak kemungkinan dimusnahkan atau diganggu (tampered with). Saya juga berpendapat besar kemungkinan injunksi mandatori ini akan diperolehi juga akhirnya. Oleh itu, dalam penghakiman saya, ini adalah satu kes yang ” exceptional ” di mana injunksi mandatori yang dipohon itu patut diberi.
Atas alasan-alasan ini saya berpendapat perintah-perintah injunksi yang saya berikan pada 11 Februari 1991 itu patut dikekalkan sehingga selesai perbicaraan tindakan ini.

77 visits