Oversea-Chinese Finance Co. Bhd. LWN. Polite Enterprise Sdn. Bhd. & YanG LaiN

Oversea-Chinese Finance Co. Bhd. LWN. Polite Enterprise Sdn. Bhd. & YanG LaiN
Mahkamah Tinggi MALAYA, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
GUAMAN SIVIL NO. 23-484-86
15 JUNE [1991]
1 CLJ Rep 737; [1991] 3 CLJ 2425 1991
PROSEDUR SIVIL: Penghakiman terus – Rayuan dari keputusan Penolong Kanan Pendaftar – Permohonan menggantung pelaksanaan perintah PKP – Budibicara Mahkamah.

Pada 11 November 1987 plaintif telah mendapat penghakiman terus dari Penolong Kanan Pendaftar (PKP) mengenai tuntutannya terhadap ketiga-tiga defendan. Defendan telah merayu terhadap penghakiman itu kepada Hakim-dalam-kamar. Pada 7 Mac 1990, rayuan itu ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.
Pada 9 Januari 1991 defendan kedua dan ketiga memohon penghakiman terus PKP itu digantung sementara menunggu rayuan mereka didengar dan diputuskan. Permohonan ini diluluskan oleh PKP pada 2 Februari 1991. Plaintif telah merayu terhadap keputusan itu.
Yang menjadi isu ialah sama ada perintah PKP itu wajar digantung sehingga rayuan defendan diputuskan oleh Hakim-dalam-kamar.
Diputuskan:
[1] Dalam memutuskan sama ada perintah penggantungan pelaksanaan patut diberi atau tidak, Mahkamah hendaklah menimbang permohonan itu mengikut prinsip yang relevan iaitu Mahkamah tidak akan menghalang pihak yang berjaya akan hasil penghakiman yang diperolehi sehingga sesuatu rayuan itu ditentukan kecuali jika pihak yang tidak berjaya boleh menunjukkan bahawa terdapat keadaan-keadaan tertentu untuk membuktikannya.
[2] Satu penghakiman terus tidak patut dianggap sebagai mempunyai nilai yang kurang. Tidak patut dibezakan antara penghakiman terus dengan penghakiman selepas perbicaraan sepenuhnya kerana kedua-duanya adalah penghakiman muktamad.
[3] Mengikut kaedah am, Mahkamah akan hanya memerintahkan penggantungan jika terdapat keadaan yang istimewa yang mana hal-hal keadaan tertentu boleh ditunjukkan dalam afidavit menyokong permohonan penggantungan itu. Alasan-alasan yang diberi dalam kes ini bukanlah termasuk dalam apa yang dimaksudkan dengan “keadaan tertentu”.
[Nota Pengarang: Pihak defendan telah merayu ke Mahkamah Agung pada 17 Jun 1991 melalui MARS No. 2-235-91]

Case(s) referred to:
Hong Leong Finance Bhd. V. Hon Hoi Weng & Ors. [1987] CLJ 656
Serangoon Garden Estate Ltd. V. Ang Keng [1953] 1 LNS 98
Syarikat Berpakat lwn. Lim Kai Kok [1983] 1 MLJ 406 (diikuti)

Counsel:
Bagi pihak perayu/plaintif – Ramanathan; T/n. Cheong Wai Meng & Van Buerle
Bagi pihak defendan/responden – Harjit Singh; T/n. Harjit Singh Sangay & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Dalam guaman ini, plaintif menuntut sejumlah wang sebanyak RM566,288.74 daripada defendan pertama di bawah perjanjian pajakan (lease agreement) bertarikh 30 Julai 1985 dan terhadap defendan kedua dan ketiga di bawah gerenti bertarikh yang sama.
Pada 11 November 1987, Penolong Kanan Pendaftar memberi penghakiman terus kepada plaintif terhadap ketiga-tiga defendan. Defendan-defendan merayu terhadap penghakiman itu kepada Hakim-dalam-kamar. Rayuan ini telah ditetapkan beberapa kali untuk didengar di hadapan saudara saya Wan Adnan H. Mengikut catitan terakhir bagi pendengaran rayuan itu, iaitu pada 7 Mac 1990, rayuan itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. Mengikut amalan Pejabat Pendaftaran Mahkamah ini (sebelum amalan ini diubah oleh saya) kes ini hanya akan diberi tarikh perbicaraan jika mana-mana pihak dalam prosiding itu memohon tarikh perbicaraan. Jadi hingga hari ini rayuan itu belum didengar.
Sementara itu, pada 9 Januari 1991 defendan kedua dan ketiga memohon supaya semua prosiding dan pelaksanaan berkaitan dengan perintah bertarikh 12 November 1987 (penghakiman terus) digantung sementara menunggu rayuan terhadap penghakiman itu didengar dan diputuskan. Permohonan ini diluluskan oleh Penolong Kanan Pendaftar pada 2 Februari 1991. Plaintif merayu terhadap keputusan itu. Dalam lain perkataan, apa yang saya dengar pada 15 Mei 1991 dan putuskan pada 17 Mei 1991 itu adalah rayuan terhadap perintah Penolong Kanan Pendaftar bertarikh 2 Februari 1991 bahawa semua prosiding dan pelaksanaan berkaitan dengan penghakiman terus bertarikh 12 November 1987 digantung sementara menunggu rayuan defendan kedua dan ketiga kepada Hakim-dalam-kamar.
Di hadapan saya, pertama sekali dihujahkan berkenaan prinsip yang patut dipakai dalam memutuskan permohonan ini. Dalam hal ini, nampaknya terdapat pendapat yang bercanggah. V.C. George H. dalam kes Hong Leong Finance Bhd. V. Hon Hoi Weng & Ors. [1987] CLJ 656, memutuskan bahawa jika permohonan untuk menggantung pelaksanaan itu berkenaan penghakiman terus, kemungkinan rayuan itu dibenarkan adalah memadai bagi Mahkamah menggunakan budibicaranya untuk memerintahkan penggantungan itu. Diperturunkan di sini apa yang dikatakan oleh beliau, di mukasurat 658:
In respect of applications for stay pending appeal, a distinction has to be drawn between a matter that was decided upon after full trial and enquiry and one summarily arrived at by a Senior Assistant Registrar. In the former case the general rule no doubt continues to be that special circumstances have to be shown (there could no doubt be exceptions to the general rule). But in the latter it seems to me that a demonstration that the probabilities are in favour of the appeal being allowed should normally be sufficient for the Court to exercise its discretion to order a stay pending appeal.
Pandangan ini tidak disetujui oleh Chan H. dalam kes Rising Credit Sdn. Bhd. v. Tan Hock Chan Guaman Sivil Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur No. C23-2698-86, tidak dilaporkan. Dalam keadaan yang sama Chan H. memutuskan:
With respect, I am unable to agree with my brother George J in Hong Leong Finance Bhd. V. Hon Hoi Weng & Ors. [1987] CLJ 656 (CSC 294 of 1983). The Court’s inherent jurisdiction to stay proceedings has to be exercised only on grounds which are relevant to a stay and does not extend to grounds which are probably matters of defence on law or relief in equity; see Trustees Ltd. v. Darwen [1969] 1 All ER 271; 17 Halsbury Laws of England, 4th Edn. para. 451.
Setelah menimbang kedua-dua pandangan ini, saya bersetuju dengan pandangan yang diberi oleh Chan H. Saya berpendapat, dalam memutuskan sama ada perintah penggantungan pelaksanaan patut diberi atau tidak, Mahkamah hendaklah menimbang permohonan itu mengikut prinsip yang relevan dengannya. Prinsip ini adalah seperti yang disebut oleh Hashim Yeop A. Sani H. (pada masa itu) dalam kes Syarikat Berpakat lwn. Lim Kai Kok [1983] 1 MLJ 406 pada muka surat 407:
The law on the granting of an order for stay of execution has been examined a number of times in the Courts of this country. It is trite law that the Court has an absolute and unfettered discretion to grant or refuse an application for stay. As a rule the Court will however only grant stay if there are special circumstances and which circumstances must be deposed in the affidavit supporting the application. The governing principle in all cases where the Court is asked to exercise its discretion is clearly expressed by Brown J in Serangoon Garden Estate Ltd. V. Ang Keng [1953] 1 LNS 98 and the principle is this: the Court will not deprive a successful party of the fruits of his litigation until an appeal is determined, unless the unsuccessful party can show special circumstances to justify it.
Saya tidak fikir untuk tujuan ini patut diadakan perbezaan di antara penghakiman terus dan penghakiman selepas perbicaraan sepenuhnya. Kedua-duanya adalah penghakiman muktamad. Kita sedia maklum bahawa penghakiman terus hanya diberi dalam kes-kes yang jelas, di mana tidak ada persoalan-persoalan yang patut dibicarakan. Ia tidak patut dianggap sebagai mempunyai nilai yang kurang. Setiap plaintif yang berjaya memuaskan Mahkamah bahawa pembelaan tidak membangkitkan apa-apa persoalan yang patut dibicarakan seharusnya boleh menikmati hasil penghakiman itu sama seperti seorang plaintif yang mendapat penghakiman selepas perbicaraan, melainkan jika terdapat keadaan-keadaan yang tertentu (special circumstances).
Saya telah meneliti afidavit yang diikrarkan oleh defendan kedua. Saya dapati alasan-alasan yang diberi itu bukanlah termasuk dalam apa yang dimaksudkan dengan “keadaan tertentu” itu – lihat Syarikat Berpakat (supra )its Serangoon Garden Estate Ltd. V. Ang Keng [1953] 1 LNS 98. Alasan-alasan yang diberi itu adalah lebih sesuai untuk rayuan terhadap penghakiman terus itu sendiri.
Rayuan ini diluluskan dengan kos dan perintah Penolong Kanan Pendaftar bertarikh 2 Februari 1991 diketepikan.

160 visits