Butterworth Used Cars Sdn. Bhd. LWN. Mayban Finance

Butterworth Used Cars Sdn. Bhd. LWN. Mayban Finance
Mahkamah Tinggi MALAYA, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
GUAMAN SIVIL 22-304-90
11 JUN 1991
[1991] 1 CLJ Rep 520; [1991] 3 CLJ 1721
KONTRAK: Sewa beli – Hak milik kenderaan – Takrif “pemilik” – Samaada penyewa boleh memberi hakmilik – Keterangan prima facie tentang hakmilik – Samaada defendan diestop mengambil balik kenderaan – Samaada penyewa adalah “pembeli” bagi maksud s. 30(2) Akta Jualan Barang 1957- Akta Sewa-Beli 1967 – Akta Pengangkutan Jalan 1987, s. 117(4).

Pada 19 September 1988 defendan menyewakan van kepada AHM. Pada 21 September 1989 plaintif telah mengeluarkan notis menamatkan penyewaan sewa-beli disebabkan kegagalan AHM menjelaskan bayaran sewa. Pada 28 Februari 1990 defendan mendapat penghakiman ingkar terhadap AHM sebanyak RM9,907.59.
Sementara itu, Navin Enterprise (NE) telah menyebabkan satu writ penyitaan dan penjualan dan penjualan dikenakan ke atas van itu. Van itu kemudian dijual pada 13 Mac 1990 kepada XS dalam satu lelong awam. Pada 17 Julai 1990 XS didaftarkan sebagai pemilik van itu. Pada 14 Ogos 1990 XS menjual van itu kepada plaintif. Pada 22 Ogos 1990 defendan mengambil alih van itu. Yang menjadi isu ialah siapakah yang berhak ke atas van itu.
Diputuskan:
[1] AHM, sebagai penyewa, tidak mempunyai hakmilik ke atas van tersebut yang boleh dipindahkan olehnya kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah dan seterusnya kepada XS dan plaintif.
[2] Berdasarkan catatan “hakmilik dituntut” oleh defendan dan perjanjian sewa-beli, AHM bukan pemilik van itu.
[3] Pengesahan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan bahawa Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah adalah “pemilik berdaftar” dan catatan dalam Buku Pendaftaran bahawa hakmilik van itu ditukarkan kepada XS hanya merupakan keterangan prima facie yang telah dipatahkan oleh keterangan lain oleh defendan dan peruntukan Akta Sewa-Beli.
[4] Seksyen 30(2) Akta Jualan Barang 1957 tidak boleh dipakai kerana AHM bukan “pembeli” bagi maksud Akta itu; ia hanya seorang penyewa.
[5] Walaupun defendan telah mendapat penghakiman ingkar terhadap AHM, ia tidak diestop daripada menarik balik van itu.
[Nota Pengarang: Pihak plaintif telah membuat rayuan ke Mahkamah Agung vide M.A.R.S. No. 02-180-191.]

Case(s) referred to:
Credit Corporation (M) Bhd. lwn. The Malaysian Industrial Finance Corporation & Anor. [1976] 1 MLJ 83 (diikuti)
Soon Teck Financee (M) Bhd. lwn. Public Finance Bhd. [1988] 3 MLJ 417 (dipertimbangkan)

Legislation referred to:
Road Transport Act 1987, s. 117(4)
Hire Purchase Act 1967, ss. 18(2),20
Sale of Goods Act 1957, s. 30(2)

Other source(s) referred to:
Whither Nemo Dat oleh R.R Sethu [1988] 3 MLJ lxi

Counsel:
Bagi pihak plaintif – N. Nakaretanam; T/n. Abdul Halim Said & Co.
Bagi pihak defendan – Ramanathan; T/n. Cheong Wai Meng & Van Buerle

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Atas persetujuan kedua belah pihak saya diminta memutuskan satu persoalan sahaja, iaitu siapakah pemunya (owner) van bernombor ABE 9759.
Fakta-fakta kes yang dipersetujui oleh kedua belah pihak bolehlah diringkaskan seperti berikut:
(1) Defendan adalah sebuah syarikat kewangan.
(2) Pada 19 September 1988 defendan adalah pemunya van tersebut.
(3) Melalui satu perjanjian sewa-beli bertarikh 19 September 1988 defendan menyewa van itu kepada Abdul Halim a/l Muhammad.
(4) Mengikut Buku Pendaftaran Abdul Halim adalah “pemilik berdaftar” van itu tetapi mengikut catitan bertarikh 12 September 1988 “hak bilik” dituntut oleh defendan.
(5) Oleh sebab kegagalan Abdul Halim menjelaskan ansuran-ansuran pada 21 September 1989 defendan mengeluarkan notis kepada Abdul Halim menamatkan perjanjian itu, meminta Abdul Halim menyerah balik van itu serta menjelaskan hutang yang terakru dalam masa tujuh hari, jika tidak tindakan sibil akan diambil.
(6) Tindakan sibil diambil dan pada 28 Februari 1990 defendan mendapat penghakiman ingkar terhadap Abdul Halim sebanyak RM9,907.59 faedah dan kos.
(7) Sementara itu Navin Enterprise yang telah memperolehi penghakiman terhadap Abdul Halim dalam Guaman Sibil Mahkamah Tinggi Pulau Pinang No. 1279/85 telah menyebabkan satu Writ Penyitaan dan Penjualan dikenakan ke atas van itu.
(8) Van itu telah dijual dalam satu pelelongan awam pada 13 Mac 1990 kepada Xavier Sandaraj a/l Samuraj.
(9) Pada 13 Julai 1990 Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan mengesahkan bahawa Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi, Pulau Pinang adalah “pemilik berdaftar” van itu.
(10) Pada 14 Julai 1990 “hak milik” ditukarkan kepada Xavier (pembeli di lelongan awam).
(11) Xavier menjualnya kepada plaintif pada 14 Ogos 1990.
(12) Pada 22 Ogos 1990 defendan mengambil alih van itu mengikut perjanjian sewa beli antaranya dengan Abdul Halim yang disebut dalam perenggan (3)
Peguam plaintif menghujahkan bahawa plaintif adalah pemunya van itu kerana pada 13 Julai 1990 Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan mengesahkan bahawa Penolong Kanan Pendaftar adalah pemilik berdaftar, Xavier membeli dalam lelongan awam dan plaintif membeli daripada Xavier. Beliau merujuk kepada seksyen 117(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan:
117.(1) Suatu perakuan pendaftaran hendaklah menjadi keterangan prima facie mengenai pendaftaran kenderaan motor yang disebut di dalamnya, dan mengenai butir-butir yang terdapat di dalam daftar itu berhubungan dengan kenderaan motor itu dan pemunya berdaftarnya.
Peguam defendan menghujahkan bahawa Abdul Halim hanyalah seorang penyewa dan bukan pemunya van itu. Oleh itu dia tidak boleh memberi hakmilik (title) van itu kepada Penolong Kanan Pendaftar dan seterusnya kepada Xavier dan plaintif.
Dalam hal ini, pertama sekali kedudukan Abdul Halim berkenaan van itu perlulah diputuskan.
Mengikut perjanjian sewa beli di antara defendan dengan Abdul Halim, defendan disebut sebagai “the owners” dan Abdul Halim sebagai “the hirer”. Mengikut fasal 1 Perjanjian itu “the owners will let and the hirer will take on hire” van itu. Fasal 13 memperuntukkan:
If the hirer (having meanwhile duly observed and performed all the terms and conditions of this agreement whether express or implied) shall pay to the owners all sums of moneny as are payable hereunder in full this agreement and the hiring hereby constituted shall determine and the hirer shall become the absolute owner of the said goods and the owners will assign and make over all the owner’s right title and interest in the said goods to the hirer but until such time the said goods shall remain the sole and absolute property of the owners. This Agreement shall not be construed to be a purchase or an agreement for the purchase of the said goods by the hirer.
Fasal 9 memberi hak kepada defendan untuk menamatkan perjanjian itu dan mengambil alih (menarik balik) van itu dalam keadaan-keadaan yang tersebut dalam fasal itu.
Seksyen 2 Akta Sewa Beli 1967 memberi takrif-takrif perkataan-perkataan “owner”, “hirer” dan “hire-purchase agreement” seperti berikut:
“hire-purchase agreement” includes a letting of goods with an option to purchase and an agreement for the purchase of goods by instalments (whether the agreement describes the instalments as rent or hire or otherwise), but does not include any agreement:
(a) whereby the property in the goods comprised therein passes at the time of the agreement or upon or at any time before delivery of the goods; or”
“hirer” means the person who takes or has taken goods from an owner under a hire purchase agreement and includes a person to whom the hirer’s rights or liabilities under the agreement have passed by assignment or by operation of law;
“owner” means a person who lets or has let goods to a hirer under a hire-purchase agreement and includes a person to whom the owner’s rights or liabilities under the agreement have passed by assignment or by operation of law;”
(Perhatian: tiada naskah Bahasa Malaysia di Mahkamah ini)
Saya telah juga dirujuk kepada kes Credit Corporation (M) Bhd. lwn. The Malaysia Industrial Finance Corporation & Anor. [1976] 1 MLJ 83 dan kes Soon Teck Finance (M) Bhd. lwn. Public Finance Bhd. [1988] 3 MLJ 417 yang nampaknya bertentangan dan juga kepada sebuah rencana bertajuk its oleh R.R. Sethu [1988] 3 MLJ lxi.
Dalam kes Credit Corporation Abdul Hamid H (pada masa itu) memutuskan:
Held:
[1] Upon the true construction of the plaintiff’s agreement which was of a type to which the Hire Purchase Act applied, until the hirer had exercised his option to purchase the car by paying the total rentals and fulfilling all his obligations under the agreement, no property in the car passed to the hirer;
[2] Even though the hirer was the registered owner of the car he was only in law the person who had possession and use of the car and this fact did not necessarily make him the legal owner of the car;
Sementara itu, dalam kes Soon Teck Finance, Mohamed Dzaiddin H memutuskan:
Held: Dismissing the plaintiff’s claim:
[1] On the face of all available documents, in particular the vehicle registration card, the defendant is prima facie the legal owner as he is the registered owner under the ‘ownership claimed’ of the vehicle bearing registration No PY 4598.
[2] Since the plaintiff is disputing the defendant’s title to the vehicle, the onus is on the plaintiff to show that the defendant had acquired the title of the vehicle illegally or without proper inquiry or that he was not a purchaser in good faith.
[3] The plaintiff had failed to adduce any evidence to show that he has a better title to the vehicle. The defendant company was a purchaser in good faith of the vehicle without notice of any defect in the seller’s title. The defendant had also made adequate inquiries in the ordinary course of business to determine that the vehicle was free from any defect as to its title.
Malangnya kes Credit Corporation telah tidak dirujukkan kepada Mohamed Dzaiddin H semasa beliau mendengar kes Soon Teck Finance.
Memandangkan kepada peruntukan-peruntukan dalam perjanjian sewa-beli di antara defendan dengan Abdul Halim dalam kes ini yang juga dibuat di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan menyerupai perjanjian dalam kes Credit Corporation, memandangkan kepada takrif-takrif “owner”, “hirer” dan “hire-purchase agreement” dalam Akta itu, saya berpendapat bahawa Abdul Halim tidak mempunyai hakmilik ke atas van tersebut yang boleh dipindahkan olehnya kepada Penolong Kanan Pendaftar dan seterusnya kepada Xavier dan plaintif. Hakikat bahawa nama Abdul Halim didaftarkan sebagai “pemilik berdaftar” tidak menjadikannya pemunya kerana dalam buku pendaftaran yang sama terdapat catitan “hak milik” dituntut oleh defendan dan juga kerana adanya perjanjian sewa-beli di antaranya dengan defendan yang jelas mengatakan dia hanya seorang “hirer” dan kerana adanya peruntukan fasal 13 dalam perjanjian itu yang saya perturunkan di atas.
Demikian juga pada pendapat saya pengesahan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan bahawa Penolong Kanan Pendaftar adalah “pemilik berdaftar” dan catitan dalam buku pendaftaran bahawa hakmilik itu ditukarkan kepada Xavier hanya keterangan prima facie yang telah dipatahkan oleh keterangan lain iaitu perjanjian sewa beli antara defendan dengan Abdul Halim dan peruntukan-peruntukan Akta berkenaan.
Peguam plaintif juga merujuk kepada peruntukan s. 30(2) Sale of Goods Act 1957(Revised 1989). Tanpa membincang dengan panjang lebar, adalah jelas peruntukan s. 30(2)itu tidak boleh dipakai dalam kes ini kerana Abdul Halim bukanlah pembeli van itu tetapi cuma penyewa.
Satu alasan lagi yang dikemukakan oleh Peguam plaintif ialah, oleh sebab defendan telah pun mendapat penghakiman dalam guaman sibil terhadap Abdul Halim, defendan adalah tertahan (estopped) daripada mengambil alih (menarik balik) van itu mengikut perjanjian dan Akta berkenaan.
Dalam hal ini peruntukan s. 18(2) dan s. 20 Akta Sewa Beli 1967 adalah berkenaan:
18. (2) Where the owner takes possession of any goods comprised in a hire-purchase agreement the owner is not entitled to recover any sum (whether under a judgment or order or otherwise) which if added together with:
(a) the value of the goods at the time of the owner so taking possession thereof; and
(b) the amount paid or provided, whether by cash or other consideration, by or on behalf of the hirer under the agreement,
exceeds the net amount payable in respect of the goods.
20. In any legal proceedings in relation to a hire-purchase agreement, after the owner has taken possession of the goods, the court before which the proceedings are brought may vary or discharge any judgment or order of any court against the hirer for the recovery of money so far as is necessary to give effect to s. 18.
Kepada saya, peruntukan-peruntukan ini memang menjangka kedua-dua tindakan diambil bersama oleh pemunya (owner). Sebab itu ia mengatakan bahawa pemilik tidak boleh memperolehi lebih daripada amaun yang kena dibayar oleh penyewa mengikut perjanjian, dan sebab itu jugalah Mahkamah mempunyai kuasa untuk meminda penghakiman untuk tujuan itu. Peguam defendan mengatakan beliau akan memohon meminda penghakiman yang diperolehi itu kemudian, jika bersesuaian.
Kesimpulannya, bagi menjawab persoalan yang dikemukakan kepada saya, saya memutuskan bahawa defendan adalah pemunya van berkenaan. Saya perintahkan injunksi yang saya berikan pada 1 September 1990 (pada lampiran 5, 24-609-90) diketepikan dengan kos. Gantirugi akan ditaksirkan oleh Penolong Kanan Pendaftar.

279 visits