Boon Kee Holdings Sdn. Bhd. & Yang Lain LWN. Hotel Gallant Bhd. & Yang Lain

Mahkamah Tinggi malaya, Pulau Pinang
SAMAN PEMULA NO. 24-988-89
[1991] 1 CLJ Rep 516; [1991] 3 CLJ 2082
PROSEDUR SIVIL: penyalahgunaan proses Mahkamah – Tidak teratur – Menyalahi undang-undang – Bidangkuasa dan budibicara Mahkamah.

UNDANG-UNDANG SYARIKAT: Perjanjian jual beli syer – Samada kemungkinan tindakan yang tidak teratur atau tidak sah – Tindakan defendan menolak pendaftaran – Padahal ini berasaskan peruntukan Peraturan-peraturan Syarikat – Alasan asing – Permohonan di bawah s. 162 Akta Syarikat – Bidangkuasa Mahkamah – Aturan 88 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Plaintif pertama adalah pemegang syer berdaftar sebanyak 910,000 syer biasa RM1 dalam syarikat defendan pertama.
Pada 11 September 1989 plaintiff pertama menjual 910,000 syer itu kepada plaintif kedua dan pada 18 Oktober 1989 plaintif pertama dan kedua menulis surat kepada defendan pertama memohon supaya syer-syer itu didaftarkan atas nama plaintif kedua.
Defendan kedua hingga ketujuh menolak pendaftaran itu atas alasan iaitu plaintif pertama masih berhutang kepada defendan pertama.
Juga dinyatakan oleh defendan-defendan bahawa pembelian syer itu oleh plaintif kedua adalah “questionable and not bona fide” dan “null and void”. Juga dinyatakan bahawa pengarah-pengarah plaintif pertama adalah juga pengarah defendan pertama dan sebagai pengarah mereka telah “siphoned” sejumlah wang defendan pertama tanpa persetujuan lembaga defendan pertama.
Defendan ketiga dalam afidavitnya menyatakan bahawa syer-syer itu dikeluarkan (issued) kepada defendan pertama itu tidak dibayar sepenuhnya.
Peguam-peguam plaintif menghujahkan bahawa penolakan pendaftaran itu adalah tidak sah kerana tiada resolusi diluluskan oleh lembaga pengarah defendan pertama untuk menolak pendaftaran itu dan juga kerana alasan yang diberi oleh pengarah-pengarah majoriti defendan pertama melalui surat bertarikh 10 November 1989 itu bukanlah alasan yang sah.
Diputuskan:
[1] Walaupun alasan-alasan yang diberi oleh pihak defendan tidak berasaskan peruntukan perkara-perkara persatuan (articles of association), terdapat beberapa faktor yang menimbulkan kemungkinan adanya tindakan yang tidak teratur, malah mungkin, menyalahi undang-undang dalam pembelian syer-syer. Ternampak tindak-tanduk Soon Boon Kee (pengarah defendan pertama) yang tidak teratur atau menyalahi undang-undang dalam mendapatkan syer-syer itu untuk syarikat keluarganya dan semua itu dilakukan semasa beliau menjadi pengarah urusan defendan pertama yang kemungkinan ianya didapati dengan cara yang tidak sah. Selain daripada itu ternampak pula kemungkinan “penjualan” syer-syer itu kepada plaintif kedua adalah satu perkara yang tidak jujur untuk tujuan tertentu.
[2] Oleh demikian, ini bukanlah satu kes yang sesuai untuk Mahkamah membuat perintah terus di bawah s. 162 Akta Syarikat 1965.

Case(s) referred to:
Ho Shee Jan v. Stephens Properties Sdn. Bhd. [1986] 2 MLJ 42 (dirujuk)
In re Hackney Pavilion Ltd. [1923] 1 Ch 276 (dirujuk)
In the matter of Lorrain Esme Osman and in the matter of an Application for a Writ of Habeas Corpus Ad Subjiciendum [1991] 4 CLJ (Rep) 1242 (diikuti)
Moodie v. W. & J. Shepherd (Bookbinders) Ltd. [1949] 2 All ER 1044 (dirujuk)

Legislation referred to:
Companies Act 1965, ss. 67(1),162
Rules of the High Court 1980, O. 88

Other source(s) referred to:
Halsbury’s Laws of England , Fourth Edn., Vol. 7(1)

Counsel:
Bagi pihak plaintif – Foong Kai Choong; T/n. Stella Soo Geok Choo & Co.
Bagi pihak defendan – Tan Beng Hoong; T/n. Ooi Lee & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Plaintif-plaintif, antara lain, memohon supaya defendan pertama diperintahkan mendaftarkan pemindahan 910,000 syer-syer syarikat plaintif pertama yang mengikut plaintif kedua dibelinya dengan harga RM2,000 daripada plaintif pertama. Permohonan ini dibuat di bawah s. 162 Akta Syarikat 1965dan Aturan 88 Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980. Ini adalah satu acara terus yang semestinya sesuai bagi kes-kes yang jelas terutama sekali yang tidak terdapat pertelingkahan fakta:
If by reason of its complexity or on the ground that there are matters requiring investigation or otherwise the court thinks that the case could more satisfactorily be dealt with by an action, it will decline to make an order on a motion (dalam kes ini Saman) without prejudice to the right of the applicant to constitute an action for rectification. Halsbury’s Laws of England, Fourth Edition, Vol. 7(1), perenggan 373.
Selepas permohonan ini didengar dalam kamar, saya meluluskan permohonan ini. Kemudian atas permohonan defendan, saya mendengar hujah selanjutnya di Mahkamah terbuka. Keputusan ini adalah keputusan saya selepas mendengar hujah selanjutnya itu.
Soon Song Gim, salah seorang pengarah plaintif pertama, antara lain, menyatakan dalam afidavitnya (lampiran 3) bahawa plaintif pertama adalah pemegang syer berdaftar sebanyak 910,000 ordinary shares of RM1.00 dalam syarikat defendan pertama. Pada 11 September 1989 plaintif pertama menjual 910,000 syer-syer itu kepada plaintif kedua. Pada 18 Oktober 1989 plaintif pertama dan kedua menulis kepada defendan pertama memohon supaya syer-syer itu didaftarkan atas nama plaintif kedua. Pada 10 November 1989 plaintif pertama menerima sepucuk surat yang ditandatangani oleh defendan kedua hingga ketujuh, sebagai pengarah-pengarah defendan pertama yang majoriti, menolak pendaftaran itu. Perlu diambil perhatian di sini bahawa alasan penolakan pendaftaran itu yang disebut dalam surat itu ialah:
Our refusal to register the said transfer is to safeguard the interests of the company as there is a substantial outstanding debt owing by you to our company.
Dalam afidavit jawapan bagi pihak defendan-defendan pertama, kedua, kelima, keenam dan ketujuh, pengarah eksekutif defendan pertama, antara lain, menyatakan bahawa pembelian syer-syer itu oleh plaintif kedua adalah “questionable and not bona fide” dan “null and void”. Juga dinyatakan bahawa pengarah-pengarah plaintif pertama mempunyai hubungan kekeluargaan, iaitu bapa dan anak; bahawa dua daripada pengarah-pengarah plaintif pertama adalah juga pengarah defendan pertama dan sebagai pengarah mereka telah “siphoned” sejumlah wang defendan pertama tanpa persetujuan lembaga pengarah defendan pertama, dan satu laporan polis telah dibuat berkenaannya.
Pengarah urusan defendan pertama itu juga menyatakan dalam afidavitnya dan disokong dengan ekshibit-ekshibit bahawa di antara tahun 1981-1985 Soon Boon Koe (pengarah defendan pertama pada masa berkenaan) telah membuat beberapa bayaran daripada wang defendan pertama kepada plaintif pertama (yang mana dia juga menjadi pengarah) tanpa pengetahuan atau kelulusan lembaga pengarah defendan pertama.
Semua ini dinafikan oleh Soon Song Gim, seorang pengarah plaintif pertama dalam afidavitnya – lampiran 18 yang dijawab pula oleh pengarah urusan defendan pertama dalam afidavit tambahannya – lampiran 19.
Selain daripada afidavit-afidavit yang disebut dua afidavit lagi telah difailkan, satu oleh plaintif kedua dan satu oleh defendan ketiga. Dalam afidavit defendan ketiga itu, juga menyatakan bahawa syer-syer yang dikeluarkan (issued) kepada defendan pertama itu tidak dibayar sepenuhnya.
Peguam plaintif-plaintif menghujahkan bahawa penolakan pendaftaran itu adalah tak sah kerana, pertama, tiada resolusi diluluskan oleh lembaga pengarah defendan pertama untuk menolak pendaftaran itu, dan kedua, alasan yang diberi oleh pengarah-pengarah terbanyak defendan pertama dalam surat bertarikh 10 November 1989 itu bukanlah alasan yang sah.
Berkenaan dengan hujah pertama memang tidak boleh dinafikan bahawa pengarah-pengarah defendan pertama tidak mengadakan mesyuarat lembaga pengarah seperti yang diperuntukkan oleh Article (Perkara) 94 Articles of Association (Perkara-perkara Persatuan) defendan pertama atau membuat resolusi bertulis seperti yang diperuntukkan oleh Article (Perkara) 100 bagi menolak permohonan plaintif-plaintif itu. Sebaliknya enam daripada lapan orang pengarah telah menandatangani surat penolakan itu. Dua orang pengarah yang tidak menandatangani surat itu adalah Soon Boon Kee dan Soon Seong Moh yang juga adalah pengarah plaintif pertama.
Undang-undang adalah jelas bahawa:
…directors can exercise their right to decline registration only by passing a resolution to that effect – Lord Reid, dalam kes Moodie v. W. & J. Shepherd (Bookbinders) Ltd. [1949] 2 All ER 1044 at 1054. Lihat juga In re Hackney Pavilion Ltd. [1923] 1 Ch 276 dan Ho Shee Jan v. Stephens Properties Sdn. Bhd. [1986] 2 MLJ 42. Berkenaan hujah kedua, eloklah diingat bahawa Article (Perkara) 30 Articles of Association (Perkara-perkara Persatuan) defendan pertama memperuntukkan:
The directors may decline to register the transfer of a share (not being a fully paid share) on which the company has a lien.
Perkara ini adalah jelas bahawa pengarah-pengarah itu tidak boleh menolak pendaftaran syer-syer yang telah dibayar sepenuhnya. Bagi syer-syer yang tidak dibayar sepenuhnya pun, ia cuma boleh ditolak jika syarikat itu mempunyai “lien” ke atasnya. Daripada surat bertarikh 10 November 1989, adalah nyata bahawa alasan penolakan pendaftaran itu bukanlah alasan yang terdapat dalam Article 30 itu. Alasan yang diberi ialah kerana plaintif pertama masih banyak berhutang kepada defendan pertama, satu alasan yang asing langsung.
Saya akui, jika saya cuma memberi perhatian kepada alasan-alasan yang dihujahkan oleh Peguam plaintif-plaintif saya sepatutnya memberi perintah yang dipohon.
Tetapi dalam kes ini terdapat beberapa faktor yang menimbulkan kemungkinan adanya tindakan yang tidak teratur, malah mungkin, menyalahi undang-undang dalam pembelian syer-syer itu daripada defendan pertama oleh plaintif pertama. Faktor-faktor itu ialah:
(1) kedudukan Soon Boon Kee dan Soon Seong Moh sebagai pengarah dalam syarikat plaintif pertama dan defendan pertama;
(2) hakikat bahawa mereka dan ahli-ahli keluarga mereka adalah pemegang-pemegang syer dalam syarikat plaintif pertama;
(3) kedudukan Soon Boon Kee sebagai pengarah urusan defendan pertama bagi tempoh syer-syer itu dikeluarkan kepada plaintif pertama;
(4) pemberian pinjaman kepada Soon Boon Kee dan plaintif pertama (syarikat keluarganya) oleh defendan pertama untuk membeli syer-syer defendan pertama yang dibangkitkan oleh juruodit dalam laporan bertarikh 26 September 1988 (ms. 52, Ekshibit F, lampiran 15), sebagai melanggar peruntukan Fasal 3(1) Articles of Association (Perkara-perkara Persatuan) syarikat itu dan s. 67(1) Akta Syarikat 1965;
(5) pinjaman kepada Soon Boon Kee yang voucher bayarannya diluluskan sendiri olehnya atau tidak diluluskan oleh sesiapa – semua ini dipersoalkan oleh juruodit itu.
Berkenaan penjualan syer-syer itu kepada plaintif kedua pula, harga jualan sebanyak RM2,000 bagi 971,000 syer RM1.00 tiap-tiap satu, pada zahirnya nampak tidak munasabah.
Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, ternampak tindak-tanduk Soon Boon Kee yang mungkin tidak teratur atau menyalahi undang-undang dalam mendapatkan syer-syer itu untuk syarikat keluarganya dan semua itu dilakukan semasa beliau menjadi pengarah urusan defendan pertama yang memungkinkan ianya didapati dengan cara yang tak sah. Selain daripada itu ternampak pula kemungkinan “penjualan” syer-syer itu kepada plaintif kedua adalah satu perkara yang tidak jujur untuk tujuan tertentu.
Dalam keadaan ini saya tidak fikir Mahkamah patut meluluskan permohonan terus ini. Saya fikir Mahkamah hendaklah peka kepada kemungkinan penyalahgunaan proses Mahkamah dan Mahkamah tidak patut membantu mana-mana pihak, tanpa penyiasatan yang teliti, mencapai kehendaknya di mana ada kemungkinan sesuatu yang tidak teratur atau menyalahi undang-undang telah dilakukan. Dalam hal ini saya memetik penghakiman Privy Council dalam kes In the matter of Lorrain Esme Osman and in the matter of an Application for a Writ of Habeas Corpus Ad Subjiciendum [1991] 4 CLJ (Rep) 1242 di mana Lord Justice Mann berkata, pada ms.1251:
That this court has an inherent jurisdiction to prevent an abuse of its own process is not in dispute.
Kesimpulannya saya berpendapat bahawa ini bukanlah satu kes yang sesuai untuk Mahkamah membuat perintah terus di bawah s. 162 Akta Syarikat 1965. Permohonan ini ditolak dengan kos.

74 visits