PENDAKWA RAYA lwn. MOHD. RASHID RAHMUDIN & YANG LAIN
PENDAKWA RAYA lwn. MOHD. RASHID RAHMUDIN & YANG LAIN
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KANGAR
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERBICARAAN JENAYAH NO. 58-03-86
8 APRIL 1991
[1991] 2 CLJ Rep 116; [1991] 2 CLJ 1335
KETERANGAN: Kegagalan memanggil saksi penting – Sama ada inferen yang menentang – Pernyataan baramaran – Sukarela – Ugutan – Makanan dan minuman – Prosedur – Rakaman – Sama ada tertuduh memahami maksud amaran – Keterangan baru – Makna ” arah ” dan ” minta ” – Akta Keterangan 1950, s. 114(g).
UNDANG-UNDANG JENAYAH: Pengedaran dadah berbahaya – Butir-butir tuduhan – Tafsiran – ” Trafficking ” – Beg yang mengandungi dadah – Kawalan – Pengetahuan – Akta Dadah Berbahaya 1952, s. 39B(1)(a).
T1 dan T2 telah dituduh dengan mengedar dadah cannabis dibawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta tersebut). T1 dan T2 telah ditangkap dengan I dan M tetapi perbicaraan ini hanya melibatkan T1 dan T2. Pada awal perbicaraan, peguam T1dan T2 telah membangkitkan beberapa soalan:
(1) pembantahan pertuduhan kerana butir-butir berkenaan tuduhan tersebut tidak diberi secukupnya kerana pertuduhan tidak menyebut dengan jelasnya apakah perbuatan tertuduh yang dikatakan ” trafficking ” itu memandangkan bahawa tafsiran ” trafficking ” itu begitu luas;
(2) pembelaan mencabar penerimaan pernyataan beramaran yang dibuat oleh T2 atas alasan
(a) bahawa pernyataan itu tidak dibuat dengan sukarela kerana T2 telah ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh Kpl. NL dan EPW3 – Kpl. NL (ketua pasukan serang hendap) tidak dipanggil oleh pendakwaan sebagai saksi;
(b) bahawa T2 telah diugut oleh Insp. H apabila mereka menaiki van dalam perjalanan ke Kangar;
(c) semasa memberi pernyataan, T2 tidak berada dalam ” right frame of mind ” kerana tidak diberi makanan dan minuman dari masa ia ditangkap sehingga pernyataan dirakam, iaitu lebih kurang 6 jam;
(d) semasa pernyataan tersebut dirakamkan oleh S, EPW3 juga berada dalam bilik itu;
(e) T2 tidak memahami maksud amaran walaupun S telah menerangkannya kepada T2.
(f) T2 hanya menandatangani pernyataan tersebut apabila S mengarahkannya berbuat demikian;
(g) bahawa bahagian-bahagian pernyataan itu diada-adakan oleh S.
Tanpa mengambil kira pernyataan beramaran T2 tidak terdapat bukti yang mencukupi yang membolehkan Mahkamah memanggil T2 membela diri.
Selepas perbicaraan dalam perbicaraan, Mahkamah telah menerima pernyataan tersebut sebagai keterangan.
Pada akhir kes pendakwaan, peguam T2 meminta Mahkamah menimbang semula penerimaan pernyataan beramaran itu sebagai keterangan.
T2 telah memberi keterangan bersumpah. Diakhir kes pembelaan, peguam T2 sekali lagi meminta Mahkamah mengkaji semula keputusannya menerima pernyataan beramaran kerana terdapat keterangan baru, iaitu keterangan T1 dimana T1 berkata bahawa dia nampak anggota polis menumbuk T di bilik gerakan dan bahawa H telah mengugut T2 apabila di dalam van.
T2 mengakui bahawa beg yang mengandungi ganja itu adalah begnya dan dialah yang membawa beg itu dari Kuala Lumpur ke Pulau Panjang, tetapi dia berkata bahawa dalam perjalanan balik, dia tidak menyentuh beg itu dan dia tidak tahu bahawa ada ganja dalam beg itu. Pada masa tahanan, beg tersebut dibawa oleh T1.
T1 dan T juga berkata bahawa mereka berlari kerana mereka dengar suara M berteriak ” lari “.
Diputuskan:
[1] Setelah meneliti peruntukan ss. 152 hingga 154 Kanun Acara Jenayah (Acara tersebut), pertuduhan seperti yang dikemukakan adalah mematuhi kehendak undang-undang kerana adalah ” reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged ” (s. 153 Acara tersebut) dan dalam pertuduhan dibawah s. 39B Akta tersebut, tidak ada lebih banyak butir-butir daripada yang diberi dalam pertuduhan yang perlu diberi.
[2] Kegagalan pendakwaan memanggil Kpl. NL bukanlah sesuatu yang disengajakan atau kerana kecuaian pendakwaan; pihak pendakwaan telah melakukan segala usaha yang berpatutan yang boleh dilakukan untuk mengesannya. Oleh itu, kegagalan memanggil Kpl. NL tidak menjejaskan kes pendakwaan atau mematutkan inferens yang menentang dibawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950dibangkitkan terhadap pendakwaan.
[3] Setelah menimbang semua keterangan saksi-saksi pendakwaan yang berkata bahawa mereka tidak nampak Kpl. NL memukul T2 dan bahawa keadaan T2 adalah ” normal ” dan tidak ada tanda bahawa kekerasan telah dilakukan keatasnya, tidak ada apa-apa kekerasan yang telah dilakukan oleh mana-mana anggota polis seperti yang dikatakan oleh T2.
[4] Berdasarkan penafian H yang dia telah mengugut T2 dan semua keterangan yang berkenaan, tidak ada ugutan seperti yang dikatakan oleh T2.
[5] Walaupun pendakwaan tidak mengemukakan keterangan sama ada T2 diberi makanan dan minuman dalam tempoh 6 jam itu, memandangkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, terutama sekali pegawai perakam S yang berkata bahawa T berada dalam keadaan baik dan bahawa T2 tidak atau tidak berpuashati, alasan tersebut tidak berasas.
[6] Mahkamah mempercayai keterangan S, EPW3 dan H bahawa EPW3 berada dalam bilik apabila pernyataan beramaran itu dirakamkan.
[7] Mahkamah tidak merasa was-was langsung bahawa T2 boleh dan memahami amaran itu walaupun jika hanya dibacakan kepadanya kerana dalam pernyataan itu sendiri terdapat catitan tentang hal itu yang menunjukkan bahawa T faham amaran itu. Juga, S telah memberi keterangan bahawa T2 faham amaran itu.
[8] Keterlanjuran menggunakan perkataan ” arah ” dengan ” minta ” bukanlah satu perkara yang patut dibesar-besarkan.
[9] Setelah meneliti keterangan yang dikemukakan selepas perbicaraan-dalam-perbicaraan, tidak ada apa-apa keterangan tambahan yang mematutkan Mahkamah menimbang semula keputusannya mengenai penerimaan pernyataan beramaran itu.
[10] Setelah meneliti isi kandungan pernyataan beramaran itu, Mahkamah berpuashati bahawa walaupun mungkin tidak kesemuanya betul, tetapi bahagian-bahagian penting yang melibatkan diri T2 sendiri boleh dipercayai; tidak mungkin bahawa seseorang itu akan membuat pernyataan melibatkan dirinya jika dia tidak terlibat, walaupun dia lebih mungkin melibatkan orang lain.
[11] Walaupun pada masa tahanan beg tersebut tidak dibawa oleh T2, berdasarkan pernyataan beramaran, beg itu berada dalam kawalan T2 bersamanya dengan T1 dan T2 memiliki dan mengetahui akan ganja itu. Kelakuan T2 merengangkan dirinya dari beg tersebut walaupun dipunyai olenya merupakan tidak munasabah.
[12] T1 hanya memberi keterangan bahawa dia nampak anggota polis memukul T2 tetapi T1 tidak menyebut siapa dan berapa orang, tidak menyebut dengan apa dan dibahagian mana T2 dipukul. Oleh kerana T1 berada dalam bilik yang sama dengan T2, sudah tentu T1 boleh bercerita dengan lebih jelas jika pukulan itu benar berlaku.
[13] T1 memberi beberapa versi mengenai allegasi ugutan terhadap T2 – keterangan baru ini tidak sedikit pun menggugatkan keyakinan Mahkamah bahawa tidak ada apa-apa ugutan yang dibuat oleh H kepada T2 yang mendorongkannya memberi pernyataan itu.
[14] Alasan tentang M berteriak ” lari ” cuma timbul dalam keterangan T1 dan T2 buat pertama kalinya dan PW2 dan PW3 tidak menyebut hal itu dan tidak disoal berkenaannya; dalam pernyataan beramaran T2 hal ini juga tidak disebut. Adalah jelas bahawa T2 lari kerana dia tahu kandungan beg itu.
[15] Bahagian-bahagian pernyataan amaran yang membabitkan diri T adalah benar, sebab selain daripada keyakinan Mahkamah bahawa ia diberi dengan sukarela oleh T2, isi kandungan pernyataan itu adalah amat terperinci dan tidak mungkin boleh diada-adakan atau ditokok tambah oleh S.
[16] Dalam kes ini, selain daripada pengakuan T2, terdapat juga sokongan daripada kelakuan T2 sendiri yang menjauhkan dirinya daripada begnya dalam perjalanan pulang dan lari apabila T1 ditahan oleh polis.
[Nota Pengarang: T2 telah merayu kepada Mahkamah Agung pada 10 Februari 1991 Vide Rayuan Jenayah No. 5-23-91]
Case(s) referred to:
Dato’ Mokhtar bin Hashim v. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 721
R. v. Watson [1980] 2 All ER 293
Legislation referred to:
Criminal Procedure Code, s. 152- 154
Evidence Act 1950, s. 114 illus.(g)
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 39B(1)(a), (2)
Counsel:
Bagi pihak Pendakwa Raya – Abdul Karim bin A. Jalil Timbalan Pendakwa Raya
Bagi pihak OKT 1- Rajadevan, (Gunaseelan dan Abdul Malik bin Mohd. Noor bersamanya)
Bagi pihak OKT 2 – Manjit Singh; T/n. Manjit Singh & Co.
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Mohamad Rashid bin Rahmudin (OKT 1) dan Azahar bin Sulaiman (OKT 2) dituduh seperti berikut:
Bahawa kamu bersama-sama, pada 31 Januari 1985 pada jam lebih kurang 11.30 pagi di Jalan Kampung Puju, Kuala Perlis, di dalam Daerah Kangar, di dalam Negeri Perlis, didalam memajukan niat bersama kamu semua, telah mengedar dadah berbahaya, iaitu 409.1gram cannabis, dan oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan dibawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952(semakan 1980) dan boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama, dibaca bersama dengan s. 34 Kanun Keseksaan.
Supaya fakta kes ini mudah diikuti, eloklah disebut bahawa empat orang lelaki Melayu, iaitu OKT 1, OKT 2, Ibrahim dan Mokhtaruddin telah ditangkap. Perbicaraan ini hanya melihatkan OKT 1 dan OKT 2 yang dituduh bersama. Di akhir kes pendakwaan, saya memanggil OKT 1 dan OKT 2 membela diri. Di akhir kes pembelaan saya melepas dan membebaskan OKT 1. Tetapi, saya dapati OKT 2 bersalah, mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman mati. OKT 2 merayu. Alasan penghakiman ini adalah berkenaan sabitan OKT 2.
Secara ringkas keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan ialah, pada 31 Januari 1985, lebih kurang pukul 10.35 pagi satu pasukan seramai enam orang anggota-anggota Unit Pencegah Penyeludupan (U.P.P.) pergi ke pelantar bot tambang di Kuala Perlis untuk membuat serang hendap. Ketua pasukan itu ialah Kpl. Nai Lam. Mereka berpecah kepada tiga kumpulan. Lebih kurang pukul 11.30 pagi sebuah bot tambang tiba di pelantar itu. Penumpang-penumpang naik termasuk empat orang yang ditangkap. Di antara mereka OKT 2, Ibrahim dan Mokhtarudin naik dahulu, manakala OKT 1 adalah orang yang naik terakhir sekali. Dia (OKT 1) menggalas sebuah beg galas berwarna merah hati. Setelah keempat-empat mereka berada di atas pelantar, Kpl. Nai Lam menghampiri mereka dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis. Selepas itu ke empat-empat mereka lari. OKT 1 yang membawa beg galas itu telah mencampakkan beg itu di tepi jalan berhampiran dengan pelantar itu. Anggota-anggota polis itu mengejar dan menangkap ke empat-empat mereka.
Mereka dibawa semula ke pelantar itu. Di hadapan mereka, Kpl. Nai Lam membuka zip beg yang dicampak oleh OKT 1 tadi dan didapati, antara lain, berisi daun-daun kering disyaki ganja. Mereka kesemua dibawa ke Pejabat U.P.P. Kuala Perlis. Dari situ, mereka kemudiannya dibawa balik ke Pejabat Cawangan Anti Dadah (CAD), di Kangar.
Di sini rasanya eloklah dibincangkan persoalan-persoalan undang-undang yang dibangkitkan terlebih dahulu.
Di awal perbicaraan, peguam OKT 1, disokong oleh peguam OKT 2, membantah pertuduhan atas alasan butir-butir berkenaannya tidak diberi secukupnya. Mengikut mereka pertuduhan hendaklah menyebut dengan jelas apakah perbuatan tertuduh yang dikatakan ” trafficking ” itu memandangkan bahawa tafsiran ” trafficking ” itu begitu luas. Mereka mengaku mereka tidak dapat mengemukakan autoriti-autoriti yang tepat dalam hal ini.
Setelah meneliti peruntukan ss. 152- 154 Kanun Acara Jenayah, saya berpendapat bahawa pertuduhan seperti yang dikemukakan adalah mematuhi kehendak undang-undang. Pertuduhan itu pada pandangan saya adalah ” reasonably sufficient to give the accused notice of the matter with which he is charged ” – s. 153. Saya juga tidak fikir dalam pertuduhan di bawah s. 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, lebih banyak butir-butir daripada yang diberi dalam pertuduhan ini, perlu diberi. Sebagai bandingan dalam kes bunuh pun adalah memadai jika pertuduhan itu menyebut bahawa tertuduh ” committed murder by causing the death of ” (lihat Jadual Kedua, BorangXXVII(II)2, Kanun Acara Jenayah) tanpa menyebut di bawah ” limb ” mana pertuduhan itu dibuat.
Oleh itu bantahan itu ditolak.
Dalam perbicaraan ini pendakwaan cuba memasukkan pernyataan beramaran OKT 2. Ini dibantah oleh peguamnya. Perbicaraan – dalam – perbicaraan dijalankan. Di akhirnya saya memutuskan bahawa pernyataan itu boleh diterima dan menerimanya sebagai keterangan. Rasanya perkara ini pun eloklah dibincangkan terlebih dahulu.
Seperti yang telah disebut lebih awal, setelah ditangkap ke empat-empat lelaki itu dibawa ke Pejabat U.P.P. di Kuala Perlis. Mereka ditempatkan berasingan, setiap orang di satu penjuru bilik itu. Dari situ mereka dibawa balik ke Pejabat C.A.D. Kangar dengan sebuah van oleh Inspektor Hassan, Pegawai Penyiasat kes ini. Pada jam lebih kurang 4.45 petang Inspektor Hassan meminta Inspektor Setapa merakamkan pernyataan beramaran OKT 2. Ini dilakukan oleh Inspektor Setapa di dalam bilik P.P.P. Yap. Rakaman berakhir pada lebih kurang pukul 6.30 petang hari itu juga.
Cabaran terhadap kemasukan pernyataan beramaran itu dibuat atas alasan pernyataan itu dibuat bukan dengan sukarela. Beberapa alasan diberi. Eloklah dibincangkan satu persatu.
Pertama, dikatakan bahawa OKT 2 telah ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh Kpl. Nai Lam kerana dia tidak mahu mengaku ganja di dalam beg itu kepunyaannya. Ini dikatakan berlaku di Pejabat U.P.P. di Kuala Perlis. Kemudian, apabila P.P.P. Shamsuri (EPW 2) tiba di pejabat itu dia dikatakan menjolok perut OKT 2 dengan kayu mop. Pada tengah hari dikatakan P.P.P. Yap (EPW 3) pula tiba. OKT 2 mengatakan P.P.P. Yap menumbuk dan menampar dadanya.
Kpl. Nai Lam tidak dipanggil oleh pendakwaan sebagai saksi. Tidak syak dia adalah saksi yang penting. Tetapi pendakwaan mengemukakan keterangan melalui Inspektor Hassan (EPW 5), Pegawai Penyiasat kes ini, bahawa Kpl. Nai Lam dibuang kerja dalam bulan November 1986. Dia telah membuat berbagai-bagai usaha untuk mengesan Kpl. Nam Lam tetapi tidak berhasil.
Saya berpuashati bahawa kegagalan pendakwaan memanggil Kpl. Nai Lam bukanlah sesuatu yang disengajakan atau kerana kecuaian pendakwaan. Saya terima bahawa segala usaha yang berpatutan yang boleh dilakukan untuk mengesannya, telah dilakukan. Oleh itu saya berpuashati kegagalan memanggilnya tidaklah menjejaskan kes pendakwaan.
Walaubagaimanapun pendakwaan memanggil Konst. Asraf (EPW 4). Dia adalah salah seorang anggota serang hendap itu. Dia berada dalam bilik di Pejabat U.P.P. Dia mengatakan semasa dia berada di dalam bilik itu dia tidak nampak Kpl. Nai Lam membuat apa-apa (seperti memukul, menumbuk) terhadap OKT 2 atau tiga orang lagi yang ditangkap itu.
P.P.P. Shamsuri (EPW 2) yang pergi ke pejabat itu memberi keterangan bahawa dia tidak nampak apa-apa tanda di muka OKT 2 dan tiga orang lagi itu yang menunjukkan kekerasan dilakukan terhadap mereka. Dia menafikan dia atau sesiapa melakukan kekerasan terhadap OKT 2, semasa beliau berada di pejabat itu.
Inspektor Hassan (EPW 5) juga berkata bahawa semasa dia berada di Pejabat U.P.P. keadaan OKT 2 adalah ” normal ” dan tidak ada apa-apa tanda yang menunjukkan mereka dipukul dan lain-lain.
OKT 2 juga mengatakan PPP Yap (EPW 3) juga menumbuk dan menampar dadanya di bilik gerakan U.P.P. itu. Tetapi semua saksi-saksi pendakwaan, termasuk PPP Yap sendiri memberi keterangan bahawa PPP Yap tidak pergi ke Pejabat U.P.P. itu langsung. Saya terima keterangan mereka bahawa PPP Yap tidak pergi ke pejabat U.P.P. Kuala Perlis.
Masih berkenaan tuduhan bahawa OKT 2 dipukul. Inspektor Setapa, pegawai perakam memberi keterangan bahawa dia memeriksa badan OKT 2 dengan menyelak bajunya dan mendapati tidak ada apa-apa kesan dia dipukul.
Setelah menimbang semua keterangan saksi-saksi pendakwaan dan OKT 2 saya berpuashati bahawa tidak ada apa-apa kekerasan dilakukan oleh mana-mana anggota polis seperti yang dikatakan oleh OKT 2.
Penerimaan pernyataan beramaran ini juga dibantah atas alasan bahawa OKT 2 telah diugut oleh Inspektor Hassan. Mengikut OKT 2, semasa di dalam van, Inspektor Hassan mengugutnya dengan berkata ” kalau ta mengaku malam ini lebih teruk “. Ini dinafikan oleh Inspektor Hassan. Dalam hal ini juga, setelah menimbang semua keterangan yang berkenaan, saya berpuashati bahawa tidak ada ugutan seperti itu dibuat oleh Inspektor Hassan.
Encik Manjit Singh menghujahkan juga bahawa semasa memberi pernyataan itu, OKT 2 tidak berada dalam ” right frame of mind ” sebab selain daripada dipukul dan diugut, OKT 2 tidak diberi makanan dan minuman daripada masa dia ditangkap sehingga pernyataan dirakam, iaitu lebih kurang enam jam.
Memanglah pendakwaan tidak mengemukakan keterangan bahawa OKT 2 diberi makanan dan minum dalam tempoh itu. Tetapi memandangkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, terutama sekali pegawai perakam, Inspektor Setapa, bahawa OKT 2 berada dalam keadaan baik, bahawa OKT 2 tidak ada apa-apa bantahan atau tidak puashati, saya dapati alasan ini juga tidak berasas.
OKT 2 juga mengatakan semasa rakaman pernyataan itu dibuat PPP Yap juga berada dalam bilik itu. Disoalbalas, OKT 2 mengatakan PPP Yap berdiri di belakangnya dan memerhati semasa Inspektor Setapa merakam percakapannya. Ini dinafikan oleh Inspektor Setapa, P.P.P. Yap dan Inspektor Hassan. Saya juga dapati allegasi itu tidak berasas.
Mengikut keterangan OKT 2, walaupun Inspektor Setapa ada menerangkan maksud amaran kepadanya, dia tidak faham.
Inspektor Setapa memberi keterangan bahawa OKT 2 faham amaran itu. Dalam pernyataan itu sendiri terdapat catitan tentang hal itu yang menunjukkan OKT 2 faham amaran itu. Saya melihat dan mendengar keterangan OKT 2 yang berkelulusan tingkatan tiga itu, saya dapati dia bukanlah seorang yang bodoh. Saya tidak merasa was-was langsung bahawa dia boleh dan memahami amaran itu walaupun jika hanya dibacakan kepadanya.
OKT 2 juga mengatakan mula-mula dia tidak mahu menandatangani pernyataan itu tetapi hanya menandatanganinya apabila Inspektor Setapa mengarahkannya berbuat demikian.
Di sini adalah jelas bahawa pembelaan cuba membesar-besarkan perkataan ” arah ” yang digunakan oleh Inspektor Setapa semasa memberi keterangannya. Tetapi dia dengan serta-merta menjelaskan yang dimaksudkannya ialah ” minta “. Bagi saya kelanjuran menggunakan satu perkataan ini bukanlah satu perkara yang patut dibesar-besarkan.
Kesimpulannya, setelah meniliti dan menimbang keterangan dan undang-undang berkenaan, saya berpuashati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan melampaui was-was yang berpatutan bahawa OKT 2 membuat pernyataan beramaran berkenaan dengan sukarela, tanpa diugut, dipaksa, dipujuk atau dijanji. Saya berpuashati bahawa amaran telah diberi dan difahami. Saya berpuashati peruntukan s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952telah dipatuhi dengan sempurna dan saya menerima pernyataan itu sebagai keterangan.
Daripada keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan, saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan bahawa OKT 2 naik ke palantar berkenaan daripada bot panjang itu. Dia dan dua orang rakannya menunggu sehingga OKT 1 naik. OKT 1 naik membawa sebuah beg. Kpl. Nai Lam memperkenalkan dirinya. Keempat-empat mereka, termasuk OKT 2 lari. Mereka dikejar dan ditangkap. Beg yang dibawa oleh OKT 1 itu yang dicampak oleh OKT 1 semasa dia hendak lari dan diambil oleh Kpl. Nai Lam berisi daun-daun kering yang kemudiannya disahkan oleh Ahli Kimia (PW1) sebagai ” cannabis ” seberat 409.1 gram.
Timbalan Pendakwa Raya mengaku, dan memanglah betul, bahawa tanpa mengambilkira pernyataan beramaran, tidak terdapat cukup bukti yang membolehkan Mahkamah memanggil OKT 2 membela diri seperti pertuduhan. Oleh itu pernyataan beramaran OKT 2 adalah amat penting bagi kes pendakwaan.
Dalam hujahnya di akhir kes pendakwaan, En. Manjit Singh meminta Mahkamah menimbang semula penerimaan pernyataan beramaran itu sebagai keterangan mengikut prinsip kes R. v. Watson [1980] 2 All ER 293.
Mengikut kes itu, Mahkamah mempunyai kuasa untuk menimbang semula keputusannya pada peringkat yang terkemudian perbicaraan itu ” if further evidence justifies it “. Tetapi, seperti yang dikatakan oleh Hashim Yeop A. Sani J (pada masa itu) dalam kes Dato’ Mokhtar bin Hashim v. Public Prosecutor [1983] CLJ (Rep) 721di mukasurat 748:
But it must be noted that it is also part of the judgment in that case judges should discourage Counsel from making such submissions where they are founded on tenuous evidence.
Dalam kes ini, saya telah meneliti keterangan yang dikemukakan selepas perbicaraan-dalam-perbicaraan itu selesai, dan saya dapati tidak ada apa-apa keterangan tambahan yang mematutkan (justify) saya menimbang semula keputusan saya menerima pernyataan beramaran itu.
Saya telah menerima pernyataan beramaran itu sebagai keterangan. Setelah meneliti isi kandungannya, saya berpuashati bahawa walaupun mungkin tidak kesemuanya betul, tetapi bahagian-bahagian penting yang melibatkan diri OKT 2 sendiri boleh dipercayai. Kerana, adalah tidak mungkin seorang itu akan membuat pernyataan melibatkan dirinya jika dia tidak terlibat, walaupun dia lebih mungkin melibatkan orang lain.
Daripada pernyataan beramarannya, adalah jelas bahawa niat mereka pergi ke Setoi, selain daripada untuk bersuka-suka dengan pelacur Siam, adalah untuk membeli ganja untuk dijual di Kuala Lumpur. Adalah jelas bahawa beg yang di dalamnya dijumpai ganja itu adalah kepunyaan OKT 2. Dia membawa beg itu dari Kuala Lumpur ke Pulau Panjang, tetapi dia tidak membawanya daripada Pulau Panjang ke Kuala Perlis, iaitu selepas ia diisikan dengan ganja. Pernyataan itu juga menceritakan tentang perbincangan OKT 2 dan rakan-rakannya dengan Salim bagaimana hendak mendapatkan ganja, bahawa Salim sanggup menolong, bagaimana bayaran dibuat kepada Salim, bagaimana beg itu kemudiannya dibawa ke bot dalam perjalanan pulang dan sehinggalah mereka ditangkap.
Apabila pernyataan beramaran OKT 2 diambilkira, adalah jelas bahawa, walaupun pada masa ditahan oleh anggota-anggota polis itu OKT 2 tidak membawa beg yang berisi ganja itu, beg itu berada dalam kawalan bersamanya dengan OKT 1, dan OKT 2 tahu bahawa terdapat ganja dalam beg itu. Dalam perkataan lain, saya berpuashati bahawa OKT 2 memiliki dan tahu akan ganja itu. Oleh itu anggapan s. 37 (da) kepada Akta Dadah Berbahaya 1952berbangkit, bahawa dia mengedar (traffic) ganja itu.
Saya berpuashati bahawa rangkaian keterangan dipelihara dengan baik.
Saya juga berpuashati bahawa kegagalan pendakwaan memanggil Kpl. Nai Lam sebagai saksi atau menawarkannya kepada pembelaan tidaklah menjejaskan kes pendakwaan atau mematutkan inferens yang menentang di bawah s.114(g) Akta Keterangan, 1950 dibangkitkan terhadap pendakwaan. Saya berpuashati bahawa, tanpa keterangan Kpl. Nai Lam pun, keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan adalah mencukupi untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap OKT 2. Walau pun, tidak dapat dinafikan bahawa Kpl. Nai Lam adalah seorang saksi yang penting, tetapi kegagalan memanggilnya atau menawarkannya kepada pembelaan bukanlah sesuatu yang dilakukan dengan sengaja untuk menekan atau menutup keterangan itu, atau kerana kecuaian. Kpl. Nai Lam tidak dipanggil sebagai saksi atau ditawarkan kepada pembelaan kerana dia tidak dapat dikesan. Keterangan yang panjang lebar dikemukakan untuk menjelaskan usaha-usaha yang telah dilakukan untuk mengesannya. Saya berpuashati usaha-usaha yang sepatutnya dilakukan untuk mengesannya telah dilakukan.
Saya memanggil OKT 2 membela diri.
OKT 2 memilih memberi keterangan bersumpah.
Antara lain dia mengatakan mereka bertolak dari Kuala Lumpur pada 29 Januari 1985. Mereka singgah di Bedong, Kedah. Esoknya mereka pergi ke Kuala Perlis, dan dari situ ke Pulau Panjang dengan bot. Mereka tidak bawa dokumen perjalanan. Di Pulau Panjang mereka berjuma dengan Salim. Mereka bersama-sama ke Setoi. Beg OKT 2 ditinggal di rumah Salim di Pulau Panjang. Di Setoi mereka bersuka-suka dengan pelacur-pelacur Siam. Mereka balik semula ke Pulau Panjang. Di rumah Salim OKT 2 membayar RM150 kepada Salim untuk perbelanjaan ke Setoi dan bersuka-suka dengan pelacur. Wang itu bukan bayaran beli ganja, mengikutnya.
Pada 31 Januari 1985 mereka bertolak dari Pulau Panjang. Salim membawa beg OKT 2 dari rumahnya ke bot dan melontarkan beg itu ke dalam bot. Dalam bot OKT 2 duduk di bangku di barisan kedua. OKT 1 duduk di belakangnya. Apabila bot sampai berhampiran pelantar di Kuala Perlis, OKT 2 nampak anggota U.P.P. berpakaian seragam warna hijau. OKT 2 dan dua orang rakannya naik. OKT 1 naik terakhir sekali, membawa beg itu. Seorang anggota U.P.P. menahan OKT 1. Pada masa itu OKT 2 dengar suara Mokhtaruddin menyuruh mereka lari. Mereka lari. Mereka dikejar dan ditangkap. Mereka dibawa ke Bilik Gerakan, Pejabat U.P.P. OKT 2 mengulangi ceritanya bahawa dia dipukul dalam bilik, diugut semasa dalam perjalanan ke Kangar dan apa yang berlaku semasa pernyataannya dirakam oleh Inspektor Setapa. Berkenaan pernyataan itu, dia menafikan bahawa dia membuat pernyataan bagi perkara-perkara tertentu yang membabitkan dirinya dengan ganja itu.
Dalam hujahnya di akhir kes pembelaan, peguam OKT 2 sekali lagi meminta saya mengkaji semula keputusan saya menerima pernyataan beramaran OKT 2. Beliau menghujah bahawa telah terdapat keterangan baru, iaitu keterangan OKT 1.
Sayugia diambil perhatian bahawa OKT 1 tidak dipanggil sebagai saksi bagi menyokong keterangan OKT 2 semasa perbicaraan – dalam – perbicaraan.
Semasa OKT 1 memberi keterangan membela dirinya, peguam OKT 2 mengambil kesempatan menyoal OKT 1 berkenaan OKT 2 dipukul dan diugut. OKT 1 mengatakan bahawa dia nampak anggota polis menumbuk OKT 2 di bilik gerakan. Semasa di soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, dia menambah bahawa dia pun dipukul oleh Inspektor Hassan.
Saya telah menimbang sama ada terdapat keterangan baru yang mematutkan saya mengulangkaji keputusan saya itu. Saya tidak dapati adanya keterangan baru yang mematutkan saya mengubah keputusan saya yang lebih awal itu. Apa yang dikatakan keterangan baru itu adalah keterangan OKT 1. Itu pun perlu diambil perhatian bahawa keterangannya dalam hal ini adalah sambil lewa sahaja. Dia cuma mengatakan ” Saya nampak anggota polis pukul Azahar di bilik gerakan “. Dia tidak menyebut siapa dan berapa orang, dia tidak menyebut dengan apa dan di bahagian mana OKT 2 dipukul. Kalau benar perkara itu berlaku, saya yakin OKT 1 boleh mencerita dengan lebih jelas. Sayugia diingat OKT 1 dan OKT 2 berada dalam bilik yang sama semasa OKT 2 dikatakan dipukul. Juga sayugia diingat bahawa OKT 2 dalam keterangannya semasa perbicaraan-dalam-perbicaraan mengatakan dia dipukul oleh Kpl. Nai Lam, PPP Shamsuri, PPP Yap dan Inspektor Hassan dengan berbagai cara yang saya telah sebutkan sebelumnya.
Juga patut diambil perhatian bahawa Ibrahim, yang ditahan bersama-sama OKT 1 dan OKT 2 di bilik gerakan yang memberi keterangan sebagai saksi OKT 1, apabila disoal oleh peguam OKT 2, berkata di bilik gerakan polis ada pukul ” atau ” ugutnya. Tetapi dia tidak tahu sama ada rakan-rakannya, termasuk OKT 1 dan OKT 2 ” dipukul atau diugut atau tidak “. Kiranya OKT 1 dan OKT 2 dipukul dalam bilik gerakan itu, mustahil Ibrahim tidak melihatnya. Walaubagaimanapun saya tidak memberi banyak nilai kepada keterangan Ibrahim, kerana saya dapati saksi ini kurang boleh dipercayai dalam banyak perkara, daripada cara dia memberi keterangan dan apa yang dikatakan olehnya.
Walaubagaimanapun, setelah menimbang semua keterangan yang memihak kepada OKT 2, saya masih yakin bahawa OKT 2 tidak dipukul oleh mana-mana anggota polis.
Satu lagi yang dikatakan keterangan baru ialah berkenaan dengan ugutan yang dikatakan dilakukan dalam van. Dalam hal ini sayugia diingati kembali bahawa semasa perbicaraan-dalam-perbicaraan, OKT2 mengatakan semasa mereka menaiki van dalam perjalanan ke Kangar, Inspektor Hassan mengugut dengan berkata ” Kalau tak mengaku malam ini lebih teruk “. OKT 1 semasa disoal oleh peguam OKT 2 berkata bahawa Inspektor Hassan mengatakan ” Kalau awak tak mengaku, awak lebih teruk lagi “. Disoal oleh Timbalan Raya, dia memberi versi yang baru pula, iaitu ” Sampai di Balai Polis Kangar, awak lagi teruk kalau tak mengaku “. Dia menambah lagi bahawa Inspektor Hassan berkata beberapa kali, semasa hendak menaiki dan semasa berada di dalam ” Land Rover ” (semasa kes pembelaan ” van ” bertukar menjadi ” Land Rover ” ). Yang lebih aneh lagi, mengikutnya Inspektor Hassan tidak mengugutnya (OKT 1), tetapi cuma mengugut OKT 2.
Sementara itu Ibrahim (DW3) berkata dia tidak ingat sama ada Inspektor Hassan mengugut sesiapa dalam ” Land Rover “.
Kesimpulannya apa yang dikatakan keterangan baru itu tidak sedikit pun menggugatkan keyakinan saya bahawa tidak ada apa-apa ugutan yang dibuat oleh Inspektor Hassan kepada OKT 2 yang mendorongkannya memberi pernyataan itu.
Seterusnya peguam OKT 2 menghujahkan bahawa ada bahagian-bahagian pernyataan itu diada-adakah oleh Inspektor Setapa. Bahagian-bahagian itu adalah yang melibatkan OKT 2 dengan ganja itu yang mana OKT 2 menafikan membuatnya. Dia juga menghujahkan bahawa Inspektor Setapa telah tahu apa yang berlaku dan menokok tambah pernyataan OKT 2. Saya telah meneliti keterangan dalam hal ini dan menimbang semasak-masaknya dan saya berpendapat hujah ini tidak berasas. Selain dari itu isi kandungan pernyataan yang begitu teliti tidak mungkin boleh diada-adakan oleh Inspektor Setapa.
Sekarang tibalah masalah bagi saya menimbang pembelaan OKT 2 dalam keseluruhan kes. Pendeknya, sementara dia mengaku beg yang di dalamnya ganja itu dijumpai adalah begnya dan dialah yang membawa beg itu dari Kuala Lumpur ke Pulau Panjang, tetapi dalam perjalanan balik dia tidak menyentuh beg itu dan dia tidak tahu di dalam beg itu ada ganja.
Memang pendakwaan tidak dapat membuktikan OKT 2 memasukkan ganja itu ke dalam beg itu. Tetapi hakikatnya ganja itu berada dalam beg itu yang dalam penghakiman saya di bawah jagaan dan kawalan bersama OKT 1 dan OKT 2, walaupun pada masa ditahan, ia dibawa oleh OKT 2. Soalnya, adakah saya, setelah mendengar, meneliti dan menimbang keterangan pembelaan saya merasa was-was yang berpatutan bahawa OKT 2 memiliki ganja atau adakah pihak pembelaan berjaya menyangkal anggapan, atas imbangan kemungkinan, bahawa dia mengedar dadah.
Dalam memutuskan persoalan ini beberapa fakta perlu ditimbang.
Pertama, kelakuan OKT 2 yang merenggangkan dirinya daripada beg itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Panjang ke Kuala Perlis. Beg itu adalah begnya. Dia yang membawanya dari Kuala Lumpur ke Pulau Panjang. Mengapa, daripada Pulau Panjang hingga mereka ditahan, mengikut keterangannya sendiri, dia tidak langsung menyentuh beg itu? Mengikutnya, dari rumah Salim ke bot, Salim membawanya, dan Salim ” melontarkan ” beg itu ke dalam bot. Saya dapati alasan yang diberikannya mengapa Salim yang membawa begnya itu tidak munasabah, melainkan jika, semasa masih di Pulau Panjang, dalam Negeri Thai, adalah lebih selamat jika beg yang berisi ganja itu dibawa oleh orang tempatan. Sampai ke bot, beg itu cuma ” dilontarkan ” oleh Salim ke dalam bot. Bagi saya, dalam keadaan biasa, adalah lebih munasabah, kalau pun Salim membawa beg itu, apabila sampai di bot dia memberinya kepada tuan punya beg itu. Bahawa ia ” dilontarkan ” sahaja juga menunjukkan OKT 2 ingin merenggangkan dirinya dari beg itu. Di dalam bot, OKT 2 tidak memperduli untuk mengambilnya. Semasa naik ke pelantar dia naik dahulu meninggalkan begnya di dalam bot yang akhirnya dibawa naik oleh OKT 1. Kelakuan OKT 2 menunjukkan dia cuba merenggangkan dirinya daripada begnya sendiri.
Kedua, mengikut keterangannya sendiri, semasa bot itu menghampiri pelantar di Kuala Perlis, dia nampak anggota U.P.P. Dia naik tanpa membawa begnya.
Ketiga, apabila OKT 1 ditahan, dia lari. Perlu diingat OKT 1 lari bukan kerana dia tidak bawa dokumen perjalanan. Kerana, mengikut keterangannya sendiri dia tidak diminta menunjukkan dokumen perjalananya semasa dia melintasi anggota U.P.P. itu. Dia juga ” tidak pasti ” sama ada dokumen perjalanan penumpang-penumpang lain diperiksa. Mengikut OKT 2 dia lari sebab dia dengar suara Mokhtaruddin kata ” lari “. Harus diingati perkara Mokhtaruddin berteriak ” lari ” cuma timbul dalam keterangan OKT 1 dan OKT 2 buat pertama kalinya. PW2 dan PW3 tidak menyebut hal itu dan tidak disoal berkenaannya. Dalam pernyataan beramaran OKT 2 hal ini tidak disebut. Selain dari itu manakala OKT 2 mengatakan Mokhtaruddin yang menyuruh lari, OKT 1 tidak pasti siapa. Walaubagaimanapun, katakanlah OKT 2 lari kerana terdengar suara Mokhtaruddin berteriak ” lari “, soalnya mengapa OKT 2 harus lari kiranya dia tidak tahu apa yang terdapat dalam beg itu? Oleh sebab dia telah melintasi anggota U.P.P. itu, (mengikut keterangannya sendiri) dan dia tidak diminta menunjukkan dokumen perjalanannya, maka sebab lain mengapa dia harus takut dan lari, sudah tidak ada. Yang tinggal hanyalah sebab dia tahu kandungan beg itu.
Selain daripada semua itu, terdapat pula pernyataan beramaran OKT 2 sendiri yang saya terima sebagai keterangan. Saya percaya bahagian-bahagian yang membabitkan diri OKT 2 adalah benar, sebab, selain daripada saya yakin bahawa ia diberi dengan sukarela oleh OKT 2, isi kandungan pernyataan itu adalah amat terperinci dan tidak mungkin boleh diada-adakan atau ditokok tambah oleh Inspektor Setapa.
Pernyataan beramaran itu menunjukkan dengan jelas penglibatan OKT 2 dalam urusan membeli dan membawa pulang ganja itu. Ia menunjukkan bahawa OKT 2 tahu bahawa begnya itu yang dibawa oleh OKT 1 berisi ganja.
Saya sedar, walaupun seseorang itu boleh disabitkan semata-mata berdasarkan pengakuannya sahaja, tetapi Mahkamah biasanya mencari sokongan (corroboration) daripada keterangan-keterangan lain. Dalam kes ini sokongan itu terdapat daripada kelakuan OKT 2 sendiri, yang menjauhkan dirinya daripada begnya dalam perjalanan pulang dan lari apabila OKT 1 ditahan oleh polis.
Kesimpulannya, setelah memberi pertimbangan yang saksama kepada keterangan yang dikemukakan oleh pembelaan saya dapati pembelaan bahawa OKT 2 tidak ada kena mengena dan tidak tahu akan adanya ganja di dalam begnya itu tidak berkemungkinan dan tidak munasabah. Menimbang semua keterangan dalam kes ini secara keseluruhannya, di akhir kes pembelaan, saya berpuashati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan melampaui was-was yang berpatutan bahawa OKT 2 memiliki ganja tersebut dan dia tidak berjaya menyangkal anggapan (da), s.37 itu di atas imbangan kemungkinan. Oleh itu saya dapati OKT 2 bersalah seperti dituduh dan mensabitkan kesalahannya.
Oleh sebab hanya terdapat satu hukuman bagi kesalahan ini, saya tiada pilihan melainkan menjatuhkan, dan saya menjatuhkan hukuman mati ke atas OKT 2.