Gangatharan Muthusamy LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & satu lagi

Gangatharan Muthusamy LWN. Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia & satu lagi
Mahkamah Tinggi MALAYA, Pulau Pinang
ABDUL HAMID MOHAMAD
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-117-90
3 DISEMBER 1990
[1991] 1 CLJ Rep 591; [1991] 1 CLJ 273

UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN: Habeas corpus – Sama ada pemohon diberitahu sebab-sebab tangkapan – Bila sebab-sebab tangkapan diberitahu – Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 – Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Pemohon ditangkap pada 16 Oktober 1989 di bawah s. 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. Berikutnya perintah telah dibuat pada 12 Disember 1989 mengarahkan pemohon ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Pemohon telah mencabar tahanan itu atas alasan bahawa ia tidak diberitahu sebab-sebab penangkapan atau jika diberitahu, sebab-sebab itu tidak diberitahu secepat mungkin. Pemohon menghujah bahawa sebab-sebab penangkapan itu diberitahu kepadanya pada 13 Disember 1989, bukan pada hari ia ditangkap iaitu pada 16 Oktober 1989 dan oleh itu tangkapan itu bertentangan dengan Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
Diputuskan:
[1] Di segi undang-undang, kelambatan hampir dua bulan untuk memberitahu pemohon sebab-sebab ia ditangkap, jika benar berlaku, adalah menyalahi kehendak Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
[2] Mahkamah berpuashati apa yang disampaikan kepada pemohon pada 13 Disember 1989 itu adalah kandungan Perintah Tahanan, Borang 13A dan Borang I dan bukan sebab-sebab penangkapan. Oleh itu adalah tidak benar bahawa sebab-sebab penangkapan diberitahu kepada pemohon pada 13 Disember 1989.
[3] Mahkamah juga berpuashati bahawa pemohon telah diberitahu sebab-sebab ia ditangkap pada masa tangkapan dibuat dan oleh yang demikian penahanan pemohon adalah sah dan mengikut kehendak undang-undang.

Case(s) referred to:
Yit Hon Kit v. Minister of Home Affairs, Malaysia & Anor. [1988] 2 MLJ 638
Legislation referred to:
Emergency (Public Order and Prevention of Crime) Ordinance 1969, s. 3(1), 4(1)
Federal Constitution, art. 5(3)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; T/n. Karpal Singh & Co.
Bagi pihak responden – Jalaldin Hussain; Peguam Kanan Persekutuan

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon ditangkap pada 16 Oktober 1989 di bawah kuatkuasa seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. Pada 12 Disember 1989 Timbalan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan Perintah Tahanan di bawah seksyen 4(1) Ordinan itu mengarahkan dia ditahan selama dua tahun mulai tarikh yang sama di Pusat Pemulihan Akhlak, Pulau Jerjak, Pulau Pinang. Sehingga hari ini dia masih ditahan di situ.
Permohonan dibuat atas alasan bahawa pemohon tidak diberitahu sebab-sebab penangkapan atau, jika diberitahu, sebab-sebab itu tidak diberitahu secepat mungkin. Untuk menyokong alasan-alasan itu Encik Karpal Singh yang mewakili pemohon merujuk kepada afidavit-afidavit yang dimasukkan bagi pihak penentang.
Dalam hal ini eloklah dimulakan dengan merujuk kepada afidavit Penguasa Polis Abdul Aziz bin Nawi (Lampiran 6). Pada perenggan 1.3 beliau menyatakan:
1.3 Pada 16 Oktober 1989 jam 2.40 petang, D/Konst. 91098 Udiasoorian a/l Samireddy daripada Cawangan Pencegah Kongsi Gelap IPDP Johor Bahru telah membuat tangkapan di bawah seksyen 3(1) Ordinan Darurat 5/69 ke atas Gangatharan a/l Muthusamy K/P 5240540 (B) di Jalan Meldrum, Johor Bahru bersangkut Johor Bahru Rpt. 19615/89 dengan memberi sebab-sebab di atas tangkapan 5(3) Perlembagaan Persekutuan;
Mengikut afidavit Penguasa Polis Abdul Aziz itu empat perkara adalah jelas:
(a) tangkapan dibuat pada 16 Oktober 1989 jam 2.40 petang.
(b) tangkapan dibuat oleh D/Konst. Udiasoorian a/l Samireddy;
(c) D/Konst. Udiasoorian memberi sebab-sebab tangkapan;
(d) sebab-sebab tangkapan itu diberi pada masa tangkapan dibuat.
Inspektor Wong Chee Meng dalam afidavitnya (Lampiran 8) di perenggan 1.3 menyatakan:
1.3 Pada 16 Oktober 1989 jam 2.40 petang, D/Konst. 91098 Udiasoorian a/l Samireddy daripada Cawangan Pencegah Kongsi Gelap IPDP Johor Bahru telah membuat tangkapan di bawah seksyen 3(1) Ordinan Darurat 5/69 ke atas Gangatharan a/l Muthusamy K/P 5240540(B) di Jalan Meldrum, Johor Bahru bersangkut Johor Bahru Rpt. 19615/89 dengan memberi sebab-sebab di atas tangkapan 5(3) Perlembagaan Persekutuan;
Adalah jelas juga bahawa apa yang dikatakan oleh Inspektor Wong Chee Meng itu adalah sama dengan apa yang dikatakan oleh Penguasa Polis Abdul Aziz.
Setakat ini tidak ada masalah.
Sekarang kita lihat pula apa yang dikatakan oleh D/Konst. Udiasoorian a/l Samireddy (Lampiran 9). Di perenggan 1.3 beliau menyatakan:
1.3 Pada 16 Oktober 1989 jam 2.40 petang, saya telah membuat tangkapan di bawah seksyen 3(1) Ordinan Darurat 5/69 ke atas Gangatharan a/l Muthusamy K/P 5240540 (B) di Jalan Meldrum, Johor Bahru dengan diberi sebab-sebab di atas tangkapan 5(3) Perlembagaan Persekutuan oleh Insp. Wong Chee Meng.
Di sini terdapat satu perbezaan. Nampaknya seolah-olah orang yang “memberi” sebab-sebab penangkapan itu kepada pemohon ialah Inspektor Wong Chee Meng.
Menjawab soalan saya, Encik Karpal Singh mengakui bahawa tidaklah menjadi kesalahan jika seorang pegawai polis membuat tangkapan dan seorang pegawai polis lain memberitahu sebab-sebab tangkapan itu kepada pemohon. Tetapi apa yang dipersoalkan oleh beliau ialah wujudnya percanggahan, mengikut afidavit-afidavit yang difail bagi pihak penentang sendiri, tentang siapakah yang sebenarnya yang memberitahu sebab-sebab penangkapan itu kepada pemohon: D/Konst. Udiasoorian atau Inspektor Wong Chee Meng. Dalam keadaan itu, kemungkinan sebab-sebab penangkapan itu tidak diberi langsung pada hari itu dan sebenarnya hanya diberi pada 13 Disember 1989, iaitu hampir dua bulan selepas ditangkap. Untuk menyokong hujah ini beliau menarik perhatian saya kepada afidavit Det/Konst. Mariappan a/l Sankaran (Lampiran 10). Di perenggan 1.4 beliau mengatakan:
1.4 Pada 13 Disember 1989 jam 10.05 pagi saya telah menterjemahkan di dalam bahasa Tamil dan menerangkan sebab-sebab di atas tangkapan 5(3) Perlembagaan Persekutuan kepada Gangatharan a/l Muthusamy K/P No. 5240549 (B).
Jadi soalan pertama yang patut diputuskan ialah siapakah yang memberitahu sebab-sebab penangkapan kepada pemohon?
Encik Jalaldin yang mewakili penentang menghujahkan bahawa apa yang dimaksudkan oleh D/Konst. Udiasoorian dengan kata-kata “dengan diberi sebab-sebab di atas tangkapan … oleh Insp. Wong Chee Meng” itu ialah sebab-sebab itu diberitahu kepadanya oleh Insp. Wong Chee Meng tetapi beliaulah (D/Konst. Udiasoorian) yang memberitahu pemohon.
Bagi saya, dengan hanya melihat kepada kata-kata itu, kita tidak mungkin boleh memberi tafsiran sebegitu. Tetapi, kita perlulah membaca kata-kata itu bersama-sama dengan apa yang dinyatakan oleh dua orang pegawai lagi yang lebih kanan, iaitu Penguasa Polis Abdul Aziz dan Inspektor Wong. Dan, apabila dibuat demikian, saya tidak merasa was-was bahawa sebab-sebab penangkapan itu sebenarnya diberitahu kepada pemohon oleh D/Konst. Udiasoorian, tetapi sebab-sebab itu diberitahu kepadanya oleh Inspektor Wong. Jika tidak bagaimana dia akan tahu?
Di samping itu, akibat percanggahan ini yang sehabis buruk pun, pada pandangan saya, hanya boleh menyebabkan was-was tentang siapa yang memberitahu pemohon sebab-sebab penangkapannya sama ada, D/Konst. Udiasoorian atau Inspektor Wong. (Saya tidak was-was dalam hal ini). Percanggahan itu tidak boleh membawa akibat bahawa sebab-sebab penangkapan itu tidak diberi langsung oleh sesiapa.
Persoalan kedua ialah bilakah sebab-sebab penangkapan itu diberitahu kepada pemohon? Dalam hal ini, Penguasa Polis Abdul Aziz, Inspektor Wong malah D/Konst. Udiasoorian sendiripun mengatakan sebab-sebab penangkapan itu diberi pada 16 Oktober 1989 jam 2.40 petang, iaitu semasa tangkapan dibuat.
Walaubagaimanapun D/Konst. Mariappan a/l Sankaran mengatakan bahawa pada 13 Disember 1989 jam 10.05 pagi beliau “telah menterjemahkan di dalam bahasa Tamil dengan menerangkan sebab-sebab di atas tangkapan 5(3) Perlembagaan Persekutuan kepada” pemohon.
Berdasarkan kata-kata ini, Encik Karpal Singh menghujahkan bahawa sebab-sebab penangkapan hanya diberitahu kepada pemohon pada 13 Disember 1989, bukan pada hari penangkapan dibuat iaitu pada 16 Oktober 1989. Ini, mengikut beliau, melanggar peruntukan Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan:
(3) Where a person is arrested he shall be informed as soon as may be of the grounds of his arrest…
Beliau merujukkan saya kepada kes Yit Hon Kit v. Minister of Home Affairs, Malaysia & Anor. [1988] 2 MLJ 638.
Dari segi undang-undang saya bersetuju dengan beliau bahawa kelambatan hampir dua bulan, jika benar berlaku, adalah menyalahi kehendak Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu soalnya, ialah, adakah dalam kes ini terdapat kelambatan seperti itu?
Encik Jalaldin menghujahkan bahawa apa yang sebenarnya diterjemahkan oleh D/Konst. Mariappan pada 13 Disember 1989 jam 10.05 pagi ialah isi kandungan Perintah Tahanan, Borang 13A dan Borang I dan bukan sebab-sebab penangkapan. Ini dapat dilihat daripada apa yang tercatit di halaman 2 Perintah Tahanan yang dikembarkan kepada afidavit bapa pemohon (Ekshibit M1, Lampiran 2). Ekshibit ini jelas menunjukkan bahawa Perintah Tahanan itu disampaikan oleh Insp. Wong pada 13 Disember 1989 jam 10.05 pagi dengan diterangkan isi kandungannya (diterjemahkan) oleh D/Konst. Mariappan dan diakui oleh pemohon bahawa dia menerima dan memahaminya.
Berdasarkan apa yang tercatit dalam Perintah Tahanan itu, saya sedikitpun tidak merasa was-was bahawa isi kandungan borang-borang yang tersebut dalam Perintah Tahanan itulah yang sebenarnya diterjemahkan pada 13 Disember 1989 jam 10.05 pagi, bukan sebab-sebab penangkapan. Oleh itu adalah tidak benar mengatakan bahawa sebab-sebab penangkapan hanya diberitahu kepada pemohon hampir dua bulan selepas dia ditangkap.
Masalah ini timbul kerana seorang Konstabel detektif, yang tidak arif dan tidak diharapkan untuk arif berkenaan fasal-fasal dalam Perlembagaan Persekutuan, cuba merujuk kepadanya dalam afidavitnya dan pegawai-pegawai yang arif yang sepatutnya menyemak tidak menyemaknya.
Kesimpulannya, meneliti kesemua afidavit yang berkaitan dan Perintah Tahanan yang dikembarkan saya sedikit pun tidak was-was bahawa D/Konst. Udiasoorian memberitahu sebab-sebab penangkapan pemohon pada masa pemohon ditangkap. Oleh itu penahanan pemohon adalah sah dan mengikut kehendak undang-undang.
Akhir sekali saya ingin menekankan tentang perlunya pegawai-pegawai, baik pegawai polis atau pegawai perundangan, yang terlibat dalam menyediakan afidavit dalam kes-kes seperti ini supaya mengambil berat meneliti dan menyemak apa juga disebut di dalamnya sebelum ia diikrarkan dan dimasukkan ke Mahkamah. Persoalan seperti yang dibangkitkan dalam kes ini tidak mungkin boleh dibangkitkan jika mereka berbuat demikian.
Permohonan ini ditolak.

75 visits