PENDAKWA RAYA lwn. AHMAD LATEH & SATU LAGI

MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KANGAR
PERBICARAAN JENAYAH NO. 58-04-86 & NO. 58-06-86
5 OKTOBER 1990
[1991] 2 CLJ Rep 36; [1991] 1 CLJ 71
PROSEDUR JENAYAH: Mengedar dadah berbahaya – Akta Dadah Berbahaya 1952, ss. 37,39B(1)(a), 39B(2)- Perbicaraan bersama – Kanun Acara Jenayah s. 170(1)- Kanun Keseksaan s. 34- Senarai bongkar – Akta Keterangan 1950 s. 114(g)- Samada amaran perlu diberi.

OKT1 dan T2 telah dituduh mengedar dadah berbahaya. Oleh sebab kedua-dua kesalahan tersebut telah dilakukan pada masa yang sama dan melibatkan saksi-saksi yang sama, Timbalan Pendakwa Raya telah memohon kedua-dua kes ini dibicarakan bersama. Peguam T2 membantah permohonan ini dengan alasan bahawa kesalahan itu tidak dilakukan dalam transaksi yang sama, berat ganja berbeza dan kedua-dua tertuduh tidak dituduh bersama di bawah s. 34 Kanun Keseksaan. Bantahan ini ditolak oleh Mahkamah, yang berpuashati bahawa kedua-dua kesalahan itu dilakukan dalam transaksi yang sama.
Mengikut kes pendakwaan, kedua-dua tertuduh ditahan semasa pihak berkuasa Polis, Kastam dan Imigresen menjalankan pemeriksaan di sekatan jalanraya di Batu 11 1/2, Jalan Kaki Bukit, Perlis. Pada ketika kedua-dua tertuduh ditahan, mereka membawa bersama-sama mereka bungkusan yang berisi ganja.
Semasa perbicaraan dijalankan, pihak pembelaan telah membantah terhadap penerimaan senarai bongkar atas alasan bahawa amaran tidak diberi. Yang menjadi isu ialah samada senarai bongkar itu satu pernyataan tertuduh ataupun bukan.
Diputuskan:
[1] Mahkamah memutuskan bahawa tandatangan OKT1 dan T2 di borang senarai bongkar itu adalah semata-mata satu pengakuan penerimaan salinan senarai bungkusan itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Penerimaan tandatangan ini tidak menjadikan senarai bongkar itu satu pernyataan atau pengakuannya dan oleh itu s. 37AAkta berkenaan tidak dipakai.
Walaupun Mahkamah membenarkan kemasukan senarai bongkar ini, ia tidak menganggapnya sebagai satu keterangan substantif untuk diambilkira bagi memutuskan samada pendakwaan berjaya membuktikan kesnya atau tidak.
Dari segi undang-undang, tidak ada obligasi bagi pihak polis dalam pemeriksaan untuk menyediakan senarai bongkar dan menyerahkannya kepada tertuduh. Namun begitu, ia adalah satu amalan yang baik, bukan untuk membuktikan sesuatu tetapi untuk menolak sebarang tohmah berkenaan barang-barang yang dirampas.
Di akhir kes pendakwaan, peguam OKT1 dan T2 menghujah bahawa keterangan yang diberi oleh ahli kimia tidak mencukupi untuk Mahkamah membuat keputusan bahawa daun-daun kering itu adalah ganja dan beratnya adalah seperti yang dikatakan kerana ahli kimia itu tidak menerangkan cara ia membuat pemeriksaan dan penganalisaan.
[2] Memandangkan bahawa ahli kimia yang memberi keterangan adalah seorang yang layak dan berpengalaman, Mahkamah berpuashati bahawa barang berkenaan adalah cannabis. Kegagalan ahli kimia menyebut nama-nama ujian yang dijalankan bukan satu perkara yang membangkitkan was-was terhadap keputusan ahli kimia tersebut dan oleh itu keterangannya boleh diterima.
Kedua-dua OKT1 dan T2 telah dipanggil membela diri masing-masing. OKT1 memilih untuk membuat pernyataan tak bersumpah dari dalam kandang. T2 memberi keterangan bersumpah. Ringkasnya pembelaan kedua-dua OKT1 dan T2 ialah bungkusan yang berisi ganja itu bukan milik mereka.
[3] Setelah menimbangkan semua keterangan yang diberi, Mahkamah sedikitpun tidak ada was-was bahawa bungkusan yang berisi ganja itu dibawa dalam bas di celah kaki kedua-dua OKT1 dan T2 semasa pemeriksaan dibuat. Mahkamah juga menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan bahawa semasa pemeriksaan dijalankan, kedua-dua OKT1 dan T2 berada dalam ketakutan.
Mahkamah mendapati kedua-dua OKT1 dan T2 tidak berjaya membangkitkan was-was yang berpatutan terhadap kes pendakwaan mengenai bungkusan yang dijumpai di celah kaki mereka masing-masing. Kedua-dua OKT1 dan T2 juga tidak berjaya menyangkal anggapan-anggapan yang terbangkit mengikut s. 37(d) dan (da)(iv)Akta berkenaan atas imbangan kemungkinan.
[Nota Pengarang: Defendan membuat rayuan di Mahkamah Agung pada 25 September 1990]

Case(s) referred to:
Jayaraman v. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 36[1979] 2 MLJ 88
Public Prosecutor V. Lim Mung Shaing [1989] 2 CLJ 326
Public Prosecutor v. Gurchan Singh a/l Mall Singh [1990] 2 CLJ (Rep) 702
Public Prosecutor v. Chin Hock Aun [1988] 1 LNS 227[1989] 1 MLJ 598
Munusamy V. Public Prosecutor [1936] 1 LNS 32
Ng Yiu Kwok and Others v. Public Prosecutor [1989] 1 LNS 52[1989] 3 MLJ 166
Public Prosecutor v. Neoh Wan Kee [1984] 1 LNS 135[1985] 1 MLJ 368
Public Prosecutor V. Sanassi [1970] 1 LNS 118
Legislation referred to:
Dangerous Drugs Act 1952, ss. 37A,37(da)(vi),39B(1)(a), (2)
Criminal Procedure Code, ss. 170(i),180
Evidence Act 1950, s. 114illus.(g)
Counsel:
Bagi pihak pendakwa raya – Abdul Karim Hj. Abdul Jalil; Timbalan Pendakwa Raya
Bagi pihak tertuduh 1 – Amar Jit Singh; T/n Ramli Amar Jit & Co.
Bagi pihak tertuduh 2 – Manjit Singh; T/n Manjit Singh & Co.

PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pertuduhan terhadap Ahmad bin Lateh (OKT1) adalah seperti berikut:
Bahawa kamu pada 23 Jun 1985 lebih kurang 2.45 petang di Batu 11 1/2, Jalan Kaki Bukit, Kaki Bukit, di dalam Daerah Kangar, Perlis, bagi pihak kamu sendiri telah mengedar dadah berbahaya, iaitu 382.4 gram cannabis dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952(Disemak 1980) yang boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama.
Pertuduhan terhadap Zakaria bin Ismail (OKT2) adalah seperti berikut:
Bahawa kamu pada 23 Jun 1985 lebih kurang jam 2.45 petang di Batu 11 1/2, Jalan Kaki Bukit, Kaki Bukit, di dalam Daerah Kangar, Perlis, bagi pihak kamu sendiri telah mengedar dadah berbahaya, iaitu 511.8 gram cannabis dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah s. 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Disemak 1980)yang boleh dihukum di bawah s. 39B(2) Akta yang sama.
Di permulaan perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya memohon kedua-dua kes ini dibicarakan bersama. Permohonan dibuat di bawah s. 170(i) Kanun Acara Jenayah. Alasannya ialah kerana kedua-dua kesalahan dilakukan pada tarikh dan masa yang lebih kurang sama dan di tempat yang sama. Selain daripada itu kedua-dua pertuduhan juga adalah di bawah peruntukan undang-undang yang sama dan saksi-saksi yang akan memberi keterangan bagi kedua-dua kes juga adalah saksi-saksi yang sama.
Encik Manjit Singh, peguam kepada OKT2 membantah. Alasan yang diberinya ialah kedua-dua kesalahan itu tidak dilakukan dalam transaksi yang sama, berat ganja (cannabis) bagi kedua-dua pertuduhan berbeza dan kedua-dua tertuduh tidak dituduh bersama dengan memakai peruntukan s. 34 Kanun Keseksaan.
Memandangkan kepada fakta-fakta yang tersebut dalam kedua-dua pertuduhan, dan berpandukan prinsip-prinsip yang dinyatakan oleh Harun J. (pada masa itu) dalam kes Jayaraman v. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 36 [1979] 2 MLJ 88, yang rasanya tidaklah perlu diperturunkan, saya berpendapat bahawa kedua-dua kesalahan ini telah dilakukan dalam transaksi yang sama. Oleh itu saya memerintahkan kedua-dua kes ini dibicarakan bersama.
Kes pendakwaan adalah seperti berikut.
Pada 23 Jun 1985 Sarjan Arumugam (PW6), yang pada masa itu bertugas di Unit Pencegah Penyeludupan (U.P.P.) di Chuping, Perlis, bersama-sama lima orang anggota bertugas di sekatan jalanraya, yang memang diadakan setiap hari, di Batu 11 1/2, Jalan Kaki Bukit, Perlis. Anggota-anggota yang bertugas di situ terdiri daripada pegawai-pegawai polis, kastam dan Imigresyen, masing-masing menjalankan bidang tugasnya. Anggota-anggota yang membuat pemeriksaan, seperti Sarjan Arumugam sendiri, bersenjatakan pistol,manakala anggota-anggota yang bertugas di tempat pemerhatian (observation point) bersenjatakan M16. Lebih kurang jam 2.40 petang sebuah bas ekspres Ebban bernombor PAL 6856 sampai di sekatan jalanraya itu. Beliau menahan bas itu. Atas arahannya bas itu berhenti di tepi jalan. Beliau dan Pegawai Kastam Ibrahim bin Ahmad (PW7) memeriksa tempat simpanan barang-barang di bahagian bawah bas. Selepas itu Sarjan Arumugam bersama-sama P.K. Ibrahim dan pemandu kedua yang bernama Khalid (yang sudah meninggal dunia) naik ke atas bas. Pada masa itu pemandu Shuib bin Salleh (PW1) berada di tempat pemandu. Beliau dan P.K. Ibrahim membuat pemeriksaan, bermula dari bahagian hadapan bas, membawa ke belakang. Mengikut beliau, terdapat lebih kurang 20 orang penumpang dalam bas itu. Bas itu mempunyai 40 tempat duduk penumpang, tidak termasuk tempat duduk pemandu kedua.
Cara mereka membuat pemeriksaan adalah dengan bertanya penumpang-penumpang samada mereka mempunyai ” barang-barang untuk declare ” iaitu barang yang belum dibayar cukai. Mereka tidak menyuruh setiap penumpang membuka setiap bungkusan. Mereka cuma menyuruh jika mengesyaki sesuatu.
Semasa membuat pemeriksaan di bahagian hadapan, beliau perhatikan terdapat beberapa beg dan kampit beras di atas lantai. Kampit-kampit beras itu diikat dengan kemas dan berisi lebih kurang 10 kilogram beras. (Perlu diambil perhatian di sini, walaupun beras dari Thailand tidak dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia, pihak Kastam Malaysia pada amalannya, tidak menahan seseorang yang membawa masuk 10 kilogram beras kerana itu dianggap untuk kegunaan sendiri sahaja). Selepas membuat pemeriksaan di bahagian hadapan beliau pergi ke bahagian belakang bas itu. Beliau lihat ada dua orang lelaki Melayu, seorang yang memakai kopiah putih (ketayap) duduk di tengah-tengah bangku nombor 37 dan 38, bangku nombor dua dari belakang. Dia dicam sebagai OKT1. Seorang lagi duduk di bangku nombor 39 dan 40, bangku belakang sekali yang terletak di belakang kerusi nombor 37 dan 38. Bertentangan dengan kerusi nombor 39 dan 40 dan sebahagian kerusi nombor 37 dan 38 adalah tandas. Lelaki kedua ini dicam sebagai OKT2. Beliau perhatikan OKT1 dan OKT2 masing-masing mempunyai bungkusan kertas warna kuning (yang biasanya digunakan untuk membungkus beras) yang terletak di atas lantai ” dikepit dengan kedua-dua kaki “. Beliau perhatikan bahawa bungkusan-bungkusan itu nampaknya luarbiasa, lebih tinggi, tidak kemas, ” bujur-bujur dan bengkak-bengkak ” di bahagian tengahnya. Beliau juga lihat kedua-dua lelaki itu dalam keadaan cemas. Kemudian beliau bertanya OKT1 ” Siapa punya barang ini? ” dan ” Apa barang dalam itu? ”
Sayugia diambil perhatian di sini bahawa jawapan-jawapan kepada soalan-soalan Sarjan Arumugam tidak dimasukkan sebagai keterangan kerana bertentangan dengan peruntukan s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952sebab jawapan-jawapan itu adalah pernyataan (statement) tertuduh kepada seorang pegawai polis yang berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
Meneruskan cerita Sarjan Arumugam, beliau mengarahkan OKT1 supaya mengambil bungkusan itu dan letak di atas kerusi. OKT1 tidak mengikut arahan itu. Setelah tiga kali diarah, barulah OKT1 mematuhinya. Sarjan Arumugam mengarahkan OKT1 membuka bungkusan itu. OKT1 tidak membuka. Hanya setelah disuruh dua atau tiga kali dan diberi amaran, barulah OKT1 membuka sedikit lipatan kertas di bahagian atas bungkusan. Sarjan Arumugam nampak beras di dalamnya. Beliau memasukkan beberapa jarinya ke dalam beras itu dan merasa seperti ada satu bungkusan yang menghalang. Setelah menguis-nguiskan (mengenepikan) beras di bahagian atas beliau nampak satu bungkusan suratkhabar. Selepas itu beliau mengarahkan OKT1 supaya membuka tali rafia yang mengikat bungkusan kertas kuning itu. Setelah dibuka beliau ketepikan semua beras yang terdapat di bahagian atas dan nampak satu bungkusan dengan kertas suratkhabar. Sarjan Arumugam tanya OKT1 apa yang di dalamnya. OKT1 tidak menjawab. Sarjan Arumugam mengoyak bungkusan suratkhabar itu dan nampak daun-daun kering di dalamnya. Beliau memanggil P.K. Ibrahim yang berada di tepinya dan bertanya P.K. Ibrahim ” apa daun ini? ” P.K. Ibrahim menjawab bahawa beliau mengesyaki itu daun-daun ganja. Mengikut Sarjan Arumugam beliau bertanya kepada P.K. Ibrahim kerana beliau kurang pasti. Sarjan Arumugam mengarahkan OKT1 mengikat semula bungkusan itu dan mengarahkan P.K. Ibrahim mengawal OKT1.
Selepas itu Sarjan Arumugam pergi kepada OKT2 yang duduk di kerusi di belakang OKT1. Sarjan Arumugam menyoal OKT2 apa yang ada dalam bungkusan kertas kuning yang dikepit dengan kedua-dua kakinya. Atas arahan Sarjan Arumugam, OKT2 mengangkat bungkusan itu dan meletakkannya di atas kerusi. Atas arahan Sarjan Arumugam OKT2 membuka ikatan bungkusan itu. Sarjan Arumugam memasukkan jarinya ke dalam bungkusan itu yang di bahagian atas berisi beras. Beliau terasa ada satu bungkusan lagi. Beliau ketepikan beras di bahagian atas itu. Beliau koyak bungkusan yang terdapat di bawah beras itu dan nampak daun-daun kering. Beliau tanya OKT2 ” apa barang ini? ” OKT2 tidak menjawab. Sarjan Arumugam menyuruh OKT2 mengikat semula bungkusan itu. Semasa pemeriksaan OKT2 berada dalam keadaan takut. Sarjan Arumugam menahan kedua-dua mereka dan menyuruh mereka membawa bungkusan masing-masing turun daripada bas. Kedua-dua OKT dibawa ke satu pondok yang berhampiran.
Di pondok itu, Sarjan Arumugam menuang isi kandungan bungkusan (P3) yang didapati daripada OKT1. Mula-mula keluar beras diikuti dengan satu bungkusan daripada kertas suratkhabar, kemudian peket-peket pil dan selepas itu beras lagi. Beliau membuka bungkusan daripada kertas suratkhabar itu dan mendapati daun-daun kering yang disyaki ganja. Selepas itu beliau membuat pemeriksaan badan OKT1 dan menjumpai 3 botol ibu gula, wang sebanyak RM1,392.00 (wang Malaysia) dan 20 baht (wang Thailand), satu dompet duit yang mengandungi kad pengenalan dan surat pajak gadai. Beliau juga menjumpai satu tiket bas yang tempat duduknya bernombor 31 dan satu pas sempadan atas nama OKT1.
Selepas itu beliau melakukan proses yang sama terhadap bungkusan (P4) yang didapati daripada OKT2. Apabila bungkusan itu dituang, mula-mula keluar beras, diikuti oleh bungkusan daripada kertas suratkhabar, peket-peket pil dan beras. Bungkusan daripada kertas suratkhabar itu, apabila dibuka, didapati di dalamnya daun-daun kering yang disyaki ganja. Daripada pemeriksaan badan ke atasnya dijumpai satu dompet duit berisi RM12, satu cukai jalan dan satu pas sempadan. Turut dijumpai daripadanya adalah satu tiket bas yang tempat duduknya bernombor 32.
Mengikut beliau, di atas bas, tidak ada apa-apa barang di antara kerusi dengan tandas.
P.K. Ibrahim (PW7) juga memberi keterangan. Pada umumnya keterangannya lebih kurang serupa dengan keterangan Sarjan Arumugam. Antaranya beliau mengatakan bahawa beliau nampak bungkusan (P3) ” terletak di antara dua kaki OKT1. Saya boleh nampak. Saya sudah nampak sebelum Sarjan Arumugam panggil saya. ”
Berkenaan bungkusan yang terdapat daripada OKT2 (P4) beliau berkata: ” Bersama-sama OKT2, saya nampak satu bungkusan. Saya tak boleh ingat, sebab pada masa itu saya menumpu perhatian saya kepada OKT1 supaya jangan lepas lari. Saya nampak bungkusan kedua setelah Sarjan Arumugam mengarah OKT2 mengangkat bungkusan itu dan letak di tempat duduk di sebelah kiri. ” Sebelum itu beliau berkata, ” Semasa saya mengawal OKT1 saya nampak tidak ada apa-apa bungkusan di lorong di antara kerusi dengan tandas. ” Menjawab soalbalas oleh Encik Manjit Singh beliau berkata: ” Saya tidak bersetuju kedua-dua bungkusan (ID3, ID4) diletak di lorong dan bukan di celah kaki OKT1 dan OKT2 “.
Seorang lagi saksi yang memberi keterangan berkenaan pemeriksaan itu ialah Det. Const. Mohamed Ismail (PW8). Beliau bertugas di Padang Besar. Pada hari tersebut, selepas bertugas beliau hendak pergi ke Kangar. Beliau naik bas yang sama dengan yang dinaiki oleh OKT1 dan OKT2. Walaupun nombor tempat duduknya ialah No. 30 beliau duduk di kerusi No. 35. Sebelum bas bergerak OKT1 dan OKT2 menaiki bas itu. Mereka masing-masing membawa dengan kedua belah tangan satu bungkusan kertas kuning yang biasanya adalah bungkusan beras. Setelah bercakap-cakap dengannya (tak perlulah diperturunkan di sini) OKT1 dan OKT2 pergi duduk di kerusi belakang dengan OKT2 duduk di kerusi di belakang kerusi yang diduduki oleh OKT1. Seterusnya beliau berkata: ” OKT2 meletakkan bungkusannya di bawah di antara dua kakinya. OKT2 meletak di bawah juga… Tak ada apa-apa barang diletakkan di lorong di bahagian belakang atau di tepi kerusi saya. ” Kepada soalan oleh Encik Manjit Singh ” Masa Sarjan Arumugam dan P.K. Ibrahim membuat pemeriksaaan, bungkusan-bungkusan itu ada di lorong dan bukan di celah kaki mereka? ” beliau menjawab, ” Saya tidak setuju. ”
Ahli kimia (PW4) mengesahkan bahawa daun-daun kering (P16) yang didapati dari bungkusan kertas suratkhabar (P15) (iaitu yang didapati daripada OKT1) adalah ” cannabis ” seberat 382.4 gram. Beliau juga mengesahkan bahawa daun-daun kering (P23) yang terdapat dalam bungkusan suratkhabar (P24) (iaitu yang didapati daripada OKT2) adalah ” cannabis ” seberat 511.8 gram.
Semasa Sarjan Arumugam memberi keterangan, Timbalan Pendakwa Raya cuba mengemukakan senarai bongkar (search list) yang disediakan oleh Sarjan Arumugam yang mengandungi butir-butir barang-barang yang diambil daripada OKT1. Peguam-peguam OKT1 dan OKT2 membantah terhadap satu butiran di bilangan 2 yang menyebut:
Bil Nama Barang Di mana dijumpai Tanda Polis
2 Satu bungkusan di dalam kertas X1
suratkhabar kuning berisi
berisi ganja berisi (sic)
beras tanda ” X “.
Bantahan itu dibuat atas alasan tiada amaran diberikan.
Dalam kes Pendakwa Raya lwn. Rafudin bin Abdul Rafar (Wilayah Persekutuan Rayuan Jenayah Bil. 30/85), Shankar J. memutuskan bahawa senarai bongkar tidak boleh diterima sebagai ekshibit. Alasannya ialah wujudnya tandatangan tertuduh di atas dokumen itu menjadikannya satu pengakuan (confession) tertuduh bahawa dia memiliki barang-barang yang disenaraikan di dalamnya. Tanpa amaran diberi kemasukannya bercanggah dengan peruntukan s. 37A Akta Dadah Berbahaya. Penghakiman ini diikuti oleh Faiza Tambi Chik JC (pada masa itu) dalam kes Public Prosecutor V. Lim Mung Shaing [1989] 2 CLJ 326. Y.A. Pesuruhjaya Kehakiman itu mengatakan di mukasurat 329:
( ” the search list became a written statement which amounted to a confession once the accused put down his signature on it. ” )
Sementara itu Mohtar Abdullah JC (pada masa itu) dalam kes Public Prosecutor v. Gurchan Singh a/l Mall Singh [1990] 2 CLJ (Rep) 702 702 mempersoalkan kegagalan pendakwaan mengemukakan senarai bongkar. Daripada penghakiman-penghakiman lain yang dilaporkan dan juga dari pengalaman saya biasanya pihak pembelaan mengkritik pendakwaan kerana tidak mengemukakan senarai bongkar. Malah biasanya mereka cuba menggunakan anggapan di bawah s. 114(g) Akta Keterangan 1950kerana kegagalan pendakwaan mengemukakan senarai bongkar sebagai ekshibit.
Pihak pembelaan membuat bantahan terhadap penerimaan senarai bongkar ini atas alasan tiada amaran diberi. Timbalan Pendakwa Raya, semasa berhujah mengaku, dan saya bersetuju, bahawa jika senarai bongkar ini adalah satu pernyataan (statement) tertuduh, ia juga tidak boleh diterima kerana ia dibuat kepada seorang pegawai polis yang pangkatnya lebih rendah daripada Inspektor. Harus diingat pegawai yang menyediakan senarai bongkar ini adalah seorang Sarjan.
Jadi, dalam menimbang dan memutuskan persoalan ini, soalan-soalan berikut mestilah dijawab: Pertama, adakah senarai bongkar ini satu pernyataan tertuduh atau bukan? Kalau ia adalah satu pernyataan tertuduh, maka ia semestinya tidak boleh diterima kerana, pertama, ia dibuat kepada seorang pegawai polis yang pangkatnya lebih rendah daripada Inspektor, dan, kedua, kerana amaran tidak diberi – s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952. Sebaliknya, jika senarai bongkar itu bukan satu pernyataan tertuduh, maka peruntukan s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak ada kena-mengena dan tidak boleh dipakai untuk menghalang penerimaannya.
Senarai bongkar itu sendiri tidak syak adalah satu borang yang disediakan oleh pihak polis dengan ruang-ruangan kosong untuk diisikan. Borang itu yang asal adalah untuk pemeriksaan yang dibuat di sebuah rumah. Dalam kes ini ia diubahsuaikan untuk pemeriksaan di dalam bas. Senarai berkenaan mempunyai butir-butir laporan polis, butir-butir bas yang diperiksa, nama penumpang yang hadir semasa pemeriksaan dibuat, nama pegawai polis yang membuat pemeriksaan (search), masa dan tarikh pemeriksaan dibuat, butir-butir barang-barang yang dijumpai, di mana dijumpai dan tanda yang diberi oleh pegawai polis itu kepada barang-barang itu. Di bahagian bawah sekali di sebelah kiri terdapat perkataan ” Tandatangan penumpang bas menerima salinan senarai bongkar ini dengan “. Di bawahnya terdapat tandatangan OTK1 serta nama dan nombor kad pengenalannya.
Kembali kepada perkataan ” Tandatangan penumpang bas menerima salinan senarai bongkar ini dengan ” yang terdapat di bahagian bawah senarai bongkar itu. Sebenarnya perkataan ” penumpang bas ” itu ditaip di atas dan bagi menggantikan perkataan ” penghuni ” yang dipotong. Adalah nyata perkataan ” yang ” sepatutnya dimasukkan selepas perkataan ” bas “. Sebaliknya perkataan ” dengan ” tidak sepatutnya ada langsung. Walau bagaimanapun adalah jelas mengikut senarai bongkar itu tandatangan tertuduh yang terdapat di bawah perkataan itu adalah tandatangan penumpang bas yang menerima salinan senarai bongkar itu.
Dalam penghakiman saya adalah jelas bahawa tandatangan OKT1 itu adalah semata-mata sebagai pengakuan penerimaan salinan senarai bongkar itu sahaja dan tidak lebih dari itu. Juga, dalam penghakiman saya, hakikat bahawa OKT1 menurun tandatangannya itu tidak menjadikan senarai bongkar itu pernyataan atau pengakuannya.
Sayugia diingat borang itu adalah borang polis, ia diisi oleh Sarjan Arumugam sendiri, bukan dirakamkan olehnya dari apa yang dicakapkan oleh OKT1 seperti dalam pernyataan beramaran. Malah penurunan tandatangan itu sama seperti seorang defendan menurun tandatangan mengakui penerimaan sesuatu writ dan/atau pernyataan tuntutan dalam guaman sibil, atau seorang tertuduh menurun tandatangan mengakui penerimaan penyerahan laporan kimia. Dalam misalan pertama yang disebut di atas seseorang defendan itu tidak disifatkan sebagai mengakui tuntutan terhadapnya. Dalam misalan kedua seorang tertuduh itu tidak disifatkan sebagai mengakui apa yang tersebut dalam laporan kimia itu. Demikian juga dalam hal ini penurunan tandatangan oleh OKT itu tidak menjadikan dia disifatkan sebagai mengakui kandungannya dan menjadikan kandungan itu pernyataannya. Tandatangan itu hanya sebagai pengakuan penerimaan salinan senarai itu sahaja.
Oleh itu dalam penghakiman saya senarai bongkar itu bukanlah satu pernyataan OKT1 dan oleh itu, peruntukan s. 37Atidak ada kena-mengena langsung.
Atas alasan-alasan tersebut di atas saya menolak bantahan ini dan memutuskan bahawa senarai bongkar itu (P29) boleh diterima sebagai keterangan. (Atas alasan yang sama saya juga menerima kemasukan senarai bongkar berkenaan barang-barang yang dijumpai daripada OKT2 (P30).
Walau bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa senarai bongkar bukanlah satu keterangan substantif dan saya tidak mengambil kira senarai-senarai bongkar itu dalam memutuskan samada pendakwaan berjaya membuktikan kesnya atau tidak.
Saya bersetuju dengan pendapat yang diberi oleh K.C. Vohrah J. dalam kes Public Prosecutor v. Chin Hock Aun [1989] 1 MLJ 598 bahawa tidak ada obligasi undang-undang bagi pihak polis dalam pemeriksaan seperti dalam kes itu, dan pada pandangan saya sama juga dengan keadaan dalam kes ini, untuk menyediakan senarai bongkar dan menyerahkannya kepada tertuduh. Tetapi atas alasan yang saya beri di atas, jika dibuat ia boleh dikemukakan dan diterima sebagai ekshibit, bukan untuk membuktikan sesuatu tetapi untuk mengelak hujah seperti yang dibangkitkan dalam kes Public Prosecutor v. Chin Hock Aun itu dan juga untuk menolak sebarang tohmah berkenaan barang-barang, terutama sekali yang bernilai, yang dirampas. Untuk tujuan-tujuan itu saya berpendapat amalan menyediakan dan mengemukakan senarai bongkar eloklah diteruskan, walaupun, seperti dalam keadaan kes ini, tiada obligasi undang-undang untuk menyediakannya.
Di akhir kes pendakwaan, Encik Manjit Singh menghujahkan bagi pihak kedua-dua OKT bahawa keterangan yang diberi oleh ahli kimia (PW4) adalah tidak mencukupi untuk Mahkamah membuat keputusan bahawa daun-daun kering itu adalah ganja dan beratnya adalah seperti yang dikatakannya kerana beliau tidak menerangkan cara beliau membuat pemeriksaan dan penganalisaan.
Di sini eloklah diperturunkan sepenuhnya keterangan yang diberi oleh ahli kimia itu berkenaan persoalan ini. Katanya:
Saya periksa dan analisa kandungan E1 dan E2 dan mendapati dalam E, satu kotak cardboard bertanda X1. Di dalamnya terdapat satu bungkusan suratkhabar yang juga bertanda X1 mengandungi 382.4 gram cannabis (ganja).
Itu berkenaan daun-daun kering yang dijumpai daripada OKT1. Berkenaan daun-daun kering yang dijumpai daripada OKT2 beliau berkata:
Saya memeriksa dan menganalisa isi kandungan E3 dan E4 dan mendapati dalam E3 satu kotak cardboard mengandungi bungkusan suratkhabar bertanda Y1, berisi 511.8 gram cannabis.
Dan seterusnya,
Cannabis adalah dadah berbahaya seperti yang ditafsirkan dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam hal ini rasanya, memadailah saya mengambil panduan daripada dua keputusan Mahkamah Agung. Pertama kes Munusamy V. Public Prosecutor [1936] 1 LNS 32. Perkara yang menarik perhatian ialah ahli kimia dalam kes itu adalah ahli kimia yang sama dengan PW4 dalam kes ini. Dalam kes itu juga dadah yang diperiksa dan dianalisanya adalah ” cannabis “. Tetapi terdapat satu perbezaan yang penting, iaitu dalam kes itu dia menyebut ujian-ujian yang dilakukannya yang menyebabkan dia berpendapat bahawa barang yang diperiksa dan dianalisanya adalah ” cannabis “.
I conducted physical examination on the materials within the paper rolls. I satisfied myself that all the contents of all the rolls were identical and of similar material. I performed colour test, miscroscopic examination, and thin-layer chromatography to identify the nature of the material. I found all of them to be cannabis…
Mahkamah Agung memutuskan bahawa penerimaan pendapat ahli kimia itu oleh hakim yang membicarakan kes itu adalah betul. Mohamed Azmi SCJ, yang menulis keputusan Mahkamah itu berkata di mukasurat 226:
On the above evidence, we find it difficult to appreciate the validity of various criticisms levelled at Mr. Ng. There was no dispute that Mr. Ng had been a chemist with the Chemistry Department for 12 years. He possessed a B.Sc. degree in Chemistry and Biology, and had given expert evidence in court, and such evidence had been accepted in the High Court in drug cases. As a rule, a chemist in drug cases does not give any opinion as to ownership, control or possession of the substance sent for analysis, but he merely reports the result of the chemical examination of the substance. The only reason for sending the exhibits to the chemist is to determine their identity and to confirm what other witnesses have suspected. This type of opinion must in our view be distinguished from opinions which are of very technical or complicated nature, such as those given by handwriting, trademark, copy right or ballistic experts. Without being derogatory it is common knowledge that even animals, such as snuff dogs when sufficiently trained, are able to detect certain dangerous drugs. We are therefore of the view, that is this type of cases where the opinion of the chemist is confined only to the elementary nature and identity of substance, the court is entitled to accept the opinion of the expert on its face value, unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible evidence is given by the chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into details of what he did in the laboratory, step by step.
Dalam kes Ng Yiu Kwok and Others v. Public Prosecutor [1989] 1 LNS 52[1989] 3 MLJ 166 penerimaan pendapat ahli kimia dicabar juga. Dadah dalam kes itu adalah heroin. Seperti yang tersebut dalam penghakiman Dzaiddin J. dalam kes itu ahli kimia itu memberi keterangan seperti berikut:
I first examined packet ” E “. I found a plastic packet containing an off-white powder marked ” E “. I then took a net weight of the powder and found it to weigh 2,708 grammes. I sampled up a small amount of the total weight…
I sampled a small amount of substance from each packet. I carried out a qualitative analysis of the samples from packets ” E ” to ” I “. I found each sample to contain heroin. I then proceeded to get a quantitative estimation of the samples (content of heroin). I found in packet ” E ” contained 2525 grammes of heroin; packet ” F ” contained 2535 grammes of heroin; packet ” G ” contained 2594 grammes of heroin; packet ” H ” contained 2575 grammes of heroin; and packet ” I ” contained 2530 grammes of heroin.
Dalam memutuskan bahawa keputusan Dzaiddin J. adalah betul dalam menerima keterangan ahli kimia itu, Hashim Yeop A. Sani CJ (Malaya), menyampaikan keputusan Mahkamah Agung dalam kes itu berkata:
The other issue raised on behalf of all the appellants was that the learned judge should not have accepted the evidence of the chemist, PW27. This objection arose because in his grounds of decision the learned judge said that he had to accept the evidence of the chemist because of the lack of cross-examination. On perusing the grounds of decision of the learned judge we disagreed that this was the real ground for his accepting the evidence of the chemist. The chemist (PW27) had more than ten years experience in his work and when he examined the exhibits given to him by the police he was very specific in his findings. He carried out a qualitative analysis of the samples and found each sample to contain heroin. Then he proceeded to get a quantitative estimation of the samples and found that packet ‘E’ contained 2,525 g of heroin; packet ‘F’ contained 2,535 g of heroin; packet ‘G’ contained 2,594 g of heroin; packet ‘H’ contained 2,575 g of heroin and packet ‘I’ contained 2,530 g of heroin.
We were of the view that it was correct for the learned judge to accept the evidence of the chemist because it was clear from the notes of proceedings that the chemist was a qualified and experienced chemist and the instructions given to him by the police were clear and his findings were specific.
Perlu diambil perhatian bahawa dalam kes Munusamy ahli kimia itu menyebut bahawa dia melakukan ” colour test, microscopic examination and thin-layer chromatography “. Dalam kes Ng Yiu Kwok dia menyebut bahawa dia melakukan ” qualitative analysis ” dan ” qualitative estimation “. Dalam kes ini ahli kimia berkenaan tidak menyebut demikian. Dia cuma menyebut dia ” memeriksa dan menganalisa ” bahan berkenaan.
Soalnya bolehkah keterangan ahli kimia itu bahawa bahan itu adalah ” cannabis ” diterima? Dalam perkataan lain adakah saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan bahawa daun-daun kering yang dikemukakan di Mahkamah itu dan yang mengikut ahli kimia itu diperiksa dan dianalisa olehnya dan mendapatinya ” cannabis ” itu ” cannabis ” ?
Jawapannya ialah saya berpuashati ia adalah ” cannabis “, memandangkan bahawa PW4 adalah seorang ahli kimia yang layak dan berpengalaman, bahawa ini bukanlah kali pertama beliau memeriksa dan menganalisa ” cannabis “, bahawa pendapat yang diberi itu bukanlah satu pendapat yang teknikal dan ” complicated “, bahawa tujuan bahan itu dihantar kepadanya adalah jelas dan dia tahu apa yang dikehendaki daripadanya dan bahawa keterangannya tidak dicabar langsung.
Saya juga tidak fikir bahawa Mahkamah Agung dalam kedua-dua kes yang tersebut di atas bermaksud untuk menetapkan standard yang minima yang perlu disebut oleh seseorang ahli kimia dalam keterangannya sebelum pendapatnya boleh diterima. Apakah yang terlalu penting samada ahli kimia menyebut nama ujian yang dilakukannya atau tidak? Hanya dengan menyebut ” colour test, microscropic examination and thin-layer chromatography ” seperti dalam kes Munusamy atau ” qualitative analysis ” dan ” quantitative estimation ” seperti dalam kes Ng Yiu Kwok and Others v. Public Prosecutor [1989] 1 LNS 52[1989] 3 MLJ 166, tanpa menjelaskannya, adalah Mahkamah mengetahui apa yang sebenarnya dilakukan oleh ahli kimia itu dan dengan itu Mahkamah boleh berkata, dalam keadaan itu, ia berpuashati bahawa pendapat ahli kimia itu adalah betul? Dan, sebaliknya oleh sebab ahli kimia itu cuma berkata bahawa dia ” memeriksa dan menganalisa “, Mahkamah tidak sepatutnya berpuashati dengan pendapatnya? Bagi saya kegagalan menyebut nama-nama ujian yang dijalankan itu bukanlah satu perkara yang membangkitkan was-was terhadap keputusannya dan oleh itu keterangannya tidak patut diterima. Oleh itu, dalam keadaan seperti dalam kes ini, di mana seorang ahli kimia yang berkelayakan dan berpengalaman, yang mengatakan dia memeriksa dan menganalisa bahan berkenaan, yang keterangannya tidak dicabar langsung, dan tidak ada apa-apa keterangan oleh sesiapa bahawa bahan itu bukan ” cannabis “, saya tidak was-was langsung bahawa bahan itu adalah ” cannabis “.
Berat ” cannabis ” dalam kes ini adalah 382.4 gram dan 511.8 gram. Oleh itu, seperti dalam kes Munusamy jauh melebihi had 200 gram bagi menimbulkan anggapan di bawah s. 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952. Tidak ada sebab saya tidak patut menerima keterangan PW4 berkenaan beratnya.
Di akhir kes pendakwaan, saya menimbang keterangan saksi-saksi pendakwaan, terutama sekali keterangan Sarjan Arumugam, P.K. Ibrahim dan Det. Konst. Mohamed. Saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan bahawa bungkusan P3 yang di dalamnya terdapat ” cannabis ” seberat 382.4 gram itu semasa pemeriksaan dibuat berada di antara dua kaki OKT1 dan oleh itu OKT1 mempunyai jagaan dan kawalan ke atasnya. Demikian juga saya berpuashati bahawa bungkusan P4 yang di dalamnya terdapat ” cannabis ” seberat 511.8 gram itu berada di antara dua kaki OKT2 semasa pemeriksaan. Oleh itu anggapan (d) dan (da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah terpakai terhadap mereka masing-masing.
Saya juga berpuashati bahawa rangkaian keterangan telah dibuktikan dengan baik.
Oleh itu, saya berpendapat bahawa ada kes terhadap OKT1 dan OKT2, masing-masing, seperti pertuduhan terhadap mereka masing-masing, yang ” jika tidak disangkal akan mengakibatkan sabitan terhadapnya ” – s. 180 Kanun Acara Jenayah. Oleh itu saya memanggil kedua-dua mereka membela diri masing-masing.
OKT1 memilih membuat pernyataan tak bersumpah dari dalam kandang. Mengikutnya, pada hari tersebut dia hendak pergi ke Padang Besar untuk membeli kain baju untuk berniaga. Dia bawa wang sebanyak RM1,450.00. Dia keluar dari rumah lebih kurang pukul 8.00 pagi. Semasa berjalan di jalanraya, sebuah motorsikal datang. Dia menahan motorsikal itu dan menumpangnya ke Balai Baru. Dari itu mereka berdua menaiki teksi ke Padang Besar. Mereka masuk ke Padang Besar melalui Imigresen. Sampai di Padang Besar mereka berpecah. OKT1 tidak membeli kain baju yang hendak dibelinya kerana tidak ada. Dia menunggu kawannya itu di sebuah kedai kopi. Apabila kawannya datang mereka makan nasi. Selepas itu dia beli satu bungkusan beras dan masukkan dalam plastik kuning. Mereka balik ke Malaysia melalui pos imigresyen. Dia menyerahkan bungkusannya untuk diperiksa oleh kastam. Di atas titi, dalam perjalanan balik dia berjumpa dengan seorang anggota U.P.P. yang bertanya apa yang dibawanya. Oleh sebab tidak ada teksi mereka pergi ke stesyen bas. OKT1 membeli dua tiket bas Ekspres Ebban nombor tempat duduk 31 dan 32. Oleh sebab kerusinya diduduki oleh dua orang India dia pergi duduk di kerusi nombor 37. Sebelum duduk dia letak bungkusannya di atas para.
Sampai di sekatan jalanraya, bas itu ditahan oleh anggota-anggota U.P.P. Seorang anggota U.P.P. berbangsa India naik ke atas bas dan membuat pemeriksaan. Apabila beliau sampai kepada OKT1, beliau bertanya ” ini bungkusan siapa? ” Dia dipaksa membuka bungkusan itu. Anggota U.P.P. itu menyuruhnya ” mengaku bungkusan yang di lorong “. Dia tidak mengaku. Selepas itu anggota U.P.P. itu menyuruh seorang anggota U.P.P. lagi menjaganya, manakala anggota U.P.P. itu memeriksa kawannya. Kemudian dia dipaksa turun daripada bas itu membawa bungkusan itu ke sebuah pondok. Di pondok itu anggota U.P.P. itu menuang beras dari bungkusan itu ke atas kertas dan terdapat satu bungkusan suratkhabar di dalamnya. Lepas itu dia dibawa naik Land Rover. Dalam Land Rover anggota U.P.P. itu pijak kakinya dan menyuruhnya mengaku. Dia tidak mengaku. Di pejabat U.P.P. di atas tangga anggota U.P.P. itu menampar mukanya. Di pejabat itu anggota U.P.P. menyuruh dia mengaku lagi tetapi dia tetap tidak mengaku.
Perlu diambil perhatian di sini bahawa sepanjang pernyataannya OKT1 tidak menyebut nama atau mengecam (identify) siapakah ” kawan ” nya itu.
Oleh sebab keterangan OKT2 berkait rapat dengan pernyataan OKT1, eloklah diperturunkan keterangannnya terlebih dahulu sebelum menimbang pembelaan mereka. OKT2 memberi keterangan bersumpah.
Keterangannya bagaimana dia berjumpa dengan OKT1 dan sama-sama pergi ke Padang Besar adalah serupa dengan apa yang diceritakan oleh OKT1. Di Padang Besar, selepas mereka berpisah dia (OKT2) membeli dua beg tangan perempuan, satu besar (lebih kurang sekaki panjang) dan satu lagi kecil. Keterangannya berkenaan mereka berjumpa semula, makan, membeli beras dan masuk semula ke Malaysia, dan menaiki bas untuk ke Kangar juga serupa. Walau bagaimanapun dia menekankan bahawa OKT1 tidak bercakap kepada sesiapa selain daripada lelaki India yang duduk di kerusi mereka. OKT2 juga mengatakan sebelum dia duduk dia nampak satu bungkusan di lorong dekat dengan kerusinya tetapi di belakang sedikit. Dia juga mengatakan di lorong dekat dengan kerusi OKT1 terdapat juga beberapa bungkusan. OKT2 seterusnya berkata dia meletak bungkusan berasnya di atas para. OKT1 juga berbuat demikian. Berkenaan pemeriksaan oleh Sarjan Arumugam, OKT2 mengatakan Sarjan Arumugam bertanya kepadanya berkenaan bungkusan di lorong dan memaksanya membukanya. Kemudian Sarjan Arumugam memasukkan jarinya ke dalam beras yang terdapat di dalam bungkusan itu dan mengorek-ngorek dengan jarinya. Lepas itu Sarjan Arumugam menyuruhnya mengikat bungkusan itu semula dan membawa bungkusan itu turun dan pergi ke suatu pondok. Sarjan Arumugam menyuruh seorang anggota lain menjaga OKT1 dan OKT2 dan naik semula ke atas bas. Apabila Sarjan Arumugam datang semula ke pondok itu beliau membuka bungkusan itu. Lepas itu mereka dibawa ke pejabat U.P.P. Chuping. Dalam perjalanan Sarjan Arumugam memijak kakinya.
Ringkasnya pembelaan OKT1 dan OKT2 ialah bungkusan-bungkusan beras yang mereka beli mereka letak di atas para. Bungkusan-bungkusan yang mengandungi ganja itu terletak di lorong berhampiran dengan kerusi mereka bukan di celah kaki mereka masing-masing. Bungkusan-bungkusan yang berisi ganja itu bukan kepunyaan mereka.
Eloklah disebut di sini bahawa dalam pernyataan OKT1, jawapan-jawapan yang diberinya kepada soalan-soalan Sarjan Arumugam telah, tanpa disedari, termasuk sebagai keterangan. Demikian juga semasa OKT2 memberi keterangan dalam pemeriksaan utama, beberapa jawapannya kepada soalan-soalan Sarjan Arumugam juga termasuk. Walau bagaimanapun semasa OKT2 masih memberi keterangannya, Timbalan Pendakwa Raya membantah kemasukan jawapan-jawapan OKT2 kepada Sarjan Arumugam. Alasannya ialah jawapan-jawapan itu adalah pernyataan OKT2 kepada seorang pegawai polis yang berpangkat rendah daripada Inspektor.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak dan mengambil perhatian penghakiman Edgar Joseph Jr. J. dalam kes Public Prosecutor v. Neoh Wan Kee [1984] 1 LNS 135[1985] 1 MLJ 368, saya memutuskan bahawa jawapan-jawapan OKT2 kepada Sarjan Arumugam adalah pernyataan dan tidak boleh dimasukkan sebagai keterangan kerana bercanggah dengan peruntukan s. 37A Akta Dadah Berbahaya 1952sebab pernyataan itu dibuat kepada seorang pegawai polis yang berpangkat rendah daripada Inspektor. Dalam perkataan lain pernyataan itu tidak boleh dimasukkan samada melalui pegawai polis ataupun oleh tertuduh itu sendiri. Oleh itu saya memutuskan bahawa jawapan-jawapan OKT2 itu tidak boleh diterima sebagai keterangan dan apa-apa pernyataannya yang sedemikian itu yang telah termasuk adalah diketepikan dan tidak akan diambilkira.
Demikian juga halnya dengan jawapan-jawapan OKT1 yang diberinya kepada Sarjan Arumugam yang telah termasuk semasa OKT1 membuat pernyataan dari dalam kandang. Saya mengikuti penghakiman Sharma J. dalam kes Public Prosecutor V. Sanassi [1970] 1 LNS 118dan mengenepikan jawapan-jawapan itu.
Dengan itu, eloklah saya menimbang pembelaan OKT1.
OKT1 memberi pernyataan tak bersumpah dari dalam kandang. Oleh itu pernyataannya tidak diuji melalui pemeriksaan balas seperti seorang saksi yang memberi keterangan bersumpah. Walau bagaimanapun saya memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada pernyataannya itu. Oleh sebab pembelaan OKT1 dan OKT2 adalah sama, maka dalam menimbang kemungkinan benarnya pembelaan OKT1, keterangan OKT2 hendaklah diambilkira juga.
Beberapa perkara perlu diambil perhatian berkenaan pernyataan OKT 1. Pertama, beliau tidak menyebut langsung siapakah ” kawan ” nya itu walaupun andaiannya dia adalah OKT2. Kedua, adalah aneh bagi seorang yang pergi ke Padang Besar untuk membeli kain baju untuk berniaga, tidak membelinya kerana kain baju itu tidak ada. Seorang ahli perniagaan sepatutnya memastikan terlebih dahulu bahawa barang yang hendak dibelinya ada sebelum pergi.
Walau bagaimanapun persoalan pokoknya ialah adakah pembelaan OKT1 yang terdiri daripada pernyataannya dan juga keterangan bersumpah OKT2 berjaya menimbulkan was-was yang berpatutan terhadap kes pendakwaan bahawa bungkusan yang mengandungi cannabis itu berada di antara kedua-dua kakinya semasa pemeriksaan dibuat.
Oleh sebab pembelaan OKT2 juga serupa dengan OKT1 dan keterangan OKT2, jika diterima, boleh menyokong pembelaan OKT1, dan sebaliknya maka, untuk mengelak ulangan, patutlah pembelaan OKT2 ditimbang bersama.
Satu perkara yang amat ketara berkenaan cara OKT2 menjawab soalan-soalan dalam pemeriksaan balas ialah dia mengambil masa yang sangat lama sebelum menjawab sesuatu soalan. Banyak kali apabila sesuatu soalan ditanya, dia hanya mendiamkan diri. Apabila diulangi dia mengatakan ” tak faham “. Dalam hal seperti itu saya mengambil tanggungjawab menjelaskan soalan itu kepadanya. Itupun beliau hanya menjawab setelah berdiam diri beberapa lama pula, dan jawapannya pula kerapkali ” tak faham ” atau ” tak tahu “.
Selain dari itu terdapat pula keanehan dalam keterangan OKT2 jika dibandingkan dengan pernyataan OKT1. OKT1 mengatakan dia kerja bendang. OKT2 berkata dia tak pernah lihat OKT1 bekerja bendang. Perlu diambil ingatan mereka mengenali di antara satu sama lain semenjak dari kecil, tinggal sekampung dan mengikut keterangan OKT2 sendiri, mereka ” boleh dikatakan kawan baik ” dan OKT2 selalu pergi ke kedai OKT 1.
OKT1 juga berkata bahawa beliau pergi ke Padang Besar untuk membeli kain baju untuk berniaga. Tetapi OKT2 berkata dia tidak tahu samada OKT1 berniaga barang-barang lain, selain daripada berkedai runcit. Saya tidak tahu samada mereka hendak menyembunyikan sesuatu atau mengada-adakan sesuatu dan sebab itu dalam perkara-perkara yang semudah itupun tidak ada persamaan.
Adalah juga satu perkara yang aneh bahawa OKT2 yang sama-sama pergi dan sama-sama balik dengan OKT1 tidak tahu tujuan OKT1 pergi ke Padang Besar. Beliau juga tidak memberitahu apa tujuan beliau sendiri pergi ke Padang Besar.
Atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya saya pergi melihat keadaan bas berkenaan. Saya perhatikan bahawa tempat duduk nombor 39 dan 40 dan sebahagian daripada tempat duduk 37 dan 38 adalah bertentangan dengan pintu tandas. Lebar lorong di antara kerusi-kerusi itu dengan tandas adalah lebih kurang 1 kaki 2 inci. Lubang para untuk letak barang-barang tingginya lebih kurang 7 atau 8 inci. Para itu tidak sampai ke hujung bas. Ia berakhir kira-kira di pertengahan tempat duduk nombor 37 dan 38.
Mengikut OKT2 ada lebih daripada dua bungkusan terletak di lorong itu. Juga tidak ada orang lain duduk di kerusi nombor 37 dan 38 mahupun di kerusi nombor 39 dan 40.
Dua persoalan timbul di sini. Pertama adalah kurang munasabah sesiapa mahu meletakkan bungkusan-bungkusan beras betul-betul di hadapan pintu tandas, pertama, kerana jijik, dan kedua, kerana itu akan menghalang orang masuk keluar tandas memandangkan bahawa lorong itu sempit. Malah OKT2 juga akan menghadapi masalah untuk masuk ke tempat duduknya. Sayugia diingat OKT2 mengatakan dia tidak menghadapi apa-apa masalah untuk masuk ke tempat duduknya. Kedua, adalah lebih berkemungkinan bungkusan-bungkusan itu diletak di situ kiranya ada orang lain duduk di kerusi 37 dan 38 dan juga 39 dan 40 selain daripada OKT1 dan OKT2. Sebab, biasanya penumpang bas meletak bungkusan masing-masing berdekatan tempat duduknya.
Semasa lawatan ke bas itu OKT2 berjaya memasukkan bungkusan P4 ke dalam para. Sekali imbas ini menyokong ceritanya bahawa dia meletakkan bungkusan berasnya di atas para. Tetapi demonstrasi itu hanya boleh menyokong OKT2 (dan juga OKT1) jika saya terima keterangan OKT2 bahawa beras yang dibelinya hanya sebanyak yang terdapat dalam P4 pada hari perbicaraan (lebih kurang separuh bungkusan) dan sekiranya saya was-was tentang keterangan saksi-saksi pendakwaan bahawa bungkusan P4 dijumpai di antara dua kaki OKT2.
Di sini perlulah ditimbang semula keterangan saksi-saksi pendakwaan bersama-sama pernyataan OKT1 dan keterangan OKT2 samada saya berpuashati melampaui was-was yang berpatutan bahawa bungkusan-bungkusan P3 dan P4 dijumpai di antara dua kaki OKT1 dan OKT2, masing-masing.
Saya perhati gerak-geri Sarjan Arumugam dan mendengar keterangannya. Saya dapati beliau seorang saksi yang boleh dipercayai.
P.K. Ibrahim pula kelihatan agak gugup tetapi saya juga tidak mendapati apa-apa sebab untuk merasa was-was tentang keterangannya.
Det. Konst. Mohamed, penumpang bas amat meyakinkan saya. Dari air mukanya, gerak-gerinya, percakapannya dan keterangannya saya yakin beliau bukan jenis orang yang sanggup memberi keterangan palsu yang boleh mengakibatkan hukuman mati kepada seorang yang tidak bersalah. Sekiranya beliau bertujuan menguatkan kes pendakwaan, beliau boleh memberi keterangan yang serupa seperti yang diceritakan oleh Sarjan Arumugam. Dalam perkataan lain beliau boleh mengatakan beliau melihat segala-gala yang berlaku di antara Sarjan Arumugam dengan OKT1 dan OKT2. Tetapi tidak. Beliau cuma menceritakan apa yang beliau nampak. Dari kedudukan kerusinya yang bertentangan dengan kerusi yang diduduki oleh OKT1 dan terkehadapan sedikit daripada kerusi yang diduduki oleh OKT2 saya berpuashati beliau boleh nampak seperti apa yang diceritanya. Beliau juga bukan salah seorang anggota yang membuat pemeriksaan.
Peguam OKT2 menghujahkan bahawa keterangan Det. Konst. Mohamad (PW8) tidak boleh diterima kerana kawad cam tidak diadakan. Katanya, tanpa kawad cam, tidak mungkin Det. Konst. Mohamad boleh cam OKT1 dan OKT2.
Pada pendapat saya hujah ini tidak berasas. Keterangan seseorang saksi berkenaan pengenalan seseorang tertuduh bukan semestinya terletak kepada kawad cam diadakan atau tidak. Soalannya, bolehkah dalam keadaan kejadian itu berlaku saksi itu boleh cam tertuduh atau tidak. Dalam kes ini Det. Konst. melihat OKT1 dan OKT2 mulai daripada mereka menaiki bas. Beliau bercakap dengan OKT1. Mereka duduk bertentangan dengannya sepanjang perjalanan. Beliau melihat mereka diperiksa. Kesemuanya mengambil masa yang lama dan di waktu siang hari. Dalam keadaan itu saya tidak was-was beliau boleh cam mereka. Lagi pula, dalam kes ini, soal pengenalan OKT1 dan OKT2 bukanlah satu perkara yang dipertikaikan. Sarjan Arumugam dan P.K. Ibrahim juga cam mereka. OKT1 dan OKT2 juga tidak mengatakan bukan mereka yang duduk di kerusi-kerusi berkenaan.
Selain dari itu ketiga-tiga mereka tidak mengenali OKT1 dan OKT2 sebelum itu. Jadi tidak ada sebab bagi mereka untuk menganiayai OKT1 dan OKT2.
Kembali semula kepada kemungkinan OKT1 dan OKT2 meletakkan bungkusan-bungkusan beras di atas para. Sebagaimana saya sebutkan lebih awal para itu tidak sampai ke bahagian hujung (belakang) bas. Jika benar OKT1 dan OKT2 meletakkan bungkusan-bungkusan itu di atas para ia bererti, sekurang-kurangnya, satu daripada bungkusan itu berada di atas kepala penumpang lain. Adalah kurang munasabah bagi seseorang meletakkan bungkusan-bungkusannya di atas para yang terletak bertentangan dengan kepala orang lain.
Juga, adalah kurang munasabah bagi seseorang meletakkan bungkusan beras di atas para bas. Pertama, beras adalah berat dan mudah tumpah. Dalam hal ini keterangan saksi-saksi pendakwaan yang mengatakan bahawa mereka melihat bungkusan-bungkusan yang nampaknya seperti bungkusan beras penumpang-penumpang lain diletak di atas lantai. Ini lebih munasabah terutama sekali jika dikepit di celah kaki kerana ia tidak akan terbalik jika bas membelok.
Saksi-saksi pendakwaan juga mengatakan barang-barang yang terletak di atas para adalah barang-barang seperti kertas tisu dan barang-barang plastik. Ini juga lebih munasabah kerana barang-barang itu ringan dan tidak boleh tumpah.
OKT1 dan OKT2 mengatakan bahawa bungkusan beras mereka dimasukkan ke dalam beg plastik kuning. Hal beg plastik kuning ini mula-mula timbul semasa PW1, pemandu bas, memberi keterangan. Semasa memberi keterangan, dalam pemeriksaan awal, beliau telah menunjuk kepada bungkusan-bungkusan yang terletak di lantai Mahkamah dan berkata: ” Saya lihat mereka bawa beras dalam bungkusan kertas kuning yang dibalut dengan beg plastik kuning yang nipis. ” Walau bagaimanapun kemudiannya beliau berkata: ” Bila saya lihat gambar baru saya ingat beg plastik tidak ada. ”
Sebaliknya Sarjan Arumugam, P.K. Ibrahim dan Det. Konst. Mohamad semuanya berkata beg plastik kuning itu tidak ada semasa pemeriksaan dibuat. ASP Yap Seng Hock (PW13), pegawai penyiasat, dalam keterangannya mengatakan bahawa semasa beliau menerima kedua-dua bungkusan P3 dan P4 daripada Sarjan Arumugam, kedua-dua bungkusan itu tidak mempunyai beg plastik. Beliau juga memberi keterangan bahawa pada 26 Jun 1985 beliau memasukkan bungkusan P3 dan P4 ke dalam plastik kuning kerana takut kertas bungkusan P3 dan P4 pecah dan beras keluar (tumpah). Perlu diambil perhatian bahawa beliau tidak disoalbalas langsung oleh peguam-peguam OKT1 dan OKT2.
Selain daripada itu, saya perhatikan bahawa pemandu bas itu (PW1) adalah seorang yang amat pelupa, ” confused “, tidak mengambil hirau dan/atau takut memberi keterangan. Apabila disoal beliau kerap berdiam diri dan, apabila didesak berkata beliau tidak pasti kerana kejadian itu berlaku lebih kurang lima tahun dahulu dan ” seolah-olah sudah luput (dari ingatan) dan tidak berbangkit. ” Dia tidak ingat nama bapa pemandu kedua, dia tak tahu berapa orang penumpang pada hari itu, dan tidak pasti samada terdapat pintu kecemasan di bahagian belakang bas itu atau tidak, dia terlupa samada dalam bas itu ada para atau tidak, mula-mula dia berkata dalam bas itu tidak ada tandas tetapi apabila ditunjuk gambar beliau berkata ada tandas. Di suatu ketika semasa dalam pemeriksaan balas, beliau nampak seolah-olah penat menyebabkan saya terpaksa menangguh perbicaraan sebentar.
Dalam keadaan seperti ini keterangannya tidak boleh diberi terlalu banyak ” weight “.
Dalam keadaan ini saya yakin bahawa plastik kuning yang di dalamnya dimasukkan bungkusan P3 dan P4 seperti yang dilihat di Mahkamah tidak ada semasa pemeriksaan. Orang yang memasukkan bungkusan-bungkusan P3 dan P4 itu ke dalam plastik kuning P40 dan P41 itu adalah ASP Yap pada 26 Jun 1985.
Plastik kuning itu penting kerana satu sebab. Tanpa plastik itu membalut bungkusan-bungkusan P3 dan P4 tidak mungkin bungkusan-bungkusan beras boleh diletak di atas para seperti yang diceritakan oleh OKT2, kerana besar kemungkinan bungkusan-bungkusan kertas kuning itu akan pecah dan beras akan tumpah.
Atas alasan-alasan yang tersebut di atas, saya menerima keterangan pendakwaan bahawa kertas kuning itu tidak ada semasa pemeriksaan dibuat, dan saya dapati cerita OKT1 dan OKT2 bahawa mereka meletak bungkusan-bungkusan beras mereka di atas para tidak mungkin benar.
Selain daripada itu, samada sesuatu bungkusan itu boleh diletak di atas para atau tidak tertakluk kepada tinggi atau rendahnya bungkusan itu. Bungkusan P4 dengan isi sebanyak yang ada pada hari demonstrasi dibuat, iaitu lebih kurang separuh boleh dimasukkan di atas para bas itu setelah digoncang ke kiri dan kekanan. Tetapi perlu diambil perhatian bahawa mengikut saksi-saksi pendakwaan (Sarjan Arumugam, P.K. Ibrahim, Det. Konst. Mohamed dan ASP Yap) kesemuanya mengatakan bungkusan-bungkusan P3 dan P4 adalah lebih tinggi. Ini adalah kerana, mengikut pendakwaan, bungkusan kertas suratkhabar yang mengandungi daun-daun ganja itu ada di dalam bungkusan itu.
Oleh sebab saya yakin tentang kebenaran cerita saksi-saksi pendakwaan bahawa bungkusan P3 dan P4 dijumpai di celah kaki OKT1 dan OKT2 maka hakikat bahawa OKT2 berjaya memasukkan P4 ke atas para bas itu tidak boleh menolong kes pembelaan.
Satu lagi perkara yang dibangkitkan oleh Encik Manjit Singh ialah berkenaan ” beg pakaian “.
Semasa P.K. Ibrahim memberi keterangan, dalam pemeriksaan awal, P.K. Ibrahim menyebut bahawa Sarjan Arumugam ada memeriksa beg pakaian yang panjangnya sekaki lebih yang dibawa oleh OKT2. Walau bagaimanapun dalam pemeriksaan awal itu juga P.K. Ibrahim membetulkan keterangan bahawa sebenarnya beg itu adalah beg tangan perempuan. OKT2 dalam keterangannya mengatakan dia membeli beg tangan perempuan, 1 besar (lebih kurang satu kaki panjang) dan dua kecil. Perlu juga diambil perhatian bahawa Sarjan Arumugam juga ada mengatakan bahawa bersama-sama OKT2 terdapat satu beg tangan perempuan.
Saya tidak syak bahawa beg yang dimaksudkan oleh P.K. Ibrahim itu adalah beg tangan perempuan. Walau bagaimanapun perkara ini tidak berkenaan dengan ” subject matter ” pertuduhan dan tidak boleh mencacatkan kes pendakwaan.
Satu lagi hujah Encik Manjit untuk menunjukkan bahawa bungkusan-bungkusan P3 dan P4 tidak berada di celah kaki OKT1 dan OKT2, masing-masing, ialah jika betul-betul bungkusan-bungkusan itu berada sedemikian, maka tidak ada sebab mengapa Sarjan Arumugam patut bertanya mereka ” Siapa punya barang ini? “. Sebab, mengikut beliau, jika sesuatu bungkusan itu berada di celah kaki seseorang, semestinya bungkusan itu kepunyaannya, dan soalan itu tidak perlu lagi. Soalan itu lebih munasabah ditanya jika bungkusan itu berada di tempat lain.
Dalam hal ini perlu diingat bahawa Sarjan Arumugam pada masa itu sedang membuat pemeriksaan di dalam bas di sekatan jalanraya. Adalah munasabah dan suatu kebiasaan dalam sesuatu pemeriksaan seperti itu bagi soalan seperti itu ditanya. Dalam penghakiman saya hujah ini tidak berasas.
Dibangkitkan juga persoalan samada Sarjan Arumugam dan P.K. Ibrahim menaiki bas itu untuk membuat pemeriksaan sekali atau dua kali. Kesemua Sarjan Arumugam, P.K. Ibrahim dan Det. Konst. Mohamed mengatakan bahawa Sarjan Arumugam dan P.K. Ibrahim naik ke atas bas sekali sahaja untuk membuat pemeriksaan. Walau bagaimanapun Sarjan Arumugam mengatakan setelah OKT1 dan OKT2 dibawa ke pondok beliau pergi ke bas tersebut untuk mengambil butir-butir pemandu dan pemandu kedua.
Saksi yang mengatakan Sarjan Arumugam naik ke atas bas sebanyak dua kali untuk membuat pemeriksaan ialah pemandu bas (PW1).
OKT1 mengatakan ” dia (Sarjan Arumugam) tinggal kami di pos (pondok) itu dan dia patah balik naik bas pula “. OKT2 pula berkata ” Dia (Sarjan Arumugam) letak kedua-dua bungkusan itu di pondok itu. Dia suruh anggota yang ada di bawah jaga kami. Mereka pergi balik ke atas bas. ”
Dalam hal ini saya tidak was-was bahawa Sarjan Arumugam dan P.K. Ibrahim menaiki bas itu hanya sekali untuk membuat pemeriksaan. Saya juga tidak was-was bahawa kali kedua Sarjan Arumugam pergi ke bas itu ialah untuk mengambil butir-butir pemandu dan pemandu kedua.
Walau bagaimanapun perkara ini tidak boleh mencacatkan kes pendakwaan walau sedikitpun.
Dalam menghujahkan bahawa adalah lebih berkemungkinan bungkusan-bungkusan P3 dan P4 berada di lorong dan bukan di antara dua kaki OKT1 dan OKT2, En. Manjit Singh menarik perhatian kepada apa yang tercatit dalam senarai bongkar butiran 1:
Bil. Nama barang-barang Di mana dijumpai
1 Satu bungkusan kertas Di atas lantai
warna kuning berisi bas berhampiran
beras kaki.
Mengikut beliau apa yang tercatit di dalam senarai bongkar itu ialah ” berhampiran ” bukan ” di celah kaki ” atau ” di antara dua kaki “. Oleh itu cerita kedua-dua tertuduh bahawa bungkusan-bungkusan P3 dan P4 dijumpai di lorong di tepi tandas berhampiran kerusi yang mereka duduk adalah lebih munasabah. Disoalbalas oleh Encik Manjit Singh, Sarjan Arumugam menjelaskan bahawa ” berhampiran kaki ” boleh juga bererti ” dikepit dengan kaki “. Sarjan Arumugam juga menjelaskan bahawa tujuan beliau menyediakan senarai bongkar itu ialah supaya beliau tidak lupa barang-barang yang dijumpai yang hendak diserahkan kepada pegawai penyiasat. ” Yang penting adalah barang-barang itu. Tempat ia dijumpai tak berapa penting. ”
Bagi saya, perkataan ” berhampiran ” itu lebih umum daripada ” di celah kaki “. Manakala suatu barang yang berada di celah kaki seseorang semestinya berhampiran dengan orang itu, suatu barang yang berada berhampiran dengan seseorang boleh jadi berada di celah kaki orang itu ataupun tidak. Walau bagaimanapun ” berhampiran “, dalam penghakiman saya, termasuk ” dicelah kaki “.
Walau bagaimanapun perkara ini perlulah dilihat daripada keseluruhan keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan. Menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan, saya sedikitpun tidak was-was bahawa bungkusan P3 sebenarnya berada di celah kaki OKT1 dan bungkusan P4 berada di celah kaki OKT2 semasa pemeriksaan dibuat.
Saya juga menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan (Sarjan Arumugam dan P.K. Ibrahim) bahawa semasa pemeriksaan dibuat OKT1 dan OKT2 berada dalam ketakutan.
Kesimpulannya, setelah menimbang pembelaan OKT1 dan OKT2 dengan sewajarnya saya dapati mereka tidak berjaya membangkitkan was-was yang berpatutan terhadap kes pendakwaan bahawa bungkusan P3 dan P4 dijumpai di celah kaki mereka masing-masing. Saya juga dapati bahawa mereka tidak berjaya menyangkal anggapan-anggapan yang terbangkit mengikut s. 37(d) dan (da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952atas imbangan kemungkinan (on the balance of probabilities).
Oleh itu saya dapati mereka bersalah dan mensabitkan mereka, masing-masing, seperti pertuduhan terhadap mereka, masing-masing.
Seperti diperuntukkan oleh undang-undang saya menjatuhkan hukuman mati terhadap OKT1 dan OKT2.

674 visits