ANG GHEE SENG lwn. MINISTER FOR HOME AFFAIRS, MALAYSIA & SATU LAGI
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, PULAU PINANG
PERMOHONAN JENAYAH NO. 44-63-90
[1990] 1 CLJ Rep 341; [1990] 2 CLJ 949
TAHANAN PENCEGAHAN: Perintah tahanan – Samada tahanan sah – Ejaan nama salah dalam perintah tahanan – Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Pemohon telah ditangkap pada 2 Mac 1990. Pada 30 April 1990 Timbalan Menteri Dalam Negeri telah memerintahkan pemohon ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Muar. Apabila pemohon dibawa ke pusat tersebut, pusat itu telah enggan menerimanya kerana nama pemohon tidak dieja dengan betul dalam perintah tahanan. Oleh yang demikian, ia telah ditahan dalam tahanan polis sehingga 5 Mei 1990. Selepas itu ia telah ditahan di pusat tersebut setelah pembetulan ejaan namanya dibuat.
Menerusi peguamnya pemohon telah mencabar keesahan penahanannya atas dua alasan – pertama mengenai kewajipan melaporkan hal keadaan penangkapan di bawah seksyen 3(2)(c) Akta berkenaan, dan keduanya mengenai ejaan namanya yang salah.
Diputuskan:
[1] Laporan mengenai penangkapan telah diberi dalam masa yang ditentukan oleh TPP Yahaya bin Ismail. Oleh yang demikian, alasan pertama pemohon gagal.
[2] Dalam semua dokumen yang berkaitan, nombor kad pengenalan pemohon adalah sama dan dicatit dengan betul dan Mahkamah telah memastikan bahawa pemohon sendiri telah menandatangani penerimaan penyerahan perintah tahanan dan dokumen-dokumen itu.
[3] Kesilapan pada ejaan nama pemohon hanya tentang satu huruf sahaja dan adalah satu kesilapan kecil yang tidak menimbulkan sebarang keraguan tentang identiti pemohon sebagai orang yang ditahan. Oleh yang demikian, perintah tahanan itu adalah sah, walaupun jika salah ejaan itu tidak dibetulkan.
[4] Penahanan pemohon dalam ” tahanan polis ” itu adalah sah jika perintah tahanan itu sah, kerana penahanan sedemikian adalah disahkan oleh Akta berkenaan.
Case(s) referred to:
Zainab bt. Othman v. Superintendent of Prison [1973] 1 LNS 183 [1975] 1 MLJ 76
Legislation referred to:
Dangerous Drugs (Special Preventive Measures) Act 1985, s. 3(2)(c)
Counsel:
Bagi pihak pemohon – Karpal Singh; Karpal Singh & Co.
Bagi pihak menentang – Jalaldin bin Hussain; Peguam Kanan Persekutuan
Case History:
Supreme Court : [1991] 1 CLJ 10
PENGHAKIMAN
Abdul Hamid Mohamed PK:
Pemohon telah ditangkap pada 2 Mac 1990. Pada 30 April 1990 Timbalan Menteri Dalam Negeri membuat perintah tahanan mengarah dia ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor, Perintah itu diserahkan kepadanya pada hari yang sama. Mengikut afidavit isteri pemohon yang tidak disangkal oleh responden, pemohon telah dibawa ke pusat tersebut tetapi pusat itu enggan menerimanya kerana namanya tidak dieja dengan betul dalam perintah tahanan berkenaan. Oleh itu dia ditahan dalam ” tahanan polis ” sehingga 5 Mei 1990 apabila dia dibawa semula ke pusat itu yang kali ini menerimanya untuk ditahan. Dia ditahan di situ sehingga hari ini. Dalam tempoh dia berada dalam ” tahanan polis ” itu, perintah tahanan yang telah diserahkan kepadanya itu diambil daripadanya dan dikembalikan kemudianya dengan pembetulan kepada namanya. Tidak diketahui bilakah perintah tahanan itu dikembalikan kepadanya, siapakah yang membuat pembetulan itu dan tandatangan ringkas siapa yang terdapat di sisinya.
Encik Karpal Singh yang mewakili pemohon mengemukakan dua alasan mengapa penahanan pemohon, mengikutnya, tidak sah.
Pertama, beliau menarik perhatian mahkamah kepada afidavit Pemangku Pesuruhjaya Kanan Polis II, Othman bin Awal yang mengatakan bahawa beliau menerima laporan hal keadaan penangkapan dan penahanan pemohon daripada Timbalan Penguasa Polis Yahaya bin Ismail pada 14 Disember 1987. Saya bersetuju bahawa tarikh itu tidak betul kerana pemohon hanya ditangkap pada 2 Mac 1990, seperti yang dinyatakan oleh Inspektor Abdul Rahman bin Nawi, pegawai yang menangkap pemohon, dalam afidavitnya yang dibuat pada 21 Julai 1990.
Bagaimanapun TPP Yahaya bin Ismail menyatakan dalam afidavitnya yang dibuat pada 20 Julai 1990 bahawa beliau melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan pemohon kepada PPKP II Othman bin Awal pada 14 Mac 1990. Tidak syak lagi bahawa tarikh ini adalah betul, terutama sekali memandangkan kepada tarikh pemohon ditangkap.
Seksyen 3(2)(c) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 memperuntukkan bahawa seseorang yang ditangkap di bawah Akta itu tidak boleh ditahan selama lebih daripada empatbelas hari melainkan jika seorang pegawai polis yang berpangkat Timbalan Penguasa atau yang lebih tinggi telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan itu kepada Ketua Polis Negara atau kepada seorang pegawai polis yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara bagi maksud itu.
Pada zahirnya memang terdapat percanggahan tarikh-tarikh laporan itu dibuat dan diterima. Tetapi, meneliti kedua-duanya saya tidak syak bahawa laporan itu dibuat. Yang berbeza hanya tarikh. Di antara kedua-dua tarikh yang diberi itu saya tidak syak bahawa tarikh yang diberi oleh TPP Yahaya bin Ismail adalah betul. Ini bereti laporan itu dibuat dalam masa 14 hari. Saya yakin bahawa tarikh yang diberi oleh PPKP II Othman Awal adalah satu kesilapan. Tetapi saya berpuashati bahawa apa-apa keraguan yang timbul daripada afidavit PPKP II Othman bin Awal itu dijelaskan oleh afidavit TPP Yahaya bin Ismail Oleh itu, dalam penghakiman saya, alasan ini gagal.
Alasan kedua ialah berkenaan kesilapan ejaan nama pemohon. Di mukasurat pertama perintah tahanan namanya dieja ” Ang Chee Seng”. Ejaan yang betul ialah ” Ang Ghee Seng”. Yang silapnya ialah pada nama kedua: ” G ” ditaip ” C “. Tetapi namanya dieja dengan betul sebanyak dua kali di mukasurat 2, perintah yang sama. Namanya juga dieja dengan betul dalam alasan-alasan penangkapan yang dikembarkan kepada perintah itu – ekshibit ” LKF2 ” kepada afidavit Inspektor Lee Fong Koi.
Perlu diambil perhatian bahawa dalam semua dokumen berkaitan, nombor kad pengenalan pemohon adalah sama dan betul. Juga, pemohon sendiri menandatangani penerimaan penyerahan perintah tahanan dan dokumen-dokumen itu.
Saya telah meneliti semua dokumen-dokumen dan afidavit-afidavit yang dikemukakan kepada Mahkamah. Saya tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa orang yang ditangkap, ditahan, yang berkenaanya laporan-laporan dibuat seperti yang dikehendaki oleh Akta berkenaan, yang terhadapnya perintah tahanan dibuat dan diserahkan, dan yang mengakui penerimaan perintah tahanan dan dokumen-dokumen yang disertakan bersamaannya, adalah Ang Ghee Seng, pemohon. Kesilapan dalam mengeja namanya dengan satu huruf itu adalah satu kesilapan kecil, yang dalam keadaan kes ini, tidak menimbul apa-apa keraguan tentang siapakah orang yang diarahkan oleh Timbalan Menteri supaya ditahan. Oleh itu, dalam penghakiman saya, perintah tahanan itu, walaupun jika tidak dibetulkan, adalah sah di sisi undang-undang.
Saya telah meneliti kes Zainab bt. Othman v. Superintendent of Prison[1973] 1 LNS 183 yang dirujuk oleh Encik Karpal Singh. Adalah jelas dalam kes itu bahawa perintah untuk mengeluarkan writ habeas corpus telah dibuat kerana Mahkamah was-was samada Menteri telah membuat perintah untuk menahan orang tahanan dalam kes itu mulai 6 Ogos 1973.
Atas pandangan ini, maka soal siapakah yang membuat pindaan, dan bilakah pindaan itu dibuat tidak timbul lagi.
Perlu disebut bahawa Encik Karpal Singh pun mengakui, dan pada pendapat saya betul, bahawa penahanan pemohon ” dalam tahanan polis ” selepas dia tidak diterima oleh Pusat Pemulihan Akhlak, Muar sehingga dia dibawa semula ke Pusat itu adalah sah, jika perintah tahanan itu sah, kerana penahanan itu disahkan oleh Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Pindaan) 1988 (Akta A707). Saya juga mengambil ingatan bahawa Pusat Pemulihan Akhlak, Muar telah enggan menerima pemohon untuk ditahan di pusat itu kerana namanya dalam perintah tahanan itu tidak dieja dengan betul. Keengganan itu mungkin menunjukkan betapa seriusnya kesilapan itu pada pandangan pegawai berkenaan. Tetapi pandangan beliau, sambil dihormati, tidak dengan sendirinya bereti perintah tahanan itu tidak sah. Soal sah atau tidaknya perintah tahanan berkenaan adalah untuk diputuskan oleh Mahkamah. Dan, saya, atas alasan-alasan yang saya beri di atas, memutuskan bahawa Perintah Tahanan yang dibuat terhadap pemohon, walaupun jika tidak dibetulkan, adalah sah dan oleh itu penahanannya adalah mengikut undang-undang. Oleh itu saya menolak permohonan ini.